Wednesday 27 February 2013

BAHANA PIL KUDA

Pil Kuda satu nama yang telah sinonim dengan anak-anak muda khususnya di Kelantan dan Terengganu, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal bersempadan dengan Selatan Thailand. Pil Kuda yang berasal dari Thailand ini merupakan dadah terkini yang dicipta dan telah berjaya memecahbelahkan masyarakat dan memporak-perandakan institusi kekeluargaan.


Sewaktu zaman aku bersekolah dahulu, pil ini masih belum dicipta. Yang wujud pada masa itu cuma ganja dan rochee. Itupun pelajar takut-takut untuk menghisapnya, apa lagi ingin membawanya ke sekolah. Sekarang ini, pil kuda dijual di merata-rata tempat dan boleh diperoleh dengan begitu mudah. Ramai dalam kalangan pelajar sekolah telah dilatih dan direkrut oleh pengedar-pengedar pil kuda supaya menjual pil ini kepada kawan-kawan mereka di sekolah. Penjual kecil-kecilan ( pusher ) ini akan diberi sedikit komisyen atau mendapat upah pil kuda untuk ditelan buat diri sendiri. Oleh sebab saiz pil ini amat kecil maka amat mudah untuk disorok di mana-mana dan sukar untuk dikesan. Cara penggunaannya juga amat mudah, cuma perlu telan saja untuk mendapatkan kesan. Lagi banyak telan, lagi 'hight' dia punya khayal. Tak payah guna tukir atau jarum suntikan.

 Hal yang demikian menyebabkan penagih pil kuda begitu ramai sekali dan sukar untuk dikawal bahkan pelajar sekolah rendah pun sudah ramai yang menjadi penagih pil ini dan ada yang sudah menjadi pengedar kecil-kecilan. Permintaan pil ini yang tinggi juga menyebabkan pengedar pil ini semakin bertambah tidak kira kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun ibu, ayah dan datuk serta nenek. Bahkan pernah ditangkap, satu keluarga menjadi pengedar pil kuda.Sudah ramai yang kaya raya hasil daripada kegiatan pengedaran pil ini atau dalam istilah bahasa slanga penagih dipanggil ' penolak buah'.




Masa pil ini baru timbul, harga sebiji pil kuda cuma RM5-RM 8 sahaja kemudian semakin meningkat dan terus meningkat sehingga harga pasaran kini mencecah RM 38 sebiji. Walaupun harganya mahal, penagih-penagih pil kuda masih mampu membelinya kerana wang sekarang amat mudah diperoleh bahkan ramai juga dalam kalangan penagih pil ini adalah anak-anak orang kaya. Ada sesetengah pengedar boleh tolak secara hutang kepada penagih. Telan dulu bayar kemudian.

Hadirnya Pil Kuda telah memberi bahana yang amat besar kepada masyarakat dan intitusi keluarga. Anggota masyarakat akan hidup dalam ketakutan dan sentiasa berjaga-jaga kerana tidak ada lagi jaminan untuk keselamatan nyawa dan harta benda mereka. Sikap penagih pil kuda yang agresif dan sukar diramal ini membuatkan masyarakat huru-hara. Saya ambil contoh di negeri Kelantan, boleh dikatakan tidak ada walau satu kampung di negeri Kelantan yang bebas daripada ancaman pil kuda. Setiap kampung 'wajib' ada penagih pil kuda kerana pil ini telah masuk merebak ke segenap ceruk kampung. Anggota-anggota polis tidak boleh lagi goyang kaki duduk berbual-bual kosong di balai kerana ada-ada saja laporan daripada penduduk kampung kegiatan-kegiatan jenayah pecah rumah, curi, samun, bunuh dan sebagainya yang dilakukan oleh penagih tegar pil kuda.

Kalau dulu, penjahat naik rumah orang untuk ambil barang-barang berharga. Sekali sekala berlaku kehilangan motosikal dan kasut, tetapi sekarang hampir semua benda yang boleh menghasilkan duit buat penagih akan hilang. Yang paling glamour ialah kegiatan mencuri getah sekerap, curi kabel telefon, kabel TNB, curi binatang ternakan seperti kambing, ayam, angsa, lembu. Burung Candik Jambul juga turut menjadi mangsa curi. Kepala paip pun dicuri. Pintu pagar besi pun di curi, penutup longkang pun dicuri. Pendek kata hampir semua barang yang laku dijual mereka akan curi. Ada sesetengah penagih pil kuda juga sanggup memecahkan dan mencuri wang tabung masjid dan surau untuk mendapatkan wang.

Sekarang ini penagih pil kuda memang sangat agresif. Mereka tanpa rasa belas kasihan sanggup memukul dan mencederakan mangsa samun. Mereka sentiasa merayau-rayau mencari sasaran. Apabila sudah dikenal pasti atau line sudah clear, mereka bertindak menyamun orang tua, wanita dan budak-budak. Ketagih punya pasal telah membuatkan mereka tidak mempunyai 'hati perut'.

Pil kuda itu sendiri sebenarnya yang merosakkan otak mereka menjadi berani dan 'gila'. Penagih yang dah ' kacip kuda' akan berani untuk melakukan jenayah. Penyeludup beras, petrol, diesel, dadah, senjata api dan sebagainya terlebih dahulu menelan pil kuda untuk melakukan kegiatan jenayah mereka supaya mereka lebih berani dan berkeyakinan untuk melakukan sesuatu jenayah. Kalau nak bergaduh pun mereka akan telan pil kuda dahulu sebelum bertarung. Pil kuda juga turut terkenal dalam kalangan mat-mat rempit kerana dengan menelan pil kuda terlebih dahulu sebelum merempit membuatkan mereka akan menjadi 'hati kering' dan berani beraksi.

Pelajar yang telan pil kuda sebelum masuk kelas akan memberi masalah kepada guru dan rakan sekelas. Biasanya mereka akan bertindak agresif sekiranya ditegur atau dimarah terutamanya di saat-saat kesan khayal semakin hilang. Keadaan ini boleh menyebabkan tangan mereka 'ringan-ringan' nak hinggap kat muka cikgu sekiranya mereka ada rasa apa-apa yang tak puas hati. Pil kuda juga menjadi menu harian untuk kebanyakan pemandu kenderaan seperti lori pegangkut, pemandu teksi dan pemandu bas ekspress kerana dengan menelan pil kuda dapat mengelakkan mereka daripada letih dan megantuk. Pendek kata, pil kuda ini digunakan secara meluas dan di mana sahaja tidak kira apa jawatan mereka, berapa umur mereka dan apa jantina mereka.

Sekarang ni sudah ramai yang menjadi penagih tegar pil kuda. Kegiatan jenayah akibat daripada penagih pil kuda ini pula semakin hari semakin hebat dan sukar dibendung. Pasukan RELA dan Pasukan Rukun Tetangga yang dibentuk untuk membantu pihak polis menjaga keselamatan tidak memberi kesan terhadap perlakuan jenayah yang disebabkan oleh penagih. Ada sesetengah penagih pil kuda yang bukan saja sanggup memukul isteri, bahkan lebih daripada itu iaitu sanggup membunuh ibu bapa dan sanak saudara mereka. Itulah situasi hari ini yang kita semua perlu tahu betapa hebatnya bahana pil kuda kepada masyarakat dan negara. Perkara ini kita tidak boleh dipandang enteng kelak akan membawa bencana kepada negara yang suatu hari nanti sudah tidak ada lagi generasi yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara.

Pihak kerajaan bukannya tidak bertindak untuk membendung gejala ini tetapi oleh sebab terlalu banyak maka menyukarkan pihak berkuasa untuk bertindak. Boleh dikatakan semua pusat pemulihan dadah sudah padat dengan penagih di seluruh negara. Yang insaf cuma beberapa kerat sahaja tetapi penagih baru, bertambah setiap saat. 

Rencana : Matdingunung.blogspot.com

Wednesday 20 February 2013

SELAMAT HARI ULANGTAHUN MATDINGUNUNG.BLOGSPOT.COM




Alhamdulillah.. bermula hari ini genaplah blog MATDINGUNUNG beroperasi selama satu tahun. Selama masa beroperasi, ada pelbagai cerita dan info yang dimuatkan di dalam blog ini. Maknanya blog ini adalah blog pelbagai, tidak hanya khusus kepada satu-satu topik sahaja walaupun nama blog ni seolah-olah cerita perihal aktiviti mendaki gunung semata-mata.

Sepanjang setahun masa beroperasi, pageview blog MATDINGUNUNG  sebanyak 13764 sahaja. Terdapat sebanyak 75 entri yang aku post di dalamnya yang mana semua entri ini adalah original yang aku karang sendiri tanpa ceduk daripada idea orang lain atau pauk dari Google. Memang itulah saja tujuan aku membina laman blog ini iaitu semata-mata ingin memenuhi minat aku dalam menulis dan tapak MATDINGUNUNG.BLOGSPOT ni aku jadikan sebagai arkib tempat aku abadikan karya dan segala curahan idea dalam bentuk penulisan. Setakat ni follower blog aku hanya 10 follower. Jumlah pageview di counter setakat ni ialah 9748. Sebenarnya pageview sudah lebih daripada jumlah tu, tapi disebabkan meter counter aku letak lewat selepas blog aku sudah 3 bulan beroperasi maka jumlahnya tidak sama dengan jumlah yang sebenar. Tak kisahlah berapa jumlah pageview atau berapa jumlah follower janji laman blog aku ni menjadi medium tempat aku curahkan idea dan minat. Aku bukannya kejar income daripada blog ni kerana gaji aku sudah mencukupi untuk aku anak beranak makan. Laman blog MATDINGUNUNG pun anak murid aku yang buatkan untuk aku. Terima kasih Hannatul Alia, Gan Sher Rie dan Kimberly Ong. Aku cuma pandai post entri saja. Nak hias-hias kasi cantik dan menarik aku tak pandai pun. Apa yang mereka buat untuk aku, dari asal dulu sampai sekarang tak pernah aku ubah. Biarkanlah...  

Entri yang paling banyak dilawati ialah OUTING KELAB FOTOGRAFI DI KG JANDA BAIK iaitu sebanyak 1108 pageview diikuti dengan entri PELAJAR SEKOLAH DAN TELEFON BIMBIT iaitu sebanyak 886 pageview. Entri masakan juga tidak kurang mendapat view yang agak tinggi iaitu 728 orang yang buka untuk belajar CARA-CARA NAK BUAT PUDING GULA HANGUS. Entri KISAH AKU DULU-DULU mendapat 512 pageview. Majoriti setiap entri yang dimuatkan melebihi 100 pageview. Hal Ini merupakan satu perkembangan positif kerana seingat aku, pada 3 bulan pertama blog aku beroperasi, page view tidak lebih 30 orang yang buka sehari tetapi sejak akhir-akhir ni pageview atau orang yang buka dan baca blog aku mencecah lebih 150 setiap hari. Terima kasih kepada yang melayari blog aku. Motif aku cuma nak sampai dan kongsikan ilmu serta pengalaman. Lagi ramai orang baca, lagi hebat percambahan ilmu berlaku.

Selama setahun blog MATDINGUNUNG beroperasi, pelbagai entri yang aku masukkan tapi aku campur sekaligus sebab aku tak pandai nak buat separate atau kelas-kelas. Ada entri yang berbentuk info, ada entri yang berkongsi pengalaman, entri santai, entri XPDC, entri masakan dan entri saja-saja tulis.

                  ENTRI PENGALAMAN

- PENGALAMAN MASA LALU
- KISAH AKU DULU-DULU
-LAGI PENGALAMAN UNTUK DIKONGSI
-KENANGAN MANIS SEMASA AKU DI UNIVERSITI
- BANJIR KILAT VS MUSIM BANJIR
-KISAH HARI PERTAMA SEKOLAH DALAM TAHUN 2013
-KISAH SERAM 1 : TOK AYAH AWANG


                 ENTRI INFO

- TELEFON BIMBIT DAN BUDAK SEKOLAH
- 30 DALIL KENAPA IBU KITA WAJIB TAAT
- PETUA MASUK HUTAN
- PETUA NAK TINGGALKAN RUMAH
- RUMAH OH RUMAH
- NASIB SEORANG GURU
- DILEMA SEORANG AYAH
-TAZKIRAH PUASA
-FIKIR DAHULU SEBELUM BERBELANJA SECARA HUTANG
- KADAR PENGANGGURAN DAN PELUANG PEKERJAAN
- PABILA ANAK DI-PERAJA
- SENI FOTOGRAFI
- BENGKEL FOTOGRAFI
- BERHATI-HATI BELI KERETA TERPAKAI
- BAIK BURUKNYA MENGIKUTI KELAS TUSYEN

               ENTRI XPDC

- MENDAKI GUNUNG LEDANG
- MENDAKI GUNUNG KINABALU
- MENDAKI GUNUNG WARFU
- MENDAKI GUNUNMG STONG
- BERAKIT DI SUNGAI ARING
- RAWANG 4X4 EX-CHALLANGER
- XPDC MEMBURU IKAN KELAH DI KUALA KOH
- XPDC ARING PART I
- XPDC ARING PART II : MEMBURU UDANG GALAH


                 ENTRI AKTIVITI SANTAI-SANTAI

- OUTDOOR KE PAYA INDAH WETLAND
- FOTO OUTING KELAB FOTOGRAFI KE JANDA BAIK
- FAMILY DAY GURU-GURU LELAKI DI KAMPUNG SUNGAI
   DORANI
- TELATAH ANAK-ANAK MENYERTAI PERTANDINGAN 
   MEWARNA
- MANFAATKAN MUSIM CUTI SEKOLAH
- HARI KELUARGA ANAK CUCU HJ CHE SOH
- JAMUAN SILATURAHIM KUATERS GURU USJ 6
- MAJLIS SAMBUTAN AIDILADHA DI KUATERS GURU USJ 6
- TEMPAT2  MAKAN MENARIK DI PEKAN TANAH MERAH
- TARGEDI DI KOLAM PANCING
- PERGILAH MELANCONG
- MENJARING IKAN DI TELUK KEMANG
- AKTIVITI-AKTIVITI MATDINGUNUNG PULANG BERAYA
  DI KAMPUNG



                 ENTRI MASAKAN

- CARA-CARA NAK BUAT PUDING GULA HANGUS
- CARA-CARA NAK BUAT NASI BUKHARI
- CARA-CARA NAK BUAT NASI AYAM
- CADANGAN LAUK PAUK UNTUK BERBUKA


              ENTRI SAJA-SAJA NAK TULIS

- SAJAK AKU PUNYA
- CUTI YANG KURANG BERMAKNA
- KENAPA BLOG AKU NAMA MATDINGUNUNG
- KENAPA AKU JADI PENULIS BLOG
- MANFAATKAN MASA SIHAT
- BICARA TENTANG BLOG
- KELANTAN JUARA LIGA SUPER
- KAMI DATANG KAMI SOKONG KAMI PULANG   
  BERGELAR JUARA
- KELANTAN MELENGKAPKAN MISI TREBLE
- CERITA PASAL BOLA
- HARI RAYA VS PEPERIKSAAN
- MACAM MANA NAK RAYA
- TIKUS BAIKI LABU
- LABU BAIKI DIRI SENDIRI
- CARA-CARA NAK UPGRADE AIR KELAPA MUDA
- ANGANKU MUSNAH
- SEMUANYA IDAMAN KALBU
- KOLEKSI GAMBAR MR BEAN
- BLOG MATDINGUNUNG BERCUTI 2 MINGGU
- FENOMENA TIADA BANJIR
- SELAMAT TAHUN BARU
- TAHUN BARU, AZAM BARU, RUMAH BARU
- SYUKRAN
- SEDETIK ADIB BERSAMA ADIK-ADIKNYA
- ANTARA 2 DARJAT
- NASIB MESYUARAT AGONG PIBG


Wah.. 75 entri sudah masuk. Kalau setiap entri katakan purata ada sepuluh muka surat, tapi banyak yang lebih daripada 10 sebenarnya. 75 X 10 = 750 muka surat. Itu belum dicampur dengan satu lagi aku punya blog iaitu CIKGUMATDIN.BLOGSPOT.COM. Dalam blog tu  ada lagi berbelas-belas artikel. Aku juga banyak menyumbang idea dan artikel dalam majalah sekolah. Aku juga banyak menyediakan atau mengarang teks-teks ucapan dan kata alu-aluan untuk VVIP yang bakal memberi ucapan di tempat aku bekerja atau kata alu-aluan yang ingin dimuatkan dalam majalah atau apa-apa buku program sekolah. Selain tu, sebarang artikel dalam soalan-soalan peperiksaan terutamanya artikel  rumusan untuk budak form 5 aku karang sendiri tanpa ceduk daripada mana-mana buku rujukan. Kalau dicampur semua apa yang telah keluar daripada kotak pemikiran aku, pergh... nak sama tebal dengan KAMUS DEWAN.

Bukan nak berbangga dengan pencapaian ini tetapi nak sampai ke tahap mahir mengarang ni memang mengambil masa yang panjang. Perlu luas pengentahuan am dan perlu banyak membaca serta merujuk pakar. Kemahiran menulis ni juga anugerah Allah yang tidak semua orang yang dapat menulis walaupun mempunyai minat yang mendalam. Aku masih lagi merangkak untuk menjadi mahir. Terlalu banyak kelemahan yang masih perlu diperbaik.

Ada kawan-kawan suggest aku supaya tulis buku, dapat juga income. Tapi aku perlu belajar dulu dan asah bakat. Kena berkawan dengan penulis-penulis buku dulu untuk dapatkan maklumat dan berkongsi ilmu. Nak kena kaji dulu genre jenis macam mana buku yang aku nak keluarkan sama ada buku pendidikan ke, buku novel ke, buku motivasi ke, buku politik ke, buku biliografi ke atau buku masakan.  Setakat ni aku sudah mahir untuk berurusan dengan pencetak buku. Aku juga sudah mahir baca proof dan buat jilid sebab 3 tahun aku menjadi ketua majalah sekolah aku. Pengalaman dan pegentahuan buat majalah memberi banyak ilmu kepada aku yang membuatkan aku lebih bersedia untuk menjadi seorang penulis buku suatu hari nanti. Aku juga sudah mahir dengan istilah-istilah buat buku seperti lock bind, proof reading, dummy, sport UV, Ambose, glosy paper dan sebagainya. Aku juga tahu sedikit sebanyak pasal buat grafik. Aku sudah kenal dan selalu berurusan dengan pengurus pemasaran syarikat PELANGI GRAFIK iaitu satu syarikat yang banyak mengeluarkan buku-buku untuk diedarkan di sekolah-sekolah. Aku juga sudah kenal dengan pengurus pemasaran syarikat percetakan KARANGKRAF yang banyak memasarkan buku-buku novel dan pelbagai lagi buku yang mendapat permintaan ramai.

Setakat ni, biarlah aku sumbangkan idea aku dalam blog saja dulu walaupun  aku hanya blogger yang tak dikenali. Sasaran pembaca blog aku cuma kawan-kawan dan mungkin orang yang tersesat dan terjumpa blog aku secara tak sengaja. Walau apa pun, aku ucapkan terima kasih kepada semua pembaca blog aku terutamanya yang banyak memberi pendapat dan memberi komen yang membina. pintaku agar uar-uarkan kepada rakan-rakan, entri-entri yang dirasakan baik untuk dikongsi. Kita membaca, kita mendapat ilmu kemudian kita berkongsi ilmu bab kata omputeh sharing is caring


Buah Tangan pertama sebagai  penyelaras Majalah sekolah  280 muka surat pencetaknya ialah syarikat Pelangi Grafik

Hasil air tangan yang ke-2 setebal 280 muka surat. Pencetaknya ialah Ultimate Print anak syarikat Karangkraf
Air tangan yang ke-3 dan terakhir setebal 264 muka surat cetakan Simfoni Sdn Bhd.


Banyak pengalaman selok belok pasal penerbitan buku yang aku dapat pungut selama 3 tahun pegang  jawatan ketua majalah sekolah.
 AKHIR KATA, SELAMAT MENYAMBUT ULANGTAHUN PERTAMA MATDIGUNUNG.BLOGSPOT.COM

Friday 15 February 2013

PENGALAMAN SERAM


SIRI KISAH SERAM 1 – TOK AYAH AWANG

‘ Ringggggggggggg!!! ‘ loceng  ‘gila’ berdering panjang menandakan tamat waktu  sekolah pada hari terakhir minggu ni. Aku yang sedari awal sudah mengemas buku-buku dan alat-alat tulis masuk  ke dalam beg  mencapai beg sekolahku dan terus berlari keluar dari kelas sebaik saja cikgu Zakaria meninggalkan kelasku. Aku perlu lekas balik ke rumah sebab malam ni aku, Hadi, Mamat dan Kana ada misi yang harus disempurnakan bagi memenuhi hobi kami berempat.

Selepas balik daripada mengaji quran, kami terus membahagikan tugas. Aku dan Mamat  persiapkan 50 batang joran. Pastikan tali tasi joran tidak kusut dan berbelit-belit sesama sendiri. Aku perlu susun joran-joran tu dengan teratur dan ikat dengan kemas agar mudah untuk kami ambil dan pasang satu persatu. Hadi dan Kana ditugaskan menggali cacing gelang untuk dibuat umpan.

Selepas sembahyang asar, kami terus mencapai peralatan-peralatan yang perlu dibawa dan laju menuju ke destinasi. Lokasi kami pada kali ni ialah lubuk ikan di tengah sawah di kampung Kepala Bendang. Sebaik saja sampai, aku sangat teruja melihat tempat ni. Dalam hati aku berkata “ wah! Molek benar tempat ni, sudah tentu aku akan dapat banyak ikan”. Lubuk ikan tersebut dikelilingi oleh pokok-pokok sagu (rumbia) dan pokok mengkuang. Air lubuk tersebut agak gelap dan kehitaman sedikit. Aku yakin lubuk tersebut dihuni oleh ikan keli, toman, haruan dan tapah. Di sebelah kiri dan kanan lubuk tersebut pula terbentang luas sawah padi yang menjadi habitat kepada ikan haruan dan puyu. Memang strategik tempat ni untuk dipasang tajul. Selalunya mengikut pengalaman aku, kalau tempat yang cantik macam ni tidak kurang satu karung aku akan bawa balik hasil tangkapan untuk dijadikan lauk.

Tanpa membuang masa, Hadi terus mengatur strategi. Kami berpecah kepada dua kumpulan. Aku dan Mamat pergi pasang tajul di lubuk sebelah kanan, manakala Hadi dan Kana pasang tajul di sebelah kiri lubuk. Aku bahagian pasang umpan manakala Mamat tebas pokok-pokok renek buat laluan dan buat lapang. Aku pasang satu persatu dalam jarak dua meter  setiap satu joran. Di samping tu, dalam sawah juga aku turut pasang berselang seli. Satu jam kemudian, kami pun siap memasang semua joran yang dibawa. Aku berasa tidak sabar untuk menyusul melihat ikan-ikan yang sudah mengena. Sambil menunggu untuk melihat hasil tajul, Kana dan Mamat melastik buah-buah sagu untuk dimakan. Buah sagu rasanya manis dan amat kelat atau kelat-kelat manis. Kalau makan terlalu banyak boleh tercekik.

Sampai masanya, Hadi mengarahkan kami agar segera untuk menyusul kerana hari sudah hampir gelap. Kami menyusul secara berempat dan tidak berpecah. Satu persatu tali joran kami angkat. Yang dah habis umpan, kami bubuh semula. Untuk round pertama memang ada hasilnya. Kami dapat bawa naik 4 ekor haruan dan 1 ekor ikan keli lembut. Umpan-umpan yang dipasang juga banyak yang terusik. Tak menang tangan aku menambah kembali umpan-umpan yang sudah dikutis. Hal ini membuatkan aku yakin bahawa kami akan membawa pulang hasil yang lumayan.

Azan maghrib dari masjid di depan rumah Kak Long sudah berkumandang. Kami bergegas menunaikan solat maghrib. Kami berwudhuk menggunakan air sawah saja dan sembahyang dengan berlapikkan guni baja. Sebelum solat, kami pastikan tiada darah yang mengalir keluar dari dalam tubuh kami akibat perbuatan pacat dan lintah. Selepas semuanya selesai solat maghrib, kami makan bekalan yang dibawa untuk mengalas perut. Aku membawa sebungkus nasi berlaukkan ikan masin dan sedikit budu. Kami makan begitu berselera sekali. Sambil-sambil makan,  sempat juga aku hulurkan tangan untuk  jemput sedikit lauk dari bungkusan nasi milik Kana. Lauk dia best-best. Ada daging dan ada juga peha ayam. Mak Kana iaitu kak Kiah seorang pengusaha kedai nasi kat kampung aku. Sudah tentu bungkusan nasi milik Kana mewah dengan lauk yang lazat-lazat.

Selepas makan, kami menyusul untuk kali yang kedua. Aku dah tak sabar untuk melihat ikan-ikan yang tersangkut kat mata joran. Satu persatu kami angkat tali joran untuk melihat hasilnya tapi tidak seperti yang pertama tadi. Boleh dikatakan hampir semua tali joran kendur tapi yang peliknya semua umpan yang disangkut kat mata joran licin dan tidak bersisa. Yang tinggal hanya dawai aje. Biasanya umpan walaupun habis dikutis oleh ikan tetapi tetap ada tinggal sisa walau sedikit kat mata joran, tetapi yang ni pelik. Dahlah semua joran kehabisan umpan, licin pulak tu tak bersisa kat mata joran.  Tak menang tangan aku dan Mamat memasang kembali umpan-umpan tersebuat.

Menyusul pada  round yang kedua memang menghampakan. Seekor ikan pun tak dapat.  Aku dah mula rasa tak sedap hati kerana tidak mungkin tak dapat ikan walau seekor kerana mengikut pengalaman luas aku dalam bidang memasang tajul, kebiasaannya waktu lepas maghrib ikan-ikan begitu galak memakan umpan dan hasil memang banyak pada waktu ni. Nak kata tempat ni tak ada ikan, itu tak mungkin sebab aku yakin tempat ni adalah lubuk ikan. Sebaik saja sampai ke pondok rehat , kami berempat berpandangan sesama sendiri seolah-olah tidak percaya dengan apa yang telah terjadi. Sambil menjulang karung ikan Hadi cuba menyedapkan hati kami “ tak pe.. dia nak main kita, Jap lagi penuh la karung yang kita bawa ni dengan spesis ikan-ikan idaman kita iaitu keli lembut dan ibu bapak haruan sebesar betis.”

Setengah jam kemudian, kami menyusul lagi untuk round yang ketiga. Satu lagi kejadian pelik berlaku. Kalau tadi semua umpan licin yang tinggal cuma dawai saja, tapi kali ni semua umpan tak diusik. Setiap mata joran umpannya tak dikutis langsung. Sekali lagi kami hampa tetapi perlu banyak bersabar. Kami tak mahu berprasangka buruk dan kami anggap masih tak ada rezeki. Selepas kedengaran azan isyak, kami tanpa berlengah terus ambil wudhuk untuk menunaikan solat fardhu isyak walaupun dalam keadaan yang tidak selesa. Selesai solat isyak, kami bersembang  sambil makan kuaci. Sedang asyik bersembang tiba-tiba lalu sebuah motosikal penduduk kampung Kepala Bendang yang baru pulang dari masjid. Melihat saja kumpulan kami, pakcik tu memberhentikan motosikalnya di tepi kami.

Pakcik:   “ tahan tajul ke nak?” 

Hadi :     “ Ak ah.. ya kami tahan tajul”

Pakcik:   “ tahan kat mana?”

Hadi       “ Kat lubuk dalam pokok sagu tu”

Pakcik:   “ Laaa.. tempat tu keras sikit nak. Penduduk sini pun tak de yang berani tahan tajul kat situ. Tak de orang kasi tahu ke? Anak-anak ni anak sapa?”

Hadi:     Saya nga dia ( tunjuk kat aku ) anak Cik Soh Jabat Bukit Bertam, Ni sepupu saya ( tunjuk kat Mamat )  yang ni pula ( tunjuk kat Kana ) anak Che Hassan kedai nasi.

Pakcik :   Eh, baru jap sakni pakcik jumpa ayah kamu kat masjid. Cik Soh tak bagi tahu ke? Dia tahu tak kamu datang tahan tajul kat sini?

Hadi :   Dia tahu kami pasang tajul malam ni. Tapi ayah tak tahu kami pasang tajul kat tempat ni.

Pakcik :    “Dapat tak ikan?”

Hadi :     “ tuuu, baru dapat 4 ekor. Tu pun yang sangkut petang tadi. Yang malam ni belum dapat hasil lagi.

Pakcik: “Baiklah.. hati-hati sikit. Kalau ada apa-apa baca la 4 Qul. Jangan lupa baca ayat-ayat Kursi sekali. Hujan pun dah mula turun, pakcik balik dulu.”

Hadi: “Terima kasih pakcik “

* Dialog ni telah ditukar daripada dialek Kelantan ke bahasa standard

Sebenarnya kampung Bendang Keladi ni adalah jiran kampung aku iaitu kampung sebelah. Jadi kami pun tak tahu mana-mana tempat yang berpuaka atau tempat larangan. Tetapi kebanyakan budak di kampung ni bersekolah sama dengan budak-budak kampung aku. Sebaik saja aku tahu tempat yang aku tahan tajul ni agak keras, aku sudah mula gubra. Tapi Hadi ni jenis orang yang keras semangat. Sekali lagi dia mengarahkan kami supaya bersiap untuk menyusul buat round yang keempat.

Hujan sudah turun renyai-renyai. Bulan dan bintang langsung tidak menampakkan sinarnya akibat ruang angkasa kampung Bendang Keladi dilitupi oleh awan tebal. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 9.45 malam. Bekal-bekal sudah banyak yang luak dan yang tinggal cuma gula-gula sahaja lagi. Nyamuk dan pacat semakin mengganas mengorek dan menyedut keluar darah dari dalam badan kami melalui liang-liang roma kami. Situasi hujan renyai dan bulan gelap macam ni memang amat sesuai untuk  memasang tajul kerana ikan-ikan begitu galak memakan umpan.

Kami berjalan berpasangan menuju ke lubuk tempat kami memasang tajul. Aku berjalan beriringan dengan Hadi di hadapan.  Hadi memegang lampu picit, aku memegang tin milo yang berisi umpan, Mamat memegang karung ikan dan Kana memegang parang.  Batang tajul pertama yang kami angkat tidak membuahkan hasil. Umpan habis licin tetapi hasilnya tiada. Mamat menemaniku memasang umpan. Hadi terus berjalan ke depan mengangkat satu persatu tasi tajul.  Blup! Plop! Plop..plop..plop.. Bunyi kocakan air lubuk tak henti-henti menandakan ikan-ikan begitu banyak berada di dalamnya.

Seketika… Blup!..Blupp!.. bunyi salah satu tajul aku yang di belakang. Aku terus memanggil Hadi supaya menyuluh salah satu joran yang berhampiran dengan aku.   Sebaik cahaya lampu ditujukan kepada salah satu joran yang berbunyi kuat, kami dapat melihat dengan jelas batang joran yang tenggelam timbul di permukaan air seolah-olah ditarik oleh Haruan yang beratnya antara 2 hingga 3 kilo. Hadi terus mencapai batang joran tersebut dan cari talinya. “ cisss…. Dah terlepas” kata Hadi.  Seketika bunyi pula kat depan sana selang tiga joran. Hadi terus menuju ke tempat tu. Situasi yang sama juga berlaku. Batang joran ditarik ‘ikan’ bagai nak patah. Hadi pantas menyambar batang joran tersebut tetapi sekali lagi “ ciss.. celaka, terlepas lagi.” Tapi aku sudah rasa tak sedap hati. Umpan tak terusik langsung macamana  ikan boleh terlepas. Aku Cuma berdiam diri saja tak cakap apa-apa.

Kami berjalan lagi menuju ke depan. Tiba-tiba di belakang kami bunyi kocakan air yang agak kuat seperti ada lembaga terjun ke dalam lubuk. Jantungku berdegup kencang. Peluh dingin mula keluar dari segenap liang-liang romaku. Mulutku terkumat-kumit membaca ayat-ayat kursi. Hadi menyuluh ke arah bunyi tersebut. Kelihatan salah satu batang joran membedal-bedal permukaan lubuk seperti tersangkut ikan toman sebesar peha. Hadi cuba untuk mencapai batang joran tersebut dan mendapatkan talinya. Apabila tali diangkat naik, wah! Umpan sikitpun tidak terusik. Wajah Hadi mula berubah, dia membisikkan ke telingaku “ kita dah kena main, Jom balik sekarang”.  Tanpa berlengah lagi, kami pantas berjalan melewati batas-batas padi menuju ke tempat rehat. Sekali sekala kakiku terjerlus ke dalam petak sawah. Selipar jepunku terperosok jauh terbenam ke dalam selut. Aku biarkan selipar jepunku itu terus tertanam di dalam selut tersebut. Aku perlu cepat meninggalkan tempat berpuaka tu.

Selepas semua barang penting sudah diambil, kami terus berjalan pulang. Dalam perjalanan pulang, kami masing-masing diam membisu. Berjalan dan terus berjalan tanpa menoleh kiri dan kanan. Aku berjalan agak terkebelakang dan terhincut-hincut sebab terpaksa berkaki ayam . Kedua-dua belah selipar ku tinggalkan tertanam di dalam selut dalam petak sawah.  Perjalanan kami semakin pantas semasa melewati tanah perkuburan. Di sebelah tanah kubur  adalah tanah tinggalah arwah Pok Man Kudung yang terbair dan dipenuhi hutan-hutan renek yang mengerikan. Tidak ada rumah penduduk di kawasan ini. Sebab tulah penduduk kampong Bendang Keladi tak ramai yang berani keluar malam untuk ke pekan.

Semasa melewati tanah perkuburan tu, naluriku begitu kuat untuk menoleh ke arah satu kubur yang masih baru iaitu kubur Tok Ayah Awang dari kampung Pelain. Aku cuba sedaya-upaya menahan mukaku daripada menoleh ke arah kubur itu tetapi tidak berdaya seolah-olah ada daya tarikan graviti. Di atas pusara Tok Ayah Awang, aku seolah-olah melihat ada satu lembaga yang sedang bertafakur . Bulu tekukku mula meremang tapi aku terus berjalan tanpa mempedulikannya. Sambil langkah mengatur gerak, berkali-kali aku menoleh ke arah kubur itu dan setiap kali aku menoleh, kedudukan lembaga itu berubah-ubah. Ah, mungkin itu adalah mainan perasaan. Aku cuba memujuk hati aku sendiri.

Hati aku berasa lega apabila sudah sampai ke jalan besar. Kereta yang lalu lalang di atas jalan besar membuatkan aku tak takut lagi. Kana sudah selamat sampai ke rumahnya kerana rumah Kana berada di tepi jalan besar. Aku, Hadi dan Mamat  perlu masuk jauh ke dalam lagi melalui satu lorong jalan kampung yang sempit dan dipenuhi semak samun di kedua-dua belah sisinya kerana rumah aku berada agak jauh di pedalaman.

Tidur malam tu aku tak dapat lelapkan mata. Bukan situasi yang berlaku di lubuk yang membuatkan aku tak dapat tidur, tetapi fikiranku melayang memikirkan apakah realiti apa yang aku lihat di atas kubur tok Ayah Awang tadi. Setahu aku Tok Ayah Awang adalah dukun patah dan tukang urut yang tersohor di seluruh daerah tempat tinggal aku.

Dua tiga hari kemudian, heboh dipertuturkan oleh penduduk kampung terutamanya di kedai kopi kak Kiah mengatakan ada penduduk terserempak dengan Tok Ayah Awang merayau-rayau kat dalam kampung. Penduduk yang masih tak tahu kematian Tok Ayah Awang sempat bertegur sapa lagi dengan Tok Ayah Awang semasa mereka bertemu secara tidak sengaja. Mak Aku kata, Tok Ayah Awang ada bela hantu raya dan Halo buat pendamping. Tetapi selepas kematiannya, tidak ada keturunan yang mahu mewarisi belaan Tok Ayah Awang tersebut kerana Tok Ayah Awang tidak mempunyai isteri dan Anak. Jadi, belaan Tok Ayah Awang terbiar dan merayau-rayau. Sama ada benar atau tidak cerita orang-orang kampung dan cerita mak aku tu, aku pun tak mahu ambik kisah. Tetapi situasi yang aku hadapi dan alami itu benar-benar berlaku dan aku dapat ingat dengan jelas sampai sekarang.

Kat tengah sawah ada satu lubuk ikan tapi sayang rupanya tempat tu keras.
Kalau nak balik, mesti melalui  tanah perkuburan yang jauh daripada rumah orang

                  

Monday 4 February 2013

NASIB MESYUARAT AGONG PIBG

Boleh dikatakan semua sekolah yang wujud di Malaysia mempunyai Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Persatuan ini penting bagi memberi peluang kepada para ibu bapa mengembleng tenaga, buah fikiran, kepakaran dan wang ringgit bagi membantu anak-anak dalam meningkatkan prestasi pembelajaran mereka di sekolah. 

Seingat aku masa sedang bersekolah dulu-dulu, bila ada mesyuarat Agong PIBG, ibu bapa akan berduyung-duyung datang dari segenap pelosok kampung. Bagaikan nak pergi ke pesta atau pergi ke majlis kenduri, mereka datang secara berkumpulan dengan jiran-jiran bawa bersama anak-anak kecil. Dewan sekolah tingkat bawah yang dibuka pintunya penuh sesak dengan para ibu bapa sehingga ke luar dewan. Bagi mereka, mesyuarat Agong PIBG yang diadakan sekali setahun merupakan satu platform buat mereka luahkan pendapat dan melontarkan perasaan tidak puas hati untuk diselesaikan pemasalahan anak-anak secara musyawarah. Tapi itu duluu.. kat kampung..Tapi sekarang???

Sekarang, mesyuarat Agong PIBG hanya menjadi satu beban buat guru-guru. Kenapa aku kata begitu? 

Mana tidak terbeban, guru yang buat takwim tahunan sekolah kena perah otak memikirkan slot untuk diadakan mesyuarat Agong PIBG. Sebulan sebelum mesyuarat pula, guru-guru dipanggil mesyuarat untuk agihan tugas. Ada yang kena buat teks ucapan untuk VVIP berucap, ada yang perlu sediakan makanan untuk VVIP dan ibu bapa yang hadir, ada guru yang kena kawal lalu lintas dan parking, ada yang kena bahagian fotografi, bahagian buat backdrop, bahagian persembahan pelajar, bahagian PA Sistem, bahagian pendaftaran, bahagian hadiah dan cenderamata, bahagian susun atur kerusi dan tempat duduk VVIP dan pelbagai bahagian lagi yang perlu dilakukan oleh guru bagi memastikan perjalanan menyuarat Agong PIBG lancar. Yang kena buat teks ucapan memang pening kepala pikir ayat-ayat power untuk VVIP baca semasa dijemput untuk menyampaikan ucapan. Bahagian backdrop juga perah otak memikirkan hiasan stage yang gah lagi sempurna dan yang pastinya berbeza dengan konsep tahun-tahun sudah. Bahagian jamuan lagi seksa nak pikirkan menu dan buat anggaran berapa ramai yang akan hadir, kalau nak tempah sikit, takut tak cukup. Nak tempah banyak, takut kehadiran mengecewakan makanan pula akan terbazir.

Seminggu sebelum mesyuarat Agong PIBG, panggil lagi ketua-ketua bahagian untuk bermesyuarat lagi sekali bagi memastikan perancangan berjalan lancar. Kalau ada mana-mana bahagian yang ada masalah, boleh diajukan untuk diselesaikan bersama. Semua itu tak nak bagi masalah pada hari mesyuarat agong sedang berjalan. Seminggu sebelum mesyuarat juga budak-budak agresif berlatih kawad, persembahan dan sebagainya untuk dipersembahkan pada hari mesyuarat sebenar berlangsung nanti. Sehari sebelum mesyuarat sebenar berlangsung, diadakan pula 'reasel' bagi memastikan kelancaran majlis untuk keesokan hari. Pendek kata, memang penat cikgu-cikgu bekerja untuk memastikan MESYUARAT AGONG PIBG BERJALAN LANCAR  DENGAN JAYANYA. 

Tapi... bila mesyuarat sebenar, apa yang berlaku ???


Kehadiran ibu bapa amat mengecewakan

Kerusi yang disusun je yang ramai

Maka akan berlaku calon YDP PIBG disandang oleh individu yang sama setiap tahun  kerana  tak ada  orang lain lagi untuk dicalonkan. Menanglah ia tanpa bertanding.


semua ibu bapa yang hadir dapat jadi AJK kerana seramai ni je yang datang
yang cadang adalah cikgu

yang sokong pun adalah cikgu-cikgu


Kerana apa? kerana ibu bapa tak ada yang hadir. Cikgu wajib hadir sebab kalau tak hadir wajib kena bagi surat MC
apabila ada wakil ibu bapa yang bertanya..
Barisan AJK wajib menjawab setiap persoalan agar  segala permasalahan dan ketidakpuasan hati dapat diselesaikan bersama 

Itulah dia nasib MESYUARAT AGONG PIBG yang dirancang penuh rapi pada zaman manusia berlumba-lumba mengejar kemewahan hidup sehingga tidak ada masa untuk diluangkan bagi menghadiri mesyuarat yang memberi banyak manfaat terhadap pembelajaran anak-anak. Sepatutnya, sebagai ibu bapa, peluang sebegini tidak boleh dilepaskan kerana banyak manfaat yang diperoleh sekiranya kita datang ke mesyuarat agong PIBG kerana di sini kita boleh ajukan sebarang pertanyaan serta kemukakan apa yang terbuku di hati untuk dibincang dan mendapatkan kata putus terbaik demi melancarkan proses pembelajaran anak-anak di sekolah. Ibu bapa tidak boleh lepas tangan begitu sahaja untuk anak-anak mereka ditarbiah dan dijadikan intelektual oleh guru-guru di sekolah kerana proses pembelajaran bermula dari rumah. Ibu bapa sepatutnya perlu mengambil bahagian dan menjadi sebahagian daripada individu yang menyumbang ke arah pembangunan mental dan fizikal anak-anak seterusnya dapat melahirkan anak-anak yang gemilang dan terbilang kerana kata orang " yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing".


Pelajar di sekolah ada 2200 orang. 'Parent' yang hadir cuma seramai ni je. Tak tele dengan  gelas-gelas yang disusun rapi.  Kesannya, setiap orang guru mesti tapau bawa balik rumah lauk-lauk dan nasi yang tak habis.

Situasi ini berlaku hampir semua sekolah di daerah tempat aku tinggal kini. Kat lain-lain daerah pun aku rasa  perkara ini turut sama berlaku kerana keadaan hari ini tidak sama dengan keadaan dulu-dulu. Keadaan di bandar tidak sama dengan keadaan di kampung. Zaman ni orang guna kemudahan teknologi untuk luahkan perasaan, bukannya lisan secara live. Kalau ibu bapa nak 'complain' pasal sekolah, telefon je kat sekolah dan maki hamun cikgu dan kerani sekolah kalau ada apa-apa rasa tak puas hati.