Thursday, 10 April 2014

KEPULANGAN YANG TAK BERERTI

Bismillahirahmanirahimmm.. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Ampunkanlah Dosa Kedua Ibu Bapaku dan Kau Tempatkanlah Roh Mereka Dalam Kalangan Orang-Orang yang Beriman.. AMINNN!!

Tanggal 22 Mac 2014, cuti sekolah penggal satu bermula. Secara dasarnya, cuti ini sudah tidak bermakna lagi buatku. Tidak seperti cuti-cuti yang sebelumnya, cuti ini tidak aku nanti-nantikan. Walau bagaimanapun, nak tak nak aku harus hadapi jua. Aku balik ke kampung atas satu tujuan iaitu untuk menyertai majlis tahlil arwah ibuku yang masuk hari ke-40 ibu meninggalkanku. Sayu hati melihat rumah pusaka sebaik sahaja aku selamat sampai di perkarangan rumah pada malam ahad yang lalu. Biasanya, kepulanganku disambut ibu yang setia menunggu, tetapi pada hari itu, buat pertama kali dalam sejarah, aku sampai di rumah tidak bersambut.

Sayu.. sepi.. suram.. menyelubungiku. Masuk ke dalam rumah sudah tidak berseri lagi. Semasa ibuku masih ada, apabila aku sampai saja ibuku sudah sedia berada di dapur. Kadang-kadang, pintu utama dibiarkan tidak berkunci kalau dia tahu aku akan pulang takut-takut masa aku balik dia sedang bersolat dan tak ada orang yang nak membuka selak pintu untukku. Sudah menjadi rutin, selepas bersalam dengan ibu dan mencium kedua belah pipinya setiap kali aku tiba, terus terkeluar dari bibirku " nasi ada Mek??". Sebab itulah setiap kali dia tahu aku akan pulang, boleh dikatakan wajib dia sediakan nasi. Tidak pernah dia tidak masak nasi. Lauk itu tidak penting sebab dia tahu makanan aku sudah cukup dengan nasi berlaukkan budu, ulam-ulaman dan ikan rebus.

Sepanjang aku berada di kampung, boleh dikatakan setiap pagi ibuku akan ajak aku menemaninya pergi beli kuih muih dan nasi bungkus di warung untuk anak-anakku. Untuk aku biasanya dia sudah siapkan nasi kerana aku jarang makan nasi bungkus, aku lebih berselera makan nasi yang dimasaknya sendiri.

Menyingkap nostalgia lalu aku bersama ibuku boleh membuatkan aku sebak dan mulalah nak menitiskan air mata. Mungkin ada orang yang kata aku ni over-over. Orang lain pun ada ibu juga tapi taklah melampau macam aku ni.

Ah!! pedulikan apa orang nak kata kerana aku mempunyai sebab kenapa aku mesti kenang ibuku selalu. Aku tahu sejarah hidup ibu aku sejak dia masih budak-budak lagi. Aku selalu mendengar kisah ibu aku kerana dia selalu ceritakan pada aku kisah hidup dia sejak dari kecil sehinggalah aku sudah mempunyai 4 orang anak.

Alhamdulillah... aku bersyukur pada tuhan kerana daya ingatan aku begitu kuat untuk aku mengingat segala apa yang diceritakan oleh ibu kepadaku. Aku kumpul sedikit demi sedikit kisah hidupnya di dalam memori otak yang dianugerahkan Allah melalui penceritaan secara lisan yang keluar dari mulut ibuku.

Ni aku nak cerita sedikit kronologi kisah hidup ibu aku untuk tatapan anak cucunya. Harap-harap apa yang aku ceritakan ini adalah cerita asal dan tidak terpesong daripada fakta sebenar kerana masa ibuku bercerita dia tidak pernah nyayuk. Kalau sape-sape nak baca, silakanlah baca sampai habis. Kalau tak menarik, berhentilah setakat ini saja.

Sejak dari dia masih budak, ibuku tak pernah bersekolah walaupun sekolah atap dan menggunakan papan batu buat menulis. Dia hanya dihantar mengaji Al-Quran saja dengan tok guru yang berada di kampungnya. Mak dia berniaga kuih muih tradisional secara kecil-kecilan. Masa umur dia 11 tahun, Jepun masuk ke tanah Melayu melalui Pantai Pak Amat Sabak. Jepun ni suka merayap ke kampung-kampung pada zaman pendudukannya selama 3 tahun. Tapi Jepun ni tak kacau orang cuma pantang tengok anak dara yang cantik-cantik mulalah dia... Masa zaman Jepun, mak dia selalu lumurkan arang kat mukanya. Bila ibu aku tanya kenapa muka dia dilumurkan arang, nenek aku mengatakan supaya Jepun tidak ghairah melihat muka ibu yang comot kalau sekiranya kebetulan askar Jepun terlihat ibu.

Mak aku cerita.. ayah aku hampir dibawa oleh askar jepun ke Kampuchea untuk bekerja membina landasan keretapi maut. Masa tu umur ayah aku 21 tahun. Tentera Jepun masuk ke kampung-kampung membawa kertas edaran dan mempelawa sesiapa anak-anak muda yang ingin bekerja dan mendapatkan pendapatan lumayan bolehlah ikut mereka untuk di bawa ke suatu tempat. Ayah aku dan beberapa orang pemuda kampung terpedaya dengan tawaran tentera Jepun tu lalu menawarkan diri untuk bekerja dan rela hati untuk dibawa ke mana-mana asalkan menerima upah yang lumayan. Nenek aku mula rungsing sebab sudah masuk waktu maghrib tapi ayah aku masih belum pulang lagi. Nenek aku cari merata ayah aku di rumah kawan-kawannya tetapi semua orang tak tahu ke mana ayah aku pergi. Tiba-tiba ada seorang hamba Allah yang bagi tahu kat nenek aku bahawa dia ada ternampak ayah aku dan beberapa orang lagi dibawa dengan trak Jepun. Nenek aku yang rasa tak sedap hati terus pergi berjumpa dengan seorang Tok Guru yang alim lalu meminta berbuat sesuatu agar ayah aku selamat kerana nenek aku tahu tentera jepun telah menipunya.

Tok Guru memberi jaminan kepada nenek aku bahawa ayah aku akan selamat. Tok Guru tersebut melakukan solat hajat dan melakukan beberapa ritual yang tidak memesongkan akidah. Sambil menepuk lantai rumah Tok Guru itu berkata kepada nenek aku " mu jange rusing Lijah.. Jusoh mung selamat.. InsyaaAllah selamat..."

Hampir pukul 3 pagi kelihatan ayah aku pulang tercungap-cungap keletihan. Dia kata tayar trak jepun yang ingin membawanya ke stesen keretapi Pasir Mas seterusnya ke Pekan Golok dan terus ke Kampuchea telah meletup di Kampung Gunong lebih kurang 18 km dari rumah. Peluang ni telah diambil oleh dia dan rakan-rakannya melarikan diri.

Perghhh.. kalau tidak kerana pertolongan Allah.. mungkin aku tak lahir ke dunia ini dan ayah aku terseksa dan meninggal kat Landasan Keretapi Maut di Kampuchea.

Mak aku kahwin dengan ayah aku masa dia berumur 12 tahun manakala umur ayah aku 22 tahun. Lepas kahwin ayah aku terus bawa mak aku hidup berdikari dengan berhijrah ke Tanah Merah untuk bekerja di kilang getah.Sebagai bekalan.. Emak kepada ibu aku telah bekalkannya dengan 3 gantang beras,satu periuk, satu kuali dan sedikit pinggan mangkuk bagi memulakan hidup baru sebagai suami isteri. Sambil tu nenek aku juga turut berpesan supaya jaga diri baik-baik, Jangan derhaka kepada suami,  jangan sampai beras habis licin baru nak dibeli yang baru, makanan jangan dibazirkan.. selagi boleh makan.. makanlah, makanan jangan dibuang. Ini bagi mengelakkan rezeki kita lari. Sebab itulah mak aku sampai dia tua tak pernah dia buang makanan yang bersisa.. nasi yang basi pun dia jemur kering kemudian goreng buat bepeng. Gulai yang bersisa dia tidak pernah buang sebaliknya panaskan dan panaskan untuk dimakan sampai habis. Pantang dia buang makanan yang masih elok kerana itu pesan emak dia supaya makanan jangan dibuang.

Hidup ibu aku suami isteri sangat susah masa dia baru kahwin. Ayah aku bekerja sebagai pemikul getah keping untuk diasapkan di kilang getah manakala ibu aku bekerja membasuh getah keping yang amat busuk. Mereka berdua bekerja keras untuk hidup berdikari. Selepas melahirkan anak pertama, ibu aku amat menitikberatkan pantang larang. Makan nasi berlaukkan ikan masin dan minum air daripada ramuan akar-akar kayu menjadi amalan sehingga ke-100 hari selain melakukan beberapa amalan lain yang amat menyeksakan. Masa masih di dalam pantang, ibu aku sering ditinggalkan oleh ayah aku kerana ayah aku kerjanya tak menentu. Kadang-kadang sampai berminggu-minggu ayah aku meninggalkannya dua beranak kerana pergi mencari rezeki di merata tempat sehingga ke dalam hutan tebal untuk mengambil upah membuka tanah hutan. 

Hidup ibu aku sentiasa berpindah randah kerana mengikut ayah aku dan yang pastinya di dalam hutanlah tempat mereka selalu tinggal. Rumah yang dibina pun ala kadar saja asalkan ada tempat berlindung. Rumah berdindingkan buluh dan berlantaikan batang pinang yang dibelah menjadi istana yang sangat selesa baginya suami isteri dan anak-anak. Tingkap rumah pun tak ada cuma tutup dengan kain sarung sahaja. Seorang demi seorang ibuku melahirkan anak dan sedikit demi sedikit juga ayahku 'upgrade' rumahnya supaya lebih besar dan selesa untuk anak-anaknya yang semakin ramai tetapi masih mengekalkan keaslian kerana tak berduit untuk membina sebuah rumah yang selesa. Cukuplah sekadar dapat berlindung daripada panas, hujan dan serangan binatang lair di dalam hutan.

Asal tapak rumah aku jauh di penghujung kampung dan jauh daripada rumah orang. Tidak ada kemudahan asas seperti air paip, bekalan tenaga eletrik dan sebagainya tetapi yang ada cuma air peigi yang agak jauh ke bawah cerun bukit serta tandas di sebalik semak samun. Api pelita minyak tanah sudah cukup untuk menerangi kegelapan malam. Kedudukan rumah aku yang tidak ada jalan perhubungan keluar kecuali melalui denai dan lorong-lorong rimbunan pokok hutan dan terpaksa pula melalui titi yang panjangnya beratus meter sangat merumitkan anak-anak ibuku berjalan keluar terutamanya untuk ke sekolah atau ke kedai untuk membeli barang keperluan. Andai kata musim banjir berlaku, maka terputus terus jalan perhubungan kecuali naik sampan.Oleh sebab seribu kesulitan yang dihadapi, ibuku sentiasa bertanya rakan-rakan sekampung yang tinggal di seberang bukit kalau-kalau ada orang yang ingin jual tanah.

Memang rezeki ibu aku, setelah jenuh mencari dan bertanya khabar, akhirnya ada juga hamba Allah yang sudi untuk menjualkan tanah kebunnya kepada ibuku dengan harga yang agak membebankan pada masa itu. Namun begitu, demi keselesaan anak-anak yang semakin ramai, ibuku gagahkan juga untuk membayar tanah tersebut dan berusaha mencari wang sebanyak RM3000 melalui pelbagai cara. Di samping wang yang dikumpul sedikit demi sedikit hasil daripada menoreh getah, ibuku juga terpaksa bekerja lebih dengan mengambil upah mengirik padi dan mengetam padi orang-orang kampung. Segala usaha keras ibuku dengan mengketepikan rasa penat bekerja membanting tulang siang dan malam akhirnya dia berjaya juga menyediakan wang sebanyak yang dikehendaki bagi membayar 4 ekar tanah kebun di seberang bukit lebih kurang dua kilometer daripada rumah asal di dalam hutan cerang.

Selepas setahun kelahiran aku, ayah mula membina rumah baru di atas tanah yang dibeli ibu. Rumah dua bilik yang dibina ala kadar menggunakan kayu-kayu terpakai dan kayu yang hampir reput cukup menyelesakan kami sekeluarga walau masih banyak kekurangan terutamanya dari segi kemudahan asas tetapi anak-anak ibu tidak sedikitpun mengeluh dan bersyukur dengan apa yang ada kerana mereka tahu ibu bapa mereka miskin dan sudah sedaya upaya berusaha untuk menyediakan kehidupan yang selesa. Memang rezeki  keluarga kami, setahun selepas rumah kami dibina dengan ala kadar, tiba-tiba suatu hari beberapa jentolak datang merata dan melicinkan tanah yang bersempadan  dengan tanah kami. Oh! rupa-rupanya sekolah menengah dan sekolah rendah bakal dibina setentang dengan hadapan rumah kami. Memang itu tidak dijangka kerana tidak pernah sama sekali orang-orang kampung tahu bahawa sekolah akan dibina di situ. Selepas sekolah dibina, ramailah yang bertanyakan ibu untuk membayar tanah kami itu dengan harga berlipat kali ganda tetapi ibu menolak mentah-mentah berapa tawaran ke atas tanah itu memandangkan untuk memperolehnya begitu sukar sekali.

Ayah dan ibu bekerja keras untuk membesarkan anak-anak seramai sembilan orang yang lahir agak rapat. Wang hasil kerja kampung ayah aku memang tidak cukup kalau ibu tidak membantu ayah mencari wang tambahan. Oleh itu, ibu terpaksa berjimat cermat dalam berbelanja. Wang yuran persekolahan anak-anak lebih diutamakan selain perbelanjaan harian. Dalam pada keadaan yang miskin itu, ibu masih lagi sempat menyimpan dan hasilnya sebidang tanah lagi telah dibelinya demi masa depan anak-anak. Dengan kudrat dan kemahiran yang ada, ayah telah membina sebuah rumah di hadapan rumah aku untuk disewakan. Rumah sewa ayah menjadi rebutan kerana kedudukan yang strategik membuatkan ayah bekerja lebih keras mengumpul modal untuk membina lebih banyak rumah sewa. Satu demi satu rumah sewa ayah naik. Selepas lebih ramai abang dan kakak aku bekerja, berkahwin dan hidup berdikari tanpa bergantung kepada ibu bapa membuatkan beban ibu semakin berkurangan.

Kasihan melihat anak-anak yang asyik jerlus kerana memijak papan lantai yang reput telah membuatkan ayah membina sebuah rumah baru selepas kewangan ayah semakin stabil untuk menggantikan rumah asal yang semakin senget. Pada masa ni aku sudah berada dalam tingkatan dua dan aku antara insan yang banyak membantu ayah membina rumah baru ini dengan sedikit kemahiran yang diwarisi daripada ayahku. Oleh sebab sumbangan aku ini, ayah telah menghadiahkan aku sebuah bilik untuk kegunaanku sehinggalah sekarang.

Inilah rupa rumah aku.. kat pintu tu adalah ibu aku masa dia masih hidup. Masa ni aku sedang isi barang dalam bonet kereta untuk pulang ke Kuala Lumpur selepas habis bercuti. Pada masa ni rumah aku tu baru je aku cat baru. Tersenyum lebar ibu aku selepas rumahnya dicat sebab nampak kemas dan cantik.


 Sampai sini sajalah cerita aku tentang kronologi kisah suka duka pahit jerih hidup ibu aku dari mula dia kahwin sehingga dia meninggal dunia masa umur 80 tahun sama dengan umur ayah aku yang juga meninggal masa umurnya 80 tahun dengan meninggalkan 8 orang anak yang masih hidup, 50 orang cucu dan berpuluh-puluh orang cicit. Kalau aku nak cerita secara lebih detail memang boleh disambung lagi tetapi sebahagiannya telah aku tulis dalam entri KISAH AKU DULU-DULU. Banyak lagi kisah yang aku tak cerita kerana kekangan masa dan maklumat perlu dikutip daripada mulut abang-abang dan kakak-kakak aku dan juga orang-orang kampung yang umurnya masih panjang. Apa yang aku cerita ini hanyalah koleksi cerita yang ibu aku selalu ceritakan pada aku tentang kisah hidup dia.

Terlalu banyak pengajaran yang aku dapat ambil daripada cara kehidupan ibu bapa aku. Pertamanya dari segi ketaatannya pada tuhan. Ibu aku memang alim orangnya walaupun dia bukan seorang ustazah. Ibu boleh dikatakan setiap malam dia bertahjud. Juga seorang yang kaki masjid. Bercakap dengannya banyak dirujuk dan dikaitkan dengan hadis, ijmak, ulamak dan kias serta banyak merujuk kepada beberapa kitab yang dipelajari. Mendidik anak-anak dengan cara yang paling simple tetapi anak-anak begitu taat kepadanya.Tidak pernah meninggikan suara kepada anak-anak apatah lagi untuk menyumpah seranah. Terlalu sabar melayan karenah anak-anak dan amat menguasai setiap peel perangai anak-anaknya seorang demi seorang. Mengamalkan cara hidup yang sederhana, suka berjimat cermat dan tidak suka menunjuk-nunjuk. Terlalu banyak kenangan manis aku bersama ibu sepanjang hidup aku. Ibu adalah guru masakanku yang pertama, mengajar aku memasak sayur air kobis dan petola, mengajar aku cara masak sambal pedas telur dan sotong goreng pedas serta mengajar aku cara membuat budu tumis yang mana semua masakan yang ibu aku ajar itu adalah makanan kegemaranku sejak aku masih kecil lagi. Kenangan yang paling manis aku bersama ibu adalah semasa kami adik beradik berkumpul dengan meninggalkan anak-anak, isteri atau suami di kampung mereka masing-masing. Kami berkumpul hanya adik-beradik induk kami sahaja. Kami berbual mesra, saling memasak dan tidur pun ramai-ramai bersama ibu di ruang tamu. Jelas terbayang wajah ibu yang sangat ceria dan seronok melayan kami. Air kopi dan teh serta segala makanan ringan tidak putus-putus ibu sediakan mengiringi gelak ketawa kami sehingga ke awal pagi. Seingat aku, ada dalam dua kali program begini kami rancang dan lakukan yang membuatkan hubungan keluarga kami semakin akrab. Kami adik beradik tidak sedikit pun mempunyai perasaan sakit hati, iri hati, hasad dengki apatah lagi untuk membenci sesama sendiri. Segala-galanya lebih kurang terutamanya dalam urusan pembahagian harta pusaka. Malas nak beriri hati kerana harta. Harta pusaka adalah hadiah peninggalan arwah ayah untuk anak-anak. Sebanyak mana dan di tempat mana yang kami dapat, anggaplah itu ketentuan tuhan. Redha menerimanya. Sedangkan ramai orang lain bermusuh sesama ahli keluarga kerana berebut harta pusaka. Ada yang tidak bertegur sapa sesama adik beradik sehingga ke anak cucu dan ada ibu ayah yang dibuang keluarga selepas memperoleh harta. Bersyukur aku kepada tuhan kerana keluarga aku tidak begitu. Kak Long..walaupun rumah pusaka sudah menjadi miliknya tetapi telah membuat bai'ah dengan anak-anaknya bahawa rumah pusaka tinggalan arwah ibu dan ayah adalah milik autonomi adik-adiknya termasuk aku.Tidak ada sesiapa dalam kalangan anak-anaknya yang berhak ke atas rumah tersebut kerana rumah tersebut akan dijadikan tempat berkumpul kami adik-beradik terutamanya pada musim perayaan dan cuti sekolah. Ibu walaupun dia buta huruf dan tidak pernah bersekolah, bukan juga kakitangan kerajaan yang mempunyai gaji beribu ringgit sebulan tetapi perginya beliau ke rahmatullah dengan meninggalkan wang lebih daripada mencukupi untuk menunaikan fardhu Haji setiap orang anak-anaknya. MasyhaaAllah.. berkatnya rezeki ibuku. TERIMA KASIH IBU.  

Ayah aku pula semasa hidupnya sentiasa ke masjid dan banyak majlis agama yang dihadirinya. Belajar agama dengan beberapa orang tok guru tersohor. Menguasai ilmu tauhid, fekah dan tasawuf. Sangat kuat bekerja dan berwawasan. Menjadi tempat rujuk kami adik beradik sekiranya ada masalah. Tegas dalam mendidik anak-anak tetapi baik hati budinya. Ayah mati meninggalkan lebih kurang 13 ekar tanah untuk kami kongsi adik-beradik. Itulah ayah.. bekerja keras dan sanggup hidup secara sederhana untuk mengumpul harta buat bekalan anak-anak di masa depan. TERIMA KASIH AYAH.

Itulah Ayah.. Itulah Ibu.. sedari kami kecil, kamu mendidik, mengasuh, mengajar dan menjaga kami sehingga kami dewasa dan mempunyai anak-anak. Budimu tidak terbalas. Hanya DOA yang mampu kami iringi bagi membayar segala pengorbanan kamu berdua terhadap kami.

Tiada lagi Ibu di muka pintu untuk menghantar kami pulang ke perantauan

Hari pertama aku nak balik ke Kuala Lumpur tidak dilambai tangan oleh ibuku

Hanya majlis tahlil yang mampu aku lakukan untuk mendoakan kesejahteraan ibu di alam berzakh

Mudah-mudahan roh ibu dan ayah di tempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman

Ya Allah Ya Tuhanku.. kau ampunkan dosa kedua ibubapaku.. Aminnn!!


  Sampai di sini dulu coretanku.. walau kekangan masa, tetap ku gagahkan jua untuk abadikan nukilan ini di dalam blog aku kerana aku masih belum boleh lupa akan arwah ibu dan ayahku dan aku tidak akan lupa kepada mereka kerana mereka adalah segala-galanya bagiku. AL-FATIHAH BUAT AYAH DAN IBUKU. YUSOF BIN LIJAH & HALIMAH BINTI FATIMAH


1 comment:

  1. Che din...pengorbanan ibu ayah tiada tndingannya...

    ReplyDelete