Wednesday 28 August 2013

KONVOKESYEN OH KONVOKESYEN

Sebut pasal Konvo sudah tentu mahasiswa/mahasiswi akan seronok. Mahu tidak seronok, setelah bertahun-tahun berhempas pulas dengan kuliah, test paper, kerja kursus individu, kerja berkumpulan, presentation, kuiz, tutorial, tesis dan segala macam lagi, akhirnya pada hari konvokesven telah mengiktiraf mereka yang benar-benar layak untuk bergelar Lepasan PHD, Master, Ijazah Sarjana Muda, dan Diploma. 

Gambar ni aku ambik dari google

Baru-baru ni aku sempat menghadiri majlis Konvokesyen anak buah aku kat MMU di Kampus kat Cyber Jaya. Saja je pegi untuk support dan nak ucapkan TAHNIAH kat anak buah. Aku beli juga sejambak bunga  sebagai penghargaan kerana telah berjaya menamatkan pengajian.Wah.. seronok betul budak-budak yang dapat Ijazah dan Diploma.Bukan saja mereka bahkan ibu bapa, keluarga, dan rakan karib juga turut seronok. Masing-masing dapat banyak bunga. Tapi yang tak seronok bila lepas ni.. ada ke tak kerja yang menunggu mereka. Setahu aku.. untuk menceburi bidang pekerjaan memang sukar sebab sangat kurang kekosongan dalam sektor awam mahupun sektor swasta. Mahasiswa yang sudah bertahun dapat degree tapi masih memerap kat rumah pun berpuluh-puluh ribu.



Dalam setahun berapa ratus ribu yang graduate. Universiti sekarang pulak bersepah-sepah. Masing-masing menawarkan kursus yang hampir sama.Universiti dan kolej swasta pulak nanti tadah je lepasan SPM dan STPM yang tak layak masuk ke universiti awam. Masuk universiti swasta memang mudah tapi yang tak syoknya yuran pengajian yang amat-amat membebankan dalam satu-satu semester. Kalau dah graduate terus dapat kerja berbaloi la jugak dengan bayaran mahal yang dibelanjakan sepanjang pengajian, tapi.. kalau keluar masih juga jadi 'penanam anggur' memang tak berbaloilah jawabnya.

Aku dulu memang bernasib baik, keluar universiti kerja kilang dulu setahun sementara panggil untuk sambung KPLI. Lepas buat KPLI terus dapat posting. Lepas base aku, budak-budak lepasan KPLI dah susah nak dapat posting. KPLI pun dah dibubarkan. Peluang lepasan ijazah untuk bekerja dalam sektor awam semakin tertutup lebih-lebih lagi bagi mereka yang ambik course yang tak power.Maka berlakulah lambakan tenaga muda yang tak menyumbang kepada pembangunan negara atau dengan kata lain penganggur terhormat. Saban tahun lepasan ijazah dan diploma yang menganggur semakin meningkat.

Kalau ada pun kekosongan jawatan dalam sektor awam yang setaraf dengan kelulusan mereka, belum tentu kekosongan itu boleh diisi dengan mudah. Mereka perlu bersaing untuk merebut jawatan tersebut. Kalau tak ada 'kabel' jangan mimpilah. Kadang-kadang kekosongan melalui iklan yang dikeluarkan dan panggilan temuduga yang dibuat tu cuma shadow  aje sebagai memenuhi syarat. Orang yang nak diisi sudahpun ada siap-siap sebenarnya sebab mereka ada 'kabel besar'. Kalau kabel kecil tak de gunanya jugak. Kalau setakat bawa kepala surat parti tertentu atau guna kabel wakil rakyat memang dibakulsampahkan saja.

Nak kerja swasta lagi payah dan lagi sengit persaingan. Ada sesetengah tu siap letak syarat mesti fasih berbahasa inggeris dan bahasa Mandrin. Tak nak bagi kat orang kita la tu.Nak kerja bawah-bawah sementara dapat kerja yang setaraf pun susah sebab kerja bawah-bawah sudah dimonopoli oleh warga asing. Mana ada lepasan univesiti yang nak kerja baby sitter atau yang nak buat rumah batu atau yang nak kerja ladang atau yang nak jadi cashier kat pasar raya atau yang nak kerja kilang. Semua mereka nak kerja yang setaraf dengan kelulusan mereka. Duduk dalam bilik khas yang berhawa dingin di atas kerusi empuk siap ada setiausaha lagi. Istilah berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak sudah tidak ada dalam kamus hidup mereka. Lebih baik mereka duduk rumah layan game online dan you tube sepanjang hari daripada buat malu kerja kolar biru.

Apapun.. aku doakan agar lepasan universiti dan yang baru konvo akan terus dapat kerja. Jangan bazirkan usia muda kita dengan begitu sahaja setelah ibu bapa kita telah menghabiskan banyak wang ringgit untuk menanggung pengajian kita.Kerjalah apa-apa pun dahulu asalkan rezeki yang dapat tu halal daripada terus menganggur.Anak-anak buah aku yang akan mendaftar untuk masuk universiti beberapa hari lagi, aku harap mereka tabahkan hati dan kuatkan semangat untuk terus belajar dan bagi yang akan konvo bulan depan dan yang sudah konvo, cubalah sedaya upaya untuk mendapatkan pekerjaan. Rezeki ada di mana-mana asalkan rajin berusaha. Jangan biarkan negara kita menjadi syurga bagi warga asing mengumpul kekayaan.  

Setiap tahun golongan Hawa yang ramai masuk Universiti. Golongan Adam ramai masuk pusat serenti



Cenderahati untuk diberikan sebagai penghargaan kepada yang berjaya

Ibu bapa tersenyum lebar pabila melihat anak-anak berjaya menamatkan pengajian dan yang pastinya mereka mengharapkan masa depan anak-anak mereka lebih cerah berbanding mereka.

Monday 19 August 2013

RAYA OH RAYA..KISAH HARI RAYA

Alhamdulillah.. setelah 2 minggu pulang beraya kat kampung, hari ni dah start kerja balik. Malasssnya nak gi kerja setelah lama berkubu kat dalam kampung. Balik raya tahun ni memang menarik sebab jalan tak jem baik masa pulang dan masa datang, tapi masa raya kedua hingga raya kelima, hanya tuhan saja yang tahu betapa teruknya jem kat atas jalan di seluruh Kelantan terutamanya laluan yang menyeberangi sungai kelantan.Banyak aktiviti yang aku buat masa pulang berhari raya. Di samping dapat berbuka dengan seluruh keluarga masa hari terakhir puasa, aku juga buat sedikit majlis akikah anak bongsu masa hari raya ketiga. Kebetulan kat kampung sekarang durian sedang gugur, maka dapatlah aku merasa beberapa jenis buah durian tinggalan arwah ayah aku dulu. Selain tu, dokong juga tak kurang buahnya dan sedang elok untuk dipetik dan dimakan.

Raya keempat abang aku buat majlis kahwin anaknya. Kahwin masa cuti raya memang perkara biasa tapi yang paling biasa juga di Kelantan ialah masalah ketiadaan air. Bukak paip keluar angin. Memang payah kalau nak buat majlis besar tapi airnya tiada sebab keperluan asas yang paling utama sekarang ni ialah air. Nak basuh ayam/ daging/ sayur/pinggan/mangkuk dan segala-galanya semuanya memerlukan air. Masalah air ni sejak dari dulu tak pernah selesai di Kelantan sedangkan penduduknya taklah seramai mana berbanding dengan penduduk di Selangor. Memang negeri kelahirannku ini dianaktirikan oleh kerajaan pusat walaupun hampir   43% rakyatnya masih setia menyokong kerajaan pusat.

Walaupun pihak kerajaan dah haramkan main mercun, tapi sebelum raya bunyi mercun sudah bersahutan di seluruh kampung. Bila tiba malam raya, bunyi mercun tak nak berhenti dan terus berdetum sehingga ke awal pagi. Banyaknya duit rakyat Kelantan dihabiskan untuk bakar mercun. Satu bunga api yang meletup keluar bunga api macam sambutan tahun baru harganya RM5.00, berapa banyak wang yang telah dibakar untuk memuaskan hati sepanjang malam raya pertama, kedua, ketiga dan keempat. Beribu wang yang dihabiskan oleh penggemar main bunga api. Walaupun kemasukan mercun dan bukan api dikawal ketat tapi masih bersepah di seluruh Kelantan orang yang main mercun dan bunga api. Memang sukar kerajaan nak kawal sempadan untuk menyekat orang ramai bawa masuk bunga api dan mercun dari Thailand. Sepupu aku dengan selamba membawa masuk satu guni mercun dan bunga api dari pekan Sungai Golok. Nasib baik laa dia hanya bawa masuk bunga api dan mercun saja, apa kata kalau dia bawa masuk satu guni senjata api, sudah tentu akan ada beberapa orang yang kena tembak.




Malam raya kedua memang malang bagi masjid tempat aku kerana pada tengah malam tu satu operasi 'memancing' wang tabung masjid telah dilakukan oleh penggemar pil kuda. Tiga tabung masjid yang padat dengan wang telah KOSONG dikerjakan oleh mungkin 2 orang 'syaitan' yang baru terlepas dari dibelenggu. Berbekalkan satu tin gam Dunlop, mereka dengan mudah memancing wang-wang yang didermakan oleh kariah yang berhati mulia sehingga tinggal habuk walaupun Masjid tersebut terletak betul-betul menghadap Balai Polis.

Kat Kelantan dah habiss raya, tapi kat Kuala Lumpur dan Selangor, raya baru nak bermula. Masuk hujung minggu ni akan bersepah orang yang buat rumah terbuka. Hujung syawal lagi banyak rumah terbuka sehingga  tak sempat nak hadiri. Kalau rakan-rakan dan jiran-jiran dekat rumah yang ajak mungkin kita mampu penuhi jemputan mereka, tapi kalau satu kat Puchong, satu kat Gombak, Satu kat Kajang, Satu kat Paya Jaras, satu kat Klang dan lain-lain tempat lagi yang jauh-jauh pada hari yang sama.. macam mana nak hadiri?? kirim salam aje lahhh.. atau pilih hanya rumah rakan karib saja yang kita segan kalau tak hadir.

Aapapun.. kita masih dalam mood raya. Dengar radio kat dalam kereta masa pergi dan balik kerja, masih ramai juruhebah yang putarkan lagu-lagu raya.Budak-budak yang masih kudung tangan akibat mercun pun masih banyak lagi walaupun dah lepas raya. Itulah kisah raya.. hari..hari.. hari raya.


Thursday 1 August 2013

SELAMAT PULANG BERHARI RAYA



SELAMAT BALIK KAMPUNG DAN SELAMAT HARI RAYA DIUCAPKAN KEPADA SEMUA PEMBACA BLOG MATDINGUNUNG (MG). ADMIN MOHON JUTAAN AMPUN DAN MAAF SEKIRANYA ADA SESUATU YANG MENYINGGUNG PERASAAN PEMBACA DENGAN APA-APA JUA TULISAN ATAU ARTIKEL DALAM BLOG INI. PEPATAH MENGATAKAN ' LAUTAN MANA YANG TIDAK BERGELORA, BUMI MANA YANG TIDAK DITIMPA HUJAN, BEGITULAH MANUSIA MANA YANG TIDAK PERNAH MELAKUKAN KESILAPAN DAN KESALAHAN DALAM KEHIDUPAN'. UNTUK MAKLUMAN, ESOK MG AKAN BERTOLAK BALIK KE KAMPUNG KERANA CUTI BERMULA AWAL. SO, DUA MINGGU NI TAK AKAN ADA ENTRI BARU BUAT PENGGEMAR BLOG MG. WALAU BAGAIMANAPUN, SELEPAS BALIK DARI CUTI RAYA NANTI, INSYA-ALLAH.. MG AKAN MASUKKAN ENTRI-ENTRI BARU YANG LEBIH MENARIK. DOAKAN KAMI SEKELUARGA SELAMAT SAMPAI DAN SELAMAT KEMBALI. DIKESEMPATAN INI JUGA MG TURUT MENDOAKAN AGAR RAKAN-RAKAN DAN PEMBACA BLOG MG AKAN SELAMAT TIBA SEMASA BALIK BERHARI RAYA DAN SELAMAT KEMBALI UNTUK MEMULAKAN TUGAS MASING-MASING SELEPAS BERHARI RAYA.


SELAMAT HARI RAYA, MAAF, ZAHIR & BATIN..
Sesuci Lebaran, Setulus Ikhlas daripada: Matdingunung.blogspot.com