Saturday, 11 July 2015

BICARA SANTAI APA AJER..

Assalamualaikum... sementara menunggu waktu nak berbuka sedikit masa lagi, ada baiknya aku manfaatkan masa ini untuk menulis apa saja dalam entri blog MG kali ini. Kira bebas bercerita pasal apa-apa isu daripada dok mengumpat kat orang atau meninjau kat bazar ramadhan yang berkemungkinan boleh mengubah pemikiran daripada datang untuk tengok cuci mata kepada membazirkan wang membeli apa-apa makanan yang tak perlu dibeli. Tu lah nafsu.. tengok semuanya nak walaupun tak perlu. 

Dalam keadaan sekarang.. berjimat adalah paling baik. Jangan ikut nafsu untuk berbelanja. Duit memang senang dapat tetapi lebih senang untuk dihabiskan. Ada banyak.. habis banyak. Duit ni kita tak pernah cukup. Orang kata, kalau nak lebih duit, amalkan bersedekah. Tapi kita pun tak sanggup untuk bersedekah banyak-banyak takut kita pula terpaksa meminta sedekah. Kadang-kadang.. duit yang kita keluarkan untuk bersedekah tidak menepati sasaran. Rupanya orang yang kita beri sedekah lebih senang daripada kita.. maklumlah pada bulan yang penuh keberkatan ini lebih ramai yang pandai berlakon jadi papa kedana kerana mereka tahu ramai lagi orang pemurah yang mengharapkan gandaan pahala hasil daripada kemurahan hati mereka bersedekah.. Tubuh badan sihat.. tapi meminta-minta. Orang dari selatan Thai membimbit berpuluh-puluh paket keropok untuk dijaja kepada orang ramai. Mereka bukan peminta sedekah, tetapi gaya menjual itu mirip peminta sedekah kerana selagi kita tak beli.. selagi itulah dipujuk rayunya kita bahkan diekori kita walau ke mana kita pergi. Tak senang kita dibuatnya. Di jalanan, ramai warga asing jadikan anak-anak kecil sebagai umpan untuk meraih simpati. Duit tak pernah penuh dalam bekas dari pagi hingga petang mengemis walaupun berpuluh-puluh orang pejalan kaki sentiasa ada yang bermurah hati. 

Satu lagi.. waktu berbuka semua makanan rasa jelira. Kalau pergi ke bazar ramadhan..sampai penuh jari disangkutnya lauk-pauk dan makanan termasuk segala jenis minuman. Walaupun setiap hari mengeluh pasal makanan di bazar ramadhan mahal menjadi topik hangat perbualan di pejabat mahupun dengan rakan sekerja.. tetapi kalau singgah.. lupa habis segala runggutan. Beli banyak-banyak, bukan mampu makan semuanya pun.. 30% saja makan.. 30 % lagi buang dan 40% lagi simpan dalam peti ais dan lambat laun ke dalam tong sampah jua tempatnya. Kadang-kadang.. dalam peti ais padat dengan makanan yang lepas-lepas dari hari pertama puasa lagi.. asyik masuk setiap hari. Nak buang sayang, setiap hari simpan tapi tak makan. Lagi lama tersimpan, lagi tak lalu nak makan..inilah yang dikatakan membazir. Balik solat sunat teraweh, makanan lebih kat moreh kita bawa balik lagi.. bertambahlah makanan lapuk kat dalam peti ais kita. Dah menjadi tabiat kita, asal ada makanan yang dibagi free, semuanya nak bawa balik walaupun kita tahu makanan tersebut bakal basi ditangan kita. Banyak pulak tu yang diambilnya.  Tengok ada orang agihkan bubur lambuk percuma.. kita pun ikut lah beratur panjang untuk mendapatkannya walaupun kita tahu itu bukan makanan kegemaran kita sebab sudah menjadi tabiat kita, suka kepada benda free..walaupun kita tahu semuanya itu bakal MEMBAZIR.. 

Dalam bulan puasa kita lebih banyak MEMBAZIR. Masak banyak-banyak, lepas tu BUANG. Beli banyak-banyak, lepas tu BUANG. Ambik banyak-banyak lepas tu BUANG. Makan kat hotel atau restoran mewah sebab nak tunjuk kita ada kemampuan atau nak tukar angin sekali sekala.. tergoda dengan iklan buffet Ramadhan. Bayaran yang dikenakan satu kepala RM100++, pegi satu keluarga lebih RM500. Makan tak seberapa, selera hanya di mata sahaja. Ambik banyak-banyak tapi makan secubit cuma. Kalau pihak hotel sediakan 100 jenis makanan, semua seratus jenis tu kita cebok masuk pinggan nak rasa la konon.. tapi semuanya buang ke dalam tong sampah. Berapalah sangat kapasiti perut kita yang mampu kita isi.. Kena 3 gelas air, tak terdaya nak makan lagi. Lebih baik duit RM500 kita sedekahkan kepada golongan asnaf yang nak beli ikan masin pun tak de wang.

Itulah yang kita namakan sebagai NAFSU. Hati kita telah dikawal oleh NAFSU. Sebab tu lah rezeki kita lari. Pas tu kita asyik mengeluh duit sentiasa tak cukup. Padahal kita tak pernah muhasabah diri bagaimana duit yang kita ada tu kita belanjakan. Cukup sekadar ini dulu.. azan pun dah nak dekat. Yang baik datangnya dari Allah.. yang buruk itu datangnya daripada nafsu amarah aku sendiri.. assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh..  

Friday, 10 July 2015

CERPEN PASAL BAH MERAH

Assalamualaikum.. sambil-sambil tunggu bilal azan subuh dek baru lepas bersahur.. ada baiknya hamba coretkan sedikit entri baru ke dalam blog hamba yang semakin suram ini. Kalau tidur karang.. dibimbangi terbabas sembahyang subuh pulak. Lagipun hari ini adalah hari minggu. Daripada tidur, lebih baik ke pasar pagi pi beli bahan mentah untuk dimasak buat berbuka nanti. Kalau ada sape-sape sedara atau sahabat handai yang sudi berbuka bersama family hamba lagi canteekkk.. seronok sikit berbuka ramai-ramai. Boleh masak lauk lebih-lebih sikit. Lagipun gaji hamba dan isteri baru jer Najib masukkan walaupun gaji bulan lepas masih berbaki. Rupanya bulan ni gaji 'double'. Lepas ni.. baru kita pokai. 'Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, Bersenag-senang dahulu.. bersusah-susah kemudian' kata peribahasa yang terbalik.

Ok.. tak yah intro panjang-panjang.. pendek dah cukup. Penggemar blog MatdinGunung dah tak sabar nak baca 'air tangan' terkini MatDin yang dah lama kemarau. Entri ni dalam bentuk cerpen tau.. kalau tak minat cerpen,, tak yah bacalah...


                                KARAM DI PERBUKITAN 

              ( adaptasi daripada kisah benar yang berlaku semasa bah kuning di Kelantan ) 


Jam sudah menunjukkan pukul 6.45 petang. Hujan yang turun sejak semalam masih belum menampakkan tanda-tanda akan reda. Isteri Pak Bidin iaitu Mak Besah sudah memasukkan beberapa dokumen penting iaitu sekeping geran tanah, surat beranak anak-anak, kad pengenalan, geran motosikal dan sedikit pakaian serta makanan asas. Air di muara sungai Kuala Nal sudah mula melimpah keluar daripada tebing. Orang-orang kampung sudah mula bising mengumpul setiap isi rumah untuk bertindak sekiranya perlu. Muka masing-masing menunjukkan tanda cemas. Dalam keadaan samar-samar, Pak Bidin mencapai lampu suluh lalu pergi ke tepi sungai untuk melihat keadaan air. Sebelum tu, Pak Bidin terlebih dahulu pergi ke kandang lembu untuk melihat dua ekor lembu kesayangannya. Di dalam kepala Pak Bidin, ligat memikirkan ke mana akan ditambat lembu-lembunya itu sekiranya keadaan memaksa penduduk berpindah.

Belum sampai ke tebing sungai, Pak Bidin terserempak dengan Pak Leh yang dalam keadaan cemas.

 “ Bidin..Bidin.. cepat balik rumah. Bowok anok bini mu lari. Air sugai menuh. Laju pulop tu airnya, cepak Bidin”

Bidin berlari-lari anak untuk cepat sampai ke rumah. Sebelum sampai ke rumah, Pak Bidin terlebih dahulu ke kandang lembunya. Bagi dia, lembu dua ekor itu adalah segala-galanya. Lembu jantannya yang berharga RM2000 itu sudah ditempah orang untuk dibuat qurban pada hari raya qurban tahun hadapan. Lembu itu harus diselamatkan. Pak Bidin melepaskan lembunya yang tertambat di tiang kandang kemudian mengheretnya naik ke bukit berhampiran. Oleh sebab dalam keadaan gelap, perjalanan ke bukit agak perlahan ditambah pula lembunya yang malas berjalan walau diheret Pak Bidin.

Selepas selesai menambat lembunya di tempat yang diyakini selamat, Pak Bidin tergesa-gesa balik ke rumah. Malangnya laluan ke rumah Pak Bidin sudah ditenggelami air. Pak Bidin berjalan perlahan-lahan dalam air paras pinggang sambil berpaut pada semak-samun di tepi jalan agar dia tidak rebah dibawa arus yang agak kuat. Sebaik sahaja sampai  di rumah, Mak Bedah bersama dua orang anaknya iaitu Amran dengan Anisah sudahpun tiada. Pak Bidin tercari-cari sambil memanggil-manggil nama mereka di sekitar rumah, dibimbangi mereka hanyut semasa dalam perjalanan menyelamatkan diri namun panggilannya tidak bersahut. Rumah kayu peninggalan arwah ibu bapa Pak Bidin, airnya sudah mencecah lantai. Bunyi desiran air yang mengalir ikut bawah rumah Pak Bidin amat menggerunkan. Pak Bidin tidak boleh turun lagi ke tanah kerana airnya begitu pantas naik dan begitu laju alirannya. Pak Bidin bertahan di dalam gelap kerana bekalan eletrik sudahpun diputuskan. Sambil menunggu ianya diselamatkan, Pak Bidin mengemas barang-barang di dalam rumahnya lalu di tempatkan di atas alang rumah agar tidak dihanyutkan air. Jam sudah menunjukkan pukul 10.45 malam, bunyi bot penyelamat masih belum kedengaran. Air di dalam rumah Pak Bidin sudah sampai ke paras dada memaksa Pak Bidin memanjat naik ke atas bumbung rumah.

Di Bukit Kuala, Mak Bedah tak henti-henti menanggis. Puas dia meminta anaknya supaya menelefon pihak bomba untuk meminta bantuan mencari suaminya tetapi tidak mempunyai liputan. Mak Bedah tidak tahu di mana suaminya berada sekarang. Mungkin sudah mati dihanyutkan arus ganas ataupun sedang bergayut di puncak pokok kelapa atau pokok-pokok getah menunggu bantuan. Di Bukit tempat Mak Bedah menyelamatkan diri, terdapat lebih kurang 35 buah keluarga yang terdiri daripada penduduk kampungnya dan kampung sebelah. Mereka berkampung di puncak bukit itu kerana air makin naik. Tidak lama kemudian, bunyi kedengaran enjin bot sangkut menuju ke birai air. Mak Bedah terus mendapatkan pemandu bot tersebut. Di dalam bot tersebut, ada tiga keluarga yang baru sahaja diselamatkan oleh Pak Leh.

“ Pak Leh, mu ada napok Bidin aku dok?”

“ Gelap tadi ada la napok, dio nok turun sungai, pah tu ambo suruh dio kelik sebab air sungai besar sangat, bakpo.. Bidin tak dok sini ko?”

“Tak dok laaa... aku bimbe laa Pok Leh. Matiii doh laaa suami aku wak hanyut ko air. Cepat la Pok Leh, mu tulong gi cari laki aku tuuu..”

Tanpa berlengah lagi, Pak Leh dengan ditemani oleh anak lelaki Pak Bidin iaitu Amran terus pergi meninjau-ninjau dengan bot fiber enjin sangkut 20 kuasa kuda meluncur membelah kesunyian malam untuk mencari Pak Bidin. Mereka harus berhati-hati kerana air tersangat dalam dan laju. Dibimbangi bot mereka melanggar pokok atau dawai eletrik kerana ada sesetengah tempat airnya sudah menenggelamkan tiang eletrik. Dalam kesamaran dengan bertemankan lampu suluh yang terlekat di dahi Pak Leh, Pak Leh meninjau-ninjau mencari laluan ke rumah Bidin.

Hujan masih belum berhenti. Pak Leh sudah mula kesejukan kerana sejak petang tadi lagi dia adalah Adi Jagat yang banyak jasanya dalam menyelamatkan penduduk kampung. Sebagai seorang pemandu bot penambang, Pak Leh mahir dalam mengendalikan bot tetapi dia harus berwaspada kerana jerat tidak pernah lupakan pelanduk. Silap sedikit boleh membawa padah kerana banjir kali ini yang pertama kali berlaku dalam sejarah. Arusnya laju, ganas dan berpusar serta banyak sampah dan kayu-kayu balak yang hanyut. Silap haribulan bot fibernya boleh berkecai sekiranya bertembung dengan balak hanyut yang dibawa arus.

Pak Leh sudah sampai di perkarangan rumah Pak Bidin tetapi dia tidak tahu mana satu rumah pak Bidin kerana kawasan itu sudah menjadi laut. Semua rumah di kawasan itu sudah hilang bumbungnya di telan air bah. Pak Leh berputar-putar dengan botnya sambil memanggil-manggil nama Bidin. Muka Amran sudah pucat lesi. Dada Amran berombak-ombak menahan sebak. Nalurinya kuat mengatakan ayahnya telah hanyut dibawa arus. Berbelas-belas kali Pak Leh berpusing-pusing dengan botnya di kawasan sekitar sambil memanggil-manggil nama Pak Bidin namun tak bersahut. Pak Leh mengambil keputusan untuk balik semula ke Bukit Kuala kerana minyak diesel di dalam enjin botnya sudah hampir kering.

Sebaik sahaja bot Pak Leh sampai di gigi air hampir dengan puncak Bukit Kuala, Mak Bedah terus menerpa. Malangnya kelibat Pak Bidin tidak kelihatan di dalam bot Pak Leh. Mak Bedah meraung tanpa rasa malu..

“ Matiii doh laaa suami akuuu!!,  mati doh laaa suami aku..!!”

Penduduk kampung yang berlindung di Bukit tersebut cuba mententeramkan Mak Bedah. Pak Leh juga berjanji akan mencari lagi Pak Bidin selepas subuh pagi esok. Dia yakin Pak Bidin masih hidup kerana Pak Bidin pandai berenang dan seorang yang kuat semangat.

Pada malam pertama menginap di Bukit Kuala, Mak Bedah tidak dapat melelapkan mata. Di kelopak matanya sentiasa mengalir air mata mengenang akan nasib suaminya sama ada hidup ataupun sudah mati. Kesejukan malam sudah tidak dihiraukan. Amran dan Anisah setia menemani ibunya. Mereka bertiga tidur berselimutkan kanvas yang sudah hampir reput kerana lama berada di atas baja getah. Di mulut Mak Bedah, tidak henti-henti dia beristighfar dan berzikir serta berdoa kepada tuhan agar suaminya selamat. Mak Bedah, cuba hendak bersembahyang hajat dua rakaat untuk mohon pertolongan Allah tetapi sukar untuk mendapatkan air. Nak ambil wudhuk menggunakan air bah pun bahaya kerana banyak binatang bisa yang turut  mendapatkan perlindungan di bukit yang sama. 

Jam 7.30 pagi, kedengaran enjin bot Pak Leh meluncur membelah keheningan pagi yang berkabus. Pak Leh mesti mencari Pak Bidin kerana dia yakin Pak Bidin masih hidup. Penduduk yang berlindung di Bukit Kuala manyatukan makanan untuk dibuat sarapan. Ada yang menyumbang ubi, ada yang menyumbang roti, ada yang menyumbang gula, beras, biskut dan apa-apa makanan yang sempat dibawa. Dalam keadaan sekarang, kita tidak boleh lagi bersikap mementingkan diri sendiri bagai enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing. Kita harus bekerjasama bagai aur dengan tebing. Ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni. Susah sama susah, senang sama senang.

Pagi itu, penduduk yang berlindung di Bukit Kuala bersarapan dengan nasi berlaukkan ikan masin dan telur goreng. Mereka tidak boleh bermewah-mewah kerana mereka tidak tahu bila akan keluar daripada kubu perlindungan tersebut. Mungkin sehari, mungkin tiga hari, mungkin seminggu, dan mungkin sebulan kerana air tidak sedikitpun menunjukkan tanda-tanda akan surut bahkan bertambah naik walaupun hujan sudah berhenti. Selepas makan pagi, penduduk bergotong royong mendirikan bangsal menggunakan sumber yang ada. Yang paling utama, mereka mendirikan bangsal tempat memasak dan menyimpan stok makanan. Hal itu penting untuk mengelakkan bahan makanan rosak terkena hujan dan dapur boleh sentiasa berasap kerana dalam keadaan menunggu, perut akan sentiasa lapar.

Lebih kurang pukul 11 pagi, bot Pak Leh kelihatan menuju ke gigi air Bukit Kuala. Di dalamnya terdapat 3 orang penumpang. Melihat kelibat kehadiran bot Pak Leh, Mak bedah, Amran dan Anisah terus berlari ke gigi air. Muka Mak Bedah bertukar mendi ceria dan senyumannya meleret sampai ke telinga. Belum pun bot Pak Leh tiba di gigi air, Mak Bedah terlebih dahulu meluru mengharung air sampai ke paras peha untuk menyambut ketibaan suaminya itu.

“Alhamdulillahhh.. abang selamat”

Penduduk-penduduk kampung juga turut bergembira dengan selamatnya Pak Bidin dan seorang lagi penduduk iaitu Rosli bisu. Tangan Pak Bidin bengkak kerana disengat anak lipan semasa berpaut pada satu dahan pokok getah. Pak Bidin juga selsema dan batuk-batuk kerana semalaman berada di puncak pokok getah. Rosli juga hanyut di bawa arus. Nasib baik dia pandai berenang untuk bergayut pada pokok-pokok kayu. Dengar cerita, ramai lagi penduduk kampung yang tidak sempat melarikan diri hanyut dibawa arus semasa air bah meneggelamkan hampir semua bumbung rumah di kampung tersebut. Walau bagaimanapun, rata-tara penduduk di kampung itu pandai berenang kerana majoriti penduduk di kampung Kuala Nal itu mendapat hasil sampingan melalui aktiviti air seperti menjaring ikan dan menjadi pemandu bot penambang selain punca utama menoreh getah.
  
Selepas menjamah sedikit sarapan, Pak Bidin merebahkan badan sekejap kerana terlalu mengantuk akibat semalaman tidak tidur. Walaupun dia sudah berada di celah dahan pokok, tapi Pak Bidin takut dia tidak dapat imbangkan badan sekiranya tertidur lantas boleh terjatuh dan dihanyutkan arus. Sambil itu, Pak Leh dengan ditemani oleh seorang lagi penduduk kampung iaitu Leman, pergi meninjau-ninjau untuk melihat keadaan air sambil mencari-cari penduduk yang masih terkandas di atas pokok takut-takut masih ada. Semasa Pak Leh meroda-ronda kampungnya, dia dapat melihat dengan mata kepalanya sendiri akan ganasnya air yang mengalir. Tidak ada walau sebuah rumah di kampungnya Kuala Nal yang terselamat daripada ditenggelami air. Sepanjang perjalanan membuat tinjauan, tangan Rosli sentiasa mencapai bungkusan-bungkusan makanan ringan yang hanyut bersama arus masuk ke dalam bot. Mungkin makanan tersebut datangnya dari kedai runcit penduduk situ yang pecah atau penduduk di kawasan hulu yang terlebih dahulu merasa musibah ini.

Bot Pak Leh hanya dikemudi ikut tepi-tepi pokok sahaja kerana Pak Leh tidak berani membelah air bah ikut tengah kampung yang sudah menjadi laut. Terlalu banyak rumah yang hanyut dan sisa-sisa kayu, buluh, binatang ternakan serta sampah sarap. Nasib baik tidak semua penduduk yang mampu menyaksikan situasi ini kerana mereka berada di tempat-tempat perlindungan. Kalau tidak, mungkin ramai yang ketakutan dan menangis kesedihan kerana banjir yang begini besar tidak pernah dilihat walau setiap tahun mereka berhadapan dengan banjir. Pak Leh cuba mengemudi botnya ke sekolah Kebangsaan Kuala Nal untuk melihat keadaan mangsa-mangsa banjir yang hampir 1500 penduduk berlindung di situ. Namun, usahanya tidak berjaya kerana kuasa enjin botnya tidak mampu mengatasi kekuatan arus air. Kalau dia redah juga, bot fiber Pak Leh boleh terbalik. Dari kejauhan, Pak Leh boleh melihat lambaian-lambaian tangan mangsa banjir yang memenuhi koridor sekolah melambai-lambaikan tangan mohon dihantar bantuan makanan. Dalam keadaan sekarang, tidak ada penduduk yang memiliki bot berani untuk bergerak. Bukan saja arus air yang deras, tetapi minyak diesel yang sukar untuk diperoleh. Masing-masing jaga diri. Kalau lapar, makanlah apa yang ada atau sambar saja makanan-makanan yang hanyut daripada kedai-kedai runcit penduduk yang musnah.  

Sudah tiga hari penduduk Kuala Nal berkampung di tempat pemindahan. Ada sebahagian berpindah ke sekolah dan sebahagian lagi berada di puncak-puncak bukit. Boleh dikatakan setiap puncak bukit ada penghuninya. Ada keluarga yang terpaksa berpisah daripada ahlinya kerana semasa menyelamatkan diri, mereka hanya tahu lari mencari tempat yang selamat. Mereka tidak ada masa untuk berkumpul bersama kemudian melarikan diri bersama.

Selama tiga hari berkampung di puncak bukit, makanan sudah kehabisan. Anak-anak kecil menanggis kelaparan. Keadaan sudah menjadi teruk. Ramai penduduk yang sakit tidak terawat. Bagi mereka yang dewasa, hanya pucuk-pucuk kayu boleh menjadi alas perut tetapi bagi remaja, pucuk-pucuk kayu memang sukar untuk ditelan. Tetapi, kalau dibandingkan dengan mereka yang berlindung di sekolah, penduduk yang berlindung di bukit lebih bernasib baik kerana mereka masih ada sumber makanan. Dalam bukit, macam-macam sumber alam yang boleh digunakan untuk dimasak dan dimakan. Bagi mereka yang sudah berumur seperti Pak Bidin dan Pak Leh, mereka tiada masalah kerana sebelum banjir pun makanan mereka hanya nasi, budu serta ulam-ulaman. Mereka sudah biasa hidup susah kerana mereka dilahirkan dalam keluarga susah dan membesar dengan cara yang susah. Setakat dua hari tidak makan itu biasa.

Sepanjang tiga hari dua malam berada di puncak bukit, mereka terputus hubungan sama sekali. Liputan telekomunikasi tidak ada langsung walau satu bar signal untuk membuat panggilan minta bantuan. Selama tiga hari terkepung oleh air juga, mereka tidak pernah melihat walau sebuah bot penyelamat lalu. Pendek kata, hidup mereka betul-betul ibarat katak di bawah tempurung. Mereka terputus terus hubungan dengan dunia luar dan tidak tahu apa-apa perkembangan semasa. Mereka tidak tahu akan nasib jiran-jiran yang berada di pusat pemindahan lain dan yang berada di puncak-puncak bukit yang lain. Mereka tidak tahu siapa yang hanyut. Mungkin sudah ada penduduk yang mati terperangkap di dalam rumah.

Masuk hari keempat, air sudah surut walau tidak sepenuhnya. Ramai penduduk kampung mula memberanikan diri mengharung air paras paha pulang untuk melihat keadaan harta benda masing-masing. Tetapi malang sekali, boleh dikatakan hampir semua rumah di kampung Kuala Nal itu musnah bahkan tidak kurang 120 buah rumah hanyut sama sekali termasuklah rumah Pak Bidin. Terduduk Pak Bidin dan Mak Bedah sebaik sahaja melihat rumahnya hanya tinggal tuku tapak. Mana mereka nak korek duit untuk membina semula rumahnya yang entah ke mana dihanyutkan air. Melalui sumber pendapatan yang hanya dengan menoreh getah dan menjual ikan darat, mana mampu mereka hendak membeli kayu dan zink untuk membina semula rumahnya.

Pak Bidin mengagahkan diri mengharung air untuk melihat dua ekor lembu peliharaannya di bukit berhampiran dengan rumah Bidin. Sekali lagi dia terduduk sebaik saja melihat bangkai dua ekor lembunya yang mati tertambat. Memang besar dugaan yang harus dihadapi oleh Pak Bidin sekeluarga dan penduduk kampung. Dalam keadaan longlai, Pak Bidin berjalan pulang ke rumah. Dia melewati kebun getahnya untuk melihat keadaan. Memang tepat apa yang terfikir di benaknya, banyak pokok getah Mak Bedah senget dan tidak kurang juga yang tumbang menyembah bumi kerana tidak dapat menahan asakan arus yang begitu deras. Boleh dikatakan hampir semua mangkuk susu getahnya hilang entah ke mana di bawa arus. Mungkin sudah sampai ke muara Pantai Cahaya Bulan.

Sudah dua hari Pak Bidin tidak menyentuh makanan. Badannya terasa amat lemah tetapi dia perlu kuatkan semangat. Hidup mesti diteruskan walau dalam keadaan bagaimana sekalipun. Dia tidak boleh terus berserah pada takdir. Dia harus bangkit. Dia harus bersyukur kerana masih selamat. Bah besar yang hampir-hampir meragut nyawanya dianggap satu dugaan terhadapnya. Mungkin Allah ingin menghantar sedikit ujian untuk menyedarkan betapa kerdilnya kita di sisi-Nya.

Kini sudah 3 bulan berlalu, Pak Bidin hanya mampu tinggal di dalam khemah yang disumbangkan oleh NGO. Ramai pemimpin masyarakat daripada pelbagai parti politik yang turun padang datang menabur janji untuk membina rumah baru kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal. Namun janji tinggal janji. Penduduk masih dipaksa dan terpaksa tinggal di dalam khemah kura-kura yang tidak bertingkap. Siang panas membahang dan malam juga kepanasan. Tiada bezanya malam dan siang. Memasak, mandi, membasuh dan segala-galanya guna air sungai manakala malam cahaya pelita jadi penyelamat kegelapan. Sampai bila dia harus begitu. Bagi penduduk yang mempunyai anak besar yang sudah bekerja dan berkeluarga, sudah tentu boleh minta simpati anak-anak yang menetap di luar negeri tetapi tidak bagi Pak Bidin kerana Amran baharu tingkatan 5 manakala Anisah baharu tingkatan empat SMK Kroh. Walaupun kemiskinan itu sudah begitu sinonim dengan kehidupan mereka sekeluarga, tetapi dugaan bah kuning ini lagi merumitkan kehidupan mereka. Pak Bidin bukannya mahu istana, tetapi cukuplah rumah pondok yang mempunyai air bersih, kuasa eletrik dan tandas untuk keselesaan dia sekeluarga. Kasihan isteri dan anak perempuannya yang terpaksa ke sungai untuk melepaskan hajat. Kini, Pak Bidin masih mengharap agar suatu masa nanti ada pemimpin politik yang menunaikan janji mereka. Buat masa sekarang, biarlah Pak Bidin hidup ala kadar untuk meneruskan kelangsungan hidup. Apa yang penting, pendidikan anak-anaknya tidak terabai. Pendidikan anak-anak harus diutamakan agar suatu hari nanti mereka faham erti kemiskinan dan cuba keluar daripada kepompong kemiskinan yang diwarisi turun temurun.

                              - TAMMAT-

Sekian terima kasih, 
* nama setiap watak telah ditukar

Sunday, 5 July 2015

MATDIN GUNUNG VS MALIM GUNUNG


Assalamualaikum.. sedar tak sedar, sudah hampir satu purnama lamanya hamba tidak sumbat entri baru dalam blog hamba yang dangkal ini. Entah kenapa.. kemalasan menulis hamba sejak dua menjak ini begitu menjelekkan sekali. Hal ini mungkin disebabkan oleh otak hamba yang tepu untuk berfikir dek terpaksa menulis banyak kata alu-aluan dan teks ucapan VVIP untuk dimuatkan dalam buku aturcara atau buku program tempat hamba bertugas. Oleh sebab.. hamba tak mahu melihat blog hamba yang hamba telah 'create' sejak beberapa purnama dahulu kala suram dan mungkin terkubur dek tidak masuk entri baru, maka hamba gagahkan jua untuk berkarya seadanya dengan cara hamba sendiri.

Persoalannya.. apa kaitan MATDIN GUNUNG dan MALIM GUNUNG ?.  Ah! tak ada kaitan langsung sebenarnya. Kebetulan nama saja hampir sama bunyi sebutannya. Walau bagaimanapun, ada persamaan sedikit dengan minat dan kecenderungan terhadap gunung. 

MATDIN GUNUNG merujuk kepada seorang individu yang amat meminati aktiviti outdoor seperti mendaki gunung, mendaki bukit, masuk hutan dan meneroka hutan, lombong, tasik, danau, sungai dan laut. MALIM GUNUNG pula secara teorinya merujuk kepada seseorang yang sangat arif tentang selok belok gunung seterusnya layak untuk diiktiraf sebagai pemandu arah, mentor, tenaga pengajar, pembawa barang kepada pendaki dan yang menjaga kawasan gunung. ( Teori cipta sendiri ikut sedap rasa. Tidak ada istilah ini di dalam Kamus Dewan ) 

Sesungguhnya tanggungjawab yang dipikul oleh MALIM GUNUNG amat besar dalam memastikan keselamatan para pendaki bahkan turut bertanggungjawab dalam memastikan gunung sentiasa dalam keadaan yang natural dan terjaga. MALIM GUNUNG mula dikenali ramai dan menjadi viral di media sosial selepas kejadian gempa bumi yang berlaku di Gunung Kinabalu. Sebelum ini MALIM GUNUNG dikenali sebagai Guard yang bertugas dengan Taman Kinabalu, Sabah sebagai penunjuk arah kepada pendaki gunung yang dikenali juga sebagai porter. Mereka yang pernah mendaki Gunung Kinabalu tentu tahu apa itu MALIM GUNUNG atau porter.


Ye lah.. gunung ni kita kena jaga, kalau tidak menjaganya kelak anak cucu kita tidak ada gunung untuk didaki. Selepas banyak bukit ditarah dan diratakan, tidak mustahil gunung juga akan ditarah dan diruntuhkan bagi mendapatkan tanah yang akan digunakan untuk menimbus lembah, lombong, tasik untuk pembangunan dan digunakan untuk menambak laut. Bagi mereka yang memiliki rasa kecintaannya berada pada tahap gaban terhadap alam sekitar, sudah tentu sangat kecewa dengan situasi yang berlaku hari ini. Bukit yang dahulunya membiru, kini botak dan licin ditarah. Di kawasan pergunungan yang suci juga sudah ada pembalak-pembalak haram yang rakus menebang pokok-pokok balak untuk kepentingan sendiri. Selagi tindak tanduk mereka tidak dapat di kesan dan dibiarkan, selagi itulah mereka bermaharajalela menebang seberapa banyak pokok yang sempat dicuri. Lebih memburukkan keadaan, apabila ada dalam kalangan pihak berkuasa yang pejam mata akibat 'tangan kiri' sudah menerima habuan daripada taukeh balak ini. Buktinya sudah jelas.. tengok saja apa dah jadi dengan Cameron Highlands yang suatu masa dahulu landscapenya sungguh indah dan suhunya yang amat dingin sekali, sekarang tidak banyak bezanya dengan suhu di Kuala Krai dan Gua Musang.. sebab apa? sebabnya hutan semakin pupus diteroka dan digantikan dengan sayur. Bukit bukau juga semakin rakus dimamah jentera penggondol. Apabila berlakunya banjir kilat dan tanah runtuh yang soheh akibat daripada penerokaan hutan dan tarahan bukit.. masing-masing  cuba menyorokkan diri dan saling menuduh menyalahkan orang lain. Tidak berani untuk bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku.

Bagi negeri yang kontour muka buminya berbukit-bukau dan bergunung-ganang, pantas pihak berkuasanya menjadi kaya raya dan ada pihak berkuasa yang diberi tanggungjawab menjaga hutan dapat mengumpul wang berjuta-juta hasil daripada kegiatan belakang tabir dalam masa yang sangat singkat. Siapa yang nak diharapkan untuk menjaga alam sekitar kita ini daripada diragut oleh sang haloba yang sedikitpun tidak rasa bersalah demi memastikan kantung mereka kembong kerana mempunyai nafsu untuk memiliki kemewahan yang luar biasa? Pokok yang memakan masa ratusan tahun untuk membesar, cuma perlu masa kurang 10 minit untuk direbahkan ke bumi dan dilenyapkan seterusnya mengubah landscape hutan, bukit dan gunung. 

Melihat kepada kemusnahan hutan, bukit dan gunung, terasa satu kerugian yang amat sangat. Nak pulihkan kemusnahan tersebut mungkin memakan masa puluhan tahun. Kejadian gempa bumi di Kinabalu banyak menjejaskan keindahan Gunung Kinabalu dan Kampung-kampung sekitar kaki gunung yang cukup indah seperti Mersilau dan Kundasang. Diburukkan lagi dengan kejadian banjir lumpur yang mengubah landscape keindahan sebahagian Taman-Taman Sabah yang dijaga. Kita tidak boleh menolak kehendak atau suratan takdir daripada Allah.. tetapi kita boleh berdoa agar sebarang musibah dijauhkan. Mungkin alam sudah marah kerana sikap manusia yang tidak menghormati alam dan tindak-tanduk manusia yang mendorong berlakunya musibah. Sudah jelas tersurat dalam Al-Quran surah Ar Rum ayat 21 bahawa kemusnahan di bumi dan dilangit kerana disebabkan oleh tangan-tangan manusia.

Akhirulkalam.. kita sebagai manusia, haruslah hormat dan jaga alam anugerah yang tidak ternilai daripada Allah ini. Alam memberikan kita udara yang segar, pemandangan yang indah, hidupan sebagai sumber rezeki, tumbuhan herba untuk kesihatan, punca air bersih dan beribu-ribu khazanah lagi. Jagalah Hutan Kita.. generasi masa depan juga mempunyai hak untuk merasai kenikmatan hasil daripada hutan.