Tuesday, 8 October 2013

KOLEKSI PENGALAMAN UNTUK DIKONGSI - EPISOD 3


EPISOD 3 - Aku Jadi Mat Thrasher

Assalamualaikum.. bersua lagi dalam entri kali ni untuk sambungan daripada episod 2. Mungkin kisah hidup aku ni ada penggemar yang tak sabar-sabar untuk mengikuti kisah yang seterusnya. Saja je aku buat cerita ni pendek-pendek untuk mewujudkan unsur suspen dalam cerita aku yang mana pembaca akan tertanya-tanya apa kesinambungan dan kesudahan cerita seterusnya.  Malam tu aku gi tengok bola kat kedai mamak dengan geng-geng Saujana Putra, salah seorang kawan aku tanya aku " bila cikgu nak sambung episod 3? kawe tok sabar nok baca cerita demo.". Aku jawab " Relek Nik.. sibuk sikit loni,sari dua lagi kot"  

Kat sekolah.. Tasnim pulak dok tanya, " Din.. masuk cerita baru doh dale blog demo?". Weeiiii  laaa. aku ingat kan kisah hidup aku tak de pun orang nak peduli. Maklumlah aku ni bukannya orang terkenal. Tapi dari sehari ke sehari aku tengok ada peningkatan terhadap counter entri tu.. maknanya setiap hari pasti ada orang bacalah. Yang like dalam FB pun ramai la jugak. Terima kasih kepada yang like dan kepada yang sudi mengikutinya. Mungkin cara penceritaan aku yang bersahaja menyebabkan orang santai membacanya. Tak pe lah.. hari ni aku ada masa, jadi seperti yang dijanjikan aku akan sambung lagi cerita pasal kisah hidup aku. Kalau tak de orang baca pun tak kisah sebab kronologi kisah hidup aku perlu aku coretkan sebelum aku nyayuk dan sebagai kenang-kenangan bila aku tua. Bila aku bersara nanti dan tak de apa nak buat bolehlah aku baca kembali kisah hidup aku dalam blog matdingunung.

Ok.. continue lagi...Aku mula mengenali muzik thrash apabila member aku yang aku panggil Zul dari perlis selalu bawa tape untuk dimainkan dengan mini compo kat rumah sewa aku. Zul ni adalah rakan yang sama-sama belajar dengan aku masa kat sekolah pengurusan hari tu. Aku tengok muka mamat ni memang skema, perangai pulak sivik nak mampusss.. tup..tup.. mempunyai minat yang amat mendalam terhadap muzik Metal. Bila dia dengar muzik metal tu.. dia pejamkan mata kemudian dia hayati betul-betul irama keras muzik tu sambil henjut slow-slow kepalanya. Dalam hati aku kadang-kadang berbisik (bermonolog dalaman) " dah gila ke ape kawan aku ni "

Esok hari, Mat Zul ni akan bawa album metal daripada kumpulan muzik metal yang lain pulak untuk didengar. Mula-mula aku memang tak boleh terima langsung muzik keras macam ni sebab aku sangat terbiasa dengan alunan muzik rock kapak yang jiwang-jiwang seperti kumpulan Wings, Search, Ekamatra, Fotograf, Lefthanded, Desire, Love Hunter, Blood Shed, D'Riyadh, Mega, Gamma, U-Thopia dan sebagainya. Tapi lama kelamaan bila hari-hari dengar, aku dah mula selesa la pulak. Kalau sehari Zul tak datang rumah aku bawa album kumpulan Sepultura atau Morbiq Angel, sunyi la pulak rasanya. Sekejap je aku sudah mula terpengaruh dengan muzik berirama keras. Ini gara-gara Zul punya pasal. Kebanyakkan muzik ni memuja syaitan dan anti christ. Tajuk lagu dan gambar pada kulit album pun ganas. Penggemar muzik ni ada identiti tersendiri dan mempunyai komuniti serta fesyen yang tersendiri.


Gaya aku masa mula-mula nak jadi Mat Trash..

Geng-geng pun mesti cari yang satu kepala. Masa ni rambut baru 4 bulan dibela.
Bila dah kenal, maka aku sudah mula jatuh cinta dengan muzik keras ni. Dalam Seminggu, ada dua kali aku ke Pertama Kompleks atau ke Kompleks Kota Raya untuk mendapatkan album-album kumpulan thrash metal. Banyak album kumpulan metal aku beli untuk didengar dan dibuat koleksi peribadi. Selalu saja aku mengikuti perkembangan-perkembangan keluaran album baru dari kumpulan muzik yang aku minati seperti kumpulan Slayer, Sodom, Anthrax, Death, Necronomicon, King Diamond, Suffercation, Sabbat dan sebagainya. Aku juga memiliki banyak baju-baju bewarna hitam yang tertera gambar-gambar kulit album kumpulan thrasher yang aku minati. Baju-baju lain yang tidak bersangkut pauk dengan identiti Thrash aku telah buang. Seluar jeans aku juga sudah aku koyak-koyakkan kat lutut. Kasut rocker aku telah aku buang dalam lori sampah kemudian aku beli kasut Converse All Star. Aku mempunyai beberapa pasang kasut Converse yang berlainan warna. Penampilan aku sudah jauh berubah. Kalau dulu masa aku jadi rocker, ada la jugak beberapa kali mengunjungi kelab malam dan disco, tapi semenjak dah tukar personaliti, aku langsung tak kunjungi lagi pub dan disco. Budak disco bagi aku sesuai untuk Mat GQ dan Budak Bross saja. Budak Thrash tak main disco tetapi dia pergi ke GIG. Apa tu GIG? GIG merupakan satu tempat budak-budak metal berkumpul untuk mendengar kumpulan-kumpulan tertentu yang memainkan lagu-lagu berirama Thrash Metal secara live. Kat sini, pengunjung-pengunjung akan ikut buat Head Begin ( goyang kepala sambil putar rambut panjang bagai dirasuk hantu) ramai-ramai mengikut rentak irama keras yang dimainkan. Kadang-kadang ada sesetengah tu bersikap lair dengan membaling kerusi dan botol. Ramai dalam kalangan mat-mat thrash ni mabuk-mabuk tak kira sama ada mabuk arak atau mabuk ganja. Tapi aku tak pernah mabukkk. Aku masuk kat tempat tu untuk layan kepala aje. Ikut-ikut kawan. Tapi jujur aku mengaku bahawa muzik-muzik yang hardcore atau terlalu keras ( black metal, dead metal, speed metal ) dan lirik tah apa-apa aku tak boleh nak follow sangat takut boleh terpesong akidah, sekadar dengar dan minat sikit-sikit bolehlah layan. Tapi aku sangat minat lagu-lagu yang thrash metal sikit seperti kumpulan METALLICA dan Cromok. Lagu-lagu dari kumpulan ni aku sentiasa dengar dan aku cuba hafal dia punya lirik. Aku juga belajar beberapa not gitar dengan member aku untuk mainkan lagu-lagu daripada kumpulan ni terutamanya lagu Fade To Blade, Master of Pupets, One, Enter Sadman, Sad But True, Misty, The Ulek Mayang dan banyak lagi. Sekali sekala layan XPDC dan MAY pun best juga. Kumpulan thrash Melayu yang aku selalu ikut ialah FTG dan Sil Khanaz.



Kumpulan Thrash Metal yang paling aku minati




Semenjak tukar personaliti, aku kejap je dapat kawan yang sealiran dengan aku. Asal saja rambut panjang dan pakai baju hitam lambang tengkorak atau lambang salib terbalik ( anti Christ ), itu dah kira geng dan lebih mudah rapat kalau mereka asal dari negeri kelahiranku. Ayat asas untuk berkawan ialah " demo budak klate jugok ko?"  "dok mana sini ?"  " klate demo dok mano?"   cukup tiga pertanyaan ni je kita dah boleh rapat dan bila berselisih kat mana-mana kita boleh bersalam set jari. Biasanya pada malam minggu aku and the geng akan keluar.  Port aku ialah kat Bucu bangunan  Central Market sebelah bus stand Klang. Kat situ biasanya aku tunggu geng-geng untuk berkumpul. Dari pukul 6 petang sehingga pukul 8 malam aku tunggu geng-geng. Bila dah ramai, kami jalan dalam satu kumpulan besar ke Dataran Merdeka atau ke Pertama Kompleks. Semuanya pakai baju hitam dan berambut paras bahu ke bawah dan ada yang sehingga paras pinggang. Muka semunya ganas-ganas. Kadang-kadang dalam kumpulan ni ada juga perempuan liar  (minah thrash) yang joint. Geng-geng thrash dari kumpulan lain pun ada. Kami sering bertegur sapa dan bertampar tangan apabila berselisih. Kalau malam-malam perayaan seperti malam sambutan tahun baru, malam sambutan hari wilayah, malam sambutan kemerdekaan dan sebagainya, geng kami akan bertambah besar dan ada kalanya tak pulang rumah. Melepak sampai pagi. Ada sesetengahnya tidur kat bawah jambatan depan Mahkamah Tinggi. Tidur kat bawah jambatan tu bukan saja geng thrash, bahkan kongsi-kongsi tempat dengan budak-budak GQ dan budak Bross sekali. Geng mana cepat, geng tulah yang bolot tempat yang selesa. Mereka tidur bercampur antara lelaki dan perempuan-perempuan bohsia.

Memang hidup aku cukup enjoy pada masa ni. Kawan yang sealiran memang ramai, ada yang baik, ada yang jenis makan kawan, ada yang kedebe (samseng ) yang sudah mempunyai nama ( terkenal ), ada yang baru nak jadi artis dan macam-macam kawan yang ada. Kat sini cukup mudah untuk kita pilih kawan-kawan yang boleh kita tumpang saat kita susah dan ada kawan yang kita perlu jauh. Biasanya kalau dalam kumpulan kita tu ada taiko yang digeruni, memang akan lebih berpengaruh geng tu.

Geng rumah sewa aku yang permanent dan bekerja (budak baik) seorang demi seorang angkat kaki sebab tak tahan dengan geng-geng aku yang selalu tumpang tidur rumah sewa aku. Lama-kelamaan, bayaran rumah sewa mula tertunggak sebab yang menghuni rumah aku tu semuanya geng yang tak bekerja. Tidur.. bangun..makan..lepak.. itu aje yang dia tau. Yang bekerja semuanya sudah pindah. Lama-kelamaan rumah sewa aku semuanya dihuni oleh mat-mat thrasher. Kadang-kadang, kalau malam minggu hampir 20 orang geng-geng aku akan datang untuk tumpang tidur kat rumah sewa aku. Ada kalanya mereka turut bawa perempuan bohsia untuk ditiduri. Memang sudah menjadi pegangan atau perjanjian ( bai'ah) budak thrasher " awek kau, awek aku juga". Oleh itu, setiap perempuan yang dibawa balik boleh gilir-gilir untuk ditiduri kalau mahu. Tak boleh dijadikan hak milik pribadi.  Kalau takut dosa, jadi penonton aje lah atau keluar minum. Bila ada aje geng yang bawa balik perempuan jalanan, mereka akan nyayi ramai-ramai " tepuk amai-amai.. belalang kupu-kupu, kita baris ramai-ramai.. masuk kubur suku-suku".

Walau bagaimanapun,  hanya segelintir saja budak-budak thrash yang berperangai liar begini, masih ramai lagi yang taat pada agama bahkan ada yang tak merokok pun. Tapi.. aku akui bahawa ada juga beberapa kerat yang sangat taksub pada Black Metal sehingga ada yang minum darah kambing hitam dan pijak atau kencing al-Quran. Tapi geng aku tak sampai tahap sial cam tu. Biasa-biasa saja..Aku masih lagi tak tinggal sembahyang cuma sekali sekala saja tertinggal he..he...  Setiap kali terlintas nak buat sial, akan terbayang wajah ayah dan ibu aku yang alim dan sangat dihormati di kampung. Aku tak mahu mereka malu dengan perbuatan aku kalau pecah lobang. Abang aku juga anggota polis. Kalau aku ditahan reman, sudah tentu akan memalukan beliau. Oleh itu, perbutan mengambil dadah, arak dan joint baris perempuan jalanan aku cuba elakkan. Kawan-kawan aku cukup hormat dengan pendirian aku tu. Mereka tak pernah pujuk aku untuk berbuat sesuatu yang menjahanamkan diri aku. Lagipun tempat yang mereka tumpang tu adalah rumah sewa aku.

Isi kandungan dalam tong gas kat rumah aku dah lama habis.. dapur juga dah lama tak berasap sebab dah beberapa hari tak ada makanan. Walaupun mereka yang tinggal dalam rumah aku berbelas orang, tapi semuanya pokai sebab tak bekerja. Berkawan dengan geng thrash ni kalau nak mintak tolong untuk belasah orang, macam ajak makan pulut.. berdesupp datang. Tapi kalau nak pinjam wang.. sorry laaa. Siang hari mereka tidur, malam hari mereka berjaga sampai pagi. Begitulah rutin kehidupan harian. Pernah satu kali geng rumah sewa aku nak bergaduh, satu bas mini datang untuk bantu. Mereka datang siap bawa buku lima dan batang besi. Aku sendiri pun gerun tengok persediaan untuk bergaduh sampai cam tu sekali. Bagi mereka, bergaduh juga merupakan salah satu cabang hiburan. Bagaimana mereka dapatkan duit untuk beli makanan ??

Kalau lapar geng-geng aku ni akan keluar mencari makanan. Mereka berpecah beberapa kumpulan. Kaedah bagaimana untuk dapatkan makanan aku tak nak ambik tahu, janji ada hasil yang bawa balik. Pukul 3 pagi masing-masing kumpulan yang berpecah tadi bawa balik hasil. Ada yang bawa balik mi meggi, ada yang bawa balik buah-buahan dan ada juga yang bawa balik ayam kampung. Aku confirm semua hasil yang diperoleh tu adalah diambil secara tidak izin ( curi la tuuu.. ). Kat sebelah taman perumahan aku tinggal tu ada kampung orang Melayu iaitu kampung Changkat. Mungkin kat situ banyak sumber makanan yang 'tak halal' seperti ayam kampung dan buah-buah kayu. Oleh sebab gas tak ada, maka ayam kampung yang disembelih tu kami bakar aje. Cili Sos budak-budak tu rembat kat dalam Seven Eleven. Kalau geng aku masuk, budak cashier kat Seven E tu mula kecut perut. Geng-geng aku tak pernah menyamun atau curi duit. Ambik barang jee untuk sara hidup. Kadang-kadang pisang, mangga dan tembikai yang orang jual tepi jalan pun mereka bantai. Merangkak perlahan-lahan menghampiri timbunan tembikai, kemudian selak khemah dan golek perlahan-lahan. Geng belakang akan sambut dan pass-pass ke belakang. Teknik ni aku lihat dengan mata kepala sendiri sebab yang paling belakang adalah aku sendiri ha..ha..ha.. Aktiviti nakal ni kami lakukan lebih kurang pukul 3-4 pagi  apabila jurujualnya sudah lena di atas kerusi malas di tepi longgokan buah yang dijualnya. Dapat 6 bijik tembikai saiz XL cukup lah untuk 2 hari.

Satu malam tu masa kami sedang lepak sambil main gitar, aku ternampak seseorang yang mencurigakan sedang mundar-mandir kat taman perumahan aku dalam keadaan separuh bogel. Dia cuma pakai seluar boxer saja tanpa baju sedang memikul karung bungkusan macam orang nak pegi bertapa kat gua. Aku dan beberapa orang kawan aku cuba kejar budak yang cuba nak buat onar kat taman perumahan aku. Apabila nampak geng kami datang dia terus lempar bungkusan tu dalam parit lalu berdesup melarikan diri. Kami cuba kejar tapi tak dapat. Aku bawa balik bungkusan tu dan buka kat dalam rumah aku. Oh..rupa-rupanya orang itu adalah pencuri. Tapi yang peliknya, baju-baju dan kain sarung wanita yang dicuri termasuk seluar dalam wanita. Yang lucunya, dalam timbunan kain baju wanita yang dicuri, seluar jeans lusuh dan berbau busuk kepunyaan mamat tu juga ada sekali. Mungkin dia buka seluar untuk memudahkan dia panjat pagar rumah orang. Dalam poket seluar terdapat beg duit kepunyaannya. Di dalam beg duit tu ada not kertas sebanyak RM160.00. WOW!!! kami bersorak. Memang malam tu rezeki kami. Kami agih-agih wang sikit sorang buat beli rokok. Yang selebihnya akan diguna untuk beli beras, tukar tong gas baru dan beli barangan dapur untuk stok seminggu. Kain-kain wanita tu geng-geng aku hampar buat alas lapik tidur. Sebelum ni biasa tidur beralas surat khabar, sekarang ada lampik kain. Lebih lena sikit tidur.

Selama tiga bulan aku menyewa tanpa membayar duit sewa, endingnya aku dan kawan-kawan thrasher aku diberi notis oleh tuan rumah untuk kosongkan rumah tu. Oleh sebab tu, kami pun mula berpecah dan masing-masing membawa diri. Tiga orang follow aku untuk tumpang tinggal kat rumah member aku kat flet di Jalan Masjid India buat sementara waktu, yang lain-lain aku tak tahu mana pergi. Akhirnya aku dengan Mat Yie mengambil keputusan untuk balik kampung setelah lebih setahun tak balik. Sampai kat kampung, duit ngam-ngam tinggal 50 sen dalam poket seluar. Duit yang aku guna untuk beli tiket bas ekspress balik kampung tu,  aku dengan Mat Yie 'paw' duit bapok ( pondan ) yang berkeliaran kat Jalan Masjid India dan belakang Kawloon.

Balik kampung, mak aku hairan sebab selalu saja pakai topi. Ke mana saja aku pergi, topi tak pernah turun dari kepala. Aku tidur pun pakai topi. Nak mandi pun pakai topi dan ke mana-mana mesti pakai topi. Sebabnya.. rambut panjang  tu aku gulung masuk topi. Sekali tu aku terkantoi masa aku mandi kat perigi, mak aku ternampak rambut aku yang panjang. Pada mulanya dia terkejut sebab.. mana datangnya orang gila perempuan mandi kat perigi rumah aku sambil tak pakai baju. Bila dia pegi dekat, rupanya anak lelakinya sendiri. Terkejut berukkk mak aku..  sepanjang hidup dia tak pernah tengok orang lelaki rambut panjang macam tu selain Anduka dan Taruna dalam cerita Si Merah Padi. Aku mula gelabah lalu berjanji akan potong rambut secepat mungkin. Aku tak tergamak lihat muka mak aku bersedih. Mak aku malu kat orang kampung anaknya tidak seperti orang lain. Dia tidak mahu perbuatan aku ini menjadi umpatan orang kampung. Lepas mandi tu juga mak aku kasi duit RM 5.00 suruh pegi potong rambut. Aku ikut jee, maka ...tepat pukul 5.20 petang selepas solat asar rambut aku dipotong dengan rasminya oleh tukang gunting. Yang sedihnya, setahun lebih aku bela rambut tu tapi hanya beberapa saat saja rambut aku selonggok demi selonggok jatuh ke lantai dikerjakan oleh tukang gunting tu. 10 minit kemudian jadilah aku manusia normal balik. Tak pe lah.. apa ada pada rambut kerana jiwa masih lagi thrash. Tidak lama kemudian aku terbaca dalam majalah hiburan anggota kumpulan idola aku iaitu CROMOK juga sudah berwajah baru dengan berambut pendek tetapi masih membawa muzik berirama thrash metal.


Balik kampung terus potong rambut.. dah jadi baik semula tapi masih belum hilang dia punya aura.
Ni lagi satu fesyen mat thrash


Kalaborasi dengan Isa.. Aku main lead, Isa main bass.. kena lagu Fade To Blade. perghhh..
Isa.. this is my best friend. Pergi kat Jepun bawa balik complete set album Metallica hadiahkan kepada aku.
Koleksi Album METALLICA yang Isa hadiahkan untuk aku masa dia balik dari Jepun

                  Sebelum berpisah, layan dulu idola aku goreng guitar
Karl main gitar sebijik macam aku main. he..he..
Sampai sini saja cerita aku pasal pengalaman aku menjadi budak Thrash. Aku dah tak mahu lagi datang ke Kuala Lumpur untuk mengulangi kesilapan lalu. Biarlah aku berubah arah pula. Kasihan mak dan ayah aku. Biarlah pengalaman ini menjadi sesuatu yang boleh memberi panduan dan pengajaran untuk aku menjalani kehidupan yang lebih sempurna pada hari yang mendatang.

Okeylah.. ke mana aku pergi selepas ni? apa yang aku buat ? kenapa aku boleh masuk universiti sedangkan sijil SPM pun tak de ??? persoalan tu akan terjawab sekiranya anda mengikuti Episod seterusnya iaitu Episod 4. Tungguuuu....




No comments:

Post a Comment