Waa.. trafik blog aku semakin naik tapi yang peliknya aku pula semakin malas berkarya. Penggemar blog aku asyik dok tanya bila entri baru nak masuk. Ni gara-gara CANDY CRUNCH lah punya pasal sehingga terlalu banyak masa aku terbazir begitu sahaja. Setakat ni aku menghuni level 106. Ada sesetengah level tu aku ambik masa sampai 3 hari untuk berjaya ke level yang seterusnya. Bayangkan betapa teruknya aku buang masa menelaah permainan ciptaan Yahudi tu sehingga mengabaikan terus blog Matdingunung.
Tak pe lah.. hari ni aku berhajat nak berkongsi pengalaman lampau aku dengan korang yang sudi mengikutinya. Pengalaman ni merupakan salah satu koleksi yang aku kumpul dan aku kutip masa aku muda-muda dulu. Ye lah.. macam aku kata.. PENGALAMAN PERLU DICARI, BUKAN BOLEH DIBELI. Dan seelok-elok untuk mencipta dan mengumpul pengalaman adalah masa kita masih bujang. Kalau dah beristeri dan beranak pinak, terlalu banyak kekangan untuk kita ke mana-mana mencari pengalaman kerana kita terikat dengan tanggungjawab yang lebih besar.
Masa aku masih di bangku sekolah, aku sangat bercita-cita untuk mempunyai pendapatan sendiri dan yang paling aku tak sabar ialah mempunyai motosikal RXZ yang sangat-sangat aku minati masa aku dalam tingkatan lima. Lebih-lebih lagi bila semakin ramai sahabat-sahabat aku yang dah habis sekolah mampu membeli motosikal idaman dengan wang hasil titik peluh mereka sendiri, bukan guna duit si bapa. Masa dulu-dulu, boleh dikatakan hampir 85% anak-anak muda yang habis sekolah di kampung aku akan menuju ke SINGAPURA untuk mencari rezeki. Aku juga mempunyai impian yang begitu apabila melihat seorang demi seorang rakan-rakan aku yang mewah berbelanja sesekali pulang ke kampung terutamanya balik untuk beraya. Hal ini membuatkan aku berasa tidak sabar untuk menghabiskan sisa-sisa pengajianku di sekolah. Minat untuk belajar dan melanjutkan pelajaran hilang terus. Aku sebolehnya mahu GAGAL dalam peperiksaan SPM sebab aku terlalu jemu untuk balajar lagi. Dalam fikiran aku dok pikir pasal kerja..kerja..kerja.. dan lari dari kampung yang tidak membangun tu atau dengan kata lain nak cuba keluar dari bawah tempurung.Korang bayangkan, dari aku mula lahir sehingga aku berumur 17 tahun, tidak pernah aku keluar dari negeri kelahiranku malah keluar ke bandar pun hanya beberapa kali sahaja dalam setahun. Banyak usia aku beranjak dalam kampung aku saja. Memang piaww aku orang darat. Sepanjang 17 tahun aku hidup tak pernah tidur dan makan kat hotel, tak pernah ke luar negeri atau ke luar negara, tak pernah naik bas ekspress ataupun kapal terbang dan bapa aku tak pernah bawa aku pergi ke mana-mana destinasi pelancongan.Tiba je hari minggu, mesti kena tolong bapa aku buat apa-apa kerja. Pagi-pagi dah kena bangun. Bapa aku tak pernah bagi peluang anak-anaknya untuk sambung tidur selepas menunaikan solat fardu subuh. Lepas subuh mesti buat apa-apa kerja. Biasanya pergi menebas kat dalam kebun getah, atau pergi tabur baja untuk anak-anak getah, pergi gaul simen atau ikat batu bata, gali lubang jamban, mengecat rumah sewa dan macam-macam kerja yang diciptanya bagi memastikan masa cuti aku menguntungkannya. Tak de peluang aku nak berpoya-poya.
Dipendekkan cerita, selepas habis peperiksaan SPM, aku bukan ke SINGAPURA untuk bekerja tetapi aku merantau ke ibu kota KUALA LUMPUR. Aku pergi sorang diri je dengan menaiki bas ekspress TRANSNASIONAL. Mak aku cuma bekalkan aku dengan wang RM50.00 sahaja untuk berbelanja dan buat modal bekerja.Dengar cerita, kat Kuala Lumpur banyak orang jahat. Mak aku suruh sorok wang yang dia kasi kat banyak tempat agar kalau dicuri orang satu tempat, ada lagi berbaki kat tempat lain. Oleh sebab tu, aku sorok merata duit aku yang RM50.00 tu. Sepuluh ringgit aku letak sebelah kanan dalam stoking yang aku pakai. RM10.00 lagi aku letak dalam stoking sebelah kiri. RM10.00 aku letak dalam poket seluar sebelah kanan dan RM10.00 aku letak dalam poket seluar sebelah kiri. Baki RM10.00 lagi aku simpan dalam beg duit bersama dengan IC dan lesen motor class L.
Bas Ekspress pertama yang aku naik sepanjang hidup aku |
Semalaman perjalanan aku ke Kuala Lumpur, aku tidak dapat melelapkan mata. Aku asyik mengelamun dan terbayang-bayang apa yang akan berlaku terhadapku selepas ini kerana sepanjang hidup aku mana aku pernah keluar jauh seorang diri macam ni. Tempat yang begitu asing bagi aku, kat Hutan Batu pulak tu, kalau hutan rimba tu biasa la aku. Walaupun aku nampak lembut tapi hati aku sangat keras dan berani menghadapi cabaran dan risiko.Aku sudah bernekad bahawa aku akan keluar merantau untuk berdikari sebaik saja aku habis bersekolah. Aku tidak mahu lagi bergantung hidup di bawah saraan ibu bapa aku.Ibu bapa aku sudah banyak mengajar aku erti kehidupan dan kecekalan hidup. Sekarang ni aku mesti praktikkan apa yang aku dah pelajari selama ini.
Tepat jam 7.30 pagi, bas yang aku naiki selamat tiba di Hentian Putra setelah menempuh perjalanan selama lebih kurang 11 jam lebih melalui Terengganu dan Temerloh. Pada masa tu perjalanan melalui Gua Musang-Kuala Lipis-Raub-Bentong belum lagi wujud. Turun saja dari tangga bas, aku berdiri di satu penjuru dan tidak ke mana-mana kerana abang aku yang menetap di Kuala Selangor akan datang menjemputku. Masa tu belum ada telefon bimbit menyebabkan aku tak boleh berkomunikasi. Beberapa minit kemudian, aku terpandang abang aku bersama dengan rakan karibnya Mohd Isa sedang melilau mencari aku dari satu bas ke satu bas yang lain. Hatiku melonjak gembira dan tanpa membuang masa, aku berlari mendapatkan abang aku.
Tempat pertama yang aku pijak semasa aku pertama kali datang ke Kuala Lumpur untuk berdikari |
Abang aku terus bawa aku naik ke tingkat satu kemudian order nasi lemak untuk sarapan pagi. Pertama kali dalam hidup, aku makan nasi lemak bersama kacang tanah yang digoreng. Sebelum ni masa kat kantin sekolah atau kat warung di kampung, aku hanya makan nasi lemak dengan sambal dan sepotong telur rebus saja. Tak pernah lihat ada kacang tanah goreng macam ni. Bukan tu saja, dalam nasi lemak aku juga ditaruknya sambal kerang dan sambal sotong. Perghhh.. hebatnya KL. Aku tak pernah jumpa nasi lemak ada sambal selain sambal ikan bilis. Betapa kerdilnya aku yang tak pernah keluar dari kampung.
Bila matahari dah terang, aku macam rusa masuk kampung, sambil kaki mengorak langkah ke kereta, mata aku melilau memandang sekeliling. Macam tak caya aku telah sampai ke Kuala Lumpur. Bangunan tinggi pertama yang aku lihat sepanjang hidup aku ialah Bangunan PWTC. Terpegun aku melihat ketinggian bangunan tersebut yang tidak setanding dengan ketinggian bangunan yang terdapat di bandar Kota Baharu. Semasa dalam perjalanan ke rumah abang aku di Kuala Selangor, bijik mataku terhidang dengan kesibukan kota raya dan jalan-jalan yang bersimpang siur. Mataku tercari-cari bangunan Daya Bumi yang cukup terkenal pada masa tu tapi tak jumpa. Bila aku tanya abang aku mana bangunan Daya Bumi, abang aku kata kita lalu ikut jalan lain dan bangunan tu dekat dengan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Hampa jugak aku tak dapat tengok bangunan yang secanggih Daya Bumi. Tapi tak pe.. takkan lari gunung dikejar. Lambat laun akan sampai juga aku ke situ.
Bangunan tinggi pertama yang aku lihat secara 'live' sepanjang 17 tahun aku hidup |
Okeylah.. sampai sinilah dulu aku cerita pasal pengalaman pertama aku di Kuala Lumpur. Kalau nak cerita semuanya sekaligus nanti jemu pula membaca sebab terlalu panjang ceritanya. Nanti jangan lupa korang buka EPISOD 2 untuk mengetahui kisah aku seterusnya. Kita kongsi-kongsi cerita dan pengalaman.
No comments:
Post a Comment