Tuesday, 8 October 2013

KOLEKSI PENGALAMAN UNTUK DIKONGSI - EPISOD 3


EPISOD 3 - Aku Jadi Mat Thrasher

Assalamualaikum.. bersua lagi dalam entri kali ni untuk sambungan daripada episod 2. Mungkin kisah hidup aku ni ada penggemar yang tak sabar-sabar untuk mengikuti kisah yang seterusnya. Saja je aku buat cerita ni pendek-pendek untuk mewujudkan unsur suspen dalam cerita aku yang mana pembaca akan tertanya-tanya apa kesinambungan dan kesudahan cerita seterusnya.  Malam tu aku gi tengok bola kat kedai mamak dengan geng-geng Saujana Putra, salah seorang kawan aku tanya aku " bila cikgu nak sambung episod 3? kawe tok sabar nok baca cerita demo.". Aku jawab " Relek Nik.. sibuk sikit loni,sari dua lagi kot"  

Kat sekolah.. Tasnim pulak dok tanya, " Din.. masuk cerita baru doh dale blog demo?". Weeiiii  laaa. aku ingat kan kisah hidup aku tak de pun orang nak peduli. Maklumlah aku ni bukannya orang terkenal. Tapi dari sehari ke sehari aku tengok ada peningkatan terhadap counter entri tu.. maknanya setiap hari pasti ada orang bacalah. Yang like dalam FB pun ramai la jugak. Terima kasih kepada yang like dan kepada yang sudi mengikutinya. Mungkin cara penceritaan aku yang bersahaja menyebabkan orang santai membacanya. Tak pe lah.. hari ni aku ada masa, jadi seperti yang dijanjikan aku akan sambung lagi cerita pasal kisah hidup aku. Kalau tak de orang baca pun tak kisah sebab kronologi kisah hidup aku perlu aku coretkan sebelum aku nyayuk dan sebagai kenang-kenangan bila aku tua. Bila aku bersara nanti dan tak de apa nak buat bolehlah aku baca kembali kisah hidup aku dalam blog matdingunung.

Ok.. continue lagi...Aku mula mengenali muzik thrash apabila member aku yang aku panggil Zul dari perlis selalu bawa tape untuk dimainkan dengan mini compo kat rumah sewa aku. Zul ni adalah rakan yang sama-sama belajar dengan aku masa kat sekolah pengurusan hari tu. Aku tengok muka mamat ni memang skema, perangai pulak sivik nak mampusss.. tup..tup.. mempunyai minat yang amat mendalam terhadap muzik Metal. Bila dia dengar muzik metal tu.. dia pejamkan mata kemudian dia hayati betul-betul irama keras muzik tu sambil henjut slow-slow kepalanya. Dalam hati aku kadang-kadang berbisik (bermonolog dalaman) " dah gila ke ape kawan aku ni "

Esok hari, Mat Zul ni akan bawa album metal daripada kumpulan muzik metal yang lain pulak untuk didengar. Mula-mula aku memang tak boleh terima langsung muzik keras macam ni sebab aku sangat terbiasa dengan alunan muzik rock kapak yang jiwang-jiwang seperti kumpulan Wings, Search, Ekamatra, Fotograf, Lefthanded, Desire, Love Hunter, Blood Shed, D'Riyadh, Mega, Gamma, U-Thopia dan sebagainya. Tapi lama kelamaan bila hari-hari dengar, aku dah mula selesa la pulak. Kalau sehari Zul tak datang rumah aku bawa album kumpulan Sepultura atau Morbiq Angel, sunyi la pulak rasanya. Sekejap je aku sudah mula terpengaruh dengan muzik berirama keras. Ini gara-gara Zul punya pasal. Kebanyakkan muzik ni memuja syaitan dan anti christ. Tajuk lagu dan gambar pada kulit album pun ganas. Penggemar muzik ni ada identiti tersendiri dan mempunyai komuniti serta fesyen yang tersendiri.


Gaya aku masa mula-mula nak jadi Mat Trash..

Geng-geng pun mesti cari yang satu kepala. Masa ni rambut baru 4 bulan dibela.
Bila dah kenal, maka aku sudah mula jatuh cinta dengan muzik keras ni. Dalam Seminggu, ada dua kali aku ke Pertama Kompleks atau ke Kompleks Kota Raya untuk mendapatkan album-album kumpulan thrash metal. Banyak album kumpulan metal aku beli untuk didengar dan dibuat koleksi peribadi. Selalu saja aku mengikuti perkembangan-perkembangan keluaran album baru dari kumpulan muzik yang aku minati seperti kumpulan Slayer, Sodom, Anthrax, Death, Necronomicon, King Diamond, Suffercation, Sabbat dan sebagainya. Aku juga memiliki banyak baju-baju bewarna hitam yang tertera gambar-gambar kulit album kumpulan thrasher yang aku minati. Baju-baju lain yang tidak bersangkut pauk dengan identiti Thrash aku telah buang. Seluar jeans aku juga sudah aku koyak-koyakkan kat lutut. Kasut rocker aku telah aku buang dalam lori sampah kemudian aku beli kasut Converse All Star. Aku mempunyai beberapa pasang kasut Converse yang berlainan warna. Penampilan aku sudah jauh berubah. Kalau dulu masa aku jadi rocker, ada la jugak beberapa kali mengunjungi kelab malam dan disco, tapi semenjak dah tukar personaliti, aku langsung tak kunjungi lagi pub dan disco. Budak disco bagi aku sesuai untuk Mat GQ dan Budak Bross saja. Budak Thrash tak main disco tetapi dia pergi ke GIG. Apa tu GIG? GIG merupakan satu tempat budak-budak metal berkumpul untuk mendengar kumpulan-kumpulan tertentu yang memainkan lagu-lagu berirama Thrash Metal secara live. Kat sini, pengunjung-pengunjung akan ikut buat Head Begin ( goyang kepala sambil putar rambut panjang bagai dirasuk hantu) ramai-ramai mengikut rentak irama keras yang dimainkan. Kadang-kadang ada sesetengah tu bersikap lair dengan membaling kerusi dan botol. Ramai dalam kalangan mat-mat thrash ni mabuk-mabuk tak kira sama ada mabuk arak atau mabuk ganja. Tapi aku tak pernah mabukkk. Aku masuk kat tempat tu untuk layan kepala aje. Ikut-ikut kawan. Tapi jujur aku mengaku bahawa muzik-muzik yang hardcore atau terlalu keras ( black metal, dead metal, speed metal ) dan lirik tah apa-apa aku tak boleh nak follow sangat takut boleh terpesong akidah, sekadar dengar dan minat sikit-sikit bolehlah layan. Tapi aku sangat minat lagu-lagu yang thrash metal sikit seperti kumpulan METALLICA dan Cromok. Lagu-lagu dari kumpulan ni aku sentiasa dengar dan aku cuba hafal dia punya lirik. Aku juga belajar beberapa not gitar dengan member aku untuk mainkan lagu-lagu daripada kumpulan ni terutamanya lagu Fade To Blade, Master of Pupets, One, Enter Sadman, Sad But True, Misty, The Ulek Mayang dan banyak lagi. Sekali sekala layan XPDC dan MAY pun best juga. Kumpulan thrash Melayu yang aku selalu ikut ialah FTG dan Sil Khanaz.



Kumpulan Thrash Metal yang paling aku minati




Semenjak tukar personaliti, aku kejap je dapat kawan yang sealiran dengan aku. Asal saja rambut panjang dan pakai baju hitam lambang tengkorak atau lambang salib terbalik ( anti Christ ), itu dah kira geng dan lebih mudah rapat kalau mereka asal dari negeri kelahiranku. Ayat asas untuk berkawan ialah " demo budak klate jugok ko?"  "dok mana sini ?"  " klate demo dok mano?"   cukup tiga pertanyaan ni je kita dah boleh rapat dan bila berselisih kat mana-mana kita boleh bersalam set jari. Biasanya pada malam minggu aku and the geng akan keluar.  Port aku ialah kat Bucu bangunan  Central Market sebelah bus stand Klang. Kat situ biasanya aku tunggu geng-geng untuk berkumpul. Dari pukul 6 petang sehingga pukul 8 malam aku tunggu geng-geng. Bila dah ramai, kami jalan dalam satu kumpulan besar ke Dataran Merdeka atau ke Pertama Kompleks. Semuanya pakai baju hitam dan berambut paras bahu ke bawah dan ada yang sehingga paras pinggang. Muka semunya ganas-ganas. Kadang-kadang dalam kumpulan ni ada juga perempuan liar  (minah thrash) yang joint. Geng-geng thrash dari kumpulan lain pun ada. Kami sering bertegur sapa dan bertampar tangan apabila berselisih. Kalau malam-malam perayaan seperti malam sambutan tahun baru, malam sambutan hari wilayah, malam sambutan kemerdekaan dan sebagainya, geng kami akan bertambah besar dan ada kalanya tak pulang rumah. Melepak sampai pagi. Ada sesetengahnya tidur kat bawah jambatan depan Mahkamah Tinggi. Tidur kat bawah jambatan tu bukan saja geng thrash, bahkan kongsi-kongsi tempat dengan budak-budak GQ dan budak Bross sekali. Geng mana cepat, geng tulah yang bolot tempat yang selesa. Mereka tidur bercampur antara lelaki dan perempuan-perempuan bohsia.

Memang hidup aku cukup enjoy pada masa ni. Kawan yang sealiran memang ramai, ada yang baik, ada yang jenis makan kawan, ada yang kedebe (samseng ) yang sudah mempunyai nama ( terkenal ), ada yang baru nak jadi artis dan macam-macam kawan yang ada. Kat sini cukup mudah untuk kita pilih kawan-kawan yang boleh kita tumpang saat kita susah dan ada kawan yang kita perlu jauh. Biasanya kalau dalam kumpulan kita tu ada taiko yang digeruni, memang akan lebih berpengaruh geng tu.

Geng rumah sewa aku yang permanent dan bekerja (budak baik) seorang demi seorang angkat kaki sebab tak tahan dengan geng-geng aku yang selalu tumpang tidur rumah sewa aku. Lama-kelamaan, bayaran rumah sewa mula tertunggak sebab yang menghuni rumah aku tu semuanya geng yang tak bekerja. Tidur.. bangun..makan..lepak.. itu aje yang dia tau. Yang bekerja semuanya sudah pindah. Lama-kelamaan rumah sewa aku semuanya dihuni oleh mat-mat thrasher. Kadang-kadang, kalau malam minggu hampir 20 orang geng-geng aku akan datang untuk tumpang tidur kat rumah sewa aku. Ada kalanya mereka turut bawa perempuan bohsia untuk ditiduri. Memang sudah menjadi pegangan atau perjanjian ( bai'ah) budak thrasher " awek kau, awek aku juga". Oleh itu, setiap perempuan yang dibawa balik boleh gilir-gilir untuk ditiduri kalau mahu. Tak boleh dijadikan hak milik pribadi.  Kalau takut dosa, jadi penonton aje lah atau keluar minum. Bila ada aje geng yang bawa balik perempuan jalanan, mereka akan nyayi ramai-ramai " tepuk amai-amai.. belalang kupu-kupu, kita baris ramai-ramai.. masuk kubur suku-suku".

Walau bagaimanapun,  hanya segelintir saja budak-budak thrash yang berperangai liar begini, masih ramai lagi yang taat pada agama bahkan ada yang tak merokok pun. Tapi.. aku akui bahawa ada juga beberapa kerat yang sangat taksub pada Black Metal sehingga ada yang minum darah kambing hitam dan pijak atau kencing al-Quran. Tapi geng aku tak sampai tahap sial cam tu. Biasa-biasa saja..Aku masih lagi tak tinggal sembahyang cuma sekali sekala saja tertinggal he..he...  Setiap kali terlintas nak buat sial, akan terbayang wajah ayah dan ibu aku yang alim dan sangat dihormati di kampung. Aku tak mahu mereka malu dengan perbuatan aku kalau pecah lobang. Abang aku juga anggota polis. Kalau aku ditahan reman, sudah tentu akan memalukan beliau. Oleh itu, perbutan mengambil dadah, arak dan joint baris perempuan jalanan aku cuba elakkan. Kawan-kawan aku cukup hormat dengan pendirian aku tu. Mereka tak pernah pujuk aku untuk berbuat sesuatu yang menjahanamkan diri aku. Lagipun tempat yang mereka tumpang tu adalah rumah sewa aku.

Isi kandungan dalam tong gas kat rumah aku dah lama habis.. dapur juga dah lama tak berasap sebab dah beberapa hari tak ada makanan. Walaupun mereka yang tinggal dalam rumah aku berbelas orang, tapi semuanya pokai sebab tak bekerja. Berkawan dengan geng thrash ni kalau nak mintak tolong untuk belasah orang, macam ajak makan pulut.. berdesupp datang. Tapi kalau nak pinjam wang.. sorry laaa. Siang hari mereka tidur, malam hari mereka berjaga sampai pagi. Begitulah rutin kehidupan harian. Pernah satu kali geng rumah sewa aku nak bergaduh, satu bas mini datang untuk bantu. Mereka datang siap bawa buku lima dan batang besi. Aku sendiri pun gerun tengok persediaan untuk bergaduh sampai cam tu sekali. Bagi mereka, bergaduh juga merupakan salah satu cabang hiburan. Bagaimana mereka dapatkan duit untuk beli makanan ??

Kalau lapar geng-geng aku ni akan keluar mencari makanan. Mereka berpecah beberapa kumpulan. Kaedah bagaimana untuk dapatkan makanan aku tak nak ambik tahu, janji ada hasil yang bawa balik. Pukul 3 pagi masing-masing kumpulan yang berpecah tadi bawa balik hasil. Ada yang bawa balik mi meggi, ada yang bawa balik buah-buahan dan ada juga yang bawa balik ayam kampung. Aku confirm semua hasil yang diperoleh tu adalah diambil secara tidak izin ( curi la tuuu.. ). Kat sebelah taman perumahan aku tinggal tu ada kampung orang Melayu iaitu kampung Changkat. Mungkin kat situ banyak sumber makanan yang 'tak halal' seperti ayam kampung dan buah-buah kayu. Oleh sebab gas tak ada, maka ayam kampung yang disembelih tu kami bakar aje. Cili Sos budak-budak tu rembat kat dalam Seven Eleven. Kalau geng aku masuk, budak cashier kat Seven E tu mula kecut perut. Geng-geng aku tak pernah menyamun atau curi duit. Ambik barang jee untuk sara hidup. Kadang-kadang pisang, mangga dan tembikai yang orang jual tepi jalan pun mereka bantai. Merangkak perlahan-lahan menghampiri timbunan tembikai, kemudian selak khemah dan golek perlahan-lahan. Geng belakang akan sambut dan pass-pass ke belakang. Teknik ni aku lihat dengan mata kepala sendiri sebab yang paling belakang adalah aku sendiri ha..ha..ha.. Aktiviti nakal ni kami lakukan lebih kurang pukul 3-4 pagi  apabila jurujualnya sudah lena di atas kerusi malas di tepi longgokan buah yang dijualnya. Dapat 6 bijik tembikai saiz XL cukup lah untuk 2 hari.

Satu malam tu masa kami sedang lepak sambil main gitar, aku ternampak seseorang yang mencurigakan sedang mundar-mandir kat taman perumahan aku dalam keadaan separuh bogel. Dia cuma pakai seluar boxer saja tanpa baju sedang memikul karung bungkusan macam orang nak pegi bertapa kat gua. Aku dan beberapa orang kawan aku cuba kejar budak yang cuba nak buat onar kat taman perumahan aku. Apabila nampak geng kami datang dia terus lempar bungkusan tu dalam parit lalu berdesup melarikan diri. Kami cuba kejar tapi tak dapat. Aku bawa balik bungkusan tu dan buka kat dalam rumah aku. Oh..rupa-rupanya orang itu adalah pencuri. Tapi yang peliknya, baju-baju dan kain sarung wanita yang dicuri termasuk seluar dalam wanita. Yang lucunya, dalam timbunan kain baju wanita yang dicuri, seluar jeans lusuh dan berbau busuk kepunyaan mamat tu juga ada sekali. Mungkin dia buka seluar untuk memudahkan dia panjat pagar rumah orang. Dalam poket seluar terdapat beg duit kepunyaannya. Di dalam beg duit tu ada not kertas sebanyak RM160.00. WOW!!! kami bersorak. Memang malam tu rezeki kami. Kami agih-agih wang sikit sorang buat beli rokok. Yang selebihnya akan diguna untuk beli beras, tukar tong gas baru dan beli barangan dapur untuk stok seminggu. Kain-kain wanita tu geng-geng aku hampar buat alas lapik tidur. Sebelum ni biasa tidur beralas surat khabar, sekarang ada lampik kain. Lebih lena sikit tidur.

Selama tiga bulan aku menyewa tanpa membayar duit sewa, endingnya aku dan kawan-kawan thrasher aku diberi notis oleh tuan rumah untuk kosongkan rumah tu. Oleh sebab tu, kami pun mula berpecah dan masing-masing membawa diri. Tiga orang follow aku untuk tumpang tinggal kat rumah member aku kat flet di Jalan Masjid India buat sementara waktu, yang lain-lain aku tak tahu mana pergi. Akhirnya aku dengan Mat Yie mengambil keputusan untuk balik kampung setelah lebih setahun tak balik. Sampai kat kampung, duit ngam-ngam tinggal 50 sen dalam poket seluar. Duit yang aku guna untuk beli tiket bas ekspress balik kampung tu,  aku dengan Mat Yie 'paw' duit bapok ( pondan ) yang berkeliaran kat Jalan Masjid India dan belakang Kawloon.

Balik kampung, mak aku hairan sebab selalu saja pakai topi. Ke mana saja aku pergi, topi tak pernah turun dari kepala. Aku tidur pun pakai topi. Nak mandi pun pakai topi dan ke mana-mana mesti pakai topi. Sebabnya.. rambut panjang  tu aku gulung masuk topi. Sekali tu aku terkantoi masa aku mandi kat perigi, mak aku ternampak rambut aku yang panjang. Pada mulanya dia terkejut sebab.. mana datangnya orang gila perempuan mandi kat perigi rumah aku sambil tak pakai baju. Bila dia pegi dekat, rupanya anak lelakinya sendiri. Terkejut berukkk mak aku..  sepanjang hidup dia tak pernah tengok orang lelaki rambut panjang macam tu selain Anduka dan Taruna dalam cerita Si Merah Padi. Aku mula gelabah lalu berjanji akan potong rambut secepat mungkin. Aku tak tergamak lihat muka mak aku bersedih. Mak aku malu kat orang kampung anaknya tidak seperti orang lain. Dia tidak mahu perbuatan aku ini menjadi umpatan orang kampung. Lepas mandi tu juga mak aku kasi duit RM 5.00 suruh pegi potong rambut. Aku ikut jee, maka ...tepat pukul 5.20 petang selepas solat asar rambut aku dipotong dengan rasminya oleh tukang gunting. Yang sedihnya, setahun lebih aku bela rambut tu tapi hanya beberapa saat saja rambut aku selonggok demi selonggok jatuh ke lantai dikerjakan oleh tukang gunting tu. 10 minit kemudian jadilah aku manusia normal balik. Tak pe lah.. apa ada pada rambut kerana jiwa masih lagi thrash. Tidak lama kemudian aku terbaca dalam majalah hiburan anggota kumpulan idola aku iaitu CROMOK juga sudah berwajah baru dengan berambut pendek tetapi masih membawa muzik berirama thrash metal.


Balik kampung terus potong rambut.. dah jadi baik semula tapi masih belum hilang dia punya aura.
Ni lagi satu fesyen mat thrash


Kalaborasi dengan Isa.. Aku main lead, Isa main bass.. kena lagu Fade To Blade. perghhh..
Isa.. this is my best friend. Pergi kat Jepun bawa balik complete set album Metallica hadiahkan kepada aku.
Koleksi Album METALLICA yang Isa hadiahkan untuk aku masa dia balik dari Jepun

                  Sebelum berpisah, layan dulu idola aku goreng guitar
Karl main gitar sebijik macam aku main. he..he..
Sampai sini saja cerita aku pasal pengalaman aku menjadi budak Thrash. Aku dah tak mahu lagi datang ke Kuala Lumpur untuk mengulangi kesilapan lalu. Biarlah aku berubah arah pula. Kasihan mak dan ayah aku. Biarlah pengalaman ini menjadi sesuatu yang boleh memberi panduan dan pengajaran untuk aku menjalani kehidupan yang lebih sempurna pada hari yang mendatang.

Okeylah.. ke mana aku pergi selepas ni? apa yang aku buat ? kenapa aku boleh masuk universiti sedangkan sijil SPM pun tak de ??? persoalan tu akan terjawab sekiranya anda mengikuti Episod seterusnya iaitu Episod 4. Tungguuuu....




Friday, 4 October 2013

KOLEKSI PENGALAMAN UNTUK DIKONGSI ( EPISOD 2 )


EPISOD 2 - Mengikuti Kursus Perkeranian

Sambungan daripada episod 1.
Kenapa aku ke Kuala Lumpur ?? Sebenarnya sebaik sahaja aku tamat menghadapi peperiksaan SPM, aku memohon untuk belajar komputer di salah sebuah syarikat yang mengendalikan kursus komputer kepada lepasan SPM. Perkara yang sebenarnya lagi, aku tidak berminat pun untuk belajar benda-benda macam tu, tapi oleh sebab aku tersangat ingin keluar dari kampung dan kongkongan daripada ibu bapa maka aku terpaksa berlakon untuk mendalami ilmu dalam bidang perkomputeran. Kalau aku nak pergi untuk bekerja, confirm ayah dan mak aku tak kasi sebab kemahiran aku sangat diperlukan oleh ayah aku untuk menjaga 12 buah rumah sewa miliknya.

Selama dua hari aku berada di rumah abang aku di Kuala Selangor. Sepanjang dua hari tu jugaklah dia menjamu aku dengan makanan yang pelik-pelik yang aku tak pernah jumpa masa kat kampung. Dia juga sering membawa aku bersiar-siar ke Bukit Melawati, Pekan Tanjung Karang, Pekan Ijok, Sungai Buloh sehingga ke pekan Sungai Besar. Bawa aku pergi jeti lihat nelayan bawa naik hasil tangkapan dan abang aku beli ikan, sotong, udang kertas dan ketam fresh untuk dimasak dan bagi aku makan. Pendek kata abang aku memang jamu aku makan sepuas-puasnya sebab dia tahu aku tidak pernah jumpa benda-benda macam ni.

Pada suatu hari Ahad, abang aku dengan ditemani sahabat baiknya Mohd Isa telah pergi hantar aku ke tempat aku nak belajar. Puas dicari tempat tu berpandukan alamat yang tertera pada surat tawaran tapi sukar nak jumpa. Dengar kepada nama sekolah , PUSAT PENGURUSAN DAN PENGAJIAN KOMPUTER ASIA, terus terbayang di benak fikiran sekolah tu macam sebuah universiti yang mempunyai pelajar yang ramai, bangunan yang indah, prasarana yang hebat dan barisan komputer yang memenuhi setiap ruang bilik komputer. Tapiii semua tu hampeh!!! gah pada nama saja. Signboard pun berkulat dan berkarat nak mampos. Sekolah tu cuma sewa rumah flet buat tempat belajar. Ada 3 bilik saja. Setiap bilik ada susunan kerusi macam kat pusat tusyen. Satu komputer pun tak ada. Jadual belajar satu pun tak de subjek komputer.. yang ada cuma akaun, pengurusan dan perkeranian untuk mendapat sijil LCCI. Memang membosankan tengok pada jadual.

Selepas abang aku settle semua yuran pendaftaran dan pengajian, aku dibawa ke asrama. Asrama pusat tu cuma rumah flet yang disewa oleh syarikat dan dijadikan asrama. Dalam satu bilik diletakkan 4 katil double decker. Duduk bersesak macam sardin tapi bayaran yang dikenakan mahal. Bila abang aku tengok tempat yang aku akan belajar dan tempat asrama aku dia terus berbisik kat telinga aku " ko jangan lari eh Din, ko belajar sampai dapat sijil. Nanti aku settle segala yuran bulanan ko"

Sebelum balik, abang aku kasi duit poket RM50.00 buat belanja. Duit yang mak aku kasi masih belum digunakan iaitu sebanyak RM50.00. Jadi duit aku ada dalam RM100.00. Banyak tuuu, amat-amat jarang sekali aku dapat pegang duit sebanyak tu selama aku hidup. Duit yang mak aku kasi masih aku letak berterabur sebab dengar nasihat emak. Duit yang abang aku kasi aku selitkan dalam poket seluar. Semasa aku sedang sembahyang zuhor, aku terasa ada kelibat lembaga melintasi belakangku. Aku rasa tak sedap hati. Selepas sembahyang aku terus memeriksa dalam poket seluarku. Alangkah terkejutnya aku kerana duit RM50.00 yang abang aku kasi sudah lesapppppp. Sakitnya hati aku tak terkata. Aku tahu sapa yang ambik tapi oleh sebab aku masih baru dan masih belum punyai kawan maka aku diam sajalah.

Kat tempat baru dengan pantas aku  mencipta kawan dan yang pastinya kawan yang sekapal denganku lebih diutamakan sebab mudah berkomunikasi. Walau bagaimanapun, kat dalam hostel aku semuanya aku campur kecuali seorang saja yang aku tak campur iaitu yang rembat duit aku. Nama dia Shamsul budak Perak. Aku boleh tuduh dia sebab masa tu hanya aku dengan dia sahaja ada kat dalam hostel tu. Aku juga tanya dia arah kiblat. Sekarang aku sudah mula ada kawan, bukan saja dari negeri kelahiranku saja bahkan dari Rembau, Temerloh, Klang, Mersing, Yan dan sebagainya. Yang paling aku rapat ialah Azuraiman ( Kota Bharu ), Basri ( Tumpat ) dan Jefri ( Temerloh ). Kami berempat memang kamceng, ke mana saja pergi pasti bersama.

Aku fokus belajar  tak sampai dua bulan, lepas tu dah mula tuang kelas. Beberapa surat amaran telah dihantar oleh pihak pengurusan ke alamat rumah aku kat kampung. Hal ini membuatkan emak dan bapa aku mula rimas bagai cacing kepanasan. Memang mereka dah agak aku merantau bukan untuk belajar tetapi mahu tinggalkan kampung saja. Selepas dua bulan, aku keluar hostel dan tinggal menyewa kat Flet Taman Batu, Greenwood, Gombak. Dua bulan kat sini juga hampir setiap minggu aku ke bandar dengan menaiki bas mini no 14 menikmati kehidupan di Kota Raya. Aku tawaf dari satu pasar raya ke satu pasar raya lain. Bermula di The Mall, jalan ke Chow Kit Road, Pergi Pertama Kompleks dan Campbell berjalan lagi ke Dataran Merdeka dan terus Tamat di Pasar Seni. Kat pasar seni biasanya aku layan penghibur-penghibur jalanan meh-meh pengamen jalanan. Sikit-sikit aku dah mula kena short culture. Sebelum ni aku tak pernah tengok lelaki dan wanita yang belum kahwin tinggal serumah tapi kat sebelah rumah sewa aku selamber je geng-geng bujang tinggal serumah dengan wanita-wanita. Masa kat kampung aku belum pernah tengok perempuan pakai seluar pendek tapi kat sini perempuan-perempuan pakai seluar pendek singkat selamber saja.Banyak lagi kemungkaran-kemungkaran yang aku tengok dengan mata kepala aku sendiri selama dua bulan aku berada di sini.Budak Melayu beli arak kat Seven Eleven selambe saja termasuk budak perempuan.

Tiga bulan kemudian kak Long aku kat kampung terima surat rasmi dari pusat pengajian yang menyatakan aku dibuang daripada belajar kat sekolah tah apa-apa tu. Memang aku suka dibuang pun dan hakikat sebenar.. aku yang membuangkan diri aku sendiri. Kak Long amat marah apabila menerima surat 'berpuaka' tu. Tapi aku bernasib baik sebab dia tak dapat hubungi aku untuk berleter. Akupun tak pernah telefon kat kampung. Keputusan SPM  pun aku TAK balik ambik sebab naluri aku kuat mengatakan SPM aku GAGAL. Entah macam mana kak Long aku dapat hubungi aku melalui surat berdaftar yang dihantar. Dalam surat tu memang kaw-kaw dia leteri aku. Dia kata mak dengan ayah aku begitu kecewa dengan sikap aku dan minta aku pulang segera untuk return SPM ( mengulang ). Masa zaman aku, pelajar yang tak lulus SPM boleh masuk tingkatan lima semula untuk mengulang.

Tawaran untuk mengulang SPM aku tak layan. Aku dah seronok tinggal kat KL. Kawan aku dah ramai dari pelbagai negeri dan tempat. Walaupun ayah aku tak hantar duit belanja, tapi aku boleh hidup sebab kawan aku yang bernama Azuraiman ( Pu'ah ) tu anak orang kaya. Dia yang sara hidup aku. Selain tu, aku juga tinggal serumah dengan geng-geng yang sudah berumur dan sudah bekerja. Nilah kali pertama dalam hidup aku, aku mempunyai kawan yang umurnya jauh lebih tua daripada umur aku.Aku dah jadi orang bandar sekarang. Pakaian aku mahal-mahal dan berjenama sebab aku rembat pakain Pu'ah. Aku bebas bergilir pakaian dengan Pu'ah sebab saiz badan aku lebih kurang. Hanya seluar dalam saja aku tak kongsi.

Aku cuba cari kerja sebab tak best hidup orang tanggung. Kerja pertama yang aku buat ialah jadi kuli kat kilang Aerofoam di Batu Caves. Gaji murah je tapi cukup le untuk hidup 3 minggu.Berhenti kerja kilang tu, aku mencari pengalaman dengan bekerja di Syarikat Catering & Servis bahagian angkut pinggan mangkuk dan cuci pinggan. Sebulan saja aku bekerja kat syarikat catering tu sebab tak tahan dengan supervisor yang kuat berleter.Aku kerja pula kat Hotel Grand Continental sebagai kitchen helper. Jurupotong sayor dan kupas bawang serta bantu jurumasak. Kat sini aku sempat belajar masak sikit-sikit. Berhenti kerja kat sini, aku kerja pula di Syarikat Sri Aman Cleaner sebagai pencuci tandas kat bangunan MAS jalan Sultan Ismail. Kerja cuci tandas lebih seronok sebab tak ada tekanan. Rakan setugas pun baik-baik. Supervisor pun cantik orangnya dan masih bujang ( adik pengurus ).Lagipun masa kerja kat sini ada seorang awek India namanya Sumathi yang cukup minat dengan aku.Walaupun dia kerja sebagai eksekutif kat floor 25, tapi minat kat aku. Bodoh betul !!! selalu belanja aku makan KFC kat bangunan The Weld pada masa lunch. Tak malu pulak dia walau aku pakai uniform (t'shirt biru) yang tertulis Sri Aman Cleaner & Servis kat belakang manakala dia lengkap dengan skirt dan blezer tapi selalu berjalan beriringan dengan aku. Tulah yang dikatakan 'Cinta Itu Buta' gamaknya. Sumathi juga selalu tunggu aku kat dalam tandas untuk mengurat aku kerana dia tahu setiap pukul 9.30 pagi aku akan ke tingkat 25 untuk bersihkan tandas kat situ kerana office dia kat tingkat 25. Selama 4 bulan lebih aku bertahan kerja kat syarikat cleaner tu. Berhenti kerja kat situ, aku kerja pula sebagai atandent snooker kat Marcopolo Snooker. Gaji agak mahal tapi yang tak tahan selalu kena tatang Carlberg dan Beer untuk customer. Tulah yang membuatkan aku tak tahan dan terus berhenti. Cuma sempat menerima sebulan gaji sahaja lepas tu aku blahh.. 

Selepas tu, pelbagai kerja lagi yang aku lakukan termasuk jadi konduktor bas mini. Ikut member kerja sebagai plumbing dan repair rumah. Seterusnya, bila rambut aku semakin panjang dan aku dah jadi rocker, aku banyak menganggur dan sekali sekala ikut member aku berniaga kat pasar malam. Kadang-kadang aku tolong member aku ( Zul- Drummer kumpulan rock SERA dan pernah buat album mamat ni) berniaga kat Chow Kit Road


Bas mini yang cukup terkenal untuk ke mana-mana destinasi di Ibu Kota suatu masa lalu. ( gambar ihsan Google )


Ke mana-mana kita pergi, tambang semuanya 50 sen tidak kira jauh atau dekat

Perghhh.. memang pengalaman kerja aku cukup luas. Aku ni jenis orang yang tak memilih kerja sebab aku sedar aku ni tak punyai kelulusan apa-apa. Memang aku betul-betul puas hidup merantau dan aku gembira dengan cara hidup aku walaupun ada kalanya tak makan sebab tak punyai wang. Pengalaman berkawan juga cukup luas. 

Okeylah.. sampai sini dulu cerita aku untuk dikongsi dengan korang. Nanti jangan lupa korang ikuti pula kisah aku dalam EPISOD 3 - Matdin dah jadi Mat Trasher..



Thursday, 3 October 2013

KOLEKSI PENGALAMAN UNTUK DIKONGSI ( EPISOD 1 )

EPISOD 1 - Pengalaman Merantau Ke Kuala Lumpur

Waa.. trafik blog aku semakin naik tapi yang peliknya aku pula semakin malas berkarya. Penggemar blog aku asyik dok tanya bila entri baru nak masuk. Ni gara-gara CANDY CRUNCH lah punya pasal sehingga terlalu banyak masa aku terbazir begitu sahaja. Setakat ni aku menghuni level 106. Ada sesetengah level tu aku ambik masa  sampai 3 hari untuk berjaya ke level yang seterusnya. Bayangkan betapa teruknya aku buang masa menelaah permainan ciptaan Yahudi tu sehingga mengabaikan terus blog Matdingunung.

Tak pe lah.. hari ni aku berhajat nak berkongsi pengalaman lampau aku dengan korang yang sudi mengikutinya. Pengalaman ni merupakan salah satu koleksi yang aku kumpul dan aku kutip masa aku muda-muda dulu. Ye lah.. macam aku kata.. PENGALAMAN PERLU DICARI, BUKAN BOLEH DIBELI. Dan seelok-elok untuk mencipta dan mengumpul pengalaman adalah masa kita masih bujang. Kalau dah beristeri dan beranak pinak, terlalu banyak kekangan untuk kita ke mana-mana mencari pengalaman kerana kita terikat dengan tanggungjawab yang lebih besar.

Masa aku masih di bangku sekolah, aku sangat bercita-cita untuk mempunyai pendapatan sendiri dan yang paling aku tak sabar ialah mempunyai motosikal RXZ yang sangat-sangat aku minati masa aku dalam tingkatan lima. Lebih-lebih lagi bila semakin ramai sahabat-sahabat aku yang dah habis sekolah mampu membeli motosikal idaman dengan wang hasil titik peluh mereka sendiri, bukan guna duit si bapa. Masa dulu-dulu, boleh dikatakan hampir 85% anak-anak muda yang habis sekolah di kampung aku akan menuju ke SINGAPURA untuk mencari rezeki. Aku juga mempunyai impian yang begitu apabila melihat seorang demi seorang rakan-rakan aku yang mewah berbelanja sesekali pulang ke kampung terutamanya balik untuk beraya. Hal ini membuatkan aku berasa tidak sabar untuk menghabiskan sisa-sisa pengajianku di sekolah. Minat untuk belajar dan melanjutkan pelajaran hilang terus. Aku sebolehnya mahu GAGAL dalam peperiksaan SPM sebab aku terlalu jemu untuk balajar lagi. Dalam fikiran aku dok pikir pasal kerja..kerja..kerja.. dan lari dari kampung yang tidak membangun tu atau dengan kata lain nak cuba keluar dari bawah tempurung.Korang bayangkan, dari aku mula lahir sehingga aku berumur 17 tahun, tidak pernah aku keluar dari negeri kelahiranku malah keluar ke bandar pun hanya beberapa kali sahaja dalam setahun. Banyak usia aku beranjak dalam kampung aku saja. Memang piaww aku orang darat. Sepanjang 17 tahun aku hidup tak pernah tidur dan makan kat hotel, tak pernah ke luar negeri atau ke luar negara, tak pernah naik bas ekspress ataupun kapal terbang dan bapa aku tak pernah bawa aku pergi ke mana-mana destinasi pelancongan.Tiba je hari minggu, mesti kena tolong bapa aku buat apa-apa kerja. Pagi-pagi dah kena bangun. Bapa aku tak pernah bagi peluang anak-anaknya untuk sambung tidur selepas menunaikan solat fardu subuh. Lepas subuh mesti buat apa-apa kerja. Biasanya pergi menebas kat dalam kebun getah, atau pergi tabur baja untuk anak-anak getah, pergi gaul simen atau ikat batu bata, gali lubang jamban, mengecat rumah sewa dan macam-macam kerja yang diciptanya bagi memastikan masa cuti aku menguntungkannya. Tak de peluang aku nak berpoya-poya.

Dipendekkan cerita, selepas habis peperiksaan SPM, aku bukan ke SINGAPURA untuk bekerja tetapi aku merantau ke ibu kota KUALA LUMPUR. Aku pergi sorang diri je dengan menaiki bas ekspress TRANSNASIONAL. Mak aku cuma bekalkan aku dengan wang RM50.00 sahaja untuk berbelanja dan buat modal bekerja.Dengar cerita, kat Kuala Lumpur banyak orang jahat. Mak aku suruh sorok wang yang dia kasi kat banyak tempat agar kalau dicuri orang satu tempat, ada lagi berbaki kat tempat lain. Oleh sebab tu, aku sorok merata duit aku yang RM50.00 tu. Sepuluh ringgit aku letak sebelah kanan dalam stoking yang aku pakai. RM10.00 lagi aku letak dalam stoking sebelah kiri. RM10.00 aku letak dalam poket seluar sebelah kanan dan RM10.00 aku letak dalam poket seluar sebelah kiri. Baki RM10.00 lagi aku simpan dalam beg duit bersama dengan IC dan lesen  motor class L.


Bas Ekspress pertama yang aku naik sepanjang hidup aku

Semalaman perjalanan aku ke Kuala Lumpur, aku tidak dapat melelapkan mata. Aku asyik mengelamun dan terbayang-bayang apa yang akan berlaku terhadapku selepas ini kerana sepanjang hidup aku mana aku pernah keluar jauh seorang diri macam ni. Tempat yang begitu asing bagi aku, kat Hutan Batu pulak tu, kalau hutan rimba tu biasa la aku. Walaupun aku nampak lembut tapi hati aku sangat keras dan berani menghadapi cabaran dan risiko.Aku sudah bernekad bahawa aku akan keluar merantau untuk berdikari sebaik saja aku habis bersekolah. Aku tidak mahu lagi bergantung hidup di bawah saraan ibu bapa aku.Ibu bapa aku sudah banyak mengajar aku erti kehidupan dan kecekalan hidup. Sekarang ni aku mesti praktikkan apa yang aku dah pelajari selama ini.

Tepat jam 7.30 pagi, bas yang aku naiki selamat tiba di Hentian Putra setelah menempuh perjalanan selama lebih kurang 11 jam lebih melalui Terengganu dan Temerloh. Pada masa tu perjalanan melalui Gua Musang-Kuala Lipis-Raub-Bentong belum lagi wujud. Turun saja dari tangga bas, aku berdiri di satu penjuru dan tidak ke mana-mana kerana abang aku yang menetap di Kuala Selangor akan datang menjemputku. Masa tu belum ada telefon bimbit menyebabkan aku tak boleh berkomunikasi. Beberapa minit kemudian, aku terpandang abang aku bersama dengan rakan karibnya Mohd Isa sedang melilau mencari aku dari satu bas ke satu bas yang lain. Hatiku melonjak gembira dan tanpa membuang masa, aku berlari mendapatkan abang aku. 



Tempat pertama yang aku pijak semasa aku pertama kali datang ke Kuala Lumpur untuk berdikari

Abang aku terus bawa aku naik ke tingkat satu kemudian order nasi lemak untuk sarapan pagi. Pertama kali dalam hidup, aku makan nasi lemak bersama kacang tanah yang digoreng. Sebelum ni masa kat kantin sekolah atau kat warung di kampung, aku hanya makan nasi lemak dengan sambal dan sepotong telur rebus saja. Tak pernah lihat ada kacang tanah goreng macam ni. Bukan tu saja, dalam nasi lemak aku juga ditaruknya sambal kerang dan sambal sotong. Perghhh.. hebatnya KL. Aku tak pernah jumpa nasi lemak ada sambal selain sambal ikan bilis. Betapa kerdilnya aku yang tak pernah keluar dari kampung.

Bila matahari dah terang, aku macam rusa masuk kampung, sambil kaki mengorak langkah ke kereta, mata aku melilau memandang sekeliling. Macam tak caya aku telah sampai ke Kuala Lumpur. Bangunan tinggi pertama yang aku lihat sepanjang hidup aku ialah Bangunan PWTC. Terpegun aku melihat ketinggian bangunan tersebut  yang tidak setanding dengan ketinggian bangunan yang terdapat di bandar Kota Baharu. Semasa dalam perjalanan ke rumah abang aku di Kuala Selangor, bijik mataku terhidang dengan kesibukan kota raya dan jalan-jalan yang bersimpang siur. Mataku tercari-cari bangunan Daya Bumi yang cukup terkenal pada masa tu tapi tak jumpa. Bila aku tanya abang aku mana bangunan Daya Bumi, abang aku kata kita lalu ikut jalan lain dan bangunan tu dekat dengan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Hampa jugak aku tak dapat tengok bangunan yang secanggih Daya Bumi. Tapi tak pe.. takkan lari gunung dikejar. Lambat laun akan sampai juga aku ke situ.


Bangunan tinggi pertama yang aku lihat secara 'live' sepanjang 17 tahun aku hidup

Okeylah.. sampai sinilah dulu aku cerita pasal pengalaman pertama aku di Kuala Lumpur. Kalau nak cerita semuanya sekaligus nanti jemu pula membaca sebab terlalu panjang ceritanya. Nanti jangan lupa korang buka EPISOD 2 untuk mengetahui kisah aku seterusnya. Kita kongsi-kongsi cerita dan pengalaman.