Kalau semua tulisan macam ni, tak ke boleh sewel cikgunya. Macam tulis dengan kaki je.. |
Tajuk : Apakah Peranan Remaja dalam membentuk Modal Insan Negara yang bebas
daripada masalah sosial.
‘ Bumi mana yang tidak
ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora ’. Pada alaf digital yang
mendepani ombak globalisasi ini, sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia
di segenap empat penjuru dunia tentang isu gejala sosial dalam kalangan remaja.
Isu ini sering terpapar di dada-dada akhbar dan dalam rubik-rubik akhbar arus
perdana serta melalui corong-corong radio dan lohong-lohong internet. Tambahan
pula, fenomena ini menjadi buah mulut dan tajuk hangat yang dibincangkan oleh
warga masyarakat di warung-warung kopi di tepi jalan atau di restoran-restoran
lima bintang yang tersergam di premis-premis mewah. Sebelum hal ini menjadi
barah dan menjadi seperti tanduk di kepala yang tidak dapat digelengkan,
pelbagai tindakan yang proaktif dan pragmatik perlu dilakukan oleh remaja untuk
mengelakkan diri daripada terlibat dalam gejala sosial.
Antara usaha yang
boleh dijalankan ialah membentuk jati diri dan pegangan agama yang kuat dalam
diri seseorang remaja untuk mengelakkan diri daripada melakukan gejala sosial.
Nilai-nilai murni ini sepatuhnya diajarkan oleh ibu bapa sejak kecil lagi. Bak
kata pepatah ‘ melentur buluh biarlah
dari rebungnya ’. Ibu bapa yang terlalu sibuk mengutamakan pekerjaan bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk
masing-masing akan membuatkan anak tersisih. Pegangan agama dan akidah yang
utuh perlulah ada dalam diri remaja sendiri untuk memastikan agar diri mereka tidak
cenderung ke arah melakukan gejala sosial. Golongan remaja perlu disuntik dan
ditanam dengan nilai-nilai murni melalui mata pelajaran Moral atau mata
pelajaran agama Islam di peringkat sekolah. Penerapan nilai-nilai murni ini
akan mendedahkan para pelajar tentang norma hidup masyarakat yang berkiblatkan
kasih sayang dan semangat perpaduan. Dengan mempunyai pegangan agama yang
kukuh, mudah-mudahan akan menjadi benteng kepada diri remaja agar tidak akan melibatkan diri dalam gejala sosial dan
budaya hedonisme yang begitu cepat merebak bagai virus epidemik. Program
Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang berobjektif untuk melahirkan modal insan
yang berintegriti merupakan salah satu langkah yang efisien dalam memupuk
perpaduan dan semangat kekitaan. Dengan ini, anak-anak remaja akan meletakkan
kecintaan kepada negara dan perpaduan sebagai perkara yang penting dalam kehidupan.
Tegasnya, pegangan agama dan jati diri yang utuh dalam diri remaja perlu
disemai dan ditanam. Albert Enstein pernah berkata bahawa “agama tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa agama adalah lumpuh”.
‘ Dedaun pokok tidak akan berliuk-lintuk jika tidak ditiup angin ’.
Kita perlulah menerima lumrah kehidupan bahawa keruh di muara pasti bermula
dari hulunya. Khazanah kata membawa takrif sesuatu permasalahan tidak akan
berlaku jika tiada punca-puncanya. Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 75.53%
golongan remaja yang terjebak dalam kebejatan sosial adalah akibat daripada dipengaruhi oleh
kawan-kawan. Oleh hal yang demikian, golongan remaja perlu bijak memilih kawan kerana sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tiada gunanya. Remaja kini banyak menghabiskan masa di sekolah dan
selepas sekolah mereka tentulah akan lepak di kawasan-kawasan tertentu seperti
padang yang berhampiran, pusat membeli-belah, pasar dan sebagainya.
Pelajar-pelajar sering mengajak kawan bersama untuk melepak dan merayau-rayau
di kawasan luar sekolah. Pada mulanya hanya merayau-rayau, semakin lama semakin
serius. Golongan remaja akan sedikit demi sedikit akan berjinak-jinak dengan melakukan gejala sosial seperti ponteng
sekolah, gengsterisme, meragut, merogol, menghisap dadah dan sebagainya. Pendek
kata, anak-anak watan perlulah sentiasa berhati-hati semasa memilih kawan. Andai kata dalam 700
kawan, pasti akan terdapat juga kawan yang buruk perangainya dan sentiasa mempengaruhi
kita untuk melakukan gejala yang negatif. Oleh hal yang demikian, golongan
remaja tidak seharusnya mencontohi setiap perlakuan yang dilakukan oleh kawan
yang cuba merosakkan hidup mereka. Dengan ini, gejala sosial dalam kalangan
remaja dapat dikurangkan dengan memilih rakan yang baik yang memainkan peranan
yang penting dalam mempengaruhi kehidupan remaja. Ada pepatah cina mengatakan “berkawan
dengan penjual bunga akan tempias keharumannya, berkawan dengan penjual arang
akan terpalit kehitamannya”.
Pada masa yang sama,
tidak dapat disangkal bahawa alatan-alatan elektronik memainkan wahana yang
penting dalam pelajaran. Tidak dinafikan, internet, e-mel, televisyen, radio,
dan sebagainya membolehkan para pelajar memperoleh maklumat, mengurangkan
tekanan, mendapatkan hiburan dan sebagainya. Akan tetapi, terdapat pelbagai
kesan yang timbul jika tidak dimanfaatkan dengan betul. Permainan komputer
hingga ke larut malam akan mempengaruhi pelajar sehingga mereka tidak dapat
menumpukan sepenuh perhatian semasa program pengajaran dan pembelajaran
diadakan di sekolah. Hal ini secara implisifnya menjejaskan prestasi akademik
pelajar dalam peperiksaan. Tambahan lagi, kancah-kancah laman web yang
mengandungi bahan-bahan lucah menyebabkan para remaja mencontohinya sehingga
melakukan gejala-gejala sosial. Oleh itu, remaja perlu mempunyai fikiran yang
matang dan tidak mudah terpengaruh dengan laman-laman web tersebut. Para remaja
perlulah mempunyai kebolehan untuk membezakan antara intan dengan kaca agar
tidak menjejaskan tahap keimanan mereka. janganlah apabila sudah terhantuk baru hendak terngadah. Anak-anak watan yang suci
akan mencontohi segala yang dilakukan oleh ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa perlu
menjadi uswah hasanah dan membentuk sanubari yang baik. Jangan sesekali menjadi
seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan diri berjalan
mengiring. Sudah terang lagi bersuluh, remaja perlulah mempunyai fikiran yang waras dan jangan mencontohi sesiapa atau apa-apa secara membabi buta yang boleh menggerakkan hati mereka ke arah kemungkaran.
Dalam nada yang berbeza,
‘ perpaduan merupakan tunjang keharmonian sesebuah negara ’. Semangat kejiranan
sering diamalkan pada zaman dahulu. Mereka saling membantu antara satu sama
lain bagai aur dengan tebing seperti dalam kenduri-kendara, majlis makan malam dan sebagainya ibarat
kata yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul. Sebaliknya,
masyarakat zaman sekarang terutamanya yang berada di bandar tidak lagi
mengamalkan semangat kejiranan kerana terlalu mengutamakan kebendaan dan
bersikap materialistik. Justifikasinya, golongan remaja perlulah mengamalkan
semangat kejiranan bagi mengurangkan berlakunya gejala sosial. Jiran merupakan
orang pertama yang mengetahui segala hal keluarga dan merupakan orang pertama
yang dapat menghulurkan bantuan apabila berlakunya kecemasan seperti
pencerobohan, kecurian, orang yang sakit, dan sebagainya. Oleh itu, jika
golongan remaja menghabiskan masa lapang dengan melakukan aktiviti kejiranan
maka gejala sosial dapat dikurangkan dari semasa ke semasa. Aktiviti kejiranan
seperti gotong-royong dan ziarah-menziarahi dapat mengeratkan lagi hubungan
antara jiran. Tambahan juga, semasa aktiviti ziarah-menziarahi, remaja dapat
menyelami perasaan semangat kejiranan dan juga memahami mereka dengan lebih
mendalam. Dengan ini, idea yang dilontarkan oleh Perdana Menteri ke-enam iaitu
Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk merealisasikan ‘Satu Malaysia,Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan ’ dapat juga dimakbulkan. Intihanya,
bilangan gejal sosial dalam kalangan remaja dapat dikurangkan dengan
menjalankan aktiviti kejiranan dan juga mengeratkan hubangan pelbagai
kaum.
Secara konklusinya, ‘ tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi
’, remaja perlulah menjalankan pelbagai tindakan yang proaktif dan pragmatik
tidak seperti melepaskan batuk di tangga bagi mengelakkan diri daripada
terlibat dengan gejala sosial. Sekiranya anak-anak yang merupakan generasi pascakemerdekaan
dapat membentuk keperibadian yang mulia, tentulah remaja yang merupakan pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara dapat menjadi pemimpin yang berkaliber
kelak. Impian matan Perdana Menteri ke-empat iaitu Tun Dr. Mahathir untuk
membentuk negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat direalisasikan,
sekali gus menjadikan negara Malaysia berdiri gah di persada dunia.
WONG
KA YEE
4
BUDI
2013
No comments:
Post a Comment