Sunday, 13 October 2013

KOLEKSI PENGALAMAN UNTUK DIKONGSI - EPISOD 4

EPISOD 4 - Menghadiri Kursus Kemahiran Anjuran Bersama MARA, KESEDAR dan PERDA

Waaa.. ramai juga yang ikuti kisah aku dalam entri aku jadi mat thrash.. ada kawan aku bagitahu " Dashyat kau Din bila baca blog kau, penuh enjoy ko punya life masa muda-muda. Tak sangka you punya brutal tahap gaban" 

Eh tak de lah.. orang lain lagi teruk. Aku ni kira biasa-biasa aje. Bila Kuala Lumpur dah kenal kita, macam-macam boleh jadi. Perangai nakal masa muda itu biasa sebab naluri keremajaan nak cuba apa yang dia rasa sesuatu yang mencabar dan yang baru baginya. Bagi pendapat aku laa..Nakal dulu.. kemudian jadi baik, itu jauh lebih elok daripada baik dulu kemudian jadi nakal. pepatah ada mengatakan 'Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan'. Ramai juga orang yang masa muda-muda dulu suka berjudi, minum arak, merompak, menyamun kemudian berubah jadi Ustaz.  Ustaz Akhir Hai, Ustaz Azhar Idrus dan beberapa orang ustaz lagi aku dengar cerita masa muda dulu pun lebih kurang hebatnya. Tu laa aku dah kata 'Pengalaman Perlu Dicari, Bukan Boleh Dibeli'.Kalau ada orang nak beli pengalaman aku pun, aku tak nak jual hi..hi..

Yeahh.. mulai hari ni aku cuti 4 hari sempena raya haji. Oleh sebab raya kedua dah kerja, maka ni kira kali yang ke-7 aku tak balik kampung masa raya haji sepanjang aku hidup. So.. masa cuti yang panjang ni bolehlah aku siapkan sekuel kisah hidup aku untuk tiga episod lagi. Ni aku nak sambung lagi rentetan pengalaman yang aku kutip dalam melayari perjalanan hidup yang penuh berliku dan beranjau ini. Sila baca sampai habis yee sebab lagi jauh aku berstory, lagi menarik kisah hidup aku.

Legasi thrash aku diteruskan bila aku mula merekrut kawan-kawan sekampung supaya minat muzik thrash metal seperti aku.Tanpa rasa bersalah, budaya kuning dari barat ni aku terapkan ke dalam jiwa anak-anak muda yang masih berbaki ( belum keluar ke mana-mana ) dan belum lagi menerima kehadiran benda-benda baru di kampung aku. Selama hampir sebulan aku berada di kampung, beberapa orang kawan aku sudah mula pakai baju hitam bergambar tengkorak dan salib terbalik beserta dengan tulisan nama kumpulan-kumpulan Black Metal. Bahkan sudah ada yang menggelarkan diri mereka dengan panggilan yang ada kaitan dengan thrash seperti Lie Slash, San Thrash, Mat Yie Sabbat, Mat Jue Death dan sebagainya.Ada yang datang rumah aku untuk pinjam baju thrash aku kemiudian pakai untuk buat style. Nak tunjuk dia dah moden la konon.

Satu hari masa aku dok lepak kat kedai kopi dengan geng-geng sekampung, seorang pegawai KESEDAR yang menyewa kat kampung aku mempelawa anak-anak muda kampung aku yang tak bekerja untuk mengikuti kursus kemahiran di Pusat Giat Mara dibawah tajaan KESEDAR. Kalau pegi kat situ, pelatih akan dapat 3 elaun iaitu MARA, KESEDAR dan PERDA. Orang pertama yang mendaftar diri ialah aku sebab sebulan tinggal kat kampung sudah jemu rasanya. Aku ingatkan kawan-kawan aku akan follow aku, tapi sangkaan aku meleset sebab tak de seorang pun yang berminat untuk mengikuti kursus tu. walau bagaimanapun, itu semua tidak bisa mematahkan semangat aku sebab kawan kat mana-mana pun ada. Kita boleh cipta kawan baru.

Dipendekkan cerita, sampai masa pendaftaran akupun pergilah ke Seberang Prai, Penang dengan menaiki van KESEDAR. Kami pergi 20 orang kesemuanya. Dalam daerah aku cuma 3 orang sahaja anak muda yang berani menyahut cabaran ini, Selebihnya itu adalah anak-anak muda dari tanah rancangan KESEDAR Gua Musang. Pusat Giat Mara Bukit Panchor, Nibong Tebal Seberang Prai Selatan itulah tempat aku bakal mendalami ilmu pertukangan dalam jurusan binaan bangunan. Base aku adalah intake pertama sebab pusat ni baru beroperasi. Cuma 3 kursus yang ditawarkan kat tempat ni iaitu Kursus  Kimpalan, Pertukangan kayu dan Binaan Bangunan. Selama Enam bulan aku menjadi pelatih kat sini yang dipecahkan kepada dua bahagian iaitu 3 bulan teori dan 3 bulan praktikal. Pengambilan untuk setiap sesi cuma terhad kepada 200 orang sahaja termasuk anggota tentera yang hampir bersara iaitu kursus kemahiran yang diberikan khas kepada anggota tentera sebagai persediaan kerja yang boleh dilakukan apabila mereka bersara nanti.

Kat sini aku bukan saja menerima tunjuk ajar yang berkaitan dengan bidang kursus yang aku pilih saja, bahkan setiap pelatih wajib mengikuti kursus-kursus lain yang dianjurkan oleh pelbagai Kementerian seperti menyertai Kem Biro Tatanegara, Kem Kepimpinan Belia, Kem Kemenjadian Insan dan pelbagai lagi kem. Perghhh.. memang tempat ni merupakan satu tempat untuk mentarbiah anak-anak muda supaya menjadi insan yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara. Macam-macam program yang dirancang. Ada yang amat menyeronokkan, membosankan, menginsafkan, dan ada juga yang mendera seperti mengikuti kem Biro Tatanegara. Macam-macam penderaan yang dilakukan tetapi akhirnya menjadi pengalaman yang amat manis untuk dikenang.

Satu pengalaman yang sampai sekarang aku tak boleh lupa semasa mengikuti Kursus Biro Tatanegara bila ada seorang kawan aku tu tak pam najis selepas dia melepas, bila jurulatih buat sport check masa PT pagi, semua pelatih dikerah untuk beratur dan calit najis tu sikit sorang dengan jari sehingga licin kat dalam mangkuk tandas tu. Kemudian pegi breakfast dengan najis masih melekat kat jari kiri. Selagi ketua jurulatih tak bagi arahan cuci, selagi itulah kami akan bawa najis dihujung jari tu ke mana-mana. Sesiapa yang ingkar atau basuh sebelum arahan diberikan, dia akan dimalukan di hadapan khalayak semasa perhimpunan nanti. Kem-kem ni biasanya dikendalikan 100% oleh komando, maka cara penderaan juga ala-ala komando. Yang aku heran, semua komando yang mendera tu kalau hari biasa memang kawan baik sebab mengambil kursus yang sama dan makan pun kat kantin yang sama, tapi bila diberi kuasa untuk menjadi fasilitator masa Kem dijalankan, watak mereka masing-masing terus berubah menjadi watak sangat garang dan tak de nak kompromi.Kalau menguap masa kawad, biasanya rahan yang diberikan ialah keluar baris kemudian pegi ceduk air longkang buat cuci muka.

Kursus Biro Tatanegara ni lama sikit iaitu 5 hari. Pada hari pertama pendaftaran, setiap pelatih diberi sebiji telur ayam yang telah diwarnakan mengikut nama kumpulan. Kami diamanahkan untuk menjaga telur ni jangan kasi pecah sehingga tamat kursus. Telur ni ibarat nyawa. Ke mana saja kita pergi perlu dibawa walaupun nak ke tandas. Jurulatih sentiasa merayau mencari telur-telur yang ditinggalkan. Kalau dapat kat dia, telur tu akan dirampas. Sesiapa yang telurnya pecah, atau hilang atau telah dirampas akan didenda. Satu bata blok akan dikalungkan kat leher sebagai ganti telur. Ke mana saja pergi, pelatih tu kena kalungkan bata tersebut kat leher tak kira masa.  Baik semasa menghadiri ceramah, masa makan ke, masa kawad, masa tidur atau masa ke tandas pastikan bata blok tu terkalung kat leher. Kalau tak de.. Siap ko. Komando ni kepala gila sikit, tak makan saman. Mak ayah kita dia maki main-main aje. Boleh Merah telinga kita beb..

Satu hari tu, ada seorang pelatih tak sempat kemas tempat tidur sebab tergesa-gesa pergi PT (senaman pagi). Apabila jurulatih pegi buat sport check rutin, wahhh .. apa lagi. mengamuk gilalah jurulatih tersebut. Aku dah agak.. kalau jurulatih dah mengamok..alamat yang tidak baik pasti kami akan hadapi. Telahan aku memang tepat.. dengan suara yang macam halilintar, semua pelatih di arah berbaris di depan pintu asrama. Dalam masa satu minit, semua pelatih diarah untuk membawa kain cadar dan bantal ke padang kawad. Apa lagi, kami berebut-rebut masuk bilik menarik kain cadar dan memikul bantal dari tempat tidur masing-masing kemudian berdesup ke padang kawad dan terus masuk ke dalam barisan masing-masing. Sesiapa yang lewat pasti bala kedua bakal menanti.Selepas puas dimaki hamun, kami diberi penjelasan kenapa kami perlu berbuat demikian oleh ketua jurulatih, kami diminta untuk membalut tubuh dengan cadar dari kaki sampai ke kepala macam mumia. Tangan kanan mesti keluar dari balutan tu kemudian kami diminta menjunjung bantal dan buat satu barisan panjang. Di kawal oleh 5 orang jurulatih, kami berjalan keluar dari kem dan masuk ke kampung-kampung sehingga ke jalan besar. Semua mata memandang kami termasuk pengguna-pengguna jalan raya. Ada penonton yang tergelak dan ada yang terpingga-pingga kehairanan. Budak-budak bertempiaran lari melihat kumpulan barisan 'hantu pocong' memasuki kampung mereka sambil menjunjung bantal.Semasa berjalan, kami dilarang keras daripada bercakap atau gelak. 'Mulut kunci, mata celik, kaki melangkah, muka pandang depan'. Itu saja koman dia, sesiapa yang ingkar.. siap ko.. Komando tak makan saman.

Ni aku nak cerita pengalaman yang paling tragis yang aku alami sendiri. Pada hari terakhir kem, telah diadakan aktiviti jalan lasak di dalam hutan yang berpandukan kepada bacaan kompas (orienteering). Silap baca kompas memang sesat. Aktiviti ini kami lakukan dalam bentuk kumpulan yang dibentuk awal-awal lagi. Hanya ketua kumpulan saja yang diberi taklimat khas. Ahli-ahli kumpulan lain cuma bantu bawa barang. Setiap kumpulan dibekalkan dengan satu periuk. Pelatih-pelatih lain masing-masing diminta membawa satu pinggan dan satu cawan serta air minuman untuk kegunaan sendiri. Satu kumpulan demi satu kumpulan kami dilepaskan. Laluan memang sukar iaitu meredah bukit tinggi, merempuh onak dan duri serta lumpur. Ada kalanya kami terpaksa saling membantu terutamanya semasa memasuki laluan berlumpur yang melepasi paras lutut. Ada kalanya kami terpaksa berpaut pada akar-akar kayu dan melintasi duri rotan, duri pokok kelubi dan duri pokok salak. Dalam perjalanan, kami mesti melalui 5 check point. Kalau tak jumpa check point itu tandanya kumpulan kami sudah tersesat. Setiap check point kami mesti mendaftar diri dan menjawab beberapa soalan yang ditanya oleh fasilitator. Sampai di check point 3, kami diminta mencari bahan makanan ( ransum tentera yang disorok oleh jurulatih) dengan berpandukan arahan surat beracun yang diberikan semasa kat check point 2. Kalau tak jumpa, alamat kumpulan kami akan berlapar. Sebagai ketua kumpulan, akulah individu yang paling penting kat sini sebab semua arahan dalam bentuk bahasa orientering iaitu berapa sudut kita kena pusing, berapa langkah kita kena berjalan ke hadapan, ikut pusingan jam ke atau ikut lawan jam, arah barat ke, arah utara, ke arah selatan ke atau arah timur. Kita kena ikut panduan satu persatu. Kalau silap mesti barang tu tak jumpa. Ini komando punya kordinat ni. Mesti mau tepat punya.Barang tu ada yang dikambus dalam tanah, ada yang disangkut pada pokok dan kita kena panjat ambik dan ada yang disorok kat celah semak. Memang mencabar sikit dan perlu guna ketajaman mata dan akal berfikir. Bahan-bahan yang kita jumpa tu adalah apa yang akan kumpulan kita masak dan makan untuk lunch kat check point 4. Check point 4 berakhir kat tepi empangan yang cantik. Perghhh.. tenang sekali rasanya selepas penat meredah onak dan duri.

Masa kumpulan kami sampai, sudah ada beberapa kumpulan lain yang sudah terlebih dahulu sampai.Ada yang sudah mula memasak untuk makan tengahari. Aku pun turut megarahkan agar ahli-ahli kumpulan bersiap untuk memasak dan tukang masaknya tidak lain tidak bukan adalah aku sendiri. Dalam kantung ransum tu ada cukup lengkap dengan peralatan memasak termasuk makanan kepunyaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Ini aku sangat biasa. ( rujuk entri aku dalam pengalaman masa lalu ). Selepas kenyang makan, kamipun berehat laa.. aku bersandar kat sebatang pokok. Sebelah kaki berlunjur lurus dan sebelah lagi naikkan lutut. Memang santailahhh.. Tiba-tiba ada seorang kawan aku bergurau biawak, dia baling blok bata kepunyaannya kat atas peha aku tepat kena kat telur yang aku jaga selama ni dalam poket seluar track bottom yang aku pakai. Refleks aku tak pantas menyebabkan telur aku terpaksa pecah dengan cara tragis macam tu. Lendir telur tu mengalir masuk kat celah kelangkang aku terus mambasahkan seluar kecik aku. Perghhh,,, gila lah..kawan-kawan aku yang lain ada yang berair bijik mata tergelak sakan melihat situasi yang aku hadapi.Kalau kena kat korang sendiri mesti korang boleh bayangkan apa yang berlaku kat celah kankang korang. Itulah situasi aku pada masa tu.

 Perjalanan pulang aku ke Kem amat tidak menyelesakan. Rimas semacam dan kesan-kesan lendir telur tu yang melekat kat depan seluar tu, betul-betul kat situ nampak semacam jee ( korang paham-paham lee ye ). Tambahan pula seluar track yang aku pakai warnanya  blue black, lagilah jelas nampaknya.Bila sampai kat check point penamat iaitu dalam kem.. ketua jurulatih suruh ketua kumpulan lapor keselamatan ahli dan mohon serahkan telur setiap ahli. Dalam kumpulan aku yang seramai 10 orang tak ada seorangpun yang selamat telurnya. Semuanya serahkan bata blok, aku mampu serahkan kulit telur yang aku simpan sebagai bukti bahawa telur aku pecah pada masa kecederaan. Semua pelatih yang tak ada telur di asingkan ke satu tempat kemudian dengan suara yang lantang jerit kuat-kuat AKU BODOH!, AKU SENGAL! AKU BEBAL! AKU BANGANG! AKU TIDAK AMANAH! Sebanyak 10 kali setiap orang. Pelatih yang telurnya selamat cuma jerit sekali sahaja secara serentak  KAMI IALAH ORANG YANG AMANAH!.

Selain kursus Biro Tatanegara tu, aku juga ada mengikuti kursus kemenjadian insan. Kursus ni 2 hari saja dan lebih bersifat keagamaan. Dalam kursus ni amalan sembahyang berjemaah dan zikir dipraktikkan. Sebelum mendengar ceramah kita kena berzikir dulu Subhanallah walhamdulillah hi walaailaahaillalah wallahuakhbar sebanyak 33 kali. Habis ceramah pun kena berzikir.Penceramah yang dijemput bukan calang-calang ustaz, yang ada nama punya. Fasilatator juga penuh pengalaman dan bijak main psikologi. Kursus ni sangat berbeza dengan kursus-kursus yang lain. Kursus ni tak ada seronok, tak ada penderaan, tak ada game dan tak ada jungle trekking. Kursus ni sangat sesuai untuk bina insan supaya menjadi insan kamil yang bukan saja hormat kepada ibu bapa, bahkan menjadi manusia yang patuh pada suruhan agama. Mengikuti kursus ni banyak menyedarkan aku betapa terlalu banyak dosa yang aku lakukan sama ada terhadap ibu bapa dan kepada agama aku sendiri sebelum ini. Betapa kerdilnya aku rasa di sisi Allah jauh sekali untuk masuk syurga.. Illaa..illaa tulisfirdausi si akhlak, walaa akhwaa alaa naril jahimmmmi... 

Malam kemuncak kursus ni kami dikejutkan daripada tidur jam 3 pagi kemudian ambil wudhuk dan dikumpulkan di satu tempat yang sunyi sepi.. Bertemankan suara unggas kami mengalunkan zikir beramai-ramai yang semakin lama semakin mendayu-dayu. Ustaz yang incharge program ni pula dijemput khas dan sangat merdu alunan zikirnya sehingga menusuk kalbu. Antara selingan zikir tu adanya simulasi yang dilakonkan oleh fasilatator yang cukup bersedia dan padat dengan mainan psikologi untuk membangkitkan kesedaran dan keinsafan para peserta yang boleh membuatkan para peserta menangis terisak-isak. Rentetan daripada mengikuti kursus nilah yang banyak membuatkan aku berubah tapi bukan on the sport malah memakan masa sikit. Nanti aku ceritakan kemudian. Aku rasakan seolah-olah kursus yang aku ikuti ini adalah kursus pemulihan akhlak dan kursus yang jenis macam nilah yang aku cari-cari. Selepas tamat aktiviti menangis dan menjerit dengan penuh semangat berjanji untuk berubah, kami melakukan solat sunat tahjud dan sunat taubat.

Selama enam bulan lamanya aku berada di Pusat Giat Mara ni, bercampur dengan kawan-kawan dari pelbagai negeri dan daerah. Paling aku rasa matang bila selalu bercampur dengan abang-abang tentera yang bakal bersara yang turut sama menjalani latihan macam aku. Aku suka mendengar cerita pengalaman-pengalaman abang  komando yang hidup survice di dalam hutan semasa melakukan operasi khas. Dalam sini ada Paskal ( komando laut ), Paskau ( komanda udara ) dan Pasukan Gerak Khas ( komando darat ). Ada abang komando tu yang mempunyai pengalaman terjun beribu jam ( para ). Terjun dengan payung dan terjun tanpa payung. Macam-macam cerita yang aku kutip daripada mereka. Aku juga sempat belajar beberapa petua dan amalan semasa berada di dalam hutan. Berkawan dengan komando ni kena hati-hati sebab kepala komando ni lain sikit, nak-nak gila gitu. Silap-silap haribulan makan penampar kita.

Ni lah aku nak cerita sikit, kat kelas aku tu ada la seorang komando aku panggil pakcik Shamsul, dah berumur sikit tapi selalu tak puas hati dengan aku. Aku pun naik heran pasal apa yang dengki sangat dengan aku. Orang tua kott?? Setiap kali cikgu puji hasil kerja aku dia juihkan bibir. Jelous betul dia dengan aku sebab.. hasil kerja yang selalu dipuji oleh cikgu antara aku dengan dia saja.. yang lain-lain hancusss. Kadang-kadang aku naik geram dengan pakcik ni. Aku bagitahu kawan baik aku, "satu hari pakcik ni kena pelempang jugak dengan aku ni, dah tak berapa nak boleh sabar dengan sikap bodoh dia tu".  Kawan aku jawab, "Sabar Din, dia tu orang tua. Apa-apa hal jom kita tanya abang Musa usha-usha dulu, Minta pendapat dia"    Abang Musa ni juga anggota komando yang satu kursus dengan aku dan selalu juga tak puas hati dengan Pakcik Shamsul ni. Dia ni baik sikit dengan aku. Aku selalu berkunjung ke rumah dia kat Kepala Batas. Anak perempuan dia pun dah besar panjang. Bila aku bagitahu abang Musa cadangan aku nak lempang mulut pakcik Shamsul ni, aku ingatkan dia nak support tapi apa dia kata..." ceh ko Din, jangan cari nahas Din, patah leher ko karang. Pakcik Shamsul tu ada black belt, jurulatih utama tempur tanpa senjata pasukan Paskal kat kem Lumut. Kalau ko tiga orang pun belum tentu dia kalah walaupun dia tua"   Alamakkkk.. silap musuh daaa...nasib baik belum apa-apa terjadi lagi. Kalau tak nahas aku. Gelak member aku kat aku mendengar penjelasan daripada Abang Musa. Tapi itulah pengajaran.. besi buruk jangan dipandang remeh, karat tu lah yang berbisaaa.

Setiap dua minggu sekali,  pelatih dibenarkan balik. Para pelatih yang berasal dari Kelantan tak pernah balik kampung, terperap saja kat asrama. Tapi aku tidak begitu, setiap kali cuti yang boleh 'outing', aku akan ikut rakan aku untuk bermalam kat rumah dia. Banyak pengalaman dan pertukaran budaya yang aku dapat hasil berkunjung dan bermalam kat rumah kawan-kawan. Aku dapati orang-orang Penang ni baik-baik noo.. layan tetamu bagai raja. Sekejap-sekejap makan, sekejap-sekejap minum. lepas makan.. makan lagi. Perghhh..layan tetamu memang luar biasalah orang Penang ni. Tahniah orang Penang. Rata-rata aku pergi rumah member aku kat Penang, hampir sama saja layanan dia kat aku. Tidur selesa, makan berlebih-lebih, siap bagi duit poket lagi tu. Lepas tu siap pesan suruh datang lagi bawa keluarga jalan-jalan bila dah habis kursus nanti.Bukan kat Penang saja, Kat Yan, Sungai Limau, Sugai Petani Kedah aku pun pegi ikut kawan. Pendek kata setiap kali pelatih dibenarkan balik, aku akan ikut sape-sape saja member aku yang pelawa aku ke rumahnya.Eh.. ramai juga orang Kedah yang makan budu yee?? baru aku tahu.

Masa praktikum aku di tempatkan di Kampung Pinang Tunggal kat Kepala Batas. Seramai 9 orang dalam jurusan berbeza yang dipilih untuk membuat praktikum kat sini iaitu menyiapkan rumah petrol pam. Dalam kalangan kami ada 3 orang daripada jurusan kimpalan, 3 orang daripada jurusan pertukangan kayu dan 3 orang daripada binaan bangunan. Kebanyakan yang praktikum sama aku adalah geng-geng kamceng aku. Rumah yang disediakan untuk kami tinggal sangat indah iaitu rumah kayu dua tingkat kat tengah-tengah sawah.. Perghhh.. cukup kena dengan selera aku. Kat belakang rumah terdapat tali air yang di dalamnya ada banyak ikan. Balik je kerja, aku terus berkejar ke tali air untuk memancing. Setiap hari pasti dapat ikan lebih-lebih lagi kalau waktu senja, lagi banyak ikan makan. Pancing biasa saja aku pakai buat dengan batang kayu dan guna umpan cacing. Ikan yang sangkut biasanya baung, tapah, puyu, selat dan haruan. Pernah sekali aku mendapat seekor udang galah yang sepit biru. Sesekali kalau kunci air ditutup, air saliran akan kering. Masa nilah ikan akan banyak dan aku cuma tangkap dengan tangan berkubang dalam selut. Sekejap je dapat satu baldi ikan tapi tak habis nak makan la pulak. Sekali tu aku terpijak sesuatu kat bawah lumpur, aku ingatkan bawah tu ada batu-batu, bila aku seluk dan bawa naik, alangkah terkejutnya aku kerana yang berbiji-biji tu rupanya etak besar. Wah!! kenduri sakanlah aku buat etak masak serai kemudian ratah sampai puas. Siap bagi kat jiran-jiran lagi. Pendek kata, tiga bulan praktikum kat sini tak banyak pakai duit sebab lauk tak berhabisan. Kalau hari minggu, kawan-kawan aku yang menjalani praktikum kat tempat lain akan datang ke rumah aku untuk lepak sampai berhari-hari. Malam-malam aku dengan geng-geng duduk kat beranda luar sambil main gitar, fuhhh!! sedapnya. Biasanya angin malam dan angin petang cukup kuat dan mendamaikan. Rasa macam nak beli je rumah tu. Kadang-kadang kalau boring sangat dok kat rumah malam-malam, kami keluar cari warung untuk minum-minum. Aku dapati orang-orang Penang ni suka tengok gusti. Setiap warung kat kampung ni penuh dengan tua muda sedang layan gusti. 

Enam bulan berada kat Pusat Giat Mara ni terasa terlalu singkat. Cepatnya masa berlalu. Tak puas rasanya berkawan dan bersosial. Banyak lagi cerita pasal pengalaman Komando aku tak sempat nak korek dengan abang-abang komando. Cikgu pun baik-baik terutamanya Cikgu Ghani. Siap minta tolong aku jaga rumah dia kalau dia nak tinggalkan rumah untuk balik kampung.Cikgu dah jadi macam kawan tapi aku sangat hormat dia. Terlalu banyak kenangan manis aku kat sini kalau aku nak ceritakan semua. Kenangan lucu-lucu pun sangat banyak. Biarlah aku cerita setakat ni saja. Kemahiran yang aku dapat ni aku akan praktikkan apabila aku habis belajar dan dapat sijil nanti. 

Sekian Terima Kasih.. nantikan kesinambungan kisah hidup aku dalam episod ke-5 nanti yang menjanjikan story yang lebih suspen dan lebih mencabar. Tungguuu... 

No comments:

Post a Comment