Hutan, gunung, bukit, sungai,
tasik dan laut merupakan alam ciptaan tuhan yang begitu sebati dengan jiwaku.
Entah mengapa, apabila aku menghayati bunyi unggas-unggas hutan, hatiku begitu
damai sekali. Apabila aku mendengar deruan air terjun dan jeram, hatiku mula
terhibur. Apabila aku menikmati
keindahan panorama dan kedinginan udara dari puncak gunung, hatiku
begitu tenteram. Apabila aku melihat air-air sungai yang jernih mengalir,
hatiku begitu tenang. Apabila aku melihat ketenangan tasik, hatiku begitu gembira
dan hatiku begitu teruja sekali apabila melihat matahari terbenam di hujung
ufuk laut.
Alam sudah menjadi temanku yang
paling setia. Mungkin aku dilahirkan di dalam ceruk hutan. Sejak aku mula boleh
meniarap, kemudian merangkak, lepas tu berdiri, berjalan dan akhirnya berlari,
semuanya itu aku lakukan semasa aku berada di dalam hutan. Nama kampung aku pun
Bukit Bertam. Aku membesar di dalam
hutan dan sekolah tempat aku belajar juga dikelilingi oleh bukit bukau dan
hutan rimba.
Sedari kecil aku sudah dilatih
oleh kedua orang tua ku agar dapat berdikari di dalam hutan. Aku sangat biasa
dengan nyamuk-nyamuk yang beterbangan, pacat-pacat yang berkeliaran mencari
darah, buah-buah hutan yang enak, ulam-ulaman yang berkhasiat serta
ubata-ubatan herba yang amat mujarab. Apabila aku keluar pagi dan balik petang
kerana pergi melastik burung atau menjerat binatang di dalam hutan semasa hari
minggu, ibu bapaku tidak pernah bimbang. Kadang-kadang pada waktu malam aku bermalam di
pinggir hutan di dalam pondok-pondok yang aku bina. Ibu bapaku juga tidak
pernah menghalang. Pendek kata, aku bebas melakukan apa saja aktiviti di dalam
hutan.
Semasa aku di sekolah rendah, aku
sentiasa membawa bekal ke sekolah. Apabila tibanya waktu rehat, aku dan
kawan-kawan akan makan bekal yang kami bawa di bawah rimbunan pokok-pokok hutan
yang tumbuh meliar tanpa pengawasan di belakang kawasan sekolahku. Semasa di
sekolah menengah pula, aku memilih pengakap sebagai aktiviti badan beruniform.
Dalam pasukan pengakap, cikgu sentiasa mengadakan aktiviti perkhemahan di dalam
hutan. Semasa perkhemahan ini, aku mula belajar untuk membuat gajet, simpulan
dan ikatan serta ikhtiar hidup. Yang paling seronok ialah memasak nasi dalam
buluh dan membakar ikan di dalam tanah. Rebus telur tanpa air juga aku pelajari
dan aku juga diajar cara-cara untuk menjerat binatang. Aktiviti perkhemahan ini
banyak membantu aku untuk survival di dalam hutan.
Rumah yang aku tinggal tidak
mempunyai tandas. Oleh yang demikian, aku terpaksa mencari tempat-tempat yang
tersorok untuk melepaskan hajat. Tempat yang paling sesuai tidak lain tidak
bukan ialah di pinggir hutan tidak kira siang atau malam. Yang paling aku takut
ialah bunyi salakan anjing serigala yang
agak menyeramkan. Bunyi burung hantu juga boleh menyebabkan bulu roma
meremang kalau aku berseorang pergi membuang air besar di tepi hutan lebih
kurang 80 meter dari rumahku pada tengah malam atau awal pagi. Orang kata, di
dalam hutan ada banyak hantu atau binatang buas, tetapi Alhamdulillah..
sepanjang aku melakukan aktiviti di dalam hutan, aku tidak pernah diganggu oleh
hantu atau jembalang. Aku juga tidak pernah terserempak dengan binatang buas
kecuali ular tedung selar. aku perlu kuatkan semangat apabila berada di dalam
hutan. Ayah aku juga ada mengajar aku beberapa potong ayat al-quran untuk aku amalkan apabila berlaku kecemasan di
dalam hutan. Aku juga turut diberi petua-petua dan pantang larang semasa berada
di dalam hutan.
Rumah aku tinggal lebih kurang cam ni lah ( rumah ni dapatkan dlm google je ) |
Rumah aku berhampiran dengan Kem
Tentera iaitu Kompeni 301 Kem Batu 11. Biasanya anggota-anggota tentera membuat
latihan menembak dan aktiviti jalan lasak merentasi kampungku. Oleh yang
demikian, aku begitu mudah untuk mendapatkan makanan tentera atau dikenali
dengan ‘Rasum’. Dalam satu paket rasum mengandungi 2 kilo beras, 2 tin kari
ikan, 2 tin kari daging, 1 tin kari kambing, 1 tin sirap nenas, 2 paket serbuk
oren, 1 paket jem betik, 1 peket jem betik, 2 paket serbuk Nescafe, 5 paket
susu tepung, 2 paket biskut, 1 kotak mancis, 2 paket garam, 2 paket gula dan
dapur beserta lilin. Kadang-kadang mee maggie pun ada. Satu paket ransum cukup
untuk satu hari perkhemahan. Biasanya pada hari jumaat dan sabtu, aku bersama
kawan-kawan akan melakukan aktiviti outdoor iaitu membuat pondok-pondok dan
memasang khemah di pinggir hutan. Dengan berbekalkan ransum tentera, kami akan
memasak dan makan beramai-ramai di dalam pondok. Adakalanya kami bermalam di
situ. Aktiviti seperti ini sangat aku minati dan segala masalah pembelajaran
akan hilang begitu sahaja. Oleh sebab aku telah terbiasa dengan corak kehidupan
tentera di dalam hutan maka telah timbul perasaan minat yang mendalam terhadap
pekerjaan ini dan menjadi impian aku untuk menjadi pegawai tentera suatu hari
nanti.
Nilah gambar Ransum tapi yang ini dah moden ( gambar ihsan dari google ) |
Helikopter jenis ni selalu saja mendarat di padang dekat dengan rumah aku. Biasa sangat aku dengan kenderaan ni masa aku kecik-kecik dulu. siap boleh naik dan duduk landing di dalamnya. |
Selain aktiviti hutan, aku juga
turut meminati aktiviti air terutamanya mencari ikan. Sekiranya aku tak ke
mana-mana pada cuti hujung minggu, pasti aku ke sungai atau ke sawah untuk
mencari ikan. Aku tidak pandai menyelam untuk memanah ikan, tetapi ramai kawan
aku yang mahir dengan aktiviti ini. Hasil yang diperoleh akan terus dibakar
atau digoreng. Aku Cuma menjadi tukang masak di bawah rimbunan rumpun pohon
buloh di tepi sungai. Semua peralatan memasak telah sedia aku bawa termasuk
periuk dan beras. Selain ikan, pucuk paku juga banyak terdapat di tepi sungai
untuk dijadikan lauk tambahan. Dalam kalangan rakan-rakan, aku memang terkenal
dengan kehebatan memasak. Selain menggunakan kaedah menyelam untuk memanah
ikan, tuba juga merupakan satu cara yang amat mudah untuk mendapatkan ikan yang
banyak. Ubat tuba senang diperoleh dan dijual secara terbuka dekat sempadan
Thailand. Kadang-kadang aku menggunakan renjatan eletrik untuk mendapatkan
ikan. Tapi aku tidak pernah menggunakan bom ikan kerana perbuatan itu amat
berbahaya walaupun aku tahu cara dan kaedah untuk menghasilkan bom ikan dengan menggunakan
belerang dan racun buluh. Sayang sekali segala aktiviti aku masa aku budak-budak
dulu tidak dapat dibukti atau didokumentasikan kerana kumpulan kami tiada
seorang pun yang mempunyai kamera untuk dirakam segala aktiviti.
Pada musim tengkujuh, aku suka
menjaring ikan dan memasang tajul. Aku cukup mahir menangkap ikan dengan cara
ini. Kemahiran berenang yang aku miliki membuatkan aku bebas memasang jaring
walau di tempat yang airnya dalam. Aku juga mahir mengenal pasti lubuk-lubuk
ikan untuk diletakkan tajul. Untuk mendapat ikan yang banyak dan besar,
biasanya aku memasang tajul di kawasan yang berpaya di dalam belukar atau
hutan. Ikan keli, haruan, bujuk, dan limbat memang banyak tinggal di tempat
yang macam ni, tapi awas kerana tempat begini keras sekali dan memerlukan
kekuatan semangat. Binatang berbisa seperti ular katam tebu dan senduk juga
banyak. Kita kena berhati-hati dan amalkan doa-doa tertentu. Pacat, lintah,
nyamuk, sejuk, gatal-gatal, luka-luka kecil dan bau hanyir sudah menjadi
kebiasaan buatku. Aku boleh melelapkan mata walau dalam keadaan yang basah
kuyup. Minat punya pasal, segala keselesaan aku tolak tepi saja.
No comments:
Post a Comment