Sunday 7 October 2018

RE-UNION GENG LEJEN 2.0

Assalamualaikum.. perjumpaan geng lejen kampung berlangsung lagi buat kali kedua selepas berpuluh-puluh tahun meninggalkan kampung dan membawa diri masing-masing. Dulu kita sama-sama membesar. segala permainan dan segala macam kenakalan kita lakukan bersama-sama. Kawan dulu akrab tidak seperti sekarang. Dulu, kalau nak turun main, kita main sama-sama. Kalau nak pergi sekolah, kita pergi sama-sama. Nak pergi ngaji quran, kita pergi sama-sama, kalau nak keluar lepak malam-malam, kita stay duk kat atas pondok sambil bersembang sampai pukul 2 atau 3 pagi. 

Kita tak telan pil kuda, kita tak minum ubat batuk.. air ketum pada masa ni belum lagi wujud dalam kalangan muda mudi. Kalau nak nakal sedikit pun, setakat kena ganja, tu pun setakat dua tiga pam.. tak melarat dan tak sempat mabuk pun. Budak-budak kampung yang ada basikal boleh dikira dengan jari.. dua tiga kerat jer yang ada basikal.. yang ada motor langsung tak ada apatah lagi kereta. nak keluar ke bandar kita sama-sama naik bas atau kereta sewa. Keluar ke bandar pun sekadar pusing-pusing bandar lepas tu balik. 

Duk di kampung kalau tak skodeng tak sah.. sikit-sikit buat nakal intai anak dara orang mandi tu biasa laa. Tapi sebagai budak kampung yang baru nak up.. perkara jahat paling seronok ialah bergaduh dengan budak-budak kampung sebelah. Kes-kes kecil pun boleh bergaduh. Pasal mengurat anak dara orang pun boleh bergaduh angkat kampung. maklumlah ramai anak-anak muda yang belajar silat dan belajar tomoi.. sedikit sebanyak nak juga uji kejantanan. Yang best.. malam ni gaduh, esok jumpa kat sekolah berdamai balik. Rutin harian setiap petang main bola kat padang kampung. Petak sawah dijadikan padang bola sementara selepas musim menuai. Tak ada padang, main sukan lain yang tradisional.. tak ada masalah setakat nak berhibur dan berseronok sesama kawan-kawan. Hari cuti sekolah, boleh masuk hutan lastik burung ramai-ramai. Mandi sungai itu paling seronok.. macam-macam permainan berasaskan air sungai boleh dimainkan ramai-ramai. 

Biasalaa.. tepi sungai tanah subur.. ramai orang kampung bercucuk tanam. Kalau ada yang tanam tembikai, menjadi sasaranlah.. curi tembikai kemudian makan ramai-ramai memang seronok. Kadang-kadang ada buah kayu, rembat ajer tak kira siapa tuannya. Aktiviti menyelam mencari ikan sepanjang sungai amat menyeronokkan. Dapat ikan terus goreng dan makan dengan nasi panas-panas di tepi sungai. Asal nak pergi cari ikan, periuk, kuali dan segala kelengkapan memasak turut dibawa bersama. Masa dulu ikan dalam sungai memang banyak sebab orang dulu-dulu tak guna ubat tuba atau karan eletrik. Dalam sawah pun tak berhabisan pelbagai jenis ikan sawah. Kita sama-sama cari ikan, pancing atau tahan jaring atau tahan tajul.. memang tak pernah pulang tangan kosong. 

Berkawan satu kampung dulu-dulu memang rapat. Ke mana saja berada, mesti berkumpulan. Kalau ada gotong royong bersih tanah kubur atau cuci masjid, kita ramai-ramai turun. Budak-budak kampung dulu memang kreatif cipta permainan, berperang manjang. Tapi, boleh dikatakan semua ibu bapa tak kisah pun anak-anak dia keluar bila-bila masa janji sembahyang dan mengaji quran tak tinggal. Budak-budak dulu tak nakal macam budak-budak sekarang, masa ni kita takde nak race motor, nak isap dadah, nak buntingkan anak dara orang, nak merompak menyamun.. tak de semua tu.. kalau keluar malam pun, setakat lepak di bangsal silat atau tempat hiburan seperti tempat adanya persembahan dikir barat atau wayang kulit atau tempat pertunjukan seni silat jatuh atau perlawanan tomoi. Seronok betul hidup masa ni.. semua budak-budak kampung kita kenal dan berkawan. Orang-orang kampung pun kenal kita anak sape. 

Bila ada dalam kalangan kita yang masuk sekolah asrama, sedikit renggang hubungan kita kecuali musim cuti sekolah. Bila dah habis sekolah, masing-masing bawa diri. Ada yang ke Kuala Lumpur, Ke singapura, Ke Johor, Ke Penang bahkan ada yang ke Sabah dan Serawak mencari rezeki. Bila dah kahwin dan punyai anak-anak, hari raya pun tak jumpa bahkan ada yang tak balik pun. So, terputus terus hubungan.. Alhamdulillah, sekarang telefon ada wassap, bolehlah kumpul semula kawan2 yang sama-sama membesar dulu. Sekurang-kurangnya ikatan silaturahim tak terputus terus. Sekali sekala kita setting tarikh dan masa.. kita jumpa sembang-sembang tentang masa lampau.. 2 hari satu malam memang tak habis nak bangkit cerita masa zaman kita budak-budak dulu.. untungnya kita membesar di zaman dulu.. musim cuti sekolah seronok, musim banjir seronok, bulan puasa seronok, hari raya seronok, hari minggu seronok, malam pun seronok, pergi sekolah pun seronok.. pendek kata, semuanya seronok. Tidak seperti budak sekarang, suka cakap sorang-sorang layan game online, bersahabat guna online, main bola pakai online, main tembak-tembak pakai online. kadang-kadang jiran sebelah pun tak kenal.































itulah..kisah zaman budak-budak memang segar dalam ingatan. Mahal nilai persahabatan di zaman kanak-kanak. Banyak kenangan indah tercipta. Semuanya indah-indah. Satu hati satu kepala. Time pergi masjid, semua ada di masjid, Time polis kutip, semua kena angkut ke balai.. penuh geng kita dalam lokap balai, hahahahaaa... 

Sekian.. 

No comments:

Post a Comment