Monday, 8 October 2012

KADAR PENGANGGURAN DAN PELUANG PEKERJAAN

Assalamualaikum... kalau entri minggu lepas aku perihal tentang masalah muda-mudi nak memiliki rumah, pada entri kali ini pula aku nak bincang tentang masalah pengagguran dan peluang pekerjaan di Malaysia. Bunyi tajuk macam soalan BM kertas satu SPM je.. tapi ini perbincangan santai separa akademik mengikut pandangan peribadi aku sendiri.
Dalam aku belek-belek akhbar Harian Metro tadi, aku terpandang jawapan luahan hati seorang pencari kerja yang kecewa kerana tidak berjaya dalam temuduga untuk menceburi bidang kerja yang diminati dalam sektor awam. Luahan mamat ni aku dah baca dalam Metro 1 Oktober dulu. Hari ni pagawai dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sendiri yang jawab dan beri penjelasan. Memang la kecewa kalau apa yang kita nak tak dapat tapi kita kena ingat, yang hadir temuduga bukan kita seorang, malahan berpuluh ribu orang yang turut memohon sedangkan kekosongan yang hendak diisi tidak sampai seratus.Maknanya kita kena bersaing. Siapa yang paling layak selepas tapisan ketat yang dibuat maka memang hak dialah. Pegawai tu cakap, jawatan tu dipohon oleh 24,420 untuk merebut jawatan Pembantu Perikanan Gred G17 sedangkan kekosongan cuma 107 saja yang nak diisi. Perghhh... hebat sungguh saingan. Kabel yang nak kena pakai bukan sebarang kabel ni.
Senario macam ni memang biasa berlaku dalam mana-mana jawatan dalam sektor awam. Nak jadi konstabel polis pun sama juga. Yang nak pakai cuma 1,500 orang tetapi jumlah yang memohon lebih 60,000 orang. Selepas melakukan beberapa saringan yang ketat, bermakna 45,000 orang akan kecewa. Di negara kita, yang biasa ada kekosongan dalam sektor awam adalah jawatan guru dan doktor, tapi itu cuma retorik saja. Realitinya, nak memohon untuk jadi guru pun memerlukan saringan yang ketat. Berapa ramai graduan di luar sana yang menanti peluang untuk menceburi bidang kerja ini tapi tak berpeluang. Yang dah ada diploma pendidikan dan ijazah dalam bidang pendidikan pun masih ramai yang belum ada penempatan dan masih manganggur, apa lagi untuk membuka pengambilan baru. Kerajaan pun tak mahu pening kepala membuka peluang pekerjaan yang tak ada tempat untuk diisi.
Ada seorang anak murid aku yang sangat malas belajar. Bila aku tanya kenapa liat sangat nak hantar buku latihan, selamber je dia jawab " alah cikgu, saya bukannya nak jadi Menteri atau engineer, saya nak jadi CIKGU jee". Chewahhh, sedap jawapan dia. Macam jawatan cikgu ni tak ada nilai. Tak dapat belajar tinggi-tinggi boleh mohon jadi cikgu sedangkan dia tak tahu bahawa yang jadi cikgu tu lepasan luar negara pun ada. Yang ambik course power-power masa kat universiti dulu berakhir dengan cikgu juga selepas mengikuti KPLI. Dia ingat nak jadi cikgu macam budak tingkatan 3 nak naik tingkatan 4. Gagal semua subjek dalam PMR pun layak automatik naik ke tingkatan 4 dan seterusnya menduduki peperiksaan SPM. Dia tak sedar suatu ketika dulu 70,000 borang KPLI Sold Out sekelip mata sebab ramai sangat graduan  yang tak tahu ke mana-mana semuanya pakat nak jadi cikgu sebab hanya ini saja peluang yang ada untuk bekerja dalam sektor awam. Yang mohon 70,000 tapi yang nak diterima mengikuti kursus ni cuma 1,200 orang di seluruh negara. 70,000 tu yang dah ada ijazah, bukannya lepasan SPM. Sekarang ni lagi tenat sebab KPLI juga sudah dibekukan.
Ada seorang lagi bekas anak murid aku yang lagi sengal. Masa jumpa dengan aku kat tempat kenduri kahwin rakan dia (juga anak murid aku ), dia tanya aku " cikgu, tak de ke kat sekolah kita yang nak pakai guru? kalau ada kekosongan saya nak mohon. Dah lama saya tak buat apa ni cikgu. Bosan dah kat rumah kena berleter kat bapak. Kalau ada bagitahu ye cikgu.. toloooonggglah cikgu" Aku jawab.. "Awak pegi laa jumpa pengetua, kot-kot ada rezeki, awak boleh dapat". Dalam hati tergelak aku, rupanya ada jugak anak murid aku yang memang sengal. Dia ingat jadi cikgu seperti mintak jadi cashier kat pasar raya Mydin. Ada kekosongan terus masuk. Sebenarnya nak salahkan budak tu tak boleh juga sebab banyak benda yang dia tak tahu, maklumlah... dalam seminggu cuma dua tiga hari datang sekolah. Dahlah datang sekolah jarang-jarang, tak pernah masuk kelas pulak. Manjang dok merayau tawaf bangunan sekolah. Lebih banyak ada kat kantin daripada berada di dalam kelas.Sebulan dua kali ibu bapa datang untuk selesaikan masalah disiplin. 
Nilah realiti sebenar peluang pekerjaan dalam sektor awam di negara kita. Setiap tahun mahasiswa yang bergraduan berpuluh ribu orang tetapi peluang pekerjaan cukup ciput. Lambakan tenaga kerja ni menyebabkan kadar pengangguran di negara kita semakin meningkat saban tahun. Budak-budak muda sekarang masih tak sedar betapa sukarnya persaingan masa kini. Semuanya nak kena bersaing. Bagi yang ibu bapa ada syarikat tak kisah, sebab boleh ambil alih mengurus syarikat bapak dia atau harta bapa dia tak habis nak makan sampai ke tua. Tapi bagi yang miskin terutamanya anak petani dan peneroka, situasi ini amat memeritkan. Ibu bapa terpaksa menanggung anak yang sudah dewasa bertahun-tahun. Budak-budak sekarang pulak pelik sikit, asyik duk tunggu kerja yang dipohon, sedangkan banyak lagi kerja lain yang boleh dibuat untuk sementara tapi malu, segan, malas, tunggu dulu, apa kelas.. dan sebagainya yang mebuatkan mereka lebih selesa dok tidur bangun kat rumah menunggu buah yang tak jatuh.Sedangkan peluang pekerjaan yang ada disambar oleh orang asing yang hidup di negara kita bagai di syurga. Cuba kita tengok, ke mana-mana kita pergi akan jumpa rakyat asing yang mengisi kekosongan ruang pekerjaan di negara kita. Kalau dulu, hanya sektor pembinaan saja dimanopoli oleh majoriti pendatang dari Indonesia. Tapi sekarang warga Myanmar, Bangladesh, Nepal, Pakistan, India, China, Nigeria, Iran, dan seluruh dunia memonopoli sebarang pekerjaan yang ada di negara kita seperti perladangan, perkilangan, pasar raya, pembantu kedai, jadi sekuriti guard, tukang kebun sekolah, kerja kat kantin sekolah, berniaga, pemotong rumput, pekebun sayur, tukang sapu di hospital, tukang sapu dan tukang kebun di Ibu Pejabat Polis dan di mana-mana saja tentu ada warga asing yang bekerja. Rakyat kita di mana??? atas katil sedang tidur. Pukul 12 tengah hari tak bangun tidur lagi. Bangun tidur terus salahkan kerajaan." anak kera di hutan di susukan, anak sendiri mati kelaparan ".
20 tahun lepas memang susah nak tengok rakyat asing yang kerja seperti aku sebutkan di atas kecuali kerja buruh binaan di tapak-tapak pembinaan yang dimonopoli oleh buruh dari Indonesia. Awal tahun 90-an dulu aku pernah kerja cuci tandas kat Bangunan Mas Jalan Sultan Ismail Kuala Lumpur. Semua rakan sekerja ku yang lain rakyat Malaysia. Aku dulu pernah jadi tukang kebun kat Saujana Impian Golf, Kajang. Semua rakan sekerja aku ialah rakyat Malaysia. Aku dulu pernah bekerja di kilang buat tilam Aerofoam kat Batu Caves. Semua rakan sekerja aku rakyat Malaysia. Aku dulu pernah bekerja di Kilang perabot juga kat Batu Caves, Jadi konduktor bas mini sambilan, kerja cuci kapal terbang kat Subang Aiport, Kerja attendant snooker kat Marcopolo snooker Jalan Raja Chulan, kerja di kantin makan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, kerja kat kilang Malaysia Mosaic Air Hitam, Johor. Akhir sekali aku kerja kat kilang buat bearing komputer di NSK, Balakong sebelum aku sambung belajar kemudian jadi cikgu. Semuanya rakan sekerja aku rakyat Malaysia yang memegang IC warna biru.
Oleh sebab rakyat kita yang suka menganggur, telah memberi ruang dan peluang kepada rakyat asing terus-terusan datang memenuhi ruang di negara kita. Mereka balik seorang, kemudian datang bawa lagi sepuluh orang. Kemudian balik pula dua orang, bawa datang lagi dua puluh orang, semua dibawa datang, anak buah, pak penakang, mak saudara, kawan-kawan dan jiran-jiran bekerja di sini. Akibatnya, negara kita lagi realiti SATU MALAYSIA. Masalah sosial dan jenayah pun bertambah-tambah. ( aku akan bincangkan peningkatan kadar jenayah di Malaysia dalam entri yang seterusnya selepas ini. ) sampai sini dulu untuk kali ini. Semoga ada sedikit kesedaran dan manfaat kepada pembaca. Sekian Terima Kasih. 



Data ni setakat pertengahan 2011. Sehingga sekarang tentu lebih lagi
   

Friday, 5 October 2012

CERITA PASAL BOLA





Assalamualaikum.. nak kongsi sikit cerita aku pasal bola. Sejak dari aku kecik memang aku suka main bola tapi tak layak untuk wakil sekolah sebab aku pandai main bola sekadar suam-suam kuku aje..tapi sepak bola tu memang kena laa.Boleh dikatakan setiap petang aku pegi main bola dengan kawan-kawan sekampung kat padang sekolah. Aku mula minat tengok bola kat TV masa aku tingkatan 2 iaitu tahun 1986. Masa tu sedang berlangsung piala dunia. Aku dengan rakan sekelas masing-masing memilih pasukan untuk disokong. Aku memilih pasukan ARGENTINA sebab aku suka nama dan sebutan negara tu yang sedap didengar. Aku bukan kenal pun player-player pasukan tu. Kawan-kawan aku ramai yang pilih Brazil dan England sebab pasukan dari negara tersebut memang glamour pada masa tu.Aku dengan abang aku selalu main bola olok-olok buat player dan gol post dengan kotak ubat nyamuk. Kat palang gol aku tu aku tulis besar-besar perkataan ARGENTINA. Kebetulan pulak pasukan yang aku sokong tu satu game demi satu game asyik memungut mata kemenangan. Bertambah ghairah aku untuk menyokong pasukan pilihan aku tu. Aku sanggup berjaga sehingga pukul 4 pagi untuk menonton pasukan aku berlawan.Masa tu tv kat rumah aku kecik aje 14 inci hitam putih guna kuasa bateri kereta. Dah la tv kecik, tak ada colour la pulak lepas tu satu lagi tak terang sebab guna arial kat atas tv aje. Gelombang tak cukup kuat sebab dok dalam hutan menyebabkan gambar tak jelas. Bukan main seksa nak menonton tv masa tu.  Sejak tu baru aku kenal dengan nama MARADONA pakai jersi no 10 kerana dia adalah wira pasukan aku. Terkebil-kebil mata aku menonton kelincahan dia mengelecek bola melepaskan diri daripada kepungan pihak lawan kemudian terus membawa bola masuk terus ke dalam gol. Boleh dikatakan semua pelawanan yang melibatkan pasukan kesayangan aku tu aku dapat tengok walaupun dalam keadaan siaran tv yang amat menyeksakan.Wah ! hebat betul menusia yang bernama MARADONA tu main bola sehingga akupun berdoa pada tuhan agar aku diberikan kepandaian main bola macam Maradona. Tapi sayang... doaku tak dimakbulkan.hu..hu.. 
Aghhh... aku boleh berbangga kerana pasukan yang aku pilih JUARA piala dunia 1986 walaupun masa aku pilih pasukan tu takde seko pun player aku kenal. Rentetan daripada situ, membuka satu lembaran baru dalam hidupku apabila aku sudah mula minat dan gila dengan bola sepak.Banyak gambar player ternama aku potong dan tampal kat dinding rumah aku. Bapak aku tak marah sebab dia pun hardcore minat bola. Kadang-kadang dia sanggup pegi ketuk rumah jiran untuk tengok siaran bola walau pukul 3 pagi sekiranya tv kat rumah aku tak boleh tengok sebab kehabisan kuasa bateri. Pasukan yang bapak aku minat pada masa tu ialah LIVERPOOL
Masa aku dalam tingkatan tiga, aku mula mengikuti perkembangan bola sepak dalam negara pula. Aku sudah mula berjinak-jinak ke stadium bola sepak Sultan Mohd ke IV Kota Baharu untuk menyokong pasukan kesayangan ku iaitu tak lain tak bukan, pasukan KELANTAN FA. Kawan aku ada seko cina kampung nama SWEE. Mak dia berniaga, jadi dia ada sebuah van untuk angkut barang-barang perniagaan. Kalau malam ada lawan bola, SWEE akan offer aku dan kawan-kawan sekampung naik van dia pegi Kota Bharu tengok bola. Sendat satu van kami pegi.Boleh dikatakan setiap kali ada perlawanan di stadium Sulatan Mohd keIV yang melibatkan pasukan Kelantan, aku akan pergi. Memang sudah minat gila dengan bola. Kadang-kadang tu, sorang-sorang pun aku pegi. Tahun 1989 tu zaman keagungan bola sepak Kelantan masa liga Semi Pro. Pada masa tu memang ramai player terkenal sama ada pemain tempatan ataupun pemain import. Salah seorang pemain idola aku ialah Hasyim Mustafa. Beliau memang hebat membuat sepakan gunting untuk menjaringkan gol. Boleh dikatakan hampir setiap game beliau mampu menjaringkan gol dan merangkul pemenang kasut emas tiga tahun berturut-turut ( kalau tak silap aku ). Selain Hasyim, ada lagi player Kelantan yang terkenal seperti Salim Mahmud, Zamri Mat Nor, Zami Mat Nor, Pertahanan kental Zahasmi Ismail. Aku minat keeper Kelantan dulu tu iaitu Wong Kah Choon.Beliau memang tangkas menyelamatkan bola daripada masuk ke dalam gol. Pemain import Kelantan pada masa tu yang menjadi kegilaan ramai penyokong Kelantan ialah Bonphut Praput, Vichet Kongmak dan Marco Karljevic. Boleh dikatakan pada masa tu semua pasukan dari negeri-negeri lain pun turut hebat. Siapa tak kenal Subadron Aziz. Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, A. Arumugam, Serbegeth Singh, Malek Awab, Fandi Ahmad, Yunus Aliff, Mat Zan Mat Arif, Ahmad Yusof, Sapian Wahid, Mazlan Wahid, Rashid Hassan, Matlan Marjan, V Sundram Moorty, K Kanan dan ramai lagi. Boleh dikatakan setiap pasukan negeri mempunyai pemain-pemain yang terkenal termasuk pemain import mereka.


Zaman kehebatan pasukan Kelantan


Zaman Kegemilangan liga Semi-Pro




Idola aku sudah menjadi Lagenda Team Kelantan FA iaitu Hasyim Mustafa
Apabila berlaku musim kesuraman bola sepak Malaysia pada awal 90-an kerana ramai pemain yang terlibat dengan gejala rasuah, minat aku terhadap bola sepak juga turut suram. Pasukan Kelantan juga tidak terkecuali dengan situasi ini menyebabkan kehebatan pasukan Kelantan jatuh merudum. Ada ketika langsung tidak ada penonton yang ingin ke stadium untuk menonton pasukan Kelantan bermain kerana kekalahan demi kekalahan yang dikutip setiap kali perlawanan. Kadang-kadang malu dibuatnya kerana pasukan Kelantan dilebel sebagai pasukan pengganas kerana asyik bergaduh saja setiap kali game.Aku masih ingat masa Kelantan melawan pasukan Negeri Sembilan yang disiarkan secara langsung dalam TV1, Captain pasukan Kelantan iaitu Akmal Ahmad Tabarani dengan tidak semena-mena menyepak kencang perut pemain Negeri Sembilan iaitu K Rajan yang jatuh walaupun tak ada provokasi. Memang ganas pemain-pemain Kelantan pada masa tu.Oleh sebab pasukan Kelantan sudah tidak dapat diselamatkan oleh sebab masalah dalaman maka ramai pemain handalan Kelantan telah berhijrah ke pasukan lain antaranya Fatrulrazi Rozi, Hardi Ahmad dan lain-lain.Selepas itu pasukan Kelantan terus malap sehingga turun ke liga FAM.
Pasukan Kelantan mula hebat semula selepas bertukar pengurusan apabila Tan Sri Anuar Musa mengambil alih teraju pasukan Kelantan FA. Beliau membawa perubahan drastik dengan membawa masuk ramai pemain ternama dan jurulatih terkenal iaitu Sathianathan atau Abe Ya.Kuasa yang diberi kepada Abe Ya untuk membeli pemain menyebabkan berlakunya tranformasi dalam pasukan ini yang menggamit penonton kembali memenuhi stadium seterusnya menjadi fenomena terhadap kemeriahan pasukan bola sepak tempatan secara amnya.


Insan yang bertanggungjawab memulihkan pasukan Kelantan FA seterusnya  menjadi fenomena baru dalam kemeriahan kancah bola sepak tempatan
B Sathianathan diberi tanggungjawab yang besar membuat tranformasi dalam membentuk pasukan baru Kelantan FA
Pasukan mukadimah.. beberapa pemain terkenal berjaya ditarik masuk oleh Abe Ya untuk memantapkan pasukan Kelantan FA
Kembali menarik kehadiran penonton setiap kali perlawanan yang melibatkan pasukan Kelantan  walau di mana vanue  pasukan ini bermain
Di bawah pengurusan Tan Sri Anuar Musa dan bimbingan B. Sathianathan, pasukan Kelantan FA tidak perlu menunggu lama untuk mengorak langkah mengumpul satu trofi demi satu trofi kejayaan. Pasukan Kelantan yang dulu menjadi mangsa belasahan kini menjadi igauan ngeri  kepada team yang bakal berhadapan dengan pasukan ini terutamanya pasukan seteru.Bermula dengan kejayaan menjuarai Piala Presiden, Piala Emas Raja-Raja, Piala Liga Super, Piala Malaysia, Piala Sumbangsih, Piala FA dan kini sedang memburu satu lagi Piala Malaysia untuk mencipta sejarah baru dalam kancah bola sepak Kelantan iaitu mendapat Treble piala dalam satu musim di samping layak ke peringkat suku akhir dalam Piala AFC.

Walau bagaimanapun, untuk mencipta sejarah baru bukan suatu perkara yang mudah kerana apa yang aku perhatikan dalam dua tiga game yang terakhir ni, permainan pasukan Kelantan tidak menampakkan keyakinan untuk menjuarai perebutan Piala Malaysia pada tahun ini. Entah apa yang tidak kena seolah-olah ada krisis dalaman dalam pasukan. Semangat pemain-pemain kurang bermaya untuk merapas kembali Piala Malaysia seterusnya mencapai sasaran treble pada tahun ini. Kalau melihat kepada perlawanan Kelantan bertemu Felda United pada pusingan kedua peringkat suku akhir, pasukan Kelantan hampir-hampir tumbang. Pemain-pemain bermain sambil lewa. Membuat hantaran yang tidak tepat. Banyak kehilangan bola. Selalu tinggal posisi. Bahagian tengah, kiri kanan semuanya mati. Penyerang tak dapat bola. Player lebih banyak mengejar bola daripada mendapat bola. Sangat kurang mengancam pintu gol pihak lawan. Nasib baik ada Mohd Ghadar yang menyelamatkan keadaan di saat-saat akhir masa perlawanan. Sebelum ni pun game yang ditunjukkan oleh Pasukan Kelantan amat membosankan. Tidak pantas seperti kebiasaan.Mungkin silap percaturan yang dibuat oleh Bojan Hodak atau mungkin kecewa sebab dimalukan oleh pasukan dari kelab Iraq pada pertemuan pertama suku akhir Piala AFC atau terlalu yakin untuk menang. Apapun, tahniah kepada pasukan Kelantan kerana berjaya menjejakkan kaki ke perlawanan separuh akhir piala Malaysia bagi tahun 2012. Perjuangan belum berakhir,  teruskan perjuangan anda dan tunaikan janji kalian untuk bermain bermati-matian bagi menentang salah satu seteru bagi pasukan kita iaitu pasukan Selangor. GOMO KLATE GOMO.

7 Oktober 2012
Sambung sikit lagi.. Alhamdulillah, perlawanan pertama separuh akhir antara Kelantan bertemu Selangor berjalan dengan lancar. Malam tadi aku pergi layan bola kat skrin besar Karangkraf bersama dengan beberapa ribu orang penyokong tegar pasukan The Red Warrior. Bagi pendapat aku, Kelantan telah menunjukkan prestasi sebenar mereka semasa melawan pasukan musuh tradisi mereka dari pantai barat. Sebelum ini sekiranya kita lihat Kelantan bermain hambar, tapi malam tadi Kelantan bermain pantas mengikut rentak permainan agresif pasukan Selangor pada awalnya. Banyak gerakan-gerakan bahaya melalui hantaran panjang dan pendek telah memerangkap pertahanan pasukan selangor. Sekiranya tidak kerana kecekapan penjaga gol  Selangor menyelamatkan beberapa percubaan bahaya, sudah tentu Kelantan selesa membawa bekalan ke Selangor dengan jumlah jaringan yang besar tetapi nasib tidak menyebelahi mereka menyebabkan sekadar berpuas hati dengan satu gol yang disumbangkan oleh Mohd Farhan. Walau bagaimanapun, perlawanan malam tadi memang terhibur. Jeneral di bahagian tengah yang dicatur oleh Indra dan Shakir Saari berjaya melorongkan bola cantik kepada penyerang menyebabkan beberapa cubaan bahaya dapat dibuat. Ketiadaan Badri Radzi telah memberi peluang dan ruang kepada Indera Putra untuk bergerak bebas di bahagian tengah bagi mengucar-kacirkan pasukan pertahanan lawan. Jaringan gol pendahuluan pada minit-minit awal separuh masa kedua telah membuatkan pasukan Selangor mula tertekan. Hasilnya, mereka bermain kelam-kabut dan agresif serta melakukan beberapa kekasaran yang mengundang padah apabila salah seorang pemain mereka dilayangkan kad merah oleh pengadil. Dengan kelebihan seorang pemain, Kelantan terus menggandakan asakan namun tidak menepati sasaran.
Bagi pendapat aku, kelebihan satu gol memang bukan satu bekalan yang selesa buat pasukan kelantan untuk dibawa ke Shah Alam jumaat ni tetapi harus diingat, Stadium Shah Alam bukanlah stadium 'PUAKA' untuk pasukan Kelantan kerana sejarah telah membuktikan bahawa sudah acapkali Selangor tersungkur di kaki pasukan Kelantan dengan jumlah jaringan yang besar di stadium ini. Harap-harap jumaat ni sekali lagi Selangor terduduk hampa di tempat sendiri dikerjakan oleh pasukan Kelantan sebagai hadiah kepada penyokong-penyokong mereka yang sememangnya meninggalkan dendam terhadap penyokong pasukan Selangor atas sebab-sebab yang berlaku dua tahun lepas. SELAMAT BERJUANG WIRA MERAH. KAMI AKAN KE SANA JUMAAT NI WALAU APA YANG BERLAKU. ( entri ni akan disambung lagi minggu depan selepas balik daripada menonton perlawanan suku akhir kedua )

 12 Oktober 2012
Seperti yang aku janjikan, aku akan sambung entri ini sebaik aku balik daripada menonton perlawanan separuh akhir pusingan kedua di Stadium Shah Alam. Tepat sekali telahanku bahawa stadium Shah Alam bukan 'PUAKA' untuk pasukan Kelantan. Hari ini menjadi saksi di hadapan puluhan ribu penonton kedua-dua pasukan bahawa misi 33 Selangor sekadar angan-angan yang tak mampu diterjemahkan. Misi ini sekadar penyedap hati sedangkan kemampuan sebenar jauh daripada jangkauan sebaliknya misi TREBLE Kelantan yang semakin hampir dalam gengaman. Walau bagaimanapun, pasukan Kelantan tidak harus merasa sebelah tangan sudah mengengam erat telinga piala Malaysia kerana Hai O yang lebih berPUAKA. Mana tidaknya, di dalam pasukan mana dia berada, di situlah kejuaraan buat diri dan pasukannya. Seolah-olah tuah sentiasa berdampingan dengannya. Kalu tak ada tuah, mana mungkin ATM boleh menang dengan Twelth Lions dalam beza antara masa hanya beberapa saat saja. 
Berbalik kepada cerita Kelantan menewaskan Selangor malam ini, aku nak beri sedikit ulasan pribadi sepanjang 93 minit aku menonton perlawanan yang begitu menghiburkan ini. Ye lah.. mana tak terhibur, pasukan yang disokong menang. Pada awal-awal permainan kedua-dua pasukan mula menunjukkan kegarangan masing-masing namun selang 15 minit kemudian, game kedua-dua pasukan semakin perlahan dan membosankan. Bola asyik berlegar di bahagian tengah dan tepi tanpa ada cubaan-cubaan bahaya. Kedua-dua pasukan bermain dengan berhati-hati. Namun begitu pasukan Kelantan terlebih dahulu mengancam pasukan Selangor dengan cubaan pertama pada minit ke 16 namun oleh sebab ketamakan yang ditunjukkan oleh Mohd Ghadar menafikan jaringan awal untuk pasukan Kelantan. Pasukan Selangor pula berpeluang untuk menjaringkan gol pada minit yang ke-22 malangnya sepakan kencang Amri Yahyah tertampan pertahanan Kelantan yang menyebabkan bola terbias tetapi mujur Khairul Fahmi mampu menyelamat keadaan. Nasib baik juga tampanan kurang kemas Khairul Fahmi gagal disudahkan oleh Solihin yang sedikit terlewat menghulurkan kaki. Masuk separuh masa kedua, Kelantan mula mengatur gerak dengan melakukan beberapa cubaan bahaya tetapi dinafikan oleh kecekapan penjaga gol Selangor. Gol pertama menyusul hasil tindakan bijak penyerang import Kelantan yang seolah-olah nampak selfish tetapi nasib baik mampu menghasilkan gol. Kalau bola tersebut tidak menerjah jaring sudah tentu Mohd Ghadar menjadi bahan ejekan penyokong Kelantan dalam laman sosial.Gol pertama Kelantan terus melemahkan semangat pasukan Selangor kerana mereka tahu amat sukar untuk mendapatkan 3 gol bagi memenuhi impian mengunung mereka. Moral pemain Selangor semakin down apabila pemain import mereka pula telah dibuang padang. Kesempatan ini telah diambil oleh pemain-pemain Kelantan untuk menggandakan asakan ke arah pintu gol Selangor. Hasilnya, satu sepakan percuma telah diberikan pengadil yang mana pemain tengah terkenal pasukan Kelantan iaitu Piya yang masuk sebagai pemain gantian berjaya menambahkan jaringan melalui sepakan lencong cantik yang terus menerjah jaring seterusnya mematikan terus sisa-sisa perjuangan pasukan Selangor.Penyokong-penyokong Selangor sudah mula angkat punggung meninggalkan stadium yang tidak memberi apa-apa kelebihan kepada pasukan mereka. Kini mereka perlu akui bahawa WIRA sejati stadium keramat Shah Alam adalah THE RED WARRIOR. Tertutup mulut Irfan Bakti yang sebelum ini begitu bangga dan gah pasukan bimbingannya dapat menewaskan Kelantan sebanyak dua kali yang mana kedua-duanya itu berlaku di Stadium Bukit Jalil iaitu stadium yang banyak meninggalkan sejarah hitam buat pemain dan penyokong pasukan Kelantan.Stadium yang aku tidak suka. Okeylah.. sebagai penutup aku ucapkan TAHNIAH kepada pasukan Kelantan, juga tahniah dan terima kasih kepada penyokong-penyokong pasukan The Red Warrior kerana berani dan     
setia bersama pasukan kesayangan khususnya penyokong yang datang dari Kelantan kemudian terus balik bila habis game. Perghhh... hebat penyokong Kelantan. Sep kito jange pecoh. Jumpa lagi di FINAL PIALA MALAYSIA di stadium keramat buat pasukan kita iaitu stadium Shah Alam hujung bulan nanti. TAMMAT.. ( Laporan untuk final aku akan buat dalam satu entri khas )
Dalam perjalan keluar dari stadium, aku bertemu dengan beberapa orang kawan lama yang datang dari Kelantan semata-mata untuk menyokong pasukan kesayangan mereka. Salah seorangnya adalah TESL iaitu housemate masa belajar kat UPM dulu tapi tak boleh nak bersembang lama sebab masing-masing datang tumpang kawan. Balik dari stadium, aku singgah kat kedai nasi lemak opah di Taipan. Semasa aku berjalan melewati meja satu kelompok penyokong Selangor, mereka mengur aku " tahniah Awe, pasukan demo meme hebat". Begitulah cara kita menghormati orang. Bukan mengutuk atau provote untuk menimbulkan perasaan tak puas hati seterusnya boleh mencetuskan pergaduhan. Yang kalah cuba lagi, yang menang teruskan saingan. Di Kota Bharu penyokong Kelantan dan penyokong Selangor dok sekali tak ada masalahpun.  




Monday, 1 October 2012

RUMAH OH RUMAH


Assalamualaikum.. bertemu lagi dalam entri seterusnya setelah lebih seminggu menyepikan diri. Mat Tas asyik dok tanya bila entri baru nak masuk. Aku jawab, "Releks bro, sekarang ni gua tengah busy dan tension gila. Majalah gua terbengkalai tak de budak nak buat. Dah nak habis tahun dah ni". Ai..maklumlah, member gua tu baru masuk Unifi kat umah dia, masih kemaruk lagi kot...

Ke mana-mana kita pergi, topik hangat yang selalu dipertuturkan oleh orang ramai adalah tak lain tak bukan, pasal harga rumah yang melambung tinggi. Masa aku menghadiri rumah terbuka kat rumah kawan-kawan sepanjang bulan lepas, topik yang sama juga menjadi bahan bualan sesama kenalan. Memang laa.. tak dapat dinafikan bahawa harga rumah sekarang ni tak mampu milik oleh kebanyakan rakyat jelata. Kerana kita sedia maklum bahawa majoriti penduduk Malaysia yang bekerja mempunyai pendapatan bersih tidak lebih daripada RM3000 sebulan. Kalau dengan pendapatan bulanan sebanyak tu, mana mungkin mampu untuk membeli sebuah rumah teres yang harganya melebihi daripada RM400 ribu. Pekerja kilang, pekerja buruh binaan, pekerja kedai makan, pekerja di pasar raya, pomen bengkel, jurukimpal dan pelbagai kerja kolar biru lagi tercari-cari harga rumah yang berada di bawah paras RM100 ribu tapi mana ada lagi pemaju perumahan yang berminat untuk membina rumah murah sebegitu kerana tidak mendapat keuntungan yang belipat ganda. Rata-rata kalau kita tengok kawasan perumahan yang baru dibuka, nilai rumah kediaman berada pada paras RM 500.000- 2.5 juta dan ke atas. Kadang-kadang, dalam benak sanubari kita selalu berkata " mana ada orang nak beli rumah mahal nak mampus macam ni" tapi itu cuma monolog kita, sebenarnya seberapa banyak rumah teres dua tingkat atau rumah banglo yang dibina Sold Out dalam sekelip mata sekiranya kawasan pembinaannya berada di sekitar pinggir kawasan yang membangun. Siapa yang beli?? Jawapannya mudah. ORANG KAYA dan PELABUR ASING yang beli.


Kalau gaji sebanyak ni, adakah kita mampu memiliki rumah teres dua tingkat? Pemaju perumahan yang bina rumah teres dua tingakat banyak-banyak tu untuk siapa??

Ada seorang anak buah aku yang kerjanya memasang Unifi kat rumah-rumah kediaman. Dia sentiasa mengeluh tengok rumah-rumah orang kaya di kawasan-kawasan perumahan elit. Majoriti dimiliki oleh warga asing dari Timur Tengah, dari Britain, Jepun, Korea, Warga Nigeria, Warga Singapore dan pelbagai pelosok dunia lagi yang datang melabur dan menetap di sini. Rumah yang mempunyai halaman yang luas, bentuk binaan yang mengagumkan, berada di kawasan elit yang strategik dan mempunyai ciri-ciri sekuriti yang dijamin selamat.Tapi bukan untuk rakyat kita tau...Orang kaya yang berada berlumba-lumba membeli rumah kedua, ketiga, keempat, kelima dan seterusnya. Ada yang beli untuk pelaburan, ada yang beli untuk anak-anak dan ada yang beli sebab duit dia banyak sangat tak tahu nak buat apa lagi. Sebab tulah salah satu punca rumah murah sudah lenyap daripada projek perumahan baru. Rumah mewah yang harga jutaan ringgit pun berdesuppp habis dijual.Masyarakat MARHAEN dok tercari-cari rumah yang bakal dibina pemaju yang mereka mampu milik. MANA ADA sekarang pemaju yang nak buat rumah sebegini kerana tak ada untung wooo.


Nilah rumah warga asing yang menambah eset kat negara kita. Mereka tak perlu bersusah payah  menentang penjajah untuk menikmati kehidupan bagai syurga di negara kita.
  
Inilah rumah yang mana datuk nenek dia dulu bermati-matian menghalau penjajah  dan menuntut kemerdekaan  bagi  pemerintahan sendiri masyarakat pribumi di negara ini.


Ni cuma rumah hinggap Dato  . Tak duduk pun. Orang banyak wang tak tau ke mana lagi nak dibelanjakan.


Miskin dari segi material saja ni tapi hakikatnya value rumah ni berjuta-juta kalau dijual sekali dengan tapak rumah. 
Ada seorang kawan aku tu, setiap orang anak-anak dia yang berkahwin akan dihadiahkan sebuah rumah teres dua tingkat sebagai hadiah perkahwinan. Perghhh.. sangat-sangat beruntung sape-sape yang jadi menantu dia. Tak payah nak pikir dan tercari-cari untuk beli rumah. Orang yang berwang memang dia buat macam tu. Dia sudah beli siap-siap rumah untuk anak-anak dia sebab kalau tahun berganti tahun nanti sudah tentu anak-anak dia sudah tidak mampu untuk memiliki rumah teres.Kita yang tak ada banyak wang ni, nak bubuh owning rumah pun kena tunggu dapat bonus.
Anak buah aku tu beberapa hari dok putar-putar sekeliling bandar dan pinggir bandar termasuk kawasan Puchong, Subang Jaya, Shah Alam, Serdang, Seri Kembangan dan Balakong untuk cari rumah flet yang harga bawah 80K mengikut kemampuannya. Tapi satupun tak jumpa kerana tak ada pemaju perumahan yang nak bina rumah flat. Setiap malam dok teroka dalam MUDAH.COM cari rumah tapi hampa kerana rumah flat sekarang pun harganya sudah tak masuk akal. Nak menyewa pun bukan main susah. Petang terjumpa rumah untuk disewa dalam MUDAH.COM. Balik kerja terus berkejar ke alamat rumah yang hendak disewa tapi hampa kerana berbaris orang datang untuk menyewa rumah tersebut. Maknanya, rumah sewa sekarang bukan senang nak dapat kerana rakyat kita terpaksa bersaing dengan buruh dalam kalangan warga asing yang juga turut hidup menyewa di negara kita. Rakyat kita terpaksa bersaing dengan warga Indonesia, Myanmar, Kemboja, Vietnam, China, India, Nepal, Bangladesh, Filipina, Nigeria dan seluruh dunia sama ada datang bekerja atau belajar. Contohnya Sunway Mentari Court PJ, kalau sape-sape pernah pegi kat flet tu macam dok kat negara asing rasanya. Pelbagai rakyat asing bertumpu kat situ terutamanya warga kulit hitam. Kawan aku ada beli rumah kat situ tapi tak duduk sebab tak selesa katanya. Dia juga bagi sewa kat orang kita, tapi orang kita bagi sewa pulak kat warga asing. Jahat betul perangai.Ambik untung atas angin tapi rumah jahanam dikerjakan oleh makhluk asing tu.Tak berbaloi dengan wang sewa yang dapat.


Dulu kalau rumah macam ni sekitar RM30.000-40.000 aje, tapi sekarang ada yang mencecah ratusan ribu. Kalau  ramai warga Myanmar duk kat sini maka penuh dengan ludah air pinang dalam lif. Kadang-kadang ada yang kencing kat tepi tangga saja. Najis kucing juga bersepah. Apa boleh buat, cuma ini saja yang mampu.
Semenjak dua menjak ni, kenaikan harga rumah tak terkawal la pulak dan naik mendadak. Mungkin sebab permintaan yang tinggi menyebabkan pemaju tidak berasa takut untuk meletak harga setinggi mungkin sebab lambat laun rumah mereka akan habis dijual.Mereka tahu bahawa rumah merupakan satu keperluan asas yang wajib dimiliki oleh setiap orang yang berkeluarga. Cuba tengok kalau musim cuti sekolah, sana sini akan ada orang kahwin. Kadang-kadang dalam satu kampung sampai sepuluh tempat kenduri kahwin. Letih orang kampung ke hulu ke hilir pergi memenuhi jemputan kenduri kahwin. Bila sudah kahwin, sudah tentu pasangan akan cari rumah untuk hidup berdikari. Takkan nak menumpang rumah sewa atau nak menumpang keluarga lagi. Inilah puncanya permintaan terhadap rumah mencanak naik sedangkan rumah tak ada yang baru dibina atau yang nak disewa. Kalau adapun semunya tak mampu milik. Dalam bahasa ekonomi, permintaan melebihi penawaran.Kadang-kadang kesian juga aku bila memikirkan orang yang pening memutar-mutar cari rumah mampu milik. Harap kerajaan tunaikan janjinya untuk membina 123.000 unit rumah kos rendah bagi rakyat yang berpendatan rendah dalam bajet yang dibentangkan baru-baru ni. Tapi pesoalannya, cukup ke sebanyak tu rumah murah yang dibina untuk memenuhi permintaan yang tinggi. Satu lagi persoalan, adakah rumah tu sampai kepada sasaran atau perlu melalui karenah birokrasi yang membosankan. Maknanya akan ada orang yang sudah mempunyai beberapa buah rumah tetapi  masih lagi bernafsu untuk menambah eset dan membelinya lagi dengan cara guna orang dalam.  

Aku bersyukur sebab sudah memiliki rumah sendiri walaupun tidak sebesar mana. Tapi bagi orang yang miskin sudah melihat rumah aku tu sebagai rumah mewah sekarang. Rumah tu walaupun aku tak duduk, tapi sayang nak jual sebab kalau aku jual sudah tentu aku tidak akan mampu untuk membeli rumah seperti itu lagi selepas ni. Rumah tu aku beli tak sampai RM200.000 tapi nilai pasaran sekarang naik mendadak mencecah RM400.000. Rumah tu aku sudah siap ubah suai dan melakukan beberapa penambahbaikan. Kalau aku jual  dengan harga rm400.000 kemudian aku beli rumah lain dengan harga sebanyak nilai yang aku jual sudah tentu aku akan dapat rumah yang lebih kecil perseginya dan perlu menambah lagi kos untuk ubah suai terutamanya untuk membesarkan bahagian dapur.


Aku beli rumah ni dengan harga RM172.000 saja dulu. Tu pun puas sembahyang istiqarah minta petunjuk  sebelum beli takut-takut  tak mampu nak bayar.
Lepas beli, terus buat pengubahsuaian sedikit sebab rumah ni tak luas sangat.
Habiskan RM50.000 untuk besarkan ruang dapur termasuk bina table top, kichen kabinet kayu nyatoh, meja makan, dan pelbagai ubah suai lagi pada bahagian depan dan atas.
Nilah rupa pemuda (orang bujang) yang menyewa rumah aku dengan harga SERATUS RINGGIT (RM100.00) sebulan.
 
Jiran aku rumah paling tepi telah ubah suai rumahnya untuk bini no 3 beliau menjadi 3 tingkat. Tak tahulah bini no 1 besar mana dia punya rumah.


Rumah Fasa 2. (Sebijik macam rumah aku cuma warna aje yang berbeza ) telah dibina bersetentang dengan rumah aku tetapi harganya mencecah RM320.000. Hampir seratus peratus kenaikan.
Rumah yang dibeli, siap dibina menyebabkan owner berasa lega. 
Beli rumah ni macam satu perjudian, kalau rumah terbengkalai macam ni pening kepala owner. Pinjaman bank tetap dipotong tiap bulan, tapi masih duduk menyewa.  Kawan aku ramai yang terkena. Beli rumah yang dimajukan oleh Syarikat TALAM.
Rumah Town House, harga mahal lebih RM200 ribu tapi kongsi dua owner. Atas orang lain, bawah orang lain.
Ada kawan aku dok pujuk aku suruh jual rumah aku kat dia. Tak tergamak rasanya nak jual sebab harga rumah aku yang dah siap renovation dan dilengkapi perabot harganya sudah mencecah RM420.000. Maknanya kawan aku tu perlu memotong gajinya sebanyak lebih RM2000 sebulan untuk jangka masa 25 tahun. Beerti dia akan membayar rumah tu sampai tua. Perghhh.. itulah hakikat sebenarnya harga rumah sekarang. Sesiapa yang beli rumah teres dua tingkat, sampai mati dia tanggung hutang kalau gaji RM3500.00 sebulan. RUMAH OH RUMAH.


* Kebanyakkan gambar-gambar kat dalam ni adalah ikhsan daripada Google.