Thursday 21 August 2014

CAMPING DI DANAU TO'BAN

Assalamualaikum... balik raya tahun ni tidak seindah tahun-tahun sudah. Raya 2014 merupakan tahun pertama aku beraya tanpa ibu di sisi. Ibu yang telah pulang ke rahmatullah selepas raya cina yang lalu meninggalkan impak yang cukup besar pada diriku. Tiada lagi ku rasa ketupat tiga bucu daripada air tangan ibuku yang cukup lemak dan sedap. Kakak sulongku cuba mewarisi resepi ketupat daripada arwah ibu tetapi jauh bezanya. Berkumpul pada hari raya kedua di rumah pusaka sudah kurang menyengat.

Alhamdulillah.. pada hari raya baru-baru ni semua pokok-pokok kayu peninggalan orang tua ku berbuah cukup lebat. Pohon manggis di hadapan rumahku yang cukup berusia juga tidak dijangka mengeluarkan buah yang sangat lebat dan isinya sedikit pun tidak rosak. 

Sebahagian kecil daripada buah manggis

Pohon longgang di belakang rumah sebelum ni hanya beberapa tangkai saja yang berbuah, tetapi selepas pemergian ibu aku, pokok tersebut mengeluarkan buah yang sangat lebat. 

Pohon Longgang mengeluarkan buah yang cukup luar biasa




Pokok pulasan di penjuru tanah pusaka juga mengeluarkan buah yang cukup tidak menghampakan. Pokok rambutan semuanya berbuah lebat sama ada rambutan jenis gula batu, anak sekolah, rambutan chekmong mahupun rambutan telan. 


Pelbagai Jenis Rambutan

Duku, langsat, dokong, rambai juga tidak menghampakan. Hampir semua pokok berbuah lebat. Memang selepas kematian ibu aku, pokok-pokok kayu yang ditanam oleh ibu bapaku sungguh galak mengeluarkan hasil dan amat luar bisa sekali untuk santapan anak-anak cucu dan cicitnya ibarat kata " harimau mati meninggalkan belang, ibu bapaku mati meninggalkan buah-buahan".

Duku Terengganu yang sungguh enak







Yang sedikit mengecewakan hanyalah durian yang kurang menjadi. Pokok-pokok kelapa juga banyak hasilnya dan boleh disedekahkan kepada orang-orang kampung yang mahu digunakan untuk buat ketupat palas. Kawan-kawan yang berkunjung ke rumahku pada hari raya lalu aku hidangkan mereka dengan buah-buahan dan air kelapa muda sebagai minuman yang cukup menyelerakan. Tidak ada kuih-kuih raya mahupun nasi.


Durian D24 dan Musang King daripada pohon Kak Long



Oleh sebab ibu aku sudah tiada, maka tidak berapa memberi makna lagi sekiranya aku terus tinggal di rumah pusaka. Oleh sebab itu, pada hari raya ketiga, sebaik pulang daripada majlis tahlil di kubur ibu bapaku, aku menyiapkan barang perkhemahanku untuk keluar bercamping di Danau To'Ban. 

Pusara Ibu

Kerja-kerja menaik taraf

Kerja-kerja menaik taraf pusara arwah ayah dan arwah abang dilakukan dengan teliti
sebelum tibanya hari raya

Selepas dinaik taraf.. belum lagi ditanam dengan rumput karpet
Ramai juga anak buah dan cucu sedara yang nak joint. Hampir semua lelaki ikut bersama mana yang berkelapangan. Tempat tu memang tip top. Segala kemudahan ada baik surau mahupun tandas. Kereta pun boleh masuk rapat ke tapak perkhemahan.Pemandangan sungguh indah. Pada malam hari, angin sepoi-sepoi yang bertiup begitu mendamaikan. Beberapa utas jaring aku bawa turun dengan harapan mendapat banyak ikan untuk dibakar pada malam hari.































































Lihatlah gambar-gambar tersebut. Tidak mahu aku mengarang lebih panjang untuk menceritakan segala-galanya. Petang yang hening.. malam yang mendamaikan dan pagi yang indah. Semuanya terangkum dalam edisi perkhemahan ku pada hari raya ketiga dan keempat yang lalu.

1 comment: