Wednesday 2 May 2012

FOTO OUTING DI KG JANDA BAIK BENTONG, PAHANG



Foto Outing Ahli Kelab Fotografi

Sebagai seorang guru kelab fotografi, aku telah diamanahkan untuk mengajar atau mencari jalan bagaimana cara untuk membolehkan setiap ahli beroleh manfaat apabila menyertai kelab ini. Sehubungan dengan itu, pelbagai cara telah aku lakukan agar kelab yang aku pegang ini tidak membosankan. Salah satu cara ialah menjemput Jurufoto Profesional untuk mengajar ahli kelab aku.


Ad Hadi sedang memberi tunjuk ajar
En Zuhrie sedang memberi tunjuk ajar teknik penggunaan flash

Teknik penataan cahaya

Teknik mengambil gambar objek

Boleh dikatakan setiap kali ada aktiviti, aku menjemput jurufoto yang berlainan untuk mengajar mereka agar tidak membosankan. Di samping itu, aku juga boleh belajar sama.
Aktiviti yang paling menarik sekali yang aku anjurkan ialah Foto Outing. Pada tahun ini aku memilih lokasi Kg Janda Baik Bentong Pahang sebagai destinasi untuk melakukan aktiviti ini. Ahli yang mengikuti aktiviti ini tidaklah ramai sangat kerana tarikh yang dipilih sangat hampir dengan peperiksaan pertengahan tahun. Walau bagaimanapun, aktiviti ini tetap aku teruskan.
Tepat pada masa dan tarikh yang ditetapkan, kami pun berangkat ke Kg Janda Baik dengan menaiki bas persiaran. Seramai 14 orang ahli kelab beserta 6 orang guru pengiring telah mengikuti rombongan ini.

Bas Persiaran yang baru dan selesa

Seorang dapat 2 tempat duduk
Tempat penginapan kami adalah Zaini Guest Resort yang diuruskan oleh isteri En Zaini iaitu Pn Suriya Fred ( Warganegara Perancis )


Ketibaan rombongan kami disambut mesra oleh Suriya Fred Zaini Guest Resort, Janda Baik
Persekitaran tempat ini sungguh bersih dan mendamaikan. Terdapat beberapa buah chalet yang pelbagai jenis. Oleh sebab kami inginkan privacy, maka kami menyewa kesemua chalet yang terdapat di sini. Air jeram mengelilingi kawasan chalet ini dan bunyinya sungguh mendamaikan sekali terutamanya pada waktu malam.
Jeram yang berada di tepi chalet dalam kawasan Zaini Guest House
Salah satu chalet yang terdapat di sini. Kampung Janda Baik
Dalam ni ada 3 katil. sesuai untuk 3 orang

Chalet ni yang paling menarik, sejuk je.. kata penghuninya

yang ni macam reban ayam.. tapi ada 1 katil queen

Yang ini paling selesa.. open air. sejuk memanjang siang ataupun malam

Oleh sebab ramai dalam kalangan peserta terdiri daripada orang bandar ( Anak Dato pun ada, Anak artis terkenal pun ada) maka aku lebih suka mendedahkan mereka dengan cara kehidupan kampung. Salah satunnya ialah makan nasi bersila beralaskan tikar di bawah pokok durian di tepi jeram.

Makan nasi bersila beralaskan tikar makan dengan tangan. 

Aktiviti pertama aku pergi ke Khalis Garden untuk mengambil foto-foto pelbagai spesies flora eksotik.Pihak pengurusan Zaini Guest Resort telah menyediakan sebuah 4x4 untuk mengangkut kumpulan kami. Aku dapati banyak pokok telah ditanam di sini dan dijaga dengan baik.Bagi yang meminati landscape, memang tempat ini amat sesuai buat mereka.
Pengangkutan rasmi untuk ke mana-mana yang disediakan oleh Pengurusan Zaini Guest Resort

Sekali-sekala naik benda ni, seronok betul budak-budak..
Pihak pengurusan Khalis Garden telah menyediakan seorang petugas untuk memberi penerangan yang sejelas-jelasnya tentang jenis-jenis flora dan pokok-pokok yang terdapat di situ. Pokok-pokok herba juga banyak ditanam dan dijaga dengan rapi. Tak terasa penat kami berjalan untuk menghabiskan keluasan taman tersebut yang luasnya lebih kurang 4 ekar. Kami berjalan santai-santai menikmati keindahan kebun bunga menyedut udara segar sambil mengambil gambar bunga-bungaan dan landskap.

Bersiar-siar

ambil kesempatan untuk berposing
Bunga Tulip Malaysia


Posing

Ambik gambar dik.. jangan tak ambik

Kusyuk mendengar penjelasan guide

Haa.. posing lagi. jgn bimbang.. tak kena bayar pun.
Sesuai dijadikan gambar profile untuk facebook

teratai layu di tasik madu

Mengambil gambar objek.  Hati-hati Niq.. kalau jatuh, kuyup ko

Semuanya guna DSLR

skill tersendiri untuk mendapatkan pic yang terbaekkk

bermeditasi


shooot dik..skill memang ada
Kami mengambil masa selama 2 jam untuk melawat 80% kawasan Khalis Garden. Tangan pun dah penat menekan punat kamera.Seluruh badan sudah dibasahi peluh. maka .. sampailah masanya untuk kami rehat buat seketika. Pihak pengurusan telah menyediakan kami dengan minuman kopi o dan tea o untuk membasahkan tekak beserta sedikit cekodok dan pisang goreng.

Menjamah sedikit kuih-muih yang disediakan

Santai berhi-tea sambil berborak
Sebelum pulang, ada beberapa orang peserta yang megambil kesempatan  membeli anak pokok untuk ditanam kat rumah.. manalah tahu kot-kot nak hidup subur. Kata penjaga kebun kat situ, pokok berry boleh hidup kat mana-mana. buahnya pun sedap. masam-masam manis rasanya.

Kak Edah beli banyak pokok untuk buat taman kat rumahnya

Sebelum balik, sempat bergambar beramai-ramai untuk kenangan.
Sesungguhnya.. banyak info yang kami dapat sepanjang dua jam setengah berada di sini. Gambar pun banyak  yang dirakam. Ada pelajar snap gambar sampai 4 gb hanya di tempat ini sahaja. Kami bertolak pulang tepat pukul 5.30 petang. Oleh sebab cuaca agak panas dan badan sudah banyak mengeluarkan peluh, peserta lelaki merayu kepada pemandu 4x4 supaya menghantar terus mereka ke jeram Hawa Resort untuk mandi-manda manakala peserta perempuan balik dulu ke chalet untuk sembahyang asar. Mereka mandi sepuas-puasnya kerana kesempatan ini tidak selalu mereka dapat. Memang tidak dapat dinafikan bahawa di kampung Janda Baik ini memang banyak tempat yang menarik.

Mandilah kamu sepuas-puasnya.. nanti kat bandar tak akan jumpa air yang macam gini

                                             berendam sampai mengiggil semuanya

Jeram ni berada di tepi Hawa Resort
Selepas puas mandi manda, semua peseta diarah pulang ke tempat penginapan untuk aktiviti malam.Kem ini sebenarnya santai je.. budak-budak yang aku bawa tidak terikat dengan jadual.Mereka bebas untuk ke mana-mana dan mereka boleh bersuka ria sesuka hati. Oleh sebab kumpulan mereka kecil, jadi mudah untuk aku kawal mereka. Lagi pun ahli yang datang ni baik-baik belaka. Berdisiplin dan mudah dengar kata serta arahan.Selepas sembahyang fardu isyak, mereka dijamu dengan BBQ. Soal makan aku tak berapa berkira, aku pastikan makanan yang disediakan enak dan mencukupi.

Haa.. sorang boleh ambik sampai 3 ketul. jangan membazir sudah...

Mee hon ada.. nasi goreng cina ada..

Haa.. pilihlah, apa nak makan. Ayam bakar ada, Ikan Jeket bakar ada, Pengat labu pun ada..

Makan dik, jangan tak makan. tak cukup nanti tambah yee..
Cikgu pengiring pun sila tambah yee..
Selepas kenyang makan, mereka bersembang sampai pukul 12.00 tgh malam. Ada yang main gitar sambil mendendangkan beberapa buah lagu. Ada lagu Melayu, ada lagu Inggeris. Cikgu-cikgu pula berborak pasal perihal di sekolah. Perangai anak murid ada macam-macam hal yang memeningkan kepala kat sekolah.. tugas-tugas sampingan pula bertimbun. Datang bertali arus. Kerja cikgu ni ada macam-macam yang nak kena buat. Kadang-kadang terasa tak cukup dua tangan, mau lebih tangan. Bila datang sini... segala kerja yang bertimbun tu tinggal jauh-jauh. Kita bawa ketenangan saja.Sedut udara Bersih kat Janda Baik. Bukan gi tempat BERSIH di Dataran Merdeka. Kat situ udara kotor lagi memedihkan mata kerana disembur dengan gas pemedih mata oleh FRU. Air terjun dari lori FRU kat situ juga gatal dan melekit sebab sudah dicampur dengan bahan kimia nak bagi orang gatal.

Tidur pada malam ini amat sejuk sekali. Aku tak jumpa cari selimut maka kain sembahyang dijadikan selimut. Sejuknya tak terkira. Ada juga peserta yang tak dapat lelapkan mata sampai pagi sebab tak tahan sejuk.Kabus pagi memenuhi ruang Kampung Janda Baik. Bunyi kicauan burung amat mendamaikan sekali.Bunyi air jeram yang tak henti-henti mengalir dicelah-celah batu juga begitu menenangkan jiwa. Pukul 6.30 pagi kami bangun untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang islam. Nak ambik wuduk airnya amat sejuk. Beberapa orang pelajar kelihatan mundar-mandir dalam kawasan Zaini Guest House untuk menyedut udara segar.

Pihak pengurusan Zaini Guest House menyediakan kami nasi lemak untuk breakfast. Kami perlu makan secukupnya kerana sekejap lagi kami perlu mendaki bukit.Banyak tenaga diperlukan.Tepat pukul 9.30 pagi, sekali lagi kami diangkut menggunakan 4X4 untuk dihantar ke kaki bukit. Kami perlu berjalan sejauh lebih kurang 4 KM untuk sampai ke destinasi seterusnya iaitu Hammer Waterfall. Sepanjang perjalanan kami disajikan dengan pemandangan yang sungguh indah. Kebun-kebun sayur penduduk tempatan sayup mata memandang.

Cabaran pertama.. perlu basahkan kasut

Steady kak Edah.. anak murid korbankan kasutnya untuk menyelamatkan kasut kak Edah

terus tuang dalam air

Okey Readyyyy...

Antara ladang sayur yang usahakan oleh penduduk tempatan

apa-apa hal pun.. posing la dulu bro..

Aku dan Guide..
Berehat smeta boh, letih naik bukit

Napok rendoh jah... tapi penat gila

Perkampungan orang asli yang mengamalkan pertanian pindah
kembali meneruskan perjalanan.. pemandangan memukau

haa.. dah sampai pun

Aniq jadi model untuk test power skill fotografi aku.

Sedapnya mandi-manda.. rasa cam tak nak naik

sediakan tea o panas bersama biskut. 

layan adik-adik.. anak VVIP kena servis kasi baek punya
    Perjalanan kami untuk sampai di air terjun mengambil masa lebih kurang 1 jam lebih. Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan pemandangan yang sungguh menarik. Amat sesuai untuk merakam seberapa banyak gambar. Sesiapa yang sudah ada asas dalam mengendalikan DSLR, aku yakin mereka akan dapat gambar yang amat memuaskan hati.Pelbagai teknik boleh digunakan untuk mengambil gambar nature atau pemandangan. Mereka perlu bijak menyelaraskan  shuttle speed, aperture dan ISO pada DSLR mereka. Bagi yang telah mahir, mereka juga boleh bermain-main dengan tone warna untuk mendapatkan background yang lebih menarik.

Selepas banyak merakam gambar, kami mandi dengan sepuas-puasnya. Airnya yang jernih, sejuk dan bersih menyebabkan badan kami segera segar selepas penat mendaki dan jungle treking. Pukul 12.30 tengah hari, kami pun mula bergerak turun.Perjalanan semasa turun lebih mudah dan tidak memenatkan.

Bergambar kenangan sebelum berangkat pulang

Perjalanan pulang tidak sesukar mana

Apa pandang-pandang.. turun je laa..

Disajikan dengan pemandangan yang begunung-ganang dan berbukit-bukau
Kami sampai ke Zaini Guest House lebih kurang pukul 1 setengah tengah hari. Kami terus bersiap untuk pulang ke Subang Jaya. Sebelum pulang, kami lunch terlebih dahulu. Menu yang disediakan untuk kami lunch sungguh menyelerakan. Sebelum itu, aku terlebih dahulu menjelaskan semua bayaran kepada Pn Fred Suriya. Bas yang dijanjikan sampai pukul 2 petang untuk menjemput kami, telah terlewat sampai. Kami terpaksa menunggu dan menunggu dengan penuh seksa. Pukul 3.30 petang, bas yang dijanji pun tiba. Pukul 5.30 petang kami selamat tiba di sekolah.

dah nak balik..

bersiap untuk balik

tunggu bas nak balik.. 

lambatnya bas sampai.. sehingga sudah ada yang dah tertidur

haa.. bas dah sampai.. beratur nak naik bas

Alhamdulillah... semuanya selamat sampai ke sekolah
Trip pada kali ini dianggap paling berjaya walaupun tidak ramai peserta. Semua peserta yang mengikuti foto outing yang aku anjurkan ini amat berpuas hati sama ada dari segi tempat tinggal, pengurusan program, makanan, pegangkutan dan segala-galanya. Terasa amat rugi kepada mereka yang menarik diri daripada mengikuti program ini. Sebenarnya banyak gambar yang dapat aku rakam tetapi hanya sebahagian kecil saja aku upload kat sini. Gambar yang aku ambil menggunakan kemahiran yang sedikit sebanyak aku pelajari daripada jurufoto terkenal telah aku upload dalam akaun Flikr kepunyaanku untuk dikongsi dengan fotografi yang lain. SEKIAN TERIMA KASIH.

No comments:

Post a Comment