Tuesday 8 January 2013

DILEMA SEORANG AYAH


                              DEDIKASI BUAT SI ADIB...




Krekkkk... daun pintu ku buka perlahan-lahan. Aina dan Athir yang sedang leka menonton TV tersentak sebaik saja aku melangkah masuk ke dalam rumah. Mereka terus menerpa ke arahku. Dari mulut Aina terkeluar " abah pegi mana malam baru balik?" Aku menjawab " abah pegi hantar abang Adib sekolah" Athir pula bertanya " abah.. mana abang??" aku menjawab " abang dah tak balik, dia dah masuk asrama". Kedua-duanya dengan spontan "alamakkkk.. boringnya tak ada abang"

Itulah senario yang berlaku pada hari pertama Adib daftar masuk ke asrama. Hari pertama juga aku terpaksa memohon cutI rehat khas untuk urusan mendaftar Adib masuk ke asrama tahfiz, Sekolah Bina Insan, KUIS dalam tahun 2013. Hajat di hati nak dapatkan rekod bersih kehadiran 100% pada tahun ni tapi apa boleh buat, awal-awal lagi dah terpaksa ambil cuti. Malam pertama Adib tak bersama kami terasa sangat sunyi. Tak lengkap rasanya hidup kami sekeluarga tanpa adanya kelibat Adib di dalam rumah. Maklumlah.. selama 12 tahun sejak Adib dilahirkan, kami tidak pernah berpisah. Pada malam tu, Amsyar awal-awal lagi telah lena. Kemudian menyusul pula giliran Aina. Athir yang terpaksa bermain-main sorang diri tidak mengambil masa yang lama untuk menurut jejak Aina, terlena di atas buku-buku latihan dan alat tulisnya. Tinggallah aku seorang diri mundar-mandir di dalam rumah. Buka komputer tak kena, buka TV tak de mood nak tengok, buka surat khabar tak de semangat nak baca, nak tidur tak lena. Betul-betul diriku berasa tak keruan. Amat jarang berlaku pukul 9.45 malam, rumahku begitu sunyi sekali. Biasanya waktu-waktu beginilah time Athir sedang rancak menangis dikerjakan abangnya. Waktu begini juga Aina memekik-memekik mengejar adik bongsunya Amsyar yang berlari-lari mengelilingi meja makan. Masa ni merupakan waktu puncak mereka adik beradik bergurau senda. Aku dan isteri tak betah melayan karenah anak-anak. Yang menangis ku pujuk, yang memekik ku biarkan, yang berlari ku tersenyum. 

Ku cuba tidur dan pejamkan mata tapi tak terlena. Fikiranku masih terbayang-bayang wajah sayu Adib masa aku nak tinggalkan dia petang tadi. Sebelum berpisah, aku sempat membisikkan di telinga Adib, " Dib.. belajar rajin-rajin.. ambil peluang untuk mendalami ilmu sebanyak yang mungkin". Adib mengangguk lemah seolah-olah terpaksa dia belajar di situ kerana tidak mahu menghampakan harapanku dan uminya. Dari raut wajahnya memang Adib tidak berapa suka untuk tinggal di asrama kerana terasa terkongkong dan tidak mahu terikat dengan undang-undang yang ketat. Adib mahu bebas di sekolah harian biasa kerana dia mahu aktif bersukan dan berpesatuan. Dia mahu tambahkan koleksi  pingat-pingat yang dimenanginya dan mahu menambah sijil-sijil kecemerlangannya dalam kokurikulum. Adib mahu memasak makanan untuk adik-adiknya di rumah kerana dia sentiasa mendapat pujian daripada adik-adik yang pandai mengambil hatinya dengan memuji-muji kelazatan daripada air tangan abangnya. Menjadi rutin harian Adib menyediakan susu buat Amsyar, iaitu adik bongsunya. 

Namun, semua itu terpaksa ditinggalkan kerana dia berada di sebuah asrama yang amat menitikberatkan pembelajaran untuk membina insan kamil. Jadual harian Adib di sekolah ini amat padat sekali. Tidak ada ruang untuk dia rehat apatah lagi untuk bermain komputer. Seawal pukul 4.30 pagi, mereka telah dibangunkan untuk solat tahjud. Selepas solat subuh berjemaah, mereka terpaksa dengar dulu tazkirah kemudian balik ke bilik untuk mandi dan persiapkan  diri ke sekolah dengan memakai seragam jubah dan serban. Bermula pukul 7.30 pagi hingga 9.30, mereka terpaksa mengikuti kelas hafazan. Kemudian diberi masa 30 minit untuk sarapan. Pukul 10.00 pagi semua pelajar wajib masuk kelas untuk memulakan pembelajaran akademik biasa. Pukul 4.30 petang baru habis kelas. Selepas solat fardhu asar secara berjemaah, barulah mereka ada sedikit ruang untuk bersosial dengan kawan-kawan. Tu pun sekiranya tidak ada aktiviti kokurikulum. Pukul 6.45, setiap murid perlu berada di masjid untuk solat berjemaah maghrib dan isyak. Mula pukul 9.30 hingga pukul 10.30, ada prep pula. Pukul 10.45 barulah boleh tidur. Begitulah rutin harian mereka setiap hari sepanjang 5 tahun mereka berada di sini. Minggu pertama weekend mereka dikurung dalam asrama. Minggu kedua, ibu bapa dibenarkan datang melawat anak-anak. Minggu ketiga dikurung kembali dan minggu keempat weekend barulah ibu bapa dibenarkan membawa anak balik ke rumah kemudian hantar semula masuk asrama sebelum pukul 6 petang hujung minggu. Sebarang alat komunikasi dilarang sama sekali bahkan Quran digital juga turut dilarang.Kalau berlaku kecemasan, ibu bapa hanya boleh menghubungi warden asrama untuk dimaklumkan kepada anak mereka. Begitu padat sekali jadual pembelajaran mereka dan begitu ketat sekali undang-undang di asrama mereka.

Kesian Adib.. aku pun berkonflik dalam kepala fikiran sama ada tindakan aku menghantar Adib belajar di sini satu tindakan yang tepat ataupun tidak wajar. Sebagai ibu bapa, tentu sekali aku mengharapkan agar anak teruna aku menjadi tahfiz dan menjadi imam suatu hari nanti. Aku sangat berharap agar anak sulong aku tu menjadi idola kepada adik-adiknya seterusnya membimbing adik-adik ke jalan yang benar. Jalan yang bebas daripada kemungkaran. Namun begitu, pada masa yang sama aku telah menutup banyak peluang Adib. Bakat memasak yang ada dalam diri dia akan terpendam begitu sahaja.Kebitaraan Adib dalam bidang sukan juga turut kemas terkunci.Tapi aku cuma ada satu pilihan saja sama ada dunia atau akhirat. Walau bagaimanapun, aku masih yakin bahawa tindakan aku setakat ini memang satu kewajaran. Aku tahu, ibu bapa mana yang tak inginkan anak-anaknya menjadi manusia. Dunia sekarang tidak seperti dunia dulu-dulu. Situasi kehidupan sekarang padat dengan noda-noda yang tak mungkin dapat disanggah tanpa adanya cahaya keimanan dalam diri seseorang. Bersama-sama Adib di sini bukan saja terdiri daripada anak-anak orang biasa, bahkan anak orang berpangkat dan berada juga turut sama untuk ditarbiah menjadi insan halaqi.

Aku berdoa pada tuhan agar Adib gembira berada di sini. Pada masa yang sama, aku juga turut bersedia untuk menempatkan kembali Adib di sekolah biasa sekiranya Adib sudah benar-benar tidak mampu lagi untuk bertahan. Aku percaya, tidak semua apa yang kita inginkan akan dimiliki. Ada kalanya kita perlu akur dengan ketentuan Ilahi. 


AKU MAHU ANAK AKU JADI MACAM NI....
WANAUZUBILLAH.. AKU TAK MAHU ANAK AKU JADI MACAM NI

No comments:

Post a Comment