Friday 15 February 2013

PENGALAMAN SERAM


SIRI KISAH SERAM 1 – TOK AYAH AWANG

‘ Ringggggggggggg!!! ‘ loceng  ‘gila’ berdering panjang menandakan tamat waktu  sekolah pada hari terakhir minggu ni. Aku yang sedari awal sudah mengemas buku-buku dan alat-alat tulis masuk  ke dalam beg  mencapai beg sekolahku dan terus berlari keluar dari kelas sebaik saja cikgu Zakaria meninggalkan kelasku. Aku perlu lekas balik ke rumah sebab malam ni aku, Hadi, Mamat dan Kana ada misi yang harus disempurnakan bagi memenuhi hobi kami berempat.

Selepas balik daripada mengaji quran, kami terus membahagikan tugas. Aku dan Mamat  persiapkan 50 batang joran. Pastikan tali tasi joran tidak kusut dan berbelit-belit sesama sendiri. Aku perlu susun joran-joran tu dengan teratur dan ikat dengan kemas agar mudah untuk kami ambil dan pasang satu persatu. Hadi dan Kana ditugaskan menggali cacing gelang untuk dibuat umpan.

Selepas sembahyang asar, kami terus mencapai peralatan-peralatan yang perlu dibawa dan laju menuju ke destinasi. Lokasi kami pada kali ni ialah lubuk ikan di tengah sawah di kampung Kepala Bendang. Sebaik saja sampai, aku sangat teruja melihat tempat ni. Dalam hati aku berkata “ wah! Molek benar tempat ni, sudah tentu aku akan dapat banyak ikan”. Lubuk ikan tersebut dikelilingi oleh pokok-pokok sagu (rumbia) dan pokok mengkuang. Air lubuk tersebut agak gelap dan kehitaman sedikit. Aku yakin lubuk tersebut dihuni oleh ikan keli, toman, haruan dan tapah. Di sebelah kiri dan kanan lubuk tersebut pula terbentang luas sawah padi yang menjadi habitat kepada ikan haruan dan puyu. Memang strategik tempat ni untuk dipasang tajul. Selalunya mengikut pengalaman aku, kalau tempat yang cantik macam ni tidak kurang satu karung aku akan bawa balik hasil tangkapan untuk dijadikan lauk.

Tanpa membuang masa, Hadi terus mengatur strategi. Kami berpecah kepada dua kumpulan. Aku dan Mamat pergi pasang tajul di lubuk sebelah kanan, manakala Hadi dan Kana pasang tajul di sebelah kiri lubuk. Aku bahagian pasang umpan manakala Mamat tebas pokok-pokok renek buat laluan dan buat lapang. Aku pasang satu persatu dalam jarak dua meter  setiap satu joran. Di samping tu, dalam sawah juga aku turut pasang berselang seli. Satu jam kemudian, kami pun siap memasang semua joran yang dibawa. Aku berasa tidak sabar untuk menyusul melihat ikan-ikan yang sudah mengena. Sambil menunggu untuk melihat hasil tajul, Kana dan Mamat melastik buah-buah sagu untuk dimakan. Buah sagu rasanya manis dan amat kelat atau kelat-kelat manis. Kalau makan terlalu banyak boleh tercekik.

Sampai masanya, Hadi mengarahkan kami agar segera untuk menyusul kerana hari sudah hampir gelap. Kami menyusul secara berempat dan tidak berpecah. Satu persatu tali joran kami angkat. Yang dah habis umpan, kami bubuh semula. Untuk round pertama memang ada hasilnya. Kami dapat bawa naik 4 ekor haruan dan 1 ekor ikan keli lembut. Umpan-umpan yang dipasang juga banyak yang terusik. Tak menang tangan aku menambah kembali umpan-umpan yang sudah dikutis. Hal ini membuatkan aku yakin bahawa kami akan membawa pulang hasil yang lumayan.

Azan maghrib dari masjid di depan rumah Kak Long sudah berkumandang. Kami bergegas menunaikan solat maghrib. Kami berwudhuk menggunakan air sawah saja dan sembahyang dengan berlapikkan guni baja. Sebelum solat, kami pastikan tiada darah yang mengalir keluar dari dalam tubuh kami akibat perbuatan pacat dan lintah. Selepas semuanya selesai solat maghrib, kami makan bekalan yang dibawa untuk mengalas perut. Aku membawa sebungkus nasi berlaukkan ikan masin dan sedikit budu. Kami makan begitu berselera sekali. Sambil-sambil makan,  sempat juga aku hulurkan tangan untuk  jemput sedikit lauk dari bungkusan nasi milik Kana. Lauk dia best-best. Ada daging dan ada juga peha ayam. Mak Kana iaitu kak Kiah seorang pengusaha kedai nasi kat kampung aku. Sudah tentu bungkusan nasi milik Kana mewah dengan lauk yang lazat-lazat.

Selepas makan, kami menyusul untuk kali yang kedua. Aku dah tak sabar untuk melihat ikan-ikan yang tersangkut kat mata joran. Satu persatu kami angkat tali joran untuk melihat hasilnya tapi tidak seperti yang pertama tadi. Boleh dikatakan hampir semua tali joran kendur tapi yang peliknya semua umpan yang disangkut kat mata joran licin dan tidak bersisa. Yang tinggal hanya dawai aje. Biasanya umpan walaupun habis dikutis oleh ikan tetapi tetap ada tinggal sisa walau sedikit kat mata joran, tetapi yang ni pelik. Dahlah semua joran kehabisan umpan, licin pulak tu tak bersisa kat mata joran.  Tak menang tangan aku dan Mamat memasang kembali umpan-umpan tersebuat.

Menyusul pada  round yang kedua memang menghampakan. Seekor ikan pun tak dapat.  Aku dah mula rasa tak sedap hati kerana tidak mungkin tak dapat ikan walau seekor kerana mengikut pengalaman luas aku dalam bidang memasang tajul, kebiasaannya waktu lepas maghrib ikan-ikan begitu galak memakan umpan dan hasil memang banyak pada waktu ni. Nak kata tempat ni tak ada ikan, itu tak mungkin sebab aku yakin tempat ni adalah lubuk ikan. Sebaik saja sampai ke pondok rehat , kami berempat berpandangan sesama sendiri seolah-olah tidak percaya dengan apa yang telah terjadi. Sambil menjulang karung ikan Hadi cuba menyedapkan hati kami “ tak pe.. dia nak main kita, Jap lagi penuh la karung yang kita bawa ni dengan spesis ikan-ikan idaman kita iaitu keli lembut dan ibu bapak haruan sebesar betis.”

Setengah jam kemudian, kami menyusul lagi untuk round yang ketiga. Satu lagi kejadian pelik berlaku. Kalau tadi semua umpan licin yang tinggal cuma dawai saja, tapi kali ni semua umpan tak diusik. Setiap mata joran umpannya tak dikutis langsung. Sekali lagi kami hampa tetapi perlu banyak bersabar. Kami tak mahu berprasangka buruk dan kami anggap masih tak ada rezeki. Selepas kedengaran azan isyak, kami tanpa berlengah terus ambil wudhuk untuk menunaikan solat fardhu isyak walaupun dalam keadaan yang tidak selesa. Selesai solat isyak, kami bersembang  sambil makan kuaci. Sedang asyik bersembang tiba-tiba lalu sebuah motosikal penduduk kampung Kepala Bendang yang baru pulang dari masjid. Melihat saja kumpulan kami, pakcik tu memberhentikan motosikalnya di tepi kami.

Pakcik:   “ tahan tajul ke nak?” 

Hadi :     “ Ak ah.. ya kami tahan tajul”

Pakcik:   “ tahan kat mana?”

Hadi       “ Kat lubuk dalam pokok sagu tu”

Pakcik:   “ Laaa.. tempat tu keras sikit nak. Penduduk sini pun tak de yang berani tahan tajul kat situ. Tak de orang kasi tahu ke? Anak-anak ni anak sapa?”

Hadi:     Saya nga dia ( tunjuk kat aku ) anak Cik Soh Jabat Bukit Bertam, Ni sepupu saya ( tunjuk kat Mamat )  yang ni pula ( tunjuk kat Kana ) anak Che Hassan kedai nasi.

Pakcik :   Eh, baru jap sakni pakcik jumpa ayah kamu kat masjid. Cik Soh tak bagi tahu ke? Dia tahu tak kamu datang tahan tajul kat sini?

Hadi :   Dia tahu kami pasang tajul malam ni. Tapi ayah tak tahu kami pasang tajul kat tempat ni.

Pakcik :    “Dapat tak ikan?”

Hadi :     “ tuuu, baru dapat 4 ekor. Tu pun yang sangkut petang tadi. Yang malam ni belum dapat hasil lagi.

Pakcik: “Baiklah.. hati-hati sikit. Kalau ada apa-apa baca la 4 Qul. Jangan lupa baca ayat-ayat Kursi sekali. Hujan pun dah mula turun, pakcik balik dulu.”

Hadi: “Terima kasih pakcik “

* Dialog ni telah ditukar daripada dialek Kelantan ke bahasa standard

Sebenarnya kampung Bendang Keladi ni adalah jiran kampung aku iaitu kampung sebelah. Jadi kami pun tak tahu mana-mana tempat yang berpuaka atau tempat larangan. Tetapi kebanyakan budak di kampung ni bersekolah sama dengan budak-budak kampung aku. Sebaik saja aku tahu tempat yang aku tahan tajul ni agak keras, aku sudah mula gubra. Tapi Hadi ni jenis orang yang keras semangat. Sekali lagi dia mengarahkan kami supaya bersiap untuk menyusul buat round yang keempat.

Hujan sudah turun renyai-renyai. Bulan dan bintang langsung tidak menampakkan sinarnya akibat ruang angkasa kampung Bendang Keladi dilitupi oleh awan tebal. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 9.45 malam. Bekal-bekal sudah banyak yang luak dan yang tinggal cuma gula-gula sahaja lagi. Nyamuk dan pacat semakin mengganas mengorek dan menyedut keluar darah dari dalam badan kami melalui liang-liang roma kami. Situasi hujan renyai dan bulan gelap macam ni memang amat sesuai untuk  memasang tajul kerana ikan-ikan begitu galak memakan umpan.

Kami berjalan berpasangan menuju ke lubuk tempat kami memasang tajul. Aku berjalan beriringan dengan Hadi di hadapan.  Hadi memegang lampu picit, aku memegang tin milo yang berisi umpan, Mamat memegang karung ikan dan Kana memegang parang.  Batang tajul pertama yang kami angkat tidak membuahkan hasil. Umpan habis licin tetapi hasilnya tiada. Mamat menemaniku memasang umpan. Hadi terus berjalan ke depan mengangkat satu persatu tasi tajul.  Blup! Plop! Plop..plop..plop.. Bunyi kocakan air lubuk tak henti-henti menandakan ikan-ikan begitu banyak berada di dalamnya.

Seketika… Blup!..Blupp!.. bunyi salah satu tajul aku yang di belakang. Aku terus memanggil Hadi supaya menyuluh salah satu joran yang berhampiran dengan aku.   Sebaik cahaya lampu ditujukan kepada salah satu joran yang berbunyi kuat, kami dapat melihat dengan jelas batang joran yang tenggelam timbul di permukaan air seolah-olah ditarik oleh Haruan yang beratnya antara 2 hingga 3 kilo. Hadi terus mencapai batang joran tersebut dan cari talinya. “ cisss…. Dah terlepas” kata Hadi.  Seketika bunyi pula kat depan sana selang tiga joran. Hadi terus menuju ke tempat tu. Situasi yang sama juga berlaku. Batang joran ditarik ‘ikan’ bagai nak patah. Hadi pantas menyambar batang joran tersebut tetapi sekali lagi “ ciss.. celaka, terlepas lagi.” Tapi aku sudah rasa tak sedap hati. Umpan tak terusik langsung macamana  ikan boleh terlepas. Aku Cuma berdiam diri saja tak cakap apa-apa.

Kami berjalan lagi menuju ke depan. Tiba-tiba di belakang kami bunyi kocakan air yang agak kuat seperti ada lembaga terjun ke dalam lubuk. Jantungku berdegup kencang. Peluh dingin mula keluar dari segenap liang-liang romaku. Mulutku terkumat-kumit membaca ayat-ayat kursi. Hadi menyuluh ke arah bunyi tersebut. Kelihatan salah satu batang joran membedal-bedal permukaan lubuk seperti tersangkut ikan toman sebesar peha. Hadi cuba untuk mencapai batang joran tersebut dan mendapatkan talinya. Apabila tali diangkat naik, wah! Umpan sikitpun tidak terusik. Wajah Hadi mula berubah, dia membisikkan ke telingaku “ kita dah kena main, Jom balik sekarang”.  Tanpa berlengah lagi, kami pantas berjalan melewati batas-batas padi menuju ke tempat rehat. Sekali sekala kakiku terjerlus ke dalam petak sawah. Selipar jepunku terperosok jauh terbenam ke dalam selut. Aku biarkan selipar jepunku itu terus tertanam di dalam selut tersebut. Aku perlu cepat meninggalkan tempat berpuaka tu.

Selepas semua barang penting sudah diambil, kami terus berjalan pulang. Dalam perjalanan pulang, kami masing-masing diam membisu. Berjalan dan terus berjalan tanpa menoleh kiri dan kanan. Aku berjalan agak terkebelakang dan terhincut-hincut sebab terpaksa berkaki ayam . Kedua-dua belah selipar ku tinggalkan tertanam di dalam selut dalam petak sawah.  Perjalanan kami semakin pantas semasa melewati tanah perkuburan. Di sebelah tanah kubur  adalah tanah tinggalah arwah Pok Man Kudung yang terbair dan dipenuhi hutan-hutan renek yang mengerikan. Tidak ada rumah penduduk di kawasan ini. Sebab tulah penduduk kampong Bendang Keladi tak ramai yang berani keluar malam untuk ke pekan.

Semasa melewati tanah perkuburan tu, naluriku begitu kuat untuk menoleh ke arah satu kubur yang masih baru iaitu kubur Tok Ayah Awang dari kampung Pelain. Aku cuba sedaya-upaya menahan mukaku daripada menoleh ke arah kubur itu tetapi tidak berdaya seolah-olah ada daya tarikan graviti. Di atas pusara Tok Ayah Awang, aku seolah-olah melihat ada satu lembaga yang sedang bertafakur . Bulu tekukku mula meremang tapi aku terus berjalan tanpa mempedulikannya. Sambil langkah mengatur gerak, berkali-kali aku menoleh ke arah kubur itu dan setiap kali aku menoleh, kedudukan lembaga itu berubah-ubah. Ah, mungkin itu adalah mainan perasaan. Aku cuba memujuk hati aku sendiri.

Hati aku berasa lega apabila sudah sampai ke jalan besar. Kereta yang lalu lalang di atas jalan besar membuatkan aku tak takut lagi. Kana sudah selamat sampai ke rumahnya kerana rumah Kana berada di tepi jalan besar. Aku, Hadi dan Mamat  perlu masuk jauh ke dalam lagi melalui satu lorong jalan kampung yang sempit dan dipenuhi semak samun di kedua-dua belah sisinya kerana rumah aku berada agak jauh di pedalaman.

Tidur malam tu aku tak dapat lelapkan mata. Bukan situasi yang berlaku di lubuk yang membuatkan aku tak dapat tidur, tetapi fikiranku melayang memikirkan apakah realiti apa yang aku lihat di atas kubur tok Ayah Awang tadi. Setahu aku Tok Ayah Awang adalah dukun patah dan tukang urut yang tersohor di seluruh daerah tempat tinggal aku.

Dua tiga hari kemudian, heboh dipertuturkan oleh penduduk kampung terutamanya di kedai kopi kak Kiah mengatakan ada penduduk terserempak dengan Tok Ayah Awang merayau-rayau kat dalam kampung. Penduduk yang masih tak tahu kematian Tok Ayah Awang sempat bertegur sapa lagi dengan Tok Ayah Awang semasa mereka bertemu secara tidak sengaja. Mak Aku kata, Tok Ayah Awang ada bela hantu raya dan Halo buat pendamping. Tetapi selepas kematiannya, tidak ada keturunan yang mahu mewarisi belaan Tok Ayah Awang tersebut kerana Tok Ayah Awang tidak mempunyai isteri dan Anak. Jadi, belaan Tok Ayah Awang terbiar dan merayau-rayau. Sama ada benar atau tidak cerita orang-orang kampung dan cerita mak aku tu, aku pun tak mahu ambik kisah. Tetapi situasi yang aku hadapi dan alami itu benar-benar berlaku dan aku dapat ingat dengan jelas sampai sekarang.

Kat tengah sawah ada satu lubuk ikan tapi sayang rupanya tempat tu keras.
Kalau nak balik, mesti melalui  tanah perkuburan yang jauh daripada rumah orang

                  

No comments:

Post a Comment