Monday 26 July 2021

MUSIM VARIAN DELTA MENGGANAS

 Assalamualaikum..

Pertama sekali DinGunung nak mohon maaf kepada follower blog MatdinGunung sebab lama sangat tak masuk entri baru.. hal ini sebab sudah sedia maklum bahawa kita berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) yang tak boleh nak rentas daerah walau nak pegi mancing ikan patin di Sugai Langat sekalipun. Memang begitu lama PKP kali ini berlangsung.. lepas tu diberatkan lagi dengan Lockdown sebagai penambah perisa PKP.. masih lagi tak berkesan.. tak cukup dengan lockdown, ditambah perisa lagi satu iaitu PKPD di seluruh Selangor.. lagi laa perit rasanya.. 

Sepanjang berkurung dalam rumah, aku sentiasa layan facebook.. sebab tak tau nak buat apa kan, lagipun sekolah sedang cuti, so aku tak busy dengan PDPR.. Dalam fb, aku suka layan aktiviti Wea Salamos sebab suka tengok dia cari rezeki dengan keluar ke laut memancing kerisi dan cencaru, mencari lokam kemudian main masak-masak dalam pohon nipah.. itu semua memang aktiviti yang sebati dengan jiwa aku sejak kecil. Kemudian aku juga suka layan  ' Joama Malaysia,'  aktiviti main dalam sawah padi, jerkap ikan, tahan tajul, menjala, memancing dan macam-macam aktiviti kampung.. selalu dia tayang view sawah padi dan bukit yang terbentang luas, kemudian matahari naik dicelah bukit serta ada beberapa ekor burung beterbangan  macam lukisan masa kita zaman budak-budak dulu. Memang sangat rindu kat aktiviti macam ni.. rasa nak keluar air mata tengok aktiviti mereka yang aku follow dalam FB.. jelous sangat-sangat. Ada juga aku follow 'Geng Cari Lampam.' layan video aktiviti mereka masak-masak ikan hasil jaring atau pancing di dalam hutan atau di tepi sungai, sebijik macam aku biasa buat.. fuhhh.. rindu betul. Aku sentiasa berdoa agar satu hari akan dibuka juga pintu sempadan negeri kerana banyak aktiviti outdoor yang aku rancang duk tunggu turn..

Oklah.. hari ni bukan aku nak cerita pasal aktiviti outdoor, tapi aku nak menulis pasal apa yang berlaku disekelilingku sepanjang dua tiga hari kebelakangan ni. Aku kena menulis juga kerana skill menulisku sudah semakin hilang akibat lama tak menulis.. macam skill main golf aku, sudah hilang skill swingggg akibat lama tak turun green.

Araitt.. hari ni 26 Julai 2021.. ada beberapa rekod baru yang aku nak catat di sini sebagai kenangan yang akan kemas terpahat dalam sanubariku sepanjang hayatku nanti dan juga untuk tatapan anak cucuku nanti. Mungkin esok ataupun lusa atau hari-hari yang bakal ku lewati akan ada banyak rekod baru lagi, mungkin... takpelah.. yang aku nak cerita hari ni ialah rekod setakat hari ini... Keadaan jangkitan covid sekarang memang sudah tidak terkawal.. hal ini puncanya akibat kehadian varian DELTA yang katanya lebih pantas berjangkit. Sistem kesihatan kita sudah semakin lumpuh, frontliner kita sudah hampir tertewas dan amat-amat kepenatan. Wad-wad hospital di seluruh negara sudah penuh terutamanya di Selangor dan Kuala Lumpur yang tidak mampu lagi mananggung kes ICU yang melimpah ruah.. ramai pesakit yang memerlukan bantuan oksigen terpaksa berkongsi tabung oksigen dan terpaksa tidur di kerusi dan lantai dalam wad ICU selama berhari-hari bahkan ada yang berminggu-minggu. Keadaanya amat-amat dashyat kalau kita boleh tonton video keadaan kat dalam tu.. Mental pesakit terus koyak dan amat mengerikan.. Mayat-mayat bergelimpangan di rumah mayat dan sudah tak muat untuk diisi dalam peti mayat.. terpaksa di susun di lantai bilik mayat. 

Ok.. hari ni 26 Julai 2021 rekod tertinggi kematian dalam sehari setakat ini iaitu seramai 207 orang.. maknanya setiap 7 minit ada kematian. Pesakit dari Negeri Selangor dan Kuala Lumpur yang paling ramai meninggal. Setakat hari ni kes kematian keseluruhan sudah mencecah 8201. Semalam, 25 Julai 2021, tercatat rekod kes jangkitan harian tertinggi iaitu sebanyak 17, 045 dan hari ini juga jumlah keseluruhan jangkitan sudah mencecah angka melebihi 1 juta orang. Hari ini juga aku telah mendapat suntikan bagi dos kedua vaksin Pfizer.. Alhamdulillahh.. semoga aku dilindungi oleh Allah lepas ni daripada dijangkiti atau sekurang-kurangnya kalau nak kena, biarlah di tahap 1 atau 2 saja iaitu kes yang tak bergejala.

Hari ni, 26 Julai 2021 sidang Parlimen sudah bermula apabila lama tertangguh akibat darurat politik. Yang mengecewakan, sidang parlimen yang diadakan bukan untuk mencari solusi bagaimana kesepakatan yang boleh dibuat oleh pemimpin-pemimpin yang dipilih rakyat untuk menyelamatkan rakyat daripada jangkitan Covid yang sedang mengganas.. tetapi dewan parlimen menjadi medan tempur pihak-pihak yang berkepentingan dan gilakan kuasa menyalak untuk menjadi jaguh penyalak paling hebat. Semuanya menyalahkan pihak kerajaan.. sedangkan sepatutnya pada saat ini, buang jauh-jauh rasa nak kuasa tu dulu.. fokus kepada kaedah dan cara bagaimana nak lawan covid yang menyerang rakyat ni.. yang mematikan rakyat ni.. yang menyebabkan rakyat ramai yang hilang semangat untuk meneruskan kehidupan.. yang menyebabkan rakyat miskin..yang menyebabkan rakyat kelaparan.. yang menyebabkan hospital-hospital sesak dengan rakyat.. yang menyebabkan rakyat yang bertugas di barisan hadapan terduduk dan pengsan kepenatan.. Bantu rakyat.. Bantu Rakyat.. itu sepatutnya tujuan parlimen dibuka untuk bersidang, bukan untuk melalak melepaskan geram kepada Perdana Menteri dan  beberapa Menteri atau Pihak kerajaan..dalam keadaan dan situasi sekarang, sape-sape jadi pemimpin pun akan gagal.. sebab tak boleh nak buat kerja.. bimbang dijangkiti covid yang mengganas. Banyak sektor ekonomi yang menjana pendapatan kepada kerajaan terpaksa ditutup.. semua kena faham ni.. Presiden Amerika yang terbaik dalam ratusan juta rakyat pun tak mampu menangani masalah covid ni walau negara mereka kaya. 

Sepatutnya dalam sidang Parlimen kali ini, semua ahli parlimen berpadu tenaga dan bergabung idea cari solusi terbaik untuk mengekang wabak ini sepertimana suatu masa dulu negara kita menjadi antara negara terpantas dapat membendung penularan pandemik covid 19 ini. Sepatutnya pada masa ini, mereka bincang bagaimana nak bina hospital sementara macam negara China buat dulu, menambah kakitangan hospital dan menyediakan peralatan hospital termasuk katil-katil dan kelengkapan makmal hospital. Bincang untuk bentuk banyak kumpulan sukarelawan dalam parlimen masing-masing untuk bantu frontliner. Bincang untuk buka lebih banyak pusat suntikan vaksin untuk mencapai sasaran 80% imuniti rakyat dengan lebih pantas.. ini tidak, dalam keadaan yang getir ini, ada juga tangan-tangan hitam ambil kesempatan untuk menekan kerajaan dengan menghasut adik-adik doktor pelatih tinggalkan pesakit untuk keluar berdemontrasi. Apa niii..??? rakyat cemas la macam ni.. pesakit covid yang sepatutnya berada di tahap 2 iaitu begejala ringan terus upgraded naik ke tahap 3 dan 4.. sesak nafas mereka dibuatnya...Memang lumpuh laa negara macam ni.. septutnya kalau ada agenda politik pun.. sabar dulu.. fikir dulu 165,840 rakyat yang sekarang ini sedang bertarung dengan sakit covid tu, sembuh dulu semuanyaa.. adik-adik doktor kontrak pun satu hal.. mudah sangat termakan hasutan.. kalau dia ada rasa tanggungjawab untuk merawat pesakit biar sembuh selari dengan motto seorang doktor yang dipegang oleh semua doktor.. tak patut buat macam ni.Walau berstatus doktor kontrak, kerajaan tetap bayar gaji. Bila keadaan dah reda nanti, tuntutlah nak tuntut apa-apa pun.. sebab kita ada hak untuk bersuara.

Oklah.. cakap banyak pun tak guna.. suara blog aku takde pun org dengar.. aku bukan ahli parlimen yang duk dalam dewan parlimen untuk nak mencelah bagi nasihat kepada ahli-ahli parlimen yang sedang bertelagah ni. Aku menulis dan luahkan perasaan untuk aku sahaja.. sungguh kecewa aku dengan keadaan ahli politik kita yang macam ini.. suka sangat mengguk di air keruh memperjudikan nyawa dan kesusahan rakyat demi memenuhi agenda parti politik mereka.

Kita sebagai hamba rakyat, marilah kita sama-sama terus berdoa terhadap Allah swt agar angkatlah wabak kovid 19 ini dari bumi Malaysia dan kembalikan keamanan dan kesejahteraan serta nikmat yang rakyat Malaysia kecapi sebelum ini. Rakyat bantu Rakyat.. Janganlah kita menjadi sebahagian daripada orang yang tak peduli kesusahan orang lain dan suka mengambil kesempatan di atas kesususahan orang lain. "Kita Jaga Kita.. Kita Jaga Keluarga Kita.. Kita Jaga Jiran Kita dan kita Jaga Semua" 

Sekian.. Assalamualaikummm wbt....