Thursday 27 February 2014

SELAMAT BERSEMADI DI ALAM BARZAKH IBUKU...


Bismillahirahmanirahimmm.. Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Ya Allah Ya Tuhanku..Kau Tempatkanlah Roh Ibuku Dalam Kalangan Orang-Orang Yang Beriman..Ampunilah Dosa-Dosanya. Jauhilah Ibuku Dari seksaan Kubur dan Seksaan Di Padang Mashyar serta Jauhilah Daripadanya Seksaan Api Neraka Amin yaa rabbal alamin.....

Tika saat aku menulis akrtikel ini, jam menunjukkan pukul 11.24 minit malam. Masanya tepat bersamaan buat kali terakhir aku sempat memohon ampun dengan ibuku di saat dia masih dengar walaupun matanya tertutup rapat betarung dengan maut pada malam jumaat minggu lepas sebaik saja aku sampai dari Kuala Lumpur.

Pada masa cuti raya cina yang lalu, aku pulang ke kampung untuk menghabiskan cuti panjang raya cina bersama ibuku. Di saat itu, aku tidak tahu bahawa ajal ibuku semakin dekat. Sekali dia terjatuh dalam bilik air tanpa sebab. Keesokan hari dia mengadu lehernya sakit akibat tidur tersalah kedudukan bantal. Abangku dan cucu-cucunya mengurut-ngurut dan memicit-micit lehernya. Cuti ni aku tidak banyak berada di kampungku kerana ibuku pergi ke rumah kakak di Kota Bharu kerana kakak ku mengadakan sedikit majlis sambutan maulidurasul. Sepanjang cuti raya cina, ibuku berada di sana. Aku juga turut menghabiskan cutiku di sana berada di samping ibu. Suatu hari ibuku mengadu dia demam manakala lehernya masih sakit. Aku, Adik dan seorang abangku terus membawanya ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Malangnya, tidak banyak perubahan berlaku. Cuti semakin sampai ke penghujung, aku dan seorang lagi abangku terpaksa kembali ke Kuala Lumpur. Sebelum berangkat.. aku mencium kedua belah pipi ibuku sambil bersalam mencium tangannya memohon ampun. Itu merupakan rutin dan amalan yang aku lakukan setiap kali aku pulang dan ingin berangkat ke Kuala Lumpur.

Sampai di Kuala Lumpur, sehari demi sehari aku mengikuti perkembangan kesihatan ibuku melalui whatsapp daripada anak-anak buahku dan adik-beradikku yang berada di kampung. Kesihatan ibu semakin hari semakin terjejas. Percakapannya sedikit merapu dan acapkali demam tetapi masih stabil. Keadaan ini cukup membimbangkan. Kakak sulungku yang sudah hampir sebulan berada di Kuala Lumpur untuk merawat lututnya yang sakit, terpaksa menamatkan rawatan lebih awal lalu berkejar pulang ke kampung. Hari tu mak aku sangat gembira sebab dapat balik ke rumahnya setelah lebih seminggu berkelana di Kota Bharu. Pada masa yang sama, kesihatan ibuku semakin tidak stabil. Dua kali dia tak sedarkan diri semasa hendak menunaikan solat fardhu zuhur. Dia terpaksa solat dalam keadaan berbaring. Setelah berbincang dengan ahli keluarga, keputusan telah dibuat untuk menghantar ibuku mendapatkan rawatan di hospital swasta di Kota Bharu. Di Hospital.. doktor dapat mengesan ada ketumbuhan di dalam kepala ibuku. Ketumbuhan tersebut semakin membesar yang menganggu urat saraf seterusnya menjejaskan kitaran oksigen di dalam otak. Deria penglihatan semakin kabur manakala kaki kanannya seringkali kekejangan. Doktor tidak dapat berbuat apa-apa kerana faktor usia yang tidak mengizinkan pembedahan dilakukan untuk membuang tumor. Dua hari satu malam ibuku di tempatkan di hospital untuk mendapatkan rawatan asas. 

Laporan demi laporan melalui whatsapp telah dilakukan oleh cucu-cucu yang menjaganya di hospital untuk dikongsi dengan anak-anak cucu ibuku yang lain yang menetap jauh tentang perkembangan kesihatan ibuku dari semasa ke semasa. Aku mula berasa tidak keruan setiap kali mendengar laporan semasa bahawa kesihatan ibuku  semakin lemah. Aku mengikuti perkembangan ini dengan penuh debaran. Adik beradikku yang berada dekat sudah pulang ke kampung untuk bersama ibuku. Perbincangan demi perbincangan telah dilakukan oleh abang-abang dan kakak-kakakku sama ada secara berdepan atau melalui panggilan telefon untuk melakukan tindakan susulan bagi memberikan rawatan terbaik buat ibuku. Sudah tidak ada cara kerana usia ibuku tidak mengizinkan untuk membuat pembedahan manakala untuk melakukan MRI juga tidak akan memberi sebarang makna. Kami hanya pasrah dan mampu berserah pada Allah SWT sahaja. Kami telah bersepakat untuk menjaga ibu bersama-sama.

Khamis 20 Februari 2014 jam 9.20 pagi, aku menerima pesanan whatsapp menyuruh anak cucu yang berada jauh supaya bersedia untuk pulang dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini kerana ibuku semakin lemah. Kebetulan pada masa tu aku sedang bersembang dengan Big Boss. Aku terus bagitahu Big Boss tentang kesihatan ibuku dan minta izin untuk pulang awal. Big Boss yang begitu memahami terus terkeluar kata-kata  " Yusdin.. you balik sekarang.. balik sekarang.. kerja sampai bila tak habiss.. harta sampai bila boleh cari.. tapi ibu...tidak ada galang ganti "  Tergesa-gesa aku berkemas untuk pulang sehingga terlupa aku sebenarnya pada hari tu terpaksa menjadi hakim Debat Ala Parlimen di SMK Seksyen 7 Shah Alam. PPD menelefon pihak sekolah bertanyakan kenapa aku tidak melapor diri sebagai hakim.. nasib baik bos ( ketua bidang ) aku sudi pergi untuk menggantikan aku.

Aku terus menjemput anak-anak di sekolah rendah dan mengambil seorang lagi di rumah pengasuh. Isteriku telah ku hubungi supaya segera pulang bersiap-siap. Anak sulungku yang berada di sekolah Tahfiz telah ku serahkan kepada anak buahku untuk settle sebab dekat dengannya. Sepanjang perjalanan pulang fikiranku sering terbayang wajah ibu. Sesekali berdoa di dalam hati supaya ibuku stabil dan aku sempat memohon ampun. Surah al-ikhlas dan ayat kursi tidak lekang di bibirku. Perjalanan yang mengambil masa 8 jam begitu mencemaskan. Setiap kali whatsapp berbunyi.. aku tidak menunggu lama untuk membuka dan membacanya. 

Jam lebih kurang pukul 11.20 malam, aku selamat sampai ke rumahku. Di halaman rumah.. penuh dengan kereta adik beradik, anak-anak buah dan sedara mara yang jauh dan dekat. Aku terus naik ke atas rumah. Tetamu-tetamu yang datang menziarah, penuh mengelilingi ibuku yang terlantar di ruang tamu. Mata ibuku tertutup rapat. Badannya cukup lemah. Aku menerpa ke arah ibu lalu membisikkan di telinganya " Mek.. Din sudah selamat sampai.. Ampunkan Din Mek sekiranya sepanjang hidup, Din ada buat salah dengan Mek.." Walau dalam keadaan bertarung dengan maut dan disaksikan oleh para tetamu, terdengar ibuku menaggis sebanyak dua kali laungan sambil berlinangan air mata menandakan dia sedang menanti kepulanganku. Selepas itu.. terus dia tidak sedarkan diri. Mungkin itu rezeki aku yang Allah telah aturkan supaya aku sempat memohon ampun tatkala dia masih sedar.

Walaupun badan begitu penat.. tetapi malam tu aku berusaha tidak tidur untuk mendodoi ibuku dengan bacaan surah yasin. Berbelas kali aku khatam yasin pada malam tu bersama dengan anak-anak cucu yang lain. Kami bergilir-gilir baca sehingga ke pagi. Ibu, kami tidak biarkan sendirian, kami pastikan sentiasa ada anak cucu di sampingnya untuk mengajar dia mengucap dua kalimah shahadah supaya ibu tidak lalai di saat sakaraltulmaut datang menjenguk.

Sejak dari semalam ibu sudah tidak sedarkan diri. Dadanya berombak-ombak menarik masuk dan keluar udara sambil matanya terpejam rapat. Bercakap dengannya di telinga sudah tidak ada apa-apa tindak balas. Di dalam mulutnya sudah mula kelihatan keputihan. Surah Yasin dan surah-surah al-Quran kami bertukar ganti membacanya dan tidak putus-putus. Selesai aku mandi pada pagi jumaat tu, badan terasa segar sedikit kerana sejak tengahari semalam tubuh tak kena air. Aku mencapai surah yassin lalu berada di tengah tubuh ibu sambil menatap dalam-dalam wajah ibu. Terasa tak sampai hati dan sungguh sayu melihat ibu yang sedang bertarung dengan maut. Jelas kelihatan dia koma sambil menahan bisa penyakit yang dihidapi. Kaki sebelah kanannya seringkali tersentak tatkala ketumbuhan di dalam kepalanya mengembang. Dalam benakku sering terbayang betapa beratnya ujian yang ditempuhi ibu walaupun dia merupakan seorang yang sangat patuh kepada suruhan tuhan. Hampir setiap awal pagi dia bersujud dalam solat tahjud memohon keredhaan dan keampunan tuhan. Sejak pagi semalam lagi ibuku tak menyentuh apa-apa makanan. Air yang di suap cuma beberapa titik saja yang berjaya masuk ke tekak, tu pun kadang-kadang terbelahak.

Aku mulakan bacaan yasin pada pagi tu dengan linangan air mata. Sampai suku bacaan.. aku sudah tidak berdaya menahan sebak lalu menanggis terisak-isak di atas perut ibuku. Aku cuba tahan agar dapat ku teruskan bacaan tapi tak berdaya menahannya. Isteriku datang menenangkanku. Anak-anak dan cucu-cucu lain yang berada di sekelilingnya pun ikut menanggis terisak-isak apabila melihat aku menanggis. Keadaan menjadi gamat seketika dengan tanggisan seolah-olah ajal ibuku telah sampai. Dengan tidak semena-mena.. ibuku yang sedang koma juga turut terkeluar suara tanggisannya. Memang kami tidak sampai hati melihat keadaan ibu yang sedang nazak. Kak Long ku juga tidak dapat menahan sebak. Diapun sudah puas menanggis sebelum ini. Bacaan surah-surah al-qurannya juga sentiasa terhenti-henti dan tersekat-sekat kemudian di susuli dengan doa. Kak Long memang setia berada di sisi ibu. Sepotong demi sepotong ayat-ayat suci dibaca dan sehelai demi sehelai muka surat kitab suci itu dibeleknya.  

Selepas solat jumaat.. skuad membaca surah yasin daripada golongan hawa telah sampai memenuhi ruang rumah melimpah sehingga ke tangga rumah. Sebaik saja selesai bacaan yasin beramai-ramai oleh golongan hawa, ibuku membuka matanya. Melihat keajaiban itu, Kak Long  terus memaggil adik-adiknya dan cucu-cucu ibuku supaya segera datang memohon ampun daripada ibuku. Hanya seketika saja kami sempat melihat ibu membuka mata sebelum dia terus lena dan lena dan lena. Berpantang maut sebelum ajal.. ibu masih belum ada tanda-tanda untuk pergi buat selamanya. Nafasnya kembali tenang. Badannya suam-suam dan nadinya cukup stabil. Bacaan yasin diteruskan bergilir-gilir. Tetamu yang hadir menziarah tidak pernah putus sama ada yang jauh mahupun yang dekat.

Pada malam kedua kepulanganku.. surah yasin yang dibaca masih belum putus. Itulah kelebihan ibu aku yang mempunyai anak yang ramai dan cucu yang banyak. Kami berjaga sepanjang malam bergilir-gilir membaca surah yasin di telinga ibu. Keadaan ibu cukup stabil dan dia koma seolah-olah tidur dengan lena. Sejak hari aku pulang lagi, setiap pagi dan petang aku bersama adik beradik lelaki yang lain bergotong royong menukar lampin pakai buang ibu dan membersihkan ibu. Bedak di sapu dan wangian di lumur supaya ibu kelihatan lebih segar dan berbau wangi. Kak Long cuma jadi pemerhati kerana dia tidak berdaya melakukan tugas itu akibat sakit lutut. Tak pelah Kak Long.. biar kami saja yang lakukan kerana dia ibu kami juga. Apalah sangat khidmat yang kami berikan berbanding jasa ibu yang berhempas pulas membesarkan kami. Kami berebut-rebut untuk mengambil bahagian tatkala ibu ingin dimandi dan dibersihkan. Kami perlu mengambil peluang ini sebaik mungkin kerana melihat keadaan ibu, kami yakin bahawa ibu tidak akan lama bersama kami.

Hari ini masuk hari ahad.. aku tidak boleh terus berada di sini kerana isteri hanya dapat CRK selama dua hari sahaja. Nak tak nak.. aku mesti naik semula ke KL untuk meneruskan tugas aku walau begitu berat rasanya kaki melangkah untuk meninggalkan ibu yang terbujur kaku.Sedari awal aku sudah rasa tak sedap hati dan gerak hati aku kuat mengatakan aku tidak berkesempatan lagi untuk melihat ibuku bernafas apabila aku kembali semula pada hujung minggu ni. Sebuah demi sebuah kereta cucu-cucu ibuku sudah mula meninggalkan halaman rumah usang ini dek kekangan tugas di kota raya. Dari pagi lagi aku setia berada di sisi ibu mengalunkan bacaan yasin. Setiap kali selesai bacaan.. aku menatap wajah ibu dalam-dalam sambil berdoa dan memohon keampunan ibu. Hari ni saja berpuluh-puluh kali bacaan yasin aku alunkan di tepi telinga ibu. Masa yang masih bersisa.. aku manfaatkan sepenuhnya dengan berada di sisi ibu bersama Kak Long dan anak cucu yang lain. Sepanjang hari ni.. cucu dan cicit ibukubersilih ganti datang mencium tangan dan kedua pipi nendanya kerana kebanyakan mereka akan berangkat pulang ke Kuala Lumpur dan ke tempat kerja masing-masing.

Jam sudah menunjukkan pukul 2.00 petang. Hatiku semakin berdebar kerana waktu semakin hampir untuk aku sekeluarga meninggalkan ibu. Jam 2.30 ambulan akan datang untuk membawa ibu ke Klinik Kerajaan untuk masukkan wayar melalui hidung bagi menyalurkan susu. Selepas mandi dan sembahyang zuhor.. aku lekas-lekas kembali ke sisi ibu. Setiap detik dan saat aku tak nak bazirkan kerana aku ingin berada di samping ibu sepuasnya pada hari ini. Setiap kali lepas bacaan yasin.. aku kucup tangan dan pipi ibu. Aku renung dalam-dalam wajah ibu. Kedengaran deruan enjin ambulan memasuki halaman rumahku. Aku yang berada di samping ibu cepat-cepat cuba menghabiskan bacaan yasin yang terakhir dan sebagai penutup setelah berpuluh-puluh kali telah ku baca sebelum ini. Strecher sudahpun dinaikkan ke atas rumah.. aku tak sempat lagi untuk meneruskan bacaanku.. aku berhenti di tengah surah lalu terus mencium pipi ibu berkali-kali sambil membisikkan ke telinganya " Mek.. redha dan halallah setiap titik susu yang mek susukan untuk Din.. Din maafkan mek sekiranya mungkin Din ada kecil hati dengan mek dulu-dulu. Tapi.. Din cukup puas hati dengan mek yang telah besarkan Din. Terima kasih Mek.." Aku turut bantu mengangkat ibu  ke atas pengusung. Sambil tu aku tak jemu-jemu mencium pipi ibuku buat kali terakhir semasa ibuku masih bernafas. Di atas ambulan.. cucu dan cicit ibu sekali lagi silih berganti naik untuk mencium neneknya sebelum mereka semua bertolak pulang ke kota raya.

Pukul 3.15 petang ahad tu kereta Honda Cityku mula menyusur keluar dari halaman rumahku untuk Ke Kuala Lumpur tanpa menunggu ibu aku pulang dari klinik. Aku sudah puas hati dan berasa lega kerana hari ni paling lama aku berada di samping ibu dan paling kerap aku mencium pipi ibu dan paling banyak aku khatam surah yasin di telinga ibu. Dan sekiranya ibuku habis umur semasa aku tidak berada di sisinya, aku redha. Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.. aku sentiasa membaca whatsapp yang dihantar oleh adik beradik dan anak-anak buahku tentang perkembangan ibu. Aku sampai di Saujana Putra iaitu tempat aku tinggal lebih kurang pukul 1.30 pagi. Walaupun badan penat.. tatapi aku amat sukar untuk lelapkan mata. Setiap kali aku cuba pejam mata.. terbayang wajah ibu. Pukul 3.30 pagi kedengaran satu mesej masuk ke dalam talian telefonku. Dengan penuh debaran aku cuba membuka mesej yang dihantar oleh abangku yang berada di Felda Ciku.  Mesejnya berbunyi " Din.. sejak dari tadi lagi aku tak dapat lelapkan mata sebab rindu ko mek ". Ahh.. lega rasanya aku selepas membaca mesej tu. Aku ingat kan berita buruk yang aku dapat.

Hari ini isnin 24 Januari 2014. Aku tidak ke sekolah kerana menguruskan budak-budak boling aku menyertai Kejohanan Tenpin Boling MSSD di Piraymid Megalaness. Kebetulan sebuah telefon bimbit yang selalu aku gunakan telah tertinggal di dalam kereta. Walau bagaimanapun, aku masih mempunyai sebuah lagi telefon yang aku gunakan untuk membaca mesej whatsapp. Oleh sebab tempat yang bising dek balingan bola boling peserta ditambah pula dengan bunyi sorakan maka aku tidak sedar telefon di dalam poket aku berulang-ulang kali berbunyi. Tidak lama kemudian.. secara tidak sengaja aku mengambil keluar telefon daripada poket. Bila aku buka bahagian whatsapp group keluarga aku.. sudah berpuluh-puluh mesej whatsapp yang belum aku baca. Dan belum aku membukanya lagi sudah tertulis di skrin penghantar paling akhir Al-Fatihah...Bagi nak gugur jantung aku.. lemah seluruh tubuh badan aku.

Mesej 1 dari Awie " mek tak dok doh.. 11.51 am.
Mesej 2 dari Mizie " Al Fatihah - mek telah menemui illahi " 11.54 am
Mesej 3 dari Ayah Long " Sedang tunggu org klinik untuk
             mengesahkan status mek. Rasa2nya  dah  tidak...."11.54 am. " Dah disahkan. Mek sudah tiada. Harap maklum semua.. 11.58 am.
Mesej 4 hingga berpuluh-puluh anak cucu cicit " Al-Fatihah.. Al-Fatihah.. Al-Fatihah...

Dahh..  Berakhir sudah segala-galanya.. tiada lagi sambutan semasa aku menjengah rumah usangku di kampung tatkala musim cuti sekolah dan pulang beraya. Tiada lagi nasi dagang air tangan daripada Mek aku yang cukup enak.. tiada lagi budu tumis yang sangat aku minati.. tiada lagi masakan daging gulai kicap Mek yang aku cukup berselera menikmatinya..tiada lagi ketupat tiga bucu yang Mek memang pakar membuatnya.. tiada lagi.. tiada lagi,.. tiada lagi.. tiada segala-galanya. Semuanya Mek telah bawa bersamanya ke alam barzakh.

Walaupun aku tidak berada di sisi ibu di saat sang sakaratulmaut datang mencabut nyawanya.. tapi aku dapat menerima kenyataan ini. Tiap yang bernyawa pasti menemui mati. Kepada Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali. Aku juga sudah puas hati sebab sepanjang kepulangan ku kali ini, aku dapat menatap wajah Mek puas-puas, dapat habiskan banyak bacaan yasin untuk dihadiahkan kepada Mek. Berkesempatan mengurus dan membersihkan Mek sebanyak 6 kali dan yang paling penting.. aku sempat minta ampun dengan Mek.

Apapun.. terima kasih yang tidak terhingga buat Kak Long dan Ayah Long yang setia menjaga Mek sehingga ke akhir hayat Mek. Sungguh bertuah Kak Long dapat kumpul banyak pahala dan keberkatan menjaga Mek. Anak-anak KaK Long juga aku ucapkan jutaan terima kasih kerana terlalu baik dengan Mek dan sangat menghormati Mek sebagai nenek. Abang Jit iaitu abang yang no 2 setia menjenguk Mek hampir setiap hari dan menjaga halaman rumah mek. Abang Jat abang no 3 yang setia berulang alik membawa mek pergi dan balik masjid sekiranya dia balik ke kampung dan pantas membawa Mek mendapatkan rawatan sekiranya Mek sakit demam. Bagiku..Abang Jat adalah orang no 2 yang banyak menabur jasa untuk Mek. Kak Cik Ni iaitu kakak yang no 4, terima kasih juga diucapkan kerana menjaga Mek dengan baik sepanjang Mek berada di rumahnya terutamanya semasa ketiadaan Kak Long. Hadi atau Tok Batin iaitu abang no 6 juga terlalu banyak jasa kepada Mek. Setiap kali keluar berburu dan dapat hasil pasti akan kirim kepada Mek agar Mek dapat merasa hasil buruannya. Semasa mek sakit.. Hadi begitu banyak membantu megangkat dan mengusung Mek ke hulu dan ke hilir membersihkan tubuh Mek dan setia menemani Mek semasa Mek berada di wad. Robi iaitu abang no 7.. terima kasih kerana selalu menelefon Mek untuk bertanya khabar walaupun jarang balik ke kampung akibat kekangan tugas. Aku.. anak ke-8, yang sentiasa rindu akan cuti sekolah kerana tidak sabar untuk berada di samping Mek dan makan masakan Mek..kalau aku makan dengan berselera.. terukir senyuman kepuasan di bibir Mek. Adik bongsu.. terima kasih yang tak terhingga kerana banyak juga jasamu kepada mek. Banyak menghiburkan Mek dengan perangaimu yang sedikit gila-gila. Menantu-menantu Mek juga ku ucapkan terima kasih kerana layan Mek macam ibu sendiri. Dan cucu-cucu.. cicit-cicit Mek yang lain.. jutaan terima kasih kerana melayan Mek sebagai nenek dengan baik dan sempurna. Beruntunglah anak cucu yang sempat mengusung jenazah Mek bawa ke kubur. Lagi beruntung Abang Jat dan Hadi yang turut turun ke dalam lubang kubur untuk menghantar Mek sehingga ke liang lahad. Semua keluarga kita masing-masing berperanan menyumbang jasa kepada Mek sehingga Mek begitu bangga dan terhibur menjadi seorang ibu dan seorang nenek.

Sekarang.. Kita semua sudah kehilangan MEK yang begitu BAIK orangnya.. begitu ALIM orangnya.. begitu PEMURAH orangnya dan begitu PEMAAF orangnya. Sering kali terkeluar dari bibir MEK " anak cucu MEK baik-baik blako.. semo tak dok saloh dengan MEK. Mek maah blako anok cucu MEK." 

JANGAN LUPA KITA BERDOA UNTUK MEK.. DAN BACA YASIN SEBAGAI HADIAH BUAT MEK SERTA SEKALI-SEKALA BUAT TAHLIL UNTUK ARWAH MEK KITA.


MEK... DIRIMU DALAM KENANGAN. AL-FATIHAH BUAT MEK


Monday 10 February 2014

SAYEMBARA PUISI DIELEK KELANTAN


Assalamualaikumm...

 Minggu ni entri kawe lain daripada yang lain. Minggu ni kawe nak berpuisi pulak. Yang mana faham..mungkin banyak manfaat dan pengiktibaran yang dapat.. kalau tak faham, abaikanlah..


Gambar Hiasan dipetik dari GOOGLE


Sayembara Puisi Dailek Klate bertajuk..

TIPU, PENIPU DAN KENO TIPU.


Hai… tipu..tipu..tipu..
Dunia loni rama penipu, tetapi rama lagi ore kena tipu.
Ore credik tipu ore bodo itu biasa, ada jugok ore bodo tipu ore credik.
Menteri tipu Perdano Menteri, Perdana menteri tipu rakyak jelato.
Tok lebar po keno tipu. Tok guru po kena tipu, tok ime po kena tipu.
Ada ore nok nikoh tipu tok ime, dio kata buje lagi, padahal bini ada dua tigo doh.
Tok bomo pulok tipu ore sakit.. minum air tawa abih dua tigo paye po, nyakit tok siya jugok. Lepo-lepo anok daro kito nyo make ko tok bomo.

Pemaju perumahan  tipu pembeli.. dalam plan napok luas, bilo siap rumoh.. tengok, kecik cueh, dok dua tigo tahun, retok situ, rako sini, bocor situ, tirih sini. Beli rumoh tok pade denga rego. Mahal nok mapuh. Tu mujur jugok siap, beli rumoh hok tok siap-siap po banyok jugok. Pitih pozek wak lari, pinjame bank tetap keno potong, rumoh… tapok pong tok tahu kuano. Nyayo kokre…

Rama jugok ore keno  tipu ko tukang rumoh..renovet rumoh tok seberapo, tapi bayar tukang maha supo gapo.. kijo tok buat lagi mitok pitih doh. Pah tu pase mozek reyok kepok, cat rumoh cepuah wah.

Rama jugok ore keno tipu ko tokey keda perabot.. kato diskaun sapa 60, 70, 80 peratus.. padahal harga sebenar pong  staro tu jah. Kito po beli lah sapa tok muat rumoh nok isi. Kita tok tahu bahawaso  kito sebenarnya keno tipu. Tak po, pitih cash tak dok po, kad kredit ado.. buleh srekkk.

Tokey kad kredit po nipu jugok.. dio kata kad kredit dio free  bayaran tahunan, padahal dio dok make kot jale lain, Interest Charge, late payment, government charge dan mace-mace lagi. Tiap-tiap bule kito keno baya lebih.. kita tok tahu mugo kito keno tipu tu gok..


 Beli kreto po keno tipu. Kato kreto hok kito trade inn,  tuka namo doh padahal dok sebeb dale keda used car.. cukuk bule bank talipong mitok suruh settle baki kereto lamo kito kalu tok sir keno istihar muflis.  beli kereto second hand lagi keno tipu, napok kok luar come abih te, paka sbule kocok abih situ sini, jahane likat. Dealer use car po credik.. warranty used car dua menggu jah..parok pulok kito abih pitih dok tubik masuk dale keda workshop.

Ni so lagi hok kaki nipu.. peseng suruh cabut sapo surat.. bilo kita cabut, sales men pulok nopat sukanyo cabute kito kena kreto Ispira. Pah kita hok bodo ni naling dok dah dok dah buleh duye runtuh.. wok gi jabat salesmen kito kena baya RM 5000 dulu wak baya proses wak tubik kreto peri.. kito pulok mugo bodo ni tok bayok kecek paka baya slalu, wak tubik pitih dale tabung aji.. tup..tup.. kreto tok tahu kuano, duit pozek tok tahu kuano.. hok bulehnyo mesin ngurut kaki hok go RM200 MADE IN CHINA.

Ada jugok nipu hok peseg main sahe cepat kayo.. hok tu tok soh royak la dok tubik sokmo dale tibi nga surat koba.. tapi ore hok tomok ni dio tok brigat lah mano.. senyum-senyum jah ore tipu dio dua tigo ratus ribu.. buke dio sajo.. abih anok branok dan saing rapet dio keno tipu skali.

Pah so lagi.. hok peseng nipu usaha samo projek tenakan iken keli, cacing gelang, lintah, lembu, kulat dan mace-mace lagi. Lepah keno kepeng, cayolah kito bulat-bulat. Holo la kito pitih masuk sher, holo banyok, pulange po bayok. Tomok punyo pasa abih duit dale bank kita wak tubik buat melabur, tanoh sako po gada lagi.. pah tu dok koya la kito nok tuka kreto, nok beli tanoh, nok renovet rumoh.. dok dua tigo bule.. duit pelaburan kito nyo wak lari ko demo.. nengung tiok bergelepa laaa kito. Make tok lalu, tido tok leno, mandi dok rajin muga tahu doh kita kena tipuuu to gak.

Hok tino keno tipu ko gewe tu biasa doh.. balok kecek mitok nok pe.. dio kato kalu apo-apo berlaku, dio akan bertanggungjawab la kononnya.. pah kawe ni mugo hok gelenya doh buwilah.. tup..tup.. ngandung. Hok jate lari sak perak.. hok tino la susoh payoh bibit anok dale supit rorak gi tohok dale jambe, dale lokang, atah tango sejid, dale tong sapoh, dale sunga, dale parit, dale rok, dale semok. Tok perit tapi gok, pah tu jupo jate lain dia wak supo tu pulok.

Ado jugok pengantin keno tipu.. kawe ni abih duo eko lembu pereboh.. kad jempute nikoh 3000 doh edar. Sapa tiko, pengantin jate tok sapa-sapa.. maluuunyo kokrang… pok pong mulo laa..nana cari pok sanggup. Ada jugok ore nipu duit blanjo nikoh,  boh pitih plesu letok atah par. Nok wak rano mugo bakal tok tuo nok tunjuk anok dio laku, letok duit blanjo sapa RM10,000 nah.. padahal anok tino dio malah banga, gemuk meto pah kuat tido pulok tuh.

Hok anok tipu pok mok tu perkara biasa doh.. nok idup ke. Hok tok laki tipu bini lagi biasa. Bini po kade-kade tipu jugok tok laki. Cikgu keno tipu ko anok murid po rama jugok. Saing tipu saing po biasa jah.

Nipu ni bersifat global.. ore luar po nipu ore kito. Ada ore keno tipu jadi kudo dadoh. Ada anok daro tua keno tipu ko ore putih, ore arab, ore negro. Dale Face Book tu belembe ore kito keno tipu. Gi mano-mano po kita keno tipu. Pendek kato dunia hari ni penuh dengan tipu dayo. Tapi kita ke pege woh ni so karo.. bilo maso kita tok keno tipu dan tiko bilo kito tok nipu???  Bila kita masuk kubor.. MAKA KATA ALLAH ITU BENAR. BILA SESEORANG UMAT MUHAMMAD ITU SUDAH MASUK KUBUR YAKNI MATI, MAKA TERPUTUSLAH DIA DENGAN HUBUNGAN LUAR KECUALI AMAL SOLEH, DAN ANAK YANG MENDOKAN KEAMPUNAN UNTUKNYA. SESUNGGUHNYA SIKSAAN KUBUR ITU BENAR, TITIAN SYIRAQ ITU BENAR, SYURGA ITU BENAR DAN NERAKA JUGA BENAR. HANYA ITU YANG BENAR, SEBENAR-BENARNYA…


Hasil Nukilan :

Matdingunung.blogspot.com

Saturday 8 February 2014

MENIKMATI MUSIM SEJUK DI KAMPUNG


Assalamualaikum.. hai lama bebenor rasanya aku tak menulis. Ramai juga kawan yang tanya.. nape lame dah tak masuk entri baru?

Memanglah.. baru-baru bukak sekolah ni, aku kurang ada masa nak mengadap pc. Lagipun pc aku tak berapa sihat, berat semacam seperti ada banyak ternak virus. Dah suruh anak buah reformat, tapi ada masalah lain pula. Bila buka, tak nak shut down, terbiar loading sampai pagi. Terpaksalah tutup secara brutal dengan cara tutup suis kat plug.

Cerita tentang musim sejuk kat kampung ni bukanlah satu cerita rekaan.. ianya betul-betul berlaku. Patutlah dalam fb, tweet, blog, surat khabar ada tersenarai suhu beberapa tempat di Kelantan ada yang mencecah sehingga 17 darjah celcius iaitu sama level dengan Kota London. Pukul 11 pagi masih ada kabus. Kebetulan kampung aku masih banyak pokok kerana dikelilingi oleh bukit, maka aku juga berkesempatan merasai nikmat suhu yang sama level macam kat Arsenal. Patutlah abang aku kata, kalau nak balik cuti raya cina nanti, bawa balik baju tebal skali. Peliknya.. pukul 12 tengah hari walaupun panas terik tapi angin yang bertiup masih sejuk seolah-olah tinggal di Cameron Highland atau berada di puncak gunung. Embun menitis bagaikan hujan pada awal pagi. Anak-anak yang sebelum ini amat sukar nak berselimut, tup..tup.. balik hari tu masing-masing tidur berbungkuskan selimut.

Kampung aku turun salji


Aku bercadang cuti raya cina hari tu nak masuk la ke Aring untuk merasai suhu pagi yang lebih sejuk sambil-sambil buat aktiviti mencari udang galah..kebetulan abang aku kata, masa sekarang amat sesuai untuk memburu udang galah sebab baru lepas banjir. Lagipun air sungai sekarang amat jernih kerana lama sudah tidak hujan. Tapi malangnya.. ubat tuba udang tak dapat diperoleh sebab banyak kedai tutup sempena raya cina. Maka.. tak jadi pegilah. Melepaslah satu  program mega aku pada tahun ini.

Tak pee.. masih banyak aktiviti yang boleh aku lakukan masa cuti sempena raya cina kat kampung. Salah satunya, membersihkan kebun peninggalan arwah ayah aku. Menebas semak-samun seluas setengah ekar sama penat dengan bermain badminton selama 3 jam. Peluh keluar mencurah-curah membasahi baju yang dipakai. Terasa ringan badan selepas melakukan kerja-kerja kampung macam ni. 

Cuci kebun adalah aktiviti wajib apabila aku balik kampung

Berbudi kepada tanah.. hadiah peniggalan orang tua untuk anak-anak telah aku manfaatkan

Kebetulan cuti raya cina berlaku masih dalam bulan maulud, maka ramai jiran yang buat kenduri maulud terutamanya dekat-dekat nak berakhir bulan maulud. Lepas jumaat, jiran sebelah rumah panggil selawat maulud kat rumahnya. Sembelih kambing dua ekor. Perghhhh.. kena nasi kambinglah aku hari tu bersama dengan kerabu pucuk, ikan kering tambam dan sambal jantan. Banyaknya aku makan sebab aku memang suka sangat makan gulai kerutuk kambing campur dengan buah ara. 

Keesokan hari, aku berkejar pula ke rumah kakak aku di Kota Bharu kerana dia pun buat kenduri maulud. Juga sembelih seekor kambing yang besar. Menunya hampir sama dengan rumah jiran aku yang aku pegi semalam cuma yang berbeza ikan rebus goreng saja. Kakak aku tak goreng ikan kering tambam sebagai menu sampingan sebaliknya dia goreng ikan rebus. Perghhh.. lagi sedap. Berpinggan-pinggan aku tambah. Gula dalam darah aku yang naik dah tak aku peduli. Susah nak dapat peluang makan gulai kerutuk kambing kat KL kalau bukan kat kampung. Soal gula dalam darah yang naik tu kita tolak tepi dulu.. masa balik KL nanti barulah kita kawal semula pemakanan untuk meneutralkan balik kandungan gula dalam darah.

Berada 5 hari kat Kelantan sempena cuti raya cina telah memberi aku peluang untuk menjejak kawan-kawan lama yang berada dan bertugas di Kelantan. Rakan pertama dapat ku jejak ialah Nazri ( Lembek ) iaitu rakan satu rumah sewa dan course mate aku masa kat universiti. Setelah berbelas tahun terpisah tanpa khabar berita, teruja sangat nak berjumpa. Malam tu aku pergi jumpa Lembek kat kedai Mat Spicy di Kota Bharu. Wah! dah banyak berubah dah kawan aku tu. Perut pun dah boroi.. warna kulit tak berubah.. still gelap. Badan dia sedikit naik. Sekarang jadi cikgu dan mengajar di salah sebuah sekolah di tengah bandar Kota Bharu. Banyak benda aku bersembang pada malam tu sehingga ke larut malam. Cerita berkisar kepada kenangan-kenangan manis masa tinggal di rumah sewa dan masa menuntut di universiti. Kesempatan berjumpa ini juga aku turut berkongsi cerita kawan-kawan lama yang masih boleh dihubungi dan bertukar-tukar nombor telefon kawan-kawan lama.

Keesokan hari.. seorang lagi kawan lama yang satu rumah sewa dan satu course mate dapat aku jejak iaitu Mohd Fathani ( Nangka ). Perghhh... Nangka ni banyak perubahan fizikal. Tubuhnya begitu kurus dan wajahnya juga telah menunjukkan kematangan melebihi usia. Nangka ni sekarang mengajar di salah sebuah sekolah dalam daerah Kuala Krai. Selain mengajar.. Nangka ni juga buat kerja-kerja sampingan untuk menambahkan pendapatan antaranya berniaga kecil-kecilan, Nangka juga turut berjinak-jinak dengan usahawan hartanah iaitu beli dan jual tanah. Selain tu.. Nangka juga mempunyai sebuah jentera pengaut 'CASE' yang dibuat sewa. Wahh.. ligat juga kepala otak kawan aku tu berniaga. Patutla kepala makin botak, tubuh kurus melidi.. sebab ligat berfikir dan kuat bekerja.

Pagi tu sebenarnya aku ada buat appoiment nak jumpa dengan Zamre ( TESL ) yang juga geng rumah sewa masa belajar kat UPM dulu, tapi.. oleh sebab ada komitmen lain maka pertemuan tu terpaksa ditangguhkan. Tesl ni sebenarnya dah berkali-kali kata nak jumpa aku tapi oleh sebab 'timing' tak kena maka terpaksa tangguh.. tangguh.. tangguh.. dan tangguh. Masa aku berada kat Kota Bharu, dia tak ada dalam negeri sebab bawa anak isteri pergi bercuti.Bila dia balik.. aku pula ada hal. Tak pe lahh.. bila ada masa nanti kita jumpa. Tesl ni katanya kerja Brooker Saham. Dah pakai kereta besar. Syukurlah.. rezeki kita masing-masing. Tuah ayam nampak di kaki.. tuah manusia siapalah yang tahu.

Apapun.. aku nak ucapkan tahniah kepada geng rumah sewa aku iaitu Hanafiah ( KETOT ) sebab dialah puncanya kami geng-geng rumah sewa kembali bersatu. Dengan tertubuhnya group whassup yang Ketot sebagai admin, dia berjaya mengumpulkan kesemua geng rumah sewa aku masa belajar kat Universiti dulu setelah berbelas-belas tahun tak bertemu dan berhubung. KETOT, LEMBEK, NANGKA, TESL, BUBUK, MATDIN, CHEMPEDAK, TIMUNG semuanya dah berhubung dalam whassap kecuali JINTAK saja yang masih menyepikan diri.. Tapi boleh dihubungi untuk bertanya khabar kerana nombor telefon Jintak ada dalam phone book masing-masing.

Benarlah kata Nangka " pabila kita dah berusia dan masing-masing dah mempunyai kerjaya dan beranak-pinak, maka kita akan kembali untuk mencari rakan-rakan lama untuk berkongsi nostalgia lalu sebagai hiburan ". Terhibur sebenarnya apabila dapat berjumpa dengan rakan-rakan lama yang kita pernah hidup bagaikan saudara dan melalui kisah suka duka bersama-sama.