Tuesday 29 January 2013

CARA-CARA NAK BUAT NASI AYAM MATDINGUNUNG

Assalamualaikum..hai, bersua kembali kita dalam entri masakan yang lama aku tak update. Sebenarnya entri masakan yang aku masukkan memang mendapat rating yang tinggi dalam blog aku. Setiap hari ada page view. Namun begitu, oleh sebab laras bahasa yang digunakan untuk karang resepi amat berbeza dengan entri berbentuk laporan atau esei membuatkan aku berat tangan untuk menaipnya. Tapi atas permintan ramai supaya aku terus menyumbang resepi dalam blog untuk rujukan suri rumah, maka aku gagahkan juga kerana tidak mahu menghampakan pembaca blog aku. Ada orang kata cara yang aku ajar dalam blog tu mudah faham dan tidak menghampakan selepas mencuba. Alhamdulillah... itulah yang aku mahukan sebenarnya iaitu kongsi ilmu untuk manfaat semua.

Sebelum aku karang resepi cara-cara nak buat NASI AYAM MATDINGUNUNG, izinkan aku mulakan intro dengan cerita hal keluarga sikit sebab entri ini ada kaitan dengan apa yang aku nak ceritakan ni. Setelah lebih 3 minggu anak sulong aku si Adib berada di asrama, kini dia berpeluang untuk balik ke rumah setelah cuti bersambung selama tiga hari. Gembira sangat-sangat dia bila dah dapat balik. Apa tidaknya, yang dia ingat tentulah masakan umi dia. Berada kat asrama masakannya tidaklah sesedap masakan umi dia. Apa menu yang disediakan oleh pihak kantin, itulah yang harus dimakan. Tak ada kompromi. Walau masin, walau tawar, walau tak sedap, walau ada menu yang dia tak suka.. nak tak nak kena belasah juga.

Sampai saja kat rumah, terus Adib buka peti ais cari makanan. Pelahap betul aku nampak dia. Makan..makan..makan.. dan terus makan tanpa henti. Nampak sangat kemaruk makan budak ni. Mulut sentiasa mengunyah. Ayam golek kat dalam peti ais yang dua hari lepas tak habis dimakan, terus dia habiskan tanpa panaskan terlebih dahulu. Biskut lemau pun habis dimakannya.Dashyat betul nafsu makan Adib. Macam-macam masakan yang dia minta umi dia sediakan sepanjang dia menghabiskan masa cutinya kat rumah. Salah satu makanan yang paling digemarinya ialah tak lain tak bukan iaitu NASI AYAM.

Hari ni umi diapun tunaikanlah permintaan dia. Oleh sebab kat sekolah dia masuk kelab fotografi, aku suruh je dia ambik gambar langkah-langkah umi dia menyediakan Nasi Ayam mengikut tertib.

   CARA-CARA MEMBUAT NASI AYAM MATDINGUNUNG



Aku akan ajar satu persatu supaya jelas.

Langkah 1 - Sediakan Air Lada

Blender cili besar kemudian masak di atas api dengan perlahan. Sementara itu tumbuk halus 2 ulas bawang putih (biarkan). selepas mendidih masukkan garam, gula, cuka secukup rasa dan sedikit ajinamoto. Biar ia medidih sehingga cili menjadi pekat. Sebaik saja api ingin dipadamkan, barulah masuk bawah putih yang ditumbuk tadi. kacau. dah siap. Boleh dihidangkan.


3 biji lada besar dan 2 biji bawang putih ( kalau nak makan ramai, kena taruk lebih )

Blender lada dengan sedikit air
masukkan ke dalam periuk

panaskan dengan api yang perlahan
masukkan garam secukup rasa

Masukkan gula dan sedikit serbuk perasa ( ajinamoto)

Masukkan cuka buatan secukup rasa kemudian kacau hingga sebati, Bila dah pekat dan hampir mahu diangkat, masukkan bawang putih yang ditumbuk tadi. Kacau beberapa saat kemudian padamkan api

Haa.. air lada sudah ready

Langkah 2 - Sambal Kicap

Tumbuk  2 atau 3 ulas bawang putih, bila sudah lumat terus masukkan kicap lemak manis kipas cap udang, kemudian kacau sebati. Dah siap.Boleh dihidangkan.


Bawang putih yang telah ditumbuk, dituangkan saja kicap manis kemudian kacau. Tu je lahhh.. mudah kan?

Haa.. dah siap pun. Tak payah nak masak.

Langkah 3 - Masak Nasik

Rebus ayam yang telah dibasuh bersih. Dalam air rebusan masukkan serai, bawang putih,  halia, dan sedikit garam. Kemudian basuh beras dan toskan. Kemudian masukkan air rebusan ayam ke dalam periuk beras. kemudian masukkan sedikt serbuk kunyit, sedikit gula, dan daun sup ( batang je dah cukup). kemudian masaklah guna rice cooker.. tunggu masak.


Ayam dibasuh bersih dan disiram


Rebus ayam bersama serai, bawang putih dan halia. Jangan lupa masukkan sedikit garam
Sambil-sambil tu, potong bawang besar dan halia untuk ditumis.

Goreng dengan api yang sederhana buah pelaga dan bunga lawang

Kalau air rebusan ayam dah mendidih, tutup dulu api

Bila buah pelaga dan bunga lawang sudah kekuningna, masukkan bawang dan halia yang dipotong tadi

Kacau-kacau hingga kekuningan. 

Ambil air rebusan ayam tadi, kemudian tuang ke dalam kuali/periuk tumisan awah tadi yang bakal digunakan sebagai air  untuk masak nasi
Basuh beras kasi bersih mengikut kuantiti yang nak makan 

Masukkan air rebusan ayam yang telah dicampur dengan tumisan awah tadi ke dalam periuk nasi


Biar beras tenggelam macam ni. Kalau lebih air nanti lembik pulak nasi tapi jangan lupa masukkan sedikit serbuk kunyit. Biar cukup-cukup dia punya sukatannya. Kemudian masukkan ke dalam rice cooker. Pastikan anda tekan punat dia. jangan tak tekan takut nasik yang ditunggu tak masak-masak.
Haa.. nasik masak canteeekkk

Langkah 4 - Kuah Sup

Rebus ayam sekali lagi (ayam yang sama) masukkan bawang putih, serai, sup bunjut adabi, halia, daun sup, gula dan bahan perasa. Apabila mendidih bolehlah keluarkan ayam. Biar sup tadi terus mendidih, sekiranya suka yang pekat bolehlah masukkan ubi kentang. Siap dan boleh dihidangkan.


Rebus ayam sekali lagi dengan menggunakan ayam yang telah digunakan airnya tadi untuk masak nasi

Masukkan air secukup rasa untuk buat dia punya kuah

Sebab tak muat periuk, masukkan saja dalam kuali. Kalau dah guna periuk besar, tak payah tukar. Biarkan dia mendidih di atas api yang sedehana kemudian masukkan sup bunjut, serbuk perasa, garam, dan daun sup.


Bila sudah mendidih, angkat ketul-ketul ayam satu persatu.

Langkah 5 - Ayam 

Toskan ayam yang direbus tadi kemudian perapkan ayam yang direbus dengan sos tiram nona selama 1/2 jam. kemudian goreng dalam minyak yang banyak.. bila dah masak, boleh angkat kemudian hidangkan.


Ayam yang sudah dikeluarkan daripada periuk
Ayam rebusan tadi dilumur dengan sos tiram biar rata dan sebati. Perap sekurang-kurangnya 30 minit

Kalau tak rata, tambah lagi sos tiram


Sos tiram yang disyorkan
Kemudian goreng ayam tadi dengan minyak yang secukupnya

Ayam yang sudah siap digoreng. Boleh letak atas lapik pemotong kemudian potong 2 atau 3 seperti kat kedai

Langkah 6 - Sayur-sayuran
Salad, timun dan tomato. Dibasuh bersih, dipotong, dihiaskan kasi cantik dan menarik kemudian dihidangkan... selamat mencuba...





 * foto-foto hasil rakaman Ahmad Adib

Umpphh.. yum! yum! yum! sedapnya. Cukup mudah kan untuk menyediakannya? acu cuba try test buat dulu tengok jadi ke tak. Kalu jadi, bagi tahulah kawan-kawan supaya buka blog Matdingunung belajar cara-cara membuatnya. Kalau tak jadi, cuba buat lagi kot-kot anda tersalah masukkan bahan. Kalau tak jadi jugak, pegi je kat Ipoh nasi ayam, makan kat kedai je senang.

Ha.. ha.. ha.. Adib makan sampai 3 kali beb. Tak nak berhenti. Aku pesan kat dia suruh makan dulu kalau umi dia dah siap sediakan nasi ayam sebab aku nak tidur. Malam tu keluar balik pukul 3 pagi pegi mancing. Bila dah masak, dia belasah dulu. Pukul 3 petang bila aku bangun tidur dan lepas solat zohor, dia makan lagi sekali dengan aku. Pukul 5 petang, makan lagi nasik ayam tu. Memang kemaruk betul la budak tu makan.

Malam tu umi dia masakkan pula Mi Berkuah untuk Adib makan sebab esoknya Adib dah nak masuk asrama pulak. Sepanjang Adib balik cuti, umi dia jamu dengan makanan yang dia suka. Umi dia ikut je cakap Adib sebagai tanda terima kasih Adib sudi belajar kat situ dan sudah berubah sedikit perangainya.







SEKIAN TERIMA KASIH. SELAMAT MENCUBA.( lain kali nak masuk cara-cara buat laksam pulak )


Friday 25 January 2013

PETUA MASUK HUTAN

Assalamualaikum.. entri kali ini lain sikit daripada yang lain kerana dalam entri ini aku nak berkongsi ilmu yang aku warisi daripada mak aku dan allahyarham ayah aku. Ilmu ni aku guna pakai bila mana aku masuk hutan. Kalau kita jenis orang yang suka kepada hutan, molek benar kalau ambik sedikit perhatian tentang apa yang aku nak kongsi ni agar warisan ini terus kekal sampai bila-bila. 


Hutan Belantara
Orang dulu-dulu memang menjadi habitat mereka tinggal kat dalam hutan kerana pembangunan yang amat terhad. Mereka merantau jauh untuk membuka tanah hutan bagi mendapatkan hak pemilikan penempatan. Sebab tulah orang-orang tua kita ada banyak tanah. Mereka meneroka tanah hutan di bukit-bukit yang jauh daripada penempatan. Ayah aku dulu pun merantau jauh dari kampung kelahirannya untuk membuka tanah hutan untuk ditinggalkan kepada anak cucu di kemudian hari. Terdapat sesetengah orang dulu-dulu mempunyai pendamping untuk menjaga keselamatan mereka tatkala mereka bertungkus lumus mengerah kudrat menebang pokok-pokok hutan untuk membuat penempatan seterusnya mendapatkan hak milik tanah daripada kerajaan. Namun demikian, perbuatan berdamping dengan makhluk halus seperti Jin, Halo, Plesit, Hantu Raya dan sebagainya amat dilarang dalam islam. Oleh sebab itu, ayah aku tidak memiliki benda-benda tu tapi dia mengamalkan membaca ayat-ayat suci al-quran serta sedikit petua daripada orang-orang tua.

Dalam hutan memang banyak makhluk sebenarnya yang tinggal kat situ terutamanya hutan dara. Oleh sebab itu, kita kena berhati-hati. Oleh sebab masa dulu rumah aku dikelilingi oleh hutan, mak aku selalu pesan kat anak-anaknya supaya balik rumah sebelum maghrib kalau keluar bermain-main, sebab pada waktu senja iblis berkeliaran. Kalau nak keluar buang air besar kat luar rumah kalau malam-malam hari, mak aku suruh pegi berteman. Jangan pegi sorang-sorang takut ada apa-apa perkara buruk berlaku. Maklumlah rumah kampung mana ada tandas dalam rumah, semua tandas kat balik-balik pokok atau dalam semak di sekeliling rumah. 




Orang asli kat dalam hutan pun ada pantang larang dia. " Bila masuk hutan, perlu diingat empat perkara. Pertama adalah hubungan sesama manusia. Kedua, hubungan manusia dengan haiwan. Ketiga, hubungan kita dengan alam sekitar dan hubungan dengan semangat yang menjaga hutan serta segala isinya"

Kat dalam hutan, kita dilarang keras daripada bercakap besar terutamanya cabar mencabar binatang-binatang buas kerana terdapat sesetengah binatang yang sangat peka deria dengar mereka. Hal ini membuatkan binatang tersebut berdendam dengan kita dan menunggu peluang untuk mengajar keceluparan mulut kita. Antara binatang yang dimaksudkan seperti pak belang, sang belalai, babi tunggal, buaya dan lain-lain. Mak aku cukup marah kalau aku bersiul-siul sambil berjalan kat dalam hutan sebab katanya kita memanggil hantu langsuir mendampingi kita. Binatang-binatang halus seperti ular berbisa juga suka ikut orang yang bersiul.Kalau kita berjalan-jalan kat tepi sawah padi yang bersempadan dengan hutan, kita dilarang daripada menggunakan lampu suluh berterusan bila berjalan waktu malam sebab ular katam tebu suka ikut cahaya lampu. Kalau boleh kita matikan lampu kemudian buka sekejap kemudian matikan semula begitulah seterusnya sehingga kita sampai ke destinasi.

Kalau kita nak berburu kat dalam hutan pun ada banyak pantang larang yang kita mesti tahu. Ayam Hutan, Burung Wak-Wak dan Burung Sitar ada penunggu sebenarnya. Kalau kita tidak bernasib baik, demam tak kebah kita dibuatnya. Orang asli percaya, kalau kita berburu haiwan bunting, kelak kita akan mendapat musibah. Kalau kita pergi berburu secara berkumpulan, dilarang sama sekali berpecah seorang-seorang. Biasanya ada makhluk halus yang boleh menukarkan kita sebagai binatang buruan yang menyebabkan rakan kita memburu rakan sendiri. Sebelum membidik sasaran, ada doa-doa tertentu sebenarnya.


Memburu binatang di dalam hutan ada juga pantang larangnya.

Kalau kita terserempak dengan binatang buas secara tidak sengaja, renung matanya kemudian baca "salamu alaa nuhim, fil alamin, innakahamii dun majidd". InsayaAllah, binatang tu tak berani bertentang mata dengan kita kemudian lari meninggalkan kita. Kita juga boleh melaungkan azan dengan kuat sekiranya kita diganggu oleh makhluk halus atau terserempak dengan binatang liar yang cuba hendak menerkam ke arah kita. Sekiranya kita berjalan di dalam hutan, seeloknya jangan berpecah atau jalan sorang-sorang sebab iblis boleh ganggu kita dengan menutup pandangan kita. Hal ini menyebabkan kita melalui jalan yang tidak sepatutnya dan akhirnya kita tersesat di dalam hutan. Kalu kita terasa dah tidak ketemui laluan asal, jangan terus berjalan sebaliknya berhenti sekejap kemudian laungkan azan sebab iblis telah menganggu kita. Bila iblis dah lari, kita akan temui kembali laluan yang sepatutnya.

Kat dalam hutan, kita jangan melaung-laung memanggil-manggil nama kawan kita kerana ada makhluk lain yang akan menyahut dan berupa menjadi kawan kita lantas mangajak kita ikut dia. Dia akan bawa kita ke jalan yang salah seterusnya membuatkan kita tersesat.Kalau kita terjumpa sesuatu benda yang aneh dan bercahaya di dalam hutan, jangan ambil bawa pulang nanti kita diganggu. Jenuh kita nak kena pegi letak balik kat tempat asal. Orang masuk hutan digalakkan bawa wisel. Kalau tersesat, tiup wisel kuat-kuat bagi memudahkan pasukan mencari mendapat petunjuk. Kalau tersesat dalam jangka masa yang lama, cuba cari punca air untuk mendapatkan air tapi jangan tidur berhampiran dengan gigi air sebab banyak bahaya sebaliknya tidurlah di celah-celah batu kerana itu lebih selamat.

Kat dalam hutan, kita jangan buang air ikut suka hati sebaliknya pastikan tempat yang kita buang itu di tempat yang bersemak sikit. Tidak di tempat yang licin dan lapang serta bersih takut kita terbuang di perkampungan makhluk Allah lain yang kita tidak nampak. Seeloknya mintak izin sikit, "tok, anak cucu nak tumpang buang air sikit tok, dah tak tahan sangat" lepas buang " terima kasih ya". Mudah-mudahan kita tak terkena sebarang musibah.Kalau kita terpandang sesuatu yang pelik, tak yah lah tegur.. diam saja. Buat tak tahu atau buat-buat tak nampak.

Kalau kita nak bermalam kat dalam hutan dan dah ada tempat untuk pasang khemah, seeloknya pagarlah sikit kawasan perkhemahan kita tu dengan bacaan ayat-ayat suci. Ayah aku ajar suruh baca Al-Fatihah 3X, Kulhuawallah 3X, Inna Anzalnaa 3X, Alain Nasrah 3X, Alamtarokaifafaala 3X. Baca setiap ayat di atas di setiap penjuru dan tabur dengan batu atau ranting-ranting kayu di sekeliling kawasan perkhemahan kita. InsyaAllah, kita dapat tidur dengan lena tanpa gangguan. Tak payah bergilir-gilir sentri malam.

Di tengah hutan, kita dilarang bersuka ria dan bertawa hilai berlebih-lebihan. Orang tua kata, biasanya suka bertemu duka. Beringat-ingat sebelum kena adalah lebih baik. Bila dah habis berkhemah, bersihkan tempat seelok-eloknya. Sisa-sisa makanan lebih baik timbus kat dalam tanah. Sampah-sampah plastik lebih baik bawa balik semula atau bakar dengan sempurna di satu tempat khas. Jangan tinggalkan makanan yang lebih terutamanya pendaki gunung yang nak ringankan beban. Ada satu kisah yang aku nak kongsikan bersama. Cerita ni aku dapat hasil pengalaman daripada salah seorang pendaki yang mendaki gunung bersama-sama aku.
Dalam satu kumpulan pendaki seramai lebih kurang 15 orang telah mendaki gunung ( tah, tak ingat dah ) pada bulan disember kat Terengganu (Gunung Berembun kot). Masa perjalanan naik mereka terpaksa melintas sungai. Masa naik ok je, tak de masalah. Mereka bermalam kat puncak. Pada malam tu hujan turun agak lebat, maklumlah musim tengkujuh. Oleh sebab banyak pakaian sudah basah, maka beg mereka menjadi lebih berat. Jadi, untuk meringankan beban, mereka telah tinggalkan makanan mentah yang tak habis dimasak seperti beras, sardin, ikan kering dan sebagainya kat atas puncak gunung dengan harapan pendaki lain boleh guna. (Sedekah la konon). Satu hari bergerak turun dalam keadaan yang sukar akibat sepanjang perjalanan turun kumpulan mereka ditemani oleh hujan lebat. Tenaga masing-masing sudah mula out terutamanya pendaki wanita. Tiba di tepi sungai, mereka tak boleh nak menyeberang akibat air sungai terlalu besar. Mereka terkandas di situ. Ketua kumpulan mengarahkan mereka bermalam kat situ sementara menunggu air kembali surut tapi hujan tak berhenti-henti. Semua makanan sudah kehabisan dan mereka dalam kelaparan serta kesejukan. Nak buat unggun api, tak boleh nyala. Nak masak tak ada bahan mentah. Mereka mula menyesal tak sudah sebab tinggalkan makanan kat atas gunung tadi. Masing-masing membodohkan diri sendiri. Ketua kumpulan cuba memujuk supaya beberapa orang pendaki naik semula kat puncak untuk mengambil semula makanan yang ditinggalkan. Namun semua pendaki dah tak sanggup naik semula sebab dah tak daya dan kehabisan tenaga.Mereka berkumpul kat tepi sungai tu tunggu bantuan tiba. Roti dan coklat yang masih berbaki, dibahagi-bahagi secubit seorang untuk alas perut. Kat sinilah kita boleh nampak kawan sejati atau kawan sekadar kawan. Ada dalam kalangan pendaki yang mempunyai sedikit makanan, tetapi makan sambil sorok-sorok sorang diri. Sayang nak berkongsi rezeki dan sanggup melihat rakan lain kelaparan. Ada pendaki jumpa coklat sebiji pun kat celah-celah poket beg khabar kepada semua orang. Siapa-siapa yang dah benar-benar tak tahan makan aje coklat tu. Ada yang menyalahkan kawan lain sebab ajak dia ikut serta XPDC ni. Dan ada yang bertobat tak nak ikut lagi untuk mendaki. Dah serik gamaknyaaa.. Semua itu dugaan pendaki dan pentas yang paling sesuai untuk kita kenal kawan. Susah sama-sama, senang sama-sama. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.
Pendekkan cerita, semua yang terkandas berjaya dibawa keluar dengan bantuan pasukan bomba dan Renjer Hutan. Mereka dibawa menyeberang menggunakan tali, tapi semua beg ditinggalkan kat situ. Bila air surut nanti bolehlah datang ambil semula kalau masih tak hilang. 

Aku, kalau mengikuti XPDC mendaki gunung, lebih senang follow otai-otai gunung. Mereka cukup profesional dan berdisiplin. Sebarang sampah sarap mereka bawa turun semula dan tidak buang merata-rata. Pembungkus gula-gula pun mereka masuk poket dan tak jentik buang merata. Mereka juga kebanyakannya tidak merokok. Kalau mereka terjumpa sampah yang pendaki lain buang, mereka ambil masuk karung plastik mereka. Mereka juga jenis orang yang tak tinggal pendaki yang paling terkebelakang. Mereka cuba bagi semangat dan papah pendaki-pendaki yang dah tak berdaya. Setiap kali sampai ke tempat perhentian, mereka akan pastikan semua ahli ada, barulah bergerak naik atau turun semula.


Salah seorang pendaki Otai.. Abang Mat Noor Raja Kinabalu.  Pendaki Gunung Kinabalu sebanyak 118 kali dalam masa 118 hari.
Ni sorang lagi OTAI gunung. Abg APIP orang kuat OGKL

Aku pernah mendaki bersama group student universiti. Sepanjang pendakian penuh dengan hilai tawa. Ada sesetengah tu bercouple-couple. Tempat trek yang rata pun berpimpin-pimpin tangan. Bukan jelous tapi nyampah tengok. Ada sesetengah tu nak tunjuk mancho dan hebat, laju je tinggal kawan-kawan jauh kat belakang. Tak de disiplin pulak tu, ada betina gedit yang merokok. Pembalut-pembalut coklat dan botol-botol 100 plus main baling-baling cam tu aje. Tak de feel mendaki dengan dia orang. Sembahyang jauh sama sekali. Sepanjang perjalanan tak pernah tengok mereka sembahyang. Kalau terjumpa punca air, mereka terus mandi dan main pancut-pancut air macam budak-budak. Kat tapak perkhemahan pulak, mereka menyanyi dan berseronok. Kalaulah nasib tak baik ada peserta wanita terkena histeria, aku konfirm, tak de seekor pun yang tahu nak settle. Mu tengok aku, aku tengok engkau aje lah. Tunggu yang disampuk tu pulih sendiri.

Sebenarnya, apa yang aku paparkan ini hanyalah apa yang aku kutip pengalaman dan amalan orang-orang tua. Kalau tak ikut pun tak de masalah kalau dah tak nak berlaku. Ada orang tak pakai apa-apa petua pun, main ikut redah je masuk hutan tetap selamat pergi dan selamat pulang. Tapi lebih baik kita ada pendinding kerana sekurang-kurangnya kita beringat-ingat semasa berada di tempat yang asing bagi kita. Situasi yang kita tak jangka akan berlaku, boleh berlaku secara tiba-tiba. Dalam memenuhi minat kita, adalah lebih baik kita mengentahui sesuatu lebih daripada orang lain dan kita ajar pula ilmu kita tu pada orang lain. Kata pepatah melayu ' beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis' , sediakan payung sebelum hujan. 

Saturday 19 January 2013

BAIK BURUKNYA MENGIKUTI KELAS TUISYEN

Assalamualaikumm..bersua lagi dalam entri seterusnya daripada saya iaitu Entri yang ke-71.Wah! sedar tak sedar sudah 71 entri yang telah aku karang dalam blog ini sepanjang hampir setahun usia blog aku. Kalau dicantum-cantum jadikan buku, beratus-ratus muka surat yang dapat diterbitkan. Selagi aku ada daya dan selagi aku ada idea yang dianugerahkan Allah untuk berkarya, selagi itu aku akan terus berkarya. Sama ada orang nak baca atau tidak, itu belakang kira. Janji aku dapat memenuhi hobi masa lapang aku dengan menulis dan berkarya. Dulu aku suka mengarang untuk surat khabar, tapi semenjak ada blog ni aku lebih suka mengarang untuk dimuatkan dalam blog aku walaupun mesej yang aku nak sampaikan tu hanya segelintir saja baca dan dapat manfaatnya. Tapi.. Alhamdulillah, semenjak dua menjak ni blog aku sudah ada sedikit penambahan dari segi rating pembaca. Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang kongsi idea dan tulisan aku ini melalui akaun FB milik mereka untuk kawan-kawan mereka baca.Benda yang baik harus dikongsi terutamanuya ilmu dan maklumat.

Bercakap pasal tusyen ni, memang perkataan TUSYEN cukup glamour sejak akhir-akhir ini. Dulu masa aku bersekolah, tak pernah aku dengar perkataan tusyen. Mungkin aku bersekolah kat hulu kot. Tapi yang biasa aku dengar dulu ialah kelas tambahan dan study group. Kelas tambahan ialah kelas yang cikgu ajar selepas waktu sekolah bagi pelajar yang nak ambik exam besar manakala study group ialah belajar secara berkumpulan dengan kawan-kawan. Sekarang ni baik kat kampung-kampung mahupun kat bandar-bandar, hampir semua pelajar mengikuti kelas tusyen. Baik yang kaya raya mahupun yang papa kedana semuanya mahu anak dia dihantar ke pusat tusyen. Yang mewah jemput cikgu datang ke rumah ajar anak dia secara personal, yang miskin hantar anak dia ke kelas tusyen yang murah sikit mengikut pakej-pekej tertentu. Apa-apa hal pun, anak-anak belajar kat tusyen menjadi trend zaman sekarang. Ada ibu bapa yang hantar tusyen supaya anak dia dapat baiki kelemahan malahan ada ibu bapa yang hantar tusyen anak dia sebab tak nak kalah. Mungkin ada ibu bapa yang nak berlumba-lumba dengan anak jiran-jiran sebelah atau nak bertanding dengan anak sedara mara. Yang jadi mangsa ialah anak-anak kita.

Gambar Hiasan

  Kadang-kadang aku kesian jugak dengan budak-budak kat dalam kelas yang asyik menguap-nguap. Penuh setan yang masuk dalam perut sebab terlalu banyak kali menguap sampai dah tak daya nak tutup mulut.Kadang-kadang aku tanya budak "tak best ke cikgu ajar sampai kamu boring, nampak mengantuk jee?" Jawab budak Eh tak! tak! maaf cikgu, saya tak boleh nak fokus sangat sebab megantuk. Malam tadi pukul 12 baru sampai rumah pegi tusyen"  MasyaAllah.. kesian kat budak. disebabkan ibu bapa yang tak nak malu sekiranya anak dia tak dapat strait 'A' dalam peperiksaan, dipaksa anaknya pegi tusyen sampai begitu sekali.Bayangkan, macam mana budak tak boring, tusyen BM sampai dua orang cikgu di dua pusat tusyen yang berbeza. Dah lah kat sekolah subjek BM antara masa yang banyak diperuntukkan dalam jadual pembelajaran kelas. Oleh sebab terlalu banyak kelas tusyen, budak-budak tak berpeluang untuk mengikuti aktiviti kokurikulum di sekolah pada sebelah petang sedangkan aktiviti kokurikulum juga tak kurang pentingnya. Contoh yang mudah ialah kelab Fotografi yang aku pegang, pada awal-awal tahun sampai tak ada tempat nak duduk masa aktiviti. Bila dah masuk pertengahan tahun, nak dapat sepuluh orang kehadiran pun sakit kerana hampir semua ahli ada komitmen dengan tusyen. Masalah ni bukan kelab aku sorang yang hadapi, bahkan hampir semua kelab mengalami kekurangan pelajar bila masuk bulan April terutamanya latihan untuk rumah sukan. Sedangkan kita perlu sedar, aktiviti kokurikulum di sekolah bukan saja-saja ditawarkan tetapi ada markah yang perlu dikutip oleh setiap pelajar. Satu lagi, dengan aktiviti kokurikulum nilah merupakan satu tempat yang paling sesuai untuk melahirkan seorang pelajar yang mempunyai ciri-ciri sebagai seorang leader. 

Tusyen..tusyen..tusyen.. dalam kelas tidur. Gambar hiasan

Aku bagi contoh Ketua Editor majalah aku pada tahun lepas. Pada awalnya budak ni memang nampak sangat dia punya karakter sebagai seorang leader. Meeting majalah dia yang incharge, pengedaran majalah dia juga yang uruskan, mencari AJK majalah aku serahkan kat dia bulat-bulat, program  lawatan aku serah kat dia untuk cari peserta dan kertas kerja lawatan juga dia yang buat, aku cuma guard saja. Pagi-pagi lagi dia dah letak note atas meja aku dalam bilik majalah kalau ada apa-apa info tentang majalah. Memang cukup pakej dia sebagai seorang leader.Tapi sayang... masuk pertengahan tahun dia dah mula slow down. Bilik majalah sangat jarang masuk, kerja-kerja yang AJK lain patut buat, dia dah tak follow up. Aku telefon, dia kurang angkat dan hampir 100% dia tinggalkan tanggungjawab sebagai ketua editor macam tu aje. Bila aku tanya ada masalah tak dengan aku, dia kata tak de la pulak. Bila aku selidik, wah! rupa-rupanya parent dia baru dapat tahu dia pegang jawatan ketua majalah. Parent dia tak bagi dia pegang jawatan tu sebab tak mahu menganggu pelajarannya. Sebelum ni dia rahsiakan jawatan tu daripada pengentahuan ibu bapanya.Patutlaa sebelum ni budak tu selalu merunggut tentang ibu bapanya yang tersangat-sangat mengongkongnya. " Nyampah I dengan parent I, study..study..study..study..tak de kerja lain. Nak buat tu tak boleh, nak buat ni tak boleh. Balik sekolah pergi tusyen, balik tusyen pegi tusyen lagi.. tusyen..tusyen..tusyen..tusyen..eeee.. nyampahnya.." Itu luahan budak tu kat aku masa dalam bilik majalah sementara dia tunggu kakak dia jemput dia balik. Pernah dia tunjukkan aku kat FB dia ada sesetengah kawan-kawan dia yang maki hamun parent sendiri kat dalam FB sebab telalu megongkong kehidupan mereka.

Siapa kita nak salahkan ni??? Sebagai ibu bapa sudah tentu kita nak yang terbaik untuk anak-anak kita. Korban masa, korban wang ringgit demi kejayaan anak-anak kita. Ada ibu bapa yang sanggup jadi hamba anak, pegi hantar dan jemput anak-anak di pusat tusyen walaupun badan sendiri pun dah tak berdaya kepenatan. Kadang-kadang tertidur kat dalam kereta masa tunggu anak-anak habis tusyen.Wang ringgit pula bagai air lalu, bayar tusyen ni, bayar tusyen tu. Semua pengorbanan tu anak-anak tak nampak. Tapi.... patutkah kita sebagai ibu bapa over-over cari kelas tusyen untuk anak-anak kita. Kadang-kadang subjek yang anak kita sudah score dan mahir masih lagi kita dapatkan guru tusyen untuk mereka. Nasib baik subjek PJK dan SIVIK tak ada dalam exam, kalau ada sudah tentu laku cikgu-cikgu PJK dan SIVIK sama macam cikgu BM, BI, GEO, SEJ, SAINS, MATH, BIO, KIMIA, FIZIK, AD MATH, AKAUN dan PERDAGANGAN. Sepatutnya, anak-anak perlu dihantar mendapatkan tusyen hanya untuk subjek yang dia agak lemah sajalah. Subjek yang dia dah dapat score cukup hanya belajar kat sekolah saja. Cikgu-cikgu di sekolah sebenarnya lagi pakar kerana dia selalu menghadiri kursus dan bertauliah. Cikgu kat pusat tusyen bukan semuanya cikgu. Mungkin ada mahasiswa yang sedang tunggu pekerjaan atau mahasiswa menganggur atau yang kerjanya tak ada kena mengena dengan cikgu seperti kerja kat Telekom, kat TNB, kat pasar raya, jurujual dan sebagainya yang ingin dapatkan duit lebih. Pusat tusyen bukan tahu kalau kita tipu pun. Sebab tu ada pelajar yang cuba ajar cikgu dalam kelas dia sebab fakta dan tekniknya tak sama dengan apa yang cikgu tusyen dia ajar. Ibu bapa pula, kalau anak dia cemerlang dia begitu bangga dengan tempat pusat tusyen anak dia, cikgu tuisyen anak dia dipuji setinggi gunung dan siap syor kat kawan-kawan supaya hantar anak kat pusat tusyen sekian-sekian sedangkan cikgu-cikgu kat sekolah bermati-matian rancang strategi untuk kecemerlangan para pelajar. Cikgu yang kat sekolah berhempas pulas untuk habiskan silibus. Yang lemah adakan klinik kecemerlangan, program jom lulus, progran pintar dan macam-macam program lagi. Tapi bila pelajar yang lemah boleh lulus dengan baik, yang sederhana boleh cemerlang, tak timbul pulak nama cikgu kat sekolah.Kalau anak-anak mereka gagal pula atau tak cemerlang, guru di sekolah yang dipersalahkan sebab tak tahu mengajar dan kat sekolah banyak main-main dan ada macam-macam karnival.

Hakikat sebenarnya, tusyen ni merupakan hanya satu pengukuhan saja. Budak dah boleh pandai dan cemerlang hanya belajar kat sekolah saja tanpa pergi kat kelas tusyen kalau dia ada kesungguhan untuk belajar dan ada motivasi untuk cemerlang. Kejayaan seseorang budak bergantung atas tapak kaki sendiri. Ada pelajar yang bagai nak gila pegi kelas tusyen tapi tetap tak berjaya dan gagal. Ada pelajar yang tak pegi kelas tusyen walau satu subjek pun tapi masih mampu strong untuk semua subjek. Sekarang ni budak pegi sekolah untuk main, berkawan dan tidur atas meja sebab persepsi mereka fokus kepada tusyen sudah cukup untuk cemerlang. Bila jawab exam tunggang langgang. Aku selalu sindir kat budak aku kalau dia tidur dalam kelas " kalau kau nak tidur, pegi hospital sebab kat situ ada katil,tilam dan bantal suruh kita tidur, sekolah ni bukan tempat tidur sebab dia ada kerusi,meja buku dengan guru suruh kita belajar". Waktu yang hujung-hujung jenuh budak tidur dalam kelas sebab dah penat belajar gamaknya.

Anak sulong aku masa darjah 6 dulu pun sama macam tu, tak ada masa nak bersosial. Pagi pegi sekolah biasa. Balik sekolah biasa pegi pulak sekolah agama. Balik sekolah agama pegi mengaji quran. Balik mengaji dah dekat nak malam, terus mandi sembahyang maghrib kemudian pegi tusyen. Balik tusyen pukul 10.30 sempat menonton televisyen 20 minit kemudian tertidur keletihan kat depan tv atas mozek macam tu tanpa bantal tanpa tilam. Bangun pagi keesokan,  mandi terus pegi sekolah semula. Begitulah rutin sehari-hari sampai cuti hujung minggu baru boleh rehat sikit. Kalau hari sabtu ada gerko, satu hari jelah boleh rehat. Kesiannn.. tapi nak buat macam mana, dunia sekarang memang macam tu. Semuanya nak kena berlumba-lumba.Tak hantar kelas tusyen orang kata kedekut duit. Hantar kelas tusyen pulak kadang-kadang terasa membazir sebab ada subjek-subjek tertentu dia dah pandai. Tapi dah ambik tusyen ikut pakej maka ikut je lah.. kadang-kadang serba salah dibuatnya. Tak hantar salah, hantar pun salah.

So.. apa kita nak buat? bagi aku, hantar anak untuk mendapatkan kelas tusyen hanya pada mata pelajaran yang lemah saja. Didik anak-anak supaya tumpu kepada pembelajaran di dalam kelas. Banyak buat latihan sendiri kemudian suruh cikgu tanda. Agresif belajar kat sekolah kemudian tak perlu lagi pergi kelas tusyen. Duit kita jimat, Masa kita tak rugi, tenaga dapat save,otak pun tak berat mikir. Beri ruang yang seluas-luasnya kepada mereka untuk mengikuti aktiviti kokurikulum kat sekolah sebab aktiviti kokurikulum terutamanya waktu perkhemahan banyak mengajar anak-anak kita erti tanggungjawab, kerjasama berpasukan, disiplin dan yang penting melatih mereka untuk jadi pemimpin. 

Jangan kita terlalu ghairah hantar anak-anak pegi tusyen sampai semua subjek nak sapu bersih. Biarlah berpada-pada agar kita dengan anak kita dalam situasi yang menang-menang. bukannya apa.. takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Akademik dan Kokurikulum perlu diseimbangkan untuk melahirkan pelajar yang berkualiti



Monday 14 January 2013

SEDETIK ADIB BERSAMA ADIK-ADIKNYA

Assalamualaikumm.. lama rasanya tak update gua punya blog. Baru-baru bukak skolah ni memang sibuk gila. Buku latihan anak-anak murid berbukit-bukit tak bertanda. Maklumlah.. baru-baru bukak skolah cam gini, budak-budak masih semangat buat latihan. Asal aje bagi latihan, dia orang buat dan hantar buku latihan. Gualah yang penat nak menanda. Bila dah masuk bulan April nanti, mulalah budak liat nak buat latihan. Nak dapat sepuluh buah buku pun susah setiap kelas. Siap kena pujuk rayu lagi nak suruh buat latihan. Padahal, yang nak pandainya adalah dia orang.

Tutup dulu cerita budak skolah, ni aku nak cerita sikit pasal anak aku si Adib. Alhamdulillah.. baru seminggu berada di sekolah tahfiz, sudah nampak benar perubahan pada anak sulong aku tu. Biasanya dialah yang menjadi punca rumah aku jadi bising. Selalu menyakat adik-adik. Kalau adik-adik nak tidur, dia akan usik adik dia biar adik-adik dia tak dapat tidur. Garang lebih pada harimau, adik silap sikit terus tengking. Kadang-kadang adik-adik jadi mangsa dia kena garu gatal kat belakang dia. Kalau umi dia suruh buat susu untuk adik bongsu, dia taici kerja tu kat Aina. 

Walaupun garang, mat Adib ni bertanggungjawab juga orangnya. Garang mulut aje, tapi tak pernah pukul adik-adik dia. Kalau adik-adik dia lapar, dialah yang masakkan untuk adik-adiknya. Lewat malam pun sanggup lagi dia turun beli burger kalau adik dia nak makan. Bila dia dah tak de kat rumah, barulah terasa sunyi. Adik-adik tak pernah nanggis. Pukul 10.30 rumah aku dah sunyi. Budak-budak tu dah tidur. Masa ada abang dia, pukul 1 pagi masing-masing masih cerah mata. Bergurau manjang.

Hari ni genaplah seminggu Adib dok kat asrama. Amsyar pantang aku dokong lalu kat tepi peti ais, terus pangil abang Dib.. abang Dib.. sebaik saja lihat gambar abang Adib dia yang terlekat kat peti ais. Athir pulak   siap suruh orang jaga (pengasuh) buatkan roti gulung sardin untuk dia sebab dia suka makanan tu yang abang Adib selalu buatkan untuk dia.Aina pulak asyik duk tanya bila abang Adib boleh balik. Pendek kata, semenjak ketiadaan abang Adib, mereka terasa satu kehilangan. Kitaran rutin hidup mereka juga berubah. Makan pun masing-masing sikit je. Mi sebungkus makan 4 orang pun tak habis. Kalau abang Adib ada, mi biasanya umi dia goreng dua bungkus.

Asal je lalu kot tepi peti ais, Amsyar akan tunjuk gambar abang Dib dia dan memanggil-mangil nama abang Dib.


Pada tengah malam sabtu baru ni, aku mendapat panggilan telefon daripada Adib yang mengatakan pada hari sabtu ibu bapa boleh datang untuk berjumpa dan bawa keluar anak-anak di sekolah tahfiz ni. Mengikut jadual asal, minggu pertama semua pelajar tidak dibenarkan menelefon ibu bapa dan mesti dikuarantin dulu. Oleh sebab ada salah seorang pelajar yang dok asyik menaggis dan tak nak makan sebab nak balik, maka pihak pengurusan sekolah bermurah hati memberi pelajar peluang bertemu ibu bapa mereka. Mungkin untuk meredakan tekanan akibat jadual orientasi yang amat padat.

Bila aku bagitahu kat anak-anak hari ni nak pegi jenguk abang Adib, semua anak-anak bersorak kegirangan. Mereka tak sabar-sabar nak bertemu abang Adib. Umi dia siap masak makanan kegemaran abang Adib untuk dibawa dan sama-sama makan kat sana. Kebetulan hari tu aku ada LADAP, so kena pegi lepas ladap la. Sebaik saja selesai LADAP, aku terus berkejar balik. Makan tengah hari yang disediakan pun aku tak jamah sebab nak cepat. Kesian kat anak-anak yang menunggu. Dua tiga kali asyik dok telefon tanya bila abah nak balik.

Bila aku dah sampai kat rumah, mereka siap tunggu kat bawah. Semua barangan yang hendak dibawa, bini aku dah siap-siap masuk dalam bonet kereta. 40 minit perjalanan, sampailah aku kat sekolah tahfiz abang Adib. Kebetulan sampai sudah nak masuk waktu zuhor. Di tengah padang bola aku lihat sekumpulan pelajar sedang berjalan merentasi padang bola untuk berjemaah di masjid. Athir dan Aina terus menunjuk kepada salah seorang daripada mereka bahawa yang badan besar tu mungkin abang Adib. Walaupun jauh beberapa ratus meter, jelas mereka kenal kelibat abang Adib. Aku terus pandu kereta masuk ke perkarangan masjid. Selepas ambil wudhu, aku terus melakukan solat sunat. Selepas salam, aku lihat Adib sudah berada di sebelahku. Memang tepat telahan adik-adik dia bahawa yang besar daripada kalangan kumpulan tadi adalah abang Adib.

Adib nak pegi berjemaah kat masjid mesti merentasi padang bola ni lah.
Selepas solat zuhor, Adib terus dokong adik bongsu dia bawa jalan-jalan pusing persekitaran masjid. Adik-adik dia tersenyum lebar dapat jumpa abang dia. Terlepas sudah perasaan rindu walaupun baru empat hari tak jumpa. Perwatakan Adib sudah berubah, pertuturan dia dengan adik-adik sudah lembut dan berhemah. Tengok dia berjubah dan berserban sejuk mata memandang.

Gambar Adib yang dirakam secara tak sengaja menggunakan kamera telefon oleh sepupunya  Profesor Syarbaini semasa dia mengikuti program kat masjid KUIS.
Aku pegi ke pejabat sekolah dia untuk memohon kebenaran bawa keluar Adib. Prosedur memang agak ketat. Kena isi beberapa borang dulu dan mesti hantar pulang sebelum pukul 6 petang. Adib bawa adik-adik dia ke biliknya untuk ambil pakaian kotor untuk dibasuh. Athir kata bilik abang Adib kemas, baju-baju tersusun rapi di dalam almari. Sebelum ni, kalau kat rumah kain baju dia bertaburan kat atas lantai.

Masing-masing perut sudah tersangat lapar kerana semuanya masih tak breakfast sebab nak makan sama-sama dengan abang Adib. Aku bawa balik abang Adib kat rumah baru untuk makan. Sebelum makan, Adib arahkan adik-adiknya supaya baca doa dulu untuk keberkatan menghadap rezeki.

Adib meminpin bacaan doa makan
Berselera betul Adib makan masakan umi dia
Adib menghabiskan 3 jam masa berkualiti untuk melayan adik-adik dia sambil membasuh jubah dan pakaiannya. Sebaik saja masuk waktu asar, Adib terus ajak aku untuk solat asar berjemaah sebab dia kata sayang nak tinggal sembahyang berjemaah. 4 hari dia berada di sana, satu waktu pun dia masih belum terlepas untuk sembahyang berjemaah. Masa dia sedang bersiap-siap memasukkan kain baju yang sudah dibasuh ke dalam plastik bag, umi dia sempat berbisik padaku " tak sia-sia kita hantar Adib belajar kat situ, memang ketara sangat perubahan dia setakat ni. Seronok hati tengok perubahannya".

Masa dah menunjukkan pukul 5.30 petang. Memang cepat masa berlalu. Adib sudah mulai risau takut-takut kami terlewat hantar dia. Adib takut melanggar disiplin kerana dia diajar supaya patuh kepada peraturan. Janji mesti ditepati. Sebelum pukul 6 petang, Adib wajib berada dalam perkarangan sekolah dia.

Syukurlah.. Adib nampaknya seronok belajar kat sekolah tu. Muka dia sudah berseri-seri.Apa yang aku bimbangkan selama ni diharap tidak menjadi kenyataan. Adib kuat tidur, Adib kuat makan, Adib kuat main game, Adib kuat berfacebook. Aku ingat Adib tak boleh ikut budaya islamik dan disiplin yang diterapkan oleh pihak sekolah tahfiz. Rupanya Adib tiada masalah untuk ikut segala peraturan kat situ. Tanpa televisyen, tanpa komputer, tanpa telefon bimbit, makan ala kadar saja tapi Adib boleh hidup. Harapan dan doaku agar Adib terus tabah melalui perjalanan hidup yang begitu asing baginya. Sanggup korbankan semua kemudahan dan kemewahan yang dikecapi dan hidup cara rasulullah. Hidup dengan kawan-kawan yang sealiran dengannya. Mencari ilmu agama buat bekalan untuk hidup dalam dunia yang penuh pancaroba.