Tuesday 21 February 2012

XPDC MENAKLUK PUNCAK GUNUNG KINABALU


Selepas Berjaya menakluk puncak gunung Ledang, aku sudah mula jatuh cinta dengan aktiviti hiking. Maka nafsu untuk aku mendaki gunung lain sudah mula sukar untuk dibendung. Pada bulan march 2009, kawanku mempelawa aku untuk mengikuti rombongan pelajar sekolahnya menawan puncak gunung Kinabalu. Pelawaan ini tidak mampu aku tolak walaupun menelan kos yang agak tinggi. Sering terbayang di ruang mataku akan keseronokan mendaki gunung yang tertinggi di Malaysia ini walaupun aku masih cetek dengan pengalaman mendaki. Sebagai persediaan, aku Cuma berlari 3 kali dalam seminggu. Oleh sebab bidang pendakian merupakan satu aktiviti yang baru aku ceburi, maka banyak peralatan mendaki masih tidak aku miliki. Aku telah membeli sepasang kasut hiking janama Adidas manakala beg hiking Deuter aku cuma pinjam daripada kawanku. Pengalaman mendaki gunung Kinabalu memang tidak dapat aku lupakan. Rombongan kami di tempatkan di pusat Kurikulum Negeri Sabah di Kota Kinabalu. Kami bersarapan dengan nasi lemak sebelum bertolak ke Kundasang. Sampai di Kundasang, kami mendaftar diri di Pusat Perhilitan Taman Kinabalu. Di situ, aku berasa ada sesuatu yang tak kena dengan perutku. Meragam semacam aje. Hampir 25 orang ahli rombongan mengalami cirit birit. Mungkin penyediaan makanan yang kotor oleh mak cik yang diamanahkan untuk menyediakan serapan pagi kepada rombongan kami. Keadaan menjadi semakin huru-hara apabila kami terpaksa berkongsi dua tandas sedangkan orang yang ingin menggunakan tandas tersebut begitu ramai sekali. Keadaan lebih menyulitkan apabila air di dalam tandas pula tiada. Jadi, kami tepaksa membawa air mineral sendiri yang sepatutnya digunakan semasa mendaki. Belum lagi mula mendaki, sudah tiga botol air mineral yang besar telah habis kerana tiga kali berulang-alik ke tandas. Semasa berada di Timpohon, sekali lagi peruk aku memulas-mulas. Nasib baik kat situ disediakan tandas. Awal-awal lagi aku sudah mula kehilangan tenaga kerana terlalu kerap membuang air. Namun, pendakian mesti diteruskan walau apa yang berlaku. Pendakianku sentiasa terbantut kerana rasa sakit perut tak juga lenyap. Nasib baik setiap kilometer disediakan tandas tetapi yang menjadi masalah airnya terlalu sejuk macam air batu. Mengiggil punggung aku. Ada seorang pelajar yang hampir pitam menahan rasa nak terberak lalu aku mengarahkan dia cepat mendaki ke check point seterusnya kerana setiap check point ada tandas. Aku cukup faham masalah yang dihadapinya, sebab itu aku sanggup memikul begnya walaupun aku sendiripun sudah tak berdaya.
Alhamdulillah.. penyakitku sudah beransur hilang apabila semasa pendakianku sudah sampai separuh gunung. Aku tercunggap-cunggap keletihan kerana telah kehilangan banyak mineral dalam badan. Aku cukup hairan apabila melihat budak-budak kadazan dusun yang baru berumur 7 atau 8 tahun tetapi sungguh bertenaga membawa barang pelanggan. Dari raut wajah mereka tidak sedikitpun menunjukkan keletihan, malahan sempat bergurau senda bersama rakan-rakannya. Tepat pukul 5.30 petang aku akhirnya sampai ke Laban Rata dalam keadaan yang basah kuyup. Sebaik sampai, aku terus ke kafetaria untuk makan sepuas-puasnya dan kena minuman panas. Selepas solat fardhu asar, aku di tempatkan di dalam kabin. Cuaca pada masa itu sangat sejuk sekali. Setiap kali bercakap, akan keluar kepulan asap dari mulut. Terasa seolah-olah berada di Moscow. Aku juga diiringi oleh hujan sepanjang pendakian. Hal ini merupakan satu pengalaman baru buatku kerana cuaca yang extreme ini tidak pernah aku rasai sebelum ini.
Tepat pukul 2 pagi, aku dikejutkan untuk membuat persediaan mendaki naik ke puncak. Aku mengalas perut dengan memasak Maggie Mi dan secawan kopi panas. Selepas membuat sedikit senaman regangan, kami mula bergerak naik. Cuaca semasa aku mendaki ke puncak begitu baik sekali. Bintang-bintang bertaburan menghiasi langit dan bulan juga terang-benderang seakan-akan purnama. Cuaca pada malam ini sungguh berbeza sekali dengan hari semalam kerana pasukan kawanku dari SMK Bukit Jelutung mengalami keadaan yang sukar apabila kabus tebal beserta angin yang agak kencang mengiringi pendakian mereka. Angin sejuk sepoi-sepoi bahasa menyapa mukaku di sepanjang aku mengatur langkah naik ke puncak begitu mendamaikan sekali. Walaupun tahap oksigen sudah semakin menipis tetapi aku tidak terasa letih. Mungkin disebabkan badan aku sudah cukup sihat.
Aku sampai ke puncak tepat pukul 4.50 pagi. Pada masa itu pendaki lain masih belum sampai jadi aku diberi lebih lama masa untuk bersantai di puncak. Keadaan ini memberi kesempatan untuk aku merakam sebanyak mungkin gambar matahari naik yang sungguh mempesona. Setiap minit matahari naik sempat aku rakam untuk koleksi. Itulah kepuasan yang tidak terhingga yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Otak aku benar-benar fresh menikmati keindahan alam dan kebesaran kejadian tuhan dari puncak gunung tertinggi di Malaysia. Pada masa dan saat itu, akulah manusia yang berada paling tinggi sekali di Malaysia. Segala beban tugas dan apa-apa masalah aku buang jauh-jauh. Kini.. baru aku sedar betapa orang kaki gunung memang GILA mendaki gunung. Sekarang aku pun sudah mahu menjadi sebahagian daripada mereka. Kalau ada peluang sekali lagi, Insya-Allah, PUNCAK GUNUNG KINABALU akan aku pijak lagi.
Bersedia untuk memulakan pendakian

Posing dulu

Bersedia untuk mendaki ke puncak

Bergambar kenangan dengan pendaki dari Jerman

Pendaki lain tengah naik, aku sudah dalam perjalanan turun






Hamparan batu batan yang terbentang luas


Bagai berada di atas kapal terbang



Salah satu gambar yang indah sempat aku shoot dengan kamera kompak aku

Bergambar kenangan di puncak

Masuk surat khabar juga akhirnya


1 comment: