Monday 31 December 2012

TAHUN BARU.. AZAM BARU.. RUMAH BARU..

Assalamualaikum.. SELAMAT TAHUN BARU  wahai pembaca blogku.. ku doakan semoga diri kalian dipanjangkan usia dan diberikan sihat tubuh badan oleh Allah swt. Waa.. aku mulakan mukadimmah blogku dalam entri pertama pada tahun baru 2013 dengan doa. Itu menunjukkan satu anjakan paradigma sedang berlaku dalam diri ke arah yang lebih islamik sikit. he..he..ya betulll, ini bukan omongan kosong, tapi satu azam baru dalam tahun baru. Azam aku pada tahun ni nak tingkatkan amalan dan perbanyakkan kehadiran ke surau atau masjid. Kalau boleh, secara sukarela nak jadi AJK surau untuk mengimarahkan surau atau masjid. Nak beri khidmat apa-apa yang patut sama ada kepakaran, buah fikiran, tenaga atau wang ringgit. 

Dalam tahun baru ni, aku pun berazam nak tinggal kat rumah baru 
( walaupun rumah ni dah lama sangat aku beli.). 


Rumah Baru Matdingunung
Barang-barang sudah diangkut masuk,  cuma tuan punya rumah saja masih tidak berupaya untuk tinggal kat rumah baru atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan.Hati sudah kat sana sebenarnya. Bila dah isi barang-barang kat dalam rumah, waaa... terus nampak ada seri rumah baru aku. Sebelum ni kososng aje.. Walau bagaimanapun, InsyaAllah... kot-kot mana pun, dalam tahun ni aku akan pindah juga masuk rumah baru aku tu bila semua masalah persekolahan anak-anak dapat aku settle. Paling lewat sebelum pilihanraya tahun ni, he..he.... Eh kenapa pilihanraya pulak, kenapa tak lepas hari raya cina?  sebab pilihanraya tetap berlaku dalam tahun ni, Perdana Menteri wajib bubarkan parlimen sebab dah cukup haul pemerintahan. Kalau raya cina tiap-tiap tahun berlaku, mungkin aku pindah lepas raya cina tahun depan.. 


Perabot dalam rumah lama sudah ready untuk menetap di rumah baru

TV lama yang besar bontot dan amat berat ni perlu ditukar dengan TV LED baru yang tak de bontot dan ringan
Operasi pemindahan sudah bermula.. bersemangat betul anak-anak aku punggah barang



Laman yang luas membuatkan anak-anak aku selesa bermain-main

Boleh muat dua kolam mandi

Haaa... tilam baru yang dibeli sudah sampai.. bestttnya  tidur hujan-hujan  cam ni.

Sebelum pulang, driver tu siap ucap "selamat tidur di atas tilam baru cikgu.."


Bilik Aina

Bilik Amsyar

Bilik Adib & Athir


Ruang tangga naik atas

Ruang dapur


Sudut bucu tangga

Langsir baru

He..he.. banyaknye barang baru yang masuk ke rumah baru. Kereta cuma ada sebuah, kalau masuk rumah baru sangat perlu kereta sebuah lagi untuk aku hantar dan jemput anak-anak sekolah. So.. tunggu.. mesti kereta baru akan masuk pulak sikit masa lagi. Yang sedang dok pikir sekarang ni, sama ada nak beli kereta second hand atau kereta yang kusyennya dalam plastik. Kalau kereta second hand, yang ni menjadi idaman.. (Lihat gambar bawah)


Perghhh.. sangat perkasa untuk masuk hutan.
Yang ni pun sangat menarik. Sesuai untuk redah banjir, masuk hutan dan bersiar-siar di tengah  kota raya.
 Tapi kalau aku nak beli kereta yang kusyennya dok ada dalam plastik, hanya kereta ni saja yang mampu aku beli.( lihat gambar bawah)



Walau apapun, aku masih punya masa lebih kurang tiga bulan lagi untuk fikirkan sama ada nak pakai kereta baru atau 4x4 second hand.
Okeylah.. sampai sini dulu yang boleh aku ceritakan. Bukan nak menunjuk.. tapi saje je nak luah perasaan kat sini sebagai entri blog yang sesuai dengan tajuk TAHUN BARU, AZAM BARU, RUMAH BARU, TILAM BARU, KERETA BARU he..he..he..

# (kerja pun sudah dapat jawatan baru, bukan lagi guru majalah sekolah, tapi guru boling pulak. Syoknya.. boleh main boling tiap-tiap minggu )

Sunday 30 December 2012

SELAMAT TAHUN BARU

Hari ni merupakan hari terakhir kita berada dalam tahun 2012 dan esok pastinya kita akan berada dalam tahun 2013 kalau masih dipanjangkan umur, ini bermakna tahun 2012 sudah menjadi satu lipatan sejarah. Ini juga bermakna, entri SELAMAT TAHUN BARU  merupakan entri terakhir aku dalam tahun 2012 ni. Alhamdulillah.. bersyukur pada Allah swt kerana sepanjang hari-hari berlalu aku masih diberi peluang untuk bernafas di atas muka bumi tuhan ini. Sepanjang tahun 2012, tubuh badan aku sentiasa sihat sejahtera. Banyak aktiviti indoor dan outdoor yang dapat aku lakukan dengan anugerah kesihatan yang tidak ternilai ini. 

Beranjaknya  tahun 2013, bermakna tambah satu tahun lagi umur aku dalam tahun masehi. Satu sejarah buatku apabila anak sulung aku sudah melangkah ke sekolah menengah dalam tingkatan satu manakala anak yang ketiga masuk prasekolah. Ramai kawan aku yang mengajar sama dengan aku dan sekolah anak aku di tempatkan dalam tingkatan satu, tersenyum sinis padaku dan mereka seolah tidak percaya bahawa anak aku sudah remaja dan masuk ke sekolah menengah. Mungkin mereka nampak aku masih muda dan seolah tak layak untuk mempunyai anak yang sudah remaja. Walau bagaimanapun, itulah kenyataan dan hakikat sebenar bahawa aku sudah berumur dan anak aku sudah remaja. Aku kena memainkan peranan sebagai seorang ayah yang bertanggungjawab mendidik anak remaja ke jalan yang benar dan lurus. Anak remaja sekarang bukan senang nak dibentuk akibat daripada persekitaran yang semakin kompleks dan mencabar. Berada di sekeliling mereka adalah jalan-jalan ke arah menjahanamkan jati diri mereka lebih-lebih lagi berada di bandar besar yang penuh dengan gejala sosial. Lubang-lubang maksiat bertaburan sana sini, kawan-kawan yang samseng dan nakal senang diperoleh, pusat-pusat hiburan bersepah, tempat-tempat untuk menghabiskan duit juga ada merata-rata. Kalau seseorang remaja itu tidak kuat jati diri untuk menempuh cabaran dan godaan serta tidak kuat keimanan untuk menghadapi semua itu, maka amat mudahlah mereka terjerumus menjadi seorang anak yang memeningkan kepala kedua ibu bapanya, menjadi seorang pelajar yang memberi masalah kepada guru-guru di sekolah, menjadi anggota masyarakat yang tidak bermanfaat serta menjadi rakyat yang tidak berguna kepada negara. Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorak anak-anak remaja agar menjadi seorang anak yang berjaya dalam kehidupan dan berjasa untuk agama, bangsa dan negara. 

Aku berdoa pada tuhan agar anak aku menjadi anak yang beradab, bersopan santun, tidak derhaka kepada kedua ibu bapa serta boleh memberi jasa dan manfaat kepada agama dan seluruh masyarakat. Kata orang tua-tua " sejuk perut ibu mengandung kalau dapat anak yang taat suruhan Allah dan baik budi pekertinya".
Aku sangat berharap agar tuhan lembutkan hati anak aku untuk ke Sekolah  Tahfiz Sains kat Kolej Universiti Islam Selangor, Bangi. Anak aku sebenarnya sudah mendapat tawaran untuk ke sekolah tu selepas lulus dalam ujian bertulis dan temuduga, tapi dia rasa berat hati untuk ke sekolah tu atas sebab jadual yang padat. Lagi satu, dia tak mahu tinggalkan kawan-kawan dia kat sini yang bersekolah di sekolah sekular tempat aku mengajar sekarang. 
Sebagai ibu bapa, aku sangat berkeinginan untuk menempatkan anak aku di sekolah agama kerana di sekolah ni mereka hanya bercampur dengan rakan-rakan yang sebangsa dengan kita serta dikelilingi oleh ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah. Pemakanan juga dijaga, pergaulan dikawal rapi, disiplin lebih menjurus ke arah Islamik dan banyak lagi kelebihan yang ada di sekolah agama seperti ini. Aku percaya, ramai ibu bapa sangat berkeinginan menempatkan anak-anak mereka di sekolah agama. Walaupun sekolah agama bukan jaminan anak-anak kita akan jadi baik, tapi sekurang-kurangnya sebagai satu ikhtiar untuk anak kita terbina jati diri dan terbentuk akhlak mulia.


Para ibu bapa bersemangat untuk menempatkan anak mereka dalam tingkatan satu  2013 di sekolah biasa

Para ibu bapa berbaris untuk membeli buku latihan dan amali anak-anak

Guru-guru tingkatan dibantu oleh para pengawas

Anak aku.. Mat Adib sedang beratur dalam barisan kelasnya, 1 Gigih.

Pelajar secara beratur menuju ke kelas masing-masing untuk orientasi

Para ibu bapa melihat di papan kenyataan dalam kelas mana anak-anak mereka di tempatkan

Pendaftaran bermula

Para ibu bapa dikumpulkan di dewan sekolah untuk sesi taklimat

Dari sekolah rendah, masuk sekolah menengah

Kelas anak aku di sekolah sementara, tingkatan 1 Gigih

Nilah anak aku dok di belakang sekali. Dah jumpa kawan kot.

Puan Rahimah, guru kelas anak aku. Tengok muka garang cikgu ni, tapi.. baik garang daripada lembut. Budak sekarang kalau bersikap lembut cepat 'naik kepala'
Okeylah.. buat sementara waktu, Ahmad Adib aku tempatkan dulu di sekolah ni. Dalam Daerah Petaling, sekolah ni antara sekolah yang terhebat. Sesiapa yang boleh masuk ke sekolah ni sudah layak untuk berbangga. Ramai cikgu pakar dan cikgu yang sangat komited dalam menjalankan tugas mendidik pelajar. Walau apapun.. bagi aku, sekolah agama adalah yang terbaik. Apabila sudah mendapat surat tawaran nanti, insya-Allah... aku akan hantar Ahmad Adib ke Sekolah Bina Insan, KUIS. Iaitu sebuah sekolah  tahfiz sains yang menawarkan pakej akademik biasa dan tahfiz al-Quran di bawah seliaan pihak JAIS. 

Tuesday 25 December 2012

FIKIR DULU SEBELUM BERBELANJA SECARA HUTANG

Assalamualaikum... lagi dua tiga hari sekolah dah nak buka, tak puas rasanya menikmati cuti.. dah nak mula kerja balik. Chee..wah, marah orang-orang yang daripada kalangan bukan cikgu. Mereka dapat cuti dua minggu pun dah tak terkata nikmatnya bercuti. Kita daripada kalangan cikgu hampir 2 bulan cuti pun masih tak genap/cukup. Dah le kerja separuh hari saja. Sebab tulah ramai penjawat awam lain cukup jelous dengan cikgu. Takpelah, tak baik jelous dengan orang lain, dah kerjaya dia cam tu nak buat macam mana. Sebenarnya kerja cikgu nampak je senang.. tapi hakikatnya cikgu menanggung tanggungjawab yang besar untuk mendidik anak bangsa dalam dunia sekarang. 

Oklah.. tutup dulu cerita pasal cikgu. Sekarang berbalik kepada perkara pokok yang aku nak cerita dan kongsikan dalam entri ni agar dapat manfaat kepada semua. Berbelanja dengan cara berhutang ni memang berhantu sebab kita boleh dapatkan banyak barang tanpa keluarkan modal sesen pun. Tapi kita kena fikir.. setiap bulan kita mesti kena bayar. Kalau tak bayar, hutang kita akan meningkat sebab kena caj late payment. 

Gambar hiasan saja

Bagi mereka yang berduit tak de masalah untuk berbelanja secara tunai. Tapi, bagi mereka yang tak berduit, mesti kena beli secara hutang keperluan-keperluan asas terutamanya bagi mereka yang baru kahwin. Orang yang baru berumahtangga, sudah tentu ingin tinggal di rumah sendiri tak kira rumah yang dibeli atau disewa. Masuk rumah ni memerlukan banyak barang seperti Peti ais, televisyen, dapur gas, almari kain, mesin basuh, sofa dan lain-lain. Kalau setakat periuk eletrik, blender, pembakar roti, kipas angin mungkin kawan-kawan atau sanak saudara boleh beri sebagai hadiah perkahwinan. Tapi yang besar-besar kena beli sendiri la. Orang baru lepas kahwin mana ada duit nak berbelanja beli barang-barang tu sekaligus sebab kos kahwin sekarang ni bukannya murah bahkan hampir RM20,000. Kalau anak orang kaya tak de masalah, mak ayah boleh support. Tapi...anak orang tak berapa nak kaya dan anak orang miskin kena buat pinjaman pribadilah jawabnya.

Ni aku nak kongsi sikit maklumat dan panduan kepada mereka yang bercita-cita nak beli barang secara hutang. Aku berhajat hujung tahun ni nak lah masuk rumah baru dan tinggalkan kuaters hak milik kerajaan tempat aku tinggal sekarang ni. Kawan-kawan hampir semua dah tinggal kat rumah sendiri. Aku pun nak la juga merasa tinggal kat rumah sendiri seperti mereka. Bila nak masuk rumah baru, sudah tentu memerlukan banyak belanja sebab nak 'tachup' rumah, nak sewa lori, nak pasang balik pendingin hawa, nak kena pasang balik astro, nak beli itu, nak beli ini dan bermacam-macam lagi. Tambah-tambah lagi dah dekat nak buka sekolah, tentu anak-anak nak kena beli buku sekolah, bayar yuran sekolah, nak beli seragam sekolah anak-anak dan sebagainya. Semuanya memerlukan perbelanjaan yang luar biasa. Lagipun hampir semua perabot rumah seperti katil, meja makan, sofa, almari pakaian yang aku guna sekarang adalah hak milik kerajaan. 

Oleh sebab itu, nak tak nak aku kena berbelanja untuk sediakan keperluan tu bila aku masuk rumah baru. Nak beli cash semua barangan tu memang mustahillah. So.. baru-baru ni aku mengunjungi ke satu premis yang boleh dibeli secara hutang yang terkenal di Malaysia. Aku telah beli tiga barang iaitu Tilam Dunlop pilow, Katil dan Peti ais. Jumlah harga ketiga-tiga barangan tersebut ialah RM2977.00. Aku dimaklumkan oleh salesgirl (yang tak berapa nak 'girl' tu sebab anak aku tanya " abah, dia tu lelaki ke perempuan?" ) interest yang kenakan cuma RM855.65 je sebab aku buat cuma setahun pembayaran. Akupun setujulah.. lantas terus beri segala dokumen yang diperlukan untuk proses. Lepas tu, aku terus diminta untuk menandatangani beberapa dokumen perjanjian jual beli. Tanpa berfikir panjang, akupun terus menurunkan tandatangan pada tempat-tempat yang memerlukan aku menandatanganinya tanpa membaca apa-apa syarat dan isi kandungan perjanjian yang meleret-leret dan sukar untuk difahami tu.

Bila aku balik kat rumah, baru aku count semula dan teliti butir-butir perjanjian jual beli. Kira punya kira baru aku tersedar bahawa aku telah terjerat. Harga 3 barang yang di beli sebanyak RM2977.00 tapi jumlah yang aku kena bayar dalam setahun ialah RM4438.65. Kalau interest RM855.65 bermakna aku kena bayar RM 3832.65 saja tapi kenapa jumlah yang aku kena bayar sampai 4 ribu lebih. Aku pun teliti kenapa interest aku mencecah sampai RM1461.65. Sepatutnya semakin singkat masa pembayaran semakin murah, ni tidak.. interestnya saja sama mahal dengan wang belanja kakak ipar aku masa abang aku kahwin dulu. Rupa-rupanya banyak charge-charge yang tak masuk akal telah dikenakan secara sulit. Charge penghantaran dikenakan sebanyak RM89 setiap item bermakna kalau beli sepuluh barang pun charge penghantaran kita kena bayar asing-asing walau guna lori yang sama dan ke tempat yang sama. Aku beli katil dan tilam, charge hantar katil RM 89.00 dan charge hantar tilam rm89.00, charge hantar peti ais RM89.00 walau satu lori dan satu trip saja. Mudahnya dia menipu kita. Kemudian wang proses dokumen pun kita kena tanggung, bukan sikit tapi RM 119.00 setiap item. Maknanya kalau kita beli 3 barang kena tiga kali pembayaran wang proses iaitu RM119 X 3 = RM357.00. Patutlah wang interest dari RM855.65 boleh meningkat sehingga RM1461.65. Licik betul penipuan yang mereka buat. 

Oleh sebab aku dapat kesan lebih awal penipuan halus ni sebelum penghantaran barangan dibuat maka keesokannya pagi-pagi lagi aku telah call salesgirl tu untuk membuat pembatalan pembelian. Aku diminta hadir ke premis tu untuk berunding. Bila dia tanya aku kenapa nak batalkan pembelian, aku terus bagitahu kat dia sebab aku rasa tertipu. Budak salesgirl tu tanpa banyak soal terus mintak ic aku untuk batalkan dokumen pembelian aku tapi kena sikit charge untuk tampung kos cetakan dokumen. Tak kisahlah asal tak rugi banyak. Sebelum balik, aku sempat bayar cash satu tilam sebab aku rasa rugi kalau tak ambik. Lagipun kat tilam tu dah dipaparkan 'SOLD OUT' Matdingunung punya. Tilam clearance stok dari harga RM1799.00 diberi discount RM500 jadi RM1299.00. Aku diberitahu harga asal tilam tu ialah RM5299.00. Mungkin betul ataupun tidak wallahualamm.. tapi tilam tu mungkin sedap tidur. Spring baik dan foam dia pun lembut, sangat berbeza yang tilam aku guna pakai sekarang ni yang dah uzur. Maklumlah sudah 12 tahun pakai sejak mula kahwin dulu lagi.

Moralnya di sini.. kalau anda nak beli secara berhutang, teliti dulu butir-butir perjanjian. Jangan main suka hati tandatangan surat perjanjian jual beli kot-kot kita ditipu secara halus. Elok lagi tidak berhutang, tak pening kepala. Mula kehidupan kita dengan tidak selesa dulu, kemudian sikit-sikit merasa selesa dengan kerja keras kita untuk mengubah kehidupan. Aku bukan menegah, cuma mengingat sahaja. Bukankan saling mengigati itu satu perbuatan yang mulia..

Monday 24 December 2012

BERHATI-HATI BELI KERETA TERPAKAI

Baru 2 hari lepas aku buat entri Fenomena Tiada Banjir di Pantai Timur, tup...tup... hari ni dah banjir besar melanda. Biasanya kalau hujung bulan disember dah masuk banjir kali ketiga tapi tahun ni hujung bulan disember baru banjir melanda. Melepaslah aku untuk main air banjir kat kampung. Sebenarnya tidak ramai yang suka dengan kehadiran banjir kerana banyak yang menyusahkan tapi nak buat macam mana dah musim dia, nak tak nak kena bersedia dengan kehadiran banjir. Bagi yang tinggal di kawasan yang dinaiki air memang tak suka banjir, tapi bagi sesetengah orang yang rumahnya terletak di kawasan yang bebas daripada ditenggelami air banjir, mungkin ada yang suka banjir sebab suhu akan jadi sejuk dan redup sepanjang hari. Tidur malam pun lena bila diselangi dengan hujan sekali sekala. Bagi rumah yang beratap zink, menjadi satu terapi bila dengar hujan jatuh menimpa bumbung. 

Yang membuat sesetengah orang pening bila hadirnya musim banjir ialah kemusnahan harta benda yang tidak dapat dielakkan. Sesetengah peniaga mengalami kerugian yang amat besar pabila barangan dalam kedai mereka musnah ditenggelami air banjir. Kalau kedai runcit, mungkin kerugian tak sebesar mana tapi kalau kedai peralatan eletrik atau pasar raya, tentu pening kepala taukenya. Boleh lingkup perniagaan mereka sepertimana pernah berlaku di bandar Muar dan Kota Tinggi Johor suatu masa dulu. Begitu juga dengan tauke pengusaha kereta terpakai, kalau semua kereta pemeran yang tersusun rapi itu di tenggelami air, boleh tepuk dahi. Garu kepala di tempat yang tidak gatal taukenya. Kalau rambut yang kurang lebat, lagi banyak rambut gugur sampai botak tauke kedainya. Macam yang pernah berlaku kat Batu 3 Shah Alam tahun 2006, hampir semua kedai kereta terpakai yang bertaburan di kawasan tu mengalami nasib yang sama. Geran motosikal aku sampai sekarang tak dapat dikesan akibat dihanyutkan air banjir yang aku tinggal kat salah satu kedai kereta terpakai untuk memperbaharui cukai jalan. Bila aku tanya tauke kedai tu dia jawab " maaf cik, geran motosikal cik dah hilang dihanyutkan air banjir". Kesannya, sampai sekarang aku naik motosikal yang tak ada roadtax. Baru dua tiga hari lepas, tempat ni sekali lagi dilanda banjir besar. Banyak orang yang mengalami kerugian. Tapi dah takdir nak buat macam mana.

Ni yang membuat aku pening ni, eh kenapa pening pulak? ko bukan tinggal kat situ. Ye lah... memang aku tak tinggal kat situ. Tapi... aku baru dok berkira-kira nak beli kereta terpakai sebagai kereta kedua untuk angkut anak-anak pegi dan balik sekolah sebab dah nak pindah masuk rumah baru. Kawasan rumah baru belum ada sekolah, so.. nak kena hantar anak-anak sekolah yang jauh dari rumah. Hari-hari aku dok belek majalah Motor Trader dan dok selongkar dalam Mudah.com cari kereta yang cantik tapi murah. Aku takut terbeli kereta yang 'lemas air'. Biasanya pemilik kereta yang keretanya telah 'lemas air' akan cepat-cepat trade in kereta dia sebab kalau pakai lagi tentu akan memberi banyak masalah. Kita orang biasa mana boleh kesan kereta yang dah pernah 'menyelam dalam air banjir'. Kalau mekanik kereta mungkin tahu. Sekarang ni memang banyak kereta sakit macam tu sebab banjir tahun ni lebih agresif sikit. Berlaku secara tiba-tiba. Di tengah kota raya Kuala Lumpur dah berapa kali banjir kilat berlaku, hampir sebulan 2 kali walaupun ada lorong smart. Tentu banyak kereta yang terselam air. Di Shah Alam, Kajang dan Klang pun tak kurang hebatnya. Di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Di Kota Bharu, Di Kuantan, Kuala Terengganu dan banyak tempat lagi banjir yang melanda, sudah tentu akan menenggelamkan banyak kereta. Mahu tak mahu, tuan punya kereta mesti tolak kereta dia dan beli yang baru. Siapa-siapa yang terbeli kereta sakit macam tu, nasibbb leeerr. Tauke kedai kereta terpakai mesti tak bagi tahu punyalah kereta yang lemas air. Lepas baiki.. baiki lagi. Apa nak buat, bertawakkal aje lee..Kalau kilang besar seperti HONDA, dia tak jual kereta yang dah tenggelam air. Dia lupus aje walaupun melibatkan kerugian kos yang amat besar. 
Dulu masa aku nak beli kereta terpakai jenama HONDA CIVIC kat Batu 3 Shah Alam, aku bawa kenalan aku yang kerja mekanik, nama dia Pendi. Dia selongkar bawah karpet kot2 ada kesan selut. Kemudian dia check celah-celah enjin. Dia jugak check bawah kereta takut2 ada kesan sambungan, manalah tahu kot2 terbeli kereta potong. Pah tu, dia test drive lebih kurang 5 KM. Bila dah confirm tak ada problem, baru dia suggest aku supaya beli kereta tu. Aku pun belilah, memang kereta tu tak de masalah selepas 5 tahun diguna pakai. Maknanya, kalau kita tengok kereta yang dari segi luaran memang tip top, harga pun memang murah. Kita jangan ghairah cepat-cepat bayar duit muka. Check dulu keseluruhan kereta tu. Semak kat JPJ dulu pastikan kereta tu tak pernah terlibat dengan kemalangan atau ada apa-apa masalah lain. Pastikan kereta yang nak kita beli tu dalam keadaan baik dari segi dalaman dan luaran. Ibarat kata sebiji durian yang kita nampak secara luaran memang elok, tapi bila dibelah.. hah! ada ulat di bahagian dalamnya. 
Konklusinya.. berhati-hati kalau nak beli kereta terpakai. Kalau ada kenalan yang bekerja sebagai mekanik kereta, boleh bawa dia untuk test drive.Mungkin dia tahu kot..













Deretan kereta ni sedia untuk dilupuskan. Cara ni baru betulll. Tak tipu pelanggan dan tak memberi masalah kepada pelanggan.
 p/s, semua gambar adalah dapatan daripada google.

Saturday 22 December 2012

FENOMENA TIADA BANJIR

Menjadi perkara yang luar biasa sekiranya tidak berlaku banjir pada bulan Nov dan Disember di sebelah negeri pantai timur. Biasanya sebaik saja masuk bulan Nov, negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang sudah mula masuk musim tengkujuh tetapi pada tahun 2012 tidak ada musim tengkujuh di negeri-negeri yang disebut sebaliknya negeri Johor, Melaka, N. Sembilan, Selangor dan Perak pula yang banjir.

Aku balik kampung hajatnya ingin main air banjir, nak pasang jaring dan tahan joran, nak makan ikan sawah tetapi malangnya dua minggu berada di kampung dalam bulan November, cuaca di negeri aku panas kering. Air sungai cetek, petak-petak sawah juga kering merekah. Mana ada orang Kelantan menimba ikan pada bulan Nov dan Dis tetapi pada tahun ni kita boleh cari kubang untuk menimba ikan.Aku juga tidak ketinggalan mengimbau nostalgia menangkap ikan guna serkap yang biasa dilakukan pada musim membajak antara bulan 3 hingga bulan 5 dulu-dulu. 

Sawah padi menjadi kering kontang yang sepatutnya penuh dengan air banjir

Kubang ni biasanya tak pernah kering, tapi pelik pula boleh kering dalam musim tengkujuh

Masih ada ikan keli sawah dalam kubang ni

MG sedang melakukan aktiviti menjerkap ikan

Lagi hasil yang diperoleh

Haa... bila ikan dah terperangkap, seluk dan tangkap guna tangan
Bangga dengan hasil yang diperoleh. Rezeki..rezeki..
Balik daripada Jerkap ikan, lalu ikut dalam aku punya kebun, wah!! dokong aku berbuah lebat rupanya

Pokok pisang yang ditanam di dada anak-anak pokok getah juga sudah membuahkan hasil

Pokok-pokok getah dalam kebun aku juga sudah mula membesar. Senang hati melihatnya..

Buah rambai yang berambu rambai yang masih lagi wujud dalam kebun getah aku.
 Haa... tulah saja cerita aku tentang musim banjir yang kering kontang. Dunia sudah nyayuk. Perubahan musim sudah tidak ikut musim. Buah-buah kayu juga berbuah tak ikut musim. Hujan turun tidak ikut musim.Banjir berlaku tidak ikut musim. Kemarau tidak ikut musim.