Thursday 23 April 2020

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) MELAWAN COVID 19

Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP merujuk kepada satu arahan kerajaan untuk mengawal pergerakan rakyat atas sebab-sebab untuk mengekang merebaknya sesuatu wabak yang berjangkit. Nama ni asing bagiku kerana sepanjang hampir 50 tahun hidup, perkara seperti ini belum pernah aku alami. Dengan pengistiharan PKP ini dan termaktub menjadi undang-undang menyebabkan semua rakyat tidak kira apa pangkat dan darjat perlu akur dengan perintah PKP ini. Pihak kerajaan boleh mengambil tindakan keras terhadap mana-mana rakyat yang ingkar tidak kira siapa hatta pemimpin masyarakat atau menteri sekalipun kecuali dengan kebenaran pihak berkuasa. 

Sepanjang tempoh PKP ini, rakyat di seru Stay At Home dan berkurung di rumah saja. Tidak boleh sesuka hati ke mana-mana tanpa arah tujuan hatta walau keluar di tepi rumah sekalipun.. asal saja keluar rumah dikira melanggar PKP. Tak boleh ke masjid untuk berjemaah, tidak boleh berkumpul, tidak boleh ke rumah kawan atau bersembang dengan jiran-jiran, tidak dibenarkan mengadakan majlis. Yang dibolehkan cuma hanya seorang ketua keluarga keluar untuk pergi ke kedai membeli barang keperluan asas melainkan mereka yang ada surat kebenaran khas untuk ke tempat kerja. Sekiranya langgar arahan PKP mereka akan didakwa di mahkamah, dipenjarakan, didenda, dikuarantin, diberi amaran keras dan diberi jaminan polis. Sekiranya mereka kakitangan awam, hal ini boleh menjejaskan rekod perkhidmatan bahkan boleh ditamatkan perkhidmatan. Begitu juga mereka yang bersara, wang persaraan boleh dihentikan pembayaran oleh kerajaan. Oleh itu, akur arahan kerajaan, Stay At Home. Buat kerja apa-apa yang patut di dalam rumah.

Bagi mereka yang berada atau memiliki rumah di atas tanah atau memiliki rumah yang luas, kesan PKP tidaklah terasa sangat, tetapi bagi mereka yang tinggal di rumah flet  atau rumah PPRT.. untuk menghabiskan masa sehari pun bukan main seksa. Ruang rumah yang sempit, penghuni ramai, ditambah sekarang ni musim panas, memang bahang siang dan malam. Maka tidak hairan kalau kes kemiskinan bertambah tinggi, kes penderaan, kes perceraian dan kes sumbang mahram meningkat secara drastik sepanjang tempoh PKP. Ada terdapat cubaan membunuh diri kerana tidak tahan dari segi psikologi untuk menghadapi situasi begini. 

Alhamdulillah, rakyat Malaysia terkenal dengan sikap prihatin dan dermawan. Boleh dikatakan semua penduduk di negara ini tidak mengalami masalah kelaparan sepanjang tempoh sukar ini kerana ramai warga kita yang suka membantu mereka yang susah.. Bantuan demi bantuan disalurkan oleh individu, biro masjid dan surau, jiran tetangga, pemimpin masyarakat, NGO, sedara mara dan lain-lain termasuk Pusat Zakat, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang turut memainkan peranan menyalurkan bantuan demi memastikan penduduk miskin tidak kelaparan dan dibantu. Kerajaan juga turut membayar Wang Bantuan Nasional B40 dan T40 supaya rakyat ada wang untuk berbelanja. Pihak Kementerian Keselamatan Negara juga memberi jaminan bahawa keperluan asas mencukupi sepanjang tempoh PKP ini malahan berlebihan. 

Kalau masa banjir besar di Kelantan pada tahun 2014, munculnya wira yang tak didendang iaitu Raja Shamrin yang banyak membantu dan menderma mereka yang susah. Alhamdulillah, pada musim PKP ini muncul juga seorang lagi Wira yang tak didendang iaitu Ustaz Ebit Liew yang menjadi wira mengagih dan berkongsi kekayaan dan wang derma dengan pihak frontliner, serta penduduk miskin tanpa mengira bangsa dan agama. Seluruh pelosok tanah air ustaz Ebit ni pergi untuk menyampaikan bantuan pada mereka yang memerlukan. Alangkah beruntungnya negara kita sekiranya ada ramai penderma macam ustaz Ebit Liew ini walaupun ada segelintir atau sebilangan kecil yang tidak senang dengan cara Ustaz Ebit ini memberi sumbangan.

Barisan hadapan peperangan melawan Virus Covid 19 di Malaysia ini ialah para frontliner yang diketuai oleh Pengarah Kesihatan Malaysia sebagai Jeneral. Perang dunia ketiga kali ini memerlukan strategi peperangan yang kompleks,tepat dan berkesan untuk menewaskan pihak musuh yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Negara maju yang mempunyai ketumbukan tentera yang maha kuat, sejata perang yang canggih termasuk memiliki senjata nuklear yang berlebihan serta mempunyai jet tempur yang tidak boleh dikesan radar, mempunyai kapal perang yang beratus meter panjangnya dan besarnya boleh memuatkan beberapa padang bola, boleh membawa peledak nuklear dan melancarkan jet pejuang di atas deknya, memiliki kereta kebal yang paling kebal di dunia.. tetapi tewas tersungkur di tangan virus pendemik yang amat halus ini berjuta kali ganda lebih halus daripada burung ababil. 

Frontliner yang berperang, manakala rakyat support dengan stay at home dan akur arahan untuk putuskan rantaian penyebaran Covid 19. Itu saja strategi melawan untuk menewaskan Covid ini.. tidak perlu kepada Jet pejuang, kerata kebal atau senjata nuklear. Dan senjata yang paling ampuh ialah DOA.. doa alim ulamak, doa orang miskin, doa orang teraniaya, doa budak-budak dan doa orang yang mula insaf.. diadun sekali menjadi senjata ampuh untuk melawan Covid ini. Hanya Allah yang mampu memusnahkan Virus halimunan ini. Teruskan berdoa.. doa kita didengar.. negara kita sudah hampir bebas.. kita sudah hampir menang. Semoga lepas ni ekonomi kita pula mencanak naik..Allah maha mengentahui..Kun Fa Yakun.. semua kuasa di tangan Allah.

Alhamdulillah.. sepanjang tempoh PKP ini kita mendapat rehat secukupnya yang sebelum ini tidak cukup rehat akibat kesibukan. Kita ada banyak masa bersama keluarga, boleh berjemaah bersama keluarga, boleh melakukan seberapa banyak amal ibadat, boleh belajar mengaji, boleh menghafal doa, menghafal surah, memantau anak-anak, mengajar anak-anak, mengemas rumah, menghias rumah, memasak, belajar memasak, bercucuk tanam di tepi-tepi rumah, dan yang paling penting.. kita dapat menjaga puasa kita sebaik mungkin kerana tidak perlu ke bazar ramadhan atau ke Gedung Beli Belah membeli baju raya atau persediaan raya yang boleh membuatkan puasa kita kurus kerana melihat perempuan seksi. Kita juga boleh berjimat cermat sepanjang tempoh PKP ini. Gunakan duit untuk membeli barang yang perlu sahaja.

Sesungguhnya.. sekiranya melihat daripada apa yang tersirat, banyak manfaat Allah hantar Virus ini kerana boleh menyedarkan manusia, boleh menginsafkan dan boleh membezakan mana manusia yang redho dan manusia yang tak kenang dek untung. Pemimpin-pemimpin yang baik dan pemimpin yang ego, angkuh, bongkak, sombong dan takbur. Alam juga gembira kerana atmosfera sudah mula bersih, air sungai sudah mula jernih walau mengalir di tengah pusat bandar, binatang liar sudah berani keluar, ikan di dalam sungai dan dilaut sudah kembali banyak. Oleh hal yang demikian, bersyukurlah kita dengan apa yang berlaku.. berfikiran positif.. bertawakal.. berdoa.. amalkan doa-doa pendinding yang diajar oleh ustaz-ustaz.. jaga kebersihan.. buang sifat buruk.. jaga tanggungjawab terhadap keluarga dan buat apa yang patut. Jangan langgar arahan PKP.. jadilah rakyat yang berguna untuk negara.. lepas habis PKP ni.. sama-sama kita bantu kerajaan memacu ekonomi agar cepat pulih. STAY AT HOME.. LEBIH LAMA LAGI.. SABARRRRRR..

SEKIAN TERIMA KASIH.. 

MUSIM PENDEMIK VIRUS CORONA 19

Assalamualaikum WBT....

Alhamdulillah.. panjat syukur ke hadrat Illahi kerana di saat aku mencoretkan artikel santai ini aku bersama keluarga berada dalam keadaan yang amat sihat. Walaupun sudah berminggu-minggu terkurung dalam rumah dan hanya bergerak dalam radius paling jauh 50 meter sahaja.. kecuali aku sebagai ketua keluarga yang perlu ke sana ke mari untuk mencari stok makanan, itu pun dalam radius tak lebih 10 km dari tempat tinggal..

Sebenarnya niat aku untuk menulis pasal serangan wabak pendemik ini bermula dari satu fasa ke satu fasa sepanjang tempoh Kawalan Pergerakan atau disebut PKP tetapi PC kat rumah aku rosak la pulak. Laptop bini aku ada laa, tapi berebut pulak dengan anak aku yang terpaksa menyiapkan banyak tugasan sekolah yang dihantar oleh guru-guru melalui google classroom atau zoom dan pelbagai apps lagi. Ramai orang kat luar sangat jeless dengan cikgu sehingga ada suara sumbang daripada natizen mengatakan cikgu makan gaji buta sepanjang PKP ini kerana duduk goyang kaki jer kat rumah sambil makan super ring sementara menunggu tamat tempoh PKP, lagi lama PKP, lagi lama laa cikgu-cikgu duk melantak makanan menternak lemak dalam badan.. tidur bangun makan.. tidur bangun makan...

Hello.. cikgu tak duduk saja-saja senang lenang kat rumah tau tunggu virus Covid 19 ni berlalu, mereka ada SOP juga.. ada tugasan dan laporan yang nak kena hantar, ada meeting online, budak-budak harus diberi latihan dan pengajaran melalui teknologi IT yang cikgu-cikgu kuasai terlebih dahulu berbanding orang kebanyakan.. macam-macam cara cikgu mengajar sepanjang tempoh berkurung ni.. buktinya.. Malaysia negara kedua tertinggi penggunaan IT untuk proses pengajaran dan Pembelajaran melalui apps dalam talian. Bukan guna Apps untuk order makanan secara atas talian atau order barang-barang melaui online.. salah satu bukti yang paling jelas lagi, anak-anak aku tu.. masuk mencurah-curah latihan yang perlu dibuat dan dihantar melalui google classroom atau Whatsup  atau lain-lain kaedah. Lebih-lebih lagi anak aku yang sekolah tahfiz tuu.. sampai ke malam duk mengadap telefon belajar.. tasmik laa.. menghafal laa.. siap ada jadual khas yang perlu diikuti sepanjang tempoh PKP ini.. Salute cikgu-cikgu. Biarlah orang nampak yang tersurat iaitu cikgu duk goyang kaki tunggu gaji masuk sepanjang tempoh PKP ini, sedangkan ramai yang tidak tahu bahawa cikgu-cikgu juga memerah otak mencari bahan dan kreatif mencipta teknik pengajaran untuk disampaikan kepada anak-anak murid melalui pelbagai cara sehingga ada ibu bapa yang naik angin kat cikgu sebab anak-anak guna telefon dia untuk belajar di rumah.. sedangkan dia juga perlu telefon untuk melayan facebook dan berwassap..

Haiii..melarat la pulak celoteh aku ni.. dah lari daripada topik dan matlamat penulisan asal yang aku nak sampaikan.. takpelah, aku ada banyak masa.. macam-macam maklumat yang boleh aku sampaikan dan aku ceritakan untuk dikongsi.. Cerita-cerita ni perlu aku abadikan kerana cucu-cucu dan cicit-cicit aku perlu tahu bahawa atok, nenek dan ayah serta ibu mereka pernah berada dan alami satu peristiwa besar dalam sejarah iaitu bertarung dengan pendemik melawan satu virus Covid halimunan yang bakal membunuh jutaan manusia di seluruh dunia. Katanya Virus Covid ini berasal dari dalam badan binatang iaitu kelawar yang dimakan secara tidak sempurna oleh salah seorang manusia di Wuhan, China. Kemudian, Virus yang maha halus ini menyerang manusia dan sangat mudah dijangkiti. Bermula di Wuhan inilah, virus ini disebarkan ke seluruh dunia apabila berlaku pergerakan keluar besar-besaran mereka yang tinggal di Wuhan untuk melarikan diri daripada penyakit yang dibawa oleh virus ini sedangkan mereka yang melarikan diri itu sebenarnya sudah membawa virus ini dalam badan mereka untuk disebar.. yang menjadi rumit, virus ni tak dapat dilihat dengan mata kasar dan mereka yang terkena jangkitan tidak menunjukkan tanda-tanda sakit sehingga 4 atau 5 hari barulah ada tanda-tanda demam dan batuk serta sakit tekak bahkan ada dalam kalangan mereka yang menyebarkan virus ini tidak sakit langsung. Virus ini boleh disebarkan melalui sentuhan saja, bukan saja melalui sentuhan direct malahan virus ini boleh terlekat di benda-benda yang dipegang oleh pembawa kemudian mereka yang sihat mengambil virus ini untuk menjangkiti mereka. Virus ini masuk melalui rongga mulut, rongga hidung atau rongga mata kemudian membiak dalam rongga tekak sebelum beredar untuk menyerang paru-paru. Virus ini boleh mati dalam badan manusia selama 14 hari dia tinggal dalam badan tetapi sekiranya imun badan seseorang itu tidak kuat melawan, maka kesan serangan virus ini maha dasyhat sehingga boleh menyeksa dan membunuh pengidap. Doktor dan jururawat yang merawat pesakit yang terkena jangkitan ini pula perlu memakai pakaian khas yang dipanggil PPE yang cukup menyeksa serta amat merimaskan. Bahangnya bukan kepalang, katanya macam berada dalam sauna.. Pakaian ini pula tidak boleh sesuka hati dipecat, ada tempoh masanya untuk dibuka. Oleh sebab itu, ada dalam kalangan mereka yang memakai lampin pakai buang untuk membolehkan mereka membuang air bahkan bagi yang islam, mereka dibolehkan untuk jamak solat. Kalau mereka yang meninggal disebabkan serangan virus ini, jenazahnya  tidak boleh disempurnakan macam biasa tetapi ada SOP yang tersendiri. Jasadnya akan diurus 100% oleh pihak KKM. Jasad pesakit ini dikafan menggunakan bag khas dan tidak dimandikan, bahkan hanya ditayyamun di bag mayat tersebut kemudian disembahyangkan oleh beberapa orang kakitangan KKM dan dikebumikan mengikut prosedur yang ketat. Tidak dibenarkan sesiapa berada berdekatan dengan jenazah semasa urusan pengebumian. Banyak benda kalau nak cerita secara detail.. semua orang dah tahu sebenarnya tapi aku cerita secara sepintas lalu kat sini untuk makluman kepada anak cucu cicit aku baca suatu hari nanti dan kepada mereka yang tidak melalui zaman pendemik ini.

Sejarah kedatangan virus ini masuk ke negara kita bermula pada 3 Mar dibawa oleh 4 orang pelancong dari Wuhan yang masuk melalui Singapura. Pada masa ini kerajaan kita diperintah oleh Pakatan Harapan. Usaha untuk menghalang pelancong luar masuk pada masa ini masih tidak ada kerana kita tidak tahu akan bahayanya atau kesukaran mengawal virus ini sekiranya merebak. Boleh dikatakan semua pemimpin di seluruh dunia memandang enteng dengan virus pendemik ini termasuk Badan Kesihatan Dunia iaitu WHO. Keempat-empat pelancong ini telah dikesan positif covid 19 kemudian dikuarantin di Hospital Sungai Buloh, malangnya ada dalam kalangan mereka yang melarikan diri dari pusat kuarantin. Hal ini amat membimbangkan kerana sangat berisiko untuk menyebarluaskan virus ini kepada orang lain. Sejak hari itu, mereka yang dikesan positif Covid 19 semakin bertambah di Malaysia. Salah seorang pembawanya ialah Pengarah UDA yang balik dari luar negara telah dijangkiti virus ini tetapi tidak menunjukkan sebarang tanda dijangkiti sehingga dia bebas bergerak termasuk mengadakan mesyuarat dan bersalam dengan ramai orang. Apabila dia dikesan positif Covid 19, maka ramai contact rapat dengan beliau turut dikesan dijangkiti Covid 19 maka bertambah lagilah data penyebaran virus ini. Lebih malang dan paling top sekali ialah selepas cluster perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling selama 4 hari bermula 29 Feb sehingga 3 Mac. Dikatakan salah seorang jemaah dari Brunai yang Positif Covid 19 telah terlepas dan masuk dalam kelompok seramai lebih kurang 15,000 orang jemaah ini. Hal ini menimbulkan panik dalam kalangan jemaah apabila seorang demi seorang mereka yang mengikuti perhimpunan jemaah Seri Petaling ini mula demam dan ada tanda-tanda dijangkiti virus ini. Pihak Kementerian Kesihatan bertindak cepat dengan membuat saringan dan pemeriksaan yang rapi ke atas semua peserta perhimpunan tersebut. Mereka yang menyertai perhimpunan tabligh ini diseru, dipujuk dan dipaksa untuk tampil membuat saringan pemeriksaan covid 19. Hasilnya, pertambahan mendadak mereka yang dijangkiti Covid 19 sehingga menimbulkan rasa panik dan cemas dalam kalangan rakyat di negara ini terutamanya mereka yang ada contact rapat dengan geng tabligh ini sehingga semua orang memandang prejudis. Kasihan geng tabligh yang menjadi mangsa keadaan. Selepas kluster tabligh, timbul pula sub kluster tabligh dan  pelbagai kluster lagi seperti kluster gereja di Sarawak, kluster Sendayan, Kluster perkahwinan di Johor, kluster perkahwinan di Bangi.. kecuali kluster gereja, semua kluster yang disebut itu ada kaitan dengan tabligh apabila ada dalam kalangan jemaah tabligh yang hadir di Seri Petaling dan membawa Virus Covid 19 menghadiri majlis-majlis tertentu. Mereka yang bersalam dengan pembawa virus ini kemungkinan besar boleh dijangkiti. Itu semua ujian Allah kepada pasukan tabligh yang sebelum ini harum namanya dalam mengajak masyarakat untuk sama-sama mengamalkan kehidupan cara sunnah Rasulullah SAW tetapi selepas penyebaran Virus ini ramai orang menyalahkan tabligh bahkan ada yang mengeji, mengutuk dan memandang hina jemaah ini.Lebih malang lagi, ada masyarakat yang melarikan diri daripada mereka yang berjanggut dan berpewatakan jemaah tabligh lebih daripada takut kepada binatang yang haram. Mungkin ada hikmat disebalik apa yang berlaku.. Hanya Allah yang mengetahui..

Alhamdulillah, semasaVirus Covid 19 yang mula semakin mengganas di Malaysia, kebetulan pada masa ni cuti sekolah penggal 1 baru bermula. Jadi, risiko penyebaran dalam kalangan pelajar sekolah secara tidak langsung dapat dihalang. Kebetulan juga pada masa ni, krisis politik di negara ini sudah mulai reda dengan pertukaran pucuk pimpinan tertinggi. Allah maha Agong dan maha mengetahui.. Alhamdulillah, pemimpin baharu yang dilantik cepat bertindak dengan membuat satu dasar baharu yang nampak berat tetapi mesti dilakukan iaitu Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP atau dengan kata lain LockDown. Hal ini demikian untuk memutuskan rantaian penyebaran dalam kalangan rakyat. Perintah berkurung selama 14 hari ini supaya menyenangkan pihak KKM menyaring dan mengesan mereka yang terjangkit ini tanpa tersebar secara lebih meluas. Oleh yang demikian, kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan yang sangat besar untuk menampung kos perubatan, menambah alat rawatan, membuka hospital sementara baharu, menyediakan pusat kurantin dan sebagainya. Dikatakan kos untuk mengesan penyakit ini memakan belanja rm600-rm700 seorang. Bayangkan kalau berjuta rakyat yang perlu disaring dan diperiksa, berapa banyak kos yang terpaksa kerajaan tanggung. Bukan saja rakyat Malaysia, bahkan warga asing yang berada dalam negara ini juga turut disaring dan ditanggung oleh kerajaan kita. Oleh hal yang demikian juga kerajaan terpaksa merangka satu rangsangan ekonomi untuk membantu rakyat yang terkesan dengan serangan wabak ini. Sebanyak 250 bilion telah diperuntukkan kerajaan untuk mengekang wabak ini secara menyeluruh termasuk kos bantuan kepada penduduk M40 dan T40 serta lain-lain. Bagi mereka yang baru pulang dari luar negara, mereka juga terpaksa dikuarantin di pusat kuarantin yang disediakan sama ada di hotel atau asrama pusat latihan. Kerajaan memperuntukkan kepada mereka RM150 sehari setiap seorang selama mereka berada di pusat kuarantin itu. Bayangkan berapa banyak duit yang pihak kerajaan terpaksa tanggung.. itupun masih terdengar suara-suara sumbang daripada mereka yang meluahkan rasa tidak puas hati kemudahan yang disediakan kepada mereka sehingga mendapat kecaman hebat daripada natizen yang menggelarkan mereka sebagai 'kluster kayangan'.

Perintah Kawalan Pergerakan bermaksud rakyat diseru agar berkurung di rumah dan tidak boleh ke mana-mana kecuali sekiranya benar-benar perlu keluar. Biasanya ketua keluarga dibenarkan keluar untuk membeli keperluan bahan asas atau bahan mentah makanan. Setiap sebuah kenderaan dibenarkan seorang sahaja berada di dalamnya. Rakyat tidak boleh ke mana-mana tanpa tujuan apatah lagi untuk melepak dan bersantai. Bersukan pun tidak dibenarkan. Ada beberapa perusahaan dibenarkan beroperasi terutamanya yang melibatkan pengeluaran makanan dan perubatan dibenarkan beroperasi selain sektor-sektor penting seperti Tenaga Nasional (TNB), Syarikat yang berkenaan dengan bekalan Air, Telekomunikasi, Kewangan, Farmasi, Klinik dan beberapa lagi yang perlu mendapat kebenaran MITI untuk beroperasi. Lori-lori pengangkut barang juga dibenar beroperasi. selain itu, kedai runcit dan pasar basah juga dibenar beroperasi.

Sehari sebelum diperkenalkan PKP, rakyat telah diberi peluang untuk membeli barang keperluan makanan secukupnya. Hal ini menyebabkan berlakunya pembelian panik daripada seluruh masyarakat walaupun pihak berkuasa berkali-kali mengingatkan agar rakyat tidak perlu panik. Selain itu, pada malam sebelum dikuatkuasakan PKP, orang ramai berebut-rebut untuk pulang ke kampung menyebabkan berlakunya kesesakan luar biasa di setiap pintu keluar sama ada ke arah utara, timur dan selatan. Pada masa sama juga, pihak pengurusan kolej kediaman semua intitusi pengajian tinggi meminta agar semua penuntut mengosongkan kediaman mereka serta merta menyebabkan berlakunya panik dalam kalangan warga penuntut IPT lantas mereka menyerbu stesyen-stesyen bas dan keretapi untuk mendapatkan tiket pulang ke destinasi masing-masing. Keadaan ini berlakunya kesesakan luar biasa di stesyen-stesyen pegangkutan awam. Bas yang ada tidak mencukupi untuk menampung permintaan yang tinggi sekaligus menyebabkan pelajar yang tidak mendapat tiket ada yang menanggis cemas. Tidak lama kemudian keluar pula kenyataan supaya mereka yang ingin melintas sempadan negeri selepas pukul 12 mlm perlu meminta surat kebenaran daripada ketua IPD di tempat masing-masing. Maka, berpusu-pusu pula orang ramai yang panik dan ingin pulang ke kampung menyerbu dan bersesak di IPD untuk mendapat surat kebenaran sehingga berlaku kekecohan yang tidak lagi dapat dikawal. Rakyat bertambah panik apabila pada masa yang sama masyarakat digemparkan dengan berita korban pertama mangsa kovid disertai dengan korban kedua tidak lama kemudian. Maka terjadilah pesta balik kampung seolah-olah balik bercuti dimusim perayaan sedangkan matlamat asal PKP adalah masyarakat stay at home dan tidak keluar dari kawasan wabak. Puas pihak berkuasa menyeru dan merayu supaya rakyat jangan pergi ke mana-mana, jangan balik kampung, tinggal di rumah namun tidak dihiraukan. Pihak berkuasa tidak berupaya untuk menahan kepanikan rakyat.Suasana panik, cemas, takut dan huru-hara ini seolah-olah negara nak berperang dan ramai orang memilih untuk mati di kampung halaman masing-masing. Oleh hal yang demikian kerajaan terpaksa redha dan akan melihat seminggu kemudian pertambahan mendadak mangsa jangkitan Covid 19 ini bertebaran di seluruh negara akibat penyebaran berlaku daripada mereka yang bawa pulang Covid ini untuk disebarkan di kampung halaman masing-masing. Gelombang kedua ini dijangka lebih dashyat dan sukar untuk dibendung. Rayuan demi rayuan dibuat oleh pihak kerajaan dan frontliner supaya masyarakat akur dengan PKP ini walau berada di kampung agar penyakit ini senang untuk dibanteras sehingga ke akar umbi. Sehari ke sehari rakyat didendangkan dengan laporan pertambahan penyakit Kovid 19 ini di seluruh negara sehingga sekali lagi menimbulkan rasa takut dan panik.. lantas rakyat sekali lagi tidak senang duduk takut-takut kerajaan lebih mengetatkan lagi kawaln pergerakan ini di tambah pula dengan banyak khabar angin yang menakutkan yang disebar melalui sosial media oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Sekali lagi rakyat berpusu-pusu keluar untuk mendapatkan bekalan makanan sehingga berlaku kesesakan lalu lintas yang teruk walaupun dalam perintah kawalan pergerakan. Malahan, mereka yang pulang ke kampung tempoh hari sudah mula tidak selesa tinggal di kampung dan mula berpusu-pusu nak balik semula ke bandar... maka, keluarkan peragkaan-perangkaan nakal dan jahat rakyat negeri mana top ranking yang paling degil di Malaysia. Malas aku nak sebut negeri mana, tetapi semua orang sedia maklum sebenarnyaaa sebab selalu keluar dalam Berita Televisyen.

PKP fasa pertama yang sepautunya berakhir 1 April, terpaksa dilanjutkan 2 minggu lagi kerana pertambahan kes berlaku saban hari dan kes-kes kematian akibat Covid 19 juga semakin bertambah. PKP fasa kedua lebih ketat. Rakyat langsung tidak dibenarkan keluar dari sempadan negeri masing-masing manakala mereka yang langgar PKP akan didakwa di mahkamah ataupun di denda sebanyak RM1000. Kerajaan telah menetapkan zon merah, zon jingga, zon kuning dan zon hijau untuk memudahkan pemantauan. Ada sesetengah tempat zon merah yang bilangan kes tertinggi setiap hari akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat PKPD iaitu masyakarat dalam kawazan zon tersebut tidak dibenarkan keluar langsung dan orang luar juga tidak dibenarkan masuk. Mereka dikawal ketat oleh pihak polis dan tentera. Bahkan kawasan sekitar mereka dipagar dengan kawat duri. Setiap hari pada pukul 5.30 petang, Pengarah Kesihatan Malaysia akan membaca laporan kes baharu, kes kematian, kes sembuh dan keseluruhan kes melalui lintas langsung di kaca televisven.. Dalam dua tiga minggu ni, rakyat begitu gusar kerana setiap hari ada saja kluster baharu yang menjadi punca merebaknya wabak ini. Negara pernah mencatat angka kes tertinggi dalam sehari iaitu 238 dicatat pada 3 April

Pada masa PKP fasa kedua di negara ini iaitu antara 1 April hingga 14 April, negara-negara jiran kita seperti Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand, Vietnam, Myanmar, Loas masih lagi jumlah kes covid mereka tidak sampai 1000 kes kecuali Filipina yang sudah pun mencatat jumlah kes melebihi paras 1000. Walau bagaimanapun, Indonesia walaupun masih mempunyai kes yang masih rendah, tetapi mengalami jumlah kes kematian akibat Covid agak tinggi. Mengikut jangkaan WHO, pada fasa ini Malaysia akan mengalami waktu puncak iaitu kes akan melebihi paras 5000 orang. Oleh sebab itu, sebagai persediaan awal ke arah itu, pihak KMM telah menyiapkan sebuah hospital sementara yang serba lengkap di MAEPS, Serdang dengan jumlah katil sebanyak 600 buah. Pada fasa ini, jumlah kes terbaharu jangkitan covid sentiasa melebihi 100 orang setiap hari dan sentiasa ada kes kematian namun dalam jumlah yang kecil. Hampir semua kes kematian melibatkan pesakit yang berumur 60 tahun ke atas dan pada masa yang sama sedang mengalami penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, asma, lemah jantung dan buah pinggang.

Selepas hampir tamat tempoh PKP fasa 2, jumlah kes sudah mula menunjukkan satu tanda positif. Ramalan WHO juga tidak tepat sama sekali kerana pada masa gelombang kedua ini, jumlah kes masih jauh daripada mencecah bilangan 5000 kes seperti yang diramal oleh WHO, bahkan Malaysia sudah mencatat penurunan dari sehari ke sehari sedangkan jumlah pacient yang sembuh melebihi jumlah kes baharu. Hal ini memberi harapan agar PKP di negara ini lebih cepat ditamatkan. Namun begitu, memandangkan kes baharu masih lagi ada walaupun tidak ramai, pihak KKM mencadangkan kepada kerajaan agar memanjangkan lagi tempoh PKP untuk fasa yang ketiga iaitu sehingga 28 April. Hal ini demikian kerana, peperangan kita melawan Covid sudah hampir mencapai kemenangan tetapi tidak boleh cepat berpuas hati kerana mengambil iktibar daripada negara-negara serantau yang menamatkan Lockdown lebih awal menyebabkan jumlah kes kembali bertambah dan terpaksa membuat lockdown sekali lagi.

PKP fasa ketiga diteruskan, hal ini bermakna rakyat lebih lama lagi berkurung di dalam rumah. Namun begitu, tahap kepatuhan rayat negara ini menjangkau 97% . Ini satu data yang amat membanggakan sehingga mendapat pujian  oleh negara-negara lain di dunia terutamanya Jepun dan Indonesia. Negara mereka juga buat lockdown tetapi rakyat mereka masih bebas ke sana kemari dan berhimpun. Tahap kepatuhan rakyat mereka tidak mencecah 67% . Hal ini menyebabkan kadar jangkitan Covid di negara mereka meningkat saban hari. Paling mengejutkan ialah Singapura, pada dasarnya mereka nampak seakan dapat mengawal penyebaran wabak kovid ini tetapi entah di mana silapnya ada satu kluster di asrama pekerja yang menjadi pusat penyebaran covid ini sehingga menjadi tidak terkawal dan menjadi antara yang tertinggi di Asia Tenggara melebihi paras 10,000 yang positif. dikuti oleh Filipina dan Indonesia. Malaysia pula pada ketika ini lima hari berturut-turut menunjukkan penurunan kes baharu manakala kes yang sembuh meningkat mendadak dan menjadi antara kes sembuh paling tinggi di dunia. Pada 20 April, kes baharu yang dicatat seramai 36 kes sahaja manakala kes sembuh mencecah 98 orang. Kes sembuh paling tinggi dicatat pada 6 April iaitu seramai 236 orang discaj. Oleh sebab negara kita telah menunjukkan kadar penurunan yang konsisten maka kerajaan berkenan untuk melonggarkan sikit tahap kawalan pergerakan iaitu cuba mencari jalan terbaik untuk membenarkan pelajar-pelajar Universiti yang terkandas agar dapat pulang ke pangkuan keluarga manakala mereka yang terkandas di kampung boleh memohon untuk balik semula ke bandar. Walau bagaimanapun, tidak dibenarkan mereka dari bandar untuk balik ke kampung. Sehingga hari ini, sudah banyak negeri yang jumlah mereka yang positif covid pada tahap minima manakala negeri Perlis sudah sifar pembawa virus covid dan disahkan sebagai kawasan hijau iaitu bersih sepenuhnya.

Pada malam ini, iaitu 23 April, Perdana Menteri dengan nasihat KMM berkenan untuk menyambung lagi PKP selama 14 hari lagi. Walaupun kes yang dirawat sudah mulai turun tetapi kerajaan mahu memastikan tidak ada lagi pembawa Covid untuk disebarkan dan rakyat betul-betul berada dalam keadaan selamat. Apabila kes baharu sudah tidak ada selama 2 minggu, baharulah unlockdown. Alhamdulillah.. rakyat menyambut baik apa yang dibuat oleh pihak kerajaan kerana mereka tahu bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan ini demi kesejahteraan rakyat. Rakyat tak kisah tak dapat balik raya dan tak dapat beraya di kampung kerana pandemik ini cukup bahaya dan menyusahkan serta boleh menjahanamkan ekonomi sekiranya tidak dapat diputuskan rantaiannya.

Pada saat ini, dunia sedang bergelut dengan virus ini terutamanya di USA dan di seluruh Eropah. malas aku nak cerita pasal dunia luar.. biar cukup setakat ini dululah coretan aku.. terlalu panjang la pulak. Aku cerita apa yang berlaku di seluruh dunia dalam satu episod khas lah..

* aku mohon maaf sekiranya ada salah fakta dalam artikel santai ini.. kot-kot ada laa.. maklumlah menulis tanpa dirujuk mana2..