Thursday 9 May 2013

SEDIKIT ULASAN PASAL PRU-13 DARI KACAMATA MATDINGUNUNG

Assalamualaikum... hajat malas dah nak komen pasal keputusan PRU13 sebab dalam surat khabar tiap-tiap hari penuh dengan komen-komen daripada pengarang, tapi gatal tangan punya pasal nak menulis, aku menulis la jugak secara umum. Walau apa yang aku tulis tak de sangat orang baca, tapi nak juga aku menulis. Tak pelah.. untuk kepuasan sendiri.

Dari kaca mata aku sendiri, pilihanraya tahun ni tak de lah sangat kejutan. Sebelum pilihanraya, gerun rasanya tengok semangat parti pakatan yang berhempas pulas ingin tukar kerajaan pusat atau dengan slogan lain 'road to Putrajaya'. Selepas pilihanraya, rupanya BN masih lagi unggul membentuk kerajaan walaupun sedikit terjejas dek pertambahan kerusi DUN oleh pakatan. Bagi aku yang berfikiran dangkal ini,  kemenangan mutlak Pilihanraya Umum ke-13 sebenarnya dimenangi oleh parti DAP. Hal ini demikian kerana, hampir semua calon yang bertanding atas tiket DAP mendapat kemenangan, ditambah pula dengan mendapat majoriti yang besar (walaupun poster, bena, sepanduk dan ceramah tidak sehebat parti-parti lain).BN walaupun dapat mengambil kembali Kedah, namun dalam satu segi mereka telah tewas untuk mengambil semula Selangor bahkan kubu kuat mereka di Johor juga mampu ditembusi oleh pembangkang terutamanya DAP. Keberanian Lim Kit Siang untuk 'test market' di Johor rupanya menjadi. Tidak seperti Husam Musa yang kurang bernasib baik apabila tewas teruk di Putrajaya.

Selepas pilihanraya ni, banyak Menteri Besar dan Ketua Menteri telah bertukar tangan. Hal ini tidak menghairankan kerana pertukaran pucuk pimpinan adalah perkara biasa dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, tetapi pertukaran pucuk pimpinan di Kelantan sedikit mengejutkan. Kesediaan Tuan Guru Datuk Hj Nik Ab Aziz (TGNA) untuk mengundurkan diri diterima dengan hati yang berat oleh rakyat Kelantan. Kecemerlangan TGNA mentadbir urus negeri Kelantan sepanjang 23 tahun pemerintahannya dilihat sebagai sukar untuk dicari ganti. Walau banyak dugaan dan cabaran yang terpaksa dihadapi dan ditempuhi sepanjang menjadi orang nombor satu di Kelantan, beliau mampu hadapinya dengan bantuan Allah SWT dan berkat doa rakyat Kelantan. Sepanjang pemerintahannya, beliau mampu menerapkan jiwa keislaman ke atas negeri Kelantan. Banyak perubahan telah dibuat. Walaupun dari segi pembangunan ekonomi negeri Kelantan masih jauh ketinggalan tetapi berkat usaha TGNA dan ahli exconya, negeri Kelantan membangun dari segi kerohanian. Negeri Kelantan bukan pusat judi, negeri Kelantan bukan pusat persundalan, negeri Kelantan bukan pusat hiburan, negeri Kelantan juga bukan pusat perternakan babi. Tapi negeri Kelantan dibawah pemerintahan TGNA adalah 'role model' kepada negara-negara islam yang lain di seluruh dunia.Kesederhanaan yang ditunjukkan oleh TGNA sebagai seorang yang mempunyai status VVIP sangat dikagumi oleh rakyat Kelantan khususnya dan seluruh pemimpin negara islam di dunia secara amnya.



Atas dasar ini, rakyat Kelantan begitu 'segan' untuk menukarkan kerajaan walau ditabur dengan janji-janji manis yang amat lumayan melalui manifesto yang sukar dipercayai oleh BN. Pendek kata, selagi TGNA masih memerintah Kelantan, selagi itulah BN akan berputih mata untuk kembali menawan Kelantan walaupun dibantu oleh Jeneral-Jeneral UMNO dari luar. Tohmahan-tohmahan liar yang dilemparkan ke atas TGNA serta pelbagai gelaran dan pengeditan gambar-gambar yang menjijikan telah dilakukan oleh mereka yang sangat benci kepada Tuan Guru, tetapi perkara ini sebenarnya memberi lebih kredit kepada TGNA. Hasilnya, undi yang diterima oleh TGNA dalam mana-mana pilihanraya tidak pernah berkurangan malahan semakin bertambah setiap kali pilihanraya. Rakyat Kelantan masih teguh di belakang TGNA.



Berundurnya TGNA, telah membuka ruang kepada UMNO untuk cuba mendapatkan kembali negeri Kelantan. Sudah tentu pilihanraya kali ke-14 akan menjadi lebih menarik. Tetapi kita sama-sama tengok nanti adakah Menteri Besar yang baru dilantik mampu mewarisi kesinambungan kecemerlangan pemerintahan TGNA. Kalau beliau mampu, maka akan berputih mata lagilah UMNO. Sebelum ni, yang dicanang-canang bakal menggantikan TGNA adalah Husam Musa, tup-tup.. Datuk Ahmad Yakob pula yang naik setelah diperkenan oleh sultan. Mungkin TGNA mahukan penggantinya adalah dalam kalangan orang yang matang pasal agama. Husam Musa ni dilihat sebagai orang muda yang berstatus profesional walaupun tidak kurang ilmu agamanya. Walau apa pun.. kita terima saja siapa-siapa yang dilantik kerana mungkin ada hikmah dan kelebihan tersendiri yang kita tidak tahu. bak kata pepatah ' lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang, lain padang lain belalang, lain cara lain orang'. Hanya jauhari yang kenal manikam. Cukuplah setakat ni saja ulasan aku walaupun aku mampu ulas dengan lebih panjang lebar dan lebih terperinci. 


Sebagai penutup, TAHNIAH KEPADA SEMUA YANG DILANTIK, TAHNIAH JUGA KEPADA SEMUA YANG MENANG.  URUS TADBIRLAH NEGARA INI DENGAN BAIK, ADIL DAN SAKSAMA.  TEPATILAH JANJI 'RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN'.

SELAMAT BERSARA TUAN GURU DATUK HJ NIK AB AZIZ BIN NIK MAT. SEMOGA DIBERIKAN ALLAH SIHAT TUBUH BADAN. 

Sekian Terima Kasih.. 
Pesanan daripada MatdinGunung.Blogspot.Com

No comments:

Post a Comment