Wednesday, 22 February 2012

MENDAKI GUNUNG WARFU BERSAMA OGKL


Gunung Warfu merupakan gunung yang ketiga aku daki. Pada mulanya aktiviti ini dibuat sebagai aktiviti Foto Outing kelab Fotografi sekolahku, tetapi malangnya penyertaan pelajar amat mengecewakan. Mungkin pelajar bandar tidak suka aktiviti lasak begini kerana mereka lebih suka dengan aktiviti tidur di hotel five star dan menikmati dinner BBQ di tepi kolam mandi. Walau bagaimanapun, aktiviti ini tetap diteruskan dengan kerjasama Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL).  Lebih 30 orang menyertai aktiviti ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan datang dari segenap ceruk.
            Aktiviti bermula dari Masjid Kampung Raja. Kami menaiki dua buah pickup 4x4 untuk ke kaki gunung Warfu yang jaraknya lebih kurang 16km. Jalan yang dilalui untuk ke kaki gunung amat mencabar sekali.  Jalan tar separuh-separuh dan pecah-pecah serta ada tempat yang tak bertar tetapi dipenuhi dengan batu-batan melalui celah-celah ladang sayur. Adakalanya perjalanan diganggu oleh aliran air yang deras seperti sungai dan jeram. Tapi semua itu tidak menjadi masalah buat pemandu yang berpengalaman. Kami berkumpul di rumah kongsi pekerja warga Bangladesh di kaki gunung sambil menikmati juadah tengah hari. Selepas makan, kami diminta berkumpul untuk persediaan mendaki. Walaupun keadaan masih lagi hujan, itu bukan halangan bagi kami yang masing-masing teruja untuk menakluk puncak Warfu. Selepas doa dibaca, dalam barisan kami mula mendaki menaiki anak-anak tangga yang mencanak. Kami perlu berhati-hati kerana laluan itu licin dan agak berbahaya.
            Selepas menaiki anak tangga, kami dihidang pula dengan trek laluan atas lebuh raya batang-batang paip plastik yang licin. Kami perlu bijak mengimbangkan badan untuk melalui lebuh raya ini kerana tersilap haribulan, kami boleh terjerlus sampai paras paha. Selepas melepasi laluan batang paip yang berselirat, kami terpaksa melalui pula laluan lereng-lereng bukit. Kekuatan otot paha perlu untuk menyokong pergerakan agar tidak tergelincir dan terguling ke bawah. Perjalanan diteruskan sehingga sampai ke sebatang anak sungai yang sungguh sejuk airnya. Anak sungai ini merupakan satu-satunya punca air yang ada untuk para peserta. Kami bekhemah di satu kabin tinggalan peneroka balak. Hujan yang tidak henti-henti menyebabkan suhu begitu sejuk sekali. Oleh sebab keadaan badan yang dipenuhi lumpur dan peluh, maka terpaksa juga kami mandi di anak sungai walau airnya macam air dalam peti sejuk.
            Tukang masak berpengalaman dari OGKL menghidangkan kami sayur masak lemak buah labu dengan ikan masin. Perghhh.. sungguh berselera sekali kami makan. Siap boleh tambah lagi. Kalau kat dalam hutan makanan seperti itu sudah dikira 5 bintang. Aktiviti seterusnya selepas makan adalah suai kenal atau ice breaking. Rupanya dalam kumpulan kami terdiri daripada pelbagai latar belakang, ada yang kerja kerajaan, ada yang kerja sediri, berniaga, student dan sebagainya. Jelas sekali aktiviti ini membuatkan kami boleh menambah kenalan dan berkongsi pengalaman. Lebih kurang pukul 3 pagi, boss kami En Apip Embi beserta dua orang rakan karibnya tiba mengganggu lena kami. Memang beliau pendaki ‘hard core’, pukul tiga pagi sanggup lagi datang menyusuri laluan yang begitu sukar. Tabikk springgg kat you all.
            Selepas makan pagi, kami dikumpulkan untuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh Ketua Rombongan iaitu En Apip. Kami mula mendaki ke puncak Warfu labih kurang pukul 8 pagi. Laluan ke puncak agak mudah kerana kami tidak perlu lagi memikul beban, manakala laluannya pula tidak berapa mencabar. Biasa-biasa aje macam jungle trekking. Sambil menghayati flora dan fauna tiba-tiba kami sudah sampai ke Puncak Warfu. Keadaan cuaca yang redup dan sejuk menyebabkan kami tidak keletihan. Terima kasih semua kepada mereka yang mengikuti rombongan ini. Semoga kita berjumpa lagi di lain vanue. Terima kasih En Apip dan ALL STAFF OGKL.

                                                    LALUAN NI MACAM SUNGAI

                                                        LALUAN NI MACAM JERAM

                                                 SELAMAT TIBA DI KAKI GUNUNG



                               SINGGAH SEBENTAR DI RUMAH KONGSI BANGLADESH

                                          MENDAKI MELALUI ANAK-ANAK TANGGA

                                                         LEBUH RAYA BATANG PAIP

                                                      KASUT YANG BARU DIBELI

                  BERHENTI REHAT SEKEJAP TUNGGU KAWAN YANG KAT BELAKANG

CIK KAK NI UMUR DAH HAMPIR 50 TAPI MASIH BERTENAGA DAN BERSEMANGAT

                                      ANAK SUNGAI YANG SANGAT DINGIN AIRNYA

PUNCA AIR TERAKHIR

                                         QUATER MASTER YANG SEMUANYA PAKAR

                                                                  SAMPAI LICIN....

                                                KHUSYUK MENDENGAR TAKLIMAT




                                       PENULIS BERSAMA KETUA ROMBONGAN

                          BOSS MENYEDIAKAN MINUMAN PANAS UNTUK ANAK BUAH

                                                     ALHAMDULILLAH.. BERJAYA

              

No comments:

Post a Comment