Monday, 20 October 2014

XPDC MEMANCING EPISODE 2 - KELONG SANGKAR KUNING

Assalamualaikum..

Bersua kembali dalam entri XPDC memancing Episode 2. Kali ini lokasi memancing yang dipilih ialah KELONG SANGKAR KUNING PULAU KETAM. Kecewa dengan hasil yang diperoleh di Kelong Greenway tempoh hari, aku bercadang untuk menganjurkan lagi XPDC memancing. Lokasi asal yang dipilih ialah Tasik Kenyir. Oleh sebab aku membuat perancangan terlalu suntuk, maka kebanyakan house boat di Tasik Kenyir sudah Full House. Tak ada satupun yang berbaki. Mungkin musim Raya Deepavali adalah musim yang sangat sesuai untuk memancing kot..

Aku Whatapps Mawa'D supaya cari satu kelong lain yang masih kosong. Cuti Deepavali selama 9 hari terlalu sunyi sekiranya tak buat apa-apa aktiviti.Nak balik ke kampung pun sudah tak ada apa lagi nak buat. Sejak Ibu tak de ni, mood nak balik ke kampung sudah mula berkurangan. Lebih baik aku habiskan waktu cuti aku dengan memancing. Nak mendaki gunung tak sesuai musim ni sebab selalu saja hujan lebat dan ribut petir. 

Cari..punya cari.. Google punya Google.. akhirnya jumpa juga satu Kelong yang masih kosong. Canteekkk.. Mawa'D terus telefon aku suruh dapatkan peserta. Kalau boleh nak muat 8 orang kerana Kelong yang nak pergi kali ini sesuai untuk satu kumpulan. Bayaran untuk satu kelong termasuk pakej tambang bot, sedikit makanan dan minuman ialah RM600. Kos Umpan RM100. Kos Makanan RM100. 'Bo Sede Molek' kata orang Kelantan.


Ni dia rupa KELONG SANGKAR KUNING Pulau Ketam

" Okey Di.. Cun. Aku cari peserta" . Tanpa berlengah aku terus iklankan dalam whatapps group Rakan Sejawat dan Family Group. Tetapi sambutan cukup slow. Mungkin aktiviti yang menggunakan kos kurang menarik minat peserta memandangkan keadaan sekarang yang menuntut kita agar sentiasa berjimat cermat dan tidak membazirkan wang. Tapi.. mana ada aktiviti yang tak gunakan wang. Memancing di lombong memang tak gunakan wang tapi nak dapat ikan sikit punya susah. Berjam-jam menunggu belum tentu dapat hasilnya walau seekor. Buang masa saja.

Walau bagaimanapun.. melalui promosi dan iklan membujuk yang selalu aku uar-uarkan dalam whatapps group, akhirnya seorang demi seorang peserta menawarkan diri untuk menyertai XPDC memancing aku pada kali ini. Aku dah nekad.. kalau dah takde orang sangat, aku akan pergi juga walau hanya berdua dengan Mawa'D. Projek aku pantang untuk aku cancel. Seminggu sebelum pergi, seramai 6 orang telah mendaftarkan diri untuk follow trip ni. Pelbagai perancanga rapi telah dibuat. Tugas dibahagi sama rata. Sokongan padu melalui kata-kata semangat dan doa kawan-kawan yang tak dapat ikut, begitu membakar semangat peserta yang bakal hadir untuk berjuang menaikkan Kerapu, Siakap, Senangin dan Merah. Pelbagai strategi telah diatur termasuk mengkaji jenis umpan yang bakal digunakan.

18 Oktober 2014, hari yang dinantikan telah tiba. Tasnim yang pada mulanya banyak alasan akhirnya  bersetuju untuk turut serta. Bertambah seorang lagi ahli. Lagi meriahlah XPDC aku kali ini. Kami berkumpul di jeti Pulau Ketam pada pukul 1 tengahari. Sementara menunggu tuan kelong datang menjemput, kami minum dulu. Mawa'D tiba dengan seorang kawannya yang juga peserta terakhir. Genaplah 8 orang ahli memancing pada kali ini. Sampai target juga akhirnya. Kami bertolak ke Kelong pada pukul 3 petang. Kedudukan Kelong tersebut antara pertembungan sungai dengan muka laut lepas amat strategik. Peluang untuk mendapat banyak ikan begitu cerah. 


Jeti tempat kami menaiki boat

Kelengkapan diangkut ke dalam bot

Perjalanan dengan bot mengambil masa lebih kurang 45 minit. Peserta begitu teruja sekali sebaik sahaja keududukan Kelong Sangkar Kuning sudah mula kelihatan.

Deretan Kelong yang menggamit kedatangan kami


Sedang memunggah peralatan memancing dan barang-barang keperluan naik ke Kelong

Bergambar kenangan dulu sebelum bertarung. Dari kiri: Saiful, Kang, Mat Zol, MawaD, Najuha, Mie dan MatTas. 

Pasukan campuran antara pemancing profesional dan amatur

Over teruja.. lepas bergambar terus pasang umpan. Uniform pun belum lagi tukar

Pemilik Kelong hanya memerhati sahaja gelagat kami sebelum dia cabut meninggalkan kami berjuang

Perghhh.. dasar pemancing profesional. Baling je.. terus dapat hasil. Sebagai taiko dalam kumpulan, Mawa'D terlebih dulu buktikan kepada peserta lain bahawa dia adalah Raja Pancing.

Kejayaan Mawa'D menjinakkan ikan ini membuatkan kawan-kawan yang lain lebih teruja dan begitu bersemangat

Selang beberapa minit, giliran Nazuha pula menaikkan Ikan Sebelah.

Mie.. baru pertama kali memancing, masih menyesuaikan diri dengan joran yang dipinjam daripada rakannya. Sabar Mie.. Memancing ni kita kena banyak sabar.

Aku sediakan dulu makanan ringkas yang cukup lazat untuk pendaki gunung dan kaki pancing buat mengisi perut sebelum aku sendiri turun untuk bertarung

Wah.. bangganya. Mie yang langsung tak ada pengalaman memancing juga turut berjaya menaikkan Gelama. Ini tak boleh jadi ni.. 

" Tempat ni memang bagus la Din Gunung" kata Mie dengan Kang

Ceh.. Mat Jul pun tak nak kalah. Ada juga hasilnya.

Kang dengan Tasnim masih menunggu hasil untuk buktikan pada rakan lain bahawa dia juga bukan poyo orangnya dalam bab memancing. Mesti buktikan..

Hasil kedua Mat Jul.. SENANGIN
Mie tak menang tangan pasang umpan yang sentiasa kehabisan

Shaiful masih sabar menanti

Akhirnya... giliran Shaiful pula menaikkan ??? ikan apa ni eh?

Pada petang ini aktiviti memancing begitu meriah bak pesta. Banyak ikan yang peserta dapat bawa naik. Boleh dikatakan semua peserta berjaya menaikkan ikan tak kira yang professional mahupun yang amatur. Termasuk juga aku. Aku juga berjaya menaikkan ikan.. ??? tah apa nama.


Nilah rupa ikan yang berjaya aku tawan.. bukan ikan duri kat sebelah. Yang tu Kang yang punya
Terus terang aku kata.. memang kat sini begitu banyak ikan. Walaupun ikan yang dapat tidak sebesar mana tetapi sudah cukup untuk menggembirakan semua peserta trip aku kali ini. Antara pukul 5 ptg hingga pukul 7 malam.. kami bersilih ganti menaikkan ikan. Perut yang lapar pun tidak dipedulikan. Peluang air pasang diambil kesempatan sepenuhnya. Rugi rasanya tengah-tengah mengena macam ni kita buang masa untuk makan. Hold dulu makan tu. Situasi ini sangat berbeza dengan Kelong yang aku pergi bulan lepas yang mana berjam-jam memancing seekor gelama pun susah nak sangkut.

Selepas pukul 7 malam.. air kembali surut. Ikan pun sudah mula kurang mengutis umpan. Tuan kelong tu cakap, pukul 9 nanti pula air akan pasang kembali dan pada masa nilah situasi tak menang tangan akan kembali berlaku. Kesempatan ini memberi kami peluang untuk sembahyang maghrib dan makan. Selepas sembahyang isya, kami turun untuk mengganas semula. Memang tepat apa yang dikata oleh tuan kelong tadi, pukul 9 malam air mula pasang semula dan ikan mula mengutis umpan. Tak menang tangan kami melayan setiap batang joran. Umpan anak kembong, udang, sotong dan umpun-umpun menjadi sajian ikan-ikan di sekitar kelong Kuning pada malam tu.


Tasnim berjaya menjinakkan seekor ikan Tanda. Gembira tak terkata dirinya. 
Ikan Tanda hasil usaha Tasnim

Ikan-ikan yang mendiami kawasan ini ada pelbagai. Yang paling banyak ialah IKAN DURI. Jenuh kumpulan kami asyik membawa naik ikan duri dan gelama. Ikan duri dianggap pengacau kerana kumpulan kami tak minatpun dengan ikan ni. Sekadar nak layan joran bolehlah. Biasanya kami akan melepaskan kembali ikan duri yang dibawa naik ke dalam air. Kalau dikumpul ikan duri yang berjaya dibawa naik oleh kami semua pada malam tu.. mahu satu guni banyaknya.

Sehingga pukul 10 malam.. hampir separuh tong Cooleman berjaya kami naikkan ikan hasil memancing. Memang berbaloi XPDC memancing pada kali ini. Bukan berbaloi dari segi harga hasil yang dapat.. tetapi berbaloi kerana tak pulang dengan tangan kosong. Keseronokan memancing mula timbul. Patutla ramai orang gila memancing.. rupa-rupanya best juga layan ikan yang mengena kat joran kita. Satu kepuasan yang tak boleh nak ucapkan dengan kata-kata.

Pukul 12 tengah malam.. ikan sudah mula tidur barangkali. Hanya ikan duri yang masih belum tidur gamaknya. Kami sudah mula bosan sebab sudah tidak ada lagi ikan yang pelik-pelik berjaya dibawa naik. Yang masih mengutis umpan cuma Ikan Duri dan Gelama silih berganti. Di kaki langit sudah ada cahaya kilat menandakan hari nak hujan. Kami berdoa dalam hati agar tuhan tidak turunkan ribut. Maklumlah.. kami datang pada musim keadaan cuaca yang tidak menentu dan sukar diramal. Untuk menghilangkan rasa bosan, kami makan kuaci dan kacang sambil berborak minum kopi. Ada yang masak mi meggi. Angin sejuk yang mula bertiup begitu mendamaikan. Nasib kami kurang baik pada malam ini kerana generator rosak.. maka terpaksalah kami memancing dan memasang umpan dalam keadaan gelap. Lampu yang ada cuma kat skrin telefon bimbit sahaja untuk membuang ikan yang dapat. Tetapi itu tidak memberi masalah yang besar buat kami. 

Pukul 4 pagi.. kami dikejutkan dengan kehadiran hujan yang amat lebat yang turun dengan tiba-tiba. Bertempiaran kami lari masuk ke dalam rumah kelong untuk berlindung daripada basah kuyup. Sambil menunggu hujan berhenti.. seorang demi seorang pemancing berdengkur diketuai oleh Mawa'D. 

Pukul 6.30 pagi, aku bangun untuk sembahyang subuh. Hujan masih belum berhenti tetapi tidak lebat. Hanya rintik-rintik sahaja. Begitu segar dan nyaman udara pagi ni. Lepas sembahyang subuh, para pemancing meneruskan usaha untuk menaikkan ikan. Aku dan jaring tidak boleh dipisahkan umpama irama dan lagu. Seutas Jaring yang aku pasang kat tepi Kelong mengena 3 ekor ikan pada pagi ni. 


Ikan yang tersangkut kat jaring aku

Ni seekor lagi ikan yang sangkut
Celik mata.. lepas menunaikan kewajipan, terus mencuba nasib

Hasil pertama yang dapat di pagi yang indah ini ialah seekor SENANGIN hasil kreativiti Nazuha menggunakan casting

Nasib ikan ni.. makan umpan tipu

Mat Jul.. meneruskan legasi menaikkan Ikan Duri. Sejak dari semalam, asyik ikan duri yang makan umpan Mat Jul
Mawa'D tidak kedekut ilmu..segala teknik baik memperambut mata, jenis umpan yang sesuai digunakan, dan teknik balingan. Semuanya diperturunkan kepada pemancing yang baru nak berjinak dengan aktiviti ini.

Hasil tunjuk ajarku sifu.. Tasnim sekali lagi berjaya menaikkan hasil


Sambil menghirup udara segar.. sambil mencuba nasib

Antara koleksi ikan yang dapat..
Anak Ikan Merah hasil dari pancing kepunyaanku
Ikan Gelama yang dapat selepas 5 jam bertarung

Pada pagi ni aku menyediakan sarapan dengan cekodok buat mengalas perut para pemancing. Cekodok dan kopi 'O' panas di pagi yang dingin. Perghhhh...



Alas perut dulu brader sebelum meneruskan perjuangan



Pukul 9 pagi, air mula pasang kembali. Para pemancing sudah mula tak menang tangan melayan getaran hujung batang joran. Loceng-loceng yang dipasang pada hujung batang joran bersahutan pada setiap penjuru Kelong. Para pemancing mula mengganas semula untuk menambah bilangan hasil yang mengena.


Pancing Shaiful sudah mengena.. layann

Alamak.. ikan ni lagi. Ikan Kerapu Askar Amerika sebab celoreng kat badan ikan ni saling tak tumpah macam uniform tentera Amerika

Perghhhh.. giliran Tasnim pula melayan batang jorannya pada pagi ini.

WOW !!! ikan sembilang. Goreng pun sodap nii

Mawa'D satu-satunya pemancing yang berjaya menaikkan Pari. Tu pun dah dekat nak balik dah.

Orang lain semua dah boleh bawa naik ikan pagi ni, tapi.. Kang masih menanti dan terus menanti. Riak wajahnya sudah menunjukkan kebosanan tahap gaban.

Nazuha antara pemancing yang sentiasa bawa naik ikan.

Hasil pancingan Nazuha

Sekali pandang macam terrorist daa..

Matdingunung bersama Yu Bodoh..

3 orang pemancing yang terdiri daripada pemancing tegar, sederhana tegar dan baru nak tegar (aku la tuu..)

Mawa'D dan Nazuha saling menaikkan ikan

Waaa.. penamat hari ni. Guna Appolo. Dua ekor gelama sangkut sekaligus
 Pukul 12 tengahari.. ikan yang dapat pun sudah mula slow. Suhu persekitaran pun makin panas. Sudah ada peserta amatur yang mandi dan bersiap-siap. Walaupun tuan kelong izin memancing sehingga pukul 5 petang, tapi pemacing-pemancing amatur sudah mula packing barang. Batang-batang joran juga sudah mula diikat kemas. Aku suruh Mawa'D call tuan kelong sebab pemancing sudah nak balik. 


Berkemas-kemas masuk barang dalam boat untuk pulang berjumpa anak isteri masing-masing. Dalam tong cooleman biru tu adalah bahan bukti. Penuh dengan hasil untuk bawa balik masak dan makan bersama keluarga masing-masing.
Hasil yang dapat.. ambilah kongsi-kongsi sesama kita. Dapat banyak, ambik banyak. Dapat sikit, bahagi sikit sorang biar sama rata.

Rumusan: Memancing di Kelong Sangkar Kuning ni aku boleh beri markah B+. Ikan banyak tetapi saiz tidak berapa besar. Tapi memang patut pun, pancing kat muara macam ni mana nak ada ikan saiz XL atau XXL. Saiz M pun susah. Kalau nak dapat ikan saiz besar.. Jom ikut aku dengan Mawa'D bulan JUN tahun depan 3 hari 2 malam ke Laut Dalam kat perairan Terengganu sambil mencandat sotong. Ada Bran???

Kita jangan niat datang memancing semata-mata nak dapatkan hasil yang banyak, tapi niatlah bahawa kita datang untuk beriadah, melancong, bersosial, tenangkan fikiran sambil MEMANCING. Ada rezeki.. sama-sama kongsi. Tak dak rezeki, tidak mengapa. Yang pasti.. kita seronok dan enjoy. 

* Banyak situasi menarik aku tidak sempat rakam sepanjang aktiviti ini terutamanya waktu malam kerana keadaan gelap dan aku juga busy menaikkan ikan.

SEKIAN TERIMA KASIH. 
PESANAN DARIPADA MATDINGUNUNG


2 comments:

  1. bole share no owner kelong nih?

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum tuan. Boleh saya tahu nombor telefon rumah rakit ni

    ReplyDelete