Sunday, 30 December 2012

SELAMAT TAHUN BARU

Hari ni merupakan hari terakhir kita berada dalam tahun 2012 dan esok pastinya kita akan berada dalam tahun 2013 kalau masih dipanjangkan umur, ini bermakna tahun 2012 sudah menjadi satu lipatan sejarah. Ini juga bermakna, entri SELAMAT TAHUN BARU  merupakan entri terakhir aku dalam tahun 2012 ni. Alhamdulillah.. bersyukur pada Allah swt kerana sepanjang hari-hari berlalu aku masih diberi peluang untuk bernafas di atas muka bumi tuhan ini. Sepanjang tahun 2012, tubuh badan aku sentiasa sihat sejahtera. Banyak aktiviti indoor dan outdoor yang dapat aku lakukan dengan anugerah kesihatan yang tidak ternilai ini. 

Beranjaknya  tahun 2013, bermakna tambah satu tahun lagi umur aku dalam tahun masehi. Satu sejarah buatku apabila anak sulung aku sudah melangkah ke sekolah menengah dalam tingkatan satu manakala anak yang ketiga masuk prasekolah. Ramai kawan aku yang mengajar sama dengan aku dan sekolah anak aku di tempatkan dalam tingkatan satu, tersenyum sinis padaku dan mereka seolah tidak percaya bahawa anak aku sudah remaja dan masuk ke sekolah menengah. Mungkin mereka nampak aku masih muda dan seolah tak layak untuk mempunyai anak yang sudah remaja. Walau bagaimanapun, itulah kenyataan dan hakikat sebenar bahawa aku sudah berumur dan anak aku sudah remaja. Aku kena memainkan peranan sebagai seorang ayah yang bertanggungjawab mendidik anak remaja ke jalan yang benar dan lurus. Anak remaja sekarang bukan senang nak dibentuk akibat daripada persekitaran yang semakin kompleks dan mencabar. Berada di sekeliling mereka adalah jalan-jalan ke arah menjahanamkan jati diri mereka lebih-lebih lagi berada di bandar besar yang penuh dengan gejala sosial. Lubang-lubang maksiat bertaburan sana sini, kawan-kawan yang samseng dan nakal senang diperoleh, pusat-pusat hiburan bersepah, tempat-tempat untuk menghabiskan duit juga ada merata-rata. Kalau seseorang remaja itu tidak kuat jati diri untuk menempuh cabaran dan godaan serta tidak kuat keimanan untuk menghadapi semua itu, maka amat mudahlah mereka terjerumus menjadi seorang anak yang memeningkan kepala kedua ibu bapanya, menjadi seorang pelajar yang memberi masalah kepada guru-guru di sekolah, menjadi anggota masyarakat yang tidak bermanfaat serta menjadi rakyat yang tidak berguna kepada negara. Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorak anak-anak remaja agar menjadi seorang anak yang berjaya dalam kehidupan dan berjasa untuk agama, bangsa dan negara. 

Aku berdoa pada tuhan agar anak aku menjadi anak yang beradab, bersopan santun, tidak derhaka kepada kedua ibu bapa serta boleh memberi jasa dan manfaat kepada agama dan seluruh masyarakat. Kata orang tua-tua " sejuk perut ibu mengandung kalau dapat anak yang taat suruhan Allah dan baik budi pekertinya".
Aku sangat berharap agar tuhan lembutkan hati anak aku untuk ke Sekolah  Tahfiz Sains kat Kolej Universiti Islam Selangor, Bangi. Anak aku sebenarnya sudah mendapat tawaran untuk ke sekolah tu selepas lulus dalam ujian bertulis dan temuduga, tapi dia rasa berat hati untuk ke sekolah tu atas sebab jadual yang padat. Lagi satu, dia tak mahu tinggalkan kawan-kawan dia kat sini yang bersekolah di sekolah sekular tempat aku mengajar sekarang. 
Sebagai ibu bapa, aku sangat berkeinginan untuk menempatkan anak aku di sekolah agama kerana di sekolah ni mereka hanya bercampur dengan rakan-rakan yang sebangsa dengan kita serta dikelilingi oleh ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah. Pemakanan juga dijaga, pergaulan dikawal rapi, disiplin lebih menjurus ke arah Islamik dan banyak lagi kelebihan yang ada di sekolah agama seperti ini. Aku percaya, ramai ibu bapa sangat berkeinginan menempatkan anak-anak mereka di sekolah agama. Walaupun sekolah agama bukan jaminan anak-anak kita akan jadi baik, tapi sekurang-kurangnya sebagai satu ikhtiar untuk anak kita terbina jati diri dan terbentuk akhlak mulia.


Para ibu bapa bersemangat untuk menempatkan anak mereka dalam tingkatan satu  2013 di sekolah biasa

Para ibu bapa berbaris untuk membeli buku latihan dan amali anak-anak

Guru-guru tingkatan dibantu oleh para pengawas

Anak aku.. Mat Adib sedang beratur dalam barisan kelasnya, 1 Gigih.

Pelajar secara beratur menuju ke kelas masing-masing untuk orientasi

Para ibu bapa melihat di papan kenyataan dalam kelas mana anak-anak mereka di tempatkan

Pendaftaran bermula

Para ibu bapa dikumpulkan di dewan sekolah untuk sesi taklimat

Dari sekolah rendah, masuk sekolah menengah

Kelas anak aku di sekolah sementara, tingkatan 1 Gigih

Nilah anak aku dok di belakang sekali. Dah jumpa kawan kot.

Puan Rahimah, guru kelas anak aku. Tengok muka garang cikgu ni, tapi.. baik garang daripada lembut. Budak sekarang kalau bersikap lembut cepat 'naik kepala'
Okeylah.. buat sementara waktu, Ahmad Adib aku tempatkan dulu di sekolah ni. Dalam Daerah Petaling, sekolah ni antara sekolah yang terhebat. Sesiapa yang boleh masuk ke sekolah ni sudah layak untuk berbangga. Ramai cikgu pakar dan cikgu yang sangat komited dalam menjalankan tugas mendidik pelajar. Walau apapun.. bagi aku, sekolah agama adalah yang terbaik. Apabila sudah mendapat surat tawaran nanti, insya-Allah... aku akan hantar Ahmad Adib ke Sekolah Bina Insan, KUIS. Iaitu sebuah sekolah  tahfiz sains yang menawarkan pakej akademik biasa dan tahfiz al-Quran di bawah seliaan pihak JAIS. 

No comments:

Post a Comment