Wednesday 13 July 2016

MERIAHNYA RAYA..

Assalamualaikum...

Tahun ini adalah tahun kedua aku beraya tanpa ibu.. Raya tanpa ibu tidak seindah beraya dengan adanya beliau di sisi.. semangat untuk pulang raya sudah sedikit luntur kerana kita tak tahu nak balik di rumah siapa.. nak balik ke rumah pusaka tak ada orang. Takkanlah hanya keluarga kita sahaja.. tak best raya mcm tu. Pentingnya kita ada ibu bapa dan sungguh beruntung sape-sape yang masih punyai ibu bapa. Semangat nak balik raya memang tinggi walau kita sudah tahu bakal berhadapan dengan kesesakan lalu lintas yang amat luar biasa..  bila sampai rumah.. seronok lihat muka ibu ayah yang berseri menyambut kepulangan kita dan cucu-cucunya.. tentu ibu kita akan masak apa yang terdetik di hati kita masakan kegemaran kita kan? kesempatan berbuka dan bersahur bersama keluarga induk sementara tibanya hari raya, tentu begitu menyeronokkan dan menyelerakan.. banyak makanan yang membuka selera kita pakat-pakat sediakan semasa berbuka. Masa ni duit tentu masih banyak, dan kita tidak sayang untuk beli juadah dan kuih muih yang lazat-lazat. Kalau di Kelantan, kuih Akok menjadi kegemaran dan yang pastinya gerai jual akok yang femes tempat kita tuju walau terpaksa beratur panjang untuk mendapatkannya. Kuih Jala Mas, Kuih Buah Tanjung, Kuih Taik Itik juga menjadi buruan. Murtabak Raja juga menjadi menu idaman untuk dimakan selepas waktu berbuka. Air tuak original yang tidak dicampur juga menjadi buruan para penggemar selain air tebu. Selain tu.. kaki, lidah, bibir, hidung, perut muda, perut tuala, perut kitab dan kuku lembu menjadi makanan eksotik  yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan perantau. Gulai kawah, kerutuk itik dan pelbagai makanan tradisional menjadi menu utama berbuka. Pendek kata, apabila teringat keseronokan ibu, ayah dan adik beradik menunggu ketibaan kita dari perantauan, memainkan lagu-lagu raya yang evegreen sepanjang perjalanan pulang memang mengujakan ditambah dengan makanan yang lazat-lazat  terbayang-bayang di mata.. perghhh.. membuatkan kita berasa tidak sabar untuk pulang beraya di kampung dan amat liat untuk berangkat pulang ke bandar selepas tamat cuti hari raya.
 
 Tapi itu semua sudah menjadi kenangan indah buatku.. aku tidak lagi dapat merasai kenikmatan begini. Walau rindu untuk merasainya lebih-lebih lagi apabila mendengar lagu Dendang Perantau, Balik Kampung, Pulanglah Di Hari Raya, Selamat Hari Raya dan sebagainya.. tetapi itu semua kenangan yang mengamit nostalgia lalu.. tak ada apa-apa makna lagi. Balik beraya tapi tak tahu nak tinggal di rumah siapa.. rumah kakak mana yang hendak dituju.. rumah pusaka dah nak runtuh tak terjaga.. rumah kakak pun, anak-anak dia dah besar panjang dan ramai yang dah berkeluarga. Tu lah puncanya keseronokan beraya seakan tidak beerti lagi buatku.. kena tunggu aku menjadi datuk kot baharu timbul perasaan seronok pula tapi anak sulung aku baharu 16 tahun..lambat lagilahh.. sekarang ni akupun tidak mengharapkan cuti perayaan yang terlalu panjang.. cukuplah beberapa hari sahaja. Kalau dulu.. bagi sebulan cuti pun tak cukup. Itulah nasib sekiranya kita sudah tidak punyai ibu dan ayah. Memang beruntung orang yang masih mempunyai keduanya kerana hari raya boleh disambut dengan meriah..