Monday 26 March 2012

MANFAATKAN MASA SIHAT

Assalamualaikum..
Nabi menyarankan umatnya supaya merebut lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum datangnya sakit, masa kaya sebelum datangnya papa, masa senang sebelum datangnya susah, masa muda sebelum datangnya tua, masa hidup sebelum datangnya mati. Berkaitan dengan sabda nabi ini ingin aku berkongsi sedikit pengalaman untuk kita saling mengingati sesama umat.

Semalam aku pergi melawat kawan sebelah rumah yang sudah dua minggu diserang STROK. Dengar kata isterinya, kawan aku tu sebelum ni tak pernah diserang sebarang penyakit kecuali demam-demam biasa saja. Dia juga rajin bekerja untuk menyara 4 orang anak yang semuanya masih belajar.  2 orang daripadanya sedang belajar di Kolej swasta yang memerlukan kos yang agak tinggi. Dengar cerita lagi, pada 12 hb dalam pukul 4 pagi, dia rasa nak buang air, semasa berada di dalam tandas, kepalanya pening dan terus jatuh di atas mangkuk tandas. Kebetulan anak sulungnya  tersedar apabila bunyi benda jatuh yang agak kuat. Melihat keadaan ayahnya, dia terus menghantar ayahnya ke bahagian kecemasan PPUM. Doktor mengesahkan kawan aku itu menghidap STROK dan darah tinggi apabila darahnya mencecah lebih 200. Sebelah tubuhnya 'mati' dan tidak boleh digerakkan langsung. Yang menjadi kawan aku lebih pening apabila memikirkan keadaannya untuk bekerja selepas ini bagi menyara anak-anak dalam keadaan seperti itu. Dia hanya bekerja sebagai pemandu van, tidak ada jaminan masa depan. Sekarang dia cuba berusaha untuk memulihkan penyakitnya itu dengan cara fisioterapi dan berubat secara kampung agar ia dapat sempurna seperti sediakala. Setakat ni, hanya kakinya sahaja yang mampu melangkah walaupun masih kebas manakala tangannya masih 'mati'.

Ekoran daripada cerita ini, membuatkan aku termenung bagaimana kalau situasi seperti ini berlaku ke atas diriku. Mungkin sukar untuk menerima hakikat ini. Mahu tak mahu, hidup mesti diteruskan walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Kita kena redha menerima kehendak takdir. Oleh yang demikian, bagi mereka yang sihat, bersyukurlah kepada tuhan. Manfaatkanlah masa sihat kita untuk berbuat sesuatu yang memberi kebaikan kepada diri kita, keluarga, bangsa, agama dan negara.

Masa sihat beginilah kalau kita nak ke Mekah untuk menunaikan haji kerana dengar cerita orang yang sudah pergi haji, amat sulit sekali untuk menunaikan rukun islam yang ke-5 itu sekiranya dalam keadaan tidak bermaya. Pada masa sihat inilah juga waktu yang paling sesuai untuk kita melakukan amal ibadat kepada Allah. Kita boleh mencari rezeki dan mengumpul kekayaan sebanyak-banyaknya pada masa kita sihat. Sesetengah orang yang mempunyai hobi tertentu yang agak ekstreme, eloklah pada masa sihat ini dimanfaatkan. Pada masa tubuh badan yang sihat begini, amat rugi sekiranya hanya terperap di dalam rumah saja. Manfaatkan pengunaan masa berkualiti kita sebaik mungkin. Mana yang suka pergi melancong, pergilah.. yang suka mendaki gunung, dakilah sebanyak mungkin, yang suka berbasikal, berenang dan snokling, mengembara, memancing dan menjaring ikan, bercamping, bersukan, berpesta dan sebagainya, buatlah semasa kita masih sihat. Kalau nak berbuat sebarang aktiviti yang mendatangkan dosa, berfikirlah dua kali.

Masa yang berkualiti bukannya masa bekerja dan masa beribadat sahaja, tetapi semua aktiviti yang memenuhi hobi dan memberi manfaat kepada kita adalah merupakan masa yang berkualiti. Ada orang asyik tidur saja sepanjang hari dan sepanjang malam sekiranya tidak bekerja. Itu bukan cara penggunaan masa yang betul. Semua orang mempunyai masa tersendiri dan mempunyai cara tersendiri untuk menggunakan masa mereka. TEPUK DADA TANYA SELERA.
Manfaatkan Masa Sihat

1 comment:

  1. saya pun risau perkara begitu berlaku dan tak nak runsing fikirkan duit maka saya beringat ingat .. carumkan diri ni dalam takaful

    ReplyDelete