Wednesday 19 June 2013

CONTOH KARANGAN YANG BAIK UNTUK TINGKATAN 5

Alhamdulillah.. Syukran Jazilan.. setelah beberapa minggu berhempas pulas menanda exam paper mid year pelajar, kini aku dah boleh mula mengukir senyum dan freshkan kembali otak kerana semua kertas exam telah selamat sampai ke tangan budak masing-masing. Ajar tiga kelas tingkatan 5 dan hanya satu kelas tingkatan 4 memang amat memenatkan terutamanya apabila tibanya musim peperiksaan. Nak menandanya memang muak. Kat tempat tidur pun menanda, kat meja makan pun menanda, kat depan televisyen pun menanda, kat depan komputer pun menanda, cuma aku tak bawa kertas exam budak sehingga ke tandas je. Kalau semua pelajar yang buat karangan atau jawab exam tulisannya kemas dan cantik tak pe lah jugak. Ni ada sesetengah tu tulisan lebih teruk daripada tulisan doktor.. Perghhh.. nak terkeluar bijik mata aku membaca dan membetulkan ayatnya..


Kalau semua tulisan macam ni, tak ke boleh sewel cikgunya. Macam tulis dengan kaki je..
Dalam banyak-banyak skrip yang aku tanda.. ada satu orang budak yang karangannya memang mantap walaupun dia baru tingkatan 4. Aku mintak izin daripadanya nak letakkan karangan dia dalam blog aku untuk rujukan dan panduan pelajar lain. Mudah-mudahan boleh memberi manfaat kepada calon-calon yang bakal menduduki SPM.



Tajuk : Apakah Peranan Remaja dalam membentuk Modal Insan Negara yang bebas
             daripada masalah sosial.

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora ’. Pada alaf digital yang mendepani ombak globalisasi ini, sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia tentang isu gejala sosial dalam kalangan remaja. Isu ini sering terpapar di dada-dada akhbar dan dalam rubik-rubik akhbar arus perdana serta melalui corong-corong radio dan lohong-lohong internet. Tambahan pula, fenomena ini menjadi buah mulut dan tajuk hangat yang dibincangkan oleh warga masyarakat di warung-warung kopi di tepi jalan atau di restoran-restoran lima bintang yang tersergam di premis-premis mewah. Sebelum hal ini menjadi barah dan menjadi seperti tanduk di kepala yang tidak dapat digelengkan, pelbagai tindakan yang proaktif dan pragmatik perlu dilakukan oleh remaja untuk mengelakkan diri daripada terlibat dalam gejala sosial.

Antara usaha yang boleh dijalankan ialah membentuk jati diri dan pegangan agama yang kuat dalam diri seseorang remaja untuk mengelakkan diri daripada melakukan gejala sosial. Nilai-nilai murni ini sepatuhnya diajarkan oleh ibu bapa sejak kecil lagi. Bak kata pepatah ‘ melentur buluh biarlah dari rebungnya ’. Ibu bapa yang terlalu sibuk mengutamakan pekerjaan bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing akan membuatkan anak tersisih. Pegangan agama dan akidah yang utuh perlulah ada dalam diri remaja sendiri untuk memastikan agar diri mereka tidak cenderung ke arah melakukan gejala sosial. Golongan remaja perlu disuntik dan ditanam dengan nilai-nilai murni melalui mata pelajaran Moral atau mata pelajaran agama Islam di peringkat sekolah. Penerapan nilai-nilai murni ini akan mendedahkan para pelajar tentang norma hidup masyarakat yang berkiblatkan kasih sayang dan semangat perpaduan. Dengan mempunyai pegangan agama yang kukuh, mudah-mudahan akan menjadi benteng kepada diri remaja agar tidak akan melibatkan diri dalam gejala sosial dan budaya hedonisme yang begitu cepat merebak bagai virus epidemik. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang berobjektif untuk melahirkan modal insan yang berintegriti merupakan salah satu langkah yang efisien dalam memupuk perpaduan dan semangat kekitaan. Dengan ini, anak-anak remaja akan meletakkan kecintaan kepada negara dan perpaduan sebagai perkara yang penting dalam kehidupan. Tegasnya, pegangan agama dan jati diri yang utuh dalam diri remaja perlu disemai dan ditanam. Albert Enstein pernah berkata bahawa “agama tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa agama adalah lumpuh”.

Dedaun pokok tidak akan berliuk-lintuk jika tidak ditiup angin ’. Kita perlulah menerima lumrah kehidupan bahawa keruh di muara pasti bermula dari hulunya. Khazanah kata membawa takrif sesuatu permasalahan tidak akan berlaku jika tiada punca-puncanya. Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 75.53% golongan remaja yang terjebak dalam kebejatan sosial adalah akibat daripada dipengaruhi oleh kawan-kawan. Oleh hal yang demikian, golongan remaja perlu bijak memilih kawan kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Remaja kini banyak menghabiskan masa di sekolah dan selepas sekolah mereka tentulah akan lepak di kawasan-kawasan tertentu seperti padang yang berhampiran, pusat membeli-belah, pasar dan sebagainya. Pelajar-pelajar sering mengajak kawan bersama untuk melepak dan merayau-rayau di kawasan luar sekolah. Pada mulanya hanya merayau-rayau, semakin lama semakin serius. Golongan remaja akan sedikit demi sedikit akan berjinak-jinak dengan melakukan gejala sosial seperti ponteng sekolah, gengsterisme, meragut, merogol, menghisap dadah dan sebagainya. Pendek kata, anak-anak watan perlulah sentiasa berhati-hati semasa memilih kawan. Andai kata dalam 700 kawan, pasti akan terdapat juga kawan yang buruk perangainya dan sentiasa mempengaruhi kita untuk melakukan gejala yang negatif. Oleh hal yang demikian, golongan remaja tidak seharusnya mencontohi setiap perlakuan yang dilakukan oleh kawan yang cuba merosakkan hidup mereka. Dengan ini, gejala sosial dalam kalangan remaja dapat dikurangkan dengan memilih rakan yang baik yang memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi kehidupan remaja. Ada pepatah cina mengatakan  “berkawan dengan penjual bunga akan tempias keharumannya, berkawan dengan penjual arang akan terpalit kehitamannya”.

Pada masa yang sama, tidak dapat disangkal bahawa alatan-alatan elektronik memainkan wahana yang penting dalam pelajaran. Tidak dinafikan, internet, e-mel, televisyen, radio, dan sebagainya membolehkan para pelajar memperoleh maklumat, mengurangkan tekanan, mendapatkan hiburan dan sebagainya. Akan tetapi, terdapat pelbagai kesan yang timbul jika tidak dimanfaatkan dengan betul. Permainan komputer hingga ke larut malam akan mempengaruhi pelajar sehingga mereka tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian semasa program pengajaran dan pembelajaran diadakan di sekolah. Hal ini secara implisifnya menjejaskan prestasi akademik pelajar dalam peperiksaan. Tambahan lagi, kancah-kancah laman web yang mengandungi bahan-bahan lucah menyebabkan para remaja mencontohinya sehingga melakukan gejala-gejala sosial. Oleh itu, remaja perlu mempunyai fikiran yang matang dan tidak mudah terpengaruh dengan laman-laman web tersebut. Para remaja perlulah mempunyai kebolehan untuk membezakan antara intan dengan kaca agar tidak menjejaskan tahap keimanan mereka. janganlah apabila sudah terhantuk baru hendak terngadah. Anak-anak watan yang suci akan mencontohi segala yang dilakukan oleh ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa perlu menjadi uswah hasanah dan membentuk sanubari yang baik. Jangan sesekali menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan diri berjalan mengiring. Sudah terang lagi bersuluh, remaja perlulah mempunyai fikiran yang waras dan jangan mencontohi sesiapa atau apa-apa secara membabi buta yang boleh menggerakkan hati mereka ke arah kemungkaran.

Dalam nada yang berbeza, ‘ perpaduan merupakan tunjang keharmonian sesebuah negara ’. Semangat kejiranan sering diamalkan pada zaman dahulu. Mereka saling membantu antara satu sama lain bagai aur dengan tebing seperti dalam kenduri-kendara, majlis makan malam dan sebagainya ibarat kata yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul. Sebaliknya, masyarakat zaman sekarang terutamanya yang berada di bandar tidak lagi mengamalkan semangat kejiranan kerana terlalu mengutamakan kebendaan dan bersikap materialistik. Justifikasinya, golongan remaja perlulah mengamalkan semangat kejiranan bagi mengurangkan berlakunya gejala sosial. Jiran merupakan orang pertama yang mengetahui segala hal keluarga dan merupakan orang pertama yang dapat menghulurkan bantuan apabila berlakunya kecemasan seperti pencerobohan, kecurian, orang yang sakit, dan sebagainya. Oleh itu, jika golongan remaja menghabiskan masa lapang dengan melakukan aktiviti kejiranan maka gejala sosial dapat dikurangkan dari semasa ke semasa. Aktiviti kejiranan seperti gotong-royong dan ziarah-menziarahi dapat mengeratkan lagi hubungan antara jiran. Tambahan juga, semasa aktiviti ziarah-menziarahi, remaja dapat menyelami perasaan semangat kejiranan dan juga memahami mereka dengan lebih mendalam. Dengan ini, idea yang dilontarkan oleh Perdana Menteri ke-enam iaitu Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk merealisasikan ‘Satu Malaysia,Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan ’ dapat juga dimakbulkan. Intihanya, bilangan gejal sosial dalam kalangan remaja dapat dikurangkan dengan menjalankan aktiviti kejiranan dan juga mengeratkan hubangan pelbagai kaum.

Secara konklusinya, ‘ tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi ’, remaja perlulah menjalankan pelbagai tindakan yang proaktif dan pragmatik tidak seperti melepaskan batuk di tangga bagi mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala sosial. Sekiranya anak-anak yang merupakan generasi pascakemerdekaan dapat membentuk keperibadian yang mulia, tentulah remaja yang merupakan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara dapat menjadi pemimpin yang berkaliber kelak. Impian matan Perdana Menteri ke-empat iaitu Tun Dr. Mahathir untuk membentuk negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat direalisasikan, sekali gus menjadikan negara Malaysia berdiri gah di persada dunia.


WONG KA YEE
4 BUDI
2013


No comments:

Post a Comment