Monday 10 March 2014

AKU BUKAN LAGI SEORANG YANG DIPANGGIL GURU

Assalamualaikum...

Entri kali ini merupakan yang terakhir aku berada dalam perkhidmatan guru yang masuk kelas mengajar anak-anak muridku tentang ilmu tulis dan baca. Tanggal 8 MAC 2014 merupakan hari terakhir aku dipanggil 'CIKGU' kerana aku sudah berhijrah untuk mencuba sesuatu yang baru dalam kerjayaku iaitu menjadi Penolong Pegawai Pendidikan Daerah yang secara tidak langsung meninggalkan terus kelas dan pelajar. Walau berat untuk kakiku melangkah pergi setelah lebih 13 tahun berkelana di sekolah ini tetapi hatiku seolah-olah bergelodak menyuruh aku cepat pergi.

SAYANG... memang sayang untuk aku tinggalkan tempat yang paling selesa buatku ini. Sepanjang 13 tahun aku di sini, pelbagai kenangan manis dapat ku cipta terutamanya erti persahabatan. Sepanjang aku berada di sini, aku tidak pernah mencipta sebarang musuh sama ada dengan Pihak Pentadbir, rakan sejawat mahupun anak-anak didik bahkan hubungan kami bertambah erat bagai satu keluarga besar melalui beberapa aktiviti yang dijalankan ke arah itu.

Walau bagaimanapun.. aku mesti berani untuk melangkah ke satu alam baru sebagai pelengkap hidup. Perjalanan masa yang panjang tidak indah sekiranya berbuat sesuatu yang sama dalam rutin kehidupan. Bagiku.. risiko dan cabaran adalah sesuatu yang lebih manis untuk ditempuhi dalam perjalanan hidup. Berani berhadapan dengan risiko merupakan satu perjuangan yang hakiki. Dan yang pastinya.. kepuasan berbuat sesuatu hadir apabila kita mampu menghadapi segala risiko dan cabaran melalui ketepatan tidakan dan keputusan yang kita rencanakan.

Peluang yang diberikan sedetik cuma ini, akan aku gunakan sebaik mungkin untuk menjadikan pengalaman aku semakin bervariasi. Mungkin suatu hari nanti aku akan balik mengajar seperti sediakala kerana ilmu yang ada padaku amat rugi terpendam di dada sahaja tanpa diperturun kepada anak-anak murid yang begitu dahagakan ilmu. Hidup aku ingin menjadi seorang yang berjasa ibarat kata hidup kayu biarlah berbuah, hidup manusia biarlah berjasa. 

Akhir kata.. maafkan aku para sahabat andai sepanjang kita bersama banyak mengguris hati dan perasaan kalian dengan kata-kata atau perbuatan yang mungkin disengaja atau tidak disengajakan. Andai aku kembali semula kepada kalian, jangan sindir atau gelak.. depalah tangan sambut dengan tepukan kerana aku kembali menjadi sebahagian daripada keluarga kalian semula.

SEKIAN TERIMA KASIH..

ANTARA KOLEKSI GAMBAR BERSAMA RAKAN-RAKAN SEJAWAT



















1 comment: