Wednesday, 22 February 2012

MENJARING IKAN DI TELUK KEMANG


Aku kalau bab outdoor ni memang laaa… ke mana-mana aku pergi mesti aku tak boleh tinggal khemah, hammock, sleeping bag dan jaring. Aku tak pernah bawa keluar semua barangan ni dari dalam bonet kereta aku. Baru-baru ni aku bersama keluarga pergi bercuti di Port Dickson sempena cuti Thaipusam dan Mauludirasul. Kami sewa rumah Guest House UPM  kat Teluk Kemang. Kat situ ada la teluk tempat bot pisang jatuhkan penumpang. Sambil mandi-manda, aku cuba la letak jaring 2 utas yang ada dalam kereta aku. Pada mulanya saje je letak. Daripada dok dalam bonet kereta, lebih baik aku letak dalam air. Petang tu aku cuba la angkat jaring. Tak mengharap untuk kena ikan pun. Tapi terkejut beruk juga aku kerana jaring yang aku letak main-main rupanya membuahkan hasil. Bukan saja ikan yang dapat, Ketam bunga pun ada. Wah.. daripada main-main sudah bertukar kepada serius. Aku setting semula jaring aku cantik-cantik, untuk aku tinggal dan angkat pagi esok.

Apabila aku angkat keesokan pagi, wah.. banyak juga ketam bunga yang sangkut. Sampai jemu aku membuangnya sebab susah gila.. Lalai sikit pasti jari jemariku disepitnya. Apa lagi, lunch aku sekeluarga tengah hari tu berlaukkan ketam bunga fresh lah.. dapat satu periuk boh.. Ikan juga ada sangkut beberapa ekor. Enak digoreng makan dengan nasi panas di tepi pantai Teluk Kemang.

                                     ikan kitam ni kot..

              Antara pemandangan indah yang sempat aku shoot








                                Rezeki...KETAM BUNGA


                            Hasil tangkapan dok dalam guni

BERAKIT DI SUNGAI ARING


Berakit merupakan satu aktiviti air yang tidak kurang seronoknya. Di samping memerlukan kemahiran membina rakit, kita juga perlu bijak mengemudi rakit agar tidak hanyut dibawa arus. Kalau rakit yang dibina tidak kuat ikatannya, rakit tersebut boleh berkecai di tengah sungai. Kita juga boleh menggunakan rakit untuk memasang jaring di tempat air yang dalam atau di lubuk. Aktiviti ini aku lakukan di sungai Aring, Gua Musang. Sungai ini adalah sambungan sungai Kuala Koh di Taman Negara. Pelbagai spesis ikan tedapat di dalam sungai ini. Kalau bernasib baik, kita boleh mendapat ikan KELAH untuk dibuat gulai asam tempoyak atau digoreng. Semakin jauh kita mudik, semakin banyak ikan yang kita boleh dapat. Tapi kita perlu berwaspada kerana banyak binatang liar seperti gajah dan pak belang sedang mandi di hulu sungai ini. Berakit sambil bersantai di tepi sungai memang sesuatu yang menghiburkan. Di samping becamping, kita juga boleh memasak terus hasil sungai yang kita dapat tangkap. Untuk kepuasan, sekurang-kurangnya kita harus bermalam selama satu malam di tepi sungai. Bawa kelengkapan dan peralatan secukupnya supaya aktiviti kita lancar dan tidak terbantut.

                            Memasak lauk di gigi sungai, mudah ambil air

                              Pastikan buluh yang digunakan berkualiti

                      Ikatan mesti kemas agar tidak berkecai di tengah sungai

                                       Tolak masuk ke permukaan sungai




                                      Hasil tangkapan terus dijadikan lauk

                                                           Kelah dan sembarau

      Antara hasil tangkapan yang dapat. ni baru satu utas jaring, 
              ada byk lagi jaring yang masih belum angkat

                                         memancing pun boleh dapat ikan


                    Sungai Aring lebih kurang 12 km dari Tasik Kenyir

                         Makan ala-tentera. Akulah Kuater Masternya

Perlu bijak imbangkan badan

    Rezeki.. Udang Galah ini ditangkap melalui kaedah menyelam
                                        pada waktu malam



                                memasak ala kadar tapi menyelerakan

  buat unggun api untuk mengelakkan binatang liar datang bertamu
                      Suasana pagi yang tenang dan damai serta dingin

                             Pada mula-mula sampai air jernih dan cantik


                   Hujan amat lebat malam tadi menyebabkan air besar






                                                      Bawa budak-budak je.. train diaorang


Okey... itu saja kisah tentang aktiviti berkhemah, berakit, menjaring, memancing dan berenang. Semoga kita jumpa lagi dilain kali dengan aktiviti yang lebih extreme. Sekian saja daripada MATDINGUNUNG.

Tuesday, 21 February 2012

XPDC MENAKLUK PUNCAK GUNUNG KINABALU


Selepas Berjaya menakluk puncak gunung Ledang, aku sudah mula jatuh cinta dengan aktiviti hiking. Maka nafsu untuk aku mendaki gunung lain sudah mula sukar untuk dibendung. Pada bulan march 2009, kawanku mempelawa aku untuk mengikuti rombongan pelajar sekolahnya menawan puncak gunung Kinabalu. Pelawaan ini tidak mampu aku tolak walaupun menelan kos yang agak tinggi. Sering terbayang di ruang mataku akan keseronokan mendaki gunung yang tertinggi di Malaysia ini walaupun aku masih cetek dengan pengalaman mendaki. Sebagai persediaan, aku Cuma berlari 3 kali dalam seminggu. Oleh sebab bidang pendakian merupakan satu aktiviti yang baru aku ceburi, maka banyak peralatan mendaki masih tidak aku miliki. Aku telah membeli sepasang kasut hiking janama Adidas manakala beg hiking Deuter aku cuma pinjam daripada kawanku. Pengalaman mendaki gunung Kinabalu memang tidak dapat aku lupakan. Rombongan kami di tempatkan di pusat Kurikulum Negeri Sabah di Kota Kinabalu. Kami bersarapan dengan nasi lemak sebelum bertolak ke Kundasang. Sampai di Kundasang, kami mendaftar diri di Pusat Perhilitan Taman Kinabalu. Di situ, aku berasa ada sesuatu yang tak kena dengan perutku. Meragam semacam aje. Hampir 25 orang ahli rombongan mengalami cirit birit. Mungkin penyediaan makanan yang kotor oleh mak cik yang diamanahkan untuk menyediakan serapan pagi kepada rombongan kami. Keadaan menjadi semakin huru-hara apabila kami terpaksa berkongsi dua tandas sedangkan orang yang ingin menggunakan tandas tersebut begitu ramai sekali. Keadaan lebih menyulitkan apabila air di dalam tandas pula tiada. Jadi, kami tepaksa membawa air mineral sendiri yang sepatutnya digunakan semasa mendaki. Belum lagi mula mendaki, sudah tiga botol air mineral yang besar telah habis kerana tiga kali berulang-alik ke tandas. Semasa berada di Timpohon, sekali lagi peruk aku memulas-mulas. Nasib baik kat situ disediakan tandas. Awal-awal lagi aku sudah mula kehilangan tenaga kerana terlalu kerap membuang air. Namun, pendakian mesti diteruskan walau apa yang berlaku. Pendakianku sentiasa terbantut kerana rasa sakit perut tak juga lenyap. Nasib baik setiap kilometer disediakan tandas tetapi yang menjadi masalah airnya terlalu sejuk macam air batu. Mengiggil punggung aku. Ada seorang pelajar yang hampir pitam menahan rasa nak terberak lalu aku mengarahkan dia cepat mendaki ke check point seterusnya kerana setiap check point ada tandas. Aku cukup faham masalah yang dihadapinya, sebab itu aku sanggup memikul begnya walaupun aku sendiripun sudah tak berdaya.
Alhamdulillah.. penyakitku sudah beransur hilang apabila semasa pendakianku sudah sampai separuh gunung. Aku tercunggap-cunggap keletihan kerana telah kehilangan banyak mineral dalam badan. Aku cukup hairan apabila melihat budak-budak kadazan dusun yang baru berumur 7 atau 8 tahun tetapi sungguh bertenaga membawa barang pelanggan. Dari raut wajah mereka tidak sedikitpun menunjukkan keletihan, malahan sempat bergurau senda bersama rakan-rakannya. Tepat pukul 5.30 petang aku akhirnya sampai ke Laban Rata dalam keadaan yang basah kuyup. Sebaik sampai, aku terus ke kafetaria untuk makan sepuas-puasnya dan kena minuman panas. Selepas solat fardhu asar, aku di tempatkan di dalam kabin. Cuaca pada masa itu sangat sejuk sekali. Setiap kali bercakap, akan keluar kepulan asap dari mulut. Terasa seolah-olah berada di Moscow. Aku juga diiringi oleh hujan sepanjang pendakian. Hal ini merupakan satu pengalaman baru buatku kerana cuaca yang extreme ini tidak pernah aku rasai sebelum ini.
Tepat pukul 2 pagi, aku dikejutkan untuk membuat persediaan mendaki naik ke puncak. Aku mengalas perut dengan memasak Maggie Mi dan secawan kopi panas. Selepas membuat sedikit senaman regangan, kami mula bergerak naik. Cuaca semasa aku mendaki ke puncak begitu baik sekali. Bintang-bintang bertaburan menghiasi langit dan bulan juga terang-benderang seakan-akan purnama. Cuaca pada malam ini sungguh berbeza sekali dengan hari semalam kerana pasukan kawanku dari SMK Bukit Jelutung mengalami keadaan yang sukar apabila kabus tebal beserta angin yang agak kencang mengiringi pendakian mereka. Angin sejuk sepoi-sepoi bahasa menyapa mukaku di sepanjang aku mengatur langkah naik ke puncak begitu mendamaikan sekali. Walaupun tahap oksigen sudah semakin menipis tetapi aku tidak terasa letih. Mungkin disebabkan badan aku sudah cukup sihat.
Aku sampai ke puncak tepat pukul 4.50 pagi. Pada masa itu pendaki lain masih belum sampai jadi aku diberi lebih lama masa untuk bersantai di puncak. Keadaan ini memberi kesempatan untuk aku merakam sebanyak mungkin gambar matahari naik yang sungguh mempesona. Setiap minit matahari naik sempat aku rakam untuk koleksi. Itulah kepuasan yang tidak terhingga yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Otak aku benar-benar fresh menikmati keindahan alam dan kebesaran kejadian tuhan dari puncak gunung tertinggi di Malaysia. Pada masa dan saat itu, akulah manusia yang berada paling tinggi sekali di Malaysia. Segala beban tugas dan apa-apa masalah aku buang jauh-jauh. Kini.. baru aku sedar betapa orang kaki gunung memang GILA mendaki gunung. Sekarang aku pun sudah mahu menjadi sebahagian daripada mereka. Kalau ada peluang sekali lagi, Insya-Allah, PUNCAK GUNUNG KINABALU akan aku pijak lagi.
Bersedia untuk memulakan pendakian

Posing dulu

Bersedia untuk mendaki ke puncak

Bergambar kenangan dengan pendaki dari Jerman

Pendaki lain tengah naik, aku sudah dalam perjalanan turun






Hamparan batu batan yang terbentang luas


Bagai berada di atas kapal terbang



Salah satu gambar yang indah sempat aku shoot dengan kamera kompak aku

Bergambar kenangan di puncak

Masuk surat khabar juga akhirnya