Wednesday 27 February 2013

BAHANA PIL KUDA

Pil Kuda satu nama yang telah sinonim dengan anak-anak muda khususnya di Kelantan dan Terengganu, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal bersempadan dengan Selatan Thailand. Pil Kuda yang berasal dari Thailand ini merupakan dadah terkini yang dicipta dan telah berjaya memecahbelahkan masyarakat dan memporak-perandakan institusi kekeluargaan.


Sewaktu zaman aku bersekolah dahulu, pil ini masih belum dicipta. Yang wujud pada masa itu cuma ganja dan rochee. Itupun pelajar takut-takut untuk menghisapnya, apa lagi ingin membawanya ke sekolah. Sekarang ini, pil kuda dijual di merata-rata tempat dan boleh diperoleh dengan begitu mudah. Ramai dalam kalangan pelajar sekolah telah dilatih dan direkrut oleh pengedar-pengedar pil kuda supaya menjual pil ini kepada kawan-kawan mereka di sekolah. Penjual kecil-kecilan ( pusher ) ini akan diberi sedikit komisyen atau mendapat upah pil kuda untuk ditelan buat diri sendiri. Oleh sebab saiz pil ini amat kecil maka amat mudah untuk disorok di mana-mana dan sukar untuk dikesan. Cara penggunaannya juga amat mudah, cuma perlu telan saja untuk mendapatkan kesan. Lagi banyak telan, lagi 'hight' dia punya khayal. Tak payah guna tukir atau jarum suntikan.

 Hal yang demikian menyebabkan penagih pil kuda begitu ramai sekali dan sukar untuk dikawal bahkan pelajar sekolah rendah pun sudah ramai yang menjadi penagih pil ini dan ada yang sudah menjadi pengedar kecil-kecilan. Permintaan pil ini yang tinggi juga menyebabkan pengedar pil ini semakin bertambah tidak kira kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun ibu, ayah dan datuk serta nenek. Bahkan pernah ditangkap, satu keluarga menjadi pengedar pil kuda.Sudah ramai yang kaya raya hasil daripada kegiatan pengedaran pil ini atau dalam istilah bahasa slanga penagih dipanggil ' penolak buah'.




Masa pil ini baru timbul, harga sebiji pil kuda cuma RM5-RM 8 sahaja kemudian semakin meningkat dan terus meningkat sehingga harga pasaran kini mencecah RM 38 sebiji. Walaupun harganya mahal, penagih-penagih pil kuda masih mampu membelinya kerana wang sekarang amat mudah diperoleh bahkan ramai juga dalam kalangan penagih pil ini adalah anak-anak orang kaya. Ada sesetengah pengedar boleh tolak secara hutang kepada penagih. Telan dulu bayar kemudian.

Hadirnya Pil Kuda telah memberi bahana yang amat besar kepada masyarakat dan intitusi keluarga. Anggota masyarakat akan hidup dalam ketakutan dan sentiasa berjaga-jaga kerana tidak ada lagi jaminan untuk keselamatan nyawa dan harta benda mereka. Sikap penagih pil kuda yang agresif dan sukar diramal ini membuatkan masyarakat huru-hara. Saya ambil contoh di negeri Kelantan, boleh dikatakan tidak ada walau satu kampung di negeri Kelantan yang bebas daripada ancaman pil kuda. Setiap kampung 'wajib' ada penagih pil kuda kerana pil ini telah masuk merebak ke segenap ceruk kampung. Anggota-anggota polis tidak boleh lagi goyang kaki duduk berbual-bual kosong di balai kerana ada-ada saja laporan daripada penduduk kampung kegiatan-kegiatan jenayah pecah rumah, curi, samun, bunuh dan sebagainya yang dilakukan oleh penagih tegar pil kuda.

Kalau dulu, penjahat naik rumah orang untuk ambil barang-barang berharga. Sekali sekala berlaku kehilangan motosikal dan kasut, tetapi sekarang hampir semua benda yang boleh menghasilkan duit buat penagih akan hilang. Yang paling glamour ialah kegiatan mencuri getah sekerap, curi kabel telefon, kabel TNB, curi binatang ternakan seperti kambing, ayam, angsa, lembu. Burung Candik Jambul juga turut menjadi mangsa curi. Kepala paip pun dicuri. Pintu pagar besi pun di curi, penutup longkang pun dicuri. Pendek kata hampir semua barang yang laku dijual mereka akan curi. Ada sesetengah penagih pil kuda juga sanggup memecahkan dan mencuri wang tabung masjid dan surau untuk mendapatkan wang.

Sekarang ini penagih pil kuda memang sangat agresif. Mereka tanpa rasa belas kasihan sanggup memukul dan mencederakan mangsa samun. Mereka sentiasa merayau-rayau mencari sasaran. Apabila sudah dikenal pasti atau line sudah clear, mereka bertindak menyamun orang tua, wanita dan budak-budak. Ketagih punya pasal telah membuatkan mereka tidak mempunyai 'hati perut'.

Pil kuda itu sendiri sebenarnya yang merosakkan otak mereka menjadi berani dan 'gila'. Penagih yang dah ' kacip kuda' akan berani untuk melakukan jenayah. Penyeludup beras, petrol, diesel, dadah, senjata api dan sebagainya terlebih dahulu menelan pil kuda untuk melakukan kegiatan jenayah mereka supaya mereka lebih berani dan berkeyakinan untuk melakukan sesuatu jenayah. Kalau nak bergaduh pun mereka akan telan pil kuda dahulu sebelum bertarung. Pil kuda juga turut terkenal dalam kalangan mat-mat rempit kerana dengan menelan pil kuda terlebih dahulu sebelum merempit membuatkan mereka akan menjadi 'hati kering' dan berani beraksi.

Pelajar yang telan pil kuda sebelum masuk kelas akan memberi masalah kepada guru dan rakan sekelas. Biasanya mereka akan bertindak agresif sekiranya ditegur atau dimarah terutamanya di saat-saat kesan khayal semakin hilang. Keadaan ini boleh menyebabkan tangan mereka 'ringan-ringan' nak hinggap kat muka cikgu sekiranya mereka ada rasa apa-apa yang tak puas hati. Pil kuda juga menjadi menu harian untuk kebanyakan pemandu kenderaan seperti lori pegangkut, pemandu teksi dan pemandu bas ekspress kerana dengan menelan pil kuda dapat mengelakkan mereka daripada letih dan megantuk. Pendek kata, pil kuda ini digunakan secara meluas dan di mana sahaja tidak kira apa jawatan mereka, berapa umur mereka dan apa jantina mereka.

Sekarang ni sudah ramai yang menjadi penagih tegar pil kuda. Kegiatan jenayah akibat daripada penagih pil kuda ini pula semakin hari semakin hebat dan sukar dibendung. Pasukan RELA dan Pasukan Rukun Tetangga yang dibentuk untuk membantu pihak polis menjaga keselamatan tidak memberi kesan terhadap perlakuan jenayah yang disebabkan oleh penagih. Ada sesetengah penagih pil kuda yang bukan saja sanggup memukul isteri, bahkan lebih daripada itu iaitu sanggup membunuh ibu bapa dan sanak saudara mereka. Itulah situasi hari ini yang kita semua perlu tahu betapa hebatnya bahana pil kuda kepada masyarakat dan negara. Perkara ini kita tidak boleh dipandang enteng kelak akan membawa bencana kepada negara yang suatu hari nanti sudah tidak ada lagi generasi yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara.

Pihak kerajaan bukannya tidak bertindak untuk membendung gejala ini tetapi oleh sebab terlalu banyak maka menyukarkan pihak berkuasa untuk bertindak. Boleh dikatakan semua pusat pemulihan dadah sudah padat dengan penagih di seluruh negara. Yang insaf cuma beberapa kerat sahaja tetapi penagih baru, bertambah setiap saat. 

Rencana : Matdingunung.blogspot.com

No comments:

Post a Comment