Tuesday 24 February 2015

DEDIKASI BUAT SEORANG IBU

ASSALAMUALAIKUM WBT...

Hari ini 24 Februari 2015 genap satu tahun ibu dipanggil menghadap Illahi setelah menempuhi ranjau kehidupan selama 80 tahun. Sepanjang kehilangan ibu, terasa begitu sunyi sekali. Keinginan untuk pulang ke kampung sudah luntur. Rumah pusaka kelihatannya begitu suram. Sesekali aku ke bilik air, mataku asyik terpandang kain batik basahan mandi ibu yang masih bersidai kemas di ampaian dalam bilik air. Terasa seolah-olah ibu masih ada bersama walau jasadnya sudah lama tiada.

Sempena satu tahun pemergian ibu, aku mencipta satu sajak KHAS BUAT ARWAH IBU TERSAYANG..



DEDIKASI BUAT IBU

TERIMA KASIH IBU...
KAU MENJAGAKU BAGAI MENATANG MINYAK YANG PENUH
TATKALA  TIDURKU MASIH BERSULAM MIMPI INDAH
KAU TELAH BANGUN MENGHINGGAP API DI TEPI PERIGI
BUAT AKU BERDIANG DARIPADA SEJUKNYA AIR MANDI
YANG BAK CAIRAN SALJU
MEMBUATKAN DARAHKU HAMPIR BEKU
DAN TUBUHKU HAMPIR KAKU

TERIMA KASIH IBU...
DIKALA DINIHARI  AKU BERSIAP UNTUK PERGI  MENUNTUT ILMU
JARI JEMARIMU GALAK MENARI MEMUSING-MUSING BELAKANG KARIPAP
TAPAK TANGAN KEMATUMU BEGITU TANGKAS MENGGETEL CEK MEK
LALU KAU MENGHANTARNYA  KE WARUNG KOPI SEBAGAI BAHAN JUALAN
UNTUK MENAMBAH SEDIKIT PENDAPATAN
AGAR  ANAK-ANAKMU KEKENYANGAN DI TEMPAT MEREKA MENIMBA ILMU

TERIMA KASIH IBU...
DIKALA MENTARI  TEGAK  DI ATAS KEPALA
DIRIMU MASIH LAGI MENGADAP POKOK GETAH
BERTEMANKAN NYAMUK, PACAT DAN UNGGAS
MENGCAKAR SETIAP BATANGNYA  DENGAN PISAU TOREHAN
TERJENGKET-JENGKET MEMBIMBIT BALDI BESI
MEMUNGGUT HASIL  UNTUK DIJUAL
DAN HABUANNYA.. ANAK-ANAKMU YANG RAKUS MERATAHNYA

TERIMA KASIH IBU...
WALAUPUN BADANMU PENAT,
BETISMU BERSIMPUL URAT JAHAT
NAMUN.. KAU TERUS  GAGAH MENYEDIAKAN SEDIKIT JUADAH
UNTUK PERUT ANAK-ANAKMU YANG SENTIASA MENADAH
AGAR MENDAPAT TENAGA SEPERTI ANAK-ANAK ORANG LAIN

TERIMA KASIH IBU...
TATKALA MENTARI SUDAH DI PENGHUJUNG UFUK BARAT
ANAK-ANAKMU INI SUDAH PULANG DARIPADA BERMAIN
TETAPI KAU MASIH MEMERAH KERINGAT  MENGERJAKAN SAWAH
UNTUK MENDAPATKAN SEDIKIT BERAS
AGAR ANAK-ANAK MU TIDAK KEBULUR SEPERTI ANAK SOMALIA

TERIMA KASIH IBU...
TIDURKU KAU ULIT
TANGISKU KAU PUJUK
MAKANKU KAU SUAP
MANDIKU KAU LAP
PAKAIKU KAU SIAP
SAKITKU KAU RAWAT


TERIMA KASIH IBU...
KAU IBARAT SUMBU PELITA USANG
YANG SENTIASA MEMBAKAR DIRI
UNTUK MENERANGI SEKELUMIT KEGELAPAN
AGAR TEMPIAS SINARANNYA DAPAT DIRASA OLEH SETIAP ANAK-ANAKMU
SESUNGGUHNYA.. PENGORBANANMU TIDAK TERBALAS

TERIMA KASIH IBU...
TIDAK TERNILAI KASIH DAN BUDIMU PADAKU
YANG SENTIASA BERDOA DALAM TANGISAN
MEMOHON PADA ILLAHI
BAGI MEMASTIKAN DIRIKU TERUS BERJAYA
AGAR GENERASIMU MENJADI LEGASI
BERBAKTI UNTUK AGAMA,  NUSA DAN BANGSA


KARYA : EN. YUSDIN BIN YUSOF





KENANGAN BERSAMA IBU MENJADI MEMORI YANG INDAH SEPANJANG MASA


Mendapat hadiah yang istimewa daripada anak-anak setiap kali sambutan hari ibu..

Dapat mencium pipi seorang ibu merupakan satu anugerah yang cukup besar ertinya..

Ibu.. anak-anakmu tidak berjawatan besar, tetapi kami junjung budimu setinggi-tingginya. Walau setitis air mata duka ibu, kami tidak akan biarkan ianya menitis..






Wednesday 11 February 2015

XPDC MEMANCING DI KELONG BIRU TELOK GONG

Assalamualaikum wbt...

Hai.. tahun 2015 ni aku mulakan entri blog aku dengan pengisian kisah-kisah duka mangsa bah kuning yang melanda pantai timur hujung tahun 2014. Awal tahun 2014 dulu pun, blog aku juga diisi dengan kisah duka iaitu pulangnya ibu kesayanganku ke rahmatullah.Kalau boleh, aku tak mahu lagi entri blog aku ini diisi dengan kisah-kisah sedih selepas ini. Biarlah pengisiannya padat dengan aktiviti-aktiviti outdoor dan aktiviti-aktiviti penganjuran kejohanan sukan.

Yeah.. aktiviti outdoor aku untuk awal tahun 2015 dimulakan dengan XPDC memancing. Kalau dulu aku sedikitpun tidak minat dengan aktiviti ini, tapi sejak belakangan ini aktiviti memancing pula yang lebih menonjol. Tak apalah.. janji semua aktiviti yang aku follow tu boleh menenangkan fikiran yang berserabut dengan tugasan kerja. Kerja..kerja juga, enjoy pun mahu sekali sekala.

Kali ni aku cuba pula ke kelong biru di Telok Gong. Katanya kat sini ada banyak ikan sebab terdapat kapal karam kat dasar muara ni yang menjadi tempat ikan bermain-main. XPDC kali ni cuma dihadiri oleh keluarga aku sahaja. Keluarga aku yang tinggal di KL ni sebenarnya memang ramai. Oleh sebab masing-masing sibuk dengan kerja, maka kurang berkesempatan untuk berkumpul. Apapun.. hujung bulan januari baru ni sempat juga kami berkumpul walaupun tidak semua yang mampu hadir kerana  kekangan tugas di luar kawasan. Tak pelah.. kalau nak tunggu cukup semua, sampai bila-bila pun aktiviti macam ni tak boleh jalan.

Cuaca pada hari ini boleh dikatakan cantek walaupun sekali-sekala ada kedengan bunyi guruh di langit. Kami sampai di jeti Telok Gong lebih kurang pukul 4.15 petang. Bot untuk membawa kami ke kelong sudah sedia menanti. Kami dibawa ke kelong milik keluarga Ijan yang ruangnya tidaklah sebesar mana tetapi cukuplah untuk menampung seramai 10 orang pemancing. Lagipun harganya tidaklah mahal sangat cuma RM 350 sahaja untuk sabtu dan ahad. Kalau dikongsi sepuluh orang tak sampai RM40.00 seorang.

Para peserta XPDC memancing begitu teruja untuk merasa kenikmatan menarik tali pancing
 Kawasan ini memang terdapat banyak kelong yang berhampiran. Kita boleh pilih yang paling selesa sekiranya kita cepat membuat tempahan. Ada sesetengah kelong kat sini yang siap menyediakan set karaoke untuk berhibur sekiranya air laju. Set BBQ juga turut disediakan selain pinggan mangkuk dan dapur untuk memasak.        ( tolong promote sekali )

Inilah rupa kelong milik keluarga Ijan. Tidaklah besar sangat tetapi bolehlaaaa...
Letaknya kelong ni dengan jeti tidak sampai 800 meter pun. Hal ini memudahkan kita membeli umpan berupa umpun-umpun dan udang hidup yang ada dijual kat sini. Call saja pemilik bot, dihantarnya umpan yang kita order walaupun pukul 2 pagi. Senang kan?

Sebahagian daripada batang pancing yang sedia untuk berkhidmat

Kelong-kelong yang berdekatan

Deretan kelong-kelong kepunyaan owner yang berlainan

Membuat persediaan sebelum bertarung

Ambik gambar dulu sebagai koleksi destinasi pemancingan

Kat sini.. banyak ikan gelama yang warnanya kuning. Saiznya boleh tahan. Kebetulan masa kami sampai tu airnya agak tenang. Keadaan ini cukup sesuai untuk menaikkan banyak ikan. Tanpa berlengah lagi.. pemancing yang terlebih teruja masing-masing melabuhkan mata pancing dan cuba bersaing siapa yang berjaya menaikkan ikan terlebih dahulu. Rata-rata pemancing yang hadir adalah amatur. Datang bukan saja untuk memancing.. tetapi lebih kepada untuk seronok-seronok. Dapat ikan kira bonus, tak dapat ikan pun tak kesah.. janji enjoy.

Nampaknya Dr. Baini yang berjaya membawa naik anak gelama terlebih dahulu tidak sampai 5 minit melabuhkan mata pancingnya.

Sebelum ni memancing tak pernah dapat ikan, kali ni boleh dapat la pulak.. dari raut wajahnya sudah jelas kelihatan betapa puas hatinya..

Perghhh.. bangga betul mamat ni. Menggunakan umpan umpun-umpun

Lima minit kemudian.. Giliran Pok Riey pula.. 

Agak besar ikan yang berjaya dinaikkan oleh Pok Riey

Matdin Gunung masih mencuba dan terus mencuba

Setentang dengan kelong kami terdapat satu kumpulan pemancing yang agak meriah..gelak memanjang..
Pukul 6.50 petang, keadaan agak hambar. Ikan sudah mula tidak mahu mengutis. Arus pula bertambah laju. Keadaan yang tidak sesuai untuk memancing ini kami ambil kesempatan untuk mengalas perut dengan bekalan yang aku sediakan seadanya. Lauk simple tetapi amat-amat menyelerakan..

mentakdarah dulu.. bagi ada tenaga nak layan ikan saiz XXL malam nanti



makan ramai-ramai lalu woiii walau lauk simple saja

Tak ada lauk pun sebenarnya.. nasi sama ulam sama budu sama sambal belacan ajerr..
Selepas makan mengisi perut untuk mengembali tenaga yang hilang, kami berehat sambil bersembang sementara menunggu azan maghrib. Tidak banyak ikan yang mengutis umpan pada masa ni. Umpun-umpun yang dibeli kat jeti masa nak datang sudah mula berkurangan. Umpan sotong dan ikan kembong kurang menyengat. 

oleh sebab ikan kurang tarik.. aku main-main dengan kamera untuk merakam gambar matahari terbenam


Iwer cuba bermain dengan casting pula




Ada kalanya mata pancing tesangkut sampah sarap
Selepas maghrib.. air kembali tenang. Umpan-umpan di mata pancing mula dikutis ikan. Para pemancing sudah mula tak menang tangan melayan joran masing-masing. Seorang demi seorang pemancing mula menaikkan ikan. Pelbagai spesis ikan berjaya dibawa naik. Tetapi yang paling banyak ialah ikan gelama. 

Wah.. sampai 3 ekor ikan sekaligus berjaya dinaikkan oleh Zul. Antara pemancing yang paling banyak menaikkan ikan


Mat Lajim.. berjaya menaikkan sampah

Para pemancing begitu tekun dan sabar 

Antara buruan yang berjaya ditawan

Sehingga pukul 10 malam, sebanyak ni ikan-ikan yang berjaya ditawan
Kami memancing sehingga pukul 1 pagi. Selepas tu ikan mula berkurangan memakan umpan. Para pemancing masing-masing mencari port yang sesuai untuk landing. Oleh sebab ruang tidur sangat kecil, maka ada dalam kalangan pemancing terpaksa tidur berhimpit-himpit di luar bilik.Aku dapat port yang paling selesa kerana aku yang tidur dulu. 

Keesokan pagi, kami bangun awal untuk sembahyang subuh. Sesudah sembahyang, aku menyediakan sedikit makanan ringan buat mengalas perut. Pagi ni ikan tak banyak dapat. Oleh sebab itu, kami mengambil keputusan untuk pulang awal sebelum panas menjengah membaham kulit muka. 

Bergambar kenangan sebelum balik







Pukul 10.30 pagi, tuan kelong datang untuk menjemput kami bawa ke jeti. Walaupun tidak banyak ikan yang dapat, hati kami puas kerana tidak ada seorang pun pemancing yang gagal menaikkan ikan. Semua dapat merasa bermain-main denga ikan yang terkena joran masing-masing. Keseluruhan ikan yang dapat lebih 60 ekor terdiri daripada pelbagai jenis dan saiz. 

Kesimpulannya.. kalau pemancing hardcore, hasil yang diperoleh memang memalukan dan mengecewakan buat mereka tetapi bagi kami yang semuanya amatur, kira OK lah dapat hasil sebanyak tu. Yang lebih penting, kami dapat berkumpul satu family dan aktiviti ini kira sesuatu yang menyeronokkan. Mereka bercadang nak pegi lagi, bukan untuk menebus kekecewaan tetapi untuk bersantai menghirup bayu laut. 

Balik dengan membawa hasil tangkapan @ bahan bukti

Setiap orang ada bahagian masing-masing untuk dibawa pulang dan makan ikan fresh bersama family  masing-masing hasil titik peluh sendiri.
Sejujurnya, mana-mana pemancing yang nak pegi ke sini, boleh laa.. tidak menghampakan sangat. Kalau rezeki baik, mungkin jauh lebih baik daripada ini hasil tangkapannya. Pastikan kita mencari bulan yang baik mengikut kalender islam. Air pasang lebih lama dan arus yang tidak kuat. In shaa Allah.. kita akan mendapat hasil yang tidak akan mengecewakan. 

Destinasi seterusnya selepas ini.. Kelong yang bumbungnya biru itu