Wednesday 24 July 2019

XPDC MENAWAN KERAPU DI PERAIRAN PULAU KAPAS

Assalamualaikummm ...

Bersua kembali di arena blog untuk tatapan follower ku yang rindukan laporan aktiviti dariku yang semakin berkurangan mutakhir ini.

Ok..strait to the point, kita santai2 baca dan kongsi pengalaman. Pada 20 Julai 2019, merupakan satu tarikh yang aku pilih untuk aktiviti tahunan kumpulan aku yang diberi nama Group GOKEL, pergi mencandat sotong. Pada awalnya tarikh yang dirancang seminggu selepas raya, namun disebabkan pada tarikh ni ribut tenggara melanda perairan Trengganu, tekong bot menasihatkan kami tunda ke tarikh lain sebab bahaya. 


Kumpulan kami yang sudah bersiap siaga untuk keluar bertarung, bahkan sudah ada yang telah berangkat ke Terengganu, sungguh kecewa apabila mendapat berita ini daripada tekong. tapi kami perlu akur kerana tekong kami tu bukan sebarang tekong, 30 tahun bergelumbang dengan badai di tengah lautan mencari rezeki sebagai nelayan.. kami kena akur nasihat dia. 

Belek punya belek tarikh.. aku telah pilih 20 Julai kerana tarikh ni bersamaan 17 bulan islam.. bulan masih penuh dan sesuai untuk aktiviti mencandat. Malangnya, tarikh ni juga masih dilanda angin Tenggara.. Ombak Kucoh.. alun kuat,  arus bawah pun kuat.. kalu pergi juga, memang semuanya akan mabuk muntah dan balik awal.. sotong pun takde. rugi masa..rugi duit dan boleh sakit kepala saja. Tekong nasihatkan kami agar tunda lagi tarikh sebab dia kata angin tenggara kali ni bekeng. 

Tekong ni memang baik.. jujur.. bukan mata duitan. Kalau dia nak duit, dia bawak jer janji mashyukk.. dia tak peduli pelanggan yang dia bawak tu nak dapat hasil atau tidak. Tapi tekong kami ni memang dia jaga kualiti dia sebagai tekong.. jujur dia bagi tahu dia tak berani bawak sebab tak akan ada hasil. Buang masa saja pergi untuk mabuk.. baik tidur dengan anak bini kat rumah.

Oleh sebab perancangan terlalu rapi dan bawa beberapa ahli baharu yang sangat eksited nak rasa aktiviti mencandat, aku rasa tak tergamak nak bagitahu bahawa ekspedisi mencandat terpaksa ditunda sekali lagi. Aku degil.. aku pergi juga. Yang lain pun pergi juga dalam 3 buah kereta tetapi masa perjalanan berasingan. 

Kami sampai di Pelabuhan LKIM Cendering pada pukul 5.40 petang. Terus jumpa dengan tekong yang sedang menanti kehadiran kami. Jumpa saja, dia terus bagitahu dia tak berani bawa kami keluar sebab risiko terlalu tinggi. "Angin tengah kuat lening dan gelombang ugok turut mengganas. Kalau parking bot, besar kemungkinang tali sauh boleh putuh. Nok duduk pun tak stabil. Macam mana nak candat? kalau bayar sekadar untuk pergi muntah dan mabuk, baik duit tu buat sewa chalet dan pegi makan ikan bakar di Teluk Ketapang. Esok pegi Pulau Kambing beli sotong dengan ikang wak kelik". katanya jujur..


Inilah dia tekong terbaik 2 tahun berturut-turut. tekong yang bagus, jujur, masak pun sedap, boleh disuruh apa saja, bijak mencari lubuk ikan dan kandang sotong, tidak kedekut ilmu, tidak berkira soal bayaran, dan susah nak dapat dia sebab ramai pencandat yang booking dia.


Bot Abang Lan  yang tidak besar, tapi muat untuk 10 orang pencandat

Aku dengan Pojer akui.. aku dengan Pojer akur dengan kebenaran kata-kata tekong tu dan aku dengan Pojer telah lihat dengan mata kepala aku sendiri betapa ganasnya angin dan alunan ombak di pelabuhan, itu bukan lagi di tengah laut lepas. Aku tak terkata.. aku tak boleh nk bohong diri sdiri.. hatiku juga kecewa, Pojer juga sebagai leader kumpulan kecewa dan dia yakin ahli-ahli group yang dalam perjalanan juga akan lebih kecewa apabila mendengar berita ini nanti. Aku tak kisah kalau XPDC kali ini gagal sebab ada hikmah.. aku tak mahu susah di tengah samudera luas sebab aku pun sudah 4 tahun berturut-turut pergi mencandat sebelum ini.. aku tahu bagaimana peritnya rasa mabuk laut. Aku boleh terima hakikat ini, cuma aku tak sampai hati nak bagitahu berita ini kepada ahli group yang lain yang begitu tak sabar nak turun mencandat. 

Tidak lama kemudian Zafir dengan kawannya sampai, Aku terus dapatkan Zafir dan secara slow talk bagitahu Zafir aktiviti kita kali ini terpaksa kensel lagi skali. Zafir amat kecewa sebab dia yang paling bersemangat. Kebetulan pada tarikh yang sama dia ada lagi satu aktiviti bersama geng surau di kelong. Zapir cuba pujuk tekong untuk pergi juga.. Tekong nasihat Zafir supaya jangan pergi, nanti berlaku perkara yang tidak diingini. Nasib baik Zafir akur dengan nasihat tekong tu.. pada masa yang sama, ramai tekong lain yang ada kat situ juga turut menasihatkan kami agar jangan pergi. Trip mereka juga turut dibatalkan atas dasar keselamatan. 

Namun begitu, masih ada kumpulan pencandat yang berlepas keluar ke laut lepas untuk aktiviti mencandat.. mereka semua adalah yang pergi melalui pakej yang ditawarkan melalui FB.. mereka tertipu sebenarnya.. mereka bayar untuk mabuk dan letih.. mereka pergi atas dasar keuntungan di pihak orang tengah yang terlebih dahulu sudah dapat duit yang dibank in ke dalam akaun mereka. 

Tidak lama kemudian, sampai lagi sebuah kereta ahli group mencandat kami. Sebagai assistant leader, aku diberi tugas untuk menyampaikan berita yang mengecewakan ini kepada ahli group yang masih tak tau apa-apa. Dengan penuh berhemah aku bagitahu mereka akan keadaan laut yang bergelora dan tidak sesuai untuk mencandat pada saat dan ketika ini. Di raut wajah mereka memang nampak sangat kekecewaan namun mereka kena akur kerana mereka adalah ahli baharu yang belum ada pengalaman dan datang untuk cari pengalaman pertama.

Aku bincang dengan Pojer untuk pujuk tekong agar bawa juga kami keluar walau cuma beberapa jam pada esok hari agar terubat sedikit rasa kecewa ahli group yang begitu mengharap. Mungkin pagi angin Tenggara tidak seganas belah petang dan malam.. Alhamdulillah.. tekong setuju untuk bawa kami keluar memancing sekitar Pulau Kapas dengan meletakkan syarat akan segera pulang ke pelabuhan sekiranya angin tenggara mula mengganas yang dijangka berlaku lewat pagi.


Peserta XPDC kali ini terdiri daripada Pojer, DinGunung, Iwer, Zafir, Fizie, Pokrie, Amer, Tuan Peijo, Jaing dan Saing Zafir



Aku terus contact kawan aku iaitu Cikgu Jaafar untuk menumpang di rumah inap dia di Marang. Alhamdulillah.. dia pun tidak keberatan bahkan sangat gembira aku ingin menetap di rumah inap beliau untuk semalaman. Mungkin dia nak balas budi sebab dia pernah menumpang di rumah inap aku suatu masa dulu semasa ingin menghantar ibunya mengerjakan haji. 


Terima Kasih Cikgu Jaafar, sediakan penginapan yang berkelas 4 star

Bilik yang selesa disediakan.. ada 3 bilik semuanya


tempat mandi dan lepak-lepak


Kami terus pergi ke rumah inap Jaafar di Bukit Gasing, Marang untuk mandi dan solat maghrib serta isyak. Selepas solat, kami keluar untuk makan ikan bakar, kerang bakar, sotong celup tepung dan nasi tomyam di tepi pantai Kelulut. Kedai yang meriah dengan lampu.



makan-makan bersama rakan-rakan. Order macam-macam.. bayar ramai-ramai. Tak kisah sebab semuanya kerja gaji ribu-ribu setiap orang

Tempat makan di pantai Klulut Marang, sedap2 masakan kat sini

Sotong Celup Tepung yang Crunchy

Ikan Tanda, Ikan Pari, Ikan Jenahak dan ikan merah bakar bersambal

 Peluang untuk bersama rakan-rakan tidak dilepaskan. Selepas menjamah ikan bakar, kerang bakar, sotong celup tepung dan nasi tomyam seafood, kami bergerak merayau-rayau di UpTown Klulut sambil-sambil layan bundle. Pukul 11.30 malam kami bergerak balik ke rumah inap untuk tidur dan berehat. Pukul 4.45 pagi, semua telah bangun bersiap-siap untuk turun ke pelabuhan LKIM Cendering dan menunaikan solat subuh di surau sana. selepas solat subuh, Pojer telah menelefon tekong tanya mana dia berada sekarang, tekong arahkan suruh tunggu di satu sudut sementara dia pergi cari ikan dan sotong segar dengan kawannya untuk dijadikan umpan memancing.

Tepat pada pukul 7. 00 pagi kami bergerak keluar dari jeti menuju ke Perairan Pulau Kapas untuk memburu ikan kerisi dan Lolong. Perjalanan memakan masa lebih kurang 45 minit untuk sampai ke destinasi iaitu di unjang. Sebaik sauh dilabuh turun, kami mula memancing. Tidak perlu tunggu lama, sangkut umpan di appolo, baling ke laut.. terus boleh mendaratkan beberapa ekor kerisi. Memang tekong ni antara yang terbaek di Terengganu barangkali, kami saling menaikkan ikan kerisi.. ada yang saiz kecil, saiz sederhana, dan saiz ibu kerisi. Apabila hasil mulai kurang, umpan semakin tidak dipatuk ikan, tekong angkat sauh terus berenjak cari lubuk ikan di tempat lain.. pendek kata sepanjang 8 jam memancing, lebih kurang 6 kali tekong beranjak mencari lubuk ikan. Perfect tekong ni.. siap ajar, siap perambut, siap sediakan umpan yang siap dipotong dan siap masakkan nasi berlaukkan ikan kerisi segar untuk santapan breakfast kami. 







Rezeki kami memang murah.. mungkin hikmat kami sabar malam tadi yang tidak turun mencandat.. Allah ganti sotong dengan ikan kerapu, Tekong terjumpa lubuk ikan kerapu sebanyak dua kali.. lengguh bahu pemancing menarik naik kerapu yang begitu banyak. Tekong pun heran macam mana kerapu begitu banyak kat situ yang biasanya kerapu sebesar itu banyak terdapat nun jauh di pelantar minyak. Tekong pun naik syeikh untuk turut sama memancing kerapu. Sekali dapat 3 ekor, guna appolo mata saiz besar sikit. Ibu-ibu kerisi juga banyak.. tak sangka rupanaya memancing ikan lebih seronok berbanding mencandat kerana hasil tak putus-putus dapat.



Jaing.. pemancing newbies

DinGunung.. tak nak kalah

Iwer..pemancing paling cemerlang.. banyak ikan besar yang berjaya dibawa naik



Wajah-wajah kecewa malam tadi sudah bertukar menjadi seronok.. di tambah pula dengan cuaca yang cukup baik, angin sepoi-sepoi dan alunan ombak juga lembut cuma sekali sekala ada kucahan air yang membuatkan 2 orang ahli tak dapat menahan mabuk. Tekong janji 4 jam sahaja hendak memancing kemudian balik ke jeti, tapi oleh sebab cuaca yang mengizinkan ditambah pula dengan hasil yang tak putus, tekong biarkan saja kami melayan pancing sampai puas. Ikut hati memang tak nak balik, namun kami perlu memandu jauh balik ke KL selepas ini ditambah pula kesokan hari kami perlu kerja, kami terpaksa stop keseronokan ini dan dengan berat hati ajak tekong balik  ke jeti lebih kurang pukul 3 petang. 






DinGunung dengan hasil yang diperoleh

Bersama pembantu tekong.. Pok Jakk

Tekong pun naik syeikh.. turut serta memancing kerapu




Bayaran yang dikenakan untuk 8 jam cuma rm500. Kami share sorang RM50. Kira sangat berbaloi dengan harga tu. Kami bergerak pulang ke rumah Inap dan membahahagikan hasil tangkapan sama rata walaupun ada dalam kalangan ahli kami yang tak mampu memancing sebab mabuk dan ada yang mancing sambil main-main. Kami bertolak balik ke KL selepas mandi dan solat asar pukul 6 petang. Kami singgah di beberapa tempat beli buah tangan untuk bawa balik ke rumah. Sekali sekala kami singgah untuk minum bersama-sama untuk hilangkan lapar dan rasa megantuk. Kami sampai ke rumah masing-masing lebih kurang pukul 2.30 pagi. Walaupun mata mengantuk, badan penat tapi kami semua puas. Belum lagi sampai rumah, sudah bincang tarikh ekpedisi mencandat untuk tahun 2020. 


antara hasil yang diperoleh

hasil dikongsi sama rata

skali skalo mabuk tu perkara biasa

pengalaman pertama..disajikan dengan mabuk


Selama 2 hari kami makan nasi berlaukkan ikan segar hasil titik peluh sebagai nelayan. Ikan kerisi goreng kunyit, ada yang bakar cicah budu atau sambal, ada yang buat asam pedas. Ikan kerapu masak Sweet Sour, ada yang masak stim, ada yang buat 3 rasa dan ada yang goreng taruk sambal kicap. semunya sedap belaka sebab ikan segar dan hasil penat lelah sendiri. Sekian sahaja celoteh daripada MatdinGunung untuki XPDC outdoor Matdin. Kalau ada salah silap minta ampun dan minta maaf. Kredit gambar dari Amer ada skit.. T.Kasih semua.. Tahniah semua.. kalau panjang umur.. tahun depan jumpa lagi.



Makan breakfast dgn ikan freshh..hasil air tangan sdiri

rezeki dari Allah turut dikongsi dgn makhluk Allah yg lain.. mucung mulut2 kucing peliharaan memtakdarah ikan fresh dari ladang
Menu Amer.. kerapu sambal kicap

Menu Jaing.. kerisi cicah  budu


Menu tuan pejo.. kerisi goreng kunyit.. mcm DinGunung punya menu