Sunday 5 July 2015

MATDIN GUNUNG VS MALIM GUNUNG


Assalamualaikum.. sedar tak sedar, sudah hampir satu purnama lamanya hamba tidak sumbat entri baru dalam blog hamba yang dangkal ini. Entah kenapa.. kemalasan menulis hamba sejak dua menjak ini begitu menjelekkan sekali. Hal ini mungkin disebabkan oleh otak hamba yang tepu untuk berfikir dek terpaksa menulis banyak kata alu-aluan dan teks ucapan VVIP untuk dimuatkan dalam buku aturcara atau buku program tempat hamba bertugas. Oleh sebab.. hamba tak mahu melihat blog hamba yang hamba telah 'create' sejak beberapa purnama dahulu kala suram dan mungkin terkubur dek tidak masuk entri baru, maka hamba gagahkan jua untuk berkarya seadanya dengan cara hamba sendiri.

Persoalannya.. apa kaitan MATDIN GUNUNG dan MALIM GUNUNG ?.  Ah! tak ada kaitan langsung sebenarnya. Kebetulan nama saja hampir sama bunyi sebutannya. Walau bagaimanapun, ada persamaan sedikit dengan minat dan kecenderungan terhadap gunung. 

MATDIN GUNUNG merujuk kepada seorang individu yang amat meminati aktiviti outdoor seperti mendaki gunung, mendaki bukit, masuk hutan dan meneroka hutan, lombong, tasik, danau, sungai dan laut. MALIM GUNUNG pula secara teorinya merujuk kepada seseorang yang sangat arif tentang selok belok gunung seterusnya layak untuk diiktiraf sebagai pemandu arah, mentor, tenaga pengajar, pembawa barang kepada pendaki dan yang menjaga kawasan gunung. ( Teori cipta sendiri ikut sedap rasa. Tidak ada istilah ini di dalam Kamus Dewan ) 

Sesungguhnya tanggungjawab yang dipikul oleh MALIM GUNUNG amat besar dalam memastikan keselamatan para pendaki bahkan turut bertanggungjawab dalam memastikan gunung sentiasa dalam keadaan yang natural dan terjaga. MALIM GUNUNG mula dikenali ramai dan menjadi viral di media sosial selepas kejadian gempa bumi yang berlaku di Gunung Kinabalu. Sebelum ini MALIM GUNUNG dikenali sebagai Guard yang bertugas dengan Taman Kinabalu, Sabah sebagai penunjuk arah kepada pendaki gunung yang dikenali juga sebagai porter. Mereka yang pernah mendaki Gunung Kinabalu tentu tahu apa itu MALIM GUNUNG atau porter.


Ye lah.. gunung ni kita kena jaga, kalau tidak menjaganya kelak anak cucu kita tidak ada gunung untuk didaki. Selepas banyak bukit ditarah dan diratakan, tidak mustahil gunung juga akan ditarah dan diruntuhkan bagi mendapatkan tanah yang akan digunakan untuk menimbus lembah, lombong, tasik untuk pembangunan dan digunakan untuk menambak laut. Bagi mereka yang memiliki rasa kecintaannya berada pada tahap gaban terhadap alam sekitar, sudah tentu sangat kecewa dengan situasi yang berlaku hari ini. Bukit yang dahulunya membiru, kini botak dan licin ditarah. Di kawasan pergunungan yang suci juga sudah ada pembalak-pembalak haram yang rakus menebang pokok-pokok balak untuk kepentingan sendiri. Selagi tindak tanduk mereka tidak dapat di kesan dan dibiarkan, selagi itulah mereka bermaharajalela menebang seberapa banyak pokok yang sempat dicuri. Lebih memburukkan keadaan, apabila ada dalam kalangan pihak berkuasa yang pejam mata akibat 'tangan kiri' sudah menerima habuan daripada taukeh balak ini. Buktinya sudah jelas.. tengok saja apa dah jadi dengan Cameron Highlands yang suatu masa dahulu landscapenya sungguh indah dan suhunya yang amat dingin sekali, sekarang tidak banyak bezanya dengan suhu di Kuala Krai dan Gua Musang.. sebab apa? sebabnya hutan semakin pupus diteroka dan digantikan dengan sayur. Bukit bukau juga semakin rakus dimamah jentera penggondol. Apabila berlakunya banjir kilat dan tanah runtuh yang soheh akibat daripada penerokaan hutan dan tarahan bukit.. masing-masing  cuba menyorokkan diri dan saling menuduh menyalahkan orang lain. Tidak berani untuk bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku.

Bagi negeri yang kontour muka buminya berbukit-bukau dan bergunung-ganang, pantas pihak berkuasanya menjadi kaya raya dan ada pihak berkuasa yang diberi tanggungjawab menjaga hutan dapat mengumpul wang berjuta-juta hasil daripada kegiatan belakang tabir dalam masa yang sangat singkat. Siapa yang nak diharapkan untuk menjaga alam sekitar kita ini daripada diragut oleh sang haloba yang sedikitpun tidak rasa bersalah demi memastikan kantung mereka kembong kerana mempunyai nafsu untuk memiliki kemewahan yang luar biasa? Pokok yang memakan masa ratusan tahun untuk membesar, cuma perlu masa kurang 10 minit untuk direbahkan ke bumi dan dilenyapkan seterusnya mengubah landscape hutan, bukit dan gunung. 

Melihat kepada kemusnahan hutan, bukit dan gunung, terasa satu kerugian yang amat sangat. Nak pulihkan kemusnahan tersebut mungkin memakan masa puluhan tahun. Kejadian gempa bumi di Kinabalu banyak menjejaskan keindahan Gunung Kinabalu dan Kampung-kampung sekitar kaki gunung yang cukup indah seperti Mersilau dan Kundasang. Diburukkan lagi dengan kejadian banjir lumpur yang mengubah landscape keindahan sebahagian Taman-Taman Sabah yang dijaga. Kita tidak boleh menolak kehendak atau suratan takdir daripada Allah.. tetapi kita boleh berdoa agar sebarang musibah dijauhkan. Mungkin alam sudah marah kerana sikap manusia yang tidak menghormati alam dan tindak-tanduk manusia yang mendorong berlakunya musibah. Sudah jelas tersurat dalam Al-Quran surah Ar Rum ayat 21 bahawa kemusnahan di bumi dan dilangit kerana disebabkan oleh tangan-tangan manusia.

Akhirulkalam.. kita sebagai manusia, haruslah hormat dan jaga alam anugerah yang tidak ternilai daripada Allah ini. Alam memberikan kita udara yang segar, pemandangan yang indah, hidupan sebagai sumber rezeki, tumbuhan herba untuk kesihatan, punca air bersih dan beribu-ribu khazanah lagi. Jagalah Hutan Kita.. generasi masa depan juga mempunyai hak untuk merasai kenikmatan hasil daripada hutan.


No comments:

Post a Comment