Wednesday, 27 March 2013

RONDA-RONDA KAT PIT F1

Assalamualaikumm...

Baru-baru ni aku berkesempatan untuk melawat litar F1 di Sepang tapi kena bawak budak skolah la.. Ni merupakan satu program yang dianjurkan oleh Circuit F1 Sepang untuk mendekatkan minat budak-budak sekolah terhadap sukan pemotoran. Peluang yang julung-julung kali dapat ni tak boleh aku nak tolak sebab peluang macam ni tak semua orang dapat. Tengok  jentera lumba dari dekat dan tengok jurutera-jurutera pasukan F1 bertungkus lumus persiapkan kereta lumba masing-masing merupakan satu peluang keemasan.



Air Minuman Sea Master harga RM 5 sebotol pun budak berebut-rebut nak beli.



Budak berbaris sebelum memasuki litar

Sesi latihan bermula. Kamera aku tak cukup power untuk shoot kelajuan pergerakan kereta f1



Bergambar kenangan di tempat duduk yang tiketnya berharga RM1000.00 masa hari perlumbaan

Barisan Kereta Porche bersiap sedia untuk memulakan perlumbaan
Kereta Porche sedia untuk berlumba



Selepas tamat sesi latihan dan berakhirnya perlumbaan pertunjukkan kereta Porche, barulah aku dan budak-budak dibawa melawat pit.

Crew yang bertugas membawa budak-budak melawat pit
Petrol khas untuk kereta F1 sahaja.

Gadis Litar

Crew Pasukan Red Bull





Gadis Litar


Antara Eksesori yang digunakan oleh Krew Pasukan apabila kereta Formula 1 memasuki pit



Kat mana-mana pun ada Crew  televisyen antarabangsa yang membuat liputan

Salah satu teknologi apbila kereta formula memasuki pit





Tayar Khas siap dicetak nama pelumba

Pit Ferarri

Tayar yang bakal digunakan oleh Flippe Massa


Sahabat aku siap bergambar dengan jurutera-jurutera F1

Barisan kereta Formula 1 yang terlibat dengan sesi latihan

Gadis Penyeri Litar

Sebelum aku balik, gadis litar pasukan Ferarri mintak untuk bergambar dengan aku  buat kenangan apabila dia balik ke Italy nanti.

Sekian terima kasih..





Saturday, 16 March 2013

PENGALAMAN KENA DENGGI


Alhamdulillah... masa aku menulis entri ini aku sudah 96% sihat daripada demam Denggi. Walau sudah seminggu lebih berlalu, namun efect kuman yang dibawa oleh nyamuk Aedes ini memang liat untuk keluar sepenuhnya dari dalam tubuh aku. Nampak dari segi fizikal memang sihat, tapi tubuh masih lagi lemah terutamanya pada waktu pagi dan senja.

Berbulan madu dengan isteri kat WAD 7D. Sama-sama masuk Wad Denggi. Gambar ihsan Mr.Kuwar

Pengalaman kena demam denggi ni TIDAK PATUT kita cari apatah lagi untuk dijadikan koleksi pengalaman. Kalau boleh kita kena lari daripada pengalaman ini bahkan kena hindari. Aku sudah dua kali mengalamai situasi cemas macam ni. Orang tanya aku "macam mana rasa demam denggi ni? ceciter skit nak tau". Kalau ko nak tahu rasa demam denggi ni bro, first sekali badan rasa sejuk panas terutamanya petang dan pagi. Nak tidur tak lena, kepala sakit teramat sangat. Ko makan apa pun terasa pahit hatta buah kurma sekalipun yang ko makan tetap rasa pahit. Makan buah anggur yang tak de bijik pun rasa pahit. Bila ko makan, pas tu ko akan muntah keluar air. Sakit habis badan dan urat saraf ko sebab termuntah. Lagi seksa, bila ko lepas makan ubat, duk jap terus ko muntah.. pahit woo keluar muntah dengan bijik-bijik ubat yang ko telan sekali. Lepas tu ko tidur jap. Sendi-sendi ko akan rasa sakit dan lutut ko akan out. Nak sembahyang pun tak terdaya apatah lagi nak angkat tong gas. Bila ko pegi klinik, doktor cuma kasi ubat paratacemol dan ubat tahan muntah aje. Doktor masih tak buat bloody test sebab selagi ko demam tak sampai 3 hari, kuman denggi tak boleh nak kesan. Terseksalah ko tunggu 3 hari tu sebelum ko benar-benar disahkan sebagai pembawa penyakit demam denggi.

Masa ni kawan yang melawat ko akan bawa 100 plus sebab hanya ini saja penawarnya. Selain tu, mungkin ada saudara mara yang datang melawat akan bawa SUP KETAM kerana ini juga merupakan penawar demam denggi. Masalahnya.. nak minum air ni dan nak makan benda ni tak berselera langsung. Rasa nak marah pulak ada la kat orang yang bawa sup ketam yang suruh kita makan. Bukan main seksa nak hirup sesudu demi sesudu kuah sup ketam. Tup..tup.. termuntah juga kat dalam tandas. Banyak lagi kesan-kesan yang menyeksakan orang kena demam denggi bergantung atas level atau tahap berapa dia kena. Lagi tinggi level, lagi hight dia punya pengalaman ni. Tahap 1 kena demam denggi berdarah, tahap ni boleh masuk kubur kalau dah sampai ajal. Tahap 2  kena demam denggi yang sampai keluar bintik-bintik merah dan pecah-pecah bibir serta berdarah gigi. Tahap ni juga agak kritikal dan tak terdaya nak bawa diri. Harus cepat berbuat sesuatu sama ada baca Yasin atau keluarga solat hajat mohon pada tuhan bagi umur panjang. Kalau cepat bertindak, nyawa dapat diselamatkan. Tahap 3 masih lagi kritikal tapi bila dah masuk air, dia akan beransur baik. Tahap 4, pallet darah dia antara 80 - 150. Masih OK. Masuk air dua tiga botol sihatlah dia. Tahap 5 demam denggi yang dia rawat sendiri, tak payah masuk wad. Cuma banyak minum air kat rumah dan minum sup ketam NIPAH aje. 

Kalau orang dah kena demam denggi, baru dia tahu betapa seksanya merasai pengalaman yang maha pahit ni. Bila kita dah confirm melalui ujian darah yang dibuat bahawa kita kena demam denggi, doktor akan refer kita ke WAD untuk masuk air. Masa ni sekali lagi doktor akan ambil darah. Sakit wooo.. tak terkata sebab darah kita pekat. Susah nak tarik keluar. Aku masa ni pallet darah cuma 08 nyaris-nyaris nak ke level 1 iaitu demam denggi berdarah. Lepas tu doktor akan cucuk tangan kita untuk salurkan air garam. 2 jam berada di dalam wad kecemasan, aku di tolak oleh atandent hospital masuk wad yang khusus untuk penyakit denggi. Full katil wad 7D serdang dengan orang yang terkena demam denggi macam aku  dan bini aku. Sampai saja dalam wad, masa tu pukul 12 malam, apa lagi.. darah lah... Doktor ambil darah lagi sekali untuk tujuan makmal. Nak tidur pun tak boleh sebab jururawat berkeliaran, kejap-kejap kejut. Ada-ada aje yang nak dibuatnya. Ambil bacaan suhu badan, ambil tekanan darah, bagi minum ubat dan sebagainya. Yang tak tahan bila doktor kejut untuk ambik darah lagi. Satu hari mesti 4 kali kena cucuk ambik darah, sampai bengkak-bengkak urat kita. Kalau doktor muda, cermat sikit dia ambik darah, tak terasa sangat sakitnya. Tapi kalau jururawat senior, perghhhh... kasarnya cara mereka buat kerja. Kadang-kadang sampai dua kali cucuk pun jarum masih belum masuk urat  Nak bergerak ke mana-mana memang payah sebab susah kena bawa botol air bersama. 

Apapun.. aku ucapkan terima kasih kepada sahabat handai dan saudara mara aku yang datang melawat aku dan isteri sepanjang 3 hari 2 malam aku 'berbulan madu' di dalam WAD 7D hospital Serdang. Terima kasih juga kepada para doktor yang muda-muda dan jururawat-jururawat yang setia melayan karenah kami sepanjang kami berada di wad. Terima kasih kepada doktor yang bagi MC panjang untuk kami berehat di rumah. Sesungguhnya, pengalaman ni kami tak mahu lagi. Tolooooonglah sahabat handai dan semua rakyat Malaysia supaya jaga kesihatan sebab KESIHATAN ADALAH SEGALA-GALANYA MELEBIHI NILAI JUTAAN WANG RINGGIT. Tak ada guna kita punyai banyak wang dan mewah harta benda tapi nak makan sebiji anggur pun terasa pahit. 

HARGAILAH MASA SIHAT. Gambar ihsan Mr.Kuwar



Wednesday, 27 February 2013

BAHANA PIL KUDA

Pil Kuda satu nama yang telah sinonim dengan anak-anak muda khususnya di Kelantan dan Terengganu, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal bersempadan dengan Selatan Thailand. Pil Kuda yang berasal dari Thailand ini merupakan dadah terkini yang dicipta dan telah berjaya memecahbelahkan masyarakat dan memporak-perandakan institusi kekeluargaan.


Sewaktu zaman aku bersekolah dahulu, pil ini masih belum dicipta. Yang wujud pada masa itu cuma ganja dan rochee. Itupun pelajar takut-takut untuk menghisapnya, apa lagi ingin membawanya ke sekolah. Sekarang ini, pil kuda dijual di merata-rata tempat dan boleh diperoleh dengan begitu mudah. Ramai dalam kalangan pelajar sekolah telah dilatih dan direkrut oleh pengedar-pengedar pil kuda supaya menjual pil ini kepada kawan-kawan mereka di sekolah. Penjual kecil-kecilan ( pusher ) ini akan diberi sedikit komisyen atau mendapat upah pil kuda untuk ditelan buat diri sendiri. Oleh sebab saiz pil ini amat kecil maka amat mudah untuk disorok di mana-mana dan sukar untuk dikesan. Cara penggunaannya juga amat mudah, cuma perlu telan saja untuk mendapatkan kesan. Lagi banyak telan, lagi 'hight' dia punya khayal. Tak payah guna tukir atau jarum suntikan.

 Hal yang demikian menyebabkan penagih pil kuda begitu ramai sekali dan sukar untuk dikawal bahkan pelajar sekolah rendah pun sudah ramai yang menjadi penagih pil ini dan ada yang sudah menjadi pengedar kecil-kecilan. Permintaan pil ini yang tinggi juga menyebabkan pengedar pil ini semakin bertambah tidak kira kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun ibu, ayah dan datuk serta nenek. Bahkan pernah ditangkap, satu keluarga menjadi pengedar pil kuda.Sudah ramai yang kaya raya hasil daripada kegiatan pengedaran pil ini atau dalam istilah bahasa slanga penagih dipanggil ' penolak buah'.




Masa pil ini baru timbul, harga sebiji pil kuda cuma RM5-RM 8 sahaja kemudian semakin meningkat dan terus meningkat sehingga harga pasaran kini mencecah RM 38 sebiji. Walaupun harganya mahal, penagih-penagih pil kuda masih mampu membelinya kerana wang sekarang amat mudah diperoleh bahkan ramai juga dalam kalangan penagih pil ini adalah anak-anak orang kaya. Ada sesetengah pengedar boleh tolak secara hutang kepada penagih. Telan dulu bayar kemudian.

Hadirnya Pil Kuda telah memberi bahana yang amat besar kepada masyarakat dan intitusi keluarga. Anggota masyarakat akan hidup dalam ketakutan dan sentiasa berjaga-jaga kerana tidak ada lagi jaminan untuk keselamatan nyawa dan harta benda mereka. Sikap penagih pil kuda yang agresif dan sukar diramal ini membuatkan masyarakat huru-hara. Saya ambil contoh di negeri Kelantan, boleh dikatakan tidak ada walau satu kampung di negeri Kelantan yang bebas daripada ancaman pil kuda. Setiap kampung 'wajib' ada penagih pil kuda kerana pil ini telah masuk merebak ke segenap ceruk kampung. Anggota-anggota polis tidak boleh lagi goyang kaki duduk berbual-bual kosong di balai kerana ada-ada saja laporan daripada penduduk kampung kegiatan-kegiatan jenayah pecah rumah, curi, samun, bunuh dan sebagainya yang dilakukan oleh penagih tegar pil kuda.

Kalau dulu, penjahat naik rumah orang untuk ambil barang-barang berharga. Sekali sekala berlaku kehilangan motosikal dan kasut, tetapi sekarang hampir semua benda yang boleh menghasilkan duit buat penagih akan hilang. Yang paling glamour ialah kegiatan mencuri getah sekerap, curi kabel telefon, kabel TNB, curi binatang ternakan seperti kambing, ayam, angsa, lembu. Burung Candik Jambul juga turut menjadi mangsa curi. Kepala paip pun dicuri. Pintu pagar besi pun di curi, penutup longkang pun dicuri. Pendek kata hampir semua barang yang laku dijual mereka akan curi. Ada sesetengah penagih pil kuda juga sanggup memecahkan dan mencuri wang tabung masjid dan surau untuk mendapatkan wang.

Sekarang ini penagih pil kuda memang sangat agresif. Mereka tanpa rasa belas kasihan sanggup memukul dan mencederakan mangsa samun. Mereka sentiasa merayau-rayau mencari sasaran. Apabila sudah dikenal pasti atau line sudah clear, mereka bertindak menyamun orang tua, wanita dan budak-budak. Ketagih punya pasal telah membuatkan mereka tidak mempunyai 'hati perut'.

Pil kuda itu sendiri sebenarnya yang merosakkan otak mereka menjadi berani dan 'gila'. Penagih yang dah ' kacip kuda' akan berani untuk melakukan jenayah. Penyeludup beras, petrol, diesel, dadah, senjata api dan sebagainya terlebih dahulu menelan pil kuda untuk melakukan kegiatan jenayah mereka supaya mereka lebih berani dan berkeyakinan untuk melakukan sesuatu jenayah. Kalau nak bergaduh pun mereka akan telan pil kuda dahulu sebelum bertarung. Pil kuda juga turut terkenal dalam kalangan mat-mat rempit kerana dengan menelan pil kuda terlebih dahulu sebelum merempit membuatkan mereka akan menjadi 'hati kering' dan berani beraksi.

Pelajar yang telan pil kuda sebelum masuk kelas akan memberi masalah kepada guru dan rakan sekelas. Biasanya mereka akan bertindak agresif sekiranya ditegur atau dimarah terutamanya di saat-saat kesan khayal semakin hilang. Keadaan ini boleh menyebabkan tangan mereka 'ringan-ringan' nak hinggap kat muka cikgu sekiranya mereka ada rasa apa-apa yang tak puas hati. Pil kuda juga menjadi menu harian untuk kebanyakan pemandu kenderaan seperti lori pegangkut, pemandu teksi dan pemandu bas ekspress kerana dengan menelan pil kuda dapat mengelakkan mereka daripada letih dan megantuk. Pendek kata, pil kuda ini digunakan secara meluas dan di mana sahaja tidak kira apa jawatan mereka, berapa umur mereka dan apa jantina mereka.

Sekarang ni sudah ramai yang menjadi penagih tegar pil kuda. Kegiatan jenayah akibat daripada penagih pil kuda ini pula semakin hari semakin hebat dan sukar dibendung. Pasukan RELA dan Pasukan Rukun Tetangga yang dibentuk untuk membantu pihak polis menjaga keselamatan tidak memberi kesan terhadap perlakuan jenayah yang disebabkan oleh penagih. Ada sesetengah penagih pil kuda yang bukan saja sanggup memukul isteri, bahkan lebih daripada itu iaitu sanggup membunuh ibu bapa dan sanak saudara mereka. Itulah situasi hari ini yang kita semua perlu tahu betapa hebatnya bahana pil kuda kepada masyarakat dan negara. Perkara ini kita tidak boleh dipandang enteng kelak akan membawa bencana kepada negara yang suatu hari nanti sudah tidak ada lagi generasi yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara.

Pihak kerajaan bukannya tidak bertindak untuk membendung gejala ini tetapi oleh sebab terlalu banyak maka menyukarkan pihak berkuasa untuk bertindak. Boleh dikatakan semua pusat pemulihan dadah sudah padat dengan penagih di seluruh negara. Yang insaf cuma beberapa kerat sahaja tetapi penagih baru, bertambah setiap saat. 

Rencana : Matdingunung.blogspot.com