Thursday 5 October 2023

HIJRAH TEMPAT KERJA

  

Assalamualaikum.. entri ini sepatutnya amat penting tetapi tetap ku abaikan.. tak tau kenapa aku biarkan entri sebegini penting tergantung. Kalau dulu, setiap kali ada bahan nak share, aku terus mengarang. Kekadang petang tu baru balik aktiviti outdoor, malam tu entri tentang aktiviti aku sudah ready dan dah boleh baca oleh penggemar-penggemar blog aku.

Aku akan ceritakan peristiwa yang penting ini secara kronologi..

 13 FEBRUARI 2023

Pagi hari ni aku menerima panggilan telefon daripada pegawai di PPD yang mengarahkan aku ke Pejabat Pelajaran Daerah untuk menerima surat perpindahan pada pukul 2.00 petang. Memang sudah ku duga bahawa rumors-rumors yang mengatakan aku bakal dipindahkan akhirnya menjadi kenyataan. Sedih dan gembira bercampur baur. Sedih kerana terpaksa meninggalkan satu tempat yang aku dambakan sepenuh jiwa ragaku sepanjang perkhidmatanku selama lebih 22 tahun. Aku setia di sini iaitu di SMK Seafield sejak aku mula posting selepas tamat kursus KPLI di Institut Bahasa Melayu Malaysia ( IBMM ) Kuala Lumpur pada 2 Januari 2001. Aku tidak pernah mintak pindah sekolah walau jarak antara tempat aku bekerja dengan rumah agak jauh dan terpaksa melalui kesesakan lalu lintas setiap hari. Ake selesa di Seafield.. budak-budak bagus, kawan-kawan baik semuanya.. tak berkira pasal kerja dan yang penting aku OTAI di Seafield.. Takde sape yang pedulikan aku apa yang aku nak buat. Namun begitu, kita kena akur dengan hakikat, 'pokok yang besar bisa tumbang ditiup angin kencang, batu yang kuat bisa pecah kalau diketuk' inikan pula aku yang kerja mengikut arahan pihak atasan. 



Sebenarnya perkara ni berlaku sebab Allah yang aturkan. Entah kenapa satu hari tu hati aku tergerak untuk isi borang kenaikan pangkat menjadi Guru Kanan Mata Pelajaran ( GKMP ) kerana mengikut hiraki kenaikan pangkat, kita perlu melalui proses itu dulu untuk mencapai cita-cita menjadi pentadbir di sekolah sama ada menjadi penolong kanan Kokurikulum, atau Pen Kanan HEM, atau Penolong Kanan Pentadbiran atau lebih jauh lagi menjadi Pengetua sekolah. Sekarang.. sesiapa yang hendak dilantik sebagai pentadbir, perlu berada di kerusi GKMP dahulu, barulah beransur-ansur menyusur naik ke stage yang seterusnya mengikut hiraki. 

Persoalannya, aku nak ke jadi pentadbir???

Pada awalnya memang tidak ada sedikitpun dalam kamus hidup untuk aku jadi pentadbir, bahkan tak minat langsung. Aku memang nak bersara sebagai guru biasa di sekolah pertama aku di tempatkan. ibarat kata yang pertama dan yang terakhir. Namun sebab kecewa dengan markah prestasi yang diberi oleh malaun mana.. aku jadi frust. Bila aku selidik, masing2 tak nak ngaku.. ada yang kata itu biasa memandangkan kerja cikgu tak dinilai sebab PKP. Masalahnya, kenapa markah prestasi cikgu-cikgu lain tidak sama walaupun sama tak hadir sekolah sebab PKP???

Dengan rasa kecewa aku isi juga borang GKMP walau berat hati. Borang yang siap diisi, aku tak pantas serah sebab hati aku masih begitu berat nak tinggalkan sekolah ini.. walau aku tak serius mintak dan macam nak test market, tapi aku bimbang aku dapat tawaran selepas dipanggil temuduga.

Pikir punya pikir.. aku mengalah, hari terakhir tarikh serahan borang permohonan, baru aku serah kepada kerani sekolah aku untuk diserahkan kepada pihak yang berkenaan di PPD. Tidak lama kemudian aku dipanggil temuduga. Aku pun malas sebenarnya nak hadiri temuduga tu.. apa benda pun aku tak buat persediaan.. tak baca apa-apa. Aku tak kisah pun sama ada dapat atau tidak. Aku pergi hadiri temuduga dengan pengentahuan sedia ada dan banyak bergantung pada NASIB. Banyak soalan penemuduga aku tak mampu jawab. Aku tak harap pun aku berjaya. Aku mohon jawatan ini atas dasar emosi.. bukan kehendak atau minat. 

Kita merancang.. Allah juga merancang.. sesungguhnya perpindahanku ini perancangan Allah yang terbaik. Maka 13 Februari terjawap sudah persoalan aku apabila dengan rasminya aku dilantik sebagai GKMP Bidang Bahasa di SMK Puchong Utama 1. Sekolah yang tidak jauh dari rumah aku berkuatkuasa serta merta.




14 FEBRUARI 2023

Hari ini dalam sejarah baharu.. buka kamus hidup di tempat kerja baru.. Selepas balik dari sekolah, aku bergegas ke Sekolah baharu ku untuk lapor diri. Aku bawa bersama surat penangguhan kerja. Oleh sebab pengetua tiada, aku disambut dengan riang oleh Penolong Kanan HEM SMK Puchong Utama 1 iaitu Puan Norhajar Mastura. Beliau mengarahkan agar aku menulis nama ke dalam buku kehadiran guru baharu sebagai tanda aku sudah melaporkan diri untuk bertugas seperti mana tarikhnya tertera dalam surat penempatan.



Selepas diberi sedikit taklimat dan diperkenalkan aku dengan kerani-kerani pejabat, aku mohon izin untuik pulang. Di luar pejabat, secara kebetulan aku terserempak dengan dua orang sahabat lama dari sekolah yang sama dulu iaitu Puan Norlida dan Ustazah Bushra. Beliau amat mengalu-alaukan kehadiranku bertugas kat situ. Mereka berdua sudah cikgu otai di SMK PU 1.



15 FEBRUARI 2023

Berita perpindahanku cepat tersebar walaupun aku sedaya upaya cuba untuk merahsiakannya. Biasalaa.. mulut tempayan mana bisa ditutup dengan tapak tangan, apatah lagi mulut orang' hahaha

Sisa-sisa masa aku berada di sekolah lama memberi peluang anak-anak murid dari kelas yang aku ajar untuk beramah mesra dan bergambar sebagai kenang-kenangan terakhir. Aku yang sejak asali mesra, melayan karenah anak-anak murid dengan baik. Ikut jer kehendak mereka. Rasa sayang pula rasanya nak tinggalkan anak-anak murid yang comel-comel dan pandai-pandai serta baik. Tapi apakan daya.. ' hidup ini tidak boleh menjadi seperti pokok kayu, walaupun hidup tapi ianya tidak bergerak'. Kita sebagai manusia, perlu bergerak untuk berubah.. mungkin kita mendapat sesuatu yang lebih baik selepas bergerak.

Guru Kelas terakhir di SMK Seafield










16 FEBRUARI 2023

Tarikh keramat ini merupakan hari terakhir aku berada di sekolah yang 22 tahun aku dambakan diri. Sesampainya aku di sekolah pada pagi tu.. longlai rasanya kaki hendak melangkah menyusuri anak tangga naik ke bilik ku di hujung blok A atas tandas guru. Sayang nak tinggalkan sekolah yang memberi seribu satu kenangan manis dan amat kurang menimba kenangan pahit. Sempena hari terakhirku di sekolah ini, Kelab Guru dan kawan-kawan adakan sedikit jamuan ringkas tapi amat besar ertinya kepada aku. Makanan yang disumbang secara potluck oleh kawan-kawan lebih daripada mencukupi dan aneka makanan dan kuih muih ada. Sumbangan hadiah-hadiah turut diberikan sebagai tanda kenang-kenangan. 

Hari terakhir di sekolah yang 22 tahun ku dambakan diri

Kek Sumbangan Kelab Guru

 20 FEBRUARI 2023 

Hari ini merupakan hari cuti sekolah, tetapi aku sebagai pentadbir harus bertugas di sekolah. Hari ini merupakan hari pertama aku bertugas di sekolah baharu. Penangguhan yang aku mohon cuma dapat seminggu sahaja. Sebelum berangkat untuk bertugas di sekolah pada pukul 2 petang, anak-anak raikan aku. Kebetulan semua anak ada kat rumah. 

Sebelum pergi bertugas buat kali pertama di SMK Puchong Utama 1 pada pukul 2 petang.. anak-anak sediakan makanan dan lunch bersama-sama abah dia

Nak masuk bilik kena buka kasut.. kasut buruk jer.. bukan tak mampu beli baru tapi susah nak cari yang kena dengan jiwa.

Bilik GKMP.. masih belum ada nama aku

Tunggu jer dalam bilik.. kot-kot ada hal yang pentadbir nak kena settle


Aku balik kerja pukul 6.00 petang kerana aku terpaksa kunci pejabat. Kebetulan sekolah baru aku ada bilik kebal.. jadi aku kena tunggu kunci bilik kebal masuk ke bilik pengetua dulu barulah aku boleh pulang.


24 FEBRUARI 2023 ( Jumaat )

Hari ni baharu bermula cuti sekolah. Sekali lagi jamuan keraian untukku diadakan. Tapi kali ni diadakan di rumah aku sendiri. Semua perbelanjaan untuk jamuan ini ditanggung oleh seseorang. Mungkin aku cikgu yang agak rapat dan baik dengan kakak2 masa di sekolah lama dulu, maka mereka raikan aku. Mereka tidak lupakan aku walau mereka telah lama bersara. Ramai datin yang hadir kerana suami cikgu-cikgu sekolah aku dulu kebanyakkanya orang yang berjawatan tinggi. Datin Hasiah, Datin Rahizam, Datin Ruzana dan Datin Zaini semuanya hadir. Terharu juga aku dengan layanan dan ingatan mereka terhadap aku. Sahabat-sahabat lama turut hadir bersilih ganti. 



Terima kasih sahabat-sahabat.. datang semata-mata untuk meraikan kenaikan pangkat aku

Sahabat lama yang telah lama terpisah.. turut datang

En Ab Rahim.. pegawai di PPD juga turut hadir




2 MARCH 2023

Hari ini merupakan hari kedua aku di arah datang bertugas untuk jaga pejabat. Haaa.. sekarang nama dan jawatan serta cop jawatan aku sudahpun siap.. jadi secara rasminya aku sudah sah menjadi sebahagian daripada pentadbir di sekolah baharuku. Cop dan tandatangan aku juga sudah laku untuk beberapa urusan termasuk mengesahkan sijil dan dokumen.

Nama dan Jawatan aku megah berada di atas meja aku

Nama aku juga sudah terpapar di muka pintu bilik GKMP

Cop dan Tandatangan aku sudah laku untuk tujuan tertentu

Secara rasmi aku sudah menjadi sebahagian daripada pentadbir di SMK Puchong Utama 1


Secara jujurnya.. aku rasa gembira berada di sekolah baharu kerana aku beruntung mendapat rakan-rakan pentadbir yang cukup baik dan mesra terutamanya Pengetua dan Penolong Kanan Pentadbiran. Amalan bekerja dalam satu keluarga amat cocok dengan jiwa aku. Kami cukup mesra dan santai. Segala keputusan dipersetujui bersama dalam mesyuarat. Aku sebagai orang baru dan belum ada pengalaman mengurus, diberi tunjuk ajar oleh semua rakan pentadbir. Aku cukup bernasib baik di tempatkan di sekolah yang semua pentadbirnya baik. 

Hari pertama mesyuarat guru sebelum sesi persekolahan bermula, aku diberi tanggungjawab untuk mempengerusikan majlis. Tugas ini belum pernah aku lakukan di sekolah lama. Tapi tidak menjadi masalah buatku kerana kemahiran bercakap ni memang sedia ada dalam diri seorang guru.

Sebagai pentadbir, aku diberi masa cuma 18 waktu mengajar sahaja seminggu berbanding dengan menjadi guru biasa di sekolah lama iaitu 30 waktu seminggu tidak termasuk waktu rilif. Aku ditugaskan mengajar 2 kelas tingkatan 3 dan satu kelas tingkatan 4. Jumlah murid di sekolah ni cukup ramai iaitu dekat tiga ribu orang murid. setiap tingkatan ada 15 kelas. Purata murid dalam setiap kelas lebih kurang 38-40 orang murid. Memang cukup ramai berbanding dengan murid di SMK Seafield yang rata-ratanya ada lebih kurang 24-34 orang murid sahaja setiap kelas.

7 APRIL 2023 ( JUMAAT )

Hari ini merupakan hari jumaat pertama aku bertugas di sekolah ini. Lihatlah pakaianku.. sudah 360 darjah berubah. Kalau sebelum ni biasa dengan t'shirt sukan masa di sekolah lama hampir sepanjang satu minggu.. kat sekolah baru aku dah kena tukar karekter dan cara pemakaian. Mesti ikut piawaian sebagai seorang pentadbir. Lagipun kat sini aku dah tak ajar subjek PJK.. jadi tak ada alasan kenapa aku tak perlu berpakaian rasmi.

Macam pegawai di Jabatan Agama

Ada talent jadi YB

Setiap kali perhimpunan, pentadbir kena duk kat atas pentas. Sebelum ni kat bawah jer.. kerap kali juga ponteng perhimpunan masa jadi guru biasa dulu. Sekarang dah tak boleh ponteng perhimpunan lagi dah.. hahaha



4 MEI 2023

Tahun ni merupakan tahun pertama aku raya dengan murid-murid dari sekolah baharu. Kebetulan aku masuk sekejap, puasa dah bermula. Masa balik mengajar lepas cuti raya, ramai murid aku tanya aku sama ada buat atau tidak rumah terbuka.. Biasanya masa kat sekolah lama, tak ada budak tanya pun. Aku tanya budak, kalau aku buat open house, mereka nak pergi ke? ramai yang berminat nak pergi. Aku pun cubalah ajak-ajak ayam. Ingatkan mereka cuma bergurau, rupa-rupanya datang betul-betul. Sib baik tak ramai yang datang.. tapi ada laa..  


Baik-baik anak-anak murid cikgu Yusdin.. sambil datang raya, terus solat berjemaah bila masuk waktu. ABC.. Anak Baik lagi Cerdik.

Sempat bergambar kenangan dengan sebahagian murid yang masih belum pulang


16 MEI 2023

Hari ini merupakan sambutan hari guru peringkat sekolah dan juga dibuat serentak dengan sambutan hari raya peringkat sekolah. Pagi ni aku ditugaskan untuk membaca perutusan Hari Guru daripada Menteri Pelajaran. Selepas sambutan hari guru, kami para pentadbir berkunjung dari satu kelas ke satu kelas untuk beraya bersama murid-murid. Semua murid membawa makanan mengikut kelas masing. Mereka diberi markah decoration kelas mengikut tema, makanan, sambutan, dan kreativiti. Hari ni juga kami mendapat perkhabaran bahawa salah seorang rakan pentadbir iaitu Penolong Kanan Pentadbiran En Aamanu telah dinaikkan pangkat menjadi pengetua di SMK Kelana Jaya. Jadi aku sudah kehilangan seorang sahabat yang sangat baik

Rakan-rakan pentadbir dan YDP Pibg meraikan kenaikan pangkat dan perpindahan En Aamanu ke sekolah baharu.

Sambutan hari raya.. segak berbaju Melayu merah hahaha

Sempena sambutan hari Raya anjuran PPKI, Pengetua mengumumkan berita sedih bahawa dia bakal berpindah ke SMK Bandar Baru Salak Tinggi.. Gugur seorang lagi rakan pentadbir utama juga sahabat baru ku.. huhuhu

Dalam jangka masa terdekat, 2 orang rakan pentadbir sekaligus telah keluar. sedih tu memang sedih laa.. tapi ketentuan Allah memang begitu. Berkenal dan berpisah itu memang lumrah.. muram dan suram sikit rasa bila dua sahabat ni telah berpindah. Semoga yang datang selepas ini baik seperti mereka berdua. 

20 MAY 2023

Hari ini diadakan sesi keraian berupa Hi-Tea sempena kenaikan pangkat En Aamanu dan perpindahan Pn Pengetua ke sekolah baharu bertempat di Hotel IOI Putrajaya. Tahniah kepada mereka berdua. Perpindahan mereka sangat terasa kehilangannya dan seri berada di SMK PU1 ( 1St PumaSes ) semakin pudar.

Sesi beramah mesra.. seronok jumpa kembali walau baru dua minggu berpisah










SELAMAT MAJU JAYA DI TEMPAT BAHARU SAHABAT.. SEMOGA SUKSES



Sampai sini dululah kisah perpindahanku.. doakan semoga aku terus gembira di sini dan cepat naik pangkat ke beberapa tahap lagi sehingga aku bersara LIMA tahun akan datang. Alang-alang aku dah nekad nak tinggalkan ZON SELESA aku di Seafield, bairlah aku terus membawa diri dan terus maju ke depan. Dah tak sayang dah nak tinggal mana-mana sekolah lagi. dah tak ada lagi zon selesa buatku.. dah tak ada lagi gelaran OTAI untukku. 

SEKIAN.. 

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA CERITAKU SEHINGGA KE AKHIRNYA.

Thursday 14 September 2023

XPDC MENGUTIP GELAMA DI PERAIRAN PULAU ANGSA 2.0

 Assalamualaikummm.. 

Bersiaran lagi kita dalam arena aktiviti outdoor.. kali ni Abe Matdin nk cerita pasal XPDC memancing buat kali kedua di perairan pulau Angsa. Sebab apa Abe Matdin nak pergi lagi mancing di perairan ni??

Kisahnya begini, hari tu ada sahabat abe Matdin bagi ikan gelamo bekok ko Abe Matdin. Banyok jugok laa dia bagi. Abe Matdin tanyo, stok ike gelamo mari dwano? dio oyak gi pancing di perairan Pulau Angsa.. dia oyak hasilnya buleh penuh satu tong coolerman hok besar. Gi 4 orang, mabuk 2 orang dan mancing 2 orang. Dapat hasil satu tong.. dio belah dua buat gelamo bekok. Sedapnya makan dengan nasi panas-panas.. tamboh pulop makan pagi.. pagi pulop masa suhu sejuk hujan renyai-renyai.. perghhh.. macam makan nasi masa bersunat dulu.. makan nasi dengan ikan kering gelamo bakar masa hujan.. biasakan di belah pantai timur budak2 bersunat masa cuti panjang bulan 12 musim tengkujuh atau musim bah.

Sedap sungguh aku makan nasi berlaukkan ike gelamo fresh bekok hok Pojer bagi. Tok genap, aku gi mintak lagi rumoh dio.. Pah dia oyak " ni ngelah doh.. kalu demo nok banyok gok, kita gi sdiri laa.. nanti kawe setting bot" Ok bereh.. no hal.

10 September 2023 bersamaan hari sabtu, tak kira air tu comer ko dok, tarikh telah 'dilock' dan perahu tekong Apek tua Jeram telah di booking. Aku bersama Pojer, Iwer, Zafir dan Amer bersedia untuk turun gelanggang memburu Jenahak dan Gelama.. Kali ni aku turun dengan nekad nak kaut seberapa banyak yang boleh ikan gelama sebab aku telah jatuh cinta dengan ike gelamo bekok.

Seawal pukul 6.15 pagi selepas solat subuh aku terus menuju ke rumah Pojer. Amer dan Iwer sudah ready ada kat rumah Pojer. Mereka solat subuh di rumah inap Pojer. Zafir pergi sendirian dan sedia menanti di jeti pekan Jeram berpandukan location yang dishare. Tepat pukul 8.10 pagi, bot kami berlepas dari jeti muara perkampungan cina di Jeram.. bot apek yang kami sewa agak luas dan selesa untuk kami berlima memancing walaupun sedikit uzur. Tekong dia adalah apek tua yang katanya umur dia dah dekat 70 tahun. Berpengalaman lebih 35 tahun di laut. 

Menikmati suasana membelah laut biru

Siap siaga keluar dari jeti


Selepas 45 minit melayan lembutnya bayu laut menyusuri dan membelah kabus perairan pelabuhan Klang, apek tu park di port pertama memburu bapak dan ibu jenahak. Berdasarkan pengalaman yang ada, katanya itulah lubuk jenahak. Masing-masing pasang umpan gred A.. ada yang sangkut sotong kurita hidup dan ada yang sangkut udang lipan hidup sebab itulah makanan kegemaran jenahak. 5 minit mata pancing berlabuh, batang pancing Iwer dulu bergegar, tapi sayang dan hampa sebab jenahak tak sempat sangkut. Sekejap kemudian batang pancing Pojer pulak bergetar dan bergoncang kuat, dengan pantas Pojer gulung tali pancingnya dengan meseng yang berjenama.. belum lagi hasil dari batang pancing pertama sampai ke atas permukaan, batang pancing keduanya pula bergetar kuat, apek tua tolong sentok dan Iwer tolong karar.. wah!!! Double Strike Pojer dapat jenahak yang saiz lebih sekilo. Apek tu cakap.. jangan bising-bising nanti bot-bot lain serbu port ni.. ambik gambar pun kena sorok-sorok. Bukan senang nak dapat port ikan tu.. 

Bajau Laut Biru Abe Pojer terlebih dahulu buka panggung dengan menaikkan 2 ekor jenahak sekaligus



Rutin MatDin, pasti akan melelapkan mata walau sekejap, sebab seronok tidur dibuai ombak laut Selat Melaka. Alang-alang membangau, bair puas hati

Matdin sedang membangau, lubuk jenahak bukan lubuk rezeki MatDin

Berangkat ke port gelama la pulak.. port jenahak kita sudah dikacau oleh lanun penjahat


Tidak lama kemudian, Pir pulop dapat lesen bawa naik anak jenahak. Iwer pun bawa naik seekor ikan jenahak.. Amer bawa naik ibu gelama dan seekor kerapu bintik. Hanya Matdin saja yang tak dapat apa-apa hasil di lubuk ni. Membangau manjang.. last-last aku pun tidurlah, apa lagi. Apabila suasana agak tenang, umpan pun tak dipatuk ikan, kesempatan ni kami breakfast dengan bekal yang dibawa. Aku masak sambal tumis ikan bilis petai buat bekal, Pir pun bawa lauk yang sama.. sedap terangkat makan kat laut. Lepas makan, ada satu bot himpit bot apek tua yang kami naik.. bot dia lebih besar dan kukuh.. curi hasil daripada perairan port kami. Park sekejap jer dia dah dapat bawa naik Jenahak.. Apek tu dibuli.. dia terpaksa mengalah, lantas dia suruh kami angkat semua pancing kemudian dia naikkan sauh dan terus berlalu meninggalkan port jenahak walaupun umpan gred A masih banyak lagi. Dia terus menuju ke lubuk gelama. Pojer kata, tempat ni mesti Matdin tak akan membangau dan dia terus tukar batu ladun dan mata pancing aku ke mata yang sesuai untuk menaikkan gelama. Terus sangkut potongan umpan ikan pelaling segar. 

Di lubuk baru ni takde orang, hanya kelihatan satu bot saja. Tu pun dia parking jauh. Sebaik saja mata pancing yang disangkut umpan ikan pelaling potong dibaling, umpan terus diragut.. rasa getarannya. Aku tidak perlu menunggu lama untuk menaikkan seekor ikan gelama. Selepas itu, kumpulan kami silih berganti menaikkan ikan gelama. Seronoknya, ikan gelama kat sini bersaiz besar-besar. Tidak seperti gelama yang ada di sekitar kelong Telok gong. Pojer tak menang tangan menaikkan gelama.. setiap kali umpan dilempar ke dasar, terus disambar. Kalau dapat double strike, memang beratlah kail untuk ditarik naik kerana ikan gelama saiznya kasar lebih-lebih lagi gelama jenis Slewak yang bulat dan besar. Tepat pukul 5 petang, tekong bot arahkan kami bersiap dan mengemas kerana perlu segera pulang ke jeti. Waktu dia bertugas sudah tamat. Kami rasa, dengan hasil sebanyak yang dapat, cukuplah.. sudah puas hati melayan ikan. jangan tamak-tamak, bagi peluang ikan membiak. Ambik sekadar cukup untuk makan sebulan. 

Double Strike gelama Slewak yang bulat dan besar

Sekejap saja berlabuh di port gelama.. hampir penuh satu tong coolerman

Pukul 5 petang.. tak cakap banyak apek tu, pasang enjin terus angkat sauh. Kami bergegas angkat pancing masing-masing. Terus masuk gear untuk pulang ke jeti. Takde diskaun walau 10 minit

Iwerr kata " mancing ssini jjadi, buleh mari pulok lain kali " 


Kami sampai jeti pukul 6 petang. Kami terus balik kerana kejar nak solat asar. Kami solat di R&R Elmina. Selepas makan malam di restoren tomyam, kami segera ke rumah Pojer untuk bahagi hasil. Kesempatan tu kami siang ikan yang banyak itu secara bergotong royong agar lepas balik penat-penat kami tak perlu siang ikan lagi. Hasil yang diperoleh setiap orang amat memberangsangkan. Pojer ajar juga cara-cara nak buat ikan gelama bekok. Seminggu ni Matdin makan nasi berlaukkan ike gelamo bekok tanpa jemu. Hahahahaha

Sekian cerita ike gelamo bekok. Terima kasih sebab baco blog MatdinGunung.


Hasil hok buleh bukan kaleng-kaleng. Stok sebulan makan setiap orang









Belah belakang, boh garam, jemur dua jam, pahtu perap dalam bekas, masuk dalam peti ais, pastu siap untuk goreng bila perlu



Ikan Jenahak masak stim kicap halia cina

Ike Bekok goreng siap dimakan dengan nasi panas di waktu pagi

Makan tengahari pun dengan ike gelama bekok lagi

Hahahahaha.. tak pernah puas makan nasi berlaukkan ike gelama.. pagi petang siang malam.. Begitulah ceritanyaaaa.. sekiannn.