Monday, 8 October 2012

KADAR PENGANGGURAN DAN PELUANG PEKERJAAN

Assalamualaikum... kalau entri minggu lepas aku perihal tentang masalah muda-mudi nak memiliki rumah, pada entri kali ini pula aku nak bincang tentang masalah pengagguran dan peluang pekerjaan di Malaysia. Bunyi tajuk macam soalan BM kertas satu SPM je.. tapi ini perbincangan santai separa akademik mengikut pandangan peribadi aku sendiri.
Dalam aku belek-belek akhbar Harian Metro tadi, aku terpandang jawapan luahan hati seorang pencari kerja yang kecewa kerana tidak berjaya dalam temuduga untuk menceburi bidang kerja yang diminati dalam sektor awam. Luahan mamat ni aku dah baca dalam Metro 1 Oktober dulu. Hari ni pagawai dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sendiri yang jawab dan beri penjelasan. Memang la kecewa kalau apa yang kita nak tak dapat tapi kita kena ingat, yang hadir temuduga bukan kita seorang, malahan berpuluh ribu orang yang turut memohon sedangkan kekosongan yang hendak diisi tidak sampai seratus.Maknanya kita kena bersaing. Siapa yang paling layak selepas tapisan ketat yang dibuat maka memang hak dialah. Pegawai tu cakap, jawatan tu dipohon oleh 24,420 untuk merebut jawatan Pembantu Perikanan Gred G17 sedangkan kekosongan cuma 107 saja yang nak diisi. Perghhh... hebat sungguh saingan. Kabel yang nak kena pakai bukan sebarang kabel ni.
Senario macam ni memang biasa berlaku dalam mana-mana jawatan dalam sektor awam. Nak jadi konstabel polis pun sama juga. Yang nak pakai cuma 1,500 orang tetapi jumlah yang memohon lebih 60,000 orang. Selepas melakukan beberapa saringan yang ketat, bermakna 45,000 orang akan kecewa. Di negara kita, yang biasa ada kekosongan dalam sektor awam adalah jawatan guru dan doktor, tapi itu cuma retorik saja. Realitinya, nak memohon untuk jadi guru pun memerlukan saringan yang ketat. Berapa ramai graduan di luar sana yang menanti peluang untuk menceburi bidang kerja ini tapi tak berpeluang. Yang dah ada diploma pendidikan dan ijazah dalam bidang pendidikan pun masih ramai yang belum ada penempatan dan masih manganggur, apa lagi untuk membuka pengambilan baru. Kerajaan pun tak mahu pening kepala membuka peluang pekerjaan yang tak ada tempat untuk diisi.
Ada seorang anak murid aku yang sangat malas belajar. Bila aku tanya kenapa liat sangat nak hantar buku latihan, selamber je dia jawab " alah cikgu, saya bukannya nak jadi Menteri atau engineer, saya nak jadi CIKGU jee". Chewahhh, sedap jawapan dia. Macam jawatan cikgu ni tak ada nilai. Tak dapat belajar tinggi-tinggi boleh mohon jadi cikgu sedangkan dia tak tahu bahawa yang jadi cikgu tu lepasan luar negara pun ada. Yang ambik course power-power masa kat universiti dulu berakhir dengan cikgu juga selepas mengikuti KPLI. Dia ingat nak jadi cikgu macam budak tingkatan 3 nak naik tingkatan 4. Gagal semua subjek dalam PMR pun layak automatik naik ke tingkatan 4 dan seterusnya menduduki peperiksaan SPM. Dia tak sedar suatu ketika dulu 70,000 borang KPLI Sold Out sekelip mata sebab ramai sangat graduan  yang tak tahu ke mana-mana semuanya pakat nak jadi cikgu sebab hanya ini saja peluang yang ada untuk bekerja dalam sektor awam. Yang mohon 70,000 tapi yang nak diterima mengikuti kursus ni cuma 1,200 orang di seluruh negara. 70,000 tu yang dah ada ijazah, bukannya lepasan SPM. Sekarang ni lagi tenat sebab KPLI juga sudah dibekukan.
Ada seorang lagi bekas anak murid aku yang lagi sengal. Masa jumpa dengan aku kat tempat kenduri kahwin rakan dia (juga anak murid aku ), dia tanya aku " cikgu, tak de ke kat sekolah kita yang nak pakai guru? kalau ada kekosongan saya nak mohon. Dah lama saya tak buat apa ni cikgu. Bosan dah kat rumah kena berleter kat bapak. Kalau ada bagitahu ye cikgu.. toloooonggglah cikgu" Aku jawab.. "Awak pegi laa jumpa pengetua, kot-kot ada rezeki, awak boleh dapat". Dalam hati tergelak aku, rupanya ada jugak anak murid aku yang memang sengal. Dia ingat jadi cikgu seperti mintak jadi cashier kat pasar raya Mydin. Ada kekosongan terus masuk. Sebenarnya nak salahkan budak tu tak boleh juga sebab banyak benda yang dia tak tahu, maklumlah... dalam seminggu cuma dua tiga hari datang sekolah. Dahlah datang sekolah jarang-jarang, tak pernah masuk kelas pulak. Manjang dok merayau tawaf bangunan sekolah. Lebih banyak ada kat kantin daripada berada di dalam kelas.Sebulan dua kali ibu bapa datang untuk selesaikan masalah disiplin. 
Nilah realiti sebenar peluang pekerjaan dalam sektor awam di negara kita. Setiap tahun mahasiswa yang bergraduan berpuluh ribu orang tetapi peluang pekerjaan cukup ciput. Lambakan tenaga kerja ni menyebabkan kadar pengangguran di negara kita semakin meningkat saban tahun. Budak-budak muda sekarang masih tak sedar betapa sukarnya persaingan masa kini. Semuanya nak kena bersaing. Bagi yang ibu bapa ada syarikat tak kisah, sebab boleh ambil alih mengurus syarikat bapak dia atau harta bapa dia tak habis nak makan sampai ke tua. Tapi bagi yang miskin terutamanya anak petani dan peneroka, situasi ini amat memeritkan. Ibu bapa terpaksa menanggung anak yang sudah dewasa bertahun-tahun. Budak-budak sekarang pulak pelik sikit, asyik duk tunggu kerja yang dipohon, sedangkan banyak lagi kerja lain yang boleh dibuat untuk sementara tapi malu, segan, malas, tunggu dulu, apa kelas.. dan sebagainya yang mebuatkan mereka lebih selesa dok tidur bangun kat rumah menunggu buah yang tak jatuh.Sedangkan peluang pekerjaan yang ada disambar oleh orang asing yang hidup di negara kita bagai di syurga. Cuba kita tengok, ke mana-mana kita pergi akan jumpa rakyat asing yang mengisi kekosongan ruang pekerjaan di negara kita. Kalau dulu, hanya sektor pembinaan saja dimanopoli oleh majoriti pendatang dari Indonesia. Tapi sekarang warga Myanmar, Bangladesh, Nepal, Pakistan, India, China, Nigeria, Iran, dan seluruh dunia memonopoli sebarang pekerjaan yang ada di negara kita seperti perladangan, perkilangan, pasar raya, pembantu kedai, jadi sekuriti guard, tukang kebun sekolah, kerja kat kantin sekolah, berniaga, pemotong rumput, pekebun sayur, tukang sapu di hospital, tukang sapu dan tukang kebun di Ibu Pejabat Polis dan di mana-mana saja tentu ada warga asing yang bekerja. Rakyat kita di mana??? atas katil sedang tidur. Pukul 12 tengah hari tak bangun tidur lagi. Bangun tidur terus salahkan kerajaan." anak kera di hutan di susukan, anak sendiri mati kelaparan ".
20 tahun lepas memang susah nak tengok rakyat asing yang kerja seperti aku sebutkan di atas kecuali kerja buruh binaan di tapak-tapak pembinaan yang dimonopoli oleh buruh dari Indonesia. Awal tahun 90-an dulu aku pernah kerja cuci tandas kat Bangunan Mas Jalan Sultan Ismail Kuala Lumpur. Semua rakan sekerja ku yang lain rakyat Malaysia. Aku dulu pernah jadi tukang kebun kat Saujana Impian Golf, Kajang. Semua rakan sekerja aku ialah rakyat Malaysia. Aku dulu pernah bekerja di kilang buat tilam Aerofoam kat Batu Caves. Semua rakan sekerja aku rakyat Malaysia. Aku dulu pernah bekerja di Kilang perabot juga kat Batu Caves, Jadi konduktor bas mini sambilan, kerja cuci kapal terbang kat Subang Aiport, Kerja attendant snooker kat Marcopolo snooker Jalan Raja Chulan, kerja di kantin makan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, kerja kat kilang Malaysia Mosaic Air Hitam, Johor. Akhir sekali aku kerja kat kilang buat bearing komputer di NSK, Balakong sebelum aku sambung belajar kemudian jadi cikgu. Semuanya rakan sekerja aku rakyat Malaysia yang memegang IC warna biru.
Oleh sebab rakyat kita yang suka menganggur, telah memberi ruang dan peluang kepada rakyat asing terus-terusan datang memenuhi ruang di negara kita. Mereka balik seorang, kemudian datang bawa lagi sepuluh orang. Kemudian balik pula dua orang, bawa datang lagi dua puluh orang, semua dibawa datang, anak buah, pak penakang, mak saudara, kawan-kawan dan jiran-jiran bekerja di sini. Akibatnya, negara kita lagi realiti SATU MALAYSIA. Masalah sosial dan jenayah pun bertambah-tambah. ( aku akan bincangkan peningkatan kadar jenayah di Malaysia dalam entri yang seterusnya selepas ini. ) sampai sini dulu untuk kali ini. Semoga ada sedikit kesedaran dan manfaat kepada pembaca. Sekian Terima Kasih. 



Data ni setakat pertengahan 2011. Sehingga sekarang tentu lebih lagi
   

No comments:

Post a Comment