Friday 18 October 2013

KOLEKSI PENGALAMAN UNTUK DIKONGSI - EPISOD 5


EPISOD - 5 : Menjadi Buruh Asing Di Singapura

Selepas tamat kursus kemahiran, aku tidak terus pulang ke kampung sebaliknya dari hentian bas Bagan Butterwoth, aku ambik tiket terus ke Kuala Lumpur. Rasa rindu terhadap tempat aku hidup enjoy masih sukar untuk dipadam. Aku mahu lihat sama ada masih ada atau tidak geng-geng thrash aku dulu. Masih belum insaf lagikah mereka?

Seharian aku meronda-ronda di sekitar Pertama Kompleks, Jalan TAR, Dataran Merdeka dan Pasar Seni. Aku dapati geng-geng aku dulu sudah mula berkurangan. Sudah ramai yang balik ke kampung dan ada ramai juga yang sudah potong pendek rambutnya. Kat Pasar Seni juga sudah kurang budak-budak Kelantan lepak bahkan hampir tidak ada. Aku usha-usha dengan rakan-rakan lama kenapa Central Market sekarang tidak semeriah seperti zaman aku lepak dulu. Oh.. rupanya budak-budak Kelantan kat situ bergaduh besar dengan geng tentera Sungai Besi. Mereka diserang habis-habisan. Pada setiap malam minggu, Geng-geng tentera angkut geng dengan trak tentera untuk cari dan belasah budak Kelantan kat situ.Itu sebab budak Kelantan yang selalu lepak kat situ sudah tidak berani mahu keluar. Punca permusuhan akibat daripada tindakan beberapa kerat budak Kelantan yang memerli dan memperlekeh budak pelatih Maktab Tentera Di-Raja.

Seminggu aku berada di Kuala Lumpur, kemudian aku balik ke kampung. Sedar-sedar nenek aku sudah sebulan lebih meninggal. Sedih jugak sebab tak ada sape bagi tahu aku. Mungkin salah faham kot.. ingatkan dah ada salah seorang ahli keluarga yang bagi tahu. Sebulan aku berada di kampung selepas tamat berkursus. Selepas raya, aku ikut kawan aku ke Singapura untuk mencurahkan segala ilmu yang ku pelajari semasa di Pusat Latihan Perda. Oleh sebab tiket keretapi untuk ke sana sudah habis, maka aku mengambil keputusan untuk menaiki van perebet sapu. Aku tak boleh tunggu sehingga tiket ada sebab peluang kerja kat sana boleh penuh, lagipun aku tumpang member yang dah lama bekerja kat sana. Aku perlu bantuan rakan lama untuk mendapatkan aku kerja.

Seksa nak cari rezeki kat tempat orang. Baru-baru nak pegi dah kena uji. Oleh sebab ramai yang tak ada tiket maka ada salah seorang penduduk kampung aku namanya Ayub telah cari sebuah van untuk dijadikan prebet sapu membawa penumpang tak de tiket yang nak ke Johor Bharu. Aku ingatkan penumpang mengikut kapasiti yang ditetapkan, rupa-rupanya nak cari untung punya pasal macam sardin disumbatnya. Bayangkan van Ford Econovan yang sepatutnya muat 8 orang, telah dimuatnya sehingga 13 orang penumpang. Satu baris tempat duduk yang biasa dimuat 3 orang, terpaksa berhimpit menjadi 5 orang sebaris. Tepi pemandu 2 orang, Barisan tengah 5 orang, sit paling belakang 5 orang, sorang lagi atas lantai. Saling tak tumpah macam orang seludup Bangla bawa masuk ke Malaysia. Semasa dalam perjalanan, van tu ditahan oleh polis yang membuat sekatan jalan raya kat Jertih. Dalam hati, aku berdoa agar pemandu van ni kena saman tapi rupa-rupanya dilepaskan begitu sahaja selepas pemandu tersebut membuang wang kertas LIMA RINGGIT keluar dari tingkap. Ceh... penerima rasuah rupanya polis nih. Cuba korang bayangkan, dari Tanah Merah ke Johor Bharu makan masa hampir 14 jam. Bertolak dalam pukul 9.30 malam, sampai Johor Bharu lebih kurang pukul 10.45 pagi. Duit tambang yang dikenakan lebih mahal daripada tiket keretapi. Aku terpaksa kena ikut sebab kawan aku kata, kalau lambat nanti orang lain akan sapu kerja kat situ. nanti kita kena cari kerja kat tempat lain. Tak boleh nak tangguh lagi. Sakit-sakit badan usah cakap. Tubuh pula rasa melekit-lekit sebab seharian tak mandi.

Selepas makan tengahari, kami terus berjalan kaki melintasi Tambak Johor. Selepas pasport dicop, aku dengan rasminya telah berada di sebuah negara lain yang begitu asing bagi aku. Sambil berjalan ke Bus Stand Woodlands, mata aku melilau memerhati keindahan negara orang lain. Dari Woodlands, aku menaiki bas ke BoonLay. Kat situ, aku terus mengikut rakan aku ke rumah kongsi tempat mereka tinggal dan bekerja. Rumah kongsi dua lapis yang berdindingkan papan playwood dan beratap zink begitu selesa buat mereka yang mencari rezeki di Rantau Orang. Tidur beralaskan kotak mozek dan berbantalkan tongkol kayu yang dibalut kain sarung. 

Pagi pertama di Singapura, aku follow kawan aku yang sudah senior ke tempat kerjanya. Dia telah temukan aku dengan 'tochu' atau 'kepala' atau kat tempat kita orang panggil supervisor. Aku dan seorang lagi kawan aku adalah budak yang baru pertama kali datang. Aku minta kerja kat situ tak kira apa-apa aje kerja asalkan ada kerja yang boleh dibuat. Tochu  tu tanya aku dan kawan aku " sebelum ni lu mana kerja?" aku jawab, " kami baru habis sekolah, masih belum ada pengalaman kerja" aku tak mengaku bahawa aku sudah ada asas dalam kerja-kerja melepa, ikat batu-bata dan pasang mozek.
" oh.. itu macam kaaa.. kalau lu tarak pengalaman lu kerja itu angkat batu-bata laa, atau lu bukak bim saja maa.. tapi gaji lu satu hali saya bayar 26 dollar sebab lu olang balu".
" Sekalang lu jangan manyak cakap, lu pegi ambik satu hammer, ikut sama itu Meli nanti dia tunjuk apa lu punya kelija"

Dalam perjalanan untuk ambik hammer ( tukul besi ), Meli kata pada aku "Din, bakpo mu tok royak ko tokcu tu mu pandai pase mozek nga melas, kalu dok mu buleh kijo pat teduh. bowoh bumbung. Ni gok mu keno kijo tengoh panah ceng-ceng"

Translate ikut bahasa surat apa yang Meli kata " Din, kenapa kau tak berterus terang dengan supervisor tu bahawa kau memang sudah biasa pasang mozek dengan plaster dinding, nanti kau boleh kerja tempat redup bawah bangunan. Kalau orang yang tak pandai apa-apa biasanya diberi kerja di kawasan tapak projek di bawah mentari yang panas terik tanpa bayang "

Bukan aku tak nak kerja bawah bayang, tapi aku takut kemahiran pasang mozek dengan plaster dinding yang aku miliki tu tak menepati citarasa jurutera kat Singapura. Nanti tauke yang susah nak kena pecahkan balik. Aku dengar cerita jurutera kat Singapura tak makan rasuah dan very strait pasal kerja. Biarlah aku berlagak bodoh daripada berlagak pandai tapi ada banyak masalah.

Sepanjang hari pertama aku bekerja melilau kat tapak projek di tengah terik mentari, membimbit satu hammer mencari bim-bim yang dah matang untuk dibuka sarungnya. Selepas kayu penyokong bim dibuka, aku kena susun kemas-kemas kat satu tempat. Pukul 10 pagi dah terasa haus yang amat sangat. Nilah baru aku rasa betapa teruknya bapa aku cari duit untuk membesarkan anak-anak. Kawan-kawan aku yang gah bawa balik wang dan beli motosikal pabila balik dari Singapura rupanya bukan senang untuk mereka dapatkan wang. Kerja mengerah tenaga dan keringat.


Gambar Hiasan :  kat Singapore, kerja macam ni untuk budak baru


Kerja kat tapak projek memang panas membahang. 





Kayu tu adalah penyokong bim yang perlu aku ketuk dengan hammer apabila konkrit sudah keras. Kemudian pikul bawa turun bawah untuk disusun cantik. Penat kerja ni woii.. lenguh dalam bahu. Kena hati-hati takut tergelincir jatuh bawah terus tak kahwin.

Hari pertama aku kerja sampai pukul 6 petang. Ada kawan-kawan aku yang buat kerja over time sampai pukul 10 malam. Aku balik terus tertidur kepenatan bersama hammer yang masih terselit kat pinggang. Maghrib dah lepas, aku bangun untuk sembahyang isyak bila kawan-kawan aku yang buat kerja over time balik kul 10.30 malam. Lepas mandi dan sembahyang isyak, aku masak ala kadar dengan menggunakan dapur minyak tanah. Masak nasi dan goreng telur mata kerbau makan dengan kicap itu kira dah cukup lazat. Lepas makan kami bersembang. Kawan-kawan aku yang otai kerja kat Singapore tanya pegalaman kerja pada hari pertama aku kat sini.

Bolehlaa.. penat tu memang penat. Panas tu yang paling tak tahan. Terasa kering muka. Angin kat Singapore tak sejuk sebab angin kering yang bertiup. Hangus muka seharian bekerja untuk mendapatkan Dollar Singapore 26 satu hari. 'Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul'.

Keesokan hari aku tak pergi kerja sebab dah kena demam panas. Mungkin terlalu penat bekerja atau berubah angin, aku pun tak tahu. Aku sorang-sorang tidur kat rumah kongsi sebab tak dapat nak bangun. Walaupun begitu, dalam pukul 11 pagi aku kena gagahkan juga untuk bangun walau kepala terasa amat sakit sebab tak tahan bahang panas dok dalam rumah kongsi yang berbumbungkan zink. Terasa bagai dikukus dalam ketuhar. Aku turun bawah dan cari sedikit bayang. Saat ini sering terbayang di fikiran aku betapa susah dan rumitnya andai aku ditakdirkan meninggal dunia di negara orang. Petang tu kawan aku balik dengan membawa sebungkus nasi dan satu plastik air tea o limau ais. Aku dah tak lalu makan. Nasi yang ditelan terasa pahit tapi aku gagahkan juga untuk menelannya agar memberi aku sedikit tenaga. Nak pergi ke klinik dah kehabisan duit belanja. Nak bagi tahu kawan terasa segan la pulak sebab kawan-kawan pun semuanya ciput-ciput dia punya wang. Ada sekadar cukup makan aje. Aku berdoa saja agar demam aku ni cepat kebah. Ubat aku tak telan walau sebijik pun sebab tak de ubat untuk ditelan.

Tiga hari lamanya aku demam dan tiga hari juga aku tak pergi kerja. Wang belanja sudah kehabisan. Masuk hari keempat, demam aku sudah semakin pulih. Walau masih belum betul-betul baik, aku gagahkan jua untuk bekerja. Dan dengan penuh semangat aku pegi kerja pagi tu. Pukul 10 pagi iaitu pada waktu rehat, aku tak ada wang nak beli minum. Aku nak pinjam kawan aku tapi dia pun kering. Dia suruh aku pegi pinjam dengan tokchu ( supervisor ). Aku tanpa berlengah lagi pegi bagi tahu tokcu nak pakai wang sikit sebab nak makan.

Korang tahu apa tokchu kata " kaninawae..cibai.. kelija masih belum jalan lulah mau pinjam.. apa ini olang.. lancau punya olang" sambil membebel dia bagi juga aku 10 dollar untuk dipinjam.Tersipu-sipu aku ambik hak aku tu tanpa aku tahu maksud apa yang diucapkan.

10 dollar aku kongsi dengan kawan aku sorang 5 dollar. Cukuplah buat minum untuk pukul 10 dan buat makan tengahari. Makan malam boleh masak nasi kat rumah kongsi. Member aku tanya aku cina tu ada tak sebut perkataan kaninawecibai masa aku mintak pinjam wang. Aku kata ada. Member aku tergelak dan kata itu ucapan selamat bagi mereka yang bekerja kat sini. Orang lama kat sini sudah biasa sangat dengan perkataan tu.
* sebenarnya perkataan kaninaweicibai adalah satu makian yang amat kesat dan kita akan sakit hati mendengarnya kalau kita tahu maknanya.

Balik kerja pada petang tu aku terus tertidur kepenatan. Bila aku jaga dari tidur, kawan aku suruh aku goreng telur sebab nasi dia sudah siap masak. Oleh sebab minyak masak untuk menggoreng sudah habis, aku rebus saja telur sebanyak 5 biji. Belum lagi air mendidih, api sudah padam. Oh! rupa-rupanya minyak tanah dalam dapur sudah kering. Nak pegi beli minyak tanah, kedai runcit jauh sangat dan kemungkinan besar sudah tutup. Nak tak nak kami makan nasi malam tu berlaukkan telur rebus masak suku untuk mengalas perut. Pada mulanya aku tak boleh nak telan, tapi melihatkan kawan-kawan aku yang lain laju je telan nasi sekepal demi sekepal membuatkan aku juga ikut sama walau terasa sedikit loya. Kawan aku kata perkara macam tu biasa je kat sini. Perghhh... sukarnya nak mencari rezeki kat tempat orang.


Dapur Minyak Tanah

Pada hari sabtu, aku pegi kerja separuh hari saja. Dengan muka tebal dan bersedia untuk 'diucap selamat', aku sekali lagi pegi jumpa tokchu untuk pinjam wang Dollar Singapore 20. Sebenarnya duit yang aku pinjam tu adalah duit aku juga sebab bila boleh gaji, ia akan tolak terus segala hutang dan bayar gaji bersih selepas ditolak segala advance. Kalau aku tak pinjam, nanti hari ahad tak kerja aku nak makan apa?. Kebanyakan kawan-kawan aku juga turut meminjam pada hari sabtu.

Hari ahad pertama aku kat Singapura, kawan-kawan aku yang otai bawa aku bersiar-siar kat Singapura. Pertama sekali aku naik MRT dari tempat aku bekerja di Boonlay ke Bugis. Ini merupakan pengalaman pertama aku menaiki MRT yang tak ada di Malaysia. Lalu ikut celah bangunan-bangunan tinggi dan menyorok masuk bawah tanah. Bugis dikenali Rochoo oleh orang-orang Kelantan yang bekerja di Singapura. Oh! rupa-rupanya kat Rochoo ni merupakan tempat berkumpul pekerja-pekerja asing dari Kelantan yang bekerja di Singapura. Ke mana-mana kita pergi kat sini pasti akan bertembung dengan orang Kelantan. Kami sering bersuai kenal dan bertanya khabar. Rochoo ni ibarat Chow kit Road pada zaman kegemilangan pekerja-pekerja Indon yang bekerja di Malaysia berkumpul untuk bertemu geng-geng pada awal-awal 90-an dulu. Kat Rochoo ni aku bertemu dengan geng-geng sekolah aku dulu, dengan musuh lama kat kampung pun boleh jumpa kat sini. Kesempatan bertemu dan bersuai kenal dengan rakan sejawat ni aku ambil peluang untuk bertanya kalau-kalau ada kerja yang lebih elok yang boleh aku tukar profesion. Biasanya tempat yang glamour budak-budak Kelantan bekerja ialah di Pasir Ris, Changi, Lutong Town, Bukit Merah dan kerja kapal kat Pelabuhan Jurong. Kerja kat kapal ni bunyi saja sedap, hakikatnya kerja kat sini memang sangat seksa. Seharian dok dalam perut kapal tangki kikis kelodak minyak kat dalam tu. Gelap dan panas tak usah cakaplah. Itu pengalaman kawan-kawan aku yang kerja kat situ bagi tahu aku. Oh! aku ingatkan jadi kelasi kapal atau anak kapal kemudian belayar ke seluruh dunia.Kapal Nagasaki Spirit yang terbakar dan mengorbankan tiga orang buruh Kelantan tu lah yang kawan aku offer kerja kat aku sebelum kapal tu terbakar. Nasib baik aku tak mahu. Kalau tak ntah apa jadi dengan aku.

Selepas puas window shopping dan beramah mesra dengan kenalan seperantauan kat Rochoo, kawan-kawan bawa aku bersiar-siar kat lorong-lorong yang terkenal di Singapura. Selepas penat berjalan, aku dan kawan-kawan naik bas dua tingkat yang tak ada di Malaysia pada masa tu. Kawan aku sentiasa pesan kat aku supaya jangan buang sampah merata-rata kat Singapura kalau tak mahu di saman. Putung rokok jangan dijentik merata sebaliknya padam api rokok kemudian masukkan ke dalam poket seluar bawa balik kat rumah kongsi nanti. Oooo.. patutlaa aku tengok persekitaran bandar-bandar kat Singapura yang cukup bersih dan terjaga. Sungai yang mengalir pun jernih airnya walaupun sungai tu mengalir membelah bandar-bandar besar. Jauh beza dengan Sungai Klang dan Sungai Gombak kat tempat kita. Dengan hanya bermodalkan duit Singapura 20 dollar, aku seharian dapat melancong ke mana-mana. Aku sampai ke hotel 'Five Star' tempat aku menginap lebih kurang pukul 11.30 malam. Ambik tokol kayu yang dijadikan bantal kemudian kebas tempat tidur dan betulkan akhbar dan kotak yang dijadikan cadar kemudian terus lena.

Lena aku malam tu diganggu oleh suara Sudin Gelap yang mengejutkan aku dari tidur, " Din, bangun Din.., Mana passport mu? Ambik cepattt"

Jam masa tu pukul 3.20 pagi, terpingga-pingga aku dibuatnya. Aku tengok kawan-kawan lain bergegas cari passpot masing-masing. Aku nak keluar ikut pintu utama, tapi alangkah terkejutnya aku apabila melihat dua buah kereta peronda polis berada kat bawah. Kawan-kawan lain terjun ikut tingkap berdebub-debub bunyinya macam nangka busuk jatuh dari pokok. Aku pun tanpa berfikir panjang dan tanpa tengok bawah, terus terjun berdebab jatuh di atas tin-tin sardin dan kulit telur dari tingakat satu yang tingginya lebih kurang 5 meter. Berdesupp macam lipas kudung tak cukup tanah aku lari. Lompat segala lubang-lubang macam atlit lompat jauh dan kotak-kotak kayu kat tapak pembinaan aku langkah satu persatu macam atlit lari berpagar. Aku cuba panjat pokok tapi Meli tak bagi. " Din, jangan panjat pokok, nanti anjing polis dapat kesan. Mu lari masuk dalam selut". 

Oh.. ada petua rupanya. Dalam gelap aku tak tahu ke mana kaki aku melangkah. Main terjah aje asalkan selamat. Semua kawan-kawan aku entah ke mana. Masing-masing menyelamatkan diri. Aku terjun ke dalam satu lubang yang sedia untuk diisi konkrit dan diam berada di dalamnya. Jantung aku berdegup kencang 220km sejam. Aku berserah pada takdir saja. Apa nak jadi.. jadilahhh.. aku tak tahu ke mana lagi nak lari.Nak lari keluar dari tapak pembinaan takut termasuk dalam kawasan Kem Tentera pula, nanti lagi nahas dianggap penceroboh sebab di sebelah tapak tempat aku bekerja adalah kawasan kem tentera Singapore. Aku diam di dalam lubang yang dalamnya lebih kurang 2 meter tu, berselindung di sebalik kotak kayu yang bakal diisi dengan konkrit kesokan hari.

Tidak lama kemudian aku ternampak samar-samar satu bayang sedang mengintai-intai di segenap lubang. Mulutku terkumat-kumit membaca ayat-ayat kursi minta perlindungan Allah. Aku fikir itu mungkin kor risik pasukan polis mencari-cari buruh asing yang bekerja tanpa permit untuk ditangkap dan dimuat dalam lori black maria.. Sekejap tu lubang aku tinggal dia jenguk. 

" ado sapo dale ni ?" satu suara berbisik. 

" kawe .. Matdin". Jawab aku perlahan

"Oooo.. demo Din, naik aaa, polih tu gi doh. Mana Sudin nga Meli, mu ada napok ko?" Jali nga Kipli masuk kosi doh".

Fuhhh.. lega aku. Rupa-rupanya bayang tadi adalah Pok Hub yang sedang cari geng-geng aku yang menyembunyikan diri. Aku dengan Pok Hub bersama-sama cari kawan-kawan aku yang lain untuk sambung tidur. Aku difahamkan polis yang datang tu bukan untuk menggempur warga asing yang bekerja tanpa permit tapi datang ke kawasan pembinaan tu untuk menangkap buruh-buruh dari Thailand yang bergaduh akibat terlalu mabuk minum arak. Rumah kongsi buruh Thailand tu bersebelahan dengan rumah kongsi tempat aku tinggal. Aku sudah tak lelap mata nak tidur dan terus bersembang sampai pagi.

Masuk minggu kedua bekerja kat sini, aku telah dinaikkan pangkat menjadi pembengkok besi bim pulak. Maknanya aku tak lagi buka kayu penyokong bim. Kerja ni memerlukan kemahiran membengkokkan besi dan ikatan buku sila. Berbekalkan cakuk besi yang dibengkokkan hujungnya, aku ke hulu dan ke hilir memasang gelung besi yang dibentuk square di tengah panas terik matahari. Kulit muka yang sebelum ni hensem sudah bertukar colour menjadi mi goreng kicap. Sudah tentu  tak ada perempuan yang minat kat aku lagi. Namun demikian, itu semua cubaan dan nak hidup senang mesti berusaha dan mesti rajin bekerja.


Besi-besi BRC ni nak kena ikat juga. Kalau pukul 12.00 tengah hari, cuba bayangkan betapa bahangnya.


Gambar Hiasan Iksan Google : Nilah kerja aku selepas dinaikkan pangkat iaitu Ikat besi bim
Ni sudah hari ketiga minggu kedua aku bekerja kat sini. Sedikit sebanyak aku mulai senang dan selesa bekerja dengan rakan sejawat. Ikatan persahabatan kami semakin akrab sebab berada jauh di negara orang perlu saling bergantung. Tak boleh nak buat kepala sendiri. Kalau kenyang sama-sama, kalau lapar sama-sama. Ada duit sikit beli makanan dan kongsi ramai-ramai. Satu plastik air diminum dua atau tiga teguk seorang. Kami pinjam wang dengan tochu pun bergilir-gilir. Kalau hari-hari pinjam nanti teruk dimaki oleh tochu.

Semasa aku sedang leka menghabiskan waktu rehat pertama iaitu pukul 10.30 pagi  sambil bersembang dengan rakan-rakan, tiba-tiba tiga buah trak dari pejabat buruh memasuki kawasan pembinaan tempat aku bekerja. Mat Jari nga Pok Wae yang ternampak trak tu terus berubah wajah menjadi cemas dan bagi tahu geng-geng aku supaya lari. Aku, Azawari, Sudin, Meli, Jali, Kipli dan beberapa orang rakan lagi yang aku sudah lupa namanya berlari sekuat hati mencari tempat yang selamat. Sudin dan Meli suruh aku ikut dia dan pastikan jangan terpisah sebab dia tahu selok-belok tempat tu. Kami bertiga menyelinap keluar dari tempat pembinaan dan terus menyorok di pos pengawal kem tentera yang kosong. Muka aku pucat macam tak de darah. Itulah kali pertama aku begitu takut dan gementar. Meli dan Sudin yang sudah lama bekerja kat situ pun turut ketar kepala lututnya tapi masih boleh control macho. Bila keadaan agak selamat, kami keluar dari tempat persembunyian. Aku bersyukur kerana semua rakan aku sempat menyembunyikan diri. Ada beberapa orang buruh dari Thailand dapat ditangkap dan dibawa ke depot tahanan. 

Tulahhh cabaran bekerja di tempat orang tanpa permit yang sah. Asyik dikejar oleh pegawai dari jabatan buruh. Kalau kat tempat kita sama dengan jabatan imigresen iaitu sebuah organisasi yang bertanggungjawab menangkap dan mendakwa pekerja asing yang bekerja tanpa permit yang sah. Aku dengar cerita, kalau dapat ditangkap kita akan dipenjarakan di penjara bawah tanah lebih kurang enam bulan. Pasport kita dirampas dan kita tak boleh keluar dari Singapura selama dua tahun kecuali melalui egen penyeludupan manusia. 

Selepas peristiwa tu aku mula tak selesa lagi tinggal dan bekerja kat Singapura. Kini baru aku tahu bahawa mereka yang hidup agak mewah berbelanja selepas balik dari Singapura rupanya bukan mudah. Hanya Indah Khabar dari Rupa. Banyak risiko dan cabaran yang mereka hadapi. Memang betul perumpamaan hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri adalah jauh lebih baik di negeri sendiri. Walaupun gaji kat sini agak mahal tetapi kos hidup tinggi. Barang-barang makanan mahal-mahal kecuali barangan eletronik dan buah-buah aje yang agak murah. Kalau nak kaya sedikit kita kena ikat perut. Berjimat-jimat dalam berbelanja.

Pada petang tu semasa rehat pukul 3.30 petang aku bagitahu rakan-rakan, aku nak keluar ke Johor Bharu. Aku tak nak bekerja kat sini lagi. Aku tak selesa bekerja dalam keadaan takut-takut macam ni.Kawan-kawan aku pujuk aku supaya bersabar kerana perkara seperti ini adalah biasa bagi pekerja yang bekerja di sini. Kat mana-mana pun pejabat buruh masuk kacau.Kat Pasir Ris, Kat Changi, Kat Woodland, kat Jurong semuanya jabatan buruh datang serbu. Kita kena pandai-pandai lari untuk menyelamatkan diri.

Aku sudah nekad, aku nak keluar juga walau berseorangan. Petang tu aku pinjam duit Sudin dan Meli sorang 10 dollar. Aku suruh mereka tolong ambik gaji aku nanti bila cukup bulan dan itu sebagai bayar hutang. Sebelum pukul lima aku sudah pulang ke rumah kongsi. Aku mandi dan persiapkan diri kemudian berjalan ke Bus Stand dengan membawa hanya kain sarung dan 2 helai t'shirt serta 2 helai seluar. Barang-barang lain aku tinggalkan kat situ. Aku menaiki bas ke Woodland seorang diri kemudian berjalan melintasi tambak Johor ke Bus Stand Johor Bharu. Aku tak tahu nak ke mana-mana. Nak balik ke kampung terasa segan pula sebab baru dua minggu datang. Kawan-kawan lain masih ada tinggal kat Johor tapi jauh iaitu di Kluang sana.Nak telefon masa tu mana ada telefon bimbit yang boleh dihubungi. Aku berserah saja pada takdir. Fikiran aku buntu ke mana aku nak tuju dan di mana aku mahu tidur.

Malam tu aku sendirian tidur kat bus stand Johor Bharu. Dengan berbantalkan beg usang, aku tidur di kerusi menunggu. Terasa begitu lama untuk hari cerah. Walaupun badan penat tapi mata tak mahu lelap. Dalam kepala aku terbuku seribu porsoalan ke mana aku nak pergi? mana aku nak dapatkan duit sekiranya duit aku nanti sudah kehabisan? sampai bila aku harus begini? adakah tindakan aku ni bodoh sebab keras hati tak nak pulang ke kampung?  adakah perlu aku masuk semula ke Singapura? dan macam-macam persoalan lagi.

Bangun pagi aku basuh muka kat tandas dan minum air sinki. Aku perlu jimatkan saki baki duit aku yang ada. Aku tak boleh nak minum Milo atau Nescafe atau Fresh Oren dan apa-apa air yang perlu dibayar. Aku tinggalkan beg sandang buruk aku kat bus stand Johor Bharu kemudian aku merayau ke Shoping Kompleks Johor Bharu dengan harapan aku akan berjumpa dengan siapa-siapa kenalan aku. Seharian aku berjalan tetapi tak jumpa dengan sesiapa pun kenalan aku. Malam tu aku kembali ke Bus Stand untuk tidur dan aku lihat beg sandang aku masih berada di tempat yang aku letak dan tak terusik.Wah! malam ni aku ada teman sebab ada dua orang gelandangan sedang tidur di bangku. Seorang orang siuman sedang bercakap sendirian di satu penjuru sana bermakna malam ni kami berempat akan tidur kat bus stand ni. 

Hari kedua aku jadi budak gelandangan akhirnya rezeki aku bertemu dengan rakan aku masa kat sekolah rendah dulu. Dia bekerja di Masai. Namanya Pok Yie. Dia kerja kimpalan. Dia ajak aku tumpang rumah dia buat sementara waktu. Dia tinggal di rumah kedai tingkat atas. Bawah rumah dia adalah bengkel tempat dia bekerja. Kedai tu kepunyaan tauke cina, dia cuma kuli sahaja. Dua hari aku tumpang tinggal kat rumah dia. Makan minum Mat Yie yang tanggung. Hari ahad tu aku pagi-pagi sudah bersiap untuk ke Johor Bharu. Aku yakin kawan-kawan aku kat Singapore akan keluar ke Johor Bharu hari ni untuk cop dia punya passpot. Mereka wajib cop passpot dua minggu sekali.

Dari Masai aku naik bas ke Johor Bharu. Dari pukul 9.30 lagi aku sudah tunggu kawan-kawan aku dari Singapura keluar. Telahan aku tepat, lebih kurang pukul 12.30 tengah hari aku ternampak kelibat Sudin, Meli, Pok Hub, Azawari, Jali dan Kipli sedang berjalan melintas jalan untuk ke Kompleks Kota Raya Johor Bharu. Aku terus berlari mendapatkan mereka. Mereka terkejut melihat aku masih berada di Johor Bharu. Semasa sedang makan, aku ceritakan kepada mereka yang aku menjadi gelandangan dua malam kat bus stand Johor Bharu selepas keluar dari Singapura dan tumpang tidur rumah Pok Yie selama dua malam. Mendengar cerita aku, Sudin nga Meli geleng kepala "Gila mu Din, Mu meme Gila". Bakpo mu tok kelik kapung nyo?Ayoh mu kan orang kaya, bakpo mu tok mitok duit kapung nyo suruh masuk dale akaun mu?"

Ya! memang ayah aku orang kaya. Dia ada rumah sewa 12 buah. Dia ada tanah seluas 13 ekar. Dia ada duit simpanan berpuluh-puluh ribu ringgit dalam bank konversional, Duit KWSP dia berbelas ribu ringgit tak terusik lagi, Berbelas ribu ringgit pula ada dalam akaun tabung haji. Makan minum dia cuma guna duit pencen saja. Tapi itu duit dia, bukan duit aku. Aku tak mahu menyusahkan hidup orang tua aku. Aku tak mahu mengambil kesempatan dengan mengikis kekayaan harta ayah aku. Aku sudah besar panjang, aku harus berdikari. Selagi aku boleh bergerak, selagi itu aku tak mahu bergantung hidup kepada harta ayah aku. Dia bersusah payah mengumpul harta, untuk apa aku harus meminta-minta padanya.

Selepas makan aku dan geng-geng merayau-rayau di kompleks Kota Raya. Pukul 4.00 petang geng-geng aku nak masuk semula ke Singapura. Mereka ajak aku ikut mereka tapi aku tak nak. Aku dah nekad tak mahu bekerja kat Singapura lagi. Aku nak ke Kluang cari member-member kat sana. Aku tak nak balik kampung. Aku nak berdikari.

Petang tu aku mengambil tiket bas untuk ke Kluang. Aku nak cari member aku yang bekerja kat sana. Walau aku tak tahu alamat tempat tinggal mereka tapi aku dengar cerita salah seorang kawan aku kerja di kilang tisu kat Jalan ke Air Hitam. Aku sampai ke Kluang lebih kurang pukul 10.00 malam. Tempat ni begitu asing bagi aku sebab aku tak pernah ke sini. Walau bagaimanapun, itu sedikitpun tidak menggusarkan aku. Oleh sebab sudah tengah malam, maka aku tak tahu nak ke mana. Aku berjalan-jalan tanpa arah tujuan. Tiba-tiba aku terjumpa stesen kereta api Kluang. Aku lepak kat situ seorang diri sampai pukul 2 pagi. Tidak lama kemudian aku di tegur oleh seseorang. Dia tanya aku ke mana aku nak pergi. Aku kata aku cuma cari kawan tapi aku tak tahu kat mana kawan aku tinggal. Dia cuba nak tolong aku tapi tak boleh nak buat apa sebab tak tahu alamat. Dia ajak aku menumpang kat rumahnya. Aku ikut dia. Rupanya dia tauke restoran. Ada pekerja dia tinggal kat tingkat atas dalam restoran tu. Aku disuruh tinggal dengan pekerjanya buat sementara waktu sementara menunggu hari cerah.

Selepas aku makan pagi, aku naik bas ke kilang tisu untuk mencari kawan aku. Tauke restoran tu yang hantarkan aku ke stesen bas dan tujukkan aku bas yang perlu aku naiki untuk ke kilang tisu scot paper. Sampai ke kilang tu, aku terus jumpa dengan security guard dan tanya nama kawan aku iaitu Azmi Rani yang aku panggil Mira. Mira tu adalah rakan sekampung dan rakan sepermainan aku dulu. Rupa-rupanya aku dikhabarkan oleh Pak Guard tu yang Mira sudah lama berhenti kerja kat situ. "Ahh sudah.. mana aku nak pegi, duit dah tak de.", bisik hati kecil aku.

Aku tahan bas untuk ke Bandar Kluang semula. Tapi duit aku tak cukup untuk sampai kat Kluang sebab tambangnya RM1.30 puluh sen sedangkan duit aku cuma ada 80 sen saja. Aku bagi tahu kat konduktor bas tu aku nak turun tempat tiket yang harganya 80 sen. Tersengih pemandu bas tu kat aku. Sampai di satu tempat, bas tu berhenti lalu pemandu tu bagi tahu aku " Dik, turun sini ". Aku pun terus turun betul-betul kat depan kilang Malaysia Mosiac. Kat bus stop situ, aku duduk sendirian sambil memikirkan ke mana aku nak pegi. Duit dah langsung tak ada. Aku dok rancang, kalau apa-apa berlaku aku akan berjalan kaki ke bandar Kluang dan cari semula tauke restoran tu untuk bekerja buat sementara waktu kat restoran dia. Dapat makan dengan tidur pun sudah cukup. Sedang asyik aku mengelamun tiba-tiba aku terpandang Budin sedang menaiki basikal untuk melintas jalan. Budin ni adalah kawan baik yang paling rapat dengan aku dan tinggal cuma 100 meter dengan rumah aku kat kampung. Aku selalu tidur kat rumah dia dan dia juga selalu tidur kat rumah aku. Aku selalu makan nasi kat rumah dia dan dia juga selalu makan nasi kat rumah aku.

Aku panggil Budin " Din! Din! Din! aku dok sini, mu kenal ko dok aku ni? " Budin terpingga-pingga tengok aku macam tak caya aku berada di depan matanya. Eh, mu mari wak gapo sini? tidok mu gi Singapura eh?. Tok soh kecek banyok, mari naik gendong aku kita gi rumoh sewa aku dulu, pah tu kita cerita" kata Budin.

Lepas makan tengah hari, aku cerita dari A sampai Z kepada Budin kenapa aku boleh berada kat Kluang. Mendengar cerita aku, Budin pun macam Meli nga Sudin turut geleng kepala seraya berkata " Gila mu Din, Meme mu buat mene gilo. Cari Nyakit". Selepas tu, aku tinggal bersama Budin di rumah sewanya. Budin berhenti kerja kat situ kemudian pergi mohon kerja kat kilang mozek lain iaitu Far Estern Mosaic jalan Air Hitam dengan aku. Aku dengan Budin mula bekerja kat situ dengan pendapatan RM12.00 sehari.Tidak lama kemudian, semakin ramai rakan sekampung aku datang ke Kluang, bekerja di sini dan tinggal bersama aku. Geng-geng aku yang dulu kerja kat Singapura juga ada yang sudah beralih angin kerja kat tempat aku di Kilang buat mozek. Biarlah gaji kecil asalkan kerja tak di kejar oleh jabatan Buruh.

Banyak lagi kisah aku semasa kerja kat sini, tapi dah malas nak cerita. Lama-kelamaan aku juga terpaksa balik kampung dalam keadaan miskin sama macam aku balik dari Kuala Lumpur satu masa lalu. Beberapa bulan bekerja kat Kluang tak mengubah sedikitpun hidup aku. Duit simpan sedikitpun tak ada. Hidup ramai-ramai dengan rakan sekampung di rumah sewa sekadar seronok-seronok saja. Kerja dengan gaji RM12.00 sehari sedikit pun tak cukup untuk sara hidup. Kadang-kadang kami terpaksa catu makanan dan ada kalanya terpaksa berlapar dan berhutang. Kadang-kadang masak meggi pun rendam dengan air sejuk aje sebab dapur tak ada minyak tanah untuk merebus air.

Kini baru aku sedar betapa susahnya kalau hidup tak ada pelajaran. Pengalaman-pengalaman ini mengajar aku erti kehidupan sebenar. Hidup dalam kelaparan, hidup bergelandangan, tebalkan muka untuk berhutang, kerja penat tapi gaji yang dibayar tak seberapa, bergadai nyawa untuk menyelamatkan diri daripada ditahan, dan yang paling membuatkan aku kecewa dan cukup terasa ialah terpaksa tahan telinga untuk dimaki dan dihina macam kita tak ada maruah dibuatnya, di samping pelbagai cobaan dan cabaran lagi yang aku hadapi. Pengalaman-pengalaman ini cukup mematangkan aku dan menjadikan aku lebih berani menghadapi sebarang risiko dalam meniti kehidupan. Pengalaman ini membuka satu lembaran baru dalam hidup aku sebab pengalaman ini adalah satu pedoman dan menjadi cabaran untuk aku keluar daripada kepompong kemiskinan dan kesulitan hidup.

Hanya setakat ini saja cerita aku dan aku akan cerita lagi sebab kronologi hidup aku belum berakhir setakat ini. Episod 6 nanti mungkin ending cerita aku sebelum aku masuk ke Universiti seterusnya telah mengubah hidup aku. Jangan lupa ikuti kisah aku dalam episod yang ke-6. Terima kasih kerana membacanya. Kisah aku ni memang betul-betul berlaku dan aku hadapi, bukannya cerita rekaan.

* gambar-gambar dalam ni aku dapatkan dalam google.

3 comments: