Thursday, 31 October 2013

KISAH BLOG AKU

Assalamualaikum..

Cuti panjang sempena raya Deepavali sudah bermula.. sunyi la pulak tak menulis. Ada orang suruh aku sambung lagi kisah hidup aku. 

Haiyaa.. cerita sudah tamat maa.. mau sambung apa lagi. Baguslah kalau ada feedback daripada pembaca. Maknanya tak sia-sialah aku mengarang panjang-panjang. Aku ingat kan tak de orang nak baca. Maklumlah cerita biografi orang tak terkenal cam aku ni manalah orang nak ambik tahu tentang kisah hidup. Lainlah kalau aku ni public figure cam artis terkenal atau wakil rakyat yang banyak cerita panas. Rupa-rupanya ada orang dalam senyap membacanya. Mungkin tersesat blog kot. Tengok kepada cerita aku dari episod satu sehingga ke episod akhir, rating page view konsisten aje, hampir sama banyak. Maknanya orang yang buka akan baca dari satu episod ke satu episodlah. 

Ada orang yang kata cerita yang aku tulis tu panjang-panjang. So, dia baca pun skip-skiplah. Ada juga yang kata apa yang aku tulis tu tak cukup panjang. Masih boleh dikembangkan lagi untuk kelihatan menarik dan real. Hai.. ada macam-macam ragam pembaca ni. Bagi aku, blog ni adalah tempat berkarya. Jadi kena karang kasi panjang. Kalau FB tu kita baca sinopsis saja sudah cukup, jadi tak sesuai untuk cerita panjang-panjang. Bagi aku dan orang-orang yang minat membaca, sudah tentu suka cerita yang panjang-panjang kalau isi kandungan cerita tu manarik. Sama macam orang baca surat khabar, ada yang suka tengok gambar aje, ada yang suka baca isu yang menarik saja seperti dalam akhbar Metro. Ada juga yang baca sampai habis satu naskah akhbar. Tapi aku suka baca yang part isu-isu semasa yang menarik untuk dibincangkan dan diambil tahu. Kalau akhbar Berita Harian atau Utusan Malaysia, aku suka baca rencana muka surat 10 dan 11.

Dulu sebelum aku aktif berblog, aku banyak la juga menyumbang rencana untuk dimuatkan dalam akhbar. Kadang-kadang aku menulis rencana untuk dimuatkan ke dalam majalah Dewan Masyarakat atau Dewan Siswa. Tapi kini.. aku banyak mencurahkan idea penulisan aku di dalam blog Matdingunung. Tak lagi mengarang untuk dimuatkan dalam akhbar walaupun pembacanya hanya ciput-ciput tidak meluas seperti pembaca akhbar. Tapi tak pe.. sekurang-kurangnya apa yang aku tulis tak hilang dan sentiasa ada kalau buka serta boleh dibuat koleksi. Kalau menulis dalam akhbar, artikel aku tu akan jadi lapuk selepas satu hari. Satu lagi, ada kalanya aku pun tak tahu sama ada artikel yang aku hantar kat akhbar tu dipaparkan atau tidak. Banyak juga yang dipaparkan tetapi aku tak potong keratan tu untuk disimpan buat koleksi peribadi. Hilang begitu saja segala idea dan buah fikiran aku.

Artikel dalam blog tak lapuk. Sentiasa ada orang tengok dan baca walau artikel tu aku karang tahun lepas. Kalau dalam surat khabar, sangat jarang orang baca yang lama-lama. Kebanyakkan surak khabar hanya bernilai pada tarikh diterbitkan saja. Masuk keesokan harinya, artikel tu dah jadi pembungkus nasi atau ditimbun kat tepi dinding. Tunggu pembeli surat khabar lama datang angkat timbang kilo.

Tak pelah.. walau apapun pandangan pembaca, aku ucapkan jutaan terima kasih. Doakan aku agar diberi idea dan kesihatan untuk aku terus berkarya kat dalam blog aku. Dalam sehari dua ni.. insya-Allah aku akan masukkan beberapa cerita lagi yang ringan-ringan dan kita santai membacanya.

Thursday, 24 October 2013

REFLEKSI TENTANG KOLEKSI PENGALAMAN UNTUK DIKONGSI


Assalamualaikum.. harap kalian sudah habis baca kisah hidup aku dari EPISOD 1 sehingga EPISOD 6. Dari situ kita boleh buat kesimpulan apakah kisah hidup aku hanya sekadar retorik biasa untuk hiburan murahan yang sekadar memenuhi ruang entri blog MATDINGUNUNG atau banyak manfaat yang terkandung di dalamnya buat pembaca.

Hari tu kat dalam kereta, masa aku dalam perjalanan nak hantar anak pegi mengaji Quran, bini aku sound aku " Abang, saya ada baca kisah yang abang tulis dalam blog abang. Eee... tak kah apa yang abang tulis dan dedahkan untuk bacaan umum tu secara tidak langsung telah mendedahkan abang seorang budak jahat?" Takah itu membuka keaiban diri abang seolah-olah membuka pekung di dada sendiri?"

 Aku jawab, " baguslah kalau awak baca, nanti baca rumusannya sekali agar awak faham dan jelas apa matlamat atau mesej yang ingin disampaikan "

Rumusannya mudah saja bagi aku. Ok, terlebih dahulu aku ucapkan terima kasih kepada isteri aku tu atas pandangan beliau dan aku hormati pendapat beliau. Walau bagaimanapun, aku melihat dalam skop yang lebih luas dari sudut yang berbeza.Tujuan aku mendedahkan pengalaman aku ini bukan untuk memenuhi tuntutan pembaca yang perlukan hiburan santai atau sekadar mengisi entri blog aku atau ingin berlagak untuk tunjukkan pada orang bahawa aku pernah jadi budak nakal suatu masa lalu. Tapi aku berfikir di luar kotak pemikiran malah labih jauh daripada itu.

Selari dengan kata-kata keramat aku kat front page utama blog aku 'PENGALAMAN PERLU DICARI, BUKAN BOLEH DIBELI' Aku begitu bersusah payah mencari dan mengumpul pengalaman dan pengalaman itu datang dengan sendiri tanpa disengajakan. Itulah pengalaman yang semahal-mahalnya dalam hidup kita. Berdasarkan pengalaman kita boleh service hidup kita ke arah yang lebih baik. Pengalaman ni sama seperti sejarah. Memetik kata-kata George Santanluya " Sejarah akan tetap berulang  lagi sekiranya kita tidak sedar akan kesilapan diri yang lalu". Itu sudah jelas menunjukkan pengalaman lalu yang sudah menjadi satu sejarah, memberi pedoman untuk kita memandu hidup kita dan generasi kita pada masa akan datang supaya lebih berhati-hati dan berwaspada. Kata orang tua-tua "Yang baik jadikan TAULADAN, yang buruk jadikan SEMPADAN". 

Mahatma Gandhi ada mengatakan " Guru yang terbaik adalah PENGALAMAN". Maknanya kita boleh belajar sesuatu itu berdasarkan pengalaman. Ada juga satu madah yang berbunyi " PENGALAMAN adalah sekolah yang setinggi-tingginya ". Itupun sudah jelas menunjukkan kepada kita bahawa pengalaman itu banyak membantu kita mengubah kehidupan dan pengalaman orang lain juga boleh memberi manfaat kepada orang lain.

Sejujurnya aku mengaku bahawa aku bahagia dengan apa yang aku lalui sebelum ini. Pengalaman yang telah aku lalui membuatkan aku lebih matang dan lebih berani untuk berhadapan dengan segala risiko dan cabaran hidup. Anak-anak yang baik akan kutip pengalaman hidup aku itu untuk diadun dan dijadikan pedoman hidup bagi mendepani arus globalisasi. Buat anak-anakku, Jangan cepat menghukum abah dengan pendedahan ini, Janganlah kutip kesilapan abah yang lalu, tetapi ambillah yang baik-baik. Yang jahat, yang nakal, yang pelik, yang jelek abah telah buang jauh-jauh. Buang yang keruh dan ambil yang jernih. Kata orang "Berpahit-pahit dahulu supaya manis dikemudian hari".

Okeylah.. nasihat aku kepada muda- mudi khususnya anak-anak aku kalau mereka baca kisah hidup aku pabila mereka di alam dewasa nanti..ni aku nak aplikasi pengalaman aku dengan kehidupan, kejayaan dan amalan aku hari ini.

1 ) CUBALAH HIDUP BERDIKARI, Jangan sekali-kali menyusahkan orang lain. Biarlah kita banyak membantu orang lain dan jangan mengharap untuk kita kembali dibantu. Hidup kita kena banyak memberi, bukannya banyak meminta-minta. Jangan cuba nak hidup senang dengan rezeki yang ditaja oleh orang lain sebaliknya carilah sendiri rezeki untuk kita supaya kita mampu membina kehidupan kita dengan sempurna dan mampu menghadapi cabaran dan rintangan. Kalau ibu bapa kita kaya sekalipun, jangan harapkan kekayaan mereka untuk kita sewenang-wenang menggunakan rezeki yang mereka cari dengan hasil titik peluh mereka. Budak-budak sekarang, lepas sekolah masih tidur bangun kat rumah. Kerja malas, bangun tidur terus nak makan. Lepas makan minta mak bapa duit belanja untuk beli topup, beli rokok, beli kain baju dan beli itu, beli ini. Bila kahwin mak bapak semua yang tanggung. Bila dapat anak, masih lagi mak ayah jaga cucu dia. Beli pampers untuk anak sendiri, beli susu untuk anak sendiri. 
TAPI AKU.. Selepas sekolah terus keluar cari kerja untuk hidup berdikari. Walau ayah aku orang berduit, tapi sangat jarang minta dengan dia. Cuba untuk hidup dengan cara aku sendiri. Cuba rasa keperitan nak hidup. Masa belajar kat universiti, aku jarang minta ayah aku masukkan duit sebaliknya aku cari sendiri. Aku buat kerja sampingan jadi KD kat padang golf Hyatt Saujana. Kadang-kadang aku ambil upah pasang komputer dan install software. Masa aku kahwin, duit belanja aku cari sendiri tapi ayah aku bagi sedikit sebagai sedekah. Lepas kahwin terus bawa isteri jauh dengan ibu ayah, hidup berdikari. Dapat anak, aku jaga sendiri anak aku walau masih merah, aku mandikan dan basuh berak anak aku sendiri tak harapkan ibu aku pun. Bini aku yang dalam pantang aku jaga sendiri.

2 ) BERKAWAN BIAR BETUL. Kita jangan tertipu dengan persekitaran, jadilah seperti ikan di dalam laut, walau berada di dalam air yang masin tetapi daging isinya tetap tawar. Kita kena bijak memilih kawan. Pengaruh kawan adalah yang paling hebat boleh menggoyah keimanan kita. Kata orang, " berkawan dengan si penjual bunga dapatlah tempias harumnya, berkawan dengan si penjual arang dapat tempias hitamnya". Dalam hidup kita mesti ada pendirian, kalau sesuatu yang boleh mendatangkan musibah kepada kita, cuba kita lari. Jangan kita jadi bodoh. Ramai muda-mudi sekarang yang rosak akhlaknya dan jahanam hidupnya sebab terkena pengaruh kawan. 
TAPI AKU.. aku sebenarnya tidak kata tidak terpengaruh langsung dengan kawan tetapi aku cuba kawal diri agar apa yang aku ikut itu sama ada baik atau tidak untuk diri, keluarga  dan pegangan agama aku. Kalau sesuatu perilaku yang nak mengoyahkan keimanan, cuba elakkan walau kawan kita cuba pujuk untuk kita lakukan. Bukan aku tidak buat sesuatu perkara yang bertentangan dengan adat dan ajaran agama sebab akupun manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan sebarang dosa tetapi JAHAT dan NAKAL dua persepsi yang berbeza. Mungkin aku budak NAKAL bukan budak JAHAT.Ramai dalam kalangan geng-geng aku penagih dadah bahkan sudah ada beberapa orang yang sudah meninggal dunia kerana dadah tetapi aku tidak pernah menghisap dan mencuba untuk menghisap dadah walau aku sentiasa berada dalam kalangan mereka kerana aku tahu perbuatan itu bakal menjahanamkan hidup aku. Bahkan aku cuba menasihati rakan aku supaya tinggalkan perbuatan itu.

3) HORMATI IBU BAPA DAN GURU. Memang ini senjata utama untuk kita hidup bahagia dan diberkati dunia akhirat. Kalau ibu kita berleter janganlah kita tunjukkan sikap tidak senang atau tunjukkan sikap kurang ajar tetapi jadilah pendengar yang setia. Berlaku biadap terhadap ibu bapa amat ditegah bukan saja dalam agama kita bahkan agama lain pun turut sama menegahnya. Ibu bapa adalah kunci keberkatan hidup kita. Janganlah kita jadikan ibu bapa kita sebagai hamba kepada kita. Cuba minimakan penggunaan tenaga mereka semasa membesarkan kita. Jagalah hati dan perasaan mereka. Tolonglah mereka walau tanpa disuruh. Pegang tangan mereka seperti mereka pegang tangan kita dulu, cium pipi mereka seperti mereka cium pipi kita dulu. Picit kepala atau urut betis mereka kerana perbuatan itu satu terapi yang paling ampuh bagi ibu bapa sekiranya anak-anak mampu melakukan begitu. Begitu juga guru, guru adalah gedung ilmu buat kita. Hormati mereka membuatkan ilmu yang kita dapat itu menjadi berkat. Ramai anak murid sekarang suka mempermain-mainkan guru dan selalu berlaku biadap terhadap guru.
TAPI AKU.. aku sangat menghormati ibu bapa aku. Kalau ibu aku berleter, aku tidak pernah bersuara. Aku cuma tunduk saja. Biasanya semasa makan ibu aku akan berleter kalau dia ada sesuatu yang tak puas hati terhadap aku. Aku menjadi pendengar yang setia dan apa yang ibu aku leteri pasti ada pengajarannya. Aku sentiasa minta ampun dan maaf dengan ibu aku bukan saja hari raya, bahkan hari-hari lain juga. Suruhlah ibu bapa kita sentiasa doakan untuk kebahagiaan dan kejayaan kita kerana doa ibu adalah yang paling mustajab. Sama juga dengan cikgu aku dulu, aku sangat hormati mereka dan aku yakin ilmu yang kita dapat akan bertambah berkat kalau cikgu redha memberinya dan kita ikhlas menerimanya.

4) JANGAN MEMANDANG HINA KEPADA ORANG LAIN. Orang kata rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Dalam dunia ni tuhan telah cipta manusia dalam keadaan yang berbagai-bagai. Ada yang cantik dan ada yang hodoh. Ada yang kaya dan ada yang miskin. Ada yang baik dan ada yang jahat. Kalau kita rasa sempurna, mungkin labih ramai lagi yang jauh lebih sempurna daripada kita. Kalau kita rasa kaya, ramai lagi yang kaya lebih daripada kita dan kalau kita rasa susah mungkin lebih ramai lagi yang jauh lebih susah daripada kita. Oleh sebab itu, bersyukurlah dengan apa yang diberikan kepada kita. Kalau kita ada sedikit rezeki, jangan kedekut untuk berkongsi rezeki kita tu dengan orang yang tidak bernasib baik. Kalau ada orang yang meminta tolong kepada kita, bantulah ia. Mungkin dia betul-betul memerlukan pertolongan. Kalau orang minta sedikit wang daripada kita, berilah.. mungkin dia dalam kesempitan. Kalau kita menjadi pemimpin suatu masa nanti, bantulah marhaen bawahan kerana kehidupan mereka sangat sukar. Jangan kita ego kalau kedudukan kita lebih sedikit daripada orang lain.
AKU... semasa menjadi gelandangan dulu memasang angan-angan akan bantu orang-orang yang susah sekiranya aku kaya atau aku menjadi seorang pemimpin kerana aku tidak sanggup melihat orang yang hidupnya merempat. Hidup dalam kelaparan memang menyeksakan. Sakit tanpa mendapat rawatan juga amat menyeksakan. Itu semua telah memberi keinsafan kepada aku kerana aku pernah alami dan lalui situasi sedemikian.

5)  TAAT PADA AGAMA. Dosa dan pahala adalah sesuatu yang subjektif. Kita tidak tahu sama ada amalan baik yang kita lakukan itu diterima atau tidak oleh Allah. Banyak kisah para sahabat dan ambia dulu yang tuhan tidak terima amalannya oleb sebab sedikit saja kesalahan yang dilakukan. Begitu juga dengan kisah seorang pelacur yang dimuliakan dengan hanya memberi anjing minum air. Dalam hidup kita, sembahyang adalah tiang agama. Maka sembahyanglah kita walau dalam keadaan mana sekalipun. Kerja penat, kerja kotor dan sebagainya bukan satu tiket untuk kita tinggal sembahyang atau tinggal puasa. Sembahyang boleh mencegah kita daripada melakukan perbuatan mungkar. Orang yang tak sembahyang, sukar mendapat rezeki yang berkat.
AKU.. walau dalam keadaan mana akan cari tempat untuk sembahyang. Aku rasa sangat bersalah kalau tidak menunaikan sembahyang. Walau hidup aku  dikelilingi dengan orang yang tak sembahyang, tapi sedikitpun aku tidak terpengaruh dengan mereka. Walau aku sudah terpengaruh dengan budaya barat, tapi sembahyang tetap aku tunaikan. Bagi aku, sembahyang tidak ketinggalan zaman bahkan sembahyang adalah releven dulu, kini dan selamanya.

6) CARILAH ILMU. Mencari ilmu ni ada banyak cabang. Ilmu yang kita dapat juga datangnya dari pelbagai. Ada yang dapat secara formal dan ada yang dapat secara tidak formal. Mencari ilmu ini tiada tepinya. Kalau ada peluang belajar, belajarlah bersungguh-sungguh. tak payah nak susah dulu baru nak mula speed. Tak payah buat macam aku, berfoya-foya dulu kemudian barulah nak mulakan hidup baru. Kalau macam aku ni kira bernasib baik sebab sempat sedar daripada lena, aku takut tak sedar-sedar sampai tua. Hidup tanpa pelajaran, kita akan nampak bodoh. selain tu, kita mudah ditipu dan yang paling penting kita mudah terpengaruh dengan anasir jahat kerana kita tidak mampu berfikir tentang kewarasan tindak tanduk kita. Cuba kita tengok orang yang berjaya, rata-rata latar belakang mereka adalah dalam kalangan orang yang berilmu. Di sekolah sentiasa duduk di kelas depan, belajar di sekolah berasrama penuh, keputusan peperiksaan sentiasa cemerlang, masuk universiti ambil course yang power-power bahkan ada yang belajar di luar negara. Apabila bekerja nanti, sudah tentu gaji berpuluh ribu sebulan. Tidakkah terbukti bahawa ilmu itu boleh mengubah kehidupan seseorang.
AKU.. memang mulanya aku tidak berilmu. Kat sekolah malas belajar. Fikiran asyik nak kerja saja. Kerja bodoh-bodoh pun tak pe asalkan dapat duit.Tapi bila aku tahu hidup tanpa ilmu ni tak kan ke mana dan dipandang hina oleh masyarakat, sebab tu lah kelam kabut nak cari ilmu semula. nasib baik masih belum terlambat walau hakikat sebenar sudah terlambat. Tak pe, cari pengalaman susah dulu ibarat kata " payah-payah dilabung ombak, akhirnya tercapai juga tanah tepi" Maksudnya setelah beberapa lama menanggung susah, akhirnya tercapai juga cita-cita. Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.

7) JANGAN SEGAN UNTUK BERUBAH. Kadang-kadang bila tiba masa untuk kita bernekad untuk berubah, akan ada halangan dan cabaran yang boleh mematahkan semangat kita. Oleh itu, kita mesti pasang tekad dan memerlukan kekuatan mental untuk kita hadapi segala dugaan dan godaan. Syaitan selalunya akan memberi bisikan supaya kita terus kekal dengan melakukan kesilapan dan hidup selesa dengan kesilapan yang kita amalkan. Jangan bagi nafsu amarah kita itu menguasai diri kita. Cubalah menentang segala kemungkaran yang sering kita lakukan dengan amalan-amalan murni yang boleh kita praktikkan supaya lambat laun hati kita menjadi lembut seterusnya boleh mengubah iklim kehidupan kita seharian. Kerja yang baik jangan bertangguh. Buatlah sebelum kita menyesal dikemudian hari. 
AKU juga turut pasang nekad untuk berubah sebelum hanyut lebih jauh. 

8) SABAR.  Anggaplah segala musibah yang berlaku ke atas diri kita itu sebagai ujian daripada Allah. Segala ujian yang kita hadapi mesti kena SABAR menerimanya. Begitu juga dengan ibu bapa, mereka kena sabar melayan karenah anak-anak. Kalau nak marah sekalipun, cuba kawal mulut. Elakkan memaki hamun anak-anak. Ibu aku kalau dia nak marah kat aku, dia akan menyebut " bertuah punya anak". Ajar anak guna saikologi bukan dengan kekerasan. Berdoa dan bertawakal tanpa jemu itu adalah semulia-mulia amalan dalam menangani anak bermasalah. Lambat laun hati anak akan lembut dan menyesal atas tindak-tanduknya dulu.
AKU.. terlalu banyak bersabar apabila menghadapi ujian dan dugaan dari Allah. Terima ujian dengan redha dan bersyukur apabila dapat keluar daripada segala masalah.

9) BERANI. Kita kena berani berhadapan dengan risiko dan cabaran hidup. Usahlah kita menyalahkan takdir sekiranya tidak mendapat apa yang kita inginkan. Hidup kita tidak selalunya indah, ada kalanya akan hadir sesuatu musibah untuk menguji dan boleh menggoyahkan keimanan kita. Oleh sebab itu, kita kena berani menghadapinya. Anggaplah segala musibah yang berlaku itu sebagai mainan hidup yang semua orang tidak boleh lari daripadanya.
AKU.. tak kisah pun apa cabaran dan ujian yang datang. Lebih banyak cabaran mendatang, lebih manis rasanya kehidupan ini. Lawan dulu segala ujian sebelum kita mengalah dan seeloknya jangan mengalah. Kuatkan semangat, pasang tekad. Maju terus maju.

10) BERSYUKUR. Bersyukurlah dengan apa yang telah tuhan berikan kepada kita. Rezeki yang sedikit, kita perlu bersyukur menerimanya. Masalah yang terlerai, kita kena bersyukur menikmatinya. Tidak semua orang boleh menikmati kehidupan dengan aman dan tenteram. Langit tidak selalunya cerah, ada kalanya ada awan yang melindungi sinar. Oleh itu, bersyukurkah kita seadanya. Anggaplah kita ini jauh lebih bernasib baik berbanding orang lain yang masih terlalu ramai yang tidak bernasib baik di sekeliling kita. 
AKU.. memang sangat bersyukur tak kira masa. Hari ini tuhan dah bagi aku banyak senang dan selesa hidup bersama keluarga tercinta.  

Nah, nak cakap apa lagi.. elemen-elemen yang aku huraikan tu semuanya diadun dan diadaptasi daripada pengalaman-pengalaman aku yang lalu. Semasa aku belajar kat universiti, banyak kajian ikut serta yang aku buat sendiri. Itu semua kerana pengalaman aku yang membuatkan aku berani dan berkeyakinan. Rujuk Entri aku Pengalaman manis menjadi student Universiti. Dan, suatu masa nanti.. MUNGKIN..MUNGKINLAAA..sebab umur aku pun tak tua sangat lagi. Cita-cita aku pun masih belum bernoktah. Ibu aku pun masih sihat walau sudah berusia. InsayaAllah.. beliau masih mampu mendoakan untuk aku lagi. Seandainya..aku sambung pengajian aku sehingga ke peringkat PHD dan kajian turut serta juga akan aku praktikkan. Aku tak mahu ceduk hasil kajian orang lain kerana aku sendiri mampu membuat kajian sendiri. Bukan nak takbur tapi itu lah aku.. berani menghadapi cabaran dan berani menanggung risiko kerana aku ada pengalaman. Kepuasan hasil usaha sendiri jauh lebih hebat daripada kepuasan kita menceduk hasil orang lain. Sebab tu aku kata kita mesti banyak memberi, bukan banyak menerima. Kalau orang inginkan idea kita itu OK, tak de masalah. Perkongsian ilmu itu kan lebih baik. Orang baca idea kita, orang praktikkan dan memberi manfaat kepada orang lain itukan bagus. sekurang-kurangnya kita pun dapat pahala. Tengok saja entri-entri dalam blog aku, mana aku nak ceduk idea orang lain. Semuanya original datang dari dalam kepala aku sendiri. Tidak pauk dan tampal daripada idea dan blog orang lain atau dapatkan dari google. Sebab aku mampu mengarang sendiri. Biarlah apa cerita pun, aku duduk depan komputer dan jari-jemari aku terus menaip tanpa henti dan tanpa adanya apa-apa rujukan. Idea itu datangnya dari Allah. Kalau ada orang minta izin nak pauk entri aku masuk dalam blog dia, ambilllahh, buatlah,, tak yah minta izin pun tak pe sebab kalau boleh aku nak menyumbang. Tak kira apa pun asal boleh disumbang. Tak mampu menyumbang wang ringgit, menyumbang idea pun tak pe.

Okeylah.. sampai sini saja ulasan dan rumusan aku bagi menangkis apa yang isteri aku kata. Itu pendapat aku, Kalau ada orang yang tak setuju dengan pendapat aku.. terpulanglahhh. aku terima dengan hati yang terbuka. 
Sekian terima kasih terutamanya yang setia membaca kisah hidup aku dari episod 1 sehingga ke episod yang terakhir. Andai kisah aku terdapat banyak pengajaran yang boleh dikongsi, pauklah masuk dalam blog kalian. Kalau tak de blog, pauk share dengan FB.
Assalamualaikummmmmm..

Tuesday, 22 October 2013

KOLEKSI PENGALAMAN UNTUK DIKONGSI - EPISOD 6


 EPISOD AKHIR - Berjaya Masuk ke Universiti

Assalamualaikum.. alhamdulillah, hari ni aku berkesempatan untuk meneruskan lagi coretan aku ke episod seterusnya dan aku kira ini episod akhir legasi koleksi pengalaman aku yang akan aku kongsi dengan follower cerita aku ni. Aku harap semoga pengalaman aku ni banyak memberi pengajaran kepada generasi masa kini. Aku akan buat kesimpulannya nanti dalam entri khas dan pembaca boleh menilai baik buruknya pendedahan cerita aku ini.

Tasnim kata, kalau ada pengarah filem baca cerita aku ni nanti boleh bikin cerekarama sebab teknik plot yang aku gunakan memang tersusun dan mengikut kronologi yang amat sesuai untuk dijadikan drama atau filem.. chewahh..pandainya Tasnim berjenaka. Mentang-mentang dia pernah kerja kat RTM dulu, pandai pula dia menilai sesuatu cerita untuk diadaptasi dan dikomersial ke layar lebar cam cerita Ombak Rindu gitu.

Biarlah Nim.. aku tak glamour langsung. Tak de orang nak pandang. Aku menulis untuk kepuasan sendiri. Dijadikan koleksi pribadi untuk dikenang kerana kita tidak dapat mengundur masa. Kalau nak cipta semula pengalaman macam dulu, tobat aku tak mahu dah. Cukuplah dengan apa yang aku dah kutip tu untuk anak-anak aku baca dan nilai sendiri nanti betapa sukarnya untuk berjaya. Okeylah.. tak yah nak intro panjang-panjang, aku teruskan ajee. 

Selama lebih kurang lima bulan aku berada Kat Kluang. Berkawan dengan macam-macam orang termasuk bekas banduan. Pelbagai penderitaan yang aku hadapi terutamanya bab makan. Pernah aku bersahur dengan satu sumpit mi meggi dikongsi 3 orang. Sorang dapatlaaa 3 sudu isi dan selebihnya hirup kuah saja. Buka puasa dengan nasi goreng putih yang dimasak tanpa ada apa-apa bahan tambahan selain garam dan ajinamoto saja. Pernah makan pucuk betik rebus dicicah garam semata-mata garam asalkan perut tak kosong. Kalau nak cerita pasal makan, perghhh.. lebih dashyat dari dok kat KL dulu. Tapi aku tak kisah malahan seronok ada laa.. aku pernah kata kat kawan-kawan aku, " kalau ditakdirkan aku kahwin nanti, aku harap anak-anak aku tak akan hadapi pengalaman macam aku ni, biarlah dia hidup senang". Kawan-kawan sekampung aku selalu pujuk aku supaya minta bantuan wang daripada ayah aku sebab mereka semua tahu yang ayah aku seorang hartawan. Tapi hati aku keras. Aku tak mahu apa-apa bantuan daripada ayah aku selagi tulang empat kerat aku mampu bergerak. 

Tahun ni kali pertama aku tak balik raya kat kampung sepanjang aku hidup. Duit nak makan pun tak de, apatah lagi nak beli tiket keretapi. Gaji aku ditahan sebab selalu ponteng kerja. Sehari sebelum raya baru dapat, tu pun ciput saja cukup untuk bayar sewa rumah dan buat makan saja.Mujur ada sorang lagi kawan aku yang sanggup korbankan diri untuk temankan aku beraya kat rumah sewa. Nama dia Sahar, adik kepada Budin. ( dah jadi arwah sekarang sebab lemas kat Tasik Ahning, Kedah masa operasi kawal sempadan ). Sahar ni jadi askar lepas balik dari Kluang. Aku yang rekemenkan dia jadi askar sebab tak mahu dia alami lagi pengalaman pahit masa tinggal bersama aku. Aku balik kampung malam raya kedua dengan keretapi. Naik keretapi main terjah macam tu aje tanpa ambik tiket. Sampai kampung pagi raya kedua, member-member aku dan adik beradik aku sorakkan aku. Tapi aku tak kisah pun sebab memang dah adat orang merantau.

Lepas raya, aku bercadang nak pergi semula ke Kluang untuk teruskan semula kehidupan aku di sana. Kebetulan abang ipar aku nak ke Tanah Merah, maka aku tumpang kereta dia. Dia pergi ke Tanah Merah untuk daftarkan Jaha ( anak buah dia ) masuk sekolah swasta. Jaha ni sebenarnya salah seorang kawan aku yang sama-sama tinggal kat Kluang dengan aku dan dialah yang celur pucuk betik tu untuk dimakan masa kat Kluang dulu. Sampai kat Bandar Tanah Merah, abang ipar aku kata kat aku " Din, kita gi daftar Jaha sekolah dulu, lepas tu abang Mat hantarlah Din kat stesen keretapi" . Aku mengangguk tanda setuju. Lepas habis daftar, dia bawa aku dengan Jaha ke satu kedai yang jual uniform sekolah. Dia kata kat aku nak tolong beli uniform untuk Jaha tapi yang aku peliknya dengan aku sekali dibelikan uniform. Perghhh.. barulah aku tahu bahawa abang ipar aku tu turut daftarkan aku sekali untuk kemasukan ke tingakatan enam bawah. Atas kereta barulah abang ipar aku pecahkan rahsia " Din, Ni abang Mat nak nasihat, kita tak ke mana kalau tak ada pelajaran. Gagal sekali bukan beerti kita gagal untuk selama-lamanya. Abang Mat mahu Din belajar dan ubah nasib diri. Esok Din pegi sekolah dengan Jaha, abang Mat dah settle semua yuran pendaftaran" 

Abang ipar aku yang aku panggil Abang Mat ni adalah suami Kak Long aku yang juga merupakan seorang guru dan pernah mengajar aku mata pelajaran metamatik masa aku dalam tingkatan tiga dulu. Aku dan seisi keluarga aku sangat hormat kat beliau. Apa dia kata semuanya betul. Adik-beradik aku banyak bergantung pada dia terutamanya bab mendapatkan nasihat dan pandangan.

Hari pertama aku masuk ke sekolah swasta iaitu Institut Bimbingan Akademik ( IBA ), terasa bagai dalam mimpi. Memang tak percaya badan aku dibaluti seragam sekolah. Terpingga-pingga aku dibuatnya lebih-lebih lagi kemasukan aku tu sudah di pertengahan penggal. Orang lain sudah lama belajar dan mungkin aku akan ketinggalan banyak sukatan pelajaran. Aku di tempatkan dalam tingkatan Enam Rendah 4. Masa baru-baru masuk kelas, semua ahli kelas tu pandang ke arah aku. Aku tertunduk malu sebab semua pelajar di dalam kelas tu bukanlah yang sebaya dengan aku. Mereka adalah adik-adik aku. Setiap cikgu mata pelajaran yang masuk, tegur aku " awak pelajar baru ke" ?. Dalam ramai-ramai pelajar dalam kelas tu, dekat nak rehat baru aku perasan rupanya ada seorang junior aku yang aku minat masa aku tingkatan lima dulu dan aku pernah hantar surat untuk berkenalan dan ingin menjadikannya adik angkat aku. Masa tu budak perempuan yang cantik molek tu baru tingkatan tiga. Fuhhh!!! maluuunya akuuu.. Tapi..sempat dia jeling-jeling kat aku. 

Masa rehat budak tu pegi kat aku dan buat-buat terkejut " eh! abang Din sekolah kat sini jugak ke"? Nape masuk lewat?"

"Alaa.. Zai, abang Din bukan nak belajar pun, tapi Cikgu Mat yang paksa abang Din belajar"

"Jom kita pegi rehat, Kita makan sama-sama. Zai nak tahu jugak lebih lanjut nape abang Din sampai masuk sekolah balik"

Aku kata " ah tak yahlah.. malulah.. pasti kawan-kawan Zai yang sekolah sama kita dulu ramai kat sini. Biarlah lama sikit abang Din duk sini, barulah nak makan kat kantin. Dalam dua tiga hari ni, abang Din tak lalu nak makan"

Beberapa hari aku bersekolah kat sini, aku sudah mencipta banyak kawan baru dari segenap pelosok dareah Tanah Merah sehingga ke daerah Jeli. Kawan-kawan lama yang satu sekolah dengan aku dulu pun ada tapi mereka adik-adik aku. Kat sekolah ni, bangunan tingkatan enam dengan tingkatan lima jaraknya agak jauh maka aku tak berkesempatan untuk berkawan dengan geng-geng aku yang belajar dalam tingkatan lima. Masuk minggu kedua barulah aku mula nak makan pada waktu rehat. Aku makan bukan kat kantin tapi kat warung Mok Nab tepi sekolah aku. Beberapa hari aku makan kat warung Mok Nab, tiba-tiba satu hari tu aku terserempak dengan kawan yang satu rumah sewa dengan aku masa kat Kuala Lumpur dulu. Nama dia Jali. Budak thrasher hardcore. Rambut masih panjang paras pinggang.

Jali tegur aku " Din, mu buat gapo sini, Aikk.. mu skoloh smula. Haa..haa..ha.. bengong mung. Tok ganah lansung. Budok brutal jadi mat sivik.. kih..kih..kih.."

Oh.. baru aku tahu rupanya Mok Nab yang jual nasi dengan mee hon tu rupanya mak Jali, patutla orang panggil dia Jali Mok Nab. Kat Bandar Tanah Merah, sebut je nama Jali Mok Nab budak-budak muda kecut perut jugak le sebab mamat ni 'ada nama' kat sini. Berita aku masuk sekolah balik sekejap je sampai ke telinga kawan-kawan thrasher aku yang tinggal kat Tanah Merah. Jali yang sebarkan berita ni. Asal masuk waktu aku rehat, kawan-kawan aku dulu akan datang rumah Jali untuk bersembang dengan aku sambil hisap rokok.

Semenjak aku berjumpa dengan Jali, aku sudah mula tuang kelas. Hari-hari aku tak masuk kelas sebab dok lepak atas rumah Jali main gitar. Mak Jali pulak sporting, sikitpun tak marah aku selalu lepak dalam bilik Jali. Oleh sebab aku kenal dengan Jali, ramai juga la budak-budak yang nak berkawan dengan aku. Asal tengok aku lompat pagar sekolah aje, sekejap tu berderu-deru ada yang akan ikut aku lompat pagar juga.Tengok keadaan aku yang sudah mula tuang kelas, Zai nasihatkan aku supaya insaf dan dia cuba melarang aku berkawan baik dengan budak Jali tu. 

Dua bulan kemudian, masuk sorang lagi budak baru kat kelas aku. Haa.. ni baru lawan aku. Namanya Amran asal dari Air Lanas. Sudah berjambang dan berumur orang tua ni. Selepas kemasukan Amran, aku kurang sikit malu sebab dia jauh lebih tua dari aku. Umur dia lebih kurang 24 tahun. Dia ajak aku supaya cari rumah sewa kat sekitar sekolah aku sebab terlalu jauh untuk dia berulang-alik ke sekolah.Selepas jumpa rumah sewa yang sesuai, aku dan beberapa orang kawan mula tinggal kat rumah sewa.Jali pun sudah pegi ke Kuala Lumpur semula jadi kuranglah sikit aku ponteng. Bolehlah aku fokus untuk belajar. Budak-budak rumah sewa aku boleh dikatakan baik-baik la jugak. Malam-malam nampaknya kuat study. Tapi aku tak leh nak follow lagi setakat ni. Apa yang cikgu ajar dalam kelas semuanya blurrr.. tak tahu langsung terutamanya subjek ekonomi. Jemu rasanya dengan buat kelok dan carta.

Masuk tahun kedua aku bersekolah, masih banyak subjek yang aku tak boleh nak 'ketchup'. Tahun ni aku tak boleh nak leka sebab aku bakal menghadapi STPM hujung tahun nanti. Malangnya.. aku dengan Amran sudah tak sebulu akibat sedikit perselisihan faham. Aku keluar rumah sewa ni dan menetap di rumah sewa lain. Di rumah sewa baru, aku bercampur dengan budak  tingkatan lima. Kebetulan pada masa ni bapa aku belikan aku sebuah motosikal untuk memudahkan aku berulang alik ke sekolah sebab rumah sewa baru aku ni agak jauh dari sekolah.Dapat motosikal aje, membuatkan aku lebih berfoya-foya. Ramai mat-mat motor datang lepak rumah sewa aku. Setiap minggu aku dengan geng-geng motor akan keluar berkonvoi ramai-ramai ke tempat-tempat perkelahan. Kadang-kadang pegi memancing atau menjaring ikan kat tepi pantai atau di kawasan air terjun. Kadang-kadang aku dan geng-geng motor pergi ke Pekan Golok, Thailand untuk beli spare part crome untuk aku make up motor aku. Banyak duit aku bazirkan untuk mencantikkan motor aku.  

Aku menghadapi peperiksaan STPM tanpa ilmu yang mencukupi sebab malas belajar dan banyak masa aku buang untuk berfoya-foya. Akibatnya keputusan peperiksaan aku sangat teruk. Ibu, ayah, abang Mat, Kak Long dan beberapa orang abang aku sangat kecewa dengan keputusan STPM yang sedikitpun tidak menyebelahi aku. Aku betul-betul menyesal dengan apa yang aku lakukan selama ini. Peluang yang diberi untuk aku menimba ilmu dan mengubah keputusan peperiksaan telah aku persiakan. Banyak wang telah dihabiskan untuk menyara aku belajar tapi sikitpun tak berguna. Aku betul-betul menyesal. Aku minta untuk diberi peluang sekali lagi.

Ayah aku dan abang Mat memberi dorongan untuk aku belajar sekali lagi. Kali ni aku tak mahu lagi bersekolah di IBA sebab aku tak mahu kawan-kawan aku dulu datang menganggu aku lagi. Aku benar-benar ingin berubah. Aku kesian tengok raut wajah ibu aku yang kecewa. Ibu aku terlalu banyak kecewa dengan sikap aku sebelum ni. Aku berjanji dengan ibu aku bahawa aku akan belajar bersungguh-sungguh untuk kali terakhir. Oleh sebab itu, aku telah mendaftar untuk mengulang STPM aku di sekolah yang jauh daripada rakan-rakan aku iaitu Institut Za'aba Pasir Mas. Semua kawan telah aku tinggalkan kecuali seorang saja kawan yang aku bawa sama aku iaitu Mat Atefi. Aku tinggal kat rumah sewa dengan budak-budak baik. Aku cuba elakkan berkawan dengan budak-budak nakal yang minum ubat batuk dan merokok. Motor aku juga aku serahkan balik kepada ayah aku. Aku sanggup berulang alik ke sekolah berjalan kaki walaupun jauhnya lebih kurang 2 kilometer.


Nilah geng-geng rumah sewa aku masa kat sekolah Za'aba.. muka semuanya baik-baik

Setiap kali hujung minggu, aku balik ke kampung aku dengan bas henti-henti. Sebelum balik semula ke rumah sewa, aku pastikan aku mohon ampun dengan ibu aku dan cium kedua-dua belah pipinya. Aku suruh dia berdoa dan melakukan solat hajat untuk aku. Ibu aku sentiasa bangun malam dan melakukan solat hajat serta berdoa supaya aku berubah dan mohon agar tuhan beri petunjuk untuk aku. Begitu juga aku, boleh dikatakan setiap malam aku akan bangun untuk sembahyang tahjud dan solat hajat mohon dibukakan pintu hati aku agar aku mudah mengingati apa yang aku belajar. Setiap malam aku amalkan tidur awal iaitu pukul 8.30 malam. Pukul 12.00 tgh malam aku akan bangun untuk solat isyak, tahjud dan solat hajat. Lepas tu aku akan belajar sampai pagi tatkala rakan-rakan serumah sudah lena diulit mimpi. Sebelum subuh, aku bersenam untuk keluarkan peluh. Biasanya aku main tali skipping atau lari-lari anak keliling rumah sewa. Lepas subuh aku pegi beli kuih kat warung kopi dan sarapan sebelum ke sekolah. Begitulah rutin harianku yang aku cukup berdisiplin mengamalkannya.

Sampai sekolah, aku akan hantar kerja-kerja latihan yang aku buat tanpa disuruh untuk cikgu mata pelajaran aku tanda dan komen. Masa kat dalam kelas aku tak nampak sangat bersungguh untuk belajar, tapi kat rumah banyak masa aku habiskan dengan membuat latihan dan menghafal fakta. Aku dapat rasakan bahawa doa ibu aku telah dimakbulkan kerana setiap latihan yang aku hantar pasti mendapat pujian guru-guru.Tuhan sudah beri aku petunjuk dan memudahkan aku untuk mengingat. Setiap apa yang aku baca, senang saja aku ingat terutamanya fakta-fakta sejarah dan geografi. Keputusan percubaan STPM telah membuktikan segalanya apabila aku mendapat LIMA PRINSIPAL membuatkan aku bertambah yakin dan bersemangat. Aku dapat rasa doa mak aku yang membuatkan aku jadi begini. Boleh dikatakan semua mata pelajaran yang aku ambil tu adalah menjadi minat aku. Tak ada subjek yang aku tak minat. Aku pun hairan mengapa boleh jadi begitu.

Masa peperiksaan STPM berlangsung, idea aku datang mencurah-curah terutamanya subjek yang memerlukan aku mengarang seperti Sejarah 2, Sejarah 6, Geografi 3, Geografi 4, Bahasa Melayu 2 dan sebagainya. Aku asyik angkat tangan saja minta kertas tambahan dengan pengawas peperiksaan. Ada beberapa soalan yang aku tak sempat jawab kerana kesuntukan masa bukannya aku tak dapat jawab. Ada beberapa kertas tu aku bagi peluang rakan sebelah dan belakang aku tiru aku sebab aku yakin aku dapat jawab dengan baik terutamanya Bahasa Melayu kertas 1 dan Pengajian Am kertas 1. Kertas soalan aku yang aku siap tanda telah aku passing ke belakang untuk kawan-kawan aku tiru. Kebetulan pusat peperiksaan aku di dalam kelas bukannya dalam dewan, maka mudahlah sikit  peluang untuk meniru sekiranya guru pengawas leka. 

Sepanjang cuti tunggu keputusan STPM, aku tinggal dengan kakak aku di Bunut Payong kerana aku bekerja sementara sebagai pencanting batik. Dapat la duit poket sikit sebab sehelai kain yang aku canting dibayar RM12.00. Satu hari aku dapat siapkan dalam 4 hingga 5 helai batik .Hari keputusan diumumkan, aku datang lewat sikit sebab aku terpaksa menyiapkan beberapa kain batik yang ditempah pelanggan. Rupa-rupanya sudah ramai kawan aku yang dah pulang selepas mereka dapatkan keputusan mereka. Masa aku berjalan ke tempat mengambil keputusan, cikgu-cikgu aku tersenyum melihat kehadiran aku. Hati aku berdebar-debar untuk mengambil keputusan aku tu. Malam tadi semalaman aku berdoa pada tuhan agar keputusan aku kali ini tidak MENGECEWAKAN IBU AKU LAGI. Ramai cikgu yang hulurkan tangan ucapkan TAHNIAH terutamanya cikgu kelas aku. Cikgu aku kata kat aku, "kalau dah masuk universiti nanti janganlah tak jejakkan kaki lagi kat sekolah ni, datanglah jenguk-jenguk kami".

WAH!! memang tak sangka keputusan aku amat menakjubkan bagi aku yang sebelum ni sudah jauh hanyut. Memang kalau tuhan nak bagi, tak de sapa boleh halang. Kuasa Allah maha luas, dia boleh buat apa yang dia kehendaki. Tak payahlah aku bagitahu berapa yang aku dapat tapi sangat layak untuk mohon ke Universiti sebab ada beberapa subjek yang aku dapat strong. Aku tak sabar nak balik tunjuk result kat mak aku walaupun aku tahu dia tak tahu apa-apa sebab mak aku tak pernah bersekolah. Menitis juga beberapa biji air mata aku sebab terlalu bersyukur kerana tuhan telah makbulkan doa ibu aku. Kejayaan ini khas buat ibu dan abang ipar aku yang aku panggil Abang Mat. (Jasa kalian aku sanjung dan kenang sampai bila-bila)

Ramai kawan dan juga termasuk abang-abang aku tak percaya aku lulus STPM dan layak mohon untuk ke universiti kecuali geng-geng rumah sewa aku saja yang yakin aku lulus cemerlang. Aku pun tak nak menunjuk-nunjuk, cukup sekadar bagitahu lulus saja bila ada orang tanya. Malas aku nak takbur dan riak sebab aku lulus pun kerana Allah yang bagi, asbabnya doa ibu aku. Allah benci kepada orang yang takbur dan riak.  

Okeylahh.. cukup lengkap sudah nostalgia aku yang kompleks tu sehingga aku berjaya masuk ke universiti. Mana-mana pembaca yang selama ni berada dalam keadaan tertanya-tanya  macam mana budak jahat macam aku ni boleh masuk universiti dan jadi cikgu.. ini aku dah kasi jawapannya. Allah kata kun fayakun.. maka jadilah. Dia boleh ubah nasib seseorang hamba-Nya sekiranya dia mahu. Berkat doa dan Usaha akhirnya membuahkan hasil dan kejayaan.

Entri kisah kenangan manis aku masa jadi student di universiti adalah sambungan untuk EPISOD 6 ni. Kalau korang tak baca lagi, silalah cari entri tu yang aku karang pada bulan ogos 2012. Sambungan lepas tu ada juga iaitu entri yang bertajuk Lagi Pengalaman Untuk Dikongsi yang aku karang dalam bulan oktober 2012. Sila rujuk entri tu kalau korang nak baca kesinambungannya.

Untuk entri seterusnya, aku cuma nak ulas kaitan pengalaman aku dengan kejayaan yang aku kecapi. Releven ke tak pendedahan yang aku buat tu atau sekadar membuka pekung di dada.

Sekian terima kasih terutamanya kepada mereka yang sentiasa minat untuk mengetahui kisah aku seterusnya.