Wednesday 6 May 2015

XPDC MENCANDAT SOTONG DI PERAIRAN PULAU KAPAS

Assalamualaikummm..

Mencandat Sotong.. satu nama yang sangat biasa aku dengar tetapi aktiviti ini tidak pernah aku lakukan sebelum ini. Tidak lengkap rasanya dalam kehidupan bagi seorang peminat aktiviti outdoor sekiranya aktiviti ini tidak pernah dilakukan walau sekali sepanjang dia hidup. Oleh sebab itu, aku sentiasa termimpi-mimpi suatu hari nanti aktiviti mencandat sotong ni akan hadir jua dalam hidupku.

Nah! bagai pucuk di cita ulam mendatang, orang mengantuk disorongkan bantal, akhirnya cita-citaku tertunai sudah apabila Mawa'D menjemputku untuk joint group dia pergi mencandat sotong pada cuti panjang sempena hari pekerja yang berlanjutan selama 4 hari. Hari yang sangat sesuai ini tidak bisa aku tolak kerana peluang begini tidak selalu hadir.

Kebetulan pada hari sabtu, seorang anak buahku berkahwin di Kuala Terengganu, jadi aku datang ke Kuala Terengganu atas dua tujuan. Petang ahad aku menunggu di Jeti Pulau Kapas untuk dijemput oleh Mawa'D ke jeti nelayan Marang. Pukul 4.30 petang Mawa'D tiba dengan Toyota Hilux bersama 3 orang awok-awok untuk mengambilku di Jeti. Selepas singgah sekejap di kedai runcit untuk membeli sedikit kelengkapan, kami terus bergerak ke Jeti Nelayan Marang. Di sana, kami bertemu pula dengan 3 orang lagi pencandat amatur dari Kuala Lumpur yang akan menaiki bot yang sama dengan kami. 

Segala kelengkapan perlu disediakan terutamanya tong ais untuk simpan sotong

Bergerak untuk menaiki bot

Pok Sing.. tekong berpengalaman sampai dan memberi sedikit taklimat

Inilah Pok Sing.. tekong yang bertanggungjawab memastikan XPDC kami berjaya mendapat hasil kerana kejayaan membawa naik banyak hasil bergantung kepada kebijaksanaan tekong mengenal pasti lubuk sotong

Tepat pukul 5.30 petang, bot Pok Sing meninggalkan jeti menuju ke Karang Tengah di perairan Pulau Kapas. Perjalanan ke tempat mencandat mengambil masa 2 jam setengah. Kelihatan banyak bot mencandat keluar menuju ke destinasi masing-masing. Ada Bot besar, ada bot sederhana dan ada bot kecil. Suasananya sungguh meriah.

Tersenyum meleret Pok Sing sebab bulang ni banyak mashyukkk... setiap hari ada saja pencandat yang menyewa botnya.

Pencandat Profesional, Sederhana profesional dan amatur bergambar kenangan sebelum mabuk laut

Seperti biasa, Mawa'D tanpa disuruh... terus membuat perambut untuk MatdinGunung sebab itu tugas hakiki beliau sekiranya keluar ke laut bersamaku.

Waaa... kelengkapan mencandat MatdinGunung sudah ready dikerjakan oleh Mawa'D. Thanks Wa'D. Kaulah sahabat memancingku..

Amiru dan Mat Yoe bergambar kenangan dengan penulis

Mat Yoe pun sudah ready.. simpan dulu satu joran yang dah siap.. perambut satu lagi..

Cik Lie... pencandat yang berpengalaman, sedang leka menghantar laporan untuk isteri tersayang.

Tepat pukul 7 petang.. sauh diturunkan. Pok Sing membawa kami jauh ke depan daripada bot-bot pencandat lain kerana tempat tu katanya malam tadi dapat hasil yang agak memberangsangkan. Harap-harap malam ni pun tidak menghampakan. Suasana sungguh meriah.. sekeliling perairan Pulau Kapas dipenuhi dengan deretan bot-bot pencandat seolah-olah Pasar Air. Tanpa berlengah lagi, Cik Lie, Mat Yoe, Mawa'D, Amiru dan aku terus melabuhkan mata mencandat masing-masing. Sebelum tu, Pok Seng buat sedikit demo tentang teknik mencandat dengan cara yang betul kepada pencandat yang tidak mempunyai pengalaman langsung. 

Tidak sampai 5 minit, pencandat profesional iaitu Cik Lie membuktikan bahawa dia adalah Raja Mencandat apabila berjaya menbawa naik hasil pertama. Pok Seng tersenyum lebar kerana sudah terbukti bahawa tempat itu pasti tidak menghampakan dan secara tidak langsung dia ialah Tekong yang berjaya. Saham dia akan naik...

Cik Lie membuktikan kejaguhannya mencandat

Berjaya membawa naik hasil pertama
  Kejayaan Cik Lie membawa naik hasil, membuatkan awok-awok lain semakin bersemangat. Aku juga turut bersemangat. Aku tak tahu bagaimana rasa sekiranya pancing kita sudah tersangkut hasil. Aku main belasah saja.. sekejap-sekejap aku gulung tali pancing aku. Kalau tak ada hasil.. aku lempar balik. Dua tiga kali aku berbuat demikian, akhirnya aku rasa lain sikit. Rasa berat semacam masa gulung tali naik.. rupa-rupanya ada barang... yeahhh... aku pencandat kedua yang berjaya membawa naik hasil.  Yeah, bangganyyyaaaa..

Aku pencandat kedua berjaya menaikkan hasil
Tidak lama kemudian, Mat Yoe pula berjaya membuktikan bahawa dia juga bukan calang-calang pencandat walaupun baru pertama kali merasai pengalaman mencandat.

Hasil pertama daripada Mat Yoe.. 
Mawa'D mula gelisah kerana sebagai pemancing profesional.. dia masih belum berjaya merasa menaikkan sotong. Sedangkan aku sudah masuk sotong yang kedua berjaya dibawa naik. Begitu juga Mat Yoe dan Amiru yang masing-masing berjaya membawa naik hasil seterusnya. Pok Liee.. lagi laaa.. dah dekat lima ekor dah hasil yang dia dapat. Berkat doa dan kesabaran, akhirnya Mawa'D juga berjaya membawa naik hasil idamannya..

Hasil pertama Mawa'D.. terserlah wajah keceriaannya
 Aku masih lagi tidak menang tangan apabila membawa hasil seterusnya..

Mat Yoe lagiii...

Giliran aku pulakkk...

Sotong ni pelek sikit rupanya.. hasil air tangan Mawa'D

Sotong merah..

Mat Yoe lagii..

Aku lagiii...

Nah.. hasil daripada raja mencandat.. Pangjanggggg..

Pukul 11.30 malam.. dah hampir sekerat cooleman

Hasil terbaik setakat ini... panjanggg. Lagi dekat nak pagi, lagi galak sotong menarik umpan


Semakin lama.. semakin banyak yang dapat hasil gabungan tenaga kami berlima


Pukul 2 pagi, aku dah tak boleh tahan.. Mawa'D sudah lama mendengkur. Rupa-rupanya ubat tahan mabuk laut yang Mawa'D kasi sebelum naik bot tu membuatkan kita rasa mengantuk. Aku mula merebahkan badan. Alunan ombak semakin mengganas, aku mula rasa pening dan mual tapi aku tahan. Mat Yoe juga sudah mula pening dan mla merebahkan badan. Tekong bot masak nasi untuk kami tapi sayangnya lauk tak sempat masak sebab gas memasak sudah kehabisan. Pencandat dari Kuala Lumpur yang tiga orang tu dah mula bising sebab lapar. Minta Pok Sing bawa pulang ke Jeti untuk membeli makanan.. 

Uishhh... 2 jam setengah balik.. kemudian 2 jam setengah nak datang semula memang tak masuk akal. Rugiiii.. Apa laaa... roti ada.. kek ada.. belasah tu je laaa.. Pembantu Pok Sing geleng kepala melayan karenah pencandat jemputan. Malas nak bising-bising, Pok Sing telefon kawan dia tanya takut-takut ada gas lebih. Perghhh... rezeki. Kawan Pok sing suruh cari bot dia di Karang Barat untuk transfer dapur dan tong gas. Dengan kemahiran Pok Sing, akhirnya bot kawannya dijumpai. Proses transfer peralatan memasak memerlukan kemahiran tinggi kerana laut bergelombang. 

Selepas mendapat tong gas dan dapur.. Pok Sing melabuhkan sauh berhampiran dengan bot kawannya itu. Pembantu Pok Sing masak kari sotong untuk dibuat lauk. Memang enak sekali makan sotong fresh yang dimasak kari. Aku ratah lauk ajerrr...

Selepas meratah lauk.. aku tertidur sambil memegang batang joranku. Dalam pukul empat pagi, aku tersedar apabila mata pancingku ditarik kuat. Aku cuba melawan tarikan tetapi tidak berdaya kerana kepalaku mula pening. Aku termuntah ke dalam laut keluar berbotol-botol air mineral dalam perutku. Akhirnya aku tertewasssss... Bot Pok Sing yang tidak sebesar mana, tidak berupaya melawan ombak yang ganas. Melantun-lantun dibuatnya sejak petang tadi. Tanpa jaket keselamatan, aku hanya bertawakal. Aku tengok Pok Sing dan pembantunya cukup releks dan steady. 

Selepas sekali aku keluarkan isi perut, badanku kembali bertenaga. Dapat meneruskan operasi mencandat dan berjaya membawa naik dua ekor sotong lagi. Tidak lama kemudian, mata candatku lekat di unjang. Mat Yoe tolong tarik tetapi malang sekali talinya terputus. Aku tak ada mata spare.. aku tak dapat mencandat lagi. Aku pun menyambung kembali tidurku. Mawa'D terus tertewas.. tidur tak bangun-bangun sampai hari siang.  

Selepas sembahyang subuh.. Pok Sin mengangkat sauh. Dia perlu balik segera sebab malam nanti akan membawa satu kumpulan pencandat amatur lagi. Dalam perjalanan pulang, Bot Pok Sing mati. Sambil dia membetulkan enjin bot, kami mengambil kesempatan untuk memancing ikan kerisi... waaaa.. Lagi seronok. Sekejap jer mancing, sudah dapat beberapa ekor. Mat Yoe tak henti-henti membawa naik kerisi. Mawa'D juga tak mahu kalah, juga berjaya membawa naik kerisi. Umpan yang digunakan untuk memancing kerisi ialah rambut sotong yang dikerat pendek-pendek.

Dua ekor sekali buat naik

Wowwww!!!!

Sekejap jerrr.. dah sepuluh ekor dapat

Bersiap untuk balik


Mat Yoe membawa bahan bukti.. lebih 60 ekor dan lebih kurang 35 kilogram semuanya hasil kami berlima dapat.


Memang seronok mencandat sotong. Berbaloi-baloi datang. Kalau sesiapa yang tak pernah mencandat.. baik cuba sekali. Kalau ada rezeki.. memang lumayan. Kalau nasib baik, kita akan terjumpa lubang sotong.. perghhh... tekong kata, kalau terjumpa lubang sotong, boleh hasil bertong-tong sebab sotong ni dia berkawan. Dalam kumpulan aku, Cik Lie yang paling hebat.. banyak hasil datangnya daripada mata candat kepunyaannya.

Itu saja coretan aku tentang XPDC mencandat kali ni. Aku tak boleh karang ayat panjang-panjang sebab banyak kerja yang nak dibuat. Kalau ada peluang, In Shaa Allah.. tahun depan aku nak gi lagi.

2 comments:

  1. Best nye bos. Tapi gambar tu bakpo banyk hok kelabu...?

    ReplyDelete
  2. Tera la gi skali.. braso nok gi pulop. Gambar hok klabu ambik dengan telepong.

    ReplyDelete