Tuesday 21 February 2012

Pengalaman Masa Lalu



Hutan, gunung, bukit, sungai, tasik dan laut merupakan alam ciptaan tuhan yang begitu sebati dengan jiwaku. Entah mengapa, apabila aku menghayati bunyi unggas-unggas hutan, hatiku begitu damai sekali. Apabila aku mendengar deruan air terjun dan jeram, hatiku mula terhibur. Apabila aku menikmati  keindahan panorama dan kedinginan udara dari puncak gunung, hatiku begitu tenteram. Apabila aku melihat air-air sungai yang jernih mengalir, hatiku begitu tenang. Apabila aku melihat ketenangan tasik, hatiku begitu gembira dan hatiku begitu teruja sekali apabila melihat matahari terbenam di hujung ufuk laut.
Alam sudah menjadi temanku yang paling setia. Mungkin aku dilahirkan di dalam ceruk hutan. Sejak aku mula boleh meniarap, kemudian merangkak, lepas tu berdiri, berjalan dan akhirnya berlari, semuanya itu aku lakukan semasa aku berada di dalam hutan. Nama kampung aku pun Bukit Bertam.  Aku membesar di dalam hutan dan sekolah tempat aku belajar juga dikelilingi oleh bukit bukau dan hutan rimba.
Sedari kecil aku sudah dilatih oleh kedua orang tua ku agar dapat berdikari di dalam hutan. Aku sangat biasa dengan nyamuk-nyamuk yang beterbangan, pacat-pacat yang berkeliaran mencari darah, buah-buah hutan yang enak, ulam-ulaman yang berkhasiat serta ubata-ubatan herba yang amat mujarab. Apabila aku keluar pagi dan balik petang kerana pergi melastik burung atau menjerat binatang di dalam hutan semasa hari minggu, ibu bapaku tidak pernah bimbang.  Kadang-kadang pada waktu malam aku bermalam di pinggir hutan di dalam pondok-pondok yang aku bina. Ibu bapaku juga tidak pernah menghalang. Pendek kata, aku bebas melakukan apa saja aktiviti di dalam hutan.
Semasa aku di sekolah rendah, aku sentiasa membawa bekal ke sekolah. Apabila tibanya waktu rehat, aku dan kawan-kawan akan makan bekal yang kami bawa di bawah rimbunan pokok-pokok hutan yang tumbuh meliar tanpa pengawasan di belakang kawasan sekolahku. Semasa di sekolah menengah pula, aku memilih pengakap sebagai aktiviti badan beruniform. Dalam pasukan pengakap, cikgu sentiasa mengadakan aktiviti perkhemahan di dalam hutan. Semasa perkhemahan ini, aku mula belajar untuk membuat gajet, simpulan dan ikatan serta ikhtiar hidup. Yang paling seronok ialah memasak nasi dalam buluh dan membakar ikan di dalam tanah. Rebus telur tanpa air juga aku pelajari dan aku juga diajar cara-cara untuk menjerat binatang. Aktiviti perkhemahan ini banyak membantu aku untuk survival di dalam hutan.
Rumah yang aku tinggal tidak mempunyai tandas. Oleh yang demikian, aku terpaksa mencari tempat-tempat yang tersorok untuk melepaskan hajat. Tempat yang paling sesuai tidak lain tidak bukan ialah di pinggir hutan tidak kira siang atau malam. Yang paling aku takut ialah bunyi salakan anjing serigala yang  agak menyeramkan. Bunyi burung hantu juga boleh menyebabkan bulu roma meremang kalau aku berseorang pergi membuang air besar di tepi hutan lebih kurang 80 meter dari rumahku pada tengah malam atau awal pagi. Orang kata, di dalam hutan ada banyak hantu atau binatang buas, tetapi Alhamdulillah.. sepanjang aku melakukan aktiviti di dalam hutan, aku tidak pernah diganggu oleh hantu atau jembalang. Aku juga tidak pernah terserempak dengan binatang buas kecuali ular tedung selar. aku perlu kuatkan semangat apabila berada di dalam hutan. Ayah aku juga ada mengajar aku beberapa potong ayat al-quran  untuk aku amalkan apabila berlaku kecemasan di dalam hutan. Aku juga turut diberi petua-petua dan pantang larang semasa berada di dalam hutan.
Rumah aku tinggal lebih kurang cam ni lah ( rumah ni dapatkan dlm google je )

Rumah aku berhampiran dengan Kem Tentera iaitu Kompeni 301 Kem Batu 11. Biasanya anggota-anggota tentera membuat latihan menembak dan aktiviti jalan lasak merentasi kampungku. Oleh yang demikian, aku begitu mudah untuk mendapatkan makanan tentera atau dikenali dengan ‘Rasum’. Dalam satu paket rasum mengandungi 2 kilo beras, 2 tin kari ikan, 2 tin kari daging, 1 tin kari kambing, 1 tin sirap nenas, 2 paket serbuk oren, 1 paket jem betik, 1 peket jem betik, 2 paket serbuk Nescafe, 5 paket susu tepung, 2 paket biskut, 1 kotak mancis, 2 paket garam, 2 paket gula dan dapur beserta lilin. Kadang-kadang mee maggie pun ada. Satu paket ransum cukup untuk satu hari perkhemahan. Biasanya pada hari jumaat dan sabtu, aku bersama kawan-kawan akan melakukan aktiviti outdoor iaitu membuat pondok-pondok dan memasang khemah di pinggir hutan. Dengan berbekalkan ransum tentera, kami akan memasak dan makan beramai-ramai di dalam pondok. Adakalanya kami bermalam di situ. Aktiviti seperti ini sangat aku minati dan segala masalah pembelajaran akan hilang begitu sahaja. Oleh sebab aku telah terbiasa dengan corak kehidupan tentera di dalam hutan maka telah timbul perasaan minat yang mendalam terhadap pekerjaan ini dan menjadi impian aku untuk menjadi pegawai tentera suatu hari nanti.
Nilah gambar Ransum tapi yang ini dah moden ( gambar ihsan dari google )
Helikopter jenis ni selalu saja mendarat di padang dekat dengan rumah aku. Biasa sangat aku dengan kenderaan ni masa aku kecik-kecik dulu. siap boleh naik dan duduk landing di dalamnya.

Selain aktiviti hutan, aku juga turut meminati aktiviti air terutamanya mencari ikan. Sekiranya aku tak ke mana-mana pada cuti hujung minggu, pasti aku ke sungai atau ke sawah untuk mencari ikan. Aku tidak pandai menyelam untuk memanah ikan, tetapi ramai kawan aku yang mahir dengan aktiviti ini. Hasil yang diperoleh akan terus dibakar atau digoreng. Aku Cuma menjadi tukang masak di bawah rimbunan rumpun pohon buloh di tepi sungai. Semua peralatan memasak telah sedia aku bawa termasuk periuk dan beras. Selain ikan, pucuk paku juga banyak terdapat di tepi sungai untuk dijadikan lauk tambahan. Dalam kalangan rakan-rakan, aku memang terkenal dengan kehebatan memasak. Selain menggunakan kaedah menyelam untuk memanah ikan, tuba juga merupakan satu cara yang amat mudah untuk mendapatkan ikan yang banyak. Ubat tuba senang diperoleh dan dijual secara terbuka dekat sempadan Thailand. Kadang-kadang aku menggunakan renjatan eletrik untuk mendapatkan ikan. Tapi aku tidak pernah menggunakan bom ikan kerana perbuatan itu amat berbahaya walaupun aku tahu cara dan kaedah untuk menghasilkan bom ikan dengan menggunakan belerang dan racun buluh. Sayang sekali segala aktiviti aku masa aku budak-budak dulu tidak dapat dibukti atau didokumentasikan kerana kumpulan kami tiada seorang pun yang mempunyai kamera untuk dirakam segala aktiviti.
Pada musim tengkujuh, aku suka menjaring ikan dan memasang tajul. Aku cukup mahir menangkap ikan dengan cara ini. Kemahiran berenang yang aku miliki membuatkan aku bebas memasang jaring walau di tempat yang airnya dalam. Aku juga mahir mengenal pasti lubuk-lubuk ikan untuk diletakkan tajul. Untuk mendapat ikan yang banyak dan besar, biasanya aku memasang tajul di kawasan yang berpaya di dalam belukar atau hutan. Ikan keli, haruan, bujuk, dan limbat memang banyak tinggal di tempat yang macam ni, tapi awas kerana tempat begini keras sekali dan memerlukan kekuatan semangat. Binatang berbisa seperti ular katam tebu dan senduk juga banyak. Kita kena berhati-hati dan amalkan doa-doa tertentu. Pacat, lintah, nyamuk, sejuk, gatal-gatal, luka-luka kecil dan bau hanyir sudah menjadi kebiasaan buatku. Aku boleh melelapkan mata walau dalam keadaan yang basah kuyup. Minat punya pasal, segala keselesaan aku tolak tepi saja.



No comments:

Post a Comment