Thursday 24 October 2013

REFLEKSI TENTANG KOLEKSI PENGALAMAN UNTUK DIKONGSI


Assalamualaikum.. harap kalian sudah habis baca kisah hidup aku dari EPISOD 1 sehingga EPISOD 6. Dari situ kita boleh buat kesimpulan apakah kisah hidup aku hanya sekadar retorik biasa untuk hiburan murahan yang sekadar memenuhi ruang entri blog MATDINGUNUNG atau banyak manfaat yang terkandung di dalamnya buat pembaca.

Hari tu kat dalam kereta, masa aku dalam perjalanan nak hantar anak pegi mengaji Quran, bini aku sound aku " Abang, saya ada baca kisah yang abang tulis dalam blog abang. Eee... tak kah apa yang abang tulis dan dedahkan untuk bacaan umum tu secara tidak langsung telah mendedahkan abang seorang budak jahat?" Takah itu membuka keaiban diri abang seolah-olah membuka pekung di dada sendiri?"

 Aku jawab, " baguslah kalau awak baca, nanti baca rumusannya sekali agar awak faham dan jelas apa matlamat atau mesej yang ingin disampaikan "

Rumusannya mudah saja bagi aku. Ok, terlebih dahulu aku ucapkan terima kasih kepada isteri aku tu atas pandangan beliau dan aku hormati pendapat beliau. Walau bagaimanapun, aku melihat dalam skop yang lebih luas dari sudut yang berbeza.Tujuan aku mendedahkan pengalaman aku ini bukan untuk memenuhi tuntutan pembaca yang perlukan hiburan santai atau sekadar mengisi entri blog aku atau ingin berlagak untuk tunjukkan pada orang bahawa aku pernah jadi budak nakal suatu masa lalu. Tapi aku berfikir di luar kotak pemikiran malah labih jauh daripada itu.

Selari dengan kata-kata keramat aku kat front page utama blog aku 'PENGALAMAN PERLU DICARI, BUKAN BOLEH DIBELI' Aku begitu bersusah payah mencari dan mengumpul pengalaman dan pengalaman itu datang dengan sendiri tanpa disengajakan. Itulah pengalaman yang semahal-mahalnya dalam hidup kita. Berdasarkan pengalaman kita boleh service hidup kita ke arah yang lebih baik. Pengalaman ni sama seperti sejarah. Memetik kata-kata George Santanluya " Sejarah akan tetap berulang  lagi sekiranya kita tidak sedar akan kesilapan diri yang lalu". Itu sudah jelas menunjukkan pengalaman lalu yang sudah menjadi satu sejarah, memberi pedoman untuk kita memandu hidup kita dan generasi kita pada masa akan datang supaya lebih berhati-hati dan berwaspada. Kata orang tua-tua "Yang baik jadikan TAULADAN, yang buruk jadikan SEMPADAN". 

Mahatma Gandhi ada mengatakan " Guru yang terbaik adalah PENGALAMAN". Maknanya kita boleh belajar sesuatu itu berdasarkan pengalaman. Ada juga satu madah yang berbunyi " PENGALAMAN adalah sekolah yang setinggi-tingginya ". Itupun sudah jelas menunjukkan kepada kita bahawa pengalaman itu banyak membantu kita mengubah kehidupan dan pengalaman orang lain juga boleh memberi manfaat kepada orang lain.

Sejujurnya aku mengaku bahawa aku bahagia dengan apa yang aku lalui sebelum ini. Pengalaman yang telah aku lalui membuatkan aku lebih matang dan lebih berani untuk berhadapan dengan segala risiko dan cabaran hidup. Anak-anak yang baik akan kutip pengalaman hidup aku itu untuk diadun dan dijadikan pedoman hidup bagi mendepani arus globalisasi. Buat anak-anakku, Jangan cepat menghukum abah dengan pendedahan ini, Janganlah kutip kesilapan abah yang lalu, tetapi ambillah yang baik-baik. Yang jahat, yang nakal, yang pelik, yang jelek abah telah buang jauh-jauh. Buang yang keruh dan ambil yang jernih. Kata orang "Berpahit-pahit dahulu supaya manis dikemudian hari".

Okeylah.. nasihat aku kepada muda- mudi khususnya anak-anak aku kalau mereka baca kisah hidup aku pabila mereka di alam dewasa nanti..ni aku nak aplikasi pengalaman aku dengan kehidupan, kejayaan dan amalan aku hari ini.

1 ) CUBALAH HIDUP BERDIKARI, Jangan sekali-kali menyusahkan orang lain. Biarlah kita banyak membantu orang lain dan jangan mengharap untuk kita kembali dibantu. Hidup kita kena banyak memberi, bukannya banyak meminta-minta. Jangan cuba nak hidup senang dengan rezeki yang ditaja oleh orang lain sebaliknya carilah sendiri rezeki untuk kita supaya kita mampu membina kehidupan kita dengan sempurna dan mampu menghadapi cabaran dan rintangan. Kalau ibu bapa kita kaya sekalipun, jangan harapkan kekayaan mereka untuk kita sewenang-wenang menggunakan rezeki yang mereka cari dengan hasil titik peluh mereka. Budak-budak sekarang, lepas sekolah masih tidur bangun kat rumah. Kerja malas, bangun tidur terus nak makan. Lepas makan minta mak bapa duit belanja untuk beli topup, beli rokok, beli kain baju dan beli itu, beli ini. Bila kahwin mak bapak semua yang tanggung. Bila dapat anak, masih lagi mak ayah jaga cucu dia. Beli pampers untuk anak sendiri, beli susu untuk anak sendiri. 
TAPI AKU.. Selepas sekolah terus keluar cari kerja untuk hidup berdikari. Walau ayah aku orang berduit, tapi sangat jarang minta dengan dia. Cuba untuk hidup dengan cara aku sendiri. Cuba rasa keperitan nak hidup. Masa belajar kat universiti, aku jarang minta ayah aku masukkan duit sebaliknya aku cari sendiri. Aku buat kerja sampingan jadi KD kat padang golf Hyatt Saujana. Kadang-kadang aku ambil upah pasang komputer dan install software. Masa aku kahwin, duit belanja aku cari sendiri tapi ayah aku bagi sedikit sebagai sedekah. Lepas kahwin terus bawa isteri jauh dengan ibu ayah, hidup berdikari. Dapat anak, aku jaga sendiri anak aku walau masih merah, aku mandikan dan basuh berak anak aku sendiri tak harapkan ibu aku pun. Bini aku yang dalam pantang aku jaga sendiri.

2 ) BERKAWAN BIAR BETUL. Kita jangan tertipu dengan persekitaran, jadilah seperti ikan di dalam laut, walau berada di dalam air yang masin tetapi daging isinya tetap tawar. Kita kena bijak memilih kawan. Pengaruh kawan adalah yang paling hebat boleh menggoyah keimanan kita. Kata orang, " berkawan dengan si penjual bunga dapatlah tempias harumnya, berkawan dengan si penjual arang dapat tempias hitamnya". Dalam hidup kita mesti ada pendirian, kalau sesuatu yang boleh mendatangkan musibah kepada kita, cuba kita lari. Jangan kita jadi bodoh. Ramai muda-mudi sekarang yang rosak akhlaknya dan jahanam hidupnya sebab terkena pengaruh kawan. 
TAPI AKU.. aku sebenarnya tidak kata tidak terpengaruh langsung dengan kawan tetapi aku cuba kawal diri agar apa yang aku ikut itu sama ada baik atau tidak untuk diri, keluarga  dan pegangan agama aku. Kalau sesuatu perilaku yang nak mengoyahkan keimanan, cuba elakkan walau kawan kita cuba pujuk untuk kita lakukan. Bukan aku tidak buat sesuatu perkara yang bertentangan dengan adat dan ajaran agama sebab akupun manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan sebarang dosa tetapi JAHAT dan NAKAL dua persepsi yang berbeza. Mungkin aku budak NAKAL bukan budak JAHAT.Ramai dalam kalangan geng-geng aku penagih dadah bahkan sudah ada beberapa orang yang sudah meninggal dunia kerana dadah tetapi aku tidak pernah menghisap dan mencuba untuk menghisap dadah walau aku sentiasa berada dalam kalangan mereka kerana aku tahu perbuatan itu bakal menjahanamkan hidup aku. Bahkan aku cuba menasihati rakan aku supaya tinggalkan perbuatan itu.

3) HORMATI IBU BAPA DAN GURU. Memang ini senjata utama untuk kita hidup bahagia dan diberkati dunia akhirat. Kalau ibu kita berleter janganlah kita tunjukkan sikap tidak senang atau tunjukkan sikap kurang ajar tetapi jadilah pendengar yang setia. Berlaku biadap terhadap ibu bapa amat ditegah bukan saja dalam agama kita bahkan agama lain pun turut sama menegahnya. Ibu bapa adalah kunci keberkatan hidup kita. Janganlah kita jadikan ibu bapa kita sebagai hamba kepada kita. Cuba minimakan penggunaan tenaga mereka semasa membesarkan kita. Jagalah hati dan perasaan mereka. Tolonglah mereka walau tanpa disuruh. Pegang tangan mereka seperti mereka pegang tangan kita dulu, cium pipi mereka seperti mereka cium pipi kita dulu. Picit kepala atau urut betis mereka kerana perbuatan itu satu terapi yang paling ampuh bagi ibu bapa sekiranya anak-anak mampu melakukan begitu. Begitu juga guru, guru adalah gedung ilmu buat kita. Hormati mereka membuatkan ilmu yang kita dapat itu menjadi berkat. Ramai anak murid sekarang suka mempermain-mainkan guru dan selalu berlaku biadap terhadap guru.
TAPI AKU.. aku sangat menghormati ibu bapa aku. Kalau ibu aku berleter, aku tidak pernah bersuara. Aku cuma tunduk saja. Biasanya semasa makan ibu aku akan berleter kalau dia ada sesuatu yang tak puas hati terhadap aku. Aku menjadi pendengar yang setia dan apa yang ibu aku leteri pasti ada pengajarannya. Aku sentiasa minta ampun dan maaf dengan ibu aku bukan saja hari raya, bahkan hari-hari lain juga. Suruhlah ibu bapa kita sentiasa doakan untuk kebahagiaan dan kejayaan kita kerana doa ibu adalah yang paling mustajab. Sama juga dengan cikgu aku dulu, aku sangat hormati mereka dan aku yakin ilmu yang kita dapat akan bertambah berkat kalau cikgu redha memberinya dan kita ikhlas menerimanya.

4) JANGAN MEMANDANG HINA KEPADA ORANG LAIN. Orang kata rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Dalam dunia ni tuhan telah cipta manusia dalam keadaan yang berbagai-bagai. Ada yang cantik dan ada yang hodoh. Ada yang kaya dan ada yang miskin. Ada yang baik dan ada yang jahat. Kalau kita rasa sempurna, mungkin labih ramai lagi yang jauh lebih sempurna daripada kita. Kalau kita rasa kaya, ramai lagi yang kaya lebih daripada kita dan kalau kita rasa susah mungkin lebih ramai lagi yang jauh lebih susah daripada kita. Oleh sebab itu, bersyukurlah dengan apa yang diberikan kepada kita. Kalau kita ada sedikit rezeki, jangan kedekut untuk berkongsi rezeki kita tu dengan orang yang tidak bernasib baik. Kalau ada orang yang meminta tolong kepada kita, bantulah ia. Mungkin dia betul-betul memerlukan pertolongan. Kalau orang minta sedikit wang daripada kita, berilah.. mungkin dia dalam kesempitan. Kalau kita menjadi pemimpin suatu masa nanti, bantulah marhaen bawahan kerana kehidupan mereka sangat sukar. Jangan kita ego kalau kedudukan kita lebih sedikit daripada orang lain.
AKU... semasa menjadi gelandangan dulu memasang angan-angan akan bantu orang-orang yang susah sekiranya aku kaya atau aku menjadi seorang pemimpin kerana aku tidak sanggup melihat orang yang hidupnya merempat. Hidup dalam kelaparan memang menyeksakan. Sakit tanpa mendapat rawatan juga amat menyeksakan. Itu semua telah memberi keinsafan kepada aku kerana aku pernah alami dan lalui situasi sedemikian.

5)  TAAT PADA AGAMA. Dosa dan pahala adalah sesuatu yang subjektif. Kita tidak tahu sama ada amalan baik yang kita lakukan itu diterima atau tidak oleh Allah. Banyak kisah para sahabat dan ambia dulu yang tuhan tidak terima amalannya oleb sebab sedikit saja kesalahan yang dilakukan. Begitu juga dengan kisah seorang pelacur yang dimuliakan dengan hanya memberi anjing minum air. Dalam hidup kita, sembahyang adalah tiang agama. Maka sembahyanglah kita walau dalam keadaan mana sekalipun. Kerja penat, kerja kotor dan sebagainya bukan satu tiket untuk kita tinggal sembahyang atau tinggal puasa. Sembahyang boleh mencegah kita daripada melakukan perbuatan mungkar. Orang yang tak sembahyang, sukar mendapat rezeki yang berkat.
AKU.. walau dalam keadaan mana akan cari tempat untuk sembahyang. Aku rasa sangat bersalah kalau tidak menunaikan sembahyang. Walau hidup aku  dikelilingi dengan orang yang tak sembahyang, tapi sedikitpun aku tidak terpengaruh dengan mereka. Walau aku sudah terpengaruh dengan budaya barat, tapi sembahyang tetap aku tunaikan. Bagi aku, sembahyang tidak ketinggalan zaman bahkan sembahyang adalah releven dulu, kini dan selamanya.

6) CARILAH ILMU. Mencari ilmu ni ada banyak cabang. Ilmu yang kita dapat juga datangnya dari pelbagai. Ada yang dapat secara formal dan ada yang dapat secara tidak formal. Mencari ilmu ini tiada tepinya. Kalau ada peluang belajar, belajarlah bersungguh-sungguh. tak payah nak susah dulu baru nak mula speed. Tak payah buat macam aku, berfoya-foya dulu kemudian barulah nak mulakan hidup baru. Kalau macam aku ni kira bernasib baik sebab sempat sedar daripada lena, aku takut tak sedar-sedar sampai tua. Hidup tanpa pelajaran, kita akan nampak bodoh. selain tu, kita mudah ditipu dan yang paling penting kita mudah terpengaruh dengan anasir jahat kerana kita tidak mampu berfikir tentang kewarasan tindak tanduk kita. Cuba kita tengok orang yang berjaya, rata-rata latar belakang mereka adalah dalam kalangan orang yang berilmu. Di sekolah sentiasa duduk di kelas depan, belajar di sekolah berasrama penuh, keputusan peperiksaan sentiasa cemerlang, masuk universiti ambil course yang power-power bahkan ada yang belajar di luar negara. Apabila bekerja nanti, sudah tentu gaji berpuluh ribu sebulan. Tidakkah terbukti bahawa ilmu itu boleh mengubah kehidupan seseorang.
AKU.. memang mulanya aku tidak berilmu. Kat sekolah malas belajar. Fikiran asyik nak kerja saja. Kerja bodoh-bodoh pun tak pe asalkan dapat duit.Tapi bila aku tahu hidup tanpa ilmu ni tak kan ke mana dan dipandang hina oleh masyarakat, sebab tu lah kelam kabut nak cari ilmu semula. nasib baik masih belum terlambat walau hakikat sebenar sudah terlambat. Tak pe, cari pengalaman susah dulu ibarat kata " payah-payah dilabung ombak, akhirnya tercapai juga tanah tepi" Maksudnya setelah beberapa lama menanggung susah, akhirnya tercapai juga cita-cita. Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.

7) JANGAN SEGAN UNTUK BERUBAH. Kadang-kadang bila tiba masa untuk kita bernekad untuk berubah, akan ada halangan dan cabaran yang boleh mematahkan semangat kita. Oleh itu, kita mesti pasang tekad dan memerlukan kekuatan mental untuk kita hadapi segala dugaan dan godaan. Syaitan selalunya akan memberi bisikan supaya kita terus kekal dengan melakukan kesilapan dan hidup selesa dengan kesilapan yang kita amalkan. Jangan bagi nafsu amarah kita itu menguasai diri kita. Cubalah menentang segala kemungkaran yang sering kita lakukan dengan amalan-amalan murni yang boleh kita praktikkan supaya lambat laun hati kita menjadi lembut seterusnya boleh mengubah iklim kehidupan kita seharian. Kerja yang baik jangan bertangguh. Buatlah sebelum kita menyesal dikemudian hari. 
AKU juga turut pasang nekad untuk berubah sebelum hanyut lebih jauh. 

8) SABAR.  Anggaplah segala musibah yang berlaku ke atas diri kita itu sebagai ujian daripada Allah. Segala ujian yang kita hadapi mesti kena SABAR menerimanya. Begitu juga dengan ibu bapa, mereka kena sabar melayan karenah anak-anak. Kalau nak marah sekalipun, cuba kawal mulut. Elakkan memaki hamun anak-anak. Ibu aku kalau dia nak marah kat aku, dia akan menyebut " bertuah punya anak". Ajar anak guna saikologi bukan dengan kekerasan. Berdoa dan bertawakal tanpa jemu itu adalah semulia-mulia amalan dalam menangani anak bermasalah. Lambat laun hati anak akan lembut dan menyesal atas tindak-tanduknya dulu.
AKU.. terlalu banyak bersabar apabila menghadapi ujian dan dugaan dari Allah. Terima ujian dengan redha dan bersyukur apabila dapat keluar daripada segala masalah.

9) BERANI. Kita kena berani berhadapan dengan risiko dan cabaran hidup. Usahlah kita menyalahkan takdir sekiranya tidak mendapat apa yang kita inginkan. Hidup kita tidak selalunya indah, ada kalanya akan hadir sesuatu musibah untuk menguji dan boleh menggoyahkan keimanan kita. Oleh sebab itu, kita kena berani menghadapinya. Anggaplah segala musibah yang berlaku itu sebagai mainan hidup yang semua orang tidak boleh lari daripadanya.
AKU.. tak kisah pun apa cabaran dan ujian yang datang. Lebih banyak cabaran mendatang, lebih manis rasanya kehidupan ini. Lawan dulu segala ujian sebelum kita mengalah dan seeloknya jangan mengalah. Kuatkan semangat, pasang tekad. Maju terus maju.

10) BERSYUKUR. Bersyukurlah dengan apa yang telah tuhan berikan kepada kita. Rezeki yang sedikit, kita perlu bersyukur menerimanya. Masalah yang terlerai, kita kena bersyukur menikmatinya. Tidak semua orang boleh menikmati kehidupan dengan aman dan tenteram. Langit tidak selalunya cerah, ada kalanya ada awan yang melindungi sinar. Oleh itu, bersyukurkah kita seadanya. Anggaplah kita ini jauh lebih bernasib baik berbanding orang lain yang masih terlalu ramai yang tidak bernasib baik di sekeliling kita. 
AKU.. memang sangat bersyukur tak kira masa. Hari ini tuhan dah bagi aku banyak senang dan selesa hidup bersama keluarga tercinta.  

Nah, nak cakap apa lagi.. elemen-elemen yang aku huraikan tu semuanya diadun dan diadaptasi daripada pengalaman-pengalaman aku yang lalu. Semasa aku belajar kat universiti, banyak kajian ikut serta yang aku buat sendiri. Itu semua kerana pengalaman aku yang membuatkan aku berani dan berkeyakinan. Rujuk Entri aku Pengalaman manis menjadi student Universiti. Dan, suatu masa nanti.. MUNGKIN..MUNGKINLAAA..sebab umur aku pun tak tua sangat lagi. Cita-cita aku pun masih belum bernoktah. Ibu aku pun masih sihat walau sudah berusia. InsayaAllah.. beliau masih mampu mendoakan untuk aku lagi. Seandainya..aku sambung pengajian aku sehingga ke peringkat PHD dan kajian turut serta juga akan aku praktikkan. Aku tak mahu ceduk hasil kajian orang lain kerana aku sendiri mampu membuat kajian sendiri. Bukan nak takbur tapi itu lah aku.. berani menghadapi cabaran dan berani menanggung risiko kerana aku ada pengalaman. Kepuasan hasil usaha sendiri jauh lebih hebat daripada kepuasan kita menceduk hasil orang lain. Sebab tu aku kata kita mesti banyak memberi, bukan banyak menerima. Kalau orang inginkan idea kita itu OK, tak de masalah. Perkongsian ilmu itu kan lebih baik. Orang baca idea kita, orang praktikkan dan memberi manfaat kepada orang lain itukan bagus. sekurang-kurangnya kita pun dapat pahala. Tengok saja entri-entri dalam blog aku, mana aku nak ceduk idea orang lain. Semuanya original datang dari dalam kepala aku sendiri. Tidak pauk dan tampal daripada idea dan blog orang lain atau dapatkan dari google. Sebab aku mampu mengarang sendiri. Biarlah apa cerita pun, aku duduk depan komputer dan jari-jemari aku terus menaip tanpa henti dan tanpa adanya apa-apa rujukan. Idea itu datangnya dari Allah. Kalau ada orang minta izin nak pauk entri aku masuk dalam blog dia, ambilllahh, buatlah,, tak yah minta izin pun tak pe sebab kalau boleh aku nak menyumbang. Tak kira apa pun asal boleh disumbang. Tak mampu menyumbang wang ringgit, menyumbang idea pun tak pe.

Okeylah.. sampai sini saja ulasan dan rumusan aku bagi menangkis apa yang isteri aku kata. Itu pendapat aku, Kalau ada orang yang tak setuju dengan pendapat aku.. terpulanglahhh. aku terima dengan hati yang terbuka. 
Sekian terima kasih terutamanya yang setia membaca kisah hidup aku dari episod 1 sehingga ke episod yang terakhir. Andai kisah aku terdapat banyak pengajaran yang boleh dikongsi, pauklah masuk dalam blog kalian. Kalau tak de blog, pauk share dengan FB.
Assalamualaikummmmmm..

No comments:

Post a Comment