Wednesday 14 January 2015

BAH KUNING DI KELANTAN - MISI BANTUAN EPISOD 2


Assalamualaikum..

Bersua kembali dalam episod ke-2 misi kemanusiaan membantu mangsa banjir yang teruk diuji. Sisa cuti yang masih berbaki membuatkan aku terus bersemangat untuk menghulurkan lagi bantuan walau tidak seberapa. Selepas pulang ke Kuala Lumpur selepas misi mengagihkan bantuan yang pertama, hatiku tergerak lagi untuk mengadakan kutipan dana bagi dihantar ke kawasan yang teruk terjejas akibat banjir terutamanya bagi mereka yang rumahnya hanyut dibawa arus yang ganas. Tidak dapat dibayangkan betapa menderitanya mereka yang tidak berumah sedangkan mangsa lain masih mempunyai rumah walaupun turut menjadi mangsa. Sudah tentu mereka pening untuk mendapatkan tempat berteduh daripada panas teriknya mentari dan dinginya hujan dimalam hari. Bagaimana mereka hendak merebahkan badan untuk berehat selepas penat membersihkan kawasan rumah? di manakah anak-anak mereka hendak tidur, mandi, buang air, memasak, makan dan membuat kerja sekolah apabila sekolah buka nanti. Bagaimana cara anak-anak mereka hendak ke sekolah kerana semua kenderaan sudah ditenggelami dan dibawa arus air bah? Ini semua sudah pasti memberi rasa trauma dan mengusutkan fikiran memikirkannya.

Aku difahamkan, sebaik sahaja sekolah dibuka, semua mangsa banjir yang tidak berumah diwajibkan meninggalkan sekolah yang menjadi pusat pemindahan mereka sepanjang cuti sekolah. Mereka terpaksa membawa diri dengan berikhtiar membuat penempatan sementara walaupun sekadar lindung daripada pandangan mata orang tanpa kemudahan asas seperti bilik air dan bekalan kuasa eletrik. Walaupun hidup di negara sendiri, tetapi kini kehidupan mereka lebih teruk daripada pelarian Rohigya dan pelarian Syria. Hal ini gara-gara kegagalan pihak berwajib membina penempatan sementara dalam jangka masa yang singkat buat mereka yang tidak bernasib baik ini. Kalau kita sekadar tengok video dan melayan gambar-gambar melalui aplikasi What Apps atau istigram yang dikongsi-kongsi daripada sukarelawan yang hadir membantu atau rakan-rakan yang melawat ke tempat bencana sambil makan snek di sofa empuk, mungkin tidak memberi apa-apa perasan kepada kita melainkan keluar perkataan dari mulut kita "kasihannya.. teruknyaa.. dashyatnyaa..." tetapi bagi mereka yang menyelami hati dan perasan mangsa sudah tentu sebak dan terasa bagai nak mengalirkan air mata bahkan lebih daripada itu. Sebab itulah ada sukarelawan dan dermawan yang berkali-kali masuk ke tempat bencana untuk menghulurkan sedikit sumbangan sekadar yang mampu.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.. mereka yang secara langsung menjadi mangsa, sudah kering air mata menangis dan merintih agar diberi bantuan sewajarnya agar mereka sekurang-kurangnya mendapat tempat tinggal ala kadar seadanya demi sedikit keselesaan buat anak-anak. Bantuan segera kerajaan sebanyak RM500 kepada setiap mangsa bukan satu jalan penyelesaian segera kerana wang sekecil itu apalah sangat yang dapat. Beli zink pun tak lepas.. Memang bantuan masuk mencurah-curah hasil daripada keprihatinan rakyat Malaysia dari seluruh negara tetapi bantuan itu sekadar bantuan jangka pendek. Baju terpakai bersepah-sepah masuk tetapi mana mereka nak sangkut. Kalau baju berlipat, mana rak untuk mereka susun. Kalau diberi dapur dan tong gas, tak kan hari-hari nak masak mi maggi. Buat kopi cicah biskut pagi petang siang malam. Masak nasi berlaukkan sardin setiap hari. Lagipun  mana tempat mereka nak masak sebab rumah mereka tiada. Tak kan nak masak dan makan  dalam keadaan persekitaran berhabuk teruk dan berbau hapak. Mereka perlukan rumah untuk berlindung dan menjalankan aktiviti mereka. Kalau kita tak datang sendiri melawat mereka, memang kita tidak terfikir bagaimana mereka nak hidup dalam situasi begini.

Setiap kali gerombolan kenderaan bantuan memasuki ke tempat mereka, mereka berlari menyerbu kenderaan yang membawa panji negeri masing-masing. Nak tahu apa yang mereka cari ? bukan beras, bukan gula, bukan tilam, bukan biskut, maggi, sardin, garam, dan sebagainya.. tetapi mereka merayu minta baju dan seluar sekolah anak-anak. Beg sekolah dan peralatan sekolah anak-anak, kasut sekolah anak-anak. Hal ini menunjukkan mereka lebih pentingkan pelajaran anak-anak berbanding daripada makanan dan pakaian untuk mereka. Mereka pening nak memikirkan bagaimana nak cari kenderaan untuk hantar anak-anak ke sekolah kerana tidak ada sebuah pun dalam kalangan beribu kenderaan bantuan yang masuk membawa motosikal untuk diagihkan kepada mereka.

Erkk elehh... ingat entri ni nak tulis santai-santai je. Dah pegi meleret-leret membawa pembaca entri ni bermain-main dengan emosi pulak. Ok lah.. stop setakat ni.

Selepas misi bantuan yang tak seberapa ke Kuala Nal, Kuala Hau dan Temangan pada minggu lepas, hatiku terdetik untuk meneruskan lagi membantu mangsa banjir kerana terlalu kasihan dengan nasib malang yang menimpa mereka. Walaupun aku tahu, aku bukanlah sekaya Robert Kuak, T.Ananda Krisnan, Tan Sri Teh Hong Piow, Tan Sri Lee Shin Cheng, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary atau tidak sekaya CEO CIMB Bank tetapi semangat untuk membantu orang yang dalam kesusahan cukup tinggi. Kalau tak mampu bantu dengan wang ringgit, cukuplah bantu menggunakan sedikit kudrat dan doa.

Berkat kesungguhanku yang bagaikan setitis air di hujung kuku, dapatlah aku mengumpul beberapa ribu ringgit sumbangan daripada kawan-kawan dan jiran-jiran. Melalui sumbangan ini, aku bercadang untuk membeli beberapa puluh sleeping bag untuk diagihkan kepada budak-budak yang rumahnya musnah sama sekali kerana menurut ramalan jabatan meteorologi, musim sejuk bakal menyelubungi kampung mereka sedikit masa lagi. Selebihnya aku akan beri wang tunai kepada mangsa yang rumahnya 100% hanyut tinggal tapak. Hal ini kerana, dalam keadaan sekarang, wang cash amat penting buat mereka untuk dikumpul dan dibina kembali tempat tinggal yang telah musnah.

Niat ikhlas Allah akan tolong.. aku beli beberapa puluh sleeping bag dengan harga yang cukup murah. Mungkin rezeki budak-budak kat situ, aku borong kesemuanya sleeping bag kat kedai tu untuk diagih-agihkan kepada mereka yang tiada berumah. Sekurang-kurangnya dapat membantu mereka tidur dengan lebih selesa di bawah khemah terbuka, secara tidak langsung dapat menghindari tubuh mereka daripada kesejukan dan gigitan nyamuk.


Harga asal RM69.00 tapi aku boleh dapat dengan harga RM10.00 satu 


Padat MYvi aku


Borong kesemuanya


Kalau minggu lepas aku bergabung dengan cikgu Fathani untuk mengagihkan sedikit bantuan kepada anak-anak muridnya yang kehilangan tempat tinggal, minggu ni aku berkalaborisasi dengan BUBUK pula. Bubuk merupakan rakan serumah aku semasa belajar di universiti dulu. Masuk kali ini, sudah tiga kali Bubuk terlibat dengan misi menghantar bantuan kepada mangsa banjir. Lokasi yang berada dalam radar aku pada kali ini ialah Kampung Limau Kasturi dan Kampung Bertam di pedalaman daerah Gua Musang. Di kedua-dua kampung ini juga antara yang teruk dilanda musibah banjir.

Aku bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 6 pagi dengan menaiki pacuan 4 roda milik Bubuk. Sampai di Gua Musang lebih kurang pukul 11 pagi. Di sini, Bubuk ke rumah rakannya cikgu Idie untuk meminta bantuan ditunjukkan jalan ke kampung Limau Kasturi yang kebetulan cikgu Idie mengajar di SMK Sungai Asap lebih kurang 17 km dari kampung Limau Kasturi dan kebanyakan penduduk situ menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah itu.


Barang yang dibawa Bubuk + barang aku = penuh satu Navara
Langkah pertama, cikgu Idie membawa aku dan Bubuk terus menuju ke rumah rakan setugasnya iaitu Cikgu Azman yang juga penduduk asal kampung tersebut. Dengan cara ini aku boleh mendapatkan bantuan Cikgu Azman untuk mengenal pasti penduduk yang betul-betul kehilangan tempat tinggal untuk diberi sedikit sumbangan. Kebetulan pula Cikgu Azman telahpun dilantik oleh penghulu kampung tersebut sebagai ahli jawatankuasa pengagihan barang bantuan kepada penduduk kampung Limau Kasturi. Sebenarnya rumah cikgu Azman juga turut ditenggelami oleh air bah tetapi bernasib baik kerana rumahnya tidak hanyut.

Bersama ini aku sertakan gambar-gambar kesan kemusnahan di Kampung Limau Kasturi. Anda nilai sendirilah betapa sukarnya kehidupan mereka semasa dan selepas banjir. Bagaimana mereka nak mulakan kehidupan baru yang penuh berliku selepas ini sedangkan mereka tidak punya apa-apa. Motosikal untuk hantar anak-anak sekolah dan untuk mereka pergi menoreh getah pun sudah hanyut.














Cikgu Azman membawa aku, Bubuk dan Cikgu Idie melawat rumah-rumah yang musnah








Ini adalah sebahagian kecil sahaja.. ada 107 buah rumah di kampung ini yang musnah dan tidak layak untuk didiami






Seorang sukarelawan bertindak memberi perkhidmatan membaiki kereta penduduk secara percuma


Deretan kereta yang ditenggelami air menunggu giliran untuk diservis




Penduduk di kampung ini begitu tabah.. masih sempat tersenyum walaupun rumahnya sudah tinggal tapak


Cikgu Idie beramah mesra dengan penduduk kampung. Wakil rakyat sini masih belum sampai menjenguknya lagi setakat ini


sukarelawan dari Selangor




Hanya sebanyak ini saja barangan yang kami mampu bawa




Sumbangan tak seberapa yang aku dan Bubuk bawakan


suasana yang berdebu sangat bahaya kepada kesihatan.. aku juga terkena penyakit batuk dan selsema berpanjangan sehingga hilang suara untuk bertutur




sayangnyaa.. rumah klasik ini sudah tentu diwarisi turun temurun, akhirnya rebah jatuh ke bumi




Tempat pengumpulan barangan bantuan






Tragisnya rumah nii...


Kedai runcit.. semua hilang barang yang diniagakan








rumah yang rosak ada di mana-mana




Keadaan yang masih berselut amat menyukarkan aktiviti pembersihan






ni satu lagi tempat pengumpulan bantuan










Jalan masuk lebih ke dalam ke kampung ini  sudah lunyai kerana menjadi laluan yang sibuk untuk para dermawan menghantar bantuan


Alhamdulillah.. bantuan yang sampai tidak putus-putus.


nak cuba repair mana yang boleh direpair


rumah ni cuma tinggal dinding












antara laluan air yang ganas




Keadaan masih teruk walaupun sudah lebih seminggu operasi pembersihan dijalankan


selepas lebih seminggu bah berlalu.. masih banyak lagi yang perlu dibersihkan oleh penghuninya


rumah yang tinggi ini turut ditenggelami air sehingga ke paras bumbung


Masjid Limau Kasturi masih utuh berdiri


Baju terpakai yang didermakan sudah tidak bernilai kerana terlalu banyak dan tidak ada tempat untuk disimpan.. mereka perlukan motor dan kereta terpakai




Penduduk terpaksa mengepam air parit untuk mendapatkan air bagi digunakan untuk membasuh rumah




Ekpress WAU.. mandi air selut di Stesen Limau Kasturi




Lokomotif ni nampak gagah tetapi gagal menandingi kekutan tentera dari Allah.. tersadai jua akhirnya


Bukan saja rumah kediaman.. kebun penduduk juga turut menjadi korban








sungai ni nampak jinak.. tetapi pada hari kejadian, dialah yang paling ganas


tanpa bekalan eletrik dan air paip.. mereka terpaksa tinggal di 'hotel' ini tak tahu sampai bila








buat bangsal sementara untuk berlindung


ni rumah pen pegawai PPD Kuala Krai


tanah jerlus meranapkan sebahagian besar ibu rumah






tengok kepada tangga.. rumah ni tentu cantik tapi ibu rumahnya hilang entah ke mana


Walaupun rumah sudah tiada.. abang ni masih mampu tersengih meyambut kedatangan kami

Hampir 3 jam aku dan Bubuk meninjau di kampung Limau Kasturi.. kemudian aku berkejar pula ke kampung Bertam. Masuk lagi ke dalam sejauh 23 km. Di sepanjang perjalanan masuk ke kampung tu.. banyak berlaku kejadian tebing runtuh yang amat berbahaya.


Tanah runtuh di sana sini landscape biasa untuk masuk ke kampung Bertam

Kesan laluan air yang tidak dapat dibayangkan 



Ada yang jadikan lori sebagai rumah kediaman


Penduduk sini kata, jambatan kereta api ini tenggelam keseluruhannya


Pasukan sukarelawan daripada Unit Amal sudah dua hari berkampung di sini untuk membantu penduduk membersihkan rumah mereka

Dari jauh.. sudah kelihatan hotel-hotel sementara

kesan-kesan kemusnahan

Khemah-khemah ini menceritakan tentang kesulitan yang dihadapi oleh mangsa banjir yang rumahnya hanyut entah ke mana



Tinggal tapak sahaja



Tiang eletrik yang rebah


Kampung yang dulunya indah.. kini telah menjadi padang jarak padang tekukur


Tiada pilihan.. penduduk terpaksa menggunakan air selut ini untuk membersihkan diri




Kesan kemusnahan amatlah dashyat


Pasukan sukarelawan yang kepenatan






Hanya ini yang menjadi tempat berteduh


Landscape Kampung Bertam


Seronoknya budak tu mendapat sleeping bag.. semoga dia selesa tidur di dalamnya

Dua jam aku dan Bubuk meninjau di kampung Bertam melihat kemusnahan yang tidak sedikit. Sana sini rumah runtuh dan berselut. Sukarnya kehidupan mereka tanpa air bersih dan api eletrik. Bubuk yang sedekahkan periuk eletrik kepada penduduk seolah-olah tidak memberi apa-apa makna. Lebih baik bagi mereka pelita ayam, dapat juga mereka menerangi malam yang gelap gelita. Dari kampung ni aku terus balik ke Kuala Lumpur. Sampai di Bentong pukul satu pagi, hujan ribut baru sahaja berhenti. Jalan jem.. rupa-rupanya banyak pokok tumbang menghalang laluan. Nasib aku dengan Bubuk agak baik sebab jalan masih belum ditutup. Dua jam kemudian aku mendapat berita jalan utama dari Raub ke Bentong ditutup untuk semua kenderaan kerana struktur jambatan retak dan berbahaya.

Aku sampai ke rumah hampir pukul 3 pagi. Walaupun kepenatan.. tetapi hatiku puas dan bersyukur kepada Allah kerana memberi aku sedikit peluang untuk menyumbang sedikit tenaga. Peluang ini aku nak ucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang terlibat secara langsung atau secara tidak langsung dalam misi menyampaikan bantuan atau menjadi sukarelawan. Hari ini hari mereka, mungkin suatu masa nanti hari kita pula memerlukan bantuan mereka.

Kepada BUBUK.. terima kasih kerana sudi menumpangkan aku untuk misi kali ini. Kesulitan yang kita hadapi sangat sedikit berbanding mereka yang menghadapi musibah. Sejak dari awal musibah mereka telah diuji.. ada yang tidur sambil duduk kerana ketiadaan ruang.. ada yang kelaparan berhari-hari.. ada yang kesakitan terkena sengatan binatang berbisa dan ada yang terpaksa berhimpit dalam sebuah rumah yang kecil selama beberapa hari. Pengalaman-pengalaman mereka diceritakan sendiri oleh mangsa kepada aku.

Sekian terima kasih sehingga berjumpa lagi dalam misi bantuan pasca banjir. Mungkin sebulan dua lagi..

No comments:

Post a Comment