Monday 26 January 2015

ULASAN PENUH TENTANG BAH KUNING DI KELANTAN

Assalamualaikum wbt...

Banyak benda nak cerita tentang banjir ni tapi tak tau nak mula kat bahagian mana dulu..oklah.. aku mula dengan kronologi dan sejarah bah di Kelantan. Aku tak tahu sama ada cerita ni ada orang berminat untuk membacanya ataupun tidak. Tapi aku tak kisah sebab aku perlu ulas secara lebih detail pasal bah yang mencatat sejarah baru bencana alam yang lahir di negara ini sebagai kenangan pahit untuk anak cucu ingat bahawa ayah atau datuk dia pernah hidup semasa bah kuning melanda negara sama seperti ibu dan ayah aku selalu cerita kepada aku dan anak-anaknya yang lain tentang kehebatan bah merah pada tahun 1967 dulu.



Kalau bah kuning yang berlaku di negara China suatu masa dulu telah mengorbankan jutaan nyawa, tapi bah kuning yang berlaku di Kelantan hanya beberapa nyawa sahaja yang melayang. Allahuakhbarr..



Tahun 2014 merupakan tahun bencana bagi negara kita. Pelbagai musibah yang meruntum jiwa telah berlaku satu persatu bermula dengan kehilangan MH370, kemudian terhempasnya MH17 dan berlakunya beberapa kali banjir kilat di Kajang kemudian Bah besar di Kelantan, Pahang dan Terengganu serta terakhir terhempasnya Air Asia Indonesia yang turut memberi kesan kepada syarikat penerbangan tambang murah di negara kita.

Selain daripada itu.. berlaku juga beberapa kejadian yang luar biasa mungkin sebagai petanda sesuatu yang buruk bakal berlaku seperti kenaikan ikan tamban yang luar biasa di pantai Sabah, Mendaratnya kerang dalam jumlah yang besar di pantai Rusila, Terengganu, Kehadiran gamat yang terlalu banyak di Langkawi dan hadirnya musim sejuk yang luar biasa berlaku di Manek Urai K. Krai sehingga dikatakan sama suhunya dengan Kota London.

Sebelum ini, kita memperingati hadirnya satu dekad Tsunami yang berlaku di Acheh, dan negara kita juga turut terlibat secara langsung khususnya di Kedah dan Pulau Pinang pada tahun 2004. Seminggu sebelum hadirnya 26 Dec 2014, akhbar di negara kita menyediakan laporan khusus dua muka surat besar surat khabar yang menyorot kembali tentang kejadian Tsunami yang meragut ratusan ribu nyawa di beberapa buah negara. Seolah-olah Tsunami itu yang terakhir berlaku dan tidak mungkin berlaku lagi Tsunami di negara kita kerana negara kita bebas daripada lingkaran panas gunung berapi dan gempa bumi, tetapi sebaliknya pula yang berlaku.

Tepat satu dekad kejadian Tsunami di Acheh, kini 26 hb Dec 2014 negara kita khususnya Kelantan juga turut terkena Mini Tsunami yang tidak kurang hebatnya dari segi kemusnahan harta benda sebaik sahaja air bah di Gua Musang dan Kuala Krai sudah mulai surut. Tetapi kita bernasib baik kerana kadar kemalangan jiwa begitu minima akibat daripada air bah besar yang datang tidak terlalu mengejut. Penduduk di tepi sungai masih mempunyai masa untuk berpindah dan lari menyelamatkan diri.

Menurut kata orang-orang tua, Bah Kuning yang melanda akhir tahun 2014 adalah rekod baru yang memadam rekod Bah Merah yang berlaku pada tahun 1927 dan 1967. Bah Kuning ini ditaksirkan menelan kerugian berbilion ringgit yang dialami oleh penduduk yang terlibat secara langsung. Banyak harta benda, tanaman, binatang ternakan, serta barang perniagaan telah musnah. Bah ini pula membabitkan hampir semua daerah di negeri Kelantan kecuali dua daerah sahaja yang terlepas iaitu Pasir Puteh dan Bachok. Daerah-daerah lain semuanya tidak terlepas. Kadar Trauma dalam kalangan mereka yang terlibat juga begitu tinggi ditambah pula dengan penyebaran maklumat-maklumat yang mengerikan melalui media maya seperti FB, Instagram dan What Apps.


Hanya Daerah Bachok dan Pasir Puteh sahaja yang terselamat daripada serangan Bah Kuning


Bah Kuning pada kali ini kita boleh pecahkan kepada 5 iaitu :

1) Mereka yang terlibat secara langsung dan memusnahkan semua sekali segala harta benda mereka termasuk rumah.
2) Mereka yang terlibat secara langsung yang mengakibatkan rumah dan harta bendanya rosak teruk
3) Mereka yang hanya rumahnya tenggelam tetapi sedikitpun tidak rosak manakala barangan di dalam rumah rosak.
4) Mereka yang rumahnya hanya sedikit sahaja tenggelam dan tidak tenggelam langsung tetapi terkepung oleh air.
5) Mereka yang sedikitpun tidak terkena tempias Bah Kuning ini.

Kehadiran bah kuning memang tidak dijangka. Semua orang mula panik apabila bah ini yang disangka biasa tetapi sebaliknya berlaku. Ramai penduduk di tepi-tepi sungai khususnya, mengambil keputusan tunggu dan lihat sebelum tergesa-gesa berpindah akibat air naik begitu pantas dan arusnya pula begitu laju. Mereka yang melarikan diri ke bukit bukau tidak sempat membawa apa-apa barang keperluan termasuk makanan dan pakaian. Manakala mereka yang melarikan diri ke pusat pemindahan yang didaftarkan juga sering beberapa kali berpindah akibat tempat pemindahan juga turut ditenggelami air. Bah yang melebar dan kelajuan arus yang tidak masuk akal menyebabkan berlakunya kelam kabut dalam kalangan penyelamat kerana lojistik penyelamat yang tidak mencukupi dan usang, ditambah pula dengan negeri-negeri lain juga pada masa yang sama turut mengalami bah yang agak luar biasa.


antara pasukan penyelamat yang terlibat secara langsung dalam misi menyelamat dan memindahkan mangsa

Bantuan diberikan melalui pelbagai eset negara yang ada

Bantuan makanan perlu disegerakan kerana terlalu ramai mangsa yang kelaparan

Pasca banjir.. kerja-kerja membersih perlu dilakukan segera agar mangsa tidak diserang wabak penyakit

Anggota bomba antara pasukan penyelamat yang tidak menang tangan


Entah dimana silapnya.. air bah kali ini begitu banyak. Kalau bah merah dahulu, kita kaitkan dengan beberapa bukit telah pecah lalu mengeluarkan mata air yang sangat banyak tetapi pada kali ini bah besar berlaku dikaitkan dengan aktiviti pembalakan yang tidak terkawal. Ada juga mengatakan bahawa hujan yang turun di bahagian hulu Kelantan terlalu lebat. Ada juga khabar angin mengatakan bahawa kejadian banjir yang luar biasa ini akibat daripada pelepasan air daripada empangan kenyir kedua. Terdapat juga yang membuat andaian bahawa banjir besar kali ini adalah satu bala daripada tuhan yang memberi amaran kepada hamba-Nya supaya menjauhi kemungkaran bahkan ada juga yang berpendapat bahawa bah ini hadir sebagai satu usaha penyucian bumi Kelantan daripada Allah SWT kerana tahun 2015 negeri ini bakal melaksanakan Hukum Hudud. Apapun.. kita perlu melihat kejadian ini sebagai satu hikmah yang menuntut kita mencari punca berlakunya kejadian ini. Mungkin tuhan sudah marah dengan tangan-tangan manusia yang merosakkan bumi seperti mana dalam surah Ar.-Rum ayat 41 yang berbunyi "Telah berlaku pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di lautan dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia".


Dikatakan bah kuning ini berpunca daripada kesan pembalakan yang tak terkawal. No Komen..

Pembalakan yang tak terkawal memberi kesan terhadap landskap muka bumi yang boleh megundang petaka




Banjir besar pada kali ini kita dapat melihat beberapa ujian. Orang miskin menjadi lebih miskin kerana kebanyakan rumah dan harta benda mereka hilang keseluruhannya. Orang kaya juga diuji. Adakah harta kekayaannya itu sedia untuk didermakan untuk membantu si miskin yang teruk diuji. Pihak kerajaan juga turut diuji.. apakah kesediaan mereka untuk membantu mangsa yang begitu ramai ini. Bagaimanakah cara dan kaedah yang harus diambil untuk menyegerakan pembinaan rumah-rumah mangsa yang hilang terus. Bajet yang harus dikeluarkan tidak sedikit. Hal ini termasuk untuk membina semula jambatan-jambatan yang runtuh, menukar segala harta benda serta premis-premis kerajaan yang juga turut mengalami kerosakan teruk terutamanya sekolah dan hospital.


Kemusnahan yang memeningkan kepala pemilik

Aset kerajaan juga banyak yang menjadi korban



Padang jarak padang terkukur

Antara rumah yang terjejas teruk

Jambatan yang kukuh juga turut goyah dek serangan tentera Allah yang lebih perkasa walaupun sifatnya lembut




Rupanya air lagi kuat daripada besi

Kerugian yang bukan kepalang


Pihak KTM dikatakan perlu membelanjakan 230 Juta ringgit untuk membaiki dan memulihkan segala aset mereka



Suasananya bagai dilanda taufan Haiyan

Mereka perlukan tempat perlindungan segera.. bantulah mereka

Kerajaan perlu membelanjakan lebih 800 juta untuk membina semula infrastruktur yang rosak teruk

Tiada apa lagi yang tinggal selain air mata untuk menangisi nasib mereka

Aset kerajaan yang tidak kurang hebatnya ditelan tsunami darat

Air yang begitu banyak sehingga mencecah ke paras tiga sekolah

Stadium yang menjadi simbol kebanggaan The Red Warrior juga turut menjadi mangsa

Aset kerajaan yang turut musnah.. PPD Kuala Krai dan MRSM Kuala Krai


Berat Mata Memandang, Berat Lagi Beban Yang Dipikul Mangsa


Suatu Daerah sunyi yang menjadi paling terkenal dalam sekelip mata dan menjadi tumpuan para dermawan

Tiada bezanya dengan Tsunami yang berlaku di Acheh pada tahun 2004




Dari satu sudut, kita melihat banjir kali ini dapat menyatukan ummah tanpa mengira bangsa, agama, fahaman politik serta kenegerian. Buat pertama kali kita dapat melihat pihak kerajaan pusat boleh duduk semeja dengan kerajaan PAS Kelantan untuk membincangkan bantuan yang bakal dilakukan. Para pemimpin daripada pelbagai parti politik juga turut berganding bahu membantu mangsa tanpa mengira fahaman politik mereka. Kumpulan-kumpulan NGO dan orang perseorangan juga turut berpusu-pusu datang dari seluruh negara untuk menghulurkan bantuan. Ada juga yang datang bersama keluarga dan rakan-rakan untuk melihat sendiri betapa hebatnya tentera Allah ini memusnahkan segala tanaman, binatang dan harta benda sambil memuatkan seberapa banyak barang bantuan di dalam bonet kereta untuk diagihkan kepada mangsa. Terlalu ramai dermawan di negara kita rupanya. Walau bagaimanapun, sedikit mengewakan apabila tidak banyak negara luar yang segera membantu di saat negara kita sangat memerlukan bantuan mereka sedangkan negara kita begitu pantas menghulurkan bantuan sekiranya sesuatu musibah berlaku di negara-negara luar terutamanya di negara jiran.


Antara bantuan dari negara jiran yang sampai tetapi malangnya tidak banyak negara yang menyumbang
Hikmah Banjir.. Dua pemimpin berlainan fahaman parti politik dapat duduk satu kerusi berunding untuk manfaat mangsa banjir tanpa mengira fahaman politik yang disokong mereka

Muafakat Membawa Berkat

Banjir besar ini juga turut memberi pengajaran kepada penduduk yang tidak pernah mengenal erti kepayahan. Banjir yang menyeluruh ini memberi kesan kepada semua sama ada yang kaya atau yang miskin, yang alim ataupun yang jahil, yang muda mahupun yang tua. Seiring dengan banjir ini juga.. penduduk Kelantan turut diuji dengan ketiadaan air bersih, eletrik dan liputan telekomunikasi. Bagi mereka yang tidak biasa susah.. inilah masanya Allah bagi rasa betapa orang dulu-dulu selesa hidup tanpa air paip, api eletrik dan tanpa alat dan liputan telekomunikasi. Bukan itu sahaja, mereka diuji juga dengan ketiadaan bekalan makanan kerana semua jalan perhubungan terputus. Mereka terkepung sebagaimana rakyat Palestine terkepung. Barang keperluan termasuk makanan habis. Kalau ada pun, harganya berpuluh kali ganda mahalnya sedangkan hampir semua bandar ditenggelami air untuk penduduk keluar mengeluarkan wang di bank. Barang permintaan yang paling tinggi sekali ialah bahan bakar seperti minyak tanah, lilin, petrol. Selain itu, barang makanan seperti telur, sardin, biskut, roti dan lain-lain juga turut mendapat permintaan tinggi. Dikatakan harga lilin mencecah sehingga RM 3.00 satu batang yang sebelum ini cuma 30 sen sahaja. Minyak petrol mencecah RM8.00 satu liter dan telur mencecah sehingga RM1.00 sebiji. Barang-barang lain juga turut naik beratus-ratus peratus.Terdapat juga pesakit buah pinggang yang tidak dapat pergi untuk mencuci buah pinggangnya di pusat cucian kerana semua jalan perhubungan keluar ditenggelami air. Kalau dapat sampai ke hospital pun memang tidak boleh buat apa juga kerana ketiadaan bekalan tenaga eletrik untuk menggerakkan mesin. Bagi mereka yang pada saat ini sedang sakit, memang merana kerana doktor di klinik swasta pun sibuk mengemas barang di klinik mereka yang turut dinaiki air.


Statistik mangsa banjir yang dipindahkan.. terlalu besar dan mencipta sejarah


Berdasarkan apa yang diceritakan mangsa yang berada di pusat pemindahan, memang tidak dapat dinafikan akan kesukaran yang mereka hadapi terutamanya untuk tidur, berehat, makan, mandi dan yang paling tragis ialah kesukaran untuk membuang air kerana kemudahan asas seperti tandas, air paip dan bekalan eletrik tidak ada. Bau busuk, hancing dan hanyir menusuk hidung telah dialami oleh mangsa di pusat pemindahan kerana satu tandas terpaksa dikongsi oleh beratus-ratus malah sampai beribu orang. Cuba kita bayangkan kesukaran yang mereka hadapi terutamanya orang-orang tua yang sakit dan anak-anak kecil. Lebih meruncing lagi apabila makanan di pusat pemindahan turut kehabisan stok dan mereka menikmati bencana banjir dalam keadaan kelaparan. Lebih menyayat hati, terdapat mangsa banjir yang terpaksa menggunakan air lumpur untuk membacuh susu untuk anak kecilnya. Bagi mereka yang sempat lari ke bukit-bukit tinggi, lain pula ceritanya apabila bekalan makanan langsung tidak ada. Ada sesetengah mangsa sampai tiga hari hidup tanpa makan dan minum air bersih. Tidur dalam hujan tanpa pakaian kering serta bergelumang dengan nyamuk, pacat serta binatang berbisa. Ada juga mangsa yang tidur dengan bersandar di batang pokok atau belakang mangsa lain kerana ketiadaan ruang untuk tidur seperti biasa. Ada mangsa yang makan cuma pucuk betik dan ada mangsa yang terseksa disengat binatang bisa dan dipatuk ular. Ada juga mangsa yang terpaksa berkongsi 'pulau' dengan babi dan anjing liar bahkan pernah diceritakan mangsa bunyi ngauman harimau yang menggetarkan jiwa dan mengecutkan perut. Itu semua pengalaman mangsa banjir yang diceritakan sendiri kepada aku semasa aku pergi menghulurkan sedikit bantuan kepada mangsa.


Banjir yang memusnahkah tempat tinggal dan harta benda termasuk tanaman

Terpaksa melupakan keselesaan demi menyelamatkan nyawa


Berlindung ala kadar bagi mana-mana mangsa yang tidak sempat ke tempat pemindahan

Terpaksa berhimpit di pusat pemindahan dengan berkongsi prasarana yang tidak sempurna

Terpaksa bergelumang dengan kesejukan, pacat dan nyamuk

Binatang ternakan juga turut menjadi mangsa

Anak kecil yang turut menjadi mangsa

Tidak kira siapa.. bala Allah terpaksa dihadapi bukan sahaja oleh manusia, bahkan binatang pun terima bahananya

Lembu-lembu ternakan yang terkepung
Orang tua juga turut menjadi mangsa keadaan


Banjir besar kali ini juga turut membongkar perangai buruk sesetengah penduduk terutamanya yang menghadapi kesan banjir yang minima. Dikatakan ada sesetengah manusia yang berperangai jahat mengambil peluang banjir dengan memecah kedai-kedai untuk mencuri barangan. Bukan sahaja kedai yang menjual barangan runcit, bahkan kedai yang menjual barangan eletrik, kedai jam, kedai topup, kedai kain baju dan segala jenis kedai termasuk pasar raya besar juga turut dipecahkan untuk dicuri barangnya. Terdapat juga segelintir budak-budak nakal yang bertindak mencuri minyak petrol daripada kenderaan mengsa banjir yang diletakkan di tempat tinggi. Ada sebilangan mangsa banjir yang begitu tamak dengan menyorokkan bantuan makanan yang sampai untuk kegunaan pribadi tanpa berkongsi dengan mangsa lain yang sangat-sangat memerlukan pada masa banjir masih tidak ada tanda-tanda akan surut. Terdapat juga rungutan daripada sukarelawan-sukarelawan yang memasak makanan di pusat-pusat pemindahan yang mana mereka dijadikan bagai hamba. Tidak ada sedikitpun niat untuk sama-sama membantu mereka menyediakan makanan walau membasuh cuma sebiji pinggan mangkuk dan gelas. Yang mereka tahu cuma bersembang dan menunggu makanan masak untuk dimakan. Yang paling tragis.. ada juga ahli parti-parti politik tertentu yang cuba tonjolkan diri sebagai wira dengan menyedia dan mengagihkan makanan kepada hanya mangsa yang terdiri daripada penyokong parti tersebut sahaja. Dalam keadaan ujian yang maha hebat begini pun masih lagi ada segelintir manusia yang tidak sedar dan tidak mahu insaf dengan amaran tuhan. 

Semasa banjir mula surut.. bantuan mencurah-curah tiba daripada masyarakat yang prihatin dari seluruh negara. Di sini wujud pula manusia yang tidak berapa tahu malu dengan mengaku dirinya mangsa banjir lantas merembat bantuan tanpa rasa bersalah dan tanpa rasa segan silu. Ada yang sampai boleh buka kedai runcit barangan bantuan yang dirembatnya sedangkan mangsa banjir yang sebenarnya sibuk menbersih rumah, tidak ada masa untuk menagih dan merintih meminta bantuan. Yang paling jelek, ada juga sesetengah bukan mangsa banjir sanggup mendirikan khemah di tepi jalan seolah-olah rumahnya sudah tinggal tapak dihanyutkan air bah dan dia berlakon dengan membawa bayi serta membuat muka poyo supaya orang kasihan dan terus menghulurkan bantuan makanan dan pakaian serta wang ringgit sedangkan dia bukanlah mangsa yang menerima musibah. Orang jenis macam ni memang ramai dan amat sukar bagi penderma luar untuk mengecamnya kalau tidak orang tempatan. Ada juga yang berani mengambil barang bantuan di tempat pengumpulan barang bantuan tanpa rasa bersalah. Yang lebih jelek lagi, ada juga orang yang sanggup duduk di atas tapak rumah yang musnah sepenuhnya (total loose) mengaku tapak rumah itu kepunyaannya untuk mengaut bantuan yang diberikan oleh NGO dan orang perseorangan sedangkan tuan asal tapak rumah tersebut berada di Pusat Pemindahan. Hal ini berlaku di depan mata aku sendiri apabila tuan punya tapak rumah menghalau si pelakon tersebut. Syukurlah.. orang yang berperangai tidak tahu malu dan suka menangguk di air keruh ini hanya segelintir sahaja. Masih ramai lagi mangsa banjir yang terkesan dengan bah besar ini apabila semangat ukhwah sesama mereka semakin erat kerana terpaksa berkongsi penderitaan. Ada penduduk yang kedudukan rumahnya agak tinggi telah bertindak mempelawa mangsa banjir menumpang berteduh di rumahnya sehingga mencecah lebih 20 keluarga dalam satu rumah. Makan apa yang ada bersama tuan rumah yang berpribadi mulia itu. Hal ini boleh menambahkan lagi sifat kasih sayang dan prihatin sesama jiran sekampung secara tidak langsung menambahkan lagi rasa hormat mangsa kepadanya.

Pendek kata, banjir besar kali ini memberi impak yang cukup besar terhadap nilai kemanusiaan. Wujudnya begitu ramai insan yang berhati mulia bahkan tidak kurang juga yang sudi menitiskan air mata melihat penderitaan orang lain walaupun mereka bukan bersaudara, tetapi mereka sedara sesama islam. Dalam kalangan mereka yang bukan beragama islam juga tidak boleh dinafikan sumbangan mereka terhadap rasa simpati dan bantuan yang disumbangkan kepada mangsa banjir yang tidak kurang hebatnya. Semangat satu Malaysia tetap ditunjukkan. Ada juga sumbangan datangnya daripada NGO luar seperti Persatuan Acheh Malaysia dan rakyat Palestine yang menetap di negara ini. 

Terdapat juga kejadian-kejadian pelik yang berlaku disebalik bah yang melanda ini antaranya Pondok Pak Teh di Dabong yang sedikitpun tidak diusik air walaupun pondok tersebut berada di tepi sungai. Dikatakan air yang datang begitu laju membelok ke laluan lain selepas Pak Teh berdoa kepada Allah SWT. Ada juga yang mengatakan satu karpet merah di masjid Pahi yang tidak sedikitpun disentuh selut walau karpet-karpet lain disekelilingnya dipenuhi selut lumpur. Gambar Tuan Guru Nik Aziz yang tidak disentuh selut juga turut berlaku di Kg Sat dan ada karkulator yang terpampang kalimah bismilah pada skrinnya yang sudahpun rosak teruk. Kesahihan berita itu Allahhuawallam..


Antara bantuan yang tiba

Terdapat juga NGO yang hantar bantuan dari rumah ke rumah

Bantuan yang tiba dari seluruh negara
Akhir kata.. aku cukup terharu dengan penderitaan yang ditanggung oleh mangsa sama ada yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung. Apa yang kita lihat sesungguhnya tidak sama sepertimana yang mereka alami. Kehilangan tempat tinggal dan harta benda memang cukup perit untuk ditelan oleh golongan miskin kerana mereka terpaksa memulakan hidup baru dengan 'kosong'. Bagi mereka yang masih berwang, mungkin kesannya kurang ketara. Aku juga turut terharu dengan kerja keras para sukarelawan mambantu seberapa daya untuk meringankan penderitaan mangsa. Para petugas seperti doktor, ahli bomba, tentera, polis. JPAM dan pelbagai agensi lagi memang sangat besar sumbangan mereka dalam kerja-kerja menyelamat mangsa. Para pemimpin politik seperti Tan Sri Anuar Musa, Dato' Mustapha Mohammad, Datuk Dr Hatta Ramli, Datuk Ahmad Yaakob, Datuk Husam Musa dan ramai lagi, memang kalian layak menjadi pemimpin masyarakat kerana bertungkus lumus terlibat dalam misi membantu rakyat jelata di saat mereka berada di dalam kesusahan dan keperitan tanpa mengira parti politik. Paling membanggakan rakyat Kelantan apabila sultan sendiri sanggup mencemar duli menjenguk mangsa banjir yang sangat-sangat memerlukan sokongan moral. Para dermawan dari seluruh negara aku ucapkan jutaan terima kasih atas baiknya hati budi kalian. Aku sebagai sebahagian daripada yang berdarah Kelantan turut merasa bangga di atas sumbangan-sumbangan yang dihulurkan. 


Tuanku sanggup mencemar duli melawat mangsa banjir di pusat pemindahan

Tuanku memandu sendiri 4X4 miliknya untuk ke sesuatu destinasi bagi menghulurkan bantuan

Tan Sri Anuar Musa antara pemimpin yang terlalu banyak membantu mangsa banjir 

Dengan tidak mengenal fahaman politik, Azmin Ali turut turun padang


Orang kuat DAP juga ada turun padang

Meredah air bah

Dato' Pa antara peminpin yang selalu tunjuk muka

Raja Shamri antara NGO yang paling banyak jasanya dalam membantu mangsa banjir

Allah turunkan ujian kepada mereka yang layak menerima ujian. Bukan semua orang mampu diuji dengan sebegini rupa kejadian. Semoga mangsa banjir terus tabah dan berdoa agar ada hikmah disebalik ujian yang diturunkan. 

Sebagai penutup.. tataplah sedikit gambar-gambar banjir yang aku kutip daripada GOOGLE semoga menimbulkan keinsafan kepada kita. Sekiranya kita ini susah.. ramai lagi orang yang jauh lebih susah daripada kita. Terima kasih kepada pemilik gambar-gambar yang dilampirkan. Semoga perkongsian gambar kalian memberi manfaat kepada semua.









Perbandingan gambar sebelu dan selepas kejadian



Banjir besar bermula di Bandar Gua Musang lama















Para pelajar UMK terpaksa dipindahkan ke tempat yang lebih selamat


Selut yang bertan-tan banyaknya kalau dikumpul boleh menjadi beberapa buah bukit 


Tiada pilihan.. mana lagi tempat nak pergi selain bawah khemah

terbalik kuang





kat mana nak simpan selut-selut ni


selut lumpur yang tidak masuk akal





























Sungguh mengerikan tengok kepada kuantiti air


Merenung masa depan yang suram


























Rumah Allah juga turut menjadi mangsa






 Kredit kepada pemilik gambar-gambar. Sekian Terima Kasih. Assalamualaikummm





No comments:

Post a Comment