SIRI KISAH SERAM 1 –
TOK AYAH AWANG
‘ Ringggggggggggg!!! ‘ loceng
‘gila’ berdering panjang menandakan tamat waktu sekolah pada hari terakhir minggu ni. Aku
yang sedari awal sudah mengemas buku-buku dan alat-alat tulis masuk ke dalam beg
mencapai beg sekolahku dan terus berlari keluar dari kelas sebaik saja
cikgu Zakaria meninggalkan kelasku. Aku perlu lekas balik ke rumah sebab malam
ni aku, Hadi, Mamat dan Kana ada misi yang harus disempurnakan bagi memenuhi
hobi kami berempat.
Selepas balik daripada mengaji quran, kami terus membahagikan
tugas. Aku dan Mamat persiapkan 50
batang joran. Pastikan tali tasi joran tidak kusut dan berbelit-belit sesama
sendiri. Aku perlu susun joran-joran tu dengan teratur dan ikat dengan kemas
agar mudah untuk kami ambil dan pasang satu persatu. Hadi dan Kana ditugaskan
menggali cacing gelang untuk dibuat umpan.
Selepas sembahyang asar, kami terus mencapai
peralatan-peralatan yang perlu dibawa dan laju menuju ke destinasi. Lokasi kami
pada kali ni ialah lubuk ikan di tengah sawah di kampung Kepala Bendang. Sebaik
saja sampai, aku sangat teruja melihat tempat ni. Dalam hati aku berkata “ wah!
Molek benar tempat ni, sudah tentu aku akan dapat banyak ikan”. Lubuk ikan
tersebut dikelilingi oleh pokok-pokok sagu (rumbia) dan pokok mengkuang. Air
lubuk tersebut agak gelap dan kehitaman sedikit. Aku yakin lubuk tersebut
dihuni oleh ikan keli, toman, haruan dan tapah. Di sebelah kiri dan kanan lubuk
tersebut pula terbentang luas sawah padi yang menjadi habitat kepada ikan
haruan dan puyu. Memang strategik tempat ni untuk dipasang tajul. Selalunya
mengikut pengalaman aku, kalau tempat yang cantik macam ni tidak kurang satu
karung aku akan bawa balik hasil tangkapan untuk dijadikan lauk.
Tanpa membuang masa, Hadi terus mengatur strategi. Kami
berpecah kepada dua kumpulan. Aku dan Mamat pergi pasang tajul di lubuk sebelah
kanan, manakala Hadi dan Kana pasang tajul di sebelah kiri lubuk. Aku bahagian
pasang umpan manakala Mamat tebas pokok-pokok renek buat laluan dan buat
lapang. Aku pasang satu persatu dalam jarak dua meter setiap satu joran. Di samping tu, dalam sawah
juga aku turut pasang berselang seli. Satu jam kemudian, kami pun siap memasang
semua joran yang dibawa. Aku berasa tidak sabar untuk menyusul melihat
ikan-ikan yang sudah mengena. Sambil menunggu untuk melihat hasil tajul, Kana
dan Mamat melastik buah-buah sagu untuk dimakan. Buah sagu rasanya manis dan
amat kelat atau kelat-kelat manis. Kalau makan terlalu banyak boleh tercekik.
Sampai masanya, Hadi mengarahkan kami agar segera untuk
menyusul kerana hari sudah hampir gelap. Kami menyusul secara berempat dan
tidak berpecah. Satu persatu tali joran kami angkat. Yang dah habis umpan, kami
bubuh semula. Untuk round pertama
memang ada hasilnya. Kami dapat bawa naik 4 ekor haruan dan 1 ekor ikan keli
lembut. Umpan-umpan yang dipasang juga banyak yang terusik. Tak menang tangan
aku menambah kembali umpan-umpan yang sudah dikutis. Hal ini membuatkan aku
yakin bahawa kami akan membawa pulang hasil yang lumayan.
Azan maghrib dari masjid di depan rumah Kak Long sudah
berkumandang. Kami bergegas menunaikan solat maghrib. Kami berwudhuk
menggunakan air sawah saja dan sembahyang dengan berlapikkan guni baja. Sebelum
solat, kami pastikan tiada darah yang mengalir keluar dari dalam tubuh kami
akibat perbuatan pacat dan lintah. Selepas semuanya selesai solat maghrib, kami
makan bekalan yang dibawa untuk mengalas perut. Aku membawa sebungkus nasi
berlaukkan ikan masin dan sedikit budu. Kami makan begitu berselera sekali.
Sambil-sambil makan, sempat juga aku
hulurkan tangan untuk jemput sedikit
lauk dari bungkusan nasi milik Kana. Lauk dia best-best. Ada daging dan ada
juga peha ayam. Mak Kana iaitu kak Kiah seorang pengusaha kedai nasi kat
kampung aku. Sudah tentu bungkusan nasi milik Kana mewah dengan lauk yang
lazat-lazat.
Selepas makan, kami menyusul untuk kali yang kedua. Aku dah
tak sabar untuk melihat ikan-ikan yang tersangkut kat mata joran. Satu persatu
kami angkat tali joran untuk melihat hasilnya tapi tidak seperti yang pertama tadi.
Boleh dikatakan hampir semua tali joran kendur tapi yang peliknya semua umpan
yang disangkut kat mata joran licin dan tidak bersisa. Yang tinggal hanya dawai
aje. Biasanya umpan walaupun habis dikutis oleh ikan tetapi tetap ada tinggal
sisa walau sedikit kat mata joran, tetapi yang ni pelik. Dahlah semua joran
kehabisan umpan, licin pulak tu tak bersisa kat mata joran. Tak menang tangan aku dan Mamat memasang
kembali umpan-umpan tersebuat.
Menyusul pada round yang kedua memang menghampakan.
Seekor ikan pun tak dapat. Aku dah mula
rasa tak sedap hati kerana tidak mungkin tak dapat ikan walau seekor kerana
mengikut pengalaman luas aku dalam bidang memasang tajul, kebiasaannya waktu
lepas maghrib ikan-ikan begitu galak memakan umpan dan hasil memang banyak pada
waktu ni. Nak kata tempat ni tak ada ikan, itu tak mungkin sebab aku yakin
tempat ni adalah lubuk ikan. Sebaik saja sampai ke pondok rehat , kami berempat
berpandangan sesama sendiri seolah-olah tidak percaya dengan apa yang telah
terjadi. Sambil menjulang karung ikan Hadi cuba menyedapkan hati kami “ tak
pe.. dia nak main kita, Jap lagi penuh la karung yang kita bawa ni dengan
spesis ikan-ikan idaman kita iaitu keli lembut dan ibu bapak haruan sebesar
betis.”
Setengah jam kemudian, kami menyusul lagi untuk round yang
ketiga. Satu lagi kejadian pelik berlaku. Kalau tadi semua umpan licin yang
tinggal cuma dawai saja, tapi kali ni semua umpan tak diusik. Setiap mata joran
umpannya tak dikutis langsung. Sekali lagi kami hampa tetapi perlu banyak bersabar.
Kami tak mahu berprasangka buruk dan kami anggap masih tak ada rezeki. Selepas
kedengaran azan isyak, kami tanpa berlengah terus ambil wudhuk untuk menunaikan
solat fardhu isyak walaupun dalam keadaan yang tidak selesa. Selesai solat
isyak, kami bersembang sambil makan
kuaci. Sedang asyik bersembang tiba-tiba lalu sebuah motosikal penduduk kampung
Kepala Bendang yang baru pulang dari masjid. Melihat saja kumpulan kami, pakcik
tu memberhentikan motosikalnya di tepi kami.
Pakcik: “ tahan tajul ke nak?”
Hadi : “ Ak ah.. ya kami tahan tajul”
Pakcik: “ tahan kat
mana?”
Hadi “ Kat lubuk dalam pokok sagu tu”
Pakcik: “ Laaa.. tempat tu keras sikit nak. Penduduk sini pun
tak de yang berani tahan tajul kat situ. Tak de orang kasi tahu ke? Anak-anak
ni anak sapa?”
Hadi: Saya nga dia (
tunjuk kat aku ) anak Cik Soh Jabat Bukit Bertam, Ni sepupu saya ( tunjuk kat
Mamat ) yang ni pula ( tunjuk kat Kana )
anak Che Hassan kedai nasi.
Pakcik : Eh, baru jap sakni pakcik jumpa ayah kamu kat
masjid. Cik Soh tak bagi tahu ke? Dia tahu tak kamu datang tahan tajul kat
sini?
Hadi : Dia tahu kami pasang tajul malam ni. Tapi ayah tak
tahu kami pasang tajul kat tempat ni.
Pakcik : “Dapat tak ikan?”
Hadi : “ tuuu, baru dapat 4 ekor. Tu pun yang sangkut petang
tadi. Yang malam ni belum dapat hasil lagi.
Pakcik: “Baiklah.. hati-hati sikit. Kalau ada apa-apa baca la
4 Qul. Jangan lupa baca ayat-ayat Kursi sekali. Hujan pun dah mula turun,
pakcik balik dulu.”
Hadi: “Terima kasih pakcik “
* Dialog ni telah
ditukar daripada dialek Kelantan ke bahasa standard
Sebenarnya kampung Bendang Keladi ni adalah jiran kampung aku
iaitu kampung sebelah. Jadi kami pun tak tahu mana-mana tempat yang berpuaka
atau tempat larangan. Tetapi kebanyakan budak di kampung ni bersekolah sama
dengan budak-budak kampung aku. Sebaik saja aku tahu tempat yang aku tahan
tajul ni agak keras, aku sudah mula gubra. Tapi Hadi ni jenis orang yang keras
semangat. Sekali lagi dia mengarahkan kami supaya bersiap untuk menyusul buat round yang keempat.
Hujan sudah turun renyai-renyai. Bulan dan bintang langsung
tidak menampakkan sinarnya akibat ruang angkasa kampung Bendang Keladi dilitupi
oleh awan tebal. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 9.45 malam. Bekal-bekal
sudah banyak yang luak dan yang tinggal cuma gula-gula sahaja lagi. Nyamuk dan
pacat semakin mengganas mengorek dan menyedut keluar darah dari dalam badan
kami melalui liang-liang roma kami. Situasi hujan renyai dan bulan gelap macam
ni memang amat sesuai untuk memasang
tajul kerana ikan-ikan begitu galak memakan umpan.
Kami berjalan berpasangan menuju ke lubuk tempat kami
memasang tajul. Aku berjalan beriringan dengan Hadi di hadapan. Hadi memegang lampu picit, aku memegang tin
milo yang berisi umpan, Mamat memegang karung ikan dan Kana memegang
parang. Batang tajul pertama yang kami
angkat tidak membuahkan hasil. Umpan habis licin tetapi hasilnya tiada. Mamat
menemaniku memasang umpan. Hadi terus berjalan ke depan mengangkat satu persatu
tasi tajul. Blup! Plop! Plop..plop..plop..
Bunyi kocakan air lubuk tak henti-henti menandakan ikan-ikan begitu banyak
berada di dalamnya.
Seketika… Blup!..Blupp!.. bunyi salah satu tajul aku yang di
belakang. Aku terus memanggil Hadi supaya menyuluh salah satu joran yang
berhampiran dengan aku. Sebaik cahaya
lampu ditujukan kepada salah satu joran yang berbunyi kuat, kami dapat melihat
dengan jelas batang joran yang tenggelam timbul di permukaan air seolah-olah
ditarik oleh Haruan yang beratnya antara 2 hingga 3 kilo. Hadi terus mencapai
batang joran tersebut dan cari talinya. “ cisss…. Dah terlepas” kata Hadi. Seketika bunyi pula kat depan sana selang
tiga joran. Hadi terus menuju ke tempat tu. Situasi yang sama juga berlaku.
Batang joran ditarik ‘ikan’ bagai nak patah. Hadi pantas menyambar batang joran
tersebut tetapi sekali lagi “ ciss.. celaka, terlepas lagi.” Tapi aku sudah
rasa tak sedap hati. Umpan tak terusik langsung macamana ikan boleh terlepas. Aku Cuma berdiam diri
saja tak cakap apa-apa.
Kami berjalan lagi menuju ke depan. Tiba-tiba di belakang
kami bunyi kocakan air yang agak kuat seperti ada lembaga terjun ke dalam
lubuk. Jantungku berdegup kencang. Peluh dingin mula keluar dari segenap
liang-liang romaku. Mulutku terkumat-kumit membaca ayat-ayat kursi. Hadi
menyuluh ke arah bunyi tersebut. Kelihatan salah satu batang joran
membedal-bedal permukaan lubuk seperti tersangkut ikan toman sebesar peha. Hadi
cuba untuk mencapai batang joran tersebut dan mendapatkan talinya. Apabila tali
diangkat naik, wah! Umpan sikitpun tidak terusik. Wajah Hadi mula berubah, dia membisikkan
ke telingaku “ kita dah kena main, Jom balik sekarang”. Tanpa berlengah lagi, kami pantas berjalan
melewati batas-batas padi menuju ke tempat rehat. Sekali sekala kakiku
terjerlus ke dalam petak sawah. Selipar jepunku terperosok jauh terbenam ke
dalam selut. Aku biarkan selipar jepunku itu terus tertanam di dalam selut
tersebut. Aku perlu cepat meninggalkan tempat berpuaka tu.
Selepas semua barang penting sudah diambil, kami terus
berjalan pulang. Dalam perjalanan pulang, kami masing-masing diam membisu.
Berjalan dan terus berjalan tanpa menoleh kiri dan kanan. Aku berjalan agak
terkebelakang dan terhincut-hincut sebab terpaksa berkaki ayam . Kedua-dua
belah selipar ku tinggalkan tertanam di dalam selut dalam petak sawah. Perjalanan kami semakin pantas semasa
melewati tanah perkuburan. Di sebelah tanah kubur adalah tanah tinggalah arwah Pok Man Kudung
yang terbair dan dipenuhi hutan-hutan renek yang mengerikan. Tidak ada rumah
penduduk di kawasan ini. Sebab tulah penduduk kampong Bendang Keladi tak ramai
yang berani keluar malam untuk ke pekan.
Semasa melewati tanah perkuburan tu, naluriku begitu kuat
untuk menoleh ke arah satu kubur yang masih baru iaitu kubur Tok Ayah Awang
dari kampung Pelain. Aku cuba sedaya-upaya menahan mukaku daripada menoleh ke
arah kubur itu tetapi tidak berdaya seolah-olah ada daya tarikan graviti. Di
atas pusara Tok Ayah Awang, aku seolah-olah melihat ada satu lembaga yang
sedang bertafakur . Bulu tekukku mula meremang tapi aku terus berjalan tanpa
mempedulikannya. Sambil langkah mengatur gerak, berkali-kali aku menoleh ke
arah kubur itu dan setiap kali aku menoleh, kedudukan lembaga itu berubah-ubah.
Ah, mungkin itu adalah mainan perasaan. Aku cuba memujuk hati aku sendiri.
Hati aku berasa lega apabila sudah sampai ke jalan besar.
Kereta yang lalu lalang di atas jalan besar membuatkan aku tak takut lagi. Kana
sudah selamat sampai ke rumahnya kerana rumah Kana berada di tepi jalan besar.
Aku, Hadi dan Mamat perlu masuk jauh ke
dalam lagi melalui satu lorong jalan kampung yang sempit dan dipenuhi semak
samun di kedua-dua belah sisinya kerana rumah aku berada agak jauh di
pedalaman.
Tidur malam tu aku tak dapat lelapkan mata. Bukan situasi
yang berlaku di lubuk yang membuatkan aku tak dapat tidur, tetapi fikiranku
melayang memikirkan apakah realiti apa yang aku lihat di atas kubur tok Ayah
Awang tadi. Setahu aku Tok Ayah Awang adalah dukun patah dan tukang urut yang
tersohor di seluruh daerah tempat tinggal aku.
Dua tiga hari kemudian, heboh dipertuturkan oleh penduduk
kampung terutamanya di kedai kopi kak Kiah mengatakan ada penduduk terserempak
dengan Tok Ayah Awang merayau-rayau kat dalam kampung. Penduduk yang masih tak
tahu kematian Tok Ayah Awang sempat bertegur sapa lagi dengan Tok Ayah Awang
semasa mereka bertemu secara tidak sengaja. Mak Aku kata, Tok Ayah Awang ada
bela hantu raya dan Halo buat pendamping. Tetapi selepas kematiannya, tidak ada
keturunan yang mahu mewarisi belaan Tok Ayah Awang tersebut kerana Tok Ayah
Awang tidak mempunyai isteri dan Anak. Jadi, belaan Tok Ayah Awang terbiar dan
merayau-rayau. Sama ada benar atau tidak cerita orang-orang kampung dan cerita
mak aku tu, aku pun tak mahu ambik kisah. Tetapi situasi yang aku hadapi dan
alami itu benar-benar berlaku dan aku dapat ingat dengan jelas sampai sekarang.
Kat tengah sawah ada satu lubuk ikan tapi sayang rupanya tempat tu keras. |
Kalau nak balik, mesti melalui tanah perkuburan yang jauh daripada rumah orang |
No comments:
Post a Comment