Assalamualaikum.. hai, seronok budak-budak yang baru lepas menduduki SPM. Semalam (29.11.12) boleh dikatakan secara rasmi peperiksaan SPM telah berakhir apabila aku lihat ramai anak murid aku bila lepas subjek seni saling berpelukan dan ada yang menangis. Kalau masih berbaki pun cuma untuk subjek-subjek elektif sahaja yang hanya segelintir calon ambil. Bila lepas SPM macam ni maka budak-budak mulalah pasang impian untuk memasuki alam pekerjaan. Mereka sebenarnya tidak sabar-sabar untuk bekerja menikmati alam kebebasan dan mempunyai pendapatan sendiri. Oleh sebab terlalu ghairah untuk bekerja, mereka akan rembat apa saja peluang pekerjaan yang ada. Biasanya kalau musim-musim baru lepas SPM macam ni, kalau aku ke shopping complex di sekitar Subang Jaya seperti Pasar raya Mydin, Summit, Carefour, Subang Prade atau Sunway Piraymid, tentu akan berjumpa bekas-bekas pelajar aku yang baru lepas SPM jadi jurujual, pelayan restoran, kerja kat Pizza, MacD, KFC, Starbuck, Kopitiam, penjaga kaunter tiket panggung wayang dan sebagainya. Aku pernah terjumpa anak murid aku yang cantik molek sedang mengedarkan risalah promosi makanan Jepun kepada orang yang lalu lalang di hadapan restoran Tapayakki semasa aku membawa anak-anak pusing-pusing dalam sebuah pusat beli belah terkenal. Bila dia nampak aku, terus tutup muka dengan risalah tersebut. Aku senyum je lahh.. bukan nak hina pekerjaan yang dilakukan tetapi tidak ramai orang kita, muda-mudi kita yang sanggup kerja jenis macam tu. Kalau kerja pun tentu tak lama, belum lagi confirm dah cabut.Baguslah cari kerja, cari pengalaman, belajar-belajar cari pendapatan sendiri dan cuba berdikari.
Tapi ada juga budak yang tak boleh berdikari walau sudah bekerja. Contohnya anak kawan aku ni hah.. dah kerja tapi hari-hari mak dia kena pegi hantar kerja dan pegi jemput bila balik kerja. Siap bagi duit belanja lagi hari-hari macam nak pegi sekolah. Bukan sikit duit bekalnya, RM10 satu hari. Ye lah.. kat kantin sekolah RM5 dah macam-macam makanan boleh dibeli tapi bila kerja dalam pusat beli-belah, nasi campur pun dah RM8 untuk hanya dua jenis lauk. Air lagi... mana ada air harga RM1 dalam restoran kat pusat beli belah. Dalam sebulan kawan aku ni habis lebih kurang RM400 untuk bekal kerja anak dia, itu belum masuk minyak kenderaan pegi hantar dan pegi ambik. Pendapatan sebulan anak dia bersih RM850. perghhhh.. tolak bagi kali campur kira berapa je yang anak dia dapat. RM350 kot. Bila dapat gaji, anak dia terus rembat Samsung Galaxy Note II, Habis duit satu bulan bekerja, siap dia kena topup lagi. Last...last ..dia suruh anak dia berhenti kerja tunggu rumah.
Ni pula cerita pasal kakak aku, anak dia (anak saudara aku )yang baru lepas SPM cuba berdikarilah untuk mencari pendapatan sendiri. Anak dia ni mulahlah kerja kat restoran makanan segera. Biasalah kerja kat tempat macam tu, sebelum mula kerja mesti kena mop lantai dulu bersihkan persekitaran. Bila balik pula mesti sekali lagi kena kemas tempat dan mop lantai. Si kakak nga biras aku ni hari-hari pergi tengok dari jauh anak dia bekerja. Bila balik mengadu kat adik beradik tak tergamak tengok anak dia bekerja macam Indon, kena mop lantai.Sebulan dapat gaji terus blah. Hai.. nilah keadaan sekarang. Sebab tulah peluang pekerjaan dirembat oleh rakyat asing sebab mentaliti kita sendiri yang tak mahu bermula dari bawah dan tak mahu melihat zuriat sendiri rasa terhina.
Aku dulu pun sama macam orang lain. Belum lagi peperiksaan SPM bermula dah busy merancang dengan rakan sekolah untuk merantau meninggalkan kampung pedalaman ini untuk mencari pekerjaan di kota. Ada yang ingin ke Johor, ada yang ingin ke Singapura, ada yang merancang untuk bekerja di pusat Industri Prai dan ada juga yang merancang ke Ibu Kota Kuala Lumpur. Yang aku nampak ke Kuala Lumpur aje sebab mungkin terpengaruh dengan drama-drama dalam tv walaupun ramai kawan sekampung yang dah habis sekolah sedang membanting tulang memerah keringat membina bangunan pencakar langit di Singapura.. Terbayang di dalam kepala betapa indahnya Kuala Lumpur tempat yang tidak pernah aku pijak.
Sebaik saja aku tamat SPM tahun 1989 dulu, tanpa berfikir panjang aku terus ke Kuala Lumpur seorang diri untuk mencari pekerjaan. Bermodalkan wang yang dikasi oleh ibu aku sabanyak RM150, aku naik bas dari Tanah Merah ke Hentian Putra PWTC. Sampai di Kuala Lumpur, aku disambut oleh abang aku yang bekerja di Kuala Selangor. Dia bawa aku tinggal rumah dia dalam dua tiga hari. Kemudian dia hantar aku masuk belajar di sekolah perkeranian iaitu Pusat Pengurusan Komputer Asia di Taman Batu, Gombak. Di sekolah itu, aku di tempatkan di asrama putera yang macam reban ayam. Duduk berhimpit-himpit dalam satu rumah flet yang dijadikan asrama. Belum panas punggung aku berada dalam asrama tu sebaik baru lepas daftar, wang aku RM50 sudah dirembat masa aku sedang menunaikan solat zuhor. Ntah toyol mana yang sanggup rembat aku punya wang. Nasib baik dalam kasut aku ada aku sorok RM50. Dalam poket baju ada lagi RM50. Yang toyol tu rembat adalah dalam beg duit yang aku letak RM50. Kalau aku letak semua wang aku dalam beg duit, alamatnya putih mata lah aku. Tu pun sebab mak aku nasihat sebelum aku berangkat ke Kuala Lumpur dulu supaya duit simpan asing-asing. Masa aku naik bas lagi duit tu aku dah asingkan iaitu dalam kasut RM50, dalam poket kanan RM50. dalam poket kiri RM50.
Tujuan aku datang ke Kuala Lumpur bukan untuk belajar tapi aku nak bekerja. Yang abang aku gatal tangan masukkan aku ke sekolah kerani tu apa hal? aku pun tak faham.. kerja kerani ni kerja orang pompuan. Setakat belajar komputer mikrosoft word tu baik tak payah. Oleh sebab tulah aku mula memberontak. Kelas masuk jarang-jarang je. Banyak ikut kawan aku buat kerja plumbing dan renovet rumah orang. Dia bayar aku RM20 satu hari. Lagi pun, semenjak aku duk di Taman Batu tu, kejap je aku buat kawan. Setiap hari kawan aku bertambah. Dua bulan kemudian, dengan rasminya aku telah diberhentikan di sekolah kerani tu sebab selalu tuang kelas. Bukan kecewa sebab diberhentikan, tetapi gembira. Lepas tu aku keluar dari asrama cabuk tu dan menyewa dengan rakan-rakan di Taman Greenwood.
Haa.. ni lah yang aku nak cerita ni. Beza budak dulu dengan budak sekarang. Berbalik cerita anak kawan aku dengan cerita anak kakak aku tadi, mereka tu tak boleh nak berdikari dan tak diberi peluang berdikari. Aku dulu, dengan bermodalkan RM150 + RM50 yang abang aku kasi, aku tak pernah minta duit tambahan dengan mak aku selepas tu. Sambil belajar aku kerja. Sambil kerja aku belajar. Dapat duit aku belanja. Habis duit aku pinjam dari kawan. Cukup bulan aku bayar. Baru gaji makan lazat. Hujung bulan aku merempat. Duit orang aku tak pernah sebat. Kerja pertama aku selepas SPM dan selepas aku diberhentikan daripada sekolah kerani tu ialah CUCI TANDAS kat bangunan MAS jalan Sultan Ismail Bukit Bintang dengan gaji RM450 sebulan. Walaupun aku orang muda, rakyat tempatan tetapi aku tidak pernah malu untuk melakukan kerja tu sebab aku betul-betul nak kerja dan nak berdikari. Lebih menyeronokkan, rakan setugas aku pun baik-baik. Kami sering berkongsi makanan yang dibawa. Akak-akak yang bawa bekal, aku juga tumpang sekaki. Staf-staf kat bangunan MAS pun tak pernah memandang rendah pada kerja aku. Mereka selalu belanja aku makan. Ada yang sanggup keluar makan dengan aku masa rehat tengah hari walau aku pakai baju Sri Aman Cleaner & Servis.
Kita kena bermula dari bawah barulah naik sikit-sikit. Kenal dulu erti susah baru senang untuk berdikari. Pengalaman tak hadir secara bergolek macam tu. Biasanya kalau kita mohon kerja, pengalaman kerja itu penting. Nak dapat pengalaman, mesti kerja dulu. Ada kawan aku anak orang kaya. Mak ada syarikat catering, bapa pula kontraktor kelas C. Hidup dia sejak dari kecil sampai besar tak pernah susah. Makan lebih pada cukup. Pakaian yang berjenama. Aku selalu pinjam baju-baju dan seluar dia buat style. Tapi... ingin berdikari punya pasal, dia sanggup tinggalkan segala kemewahan dan kesenangan kemudian datang ke Kuala Lumpur dan tinggal di rumah sewa bersama aku. Yang aku respect dia, mamat tu tak pernah minta wang dengan ibu bapanya walaupun hidupnya di kota raya sangat tersepit terutamanya pada hujung bulan. Dia pernah 2 hari tak makan nasi sebab tak ada apa yang hendak dimasak dan dimakan. Aku tak heran sebab aku dah biasa menghadapi situasi begini. Tapi Cik Den ni memang aku tak sanggup tengok dia pegang perut yang berkeroncong menahan kelaparan. Bila kehidupan dia yang merempat sampai ke pengentahuan ayah dan ibunya di Kota Bharu, on the sport mak dan ayah dia datang ke Kuala Lumpur dengan Marcedez mewahnya untuk ambik dia bawa pulang. Tapi kawan aku tu tetap tak mahu pulang dan berkeras untuk terus tinggal berdikari dengan aku. Dia kata seronok hidup cara survival macam aku. Usaha..usaha..usaha.. baru dapat makan. Bukannya celik mata datang ke meja makan, kemudian buka saji kemudian makan makanan yang tersedia di bawah saji. Duduk rumah goyang kaki dapat makan. Nak wang minta aje terus dapat wang. Nak ke mana-mana ada driver yang tolong hantarkan. Cik Den ni dia tak heran dengan kekayaan ayah dia. Dia berazam nak bina kekayaan sendiri tanpa mengharapkan harta peninggalan ayah dan ibunya. Bagus betul sahabat aku tu, aku jadikan dia sebagai idola. Memang tetap pendirian mamat tu. Selepas ibu dan ayah dia puas pujuk tapi tak nak balik menyebabkan ibu dan ayah dia hampa lalu pulang dengan tangan kosong. Tapi sebelum dia pulang, dia tinggalkan 40 kilo beras, 1 tong minyak masak. 10 kilo gula, garam, bawang, tilam, dapur gas dengan tong gas sekali serta pelbagai barangan sampingan lain. Pergh... memang beruntung aku berkawan dengan mamat tu. dapat tumpang tuah dia.
Budak sekarang jangan harap nak hidup susah. Baru nak susah sikit dah call ibu bapa suruh hantar bantuan. Ibu ayah pula baru anak mula belajar nak berdikari, dah datang ambik bawa balik rumah. Anak nak apa-apa mintak aje, semua dikasinya. Lebih baik anak-anak ada kat depan mata daripada berada jauh di mata walaupun anak-anak dah besar panjang. Duduk terperap dalam bilik main Play Station. Saudara mara datang rumah buat derrrkk aje. Buat-buat tak perasan sebab sayang nak tinggal game. Anak-anak dah jadi anti sosial. Makan kat depan game, minum kat depan game, sembahyang jarang-jarang sebab game dah menjadi raja dalam diri dia. Ibu bapak pulak asyik beli CD Play station baru dengan harapan anak-anak bahagia. Sebab tu lah tubuh budak-budak sekarang naik bagai di pam-pam. Kecik-kecik dah jadi obesiti sebab tak banyak berlakunya pergerakan. Nak bersenam jauh sekali. Ni juga salah satu punca anak-anak liat nak tinggal mkat sekolah asrama. Sayang nak tinggal kemudahan yang ada. Zaman sekarang ni, anak-anak jadi raja. Ibu bapa jadi hamba. ikut...ikut...ikut...ikut... kehendak anak-anak.
No comments:
Post a Comment