Wednesday 2 January 2013

KISAH HARI PERTAMA SEKOLAH DALAM 2013



Gambar Hiasan

Assalamualaikum.. hari pertama sekolah dalam tahun 2013 ini benar-benar memberi satu ujian yang besar buat kami sekeluarga. Semuanya kelam kabut gara-gara orang jaga anak bercuti 2 hari kerana pergi menguruskan anaknya yang baru memulakan kerja di Terengganu. Oleh sebab kami suami isteri adalah cikgu, tak tergamak dihati untuk terus apply cuti selepas berakhirnya cuti panjang. Amat jarang sekali cikgu di Malaysia mohon cuti rehat khas atau ambil MC yang disambung terus selepas cuti panjang. Pagi ni dengan berat hati aku tinggalkan anak bongsu aku yang berumur setahun lebih di bawah jagaan abang sulong iaitu si Adib. Athir yang hari pertama memulakan sesi prasekolah terpaksa berdikari, pergi seorang diri ke sekolahnya dan pandai-pandailah dia menguruskan diri sendiri sedangkan budak-budak lain yang satu pra dengannya semuanya ditemani ibu atau ayah masing-masing. Aina yang masuk darjah tiga tahun ni dan belajar pada sesi petang terpaksa berpadu tenaga dengan si abang sulong menjaga adiknya yang bongsu di rumah. Oleh sebab  bimbangkan Aina main api untuk memasak makanan sendiri, maka bini aku pagi-pagi lagi telah siapkan makanan buat mereka.

Sedang asyik menguruskan kelas pada hari pertama persekolahan, aku menerima panggilan telefon daripada si Adib mengadu adiknya tidak berhenti menanggis memanggil nama umi dan abah. Mungkin terlalu lama berada di bawah ketiak umi dan abahnya setiap kali celik mata bangun pagi maka dia berasa kehilangan sesuatu pada pagi tu. Biasanya kalau Amsyar bangun pagi, dia terus panggil nama umi atau abah. Aku atau isteriku akan terus pergi mendapatkannya. Tapi pada pagi ni apabila nama umi dan abah yang dipanggil, orang lain yang meluru datang mendapatkanya iaitu si Aina. 

Mengamuklah si Amsyar. Menanggis dan terus menaggis. Puas dipujuk tapi sangat payah untuk berhenti. Akhirnya Aina buka komputer dan buka lagu nasyid kanak-kanak kegemaran Amsyar iaitu lagu pukul 6 pagi dan Ma Ismuka, Ma Ismuki. Barulah dia berhenti menanggis. Pukul 12 tengah hari aku menerima panggilan daripada Aina suruh belikan buku latihan sekarang juga untuk pembelajaran hari ini di kedai buku sekolahnya. Aku terus telefon Adib supaya tumpangkan Amsyar kat rumah Tok Guru Mengaji Quran yang dipanggil Umi Mengaji, kemudian tolong pergi kat sekolah Aina beli buku latihan untuknya. Adib ikut arahan aku, kunci pintu rumah dan terus pergi sekolah Aina selepas letak adiknya  kat rumah Umi Mengaji Quran. 

Amsyar yang tak biasa dengan Umi mengaji quran, menanggis terlolong-lolong sebaik saja ditinggalkan si Adib. Tidak lama kemudian, aku menerima panggilan daripada guru sekolah Athir mengatakan Athir berkeliaran sorang-sorang kerana tak dapat masuk rumah. Rumah berkunci, dia cuba ketuk tapi tak ada orang buka. Aku minta tolong cikgu dia supaya hantar saja Athir kat rumah Umi Mengaji Quran di blok A kerana Adib kunci pintu rumah untuk pergi belikan buku latihan buat Aina. Masa ketibaan Si Athir di rumah Umi Mengaji Quran, Amsyar masih rancak menanggis. Athir yang memang biasa melayan karenah adiknya, berjaya memujuk adiknya supaya berhenti menanggis.

Adib menelefon aku untuk minta kebenaran pergi sekolah yang sebelum ni aku melarang dia pergi sekolah sebab minggu depan dah nak pergi sekolah Tahfiz. Adib merayu pada aku untuk membenarkan dia pergi juga ke sekolah untuk tiga hari terakhir ini kerana ingin bersama rakan-rakan karibnya sebelum di ke sekolah tahfiz. Cair dengan rayuannya, aku dengan berat hati membenarkan Adib ke sekolah pada tengah hari tu tapi dengan satu syarat, dia kena usahakan sendiri cara bagaimana hendak ke sekolah kerana aku tak boleh keluar kelas untuk jemput dia bawa ke sekolah. Tujuan aku menghalang Adib pergi ke sekolah kerana tak mahu dia bercampur dengan geng-geng kamcengnya yang bersekolah di situ takut-takut dia berat hati untuk ke sekolah tahfiz apabila dia sudah seronok berkawan dengan geng sekolah rendah dulu dan mencipta kawan baru.

Adib menelefon umi dia minta keluar sekolah untuk menghantarnya ke sekolah. Selepas mendapat kebenaran daripada pengetuanya, isteri aku terus berkejar pulang dari sekolahnya untuk menghantar Adib ke sekolah. Walaupun sudah lewat, Adib tetap bersemangat untuk ke sekolah. Dengan kelicikannya, Adib berjaya menyelinap masuk ke dalam barisan kelasnya tanpa dapat dikesan oleh guru disiplin atas kelewatannya pada hari pertama persekolahannya dalam tingkatan satu.

Azan maghrib sudah berkumandang, Adib masih belum pulang lagi dari sekolah. Aku dan isteri mula bimbang dan risau kerana aku tak pergi jemput pun dia masa pulang sekolah. Aku biarkan dia berdikari sendiri cari jalan cara bagaimana untuk pulang yang jaraknya lebih kurang 2 KM dari rumah. Sedang aku dan isteri menjengah-jengah kelibat Adib ikut beranda rumah, tiba-tiba berhenti sebuah kereta putih di depan rumah. Lega hati kami berdua apabila kereta tersebut menurunkan Adib. Oh.. rupanya Adib tumpang balik dengan cikgu Nazuha yang tinggal satu kuaters dengan kami. Dengan kepulangan Adib, maka berakhirnya satu penantian dan tertutuplah kisah Hari Pertama Sekolah dalam Tahun 2013. Esok apa lagi akan berlaku?? orang jaga anak masih lagi cuti. Mungkin situasi hari ini akan berulang untuk esok???

No comments:

Post a Comment