Friday, 25 January 2013

PETUA MASUK HUTAN

Assalamualaikum.. entri kali ini lain sikit daripada yang lain kerana dalam entri ini aku nak berkongsi ilmu yang aku warisi daripada mak aku dan allahyarham ayah aku. Ilmu ni aku guna pakai bila mana aku masuk hutan. Kalau kita jenis orang yang suka kepada hutan, molek benar kalau ambik sedikit perhatian tentang apa yang aku nak kongsi ni agar warisan ini terus kekal sampai bila-bila. 


Hutan Belantara
Orang dulu-dulu memang menjadi habitat mereka tinggal kat dalam hutan kerana pembangunan yang amat terhad. Mereka merantau jauh untuk membuka tanah hutan bagi mendapatkan hak pemilikan penempatan. Sebab tulah orang-orang tua kita ada banyak tanah. Mereka meneroka tanah hutan di bukit-bukit yang jauh daripada penempatan. Ayah aku dulu pun merantau jauh dari kampung kelahirannya untuk membuka tanah hutan untuk ditinggalkan kepada anak cucu di kemudian hari. Terdapat sesetengah orang dulu-dulu mempunyai pendamping untuk menjaga keselamatan mereka tatkala mereka bertungkus lumus mengerah kudrat menebang pokok-pokok hutan untuk membuat penempatan seterusnya mendapatkan hak milik tanah daripada kerajaan. Namun demikian, perbuatan berdamping dengan makhluk halus seperti Jin, Halo, Plesit, Hantu Raya dan sebagainya amat dilarang dalam islam. Oleh sebab itu, ayah aku tidak memiliki benda-benda tu tapi dia mengamalkan membaca ayat-ayat suci al-quran serta sedikit petua daripada orang-orang tua.

Dalam hutan memang banyak makhluk sebenarnya yang tinggal kat situ terutamanya hutan dara. Oleh sebab itu, kita kena berhati-hati. Oleh sebab masa dulu rumah aku dikelilingi oleh hutan, mak aku selalu pesan kat anak-anaknya supaya balik rumah sebelum maghrib kalau keluar bermain-main, sebab pada waktu senja iblis berkeliaran. Kalau nak keluar buang air besar kat luar rumah kalau malam-malam hari, mak aku suruh pegi berteman. Jangan pegi sorang-sorang takut ada apa-apa perkara buruk berlaku. Maklumlah rumah kampung mana ada tandas dalam rumah, semua tandas kat balik-balik pokok atau dalam semak di sekeliling rumah. 




Orang asli kat dalam hutan pun ada pantang larang dia. " Bila masuk hutan, perlu diingat empat perkara. Pertama adalah hubungan sesama manusia. Kedua, hubungan manusia dengan haiwan. Ketiga, hubungan kita dengan alam sekitar dan hubungan dengan semangat yang menjaga hutan serta segala isinya"

Kat dalam hutan, kita dilarang keras daripada bercakap besar terutamanya cabar mencabar binatang-binatang buas kerana terdapat sesetengah binatang yang sangat peka deria dengar mereka. Hal ini membuatkan binatang tersebut berdendam dengan kita dan menunggu peluang untuk mengajar keceluparan mulut kita. Antara binatang yang dimaksudkan seperti pak belang, sang belalai, babi tunggal, buaya dan lain-lain. Mak aku cukup marah kalau aku bersiul-siul sambil berjalan kat dalam hutan sebab katanya kita memanggil hantu langsuir mendampingi kita. Binatang-binatang halus seperti ular berbisa juga suka ikut orang yang bersiul.Kalau kita berjalan-jalan kat tepi sawah padi yang bersempadan dengan hutan, kita dilarang daripada menggunakan lampu suluh berterusan bila berjalan waktu malam sebab ular katam tebu suka ikut cahaya lampu. Kalau boleh kita matikan lampu kemudian buka sekejap kemudian matikan semula begitulah seterusnya sehingga kita sampai ke destinasi.

Kalau kita nak berburu kat dalam hutan pun ada banyak pantang larang yang kita mesti tahu. Ayam Hutan, Burung Wak-Wak dan Burung Sitar ada penunggu sebenarnya. Kalau kita tidak bernasib baik, demam tak kebah kita dibuatnya. Orang asli percaya, kalau kita berburu haiwan bunting, kelak kita akan mendapat musibah. Kalau kita pergi berburu secara berkumpulan, dilarang sama sekali berpecah seorang-seorang. Biasanya ada makhluk halus yang boleh menukarkan kita sebagai binatang buruan yang menyebabkan rakan kita memburu rakan sendiri. Sebelum membidik sasaran, ada doa-doa tertentu sebenarnya.


Memburu binatang di dalam hutan ada juga pantang larangnya.

Kalau kita terserempak dengan binatang buas secara tidak sengaja, renung matanya kemudian baca "salamu alaa nuhim, fil alamin, innakahamii dun majidd". InsayaAllah, binatang tu tak berani bertentang mata dengan kita kemudian lari meninggalkan kita. Kita juga boleh melaungkan azan dengan kuat sekiranya kita diganggu oleh makhluk halus atau terserempak dengan binatang liar yang cuba hendak menerkam ke arah kita. Sekiranya kita berjalan di dalam hutan, seeloknya jangan berpecah atau jalan sorang-sorang sebab iblis boleh ganggu kita dengan menutup pandangan kita. Hal ini menyebabkan kita melalui jalan yang tidak sepatutnya dan akhirnya kita tersesat di dalam hutan. Kalu kita terasa dah tidak ketemui laluan asal, jangan terus berjalan sebaliknya berhenti sekejap kemudian laungkan azan sebab iblis telah menganggu kita. Bila iblis dah lari, kita akan temui kembali laluan yang sepatutnya.

Kat dalam hutan, kita jangan melaung-laung memanggil-manggil nama kawan kita kerana ada makhluk lain yang akan menyahut dan berupa menjadi kawan kita lantas mangajak kita ikut dia. Dia akan bawa kita ke jalan yang salah seterusnya membuatkan kita tersesat.Kalau kita terjumpa sesuatu benda yang aneh dan bercahaya di dalam hutan, jangan ambil bawa pulang nanti kita diganggu. Jenuh kita nak kena pegi letak balik kat tempat asal. Orang masuk hutan digalakkan bawa wisel. Kalau tersesat, tiup wisel kuat-kuat bagi memudahkan pasukan mencari mendapat petunjuk. Kalau tersesat dalam jangka masa yang lama, cuba cari punca air untuk mendapatkan air tapi jangan tidur berhampiran dengan gigi air sebab banyak bahaya sebaliknya tidurlah di celah-celah batu kerana itu lebih selamat.

Kat dalam hutan, kita jangan buang air ikut suka hati sebaliknya pastikan tempat yang kita buang itu di tempat yang bersemak sikit. Tidak di tempat yang licin dan lapang serta bersih takut kita terbuang di perkampungan makhluk Allah lain yang kita tidak nampak. Seeloknya mintak izin sikit, "tok, anak cucu nak tumpang buang air sikit tok, dah tak tahan sangat" lepas buang " terima kasih ya". Mudah-mudahan kita tak terkena sebarang musibah.Kalau kita terpandang sesuatu yang pelik, tak yah lah tegur.. diam saja. Buat tak tahu atau buat-buat tak nampak.

Kalau kita nak bermalam kat dalam hutan dan dah ada tempat untuk pasang khemah, seeloknya pagarlah sikit kawasan perkhemahan kita tu dengan bacaan ayat-ayat suci. Ayah aku ajar suruh baca Al-Fatihah 3X, Kulhuawallah 3X, Inna Anzalnaa 3X, Alain Nasrah 3X, Alamtarokaifafaala 3X. Baca setiap ayat di atas di setiap penjuru dan tabur dengan batu atau ranting-ranting kayu di sekeliling kawasan perkhemahan kita. InsyaAllah, kita dapat tidur dengan lena tanpa gangguan. Tak payah bergilir-gilir sentri malam.

Di tengah hutan, kita dilarang bersuka ria dan bertawa hilai berlebih-lebihan. Orang tua kata, biasanya suka bertemu duka. Beringat-ingat sebelum kena adalah lebih baik. Bila dah habis berkhemah, bersihkan tempat seelok-eloknya. Sisa-sisa makanan lebih baik timbus kat dalam tanah. Sampah-sampah plastik lebih baik bawa balik semula atau bakar dengan sempurna di satu tempat khas. Jangan tinggalkan makanan yang lebih terutamanya pendaki gunung yang nak ringankan beban. Ada satu kisah yang aku nak kongsikan bersama. Cerita ni aku dapat hasil pengalaman daripada salah seorang pendaki yang mendaki gunung bersama-sama aku.
Dalam satu kumpulan pendaki seramai lebih kurang 15 orang telah mendaki gunung ( tah, tak ingat dah ) pada bulan disember kat Terengganu (Gunung Berembun kot). Masa perjalanan naik mereka terpaksa melintas sungai. Masa naik ok je, tak de masalah. Mereka bermalam kat puncak. Pada malam tu hujan turun agak lebat, maklumlah musim tengkujuh. Oleh sebab banyak pakaian sudah basah, maka beg mereka menjadi lebih berat. Jadi, untuk meringankan beban, mereka telah tinggalkan makanan mentah yang tak habis dimasak seperti beras, sardin, ikan kering dan sebagainya kat atas puncak gunung dengan harapan pendaki lain boleh guna. (Sedekah la konon). Satu hari bergerak turun dalam keadaan yang sukar akibat sepanjang perjalanan turun kumpulan mereka ditemani oleh hujan lebat. Tenaga masing-masing sudah mula out terutamanya pendaki wanita. Tiba di tepi sungai, mereka tak boleh nak menyeberang akibat air sungai terlalu besar. Mereka terkandas di situ. Ketua kumpulan mengarahkan mereka bermalam kat situ sementara menunggu air kembali surut tapi hujan tak berhenti-henti. Semua makanan sudah kehabisan dan mereka dalam kelaparan serta kesejukan. Nak buat unggun api, tak boleh nyala. Nak masak tak ada bahan mentah. Mereka mula menyesal tak sudah sebab tinggalkan makanan kat atas gunung tadi. Masing-masing membodohkan diri sendiri. Ketua kumpulan cuba memujuk supaya beberapa orang pendaki naik semula kat puncak untuk mengambil semula makanan yang ditinggalkan. Namun semua pendaki dah tak sanggup naik semula sebab dah tak daya dan kehabisan tenaga.Mereka berkumpul kat tepi sungai tu tunggu bantuan tiba. Roti dan coklat yang masih berbaki, dibahagi-bahagi secubit seorang untuk alas perut. Kat sinilah kita boleh nampak kawan sejati atau kawan sekadar kawan. Ada dalam kalangan pendaki yang mempunyai sedikit makanan, tetapi makan sambil sorok-sorok sorang diri. Sayang nak berkongsi rezeki dan sanggup melihat rakan lain kelaparan. Ada pendaki jumpa coklat sebiji pun kat celah-celah poket beg khabar kepada semua orang. Siapa-siapa yang dah benar-benar tak tahan makan aje coklat tu. Ada yang menyalahkan kawan lain sebab ajak dia ikut serta XPDC ni. Dan ada yang bertobat tak nak ikut lagi untuk mendaki. Dah serik gamaknyaaa.. Semua itu dugaan pendaki dan pentas yang paling sesuai untuk kita kenal kawan. Susah sama-sama, senang sama-sama. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.
Pendekkan cerita, semua yang terkandas berjaya dibawa keluar dengan bantuan pasukan bomba dan Renjer Hutan. Mereka dibawa menyeberang menggunakan tali, tapi semua beg ditinggalkan kat situ. Bila air surut nanti bolehlah datang ambil semula kalau masih tak hilang. 

Aku, kalau mengikuti XPDC mendaki gunung, lebih senang follow otai-otai gunung. Mereka cukup profesional dan berdisiplin. Sebarang sampah sarap mereka bawa turun semula dan tidak buang merata-rata. Pembungkus gula-gula pun mereka masuk poket dan tak jentik buang merata. Mereka juga kebanyakannya tidak merokok. Kalau mereka terjumpa sampah yang pendaki lain buang, mereka ambil masuk karung plastik mereka. Mereka juga jenis orang yang tak tinggal pendaki yang paling terkebelakang. Mereka cuba bagi semangat dan papah pendaki-pendaki yang dah tak berdaya. Setiap kali sampai ke tempat perhentian, mereka akan pastikan semua ahli ada, barulah bergerak naik atau turun semula.


Salah seorang pendaki Otai.. Abang Mat Noor Raja Kinabalu.  Pendaki Gunung Kinabalu sebanyak 118 kali dalam masa 118 hari.
Ni sorang lagi OTAI gunung. Abg APIP orang kuat OGKL

Aku pernah mendaki bersama group student universiti. Sepanjang pendakian penuh dengan hilai tawa. Ada sesetengah tu bercouple-couple. Tempat trek yang rata pun berpimpin-pimpin tangan. Bukan jelous tapi nyampah tengok. Ada sesetengah tu nak tunjuk mancho dan hebat, laju je tinggal kawan-kawan jauh kat belakang. Tak de disiplin pulak tu, ada betina gedit yang merokok. Pembalut-pembalut coklat dan botol-botol 100 plus main baling-baling cam tu aje. Tak de feel mendaki dengan dia orang. Sembahyang jauh sama sekali. Sepanjang perjalanan tak pernah tengok mereka sembahyang. Kalau terjumpa punca air, mereka terus mandi dan main pancut-pancut air macam budak-budak. Kat tapak perkhemahan pulak, mereka menyanyi dan berseronok. Kalaulah nasib tak baik ada peserta wanita terkena histeria, aku konfirm, tak de seekor pun yang tahu nak settle. Mu tengok aku, aku tengok engkau aje lah. Tunggu yang disampuk tu pulih sendiri.

Sebenarnya, apa yang aku paparkan ini hanyalah apa yang aku kutip pengalaman dan amalan orang-orang tua. Kalau tak ikut pun tak de masalah kalau dah tak nak berlaku. Ada orang tak pakai apa-apa petua pun, main ikut redah je masuk hutan tetap selamat pergi dan selamat pulang. Tapi lebih baik kita ada pendinding kerana sekurang-kurangnya kita beringat-ingat semasa berada di tempat yang asing bagi kita. Situasi yang kita tak jangka akan berlaku, boleh berlaku secara tiba-tiba. Dalam memenuhi minat kita, adalah lebih baik kita mengentahui sesuatu lebih daripada orang lain dan kita ajar pula ilmu kita tu pada orang lain. Kata pepatah melayu ' beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis' , sediakan payung sebelum hujan. 

3 comments: