Friday, 5 October 2012

CERITA PASAL BOLA





Assalamualaikum.. nak kongsi sikit cerita aku pasal bola. Sejak dari aku kecik memang aku suka main bola tapi tak layak untuk wakil sekolah sebab aku pandai main bola sekadar suam-suam kuku aje..tapi sepak bola tu memang kena laa.Boleh dikatakan setiap petang aku pegi main bola dengan kawan-kawan sekampung kat padang sekolah. Aku mula minat tengok bola kat TV masa aku tingkatan 2 iaitu tahun 1986. Masa tu sedang berlangsung piala dunia. Aku dengan rakan sekelas masing-masing memilih pasukan untuk disokong. Aku memilih pasukan ARGENTINA sebab aku suka nama dan sebutan negara tu yang sedap didengar. Aku bukan kenal pun player-player pasukan tu. Kawan-kawan aku ramai yang pilih Brazil dan England sebab pasukan dari negara tersebut memang glamour pada masa tu.Aku dengan abang aku selalu main bola olok-olok buat player dan gol post dengan kotak ubat nyamuk. Kat palang gol aku tu aku tulis besar-besar perkataan ARGENTINA. Kebetulan pulak pasukan yang aku sokong tu satu game demi satu game asyik memungut mata kemenangan. Bertambah ghairah aku untuk menyokong pasukan pilihan aku tu. Aku sanggup berjaga sehingga pukul 4 pagi untuk menonton pasukan aku berlawan.Masa tu tv kat rumah aku kecik aje 14 inci hitam putih guna kuasa bateri kereta. Dah la tv kecik, tak ada colour la pulak lepas tu satu lagi tak terang sebab guna arial kat atas tv aje. Gelombang tak cukup kuat sebab dok dalam hutan menyebabkan gambar tak jelas. Bukan main seksa nak menonton tv masa tu.  Sejak tu baru aku kenal dengan nama MARADONA pakai jersi no 10 kerana dia adalah wira pasukan aku. Terkebil-kebil mata aku menonton kelincahan dia mengelecek bola melepaskan diri daripada kepungan pihak lawan kemudian terus membawa bola masuk terus ke dalam gol. Boleh dikatakan semua pelawanan yang melibatkan pasukan kesayangan aku tu aku dapat tengok walaupun dalam keadaan siaran tv yang amat menyeksakan.Wah ! hebat betul menusia yang bernama MARADONA tu main bola sehingga akupun berdoa pada tuhan agar aku diberikan kepandaian main bola macam Maradona. Tapi sayang... doaku tak dimakbulkan.hu..hu.. 
Aghhh... aku boleh berbangga kerana pasukan yang aku pilih JUARA piala dunia 1986 walaupun masa aku pilih pasukan tu takde seko pun player aku kenal. Rentetan daripada situ, membuka satu lembaran baru dalam hidupku apabila aku sudah mula minat dan gila dengan bola sepak.Banyak gambar player ternama aku potong dan tampal kat dinding rumah aku. Bapak aku tak marah sebab dia pun hardcore minat bola. Kadang-kadang dia sanggup pegi ketuk rumah jiran untuk tengok siaran bola walau pukul 3 pagi sekiranya tv kat rumah aku tak boleh tengok sebab kehabisan kuasa bateri. Pasukan yang bapak aku minat pada masa tu ialah LIVERPOOL
Masa aku dalam tingkatan tiga, aku mula mengikuti perkembangan bola sepak dalam negara pula. Aku sudah mula berjinak-jinak ke stadium bola sepak Sultan Mohd ke IV Kota Baharu untuk menyokong pasukan kesayangan ku iaitu tak lain tak bukan, pasukan KELANTAN FA. Kawan aku ada seko cina kampung nama SWEE. Mak dia berniaga, jadi dia ada sebuah van untuk angkut barang-barang perniagaan. Kalau malam ada lawan bola, SWEE akan offer aku dan kawan-kawan sekampung naik van dia pegi Kota Bharu tengok bola. Sendat satu van kami pegi.Boleh dikatakan setiap kali ada perlawanan di stadium Sulatan Mohd keIV yang melibatkan pasukan Kelantan, aku akan pergi. Memang sudah minat gila dengan bola. Kadang-kadang tu, sorang-sorang pun aku pegi. Tahun 1989 tu zaman keagungan bola sepak Kelantan masa liga Semi Pro. Pada masa tu memang ramai player terkenal sama ada pemain tempatan ataupun pemain import. Salah seorang pemain idola aku ialah Hasyim Mustafa. Beliau memang hebat membuat sepakan gunting untuk menjaringkan gol. Boleh dikatakan hampir setiap game beliau mampu menjaringkan gol dan merangkul pemenang kasut emas tiga tahun berturut-turut ( kalau tak silap aku ). Selain Hasyim, ada lagi player Kelantan yang terkenal seperti Salim Mahmud, Zamri Mat Nor, Zami Mat Nor, Pertahanan kental Zahasmi Ismail. Aku minat keeper Kelantan dulu tu iaitu Wong Kah Choon.Beliau memang tangkas menyelamatkan bola daripada masuk ke dalam gol. Pemain import Kelantan pada masa tu yang menjadi kegilaan ramai penyokong Kelantan ialah Bonphut Praput, Vichet Kongmak dan Marco Karljevic. Boleh dikatakan pada masa tu semua pasukan dari negeri-negeri lain pun turut hebat. Siapa tak kenal Subadron Aziz. Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, A. Arumugam, Serbegeth Singh, Malek Awab, Fandi Ahmad, Yunus Aliff, Mat Zan Mat Arif, Ahmad Yusof, Sapian Wahid, Mazlan Wahid, Rashid Hassan, Matlan Marjan, V Sundram Moorty, K Kanan dan ramai lagi. Boleh dikatakan setiap pasukan negeri mempunyai pemain-pemain yang terkenal termasuk pemain import mereka.


Zaman kehebatan pasukan Kelantan


Zaman Kegemilangan liga Semi-Pro




Idola aku sudah menjadi Lagenda Team Kelantan FA iaitu Hasyim Mustafa
Apabila berlaku musim kesuraman bola sepak Malaysia pada awal 90-an kerana ramai pemain yang terlibat dengan gejala rasuah, minat aku terhadap bola sepak juga turut suram. Pasukan Kelantan juga tidak terkecuali dengan situasi ini menyebabkan kehebatan pasukan Kelantan jatuh merudum. Ada ketika langsung tidak ada penonton yang ingin ke stadium untuk menonton pasukan Kelantan bermain kerana kekalahan demi kekalahan yang dikutip setiap kali perlawanan. Kadang-kadang malu dibuatnya kerana pasukan Kelantan dilebel sebagai pasukan pengganas kerana asyik bergaduh saja setiap kali game.Aku masih ingat masa Kelantan melawan pasukan Negeri Sembilan yang disiarkan secara langsung dalam TV1, Captain pasukan Kelantan iaitu Akmal Ahmad Tabarani dengan tidak semena-mena menyepak kencang perut pemain Negeri Sembilan iaitu K Rajan yang jatuh walaupun tak ada provokasi. Memang ganas pemain-pemain Kelantan pada masa tu.Oleh sebab pasukan Kelantan sudah tidak dapat diselamatkan oleh sebab masalah dalaman maka ramai pemain handalan Kelantan telah berhijrah ke pasukan lain antaranya Fatrulrazi Rozi, Hardi Ahmad dan lain-lain.Selepas itu pasukan Kelantan terus malap sehingga turun ke liga FAM.
Pasukan Kelantan mula hebat semula selepas bertukar pengurusan apabila Tan Sri Anuar Musa mengambil alih teraju pasukan Kelantan FA. Beliau membawa perubahan drastik dengan membawa masuk ramai pemain ternama dan jurulatih terkenal iaitu Sathianathan atau Abe Ya.Kuasa yang diberi kepada Abe Ya untuk membeli pemain menyebabkan berlakunya tranformasi dalam pasukan ini yang menggamit penonton kembali memenuhi stadium seterusnya menjadi fenomena terhadap kemeriahan pasukan bola sepak tempatan secara amnya.


Insan yang bertanggungjawab memulihkan pasukan Kelantan FA seterusnya  menjadi fenomena baru dalam kemeriahan kancah bola sepak tempatan
B Sathianathan diberi tanggungjawab yang besar membuat tranformasi dalam membentuk pasukan baru Kelantan FA
Pasukan mukadimah.. beberapa pemain terkenal berjaya ditarik masuk oleh Abe Ya untuk memantapkan pasukan Kelantan FA
Kembali menarik kehadiran penonton setiap kali perlawanan yang melibatkan pasukan Kelantan  walau di mana vanue  pasukan ini bermain
Di bawah pengurusan Tan Sri Anuar Musa dan bimbingan B. Sathianathan, pasukan Kelantan FA tidak perlu menunggu lama untuk mengorak langkah mengumpul satu trofi demi satu trofi kejayaan. Pasukan Kelantan yang dulu menjadi mangsa belasahan kini menjadi igauan ngeri  kepada team yang bakal berhadapan dengan pasukan ini terutamanya pasukan seteru.Bermula dengan kejayaan menjuarai Piala Presiden, Piala Emas Raja-Raja, Piala Liga Super, Piala Malaysia, Piala Sumbangsih, Piala FA dan kini sedang memburu satu lagi Piala Malaysia untuk mencipta sejarah baru dalam kancah bola sepak Kelantan iaitu mendapat Treble piala dalam satu musim di samping layak ke peringkat suku akhir dalam Piala AFC.

Walau bagaimanapun, untuk mencipta sejarah baru bukan suatu perkara yang mudah kerana apa yang aku perhatikan dalam dua tiga game yang terakhir ni, permainan pasukan Kelantan tidak menampakkan keyakinan untuk menjuarai perebutan Piala Malaysia pada tahun ini. Entah apa yang tidak kena seolah-olah ada krisis dalaman dalam pasukan. Semangat pemain-pemain kurang bermaya untuk merapas kembali Piala Malaysia seterusnya mencapai sasaran treble pada tahun ini. Kalau melihat kepada perlawanan Kelantan bertemu Felda United pada pusingan kedua peringkat suku akhir, pasukan Kelantan hampir-hampir tumbang. Pemain-pemain bermain sambil lewa. Membuat hantaran yang tidak tepat. Banyak kehilangan bola. Selalu tinggal posisi. Bahagian tengah, kiri kanan semuanya mati. Penyerang tak dapat bola. Player lebih banyak mengejar bola daripada mendapat bola. Sangat kurang mengancam pintu gol pihak lawan. Nasib baik ada Mohd Ghadar yang menyelamatkan keadaan di saat-saat akhir masa perlawanan. Sebelum ni pun game yang ditunjukkan oleh Pasukan Kelantan amat membosankan. Tidak pantas seperti kebiasaan.Mungkin silap percaturan yang dibuat oleh Bojan Hodak atau mungkin kecewa sebab dimalukan oleh pasukan dari kelab Iraq pada pertemuan pertama suku akhir Piala AFC atau terlalu yakin untuk menang. Apapun, tahniah kepada pasukan Kelantan kerana berjaya menjejakkan kaki ke perlawanan separuh akhir piala Malaysia bagi tahun 2012. Perjuangan belum berakhir,  teruskan perjuangan anda dan tunaikan janji kalian untuk bermain bermati-matian bagi menentang salah satu seteru bagi pasukan kita iaitu pasukan Selangor. GOMO KLATE GOMO.

7 Oktober 2012
Sambung sikit lagi.. Alhamdulillah, perlawanan pertama separuh akhir antara Kelantan bertemu Selangor berjalan dengan lancar. Malam tadi aku pergi layan bola kat skrin besar Karangkraf bersama dengan beberapa ribu orang penyokong tegar pasukan The Red Warrior. Bagi pendapat aku, Kelantan telah menunjukkan prestasi sebenar mereka semasa melawan pasukan musuh tradisi mereka dari pantai barat. Sebelum ini sekiranya kita lihat Kelantan bermain hambar, tapi malam tadi Kelantan bermain pantas mengikut rentak permainan agresif pasukan Selangor pada awalnya. Banyak gerakan-gerakan bahaya melalui hantaran panjang dan pendek telah memerangkap pertahanan pasukan selangor. Sekiranya tidak kerana kecekapan penjaga gol  Selangor menyelamatkan beberapa percubaan bahaya, sudah tentu Kelantan selesa membawa bekalan ke Selangor dengan jumlah jaringan yang besar tetapi nasib tidak menyebelahi mereka menyebabkan sekadar berpuas hati dengan satu gol yang disumbangkan oleh Mohd Farhan. Walau bagaimanapun, perlawanan malam tadi memang terhibur. Jeneral di bahagian tengah yang dicatur oleh Indra dan Shakir Saari berjaya melorongkan bola cantik kepada penyerang menyebabkan beberapa cubaan bahaya dapat dibuat. Ketiadaan Badri Radzi telah memberi peluang dan ruang kepada Indera Putra untuk bergerak bebas di bahagian tengah bagi mengucar-kacirkan pasukan pertahanan lawan. Jaringan gol pendahuluan pada minit-minit awal separuh masa kedua telah membuatkan pasukan Selangor mula tertekan. Hasilnya, mereka bermain kelam-kabut dan agresif serta melakukan beberapa kekasaran yang mengundang padah apabila salah seorang pemain mereka dilayangkan kad merah oleh pengadil. Dengan kelebihan seorang pemain, Kelantan terus menggandakan asakan namun tidak menepati sasaran.
Bagi pendapat aku, kelebihan satu gol memang bukan satu bekalan yang selesa buat pasukan kelantan untuk dibawa ke Shah Alam jumaat ni tetapi harus diingat, Stadium Shah Alam bukanlah stadium 'PUAKA' untuk pasukan Kelantan kerana sejarah telah membuktikan bahawa sudah acapkali Selangor tersungkur di kaki pasukan Kelantan dengan jumlah jaringan yang besar di stadium ini. Harap-harap jumaat ni sekali lagi Selangor terduduk hampa di tempat sendiri dikerjakan oleh pasukan Kelantan sebagai hadiah kepada penyokong-penyokong mereka yang sememangnya meninggalkan dendam terhadap penyokong pasukan Selangor atas sebab-sebab yang berlaku dua tahun lepas. SELAMAT BERJUANG WIRA MERAH. KAMI AKAN KE SANA JUMAAT NI WALAU APA YANG BERLAKU. ( entri ni akan disambung lagi minggu depan selepas balik daripada menonton perlawanan suku akhir kedua )

 12 Oktober 2012
Seperti yang aku janjikan, aku akan sambung entri ini sebaik aku balik daripada menonton perlawanan separuh akhir pusingan kedua di Stadium Shah Alam. Tepat sekali telahanku bahawa stadium Shah Alam bukan 'PUAKA' untuk pasukan Kelantan. Hari ini menjadi saksi di hadapan puluhan ribu penonton kedua-dua pasukan bahawa misi 33 Selangor sekadar angan-angan yang tak mampu diterjemahkan. Misi ini sekadar penyedap hati sedangkan kemampuan sebenar jauh daripada jangkauan sebaliknya misi TREBLE Kelantan yang semakin hampir dalam gengaman. Walau bagaimanapun, pasukan Kelantan tidak harus merasa sebelah tangan sudah mengengam erat telinga piala Malaysia kerana Hai O yang lebih berPUAKA. Mana tidaknya, di dalam pasukan mana dia berada, di situlah kejuaraan buat diri dan pasukannya. Seolah-olah tuah sentiasa berdampingan dengannya. Kalu tak ada tuah, mana mungkin ATM boleh menang dengan Twelth Lions dalam beza antara masa hanya beberapa saat saja. 
Berbalik kepada cerita Kelantan menewaskan Selangor malam ini, aku nak beri sedikit ulasan pribadi sepanjang 93 minit aku menonton perlawanan yang begitu menghiburkan ini. Ye lah.. mana tak terhibur, pasukan yang disokong menang. Pada awal-awal permainan kedua-dua pasukan mula menunjukkan kegarangan masing-masing namun selang 15 minit kemudian, game kedua-dua pasukan semakin perlahan dan membosankan. Bola asyik berlegar di bahagian tengah dan tepi tanpa ada cubaan-cubaan bahaya. Kedua-dua pasukan bermain dengan berhati-hati. Namun begitu pasukan Kelantan terlebih dahulu mengancam pasukan Selangor dengan cubaan pertama pada minit ke 16 namun oleh sebab ketamakan yang ditunjukkan oleh Mohd Ghadar menafikan jaringan awal untuk pasukan Kelantan. Pasukan Selangor pula berpeluang untuk menjaringkan gol pada minit yang ke-22 malangnya sepakan kencang Amri Yahyah tertampan pertahanan Kelantan yang menyebabkan bola terbias tetapi mujur Khairul Fahmi mampu menyelamat keadaan. Nasib baik juga tampanan kurang kemas Khairul Fahmi gagal disudahkan oleh Solihin yang sedikit terlewat menghulurkan kaki. Masuk separuh masa kedua, Kelantan mula mengatur gerak dengan melakukan beberapa cubaan bahaya tetapi dinafikan oleh kecekapan penjaga gol Selangor. Gol pertama menyusul hasil tindakan bijak penyerang import Kelantan yang seolah-olah nampak selfish tetapi nasib baik mampu menghasilkan gol. Kalau bola tersebut tidak menerjah jaring sudah tentu Mohd Ghadar menjadi bahan ejekan penyokong Kelantan dalam laman sosial.Gol pertama Kelantan terus melemahkan semangat pasukan Selangor kerana mereka tahu amat sukar untuk mendapatkan 3 gol bagi memenuhi impian mengunung mereka. Moral pemain Selangor semakin down apabila pemain import mereka pula telah dibuang padang. Kesempatan ini telah diambil oleh pemain-pemain Kelantan untuk menggandakan asakan ke arah pintu gol Selangor. Hasilnya, satu sepakan percuma telah diberikan pengadil yang mana pemain tengah terkenal pasukan Kelantan iaitu Piya yang masuk sebagai pemain gantian berjaya menambahkan jaringan melalui sepakan lencong cantik yang terus menerjah jaring seterusnya mematikan terus sisa-sisa perjuangan pasukan Selangor.Penyokong-penyokong Selangor sudah mula angkat punggung meninggalkan stadium yang tidak memberi apa-apa kelebihan kepada pasukan mereka. Kini mereka perlu akui bahawa WIRA sejati stadium keramat Shah Alam adalah THE RED WARRIOR. Tertutup mulut Irfan Bakti yang sebelum ini begitu bangga dan gah pasukan bimbingannya dapat menewaskan Kelantan sebanyak dua kali yang mana kedua-duanya itu berlaku di Stadium Bukit Jalil iaitu stadium yang banyak meninggalkan sejarah hitam buat pemain dan penyokong pasukan Kelantan.Stadium yang aku tidak suka. Okeylah.. sebagai penutup aku ucapkan TAHNIAH kepada pasukan Kelantan, juga tahniah dan terima kasih kepada penyokong-penyokong pasukan The Red Warrior kerana berani dan     
setia bersama pasukan kesayangan khususnya penyokong yang datang dari Kelantan kemudian terus balik bila habis game. Perghhh... hebat penyokong Kelantan. Sep kito jange pecoh. Jumpa lagi di FINAL PIALA MALAYSIA di stadium keramat buat pasukan kita iaitu stadium Shah Alam hujung bulan nanti. TAMMAT.. ( Laporan untuk final aku akan buat dalam satu entri khas )
Dalam perjalan keluar dari stadium, aku bertemu dengan beberapa orang kawan lama yang datang dari Kelantan semata-mata untuk menyokong pasukan kesayangan mereka. Salah seorangnya adalah TESL iaitu housemate masa belajar kat UPM dulu tapi tak boleh nak bersembang lama sebab masing-masing datang tumpang kawan. Balik dari stadium, aku singgah kat kedai nasi lemak opah di Taipan. Semasa aku berjalan melewati meja satu kelompok penyokong Selangor, mereka mengur aku " tahniah Awe, pasukan demo meme hebat". Begitulah cara kita menghormati orang. Bukan mengutuk atau provote untuk menimbulkan perasaan tak puas hati seterusnya boleh mencetuskan pergaduhan. Yang kalah cuba lagi, yang menang teruskan saingan. Di Kota Bharu penyokong Kelantan dan penyokong Selangor dok sekali tak ada masalahpun.  




No comments:

Post a Comment